“TANGAN awak ni letak kat sini Naz, kat
perut Thia ni. Tangan Thia pulak tindih
atas tangan awak macam ni. Alih sini sikit, biar nampak cincin masing-masing.
Bagi nampak cincin tu dalam gambar. Thia, belakang badan tu sandar sikit kat
dada Nazhan tu. Naz, senyum biar nampak gigi. Okey, sedia. Saya nak ambil
gambar ni. One, two, three!”
Terpancar
flash kamera ke muka Thia dan Nazhan. Thia menginjakkan badannya sebaik
ternampak pancaran flash memanah matanya.
“Eh, kejap.
Lagi sekali.”
Thia menyumpah
dalam hati. Terasa canggung dipeluk begitu oleh Nazhan. Tangan Nazhan yang
diletakkan di bawah tangannya terasa begitu sejuk.
Mesti Nazhan
terasa gugup dipaksa memeluk dirinya.
Sudahlah seluruh isi rumah itu melihat aksi mereka bergambar. Sesekali
ternampak orang kampung yang tersengih-sengih melihat mereka berdua. Kalaulah
muka Thia tidak disolek tebal hari ini, mungkin para tetamu menyedari wajahnya
yang sudah merona merah. Dia betul-betul malu dirakam aksi sebegitu.
“Okey,
sekarang ni awak pusing Thia. Naz peluk pinggang Thia ni. Tangan Thia ni letak
kat dada Naz, kepala sengetkan sikit. Eh, lembutkan sikit leher ni Thia. Apa
nak malu-malu, dah sah dah ha...” usik Kak Atie pula sambil tangannya
diletakkan ke atas kepala Thia, melentokkannya ke dada Nazhan.
“Naz senyum
biar nampak gigi. Kuat sikit peluk pinggang Thia tu. Tak payah nak malu-malu
sangat. Kalau malu, awak yang rugi malam ni.”
Berderai
ketawa dari tetamu yang dari tadi memerhati mereka beraksi untuk dirakam gambar
di atas pelamin. Kak Atie dan Abang Rosli tersengih. Seronok mereka dapat
menyakat Thia dan Nazhan yang ternyata nampak kekok disuruh beraksi romantik.
“Kali ni kita
nak suruh buat aksi super romantik pulak,” Abang Rosli masih seperti tadi dengan senyum
sumbingnya.
Thia
terkebil-kebil, terasa ingin berlari ke dalam bilik. Dia sangkakan penyeksaan
didera beraksi romantik bersama Nazhan selepas majlis berinai malam tadi sudah pun berakhir. Rupanya hari ini, lebih teruk dia didera.
Malunya pada tetamu yang tak jemu memandang sudah tidak dapat digambarkan lagi.
“Muka kamu
berdua ni rapatkan.”
Nazhan dan
Thia kaku.
“Eh, apa
tercegat lagi? Cepatlah, saya nak ambil gambar ni. Rapatkan muka cepat. Temukan
hidung Thia tu dengan hidung Nazhan. Mata tu pandang ke mata pasangan
masing-masing. Mulut tu senyum,” arah Abang Rosli lagi.
Eeee...
kenapalah abang photographer ni mengada-ada nak suruh buat aksi macam ni
pulak. Pak cik depan aku ni jangan kata nak tengok mata, tengok telinganya pun
aku tak rela.
Thia mengomel
dalam hati. Nak tak nak dia menyuakan mukanya, dirapatkan sehingga hidungnya
menyentuh ke hidung Nazhan. Dadanya berdegup kencang. Malu, segan, takut,
gemuruh semuanya bercampur baur saat anak matanya bertentangan dengan anak mata
Nazhan.
Cantik mata
pak cik ni. Coklat. Agaknya mata ni dah cairkan berapa ramai perempuanlah kan?
Thia berfikir
dalam hati. Terasa segan bertentang mata dengan Nazhan seperti itu tapi apalah
dayanya.
Tak kan nak
lari terjun tingkap? Nanti orang tahulah aku kena kahwin paksa. Thia
terus-terus mengomel. Cuba menyembunyikan rasa gugup dalam hatinya.
Saat hidung
Thia mencecah hidungnya, Nazhan tersentak. Dadanya berdegup laju. Belum pernah
seumur hidupnya, merapati seorang perempuan sebegini dekat. Dia dapat merasa
hembusan nafas yang keluar dari hidung Thia.
Dia dapat melihat mata bundar milik Thia. Tangannya yang basah dengan
peluh sejuk dari tadi menjadi bertambah dingin.
Perasaannya
ketika itu sukar ditafsirkan. Melayang-layang entah ke mana. Mata itu, wajah itu sekali lagi dirasakan
seperti pernah dilihatnya sebelum ini tapi dia masih gagal mengingat di mana
dan bila dia pernah melihatnya.
“Okey, dah
sudahlah tu. Tak kanlah nak melekat macam tu sampai esok,” Kak Atie menepuk
bahu Thia lembut. Terdengar kekekan tawa
daripada tetamu yang dari tadi masih setia menanti. Menunggu aksi dari pasangan
pengantin itu.
“Pantang bagi chance,
terus tak nak lepaskan. Sabarlah sikit kalau ya pun nak terkam.”
Berderai tawa
Abang Rosli disambut dengan tawa dari tetamu. Jelas merona merah di wajah
Nazhan. Entah berapa lama mereka berpaut hidung, dia sendiri tidak pasti.
Sedar-sedar Thia sudah mengalihkan wajahnya dan bila dia menoleh, seluruh
tetamu yang ada di situ sedang ketawa.
Dia berdoa semoga sesi ini berakhir dengan cepat. Tak sanggup dia
dijadikan bahan ketawa oleh penduduk kampung.
Tepat pukul
6.00 petang, laman rumah Mak Mah sudah pun lengang. Orang-orang kampung yang
bergotong-royong sejak semalam pun sudah lama menghilangkan diri. Barangkali
semuanya sudah terbaring keletihan di rumah masing-masing.
Thia yang
sudah pun kemas berbaju kurung moden, menilik wajahnya di cermin. Dia
menyarungkan cincin di jari manis kirinya. Terasa janggal. Disarung pula sebentuk
lagi cincin ke jari manis kanannya. Juga terasa pelik. Kedua-dua cincin itu
dibelek-belek. Satu cincin pertunangan dan satu lagi cincin pernikahannya.
Digapai pula
seutas gelang emas dari dalam kotak, dikancingkan ke pergelangan tangannya.
Hadiah dari ibu mentuanya. Terasa majlis pernikahan dan persandingannya
seolah-olah di dalam mimpi. Tidak pernah langsung dia terfikir akan bergelar
puan kepada seorang lelaki yang bergelar suami.
Dia tersenyum. Puas hati dengan penampilannya, dia mengorak langkah
keluar dari biliknya perlahan-lahan.
“Sekarang kamu
dah kahwin dengan Thia, segala tanggungjawab Mak Mah pada dia dah ada atas bahu
kamu.”
Sayup-sayup
terdengar suara Mak Mah dari luar rumah. Entah mengapa Thia tiba-tiba terasa
sayu. Hatinya sedikit terusik bila mengenangkan dia tidak lagi akan duduk di
rumah ini seperti dulu. Rumah yang menyimpan terlalu banyak kenangan dalam
hidupnya. Dia mengetap bibir, cuba menghalang air matanya dari keluar. Menarik
nafasnya sedalam yang mungkin, lalu melangkah keluar menuju ke arah Nazhan dan
kedua-dua ibu bapanya.
“Jangan risau
kak, kami sekeluarga akan jaga dia jugak. Kalau Naz buat yang bukan-bukan pada
Thia nanti, siaplah dia. Kami gerak balik dululah. Nanti ada masa kita jumpa
lagi ya,” Datin Marisa menepuk bahu Mak
Mah lembut. Tangannya dihulur ingin bersalam.
Mak Mah hanya
tersenyum hambar. Tangannya menyambut huluran salam Datin Marisa. Nazhan yang dari tadi tercegat di sisi
kedua-dua ibu bapanya, menghulurkan salam kepada Mak Mah. Dia kemudiannya berjalan
seiring dengan Dato’ Harun dan Datin Marisa dan masuk ke dalam kereta. Dari
dalam kereta, dia memerhati kelibat Thia yang baru saja melangkah keluar dari
rumah dan berjalan menghampiri Mak Mah dan kakak iparnya, Syafinaz.
“Thia minta
maaf salah silap Thia selama ni. Halalkan makan minum Thia. Terima kasih sudi
jaga Thia selama ni.” Thia menunduk
ingin mencium tangan Mak Mah. Air matanya tumpah jua.
“Hmmm...” Mak
Mah mendengus. Tangannya cepat-cepat ditarik dari pegangan Thia. Dia memandang
ke arah lain, buat-buat tidak mendengar apa yang diperkatakan Thia.
“Aku pun nak
minta maaf dengan kau.”
Thia menghulur
salamnya ke arah Syafinaz. Kakak tirinya itu juga dingin seperti Mak Mah.
Bersalam pun seperti hendak tak hendak. Thia menyeka air matanya. Dia lantas
mengangkat beg. Berjalan menuju ke arah kereta bapa mentuanya yang dari tadi
menunggu.
Nazhan yang
dari tadi memerhati berasa hairan dengan sikap Mak Mah dan kakak iparnya
terhadap Thia. Dia ingin sekali bertanya, tapi lidahnya kelu. Timbul rasa simpati
bila melihat Mak Mah yang menarik tangan sewaktu Thia ingin menciumnya. Raut
wajah Thia diperhatikannya. Wajah itu kian mendung. Tiada walau secalit
senyuman pun terukir. Jauh berbeza dengan keadaannya sewaktu di atas pelamin
tengah hari tadi.
Thia perlahan duduk di sisi Nazhan yang
mengalihkan pandangannya. Dia sedar dari tadi Nazhan ralit memerhatikannya. Dia
melihat sekilas pada bapa mentuanya yang menoleh ke belakang menunggu dia
menutup pintu kereta sebelum memulakan perjalanan. Datin Marisa pula dari tadi
khusyuk menghadap telefon pintarnya.
Thia membuang
pandang ke luar tingkap. Fikirannya tenang ketika itu. Di bibirnya terukir
secalit senyuman. Senyuman kelegaan meninggalkan memori pahit hidupnya di rumah
peninggalan arwah ayah.
Jauh dalam
sudut hatinya, biarlah hidupnya selepas ini menjadi lebih baik daripada sebelum
ini. Dia tahu ianya sukar, apatah lagi dengan penerimaan Nazhan terhadap
dirinya, tapi biarlah. Dia sudah tenang
buat masa ini. Walaupun mungkin cuma untuk kali ini. Perlahan matanya terpejam.
2 comments:
Best. Teruskan sis. :)
next entry please!!!... ;D
Post a Comment