Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Tuesday 30 July 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 11











Syafinaz mengibas rambutnya ke belakang bahu.  Dikuis-kuis hujung rambutnya sesekali sambil tangannya ligat menyapu lip gloss pada bibir.  Kerap kali matanya menjeling pada jam yang melekat di dinding.  Tangannya ligat menghayun berus lembut yang sudah terpalit dengan pemerah pipi.  Sekejap sekejap dioles ke pipi, dagu dan dahinya berulang kali.  Puas hati dengan penampilannya,dia mencapai beg tangannya yang terdampar di atas katil.  Segera dia keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu.  Dia menghempas punggungnya kasar ke atas sofa, tangannya menggagau mencari telefon bimbit di dalam beg tangan. 

“Abang dah kat mana? Finaz dah siap ni.”  Ringkas pertanyaan Syafinaz. Dia menguis-nguis kuku jemarinya yang berwarna peach.  Matanya melirik pada skrin tv yang terpasang dari tadi tapi telinganya mendengar butir bicara pemanggil di dalam telefon bimbitnya.

“Ok, bye sayang.”  Cepat-cepat Syafinaz memasukkan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan saat talian dimatikan.  Suis tv dimatikan, dia lekas lekas menuju ke almari kasut.  Mencapai high heel 4 inci berwarna hitam.  Dia membongkok, menyarung kasut itu ke kakinya.  Pintu rumah ditutup dan dikunci.  Dia duduk di kerusi yang diletakkan berhadapan ruang letak kereta.  Menunggu kelibat Aiman yang sudah pun berjanji hendak makan malam bersamanya.  Lima minit kemudian, kereta Aiman muncul.

Sorry lambat sikit sayang.”  Aiman memeluk bahu Syafinaz lantas dikucup kedua-dua pipi gadis itu.  Wajah Syafinaz sedikit mendung, mungkin marah dengan kelewatannya tadi. 

“Tunggu wife dengan anak-anak Abang.  Diorang pun nak keluar jugak malam ni.”  Aiman tersengih lagi.  Mengharap Syafinaz akan mengukirkan senyumannya.

“Kita nak makan kat mana ni?”  Syafinaz bersuara perlahan.  Malas mengambil tahu perihal keluarga Aiman.  Terasa sakit hatinya menyedari hakikat bahawa lelaki yang dia sayangi itu milik wanita lain.  Bapa kepada dua orang anak.

“Kita makan kat tempat selalu nak?  Abang teringin nak makan sate lah malam ni.”  Aiman tersenyum lagi.  Menggenggam erat tangan gadis itu.  Dia gembira dapat berjumpa Syafinaz.  Terasa hilang letihnya dengan tekanan kerja di pejabat siang hari tadi.  Terasa hilang bosannya melayan karenah anak-anaknya yang selalu membingitkan telinga.  Seakan akan dia lupa tentang status dirinya saat berjumpa dengan Syafinaz.  Gadis itu cantik, bijak, pandai melayan dirinya dan selalu memanjakan dirinya.  Dua hari tidak berjumpa gadis itu, boleh buat dia jadi gila bayang.

Kereta Aiman diparkir pada tempat letak kereta di hadapan Restoran Wardah Seafood itu.  Keadaan restoran agak lengang pada jam itu.  Di satu sudut, terlihat kelibat seorang lelaki tua sedang mengipas arang kayu.  Membuat persiapan untuk membakar sate.  Terbayang-bayang keenakan sate daging di minda Aiman saat itu.  Cepat-cepat dia membuka pintu dan berjalan menuju ke meja bersama Syafinaz.  Sesekali Aiman melirik matanya pada pandangan pekerja-pekerja restoran itu yang dari tadi memerhati Syafinaz.  Dia tersenyum bangga di dalam hati.  Tahu mereka semuanya terpegun dengan kecantikan Syafinaz.  Tambah-tambah lagi Syafinaz mengenakan dress singkat separas peha, menampakkan susuk badannya yang gebu.  Tiada lelaki yang tidak menoleh saat Syafinaz berlalu.

Selepas 15 minit menunggu makanan yang dipesan, pelayan datang dengan sedulang makanan ke meja mereka.  Membawa sepinggan nasi ayam goreng dan semangkuk mihun tomyam beserta dua gelas jus oren.  Datang seorang lagi pelayan membawa sepinggan sate daging yang dipesan Aiman tadi.  Aiman tersenyum, gembira melihat makanan yang terhidang depan matanya.  Mereka sama-sama menikmati makanan di restoran itu.  Sesekali dia menyuap sesudu nasi ke mulut Syafinaz.  Senang hatinya melihat senyum di bibir gadis itu.  Dia tahu panas di hati Syafinaz sudah pun reda.

“Papa!”  Teriakan dari suara milik kanak-kanak itu menyebabkan Aiman dan Syafinaz menoleh serentak.  Wajah Aiman tiba-tiba pucat. Selera makannya terus mati saat matanya tertancap pada kanak-kanak di hadapannya itu.

“Papa buat apa kat sini?”  Kanak-kanak dalam lingkungan umur 4 tahun itu menarik hujung baju Aiman.  Aiman tersenyum kelat.  Mengusap lembut dahi anaknya itu. Peluh sejuk mula merembes keluar di dahinya.  Tangannya juga sejuk. 

“Jomlah makan dengan Mama.”  Kanak-kanak itu menarik hujung baju Aiman sedikit kuat.  Menggesa ayahnya itu, menoleh ke arah meja di belakang mereka.  Aiman tambah pucat.  Terpaku melihat wajah merah padam isterinya yang sedang menggendong bayi mereka di samping kawan baiknya, Syima.  Terasa darahnya menyirap ke kepala. Mati! Getus hati Aiman.

Isterinya bingkas bangun, merapati meja mereka lantas merentap tangan anak kecil yang berpaut pada lengan Aiman.  Tindakannya yang sedikit kasar, menyebabkan anaknya berteriak kuat.  Dia menampar Aiman sekuat-kuat hatinya. Dia sudah tidak peduli pada semua mata yang memandang mereka pada ketika itu.  Hatinya belum puas, dia mencapai segelas jus oren lantas dituang ke kepala Syafinaz.

“Hei, apa ni?!”  Syafinaz bingkas bangun.  Mengibas-ngibas air yang tumpah di bajunya.  Rambutnya yang kuyup dibasahi air dilap menggunakan tisu yang terdapat di atas meja.  Dia mula panas hati diperlakukan sebegitu.  Dia ingin menampar perempuan di hadapannya itu tapi segera ditahan Aiman.

Business meeting ye?  Business meeting dengan GRO mana ni?”  Lidya menjegilkan matanya.  Terasa ingin ditelan Aiman saat itu.

“Kau dah takde lelaki lain ke?”  Lidya memekik.  Jarinya dituding ke muka Syafinaz.  Cepat-cepat Syafinaz menepis.  Tindakan Syafinaz itu membuatkan api kemarahannya semakin meledak.  Dia mencapai hujung rambut Syafinaz lantas menariknya sekuat hati.  Mereka berdua mula bercakaran.  Kuku tajam Syafinaz sempat menggores pipinya.  Jeritan mereka berdua mula kedengaran ke seluruh ruang restoran.  Mereka sudah sama sekali tidak peduli pada mata yang memandang.  Malah ada juga pelanggan yang bertindak mengeluarkan telefon bimbit dan merakam ‘drama’ percuma di hadapan mata mereka.  Anak-anak Aiman pula sudah mula berteriak menyaksikan apa yang terjadi di hadapan mereka.

“Sudah Dya, sudah.”   Syima yang dari tadi mendiamkan diri sambil menggendong bayi Lidya mula cemas.  Dia ingin meleraikan pertengkaran itu tapi terhalang dengan bayi yang dipegangnya.  Cepat-cepat dia memandang ke arah Aiman, memohon lelaki itu segera membantu.  Cepat-cepat Aiman menarik lengan isterinya. Sebelah lagi tangannya menghadang tamparan bertubi tubi dari Syafinaz.

Stop it. Stop!” Aiman mencengkam lengan Syafinaz kuat.  Menghalang gadis itu dari terus-terusan menyerang Lidya.  Isterinya itu juga sudah didakap erat.  Menghalang dia membalas serangan Syafinaz. 

Please go home.  Just go.”  Suara Aiman mendatar.  Mengharap gadis itu memahami situasinya kini. Mengharap gadis itu tidak lagi mengeruhkan keadaan.  Dia mengusap kepala Lidya, menenangkan isterinya yang masih terus-terus meraung.   Dia ingin sekali memaut lengan Syafinaz, menenangkan gadis itu.  Tapi, ahhh..dia serba salah!






Aiman menutup pintu dengan kasar.  Dadanya terasa sebal ketika itu.  Dia serabut dengan permasalahan yang diciptanya sendiri. 

“Kenapa Dya buat macam ni?”  Aiman tercegat di sisi isterinya yang sedang duduk kaku menghadap meja solek.  Isterinya itu membelek luka cakaran Syafinaz di wajahnya.  Airmatanya masih belum surut.

“Kenapa?  Kenapa Dya buat macam ni? Patutnya Dya yang tanya abang soalan tu.”  Lidya bersuara lantang.  Hatinya mula panas kembali.  Bengang dengan soalan Aiman.  Dia langsung tidak memandang wajah Aiman yang tercegat membelakanginya.

“Kenapa libatkan Along dalam hal ni? Kalau Dya marah kat abang sekalipun, tak perlu babitkan anak-anak kita.  Kenapa mesti Dya nak angkut anak-anak kita kat restoran tu dengan Syima?  Perlu ke Dya serang Syafinaz sampai macam tu sekali?  Abang malu orang ramai semua tengok kita tadi.”  Aiman mengeluh kasar.  Masih memandang isterinya yang kaku dari tadi.

“Ooooo...Syafinaz ye nama perempuan murahan tu? Kat kelab malam mana Abang kutip dia?”  Lidya menjeling tajam.  Jelik mendengar nama perempuan penggoda suami orang meniti di bibir Aiman. Ya, perempuan itu lagaknya seperti perempuan murahan kelab malam.  Dari gayanya, pakaiannya.

“Abang Malu dengan orang ramai?  Habis dengan Dya, dengan anak-anak, abang tak malu?  Abang, Allah tu nak tunjuk bang siapa suami Dya ni, siapa ayah anak-anak kita ni selama ni.  Sebab tu lah, kitorang tergerak nak pergi makan kat situ.  Kitorang tak tahu pun Abang nak makan kat situ.  Orang kalau buat jahat ni, lama-lama akan terbongkar jugak abang.”  Lidya tersenyum sinis.  Kalau diikutkan rancangan asal, mereka ingin membawa anak-anak makan di Coco Restaurant.  Malangnya restoran itu ditutup untuk kegunaan pengantin baru yang menyewa seluruh ruang makan untuk majlis persandingan.  Akur dengan cadangan Syima, mereka setuju untuk pergi ke Wardah Seafood dan akhirnya bertemu dengan Aiman bersama buah hatinya.  Mujur selepas insiden itu, Syima menawarkan diri menjaga anak-anaknya, memberi ruang Lidya dan Aiman berbincang sedalam-dalamnya tentang masalah yang timbul saat ini.

“Abang cakap tadi ada business meeting dengan Dato’ kan?  Tak tahu pulak Dya, Dato’ tu pakai dress.”  Lidya tersenyum sumbing lagi.  Sakit hatinya ditipu.  Entah sudah berapa lama dia ditipu Aiman, dia sendiri tidak tahu.

“Selama ni, Dya percaya pada abang.  Dya korbankan career Dya.  Dya sanggup berhenti kerja, duduk rumah jaga anak.  Dya tumpukan seluruh hidup Dya untuk abang dan anak-anak, tapi ini yang Dya dapat?  Ini yang abang balas?”  Lidya bangun perlahan-lahan, menuju ke tirai langsir di sudut bilik.  Dia membuka tirai langsir, memandang ke luar tingkap.  Membuang pandang pada hitam jalan di hadapan rumah mereka.  Sisa airmatanya masih berbaki di hujung pipi.  Sesungguhnya, hanya Tuhan yang tahu betapa remuk hatinya saat itu.

“Apa lagi yang tak cukup?  Apa lagi yang kurang?  Apa lebihnya perempuan tu?”  Lidya menuding jari, menanti Aiman membalas kata-katanya.  Airmatanya tumpah lagi.  Perit sungguh luka hatinya diguris perbuatan Aiman.  Dicurangi.  Ditipu sepanjang perkahwinan mereka.

Aiman duduk di sofa yang terletak di penjuru biliknya.  Dia meraup wajahnya entah yang ke berapa kali.  Lidahnya terlalu sukar membidas kata-kata Lidya.  Dia tahu kesalahan itu datang dari dirinya.  Tapi semuanya berpunca dari sikap Lidya juga.  Wanita itu terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumah tangga sehingga penampilan diri sendiri tidak dijaga. Lidya mengambil sikap asal sempat dan asal boleh.  Pakaiannya selekeh.  Tudungnya disarung asal sempat tanpa mempedulikan padanan warna dengan baju yang dipakai. Itu pun senget benget penuh renyuk sana sini.  Terkadang dia sendiri malu ingin membawa Lidya keluar berjalan dengannya.  Bimbang dikata teman-teman, bini tak pandai pasang badan, langsung tak sepadan dirinya, pengurus sebuah syarikat terkemuka.

Pulang dari kerja,  makanan yang dihidang Lidya juga sekadar untuk memenuhkan perut tapi langsung tidak memikat seleranya.  Setiap hari, telinganya disumbat dengan teriakan Lidya memarahi anak-anak, membebel itu dan ini sehingga dia naik bosan.  Layanan Lidya di dalam bilik juga sekadar boleh.  Sekadar melepaskan keinginan lelakinya saja.

“Dya tahu tak Dya selalu abaikan abang?  Terlalu asyik dengan anak-anak?  Sampai layanan pada abang macam hendak tak hendak?”  Aiman meraup mukanya.  Takut untuk memandang wajah Lidya.  Tapi kenyataan itu harus didedahkan.  Dia tidak mahu terus menerus menyimpannya lagi.  Kesalahan ini bukan terletak di bahunya seorang.

“Abang sedar tak kita dah ada anak dua orang?  Dua-dua tu masih kecik, masih perlukan perhatian dari Dya.”  Suara Lidya mula meninggi.  Terasa malu dihina sebegitu.  Betul, dia kurang menjaga penampilan dirinya, tapi tidaklah seteruk yang Aiman gambarkan.

“Memang.  Abang tahu tu.  Tapi takkan lah sampai diri Dya sendiri tak terjaga? Dya langsung tak jaga penampilan Dya.  Sudah lah abang pun Dya tak hiraukan, diri Dya sendiri pun tak terjaga.”  Aiman merenung anak mata Lidya.  Dada wanita itu kelihatan berombak, nafasnya juga kencang.  Menahan marahnya dari meletup.  Airmata Lidya dari tadi tidak berhenti-henti.

Dia membuang pandang pada cermin di hadapannya.  Memandang pada wajahnya.  Memandang pada pakaiannya.  Memandang pada susuk badannya.  Dia tiba-tiba tersedar kebenaran kata-kata Aiman.  Wajahnya kusam, dipenuhi jeragat.  Dia langsung tiada masa menelek mukanya sendiri sehinggalah pada malam ini.  Dia meraup wajahnya.  Menyapu airmata yang membasahi pipi.

Anak-anak yang sedang membesar sentiasa memerlukan perhatiannya.  Sekejap Along meminta dibuatkan susu, sekejap adik pula meminta didukung.  Awal-awal pagi lagi dia sudah sibuk di dapur.  Menyediakan sarapan pagi sebelum Aiman ke tempat kerja.  Sesudah itu, kain baju kotor pula dibasuh, disidai, rumah perlu disapu dan dibersihkan.  Tugasnya bertambah rumit apabila salah seorang anaknya itu jatuh sakit, perhatian yang lebih harus diberikan.  Rutin itulah yang diulang-ulangnya setiap hari sehinggakan dia tiada masa untuk memanjakan dirinya sendiri apatah lagi membelai Aiman.  Dia betul-betul letih saat anak-anak dibuai mimpi.  Dia tahu, dia sedar hakikat itu.  Dia memang akui, kurang menumpukan perhatian pada Aiman.

Terbayang-bayang di ruang matanya kelibat wanita yang ditemui bersama Aiman tadi.  Syafinaz.  Ya, gadis itu memang mempersona.  Tiada lelaki yang takkan terpikat dengan kecantikannya.  Jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan dirinya.  Tiba-tiba datang perasaan rendah diri dalam hatinya.

“Kalau betul Dya dah tak menarik lagi, kenapa hukum Dya macam ni?  Tak boleh ke abang bagi peluang untuk Dya betulkan keadaan?  Kenapa bila Dya serabai, selekeh, abang cari perempuan lain? Kenapa abang tak tegur Dya, sedarkan Dya supaya berubah? Kenapa tak bagi Dya peluang bang? Kenapa mesti curang pada Dya?”  Lidya separuh menjerit.  Dia menumbuk-numbuk dadanya berulang kali, seolah-olah menghukum diri sendiri atas kelemahannya.  Berkali-kali sehingga dia terjelepuk ke lantai.  Dia membongkokkan badannya, memeluk lututnya sambil menangis lagi teresak-esak.

“Kalau lah suatu hari nanti, abang diberhentikan kerja, abang susah,  abang bukan apa yang abang jadi sekarang ni, tiba-tiba waktu tu hati Dya berubah.  Pergi pada lelaki yang lebih bagus dari abang.  Apa abang akan rasa?”  Lidya merenung wajah Aiman yang kaku dari tadi.  Dia mengibas rambutnya yang terjuntai di dahi ke belakang.  Airmatanya disapu lagi, entah untuk yang ke berapa kali.

“Apa abang rasa?!”  Lidya separuh menjerit.  Geram melihat Aiman yang membisu.

“Kalau kekurangan Dya ni abang jadikan alasan untuk abang cari perempuan lain, satu hari nanti bila akhirnya ada kekurangan dalam diri abang, mesti abang tak kisah kalau Dya cari lelaki lain kan? Abang jangan ingat abang sorang jek yang boleh buat macam ni.  You would never know, how bad I could be.” Dya tersenyum.  Herot bibirnya jelas menunjukkan dia menyindir Aiman.  Dia masih duduk terpeleku di sudut bilik itu.  Membiarkan airmatanya terus tumpah. 

Mata Aiman mencerun tajam pada Lidya.  Terasa kebenarannya dengan kata-kata itu.  Selama ini dia langsung tidak pernah terfikir kemungkinan Lidya pula yang akan curang terhadap dirinya.  Tiba-tiba dia terasa takut.  Takut kehilangan seorang isteri yang baik.  Kehilangan ibu yang baik untuk anak-anaknya. Timbul perasaan belas dalam hatinya.  Timbul rasa simpati melihat Lidya yang dari tadi menangis tidak berhenti-henti.  Dia tahu dia telah melukakan hati Lidya.   Dia bingkas bangun, berjalan menghampiri tubuh Lidya yang menyembamkan wajahnya di balik lututnya.  Dia memaut bahu Lidya perlahan, memaksa dengan lembut kepala isterinya supaya bersandar di dadanya. 

Let me go.”  Lidya bersuara perlahan-lahan.  Tersekat-sekat.  Cuba meronta dari pelukan Aiman.  Semakin dia meronta, semakin kuat Aiman memeluknya.  Memegang kepalanya lebih erat bersandarkan dada Aiman.

No. Please don’t.” Aiman memeluk bahu Lidya semakin kuat.  Mendiamkan rontaan Lidya.  Dia memejamkan matanya.  Takut Lidya betul-betul mengotakan kata-katanya.  Meninggalkan dirinya. 

“Abang mintak maaf Dya.  Abang mintak maaf sebab lukakan hati Dya.”  Aiman memegang dagu Lidya, merenung ke dalam anak mata Lidya yang sembap itu.  Berkali-kali dia menyapu airmata Lidya yang tumpah.  Lidya masih kaku.  Dia langsung tidak memberi sebarang respon atas perbuatan Aiman.  Perlahan-lahan Aiman menggamit tangan Lidya.  Membawanya dekat ke bibir lantas dikucup belakang tapak tangan Lidya berkali-kali.

“Jangan tinggalkan Abang dan anak-anak.  I’m really sorry.”  Aiman memandang lagi ke anak mata Lidya.  Mengharap simpati dari isterinya.  Mengharap isterinya memberikan satu lagi peluang buatnya.  Dia cepat-cepat memeluk Lidya semula.

Lidya terkedu.  Hatinya mula terusik.  Marahnya mula sejuk.  Sedikit demi sedikit.  Ayat ‘Jangan tinggalkan Abang dan anak-anak’ mula mengusik tangkai hatinya.  Fikirannya mula terbayang-bayang wajah anak-anaknya.  Kemudian muncul pula Aiman sedang menggamit Syafinaz sambil mentertawakannya.  Dia sakit hati.  Dia menarik nafas sedalam-dalamnya.  Membalas pelukan Aiman seerat-eratnya.

“Abang tinggalkan perempuan tu.”  Lidya menyembamkan wajahnya ke bahu Aiman.  Pelukannya jadi semakin erat.

Aiman terkedu.






Syafinaz melepaskan sudu dan garfu dari tangan ke pinggannya.  Dia menoleh, memandang pada pintu apartment.  Mendengar sekali lagi bunyi ketukan pintu.  Dia bangun perlahan-lahan menuju ke pintu.  Sedikit marah kerana bunyi ketukan itu membantutkan seleranya untuk menjamu selera.  Lambat-lambat dia memulas tombol pintu.  Sebaik pintu dibuka, dia sedikit terkejut.  Berfikir-fikir siapakah gerangan perempuan yang berdiri di hadapannya itu.

“Tinggalkan Aiman.” Syafinaz mengerutkan keningnya.  ‘Oh, ni bini Aiman.’  Getus hatinya.  Dia hampir lupa akan wajah isteri Aiman yang pertama kali dilihatnya sewaktu mereka ‘beraksi’ di restoran dua malam yang lepas.

“Ok.”  Syafinaz membalas ringkas.  Tangannya mencapai daun pintu, ingin menutupnya.  Tapi dihalang dengan tangan Lidya.

“Ok?  Macam tu jek?  Kau ingat aku nak percaya?”  Lidya menjegilkan matanya.  Dia tahu Syafinaz bersikap acuh tak acuh.

“Habis tu kau nak suruh aku buat apa lagi?  Melutut depan kau mintak maaf?  Hei, bukan aku yang terkejar-kejarkan Aiman tu.  Dia yang tergila-gilakan aku.  Kau suruh lah laki kau tu tinggalkan aku.”  Syafinaz menempelak.  Bengang dengan tindakan Lidya yang terus-terus menyerang.  Dia membatalkan hasratnya untuk menutup pintu.  Perempuan di hadapannya itu belum kenal lagi siapa dirinya.

“Kau ni cantik, bergaya, seksi.  Tapi bodoh.  Laki orang jugak kau nak kebas.”  Lidya memandang susuk tubuh Syafinaz dari atas ke bawah berulang kali.  Gadis itu memakai singlet berwarna hitam, menampakkan dadanya yang montok, sendat seolah-olah ingin terkeluar segala isinya.  Dia memakai seluar pendek separas peha, menampakkan kulitnya yang putih melepak.  Dengan gayanya, sesiapa yang memandangnya dari belakang, orang takkan tahu dia sebenarnya adalah seorang wanita yang beragama Islam.  Lidya menggeleng di dalam hati.

“Laki kau tu yang bodoh.  Pantang tengok perempuan cantik macam aku.  Tapi memang patut lah.  Tengok kau ni, aku pun tak selera.”  Syafinaz tersenyum sinis.  Isteri Aiman itu ditenung dari atas ke bawah.  Mengulangi pula perbuatan Lidya yang dari tadi melihatnya dari atas ke bawah.  Dia tahu isteri Aiman itu agak kolot orangnya.  Aiman selalu mengadu perihal isterinya itu kepada dirinya.  Tentang pakaian isterinya yang ketinggalan zaman, tentang isterinya yang tidak pandai melayan dirinya, pendek kata segala-gala tentang Lidya, ada dalam koceknya.  Sekarang Lidya sudah terpacak di hadapannya, dan Lidya betul-betul seperti yang digambarkan Aiman selama ini.  Langsung tiada daya tarikan.  Tidak sepadan dengan Aiman yang kacak bergaya, di samping jawatannya yang kukuh di dalam syarikat.

“Kurang ajar mulut kau kan?”  Lidya mula panas hati.  Dia menolak tubuh Syafinaz, mendorong gadis itu masuk ke dalam rumah, sekaligus membolehkan dirinya juga masuk ke dalam rumah itu.  Syafinaz terkial-kial menepis tangan Lidya yang menolak bahunya.  Mata Lidya meliar ke segenap rumah.  Sehinggalah matanya terhenti pada potret Aiman bersama Syafinaz yang terletak di meja sisi sofa.  Hatinya kembali panas, darahnya kembali menyirap ke kepala.

“Buruk-buruk aku pun, tak lah semurah kau!  Ni, laki siapa ni?  Hodoh-hodoh aku pun, aku tak ambik laki orang lain!”  Lidya menjerit ke arah Syafinaz.  Niatnya tadi, dia ingin berbincang dengan baik dengan Syafinaz supaya meninggalkan Aiman.  Tapi dengan jawapan-jawapan yang menyakitkan hatinya keluar dari mulut Syafinaz, dia jadi panas hati.  Perempuan itu benar-benar mencabar kewibawaannya.  Sudahlah suaminya dikebas, maruah dirinya juga dipijak-pijak.  Langsung tiada riak bersalah terpancar di wajah Syafinaz.

“Kau dah habis cakap?  Kalau dah, sila keluar.  Aku tak pernah jemput perempuan meroyan macam kau ni masuk rumah aku.  Pergi kepit laki kau kat rumah sana.  Pesan kat dia, jangan gatal-gatal cari aku lagi.”  Syafinaz menuding jarinya ke pintu,  mengarah Lidya untuk keluar dari rumahnya.

“Meroyan kau cakap aku? Ni meroyan kau!”  Lidya bengang.  Mulut Syafinaz semakin lancang.    Lidya mengibas bingkai gambar Aiman dan Syafinaz yang dipegangnya ke wajah Syafinaz.  Syafinaz yang terkejut dengan tindakan Lidya tergamam.  Dia lambat bertindak balas, dan nyata libasan Lidya tadi mengena di dahinya.  Syafinaz meraba-raba dahinya.  Terasa cairan hangat mula mengalir, merentasi keningnya.  Dia menyapu dan melihat darah di tapak tangannya.  Hatinya mula panas.  Dia marah Lidya bertindak sewenang-wenangnya.

Segera dia merapati Lidya yang dari tadi tercegat memerhatikannya.  Dia mencengkam tudung yang dipakai Lidya, berulang kali dia cuba menampar Lidya.  Lidya sedaya upaya cuba mengelak, menghalang Syafinaz dari terus menerus menyerangnya.  Kuku Syafinaz yang panjang dan tajam terasa menikam-nikam wajahnya.  Sesekali dia menjerit minta dilepaskan.  Sempat lagi tangannya menggapai hujung rambut Syafinaz dan menariknya sekuat hati.  Kedua-duanya saling jerit menjerit sehinggakan langsung tidak menyedari mereka berdua sudah pun  bergumpal di atas sofa.

“Sudah! Sudah!”  Terasa dua tangan tegap memeluk pinggang Lidya.  Tudungnya sudah terbang entah ke mana.  Sedar-sedar Aiman sudah memeluk dirinya, menjarakkan dirinya dari terus bergumpal dengan Syafinaz.  Syafinaz pula sudah terjelepuk jatuh di sisi sofa ditolak Aiman dari terus-terus menyerang Lidya.  Tiba-tiba dia terasa hiba.  Sayu hatinya lelaki yang disayanginya selama ini, mencampak dirinya ke tepi dan mengutamakan wanita lain, di depan matanya sendiri.

Aiman cemas.  Dia memeluk Lidya yang dari tadi masih meraung.  Tangisan Lidya yang menggila tenggelam dalam pelukannya.  Dia memandang ke arah Syafinaz.  Sedikit terkaku melihat wanita kesayangannya itu bermandi dengan darah dari luka di dahinya.  Apakan daya, saat itu, dia harus lebih mengutamakan Lidya.  Gerak hatinya tadi betul tentang tindakan Lidya yang meminta izin dengannya untuk keluar rumah membeli barang-barang dapur.  Selama perkahwinan mereka, Lidya jarang hendak membeli barang dapur bersendirian, selalunya mereka akan keluar membeli belah bersama-sama.  Bila dia katakan mahu keluar rumah membeli barang dapur, Aiman mula syak ada sesuatu yang tidak kena.  Malam tadi sewaktu Lidya mengajukan soalan tentang hubungannya dengan Syafinaz, dia tahu Lidya marah dengan jawapan acuh tak acuhnya.

Penuh hati-hati dia mengikuti pergerakan kereta Lidya dari belakang.  Dan saat kereta isterinya membelok ke perkarangan apartment Syafinaz, dia sudah pun membayangkan yang buruk-buruk di mindanya.  Dan betul, sewaktu dia sampai ke muka pintu dia dapat melihat dengan jelas Syafinaz sedang bergasak bersama Lidya di atas sofa.  Cepat-cepat dia meredakan keadaan.

“Ni, lelaki yang kau suka ni, akhirnya balik ke tangan aku jugak lah.  Apa yang kau dapat? Cantik tapi bodoh pun tak guna!  Bohsia!”  Sempat Lidya menunjal kepala Syafinaz, memaksa badannya terdorong ke belakang.  Dia masih kaku di situ, membiarkan airmatanya terus mengalir.  Rambutnya yang kusut masai dibiarkan.  Dia hanya kaku melihat Aiman memimpin isterinya, berjalan keluar dari rumahnya.

Syafinaz masih menangis.  Perlahan-lahan dia bangun, merapati sebuah cermin besar yang tergantung di ruang tamu rumahnya.  Dia menatap wajahnya.  Bibirnya pecah, dahinya luka.  Rambutnya kusut menggerbang. 

“Arghhhh!”  Syafinaz menjerit sekuat-kuat hati lantas menumbuk cermin di hadapannya.  Dia ternyata tewas dalam satu lagi episod percintaannya.







Secebis kata : Terima kasihhhhh sangat2 buat semua yang sudi tinggalkan komen pada entri yang lepas. Lega sangat2 AA bila tau ramai silent reader, sekurang2nye takde la AA rase syok sendiri menulis tapi takde sape yang baca kan?  Sayangggggg korang sume ketat-ketat!


Mintak maaf sangat2 semalam tak dapat nak up bab baru SKDC..semalam AA sibuk sikit, al maklum lah, nak gaji dan nak raya ni kan...


SKDC akan direhatkan selama dua minggu sempena hari raya ni tau.  AA akan up entri baru Insya Allah pada Isnin 19/8/2013.  Kita bagi peluang Airis anyam ketupat dan Rayyan main kejar-kejar tangkap ayam tuk juadah aidilfiltri nanti..hahaha...


Akhir kata, SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua pembaca SKDC dari AA sekeluarga!

Monday 22 July 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 10











Airis membuka matanya perlahan-lahan.  Terasa berpasir.  Perit.  Dia mencapai telefon bimbit hadiah bapa mertuanya di dalam kocek seluar.  Matanya masih sukar untuk dicelikkan.  Ditekan butang unlock dan terpampanglah waktu pada ketika itu di skrin telefon bimbitnya.

6.30! Airis membeliakkan biji matanya.  Terkejut.  Sangkanya jam masih lagi dalam lingkungan 4 atau 5 pagi.  Kebiasaannya pada jam itulah dia bangun dan bergegas menjemput Kak Inah di rumahnya dan terus menuju ke warung.  Usai sampai, Kak Inah biasanya akan terus menyiapkan rencah untuk menggoreng nasi lebihan semalam, mee dan juga bihun.  Sebaik siap, rencah itu akan ditumis Airis sementara dia akan menggoreng telur ayam dan ikan bilis untuk dijadikan hidangan sampingan.  Setelah itu, dia akan menggoreng karipap, keria dan donut untuk hidangan kuih muih pula.  Selalunya untuk hidangan kuih muih, akan terlebih dahulu disiapkan sebelum mereka menutup warung pada jam 7.00 petang.  Dan pada pagi keesokannya, Kak Inah hanya perlu menggoreng atau mengukusnya sahaja.

Tepat jam 6.30 pagi, semua hidangan sarapan sudah siap tersusun di atas meja.  Pada masa itu, mereka akan mengambil giliran untuk menunaikan solat Subuh sementara salah seorang lagi melayan pekerja-pekerja kilang yang tiba awal untuk bersarapan sebelum masuk kerja pada pukul 8.00 pagi.  Waktu itu juga kebiasaannya ramai ibu bapa atau para guru yang singgah membeli juadah sarapan untuk anak mereka sebelum pergi ke sekolah. Penduduk kampung kebanyakannya memang gemarkan air tangan Airis dan kerana itulah warung Mak Mah tidak pernah putus dengan pelanggan.

Airis bingkas mengalihkan selimut yang menutupi badannya.  Dia menjeling sekilas ke arah katil, melihat Rayyan yang masih lagi berdengkur.  Cepat-cepat dia ke bilik air, mengambil wuduk dan menunaikan solat Subuh.  Saat mengaminkan doanya, dia terpandang selimut yang terperosok di sofa tempat dia tidur tadi.  Selimut?  Dia segera memandang ke arah Rayyan.  Melihat lelaki itu sedang mengerekot memeluk bantal peluk tanpa selimut.  Airis tersenyum.  Mengertilah dia kini kenapa selimut yang dirampas Rayyan malam tadi berada di atas sofanya.  Dan mengertilah juga dia kenapa tidurnya langsung tidak terganggu oleh sejuk beku penghawa dingin.

Airis bingkas bangun, menanggalkan telekungnya lantas melipat sejadah.  Dia berdiri di sisi Rayyan yang sedang nyenyak tidur.  Jam ketika itu sudah 6.50 pagi.  Airis resah.  Ingin mengejutkan Rayyan tapi dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya.  Terasa janggal tiba-tiba terpaksa mengejut seorang lelaki asing dalam hidupnya.

Airis berjalan ke hulur ke hilir, berfikir-fikir cara untuk mengejutkan Rayyan.  Sesekali dia merengus. Tiba-tiba datang akalnya untuk menutup suis penghawa dingin.  Dia mencapai alat kawalan penghawa dingin.  Membelek belek setiap butang yang terdapat pada alat kawalan itu.  Buntu.  Dia sendiri tidak tahu butang mana yang harus ditekan untuk menutup penghawa dingin itu.  Dua, tiga kali menekan, akhirnya penghawa dingin itu senyap.  Dia memerhati susuk tubuh Rayyan.  Akhirnya, Rayyan berkilas tubuh.  Membuka matanya perlahan-lahan. Melihat Airis tercegat di hadapannya.

“Eh, kau siapa?”  Matanya dijegilkan.  Kepalanya ditegakkan.  Memerhati Airis yang tercegat dari tadi.

“Bengong!  Aku lah!  Bangun, solat!”  Airis bercekak pinggang.  Pelik melihat telatah lelaki itu yang tampak terkejut dengan kehadirannya.  ‘Lupa lah tu dah kahwin!’  Airis merengus di dalam hati.

Rayyan menutup kembali matanya.  Terasa kelakar bertanyakan soalan tadi kepada Airis.  Dia betul-betul lupa dirinya sudah berkahwin.  Dia juga lupa gadis di hadapannya itu adalah isterinya. 

“Eh, kenapa panas ni?”  Rayyan kembali bingkas.  Merenung susuk Airis yang sedang membuka tingkap biliknya.

“Kalau tak tutup aircond tu, kau tak reti nak bangun.  Dah lah, bangun.  Dah nak habis waktu dah ni.”  Airis menyisir pula rambutnya.  Dia bercadang untuk turun ke tingkat bawah, berkenalan dengan seisi keluarga dan membantu menyediakan hidangan sarapan pagi. 

Rayyan merengus kasar.  Geram dengan sikap Airis.  Dia bingkas bangun.  Matanya melingas seketika pada jam di dinding.  6.50 pagi.  Cepat-cepat dia mengatur langkah ke bilik air ingin mengambil wuduk.  Sedikit lega kerana Airis bertegas mengejutnya.  Kalau tidak, mesti dia terlepas Subuh.  Mungkin terlalu kepenatan dengan majlis di rumah Airis sejak dari hari Sabtu, ditambah dengan sedikit ‘drama’ bersama Airis sebelum masuk tidur, dia sedikit liat untuk bangun pagi itu.

Usai solat, dia terus turun ke tingkat bawah.  Perutnya sudah berbunyi minta diisi.  Selalunya pada jam ini dia sudah pun bersiap untuk ke pejabat.  Cuti untuk majlis perkahwinannya dilanjutkan sehingga ke hari ini.  Cadangnya hari ini dia hanya mahu bersantai saja di rumah.  Merehatkan badan sebelum kembali dengan urusan-urusan pejabat pada keesokan hari.

Morning Ma.”  Rayyan menegur mamanya yang sedang bersarapan bersama Airis dan Papanya.  Semua mata tertumpu padanya.  Cepat-cepat dia melarikan pandangan

Morning.  Makan sekali dengan kami.” Datin Marissa mencapai sebiji pinggan, mencedokkan sesenduk dua nasi goreng yang disediakan pembantu rumah mereka, Mak Intan.  Rayyan menarik kerusi lantas duduk menghadap Airis.  Gadis itu menundukkan wajahnya.  Menguis-nguis nasi di hadapannya.  Enggan memandang dirinya.

“Mama dengar Airis ni pandai memasak orangnya.  Betul ke?”  Airis mengangkat wajahnya, memandang ke arah suara itu.  Mata Datin Marissa galak memandangnya.  Menanti butir jawapan dari mulut Airis.

“Tak lah ma...”  Suara Airis terhenti.  Menelan air liurnya.  Terasa janggal memanggil wanita itu dengan panggilan mama.  Satu panggilan yang sangat asing dalam hidupnya.

“Biasa-biasa jek mama.  Takde lah pandai sangat.”  Airis menyambung bicara sambil membalas senyum ibu mertuanya. 

“Mana ada biasa-biasa Ris.  Hari tu masa majlis kat rumah Airis tu, orang kampung semua cakap Airis pandai masak.  Untung kami berdua dapat buat Airis jadi menantu kami.”  Dato’ Harun tiba-tiba mencelah.  Wajah Airis dipandangnya.

“Kalau macam tu, hari ni Airis masak.  Nanti Mama dengan Mak Intan tolong Airis kat dapur.”  Mata Datin Marissa kian galak.  Terbayang-bayang di dalam kepalanya, asam pedas anak ikan sembilang, ikan masin bulu ayam dan taugeh tumis bersama tauhu.  Pasti berpinggan-pinggan nasi dia bertambah waktu makan tengahari nanti.  Dan kali ini, dia ingin melihat sendiri kehebatan menantunya beraksi di dapur. Merasa sendiri air tangan menantunya yang acapkali dipuji suaminya sendiri.

Airis tergamam, terasa butir-butir nasi tadi bertukar menjadi batu melalui anak tekaknya.  Terasa perit dan kesat saat mendengar permintaan ibu mertuanya tadi.  Masak?  ‘Ishhh..kalau kat warung dengan rumah Mak Mah, pandai lah aku.  Ini dekat rumah mak mertua, boleh ke aku ni masak?’  Airis meneguk liur.  Dadanya berdegup. 

“Bahan-bahan semua dah ada ke mama?  Kalau ada, nanti kejap lagi Airis masakkan.  Mama nak Airis masak apa?”Airis mengukir senyuman, menyembunyikan gundahnya.  Memandang tepat ke dalam mata wanita itu.

“Bahan kering macam bawang, lada, kunyit semua tu dah ada kat dapur.  Bahan basah yang takde.  Mama ingat mama nak makan ikan sembilang masak asam pedas la.  Dah lama mama tak makan asam pedas.  Dekat drawer dalam peti ais tu ada ikan masin bulu ayam. Hari tu kawan papa belikan ikan masin tu tak habis-habis sampai sekarang.  Mama nak suruh Mak Intan gorengkan pun asyik lupa jek.  Untuk sayur, mama nak makan taugeh tumis jek dengan tauhu.  Hmmm...dah cukup lah tu untuk hidangan tengahari ni.”  Petah mulut Datin Marissa bercakap.  Memandang Airis tanpa berkelip.

“Ray, nanti bawak Airis pergi pasar tani.  Boleh jugak Ray tu kenal-kenal pasar tu apa.”  Dato’ Harun memandang ke arah Rayyan.  Menanti reaksi anak lelaki sulungnya itu.

“Eh, selalu kan yang beli barang dapur driver kita.”  Rayyan cepat-cepat membantah.  Geram dengan tindakan melulu ayahnya.

“Papa ada meeting hari ni.  Kejap lagi Papa dah nak gerak.  Kalau pergi pasar dulu, lambatlah Papa nanti.  Lagipun Ray pun cuti kan hari ni, apa salahnya teman Airis pergi pasar.  Siapa lagi yang nak teman dia kalau tak Ray.”  Dato’Harun cepat-cepat berdalih.  Sengaja dia ingin anaknya keluar bersama Airis.  Memberi ruang dan masa untuk mereka berdua menyesuaikan diri masing-masing.  Memberi peluang kedua-dua mereka saling mengenali sifat dan sikap antara satu sama lain.





“Turunlah! Dah sampai.”  Rayyan memandang ke arah Airis yang duduk di sisinya.  Menanti gadis itu membuka pintu kereta.

“Aku? Sorang-sorang?”  Airis menjegilkan matanya.  Jarinya dituding ke mukanya.

“Eh, tak lah.  Ada satu bas lagi nak teman kau masuk pasar tu.  Kejap lagi sampai lah bas tu.”  Rayyan mencebik-cebikkan bibirnya.  Geram melihat Airis yang terhegeh-hegeh dari tadi.

“Eh, takkan aku nak pergi masuk dalam tu sorang-sorang?  Ni, kau tengok list ni.  Ni semua stok bahan masak untuk seminggu tau.  Takkan aku nak angkat semua benda ni sorang-sorang?”  Airis mengunjuk nota kecil yang dikeluarkan dari koceknya ke muka Rayyan. 

“Tu, kau tengok tu.  Lantai dia basah, lecak sana sini.  Tu lalat banyak, mesti busuk pasar ni.  Eeee..tak nak lah aku!”  Rayyan mengangkat bahu, menggeleng-gelengkan kepalanya.  Seumur hidupnya, ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke pasar.  Kali pertama sewaktu kecil dahulu, itu pun hampir biru mukanya menahan nafas dari menghirup bau pasar yang tidak disenanginya.  Sejak itu, dia seringkali mengelak setiap kali diajak ke pasar.  Dia juga pening melihat susun atur pasar yang berselerak.  Terasa semuanya mahu dikemas.

“Kalau kau tak nak, jom kita balik.  Tak kuasa aku nak angkat barang banyak-banyak ni sorang-sorang.”  Airis melipat nota yang dipegangnya lantas digenggam. 

“Ye la, ye la.  Jom lah aku teman!  Mengada-ngada betul lah.”  Rayyan separuh menjerit.  Lambat-lambat dia membuka ikatan tali pinggang keledar di sisi pinggangnya.  Airis tersengih.  Lucu melihat Rayyan yang tak henti mengomel.  Tapi yang penting, lelaki itu menuruti kehendaknya.  Airis melajukan langkah sebaik keluar dari kereta.  Dia membelek senarai barang-barang yang ditulisnya tadi setelah berbincang dengan Mak Intan sebelum bergerak ke pasar.  Sesekali matanya meliar melihat sekeliling pasar. 

“Aku cari ayam, ikan, sotong dengan udang.  Kau cari sayur boleh?  Cepat sikit kita boleh balik.  Lagi pun dekat area sayur tak lecak, bau pun tak teruk macam kt area ikan.  Nanti dah siap, kau tunggu aku kat kereta.”  Airis memandang wajah Ray.  Merenung pada kerut-kerut di dahi Ray.

“Kau nak suruh aku cari apa?”  Ray bersuara malas.

“Kobis, kangkung, taugeh, carrot, putik jagung dan tomato.  Esok-esok boleh aku masak tomyam campur.”  Airis mengukir senyum.  Terbayang-bayang di kepalanya keenakan tomyam campur air tangannya.  Sudah agak lama juga dia tidak memasak tomyam campur.

“Kau tahu tak sayur-sayur yang aku cakap tu?”  Airis sengaja menduga.

“Tahu lah.”  Rayyan menjawab sepatah.

“Ingat tak apa yang aku cakap tadi?”  Airis melihat ke dalam mata lelaki itu. Khuatir Rayyan terlupa.

“Ingat lah.”  Rayyan pantas beredar, meninggalkan Airis.  ‘Ek eleh mamat ni!’  Airis merengus.  Perlahan dia mengatur langkah, memerhati setiap jenis ikan yang bersidai di atas meja.  Pelbagai jenis ikan, sotong, udang yang dijual.  Semuanya segar-segar dan dijual pada harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan yang terjual di kedai runcit.  Sesekali tangannya membelek-belek ikan, meneliti insangnya, memicit-micit perut ikan sebelum memasukkan ke dalam bakul untuk ditimbang.  Dia membelek pula ayam, udang dan sotong. 

Dia bergegas pula ke bahagian sayur-sayuran, memilih serai, daun kesum, belacan dan sebungkus lada kecil.  Diambil segenggam asam gelugur dan dimasukkan ke dalam plastik.  Setelah yakin semua barang-barang dalam senarai sudah pun dibeli, dia bergegas menuju ke kereta.  Bimbang Rayyan sudah terlalu lama menunggunya.

“Ingatkan kau nak duduk sini terus tadi.”  Rayyan memerli sebaik melihat kelibat Airis.  Gadis itu menjinjing sebeban beg plastik di kiri dan kanan tangannya.  Cepat-cepat dia membukakan bonet kereta dan menanti gadis itu meletakkan barang.

“Ni sayur apa?”  Airis mengeluarkan seikat sayur bayam merah dan mengunjuknya di hadapan Rayyan.

“Kangkung lah.”  Rayyan menjawab.  Penuh keyakinan.

“Tadi kemain eksen lagi kau kan?  Kangkung dengan bayam pun tak kenal.”  Airis tersengih.  Terasa tawanya ingin meledak keluar melihat keyakinan lelaki itu menjawab ‘kangkung’ pada sayur bayam yang ditunjukkan.

“Eh kangkung lah tu.”  Rayyan bertegas.  Geram melihat senyum sumbing di bibir Airis.  Malu sebenarnya.  Dia lupa di bahagian sayur kebiasaannya tidak diletakkan tanda nama.  Sudahnya, dia main agak saja sayur yang ada tadi.  Tembakannya ternyata tidak mengena kali ini.

“Umur dah tua dah, sekolah bukan main tinggi, sijil tebal berlapis-lapis tapi bengap.  Sayur pun tak kenal.”  Rayyan mula bengang.  Terasa dirinya dibodohkan Airis hanya kerana seikat sayur.

“Hei, siapa kata aku tak kenal sayur? Ni, ni tomato kan? Ni serai, ni asam keping.  Ni.....”  Kata-katanya terhenti.  Matanya memandang pada seikat sayur.  Dibawa ikatan sayur            itu dekat ke hidungnya lalu dicium.  Sebaik dihidu bau dari sayur itu, dia mencampaknya.   Busuk.  Baunya seakan-akan bau seekor kumbang. 

“Ha, apasal diam?  Kenapa campak?  Tu apa yang kau campak tu kalau kau kenal sangat?”  Airis menanti jawapan dari lelaki yang berdiri di sisinya itu.  Tahu lelaki itu tiada jawapan untuk soalannya.

“Aku tahu sayur ni, tapi aku lupa nama dia.”  Rayyan berbohong.  Dia betul-betul tidak tahu sayur apakah yang diciumnya sebentar tadi.

“Tu lah, orang cakap bengap tak boleh terima.  Ni namanya daun kesum.  Ni bukan sayur.  Ni penambah rasa dalam asam pedas atau pun laksa.  Lain kali rajin-rajin pergi pasar ye pak cik?”  Airis tersengih lagi.  Cepat-cepat dia menutup bonet kereta, kemudian membuka pintu kereta lalu masuk ke dalam.  Bimbang marah Rayyan kian memuncak.  Rayyan mengetap bibir,  geram melihat Airis yang galak mentertawakannya.  Dia tahu Airis mengejeknya.  Dari senyum sumbingnya.  Dari herot bibir gadis itu.

Airis membuang pandang ke luar tingkap.  Membiarkan Rayyan yang dari tadi senyap memandu.  Rayyan memberhentikan kereta sebaik tiba di hadapan sebuah kedai runcit.  Lelaki itu keluar dari kedai dan menuju masuk ke dalamnya tanpa mengajak Airis.  Sepuluh minit kemudian, dia kembali dan menghulurkan sebungkus plastik kepada Airis.  Airis membelek isi di dalamnya lantas tersenyum.

“Yang warna merah tu kau punya, yang warna biru tu aku punya.  Jangan nak pakai aku punya lagi dah.”  Rayyan meneruskan pemanduan membiarkan Airis membelek berus gigi di dalam beg plastik yang dihulurnya tadi. 

“Nanti aku suruh technician datang pasangkan night lamp kat bilik.  Tak payah nak bergaduh tutup bukak lampu macam orang gila.  Sekarang ni jom kita pergi beli selimut pulak.  Tak payah nak gaduh tarik-tarik selimut macam budak-budak.”  Airis terpempan.  Teringat semula peristiwa malam tadi bersama Rayyan.  Dia sendiri tidak terfikir mencari jalan penyelesaiannya tapi lelaki itu sudah pun mencari jalan.  Dia menoleh sekilas ke wajah lelaki itu.  Merenung jauh ke dalam anak mata lelaki itu.  Cuba meneroka isi hati lelaki itu, adakah sama getarannya seperti getaran dalam hatinya pada saat itu? 



Ikan sembilang yang dilumur oleh Mak Intan dengan asam jawa tadi segera dibilas.  Kemudian ikan tadi dimasukkan ke dalam kuah asam pedas yang sedang menggelagak di atas api dapur.  Daun kesum yang sudah pun dibasuh bersih dimasukkan pula selepas itu.  Airis pantas memasukkan secubit garam, gula dan serbuk perasa lantas merasanya.  Puas hati dengan hasilnya, Airis menutup api dan menutup periuk.  Dia menghampiri Datin Marissa yang dari tadi tekun menyiang taugeh.  Ditarik kerusi di sisi ibu mertuanya perlahan.  Dia menarik nafas, kepalanya ligat memikir ayat sesuai pembuka bicara dengan wanita itu.

“Dah siap Ris?”  Wanita itu memandangnya.  Wajahnya yang lembut itu bertambah cantik disulami dengan senyumannya yang manis.  Airis sukar menduga watak sebenar ibu mertuanya itu.  Adakah seperti yang digambarkan dalam novel-novel atau pun cerita-cerita melayu di kaca televisyen yang selalunya garang, tidak berperikemanusiaan dan suka mendera menantu?  Lebih-lebih lagi menantu tak diundang seperti dirinya.  Sesekali timbul rasa tidak keruan,bimbang dirinya tidak disukai wanita itu.  Sudahlah dia dibenci ibu dan kakak tirinya, terpaksa berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya, dan kini berhadapan dengan ibu mertua yang tidak menyukainya.  Apa lagi perkara malang yang harus dihadapinya?

“Dah ma.”  Airis membalas senyuman ibu mertuanya.  Sedikit lega kerana wanita itu membuka bicara menegurnya dahulu.  Tangannya ligat meracik bawang merah, bawang putih bersama cili merah.  Mak Intan pula sibuk menyiapkan minuman manis untuk dihidang bersama juadah tengahari itu nanti. 

“Macam mana tadi pergi pasar dengan Ray? Dia ok?”  Datin Marissa memandang Airis tapi tangannya tetap ligat menyiang taugeh.  Airis cuma tersengih.  Ragu-ragu untuk menjawab.  Bimbang tersalah cakap.

“Kalau Ris nak tahu, Ray tu tak suka pergi pasar tau.  Kalau Mak Intan ajak dia, memang bertuah lah dia nak ikut.  Dari kecik-kecik lagi tau.  Sensitif betul dia kalau ajak pergi pasar.”  Tawa mereka sama-sama berderai.  Bergema memenuhi ruang dapur itu.

“Kira tadi berjaya jugak lah Airis bawak dia pergi pasar ye?”  Airis masih mengukir senyum.  Sisa tawanya masih ada.

“Lagi pun Papa dah suruh. Nak ke tak nak ke, terpaksa jugak lah dia.”  Datin Marissa menyampuk.  Cuba mewujudkan lagi suasana mesra bersama menantunya itu.

“Papa cakap Airis nak sambung belajar ye?” Datin Marissa menyambung bicara. 

“Ha ah ma.  Tapi tak tahu lagi nak ambik dekat U atau kolej mana.  Course apa pun Airis masih fikirkan lagi.”  Sebaik selesai meracik rencah tumisan untuk sayur taugeh, Airis bangun.  Mencapai semangkuk ikan masin bulu ayam lantas membasuhnya dengan air paip.  Kuali dipanaskan dan minyak masak dituang.  Setelah minyak panas, rencah tumisan tadi ditumis bersama sedikit ikan bilis halus.  Setelah naik bau, taugeh yang sudah pun dibasuh digaul bersama-sama tauhu penuh hati-hati supaya tauhu itu tidak hancur jika dia menggaulnya terlalu kuat.  Siap dengan hidangan taugeh, dia menggoreng pula ikan masin yang dibasuhnya tadi.

“Mama rasa Airis kena ambil course yang berkenaan dengan makanan kot.  Food Service, Hotel Management atau Cullinary Arts.  Mama tengok Airis berbakat memasak.  Kalau nak belajar ni, mama rasa lebih baik buat sesuatu yang memang kita minat dan kita suka.  Baru kita rasa seronok, rasa teruja nak belajar lebih banyak lagi.  Setahu mama, kalau ambil diploma dalam bidang-bidang makanan ni, pelajar akan didedahkan bukan saja resepi dari Malaysia tapi dari negara barat jugak.  Jadi, pengetahuan tentang masakan kita akan jadi lebih meluas.  Dulu masa zaman-zaman mama study, ada roomate mama ambil course Hotel Management, bila tiba subjek memasak, setiap kali dia balik dari kitchen, ada jek benda yang dia tapau untuk kami satu bilik.  Masa tu baru lah mama kenal lasagna, chicken pie, carbonara spaghetti, croissant, macam-macam lah.  Seronok tengok dia pandai masak benda-benda yang selama ni kita cuma tengok dalam majalah atau kat tv jek tau.  Sekarang ni dia dah bukak restaurant dengan bakery shop dah kat kampung dia.  Sebab course-course ni bukan cuma tumpu pada masakan semata-mata, tapi ajar jugak business, marketing, so bila kita grade, kita boleh aplikasikan dalam hidup kita dan jadikan kerjaya pulak.”  Panjang lebar penerangan dari ibu mertuanya itu.  Airis cuma terangguk-angguk dari tadi.  Jauh dari sudut hati, dia gembira ibu mertuanya itu ternyata seorang insan yang baik.  Mengganggap dirinya seperti anak sendiri, boleh berbual seperti seorang ibu.  Dia memanjat kesyukuran tidak terhingga melihat bapa dan ibu mertuanya menerimanya dengan baik.

Mak Intan segera menuang lauk ikan sembilang asam pedas tadi ke dalam mangkuk.  Airis pula membawa hidangan satu persatu ke meja makan.  Sempat dia menjeling sekilas pada jam yang terlekat di dinding.  1.00 petang.  Sedang elok untuk masa menjamu hidangan tengahari.

Mak Intan yang tadinya menghilang, muncul semula bersama Rayyan dan Dato’ Harun di sisi.  Cepat-cepat Airis menyusun pinggan dan cawan di atas meja.  Sesudah itu, dia menuang pula nasi ke dalam pinggan dan air ke dalam cawan.  Siap semuanya, dia duduk di sisi ibu mertuanya, bertentangan suaminya, Rayyan.  Dia tahu, dari tadi Rayyan  begitu khusyuk memandang dirinya.  Sengaja dia pura-pura tidak nampak.

“Mama puas hati betul lah dengan masakan Airis.  Sedap!”  Datin Marissa tersenyum lebar.

“Itu lah you.  Kan I dah cakap dari hari tu, menantu you ni pandai masak.  You tak nak percaya.  Tengok sekarang ni, bertambah-tambah you makan.”  Dato’ Harun tergelak. Gembira hatinya melihat isterinya berselera makan.  Tambah bangga, juadah untuk mereka tengahari itu disediakan oleh menantunya sendiri.

“Macam ni Mak Intan kena letak jawatan ni.”  Terhambur lagi ketawa dari mereka sekeluarga.  Senang hati Airis melihat keakraban keluarga itu pada saat ini.  Dia sendiri sudah lama tidak makan sekeluarga seperti itu sejak ketiadaan arwah ibunya.

“Jadi Airis nak sambung belajar?”  Dato’ Harun bersuara, memandang ke wajah Airis yang dari tadi tersenyum.

“Jadi.”  Airis membalas pendek.  Terasa sedikit pelik dengan pertanyaan bapa mertuanya itu sedangkan antara dia dan bapa mertuanya, sudah pun bersetuju dengan perjanjian yang dibuat sebelum dia berkahwin.

“Sementara tunggu dapat offer, Airis boleh kerja dengan Jasmin dekat butik dia.  Nanti Papa suruh Ray call dia tanyakan ada kerja kosong tak.”  Rayyan tersedak.  Cepat-cepat dia meneguk air di hadapannya.  Terkejut dengan permintaan Papanya.

"Dari Airis tak buat apa-apa, boleh jugak hilangkan bosan kalau kerja kat butik nanti.  Sementara ni cari pengalaman sikit-sikit.  Offer dari UiTM pun dah terlepas kan tarikh daftarnya?"  Dato' Harun bertanya lagi sambil mulutnya rancak mengunyah.  Berselera dia makan tengahari itu.  Airis sekadar mengangguk, masih lagi ligat berfikir tentang perancangan bapa mertuanya dan tertanya-tanya siapakah Jasmin yang disebut-sebut sehingga menyebabkan Rayyan tersedak tadi.
                                                                                                                                                                  





Secebis Kata :  Kadang-kadang terdetik di hati AA macam takde jek yang baca SKDC berdasarkan komen-komen yang AA terima setakat ni.  Tak bez ke SKDC ni pada korang?  Rasa macam AA syok sorang-sorang tulis cerita ni tapi takde sape yang nk komen...huhuhu... (pagi-pagi da kena monday blues!)


Monday 15 July 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 9









“Pak cik! Kau kat mana?”  Laung Airis.  Matanya meliar memandang ke sekeliling bilik, mencari kelibat Rayyan.  Sudah lah dia terlupa membawa berus gigi, dia juga terlupa membawa pakaian untuk disalin ke dalam bilik air itu sebelum melangkah masuk tadi.  Selalunya di rumah Mak Mah, dia bebas berkemban tuala saja sebaik keluar dari bilik air.  Yang ada di rumah cumalah dia, Mak Mah dan Syafinaz.  Tapi di rumah ini, dengan Rayyan. Ahhh...Airis memejamkan matanya.  Tak sanggup dia bayangkan!

“Pak cik! Kau pekak ke?”  Airis memekik sekali lagi.  Panas hatinya bila panggilannya tidak bersahut dari tadi.  Terasa ingin melangkah keluar dari bilik, tapi bimbang dilihat Rayyan.  Untuk terus bertapa di dalam bilik air itu, dia sudah tidak sanggup lagi.  Sudah lah badannya betul-betul letih ketika ini.  Seharusnya dia sudah memejamkan mata saat ini.

“Rayyan!” Airis menjerit lagi.  Darahnya betul-betul mendidih.  Dia memejamkan mata, menarik nafasnya dalam-dalam.  Nekad untuk keluar dari bilik air itu dengan berkemban.  Apa nak jadi, jadi lah!

“Wow!”  Airis melompat.  Dia benar-benar terkejut saat mendengar suara Rayyan yang sedang duduk di balkoni luar biliknya.  Lelaki itu tersengih-sengih.  Di jarinya terselit sebatang rokok.  Baru Airis sedar Rayyan rupanya seorang perokok.  Dia menggeleng di dalam hati.  Terasa sebal mendapat suami seorang perokok.  Sudahlah dia benci dengan asap rokok.

“Terkejut aku.  Kau pekak ke aku panggil kau dari tadi?”  Airis meluru ke arah Rayyan yang sedang duduk di kerusi balkoni biliknya.  Dia mencekakkan pinggangnya dan menjegilkan mata.  Geram dengan tindakan Rayyan yang pura-pura tidak mendengar panggilannya tadi.  Rayyan masih dengan senyum sumbingnya.  Membiarkan Airis bercekak pinggang di muka pintu sedangkan dia masih asyik menghisap rokok.  Sesekali hujung rokoknya diketuk perlahan pada bibir ashtray yang ada di atas meja.

“Pekak rupanya.”  Airis berbisik.  Geram melihat Rayyan yang selamba.

“Aku tak pekak.  Kalau tak buat macam ni, tak dapat lah aku nak tengok kulit kau yang putih gebu ni.”  Rayyan tersengih lagi.  Kali ini lebih lebar.  Matanya pula memandang Airis dari atas ke bawah berulang kali.  Ini kali pertama dia melihat gadis itu sebegini.  Dalam keadaaan ini.  Melihat bahu putih melepak gadis itu yang terdedah.  Melihat rambut Airis yang ikal mayang mencecah pinggang.  Dan melihat pada peha dan betis Airis yang juga putih melepak.  Dia akui, Airis punya pesona yang tersendiri.  Boleh juga menggegarkan hati lelakinya.

“Eh! Tutup mata kau.  Tutup!”  Airis mengundurkan dirinya.  Dia cuba menutup tubuhnya menggunakan lengan kanan dan kirinya.  Terbongkok-bongkok dia cuba menyembunyikan tubuhnya yang cuma berkemban itu.  Cuba menutup pehanya yang dijilat pandangan Rayyan yang nakal.  Wajahnya sudah merona merah.  Malu ditatap sebegitu oleh Rayyan.  Bengang mendengar tawa Rayyan yang semakin galak mengusiknya.  Segera dia berlari masuk ke dalam bilik, mencapai beg pakaiannya dan menuju ke bilik air.  Dia tahu jika dia memilih pakaiannya di dalam bilik tadi, semakin galaklah Rayyan mengejeknya.  Lantas, beg pakaian sebeban itu diangkutnya ke bilik air.

‘Kurang asam punya Ray!  Hari ni asyik kenakan aku jek! Eeeee...rasa nak cekik-cekik jek leher pak cik ni!’ Airis meradang di dalam hati.  Geram, tak henti-henti dikenakan oleh Rayyan sejak ketibaannya di sini.  Dia membuka beg pakaiannya.  Tangannya mencapai sehelai t-shirt dan seluar track lalu memakainya.  Setelah menyisir rambutnya yang basah, dia keluar perlahan-lahan dari bilik air.

Dia menjeling sekilas ke arah balkoni.  Ternampak Rayyan yang masih lagi tercegat di atas kerusi.  Menikmati sinar bulan dan bintang di langit malam itu sambil menghisap rokok.  Airis tersengih melihat ke arah katil.  Segera dia melabuhkan badannya dan berbaring melintangi katil.  Sama sepertimana yang Rayyan lakukan  sewaktu dia mula-mula melangkah masuk ke bilik itu tadi.  Niatnya biarlah Rayyan mengalah bila melihat dia tidur melintangi katil lalu tidur di sofa.  ‘Takkan nak tidur berdua?Ishhhh.....tak sanggup!’ Dia menarik selimut.  Rambutnya yang basah ditambah dengan dirinya yang baru selesai mandi menambahkan lagi kedinginan berada di dalam bilik itu.  Segera dia menarik selimut tebal, menutupi seluruh tubuhnya.  Matanya dipejamkan rapat saat terdengar sliding door menuju balkoni ditutup Rayyan. Airis pura-pura mematikan dirinya. 

Perlahan-lahan Rayyan menutup pintu.  Menjeling sekilas pada Airis yang sudah pun terbaring di atas katilnya.  Dia tersengih.  Faham dengan tindakan Airis yang semestinya enggan membenarkan dirinya tidur di atas katil itu.  Rayyan melangkah masuk ke bilik air.  Ingin mencuci muka dan memberus giginya terlebih dahulu sebelum masuk tidur.  Dia memerhati susunan toiletteries di atas sinkinya.  Berpuas hati.  Lantas dicapai berus gigi.  Sudah menjadi amalannya sejak kecil lagi untuk menggosok gigi dan mencuci muka hasil didikan neneknya di kampung setiap kali dia pulang menjenguk.  Hasilnya, ianya kini sudah menjadi amalannya setiap hari.  Terasa janggal pula bila dia tidak melakukannya walaupun cuma untuk satu malam.  Terasa ada yang tidak lengkap.  Saat meletakkan kembali berus gigi yang sudah dicuci bersih, dia terfikirkan sesuatu.

Airis masih kaku seperti tadi.  Dia belum tidur, tetapi berpura-pura seperti sudah pun hanyut dibuai mimpi.  Telinganya dari tadi meneliti setiap bunyi yang keluar dari perbuatan Rayyan.  Saat terdengar pintu bilik air ditutup, dia menutup matanya rapat-rapat.

Eh, pak cik ni buat apa? Kenapa katil ni rasa bergerak-gerak?  Matikan diri Airis.  Buat-buat tidur.  Buat-buat tak dengar! Dada Airis mula berdebar saat terasa tilamnya berombak-ombak seolah-olah ada orang yang turut baring di sisinya tapi dia masih enggan membuka matanya, masih tetap membatukan dirinya, berpura-pura seolah-olah sedang tidur.  Saat terasa hembusan nafas lelaki itu di mukanya, dia mencelikkan mata.  Spontan, dia menampar muka Rayyan dan menolak tubuh lelaki itu.

“Kau nak buat apa?”  Airis hampir ingin menangis.  Bimbang Rayyan ingin melakukan yang bukan-bukan terhadap dirinya.  Sesungguhnya dia belum benar-benar bersedia untuk saat itu.  Lebih-lebih lagi untuk seorang lelaki yang langsung tidak dikenalinya.  Kalau pun saat itu tiba satu hari nanti, biarlah Rayyan sudah pun mencintai dirinya dan dirinya sudah boleh menerima Rayyan sebagai seorang suami di hatinya.  Rayyan yang sudah pun duduk di birai katil menggosok pipinya.  Terasa pijar ditampar Airis.  Dia cuma ingin menakutkan gadis itu, langsung tidak menyangka Airis yang terkejut bertindak menampar mukanya.

“Eh, kata nak tidur dengan aku.  Jom lah kita tidur sekali.”  Rayyan tersengih.  Sengaja dia ingin mengusik gadis itu lagi.

“Jangan mimpi lah!”  Airis bingkas bangun dari katil.  Niatnya tidur secara melintang di katil itu supaya Rayyan tidak tidur bersamanya, gagal.  Eiii...nasib baik pak cik ni tak buat apa-apa kat aku tadi. Tak pasal-pasal dapat penampar free.  Takpelah, tak dapat tidur kat tilam empuk pun takpe.  Airis mengheret selimut tebal di atas katil Rayyan bersamanya.  Ditepuk-tepuk bantalnya, kemudian dia berbaring di atas sofa yang terdapat dalam bilik itu. Agak sempit dan muat-muat badannya.  Jadilah, dari jadi mangsa pak cik ni.  Airis mengomel di dalam hati, dia menjeling sekilas Rayyan yang masih memerhatikannya di birai katil.  Dia menyelimutkan seluruh badannya, termasuk kepalanya.  Sesaat kemudian, terasa selimutnya ditarik perlahan-lahan.  Cepat-cepat dia membuka matanya.  Bimbang Rayyan membuat sesuatu di luar kawalan.

“Eh apa lagi kau nak ni? Kan aku dah bagi kau tidur kat katil kau tu?”  Airis menjegilkan matanya.  Memandang ke arah Rayyan yang tercegat di hadapannya dengan tangannya yang cuba menarik selimut.

“Kau tak gosok gigi kau kan?”  Rayyan tersengih.  Memandang Airis yang sudah pun berubah wajah.

“Gosoklah!”  Airis melarikan pandangannya.  Tangannya masih menggengam hujung selimut kuat. 

“Bohong.  Kalau kau gosok gigi kau, mesti ada berus gigi kau kat dalam bilik air tu.  Aku tengok yang ada cuma ubat gigi, shampu dengan shower foam jek.  Berus gigi takde pun.” Rayyan tersengih lagi.  Dia tahu Airis membohonginya.

“Kalau takde berus gigi aku kat situ, tak bermakna aku tak gosok gigi.”  Airis merenung lelaki itu.  Cuba melawan mata itu, cuba menafikan lagi.

“Habis tu kau gosok gigi pakai apa?  Berus jamban?”  Rayyan tersengih lagi.  Cuba menahan gelaknya.

“Pakai berus gigi kau lah!”  Airis menarik selimutnya lantas baring.  Cepat-cepat dia menyelubungi kepalanya dengan selimut.  Dia terkekeh di dalam hati.  Padan muka.  Sibuk sangat aku tak gosok gigi, tak bawak berus gigi kan?  Ingat aku kebulur sangat nak pakai berus gigi dia agaknya.  Eeee...geli tau!

“Kurang asam kau.  Bangun! Bangun! Aku nak selimut ni.”  Rayyan bengang mendengar jawapan Airis.  Tak dapat dibayangkan Airis menggunakan berus giginya.  Selepas itu, dia pulak menggunakan berus gigi yang sama.  Eeeuuwww!  Dia menarik selimutnya.  Airis bingkas duduk, menahan selimutnya dari ditarik Rayyan.

“Ini bilik aku, tilam aku, katil aku, dan ini, selimut aku.  Tu, bantal yang kau guna tu, takpe lah aku kasi pinjam.  Tapi selimut ni memang tak boleh.  Aku bagi kau nanti aku nak pakai selimut apa?” Rayyan berdiri di sisinya, cuba sekali lagi mengambil selimut yang terbentang pada tubuh Airis.

“Eh, mana boleh.  Sejuk kot tak pakai selimut.”  Airis menggenggam hujung selimutnya kuat.  Menghalang dari ditarik Rayyan.

“Ah..tu kau punya pasal.  Sejuk ke panas ke, bukan masalah aku. Meh sini!”  Rayyan merentap kasar.  Dia tetap inginkan selimutnya.  Ingin meminta selimut lain pada mama, tengah-tengah malam begini, pasti dia akan dipersoalkan.  Sudah sah suami isteri, tidur sekatil, jangan kata sebantal, seselimut pun tiada salahnya.  Tapi ingin berselimut dengan Airis?  Dia menggeleng di dalam hati.  Tak sanggup!  Cukup lah tadi makan penampar.  Silap-silap nanti, tengah-tengah malam dia makan penerajang pula dari Airis.

“Tak boleh.  Aku nak pakai selimut ni.”  Airis menjegilkan biji matanya.  Dia berkeras.  Dari tadi kesejukan bilik Rayyan yang dipasang dengan penghawa dingin itu benar-benar menyeksa dirinya.  Sejuknya bukan kepalang.  Menggigit-gigit sejuknya sehingga ke tulang.  Kalau dibiarkan Rayyan merampas selimut itu, bagaimana dia hendak menghabiskan masa tidurnya sehingga esok pagi?  Tidur dengan tidak berselimut?  Dia boleh beku!

“Kau degil eh? Meh sini aku nak peluk kau.  Aku nak cium kau.”  Rayyan menjuihkan bibirnya sambil mendepangkan tangan.  Badannya dirapatkan perlahan-lahan ke arah Airis. 

“Nah, ambiklah!”  Cepat-cepat Airis melepaskan pegangan tangannya pada selimut Rayyan tadi.  Dia rela beku asalkan Rayyan tidak bertindak lebih gila. 

“Tahu takut!”  Rayyan tersengih.  Dia ternyata menang dalam perebutan itu.  Hatinya menyanyi riang.  Terasa puas dapat mengenakan Airis.

 Airis mendengus.  Kesejukan telah pun mula mencengkam dirinya.  Dia memandang ke arah Rayyan yang sudah pun melabuhkan tubuhnya di atas katil.  Dia memandang Rayyan dengan hati yang bengkak. Benci melihat lelaki itu yang dari tadi galak menyakatnya.  Matanya kini terbuka luas.  Rasa mengantuknya tadi telah pun hilang biar pun badannya masih lagi kepenatan.  Dia merenung ke siling bilik Rayyan.  Terkebil-kebil.  Sesekali dia berkilas ke kanan, sekejap kemudian ke kiri pula.  Dia betul-betul gagal untuk tidur.  Tambah menyakitkan hatinya, terdengar dengkuran kecil dari Rayyan.  Tanda lelaki itu sudah pun lena saat itu.  Sama seperti dirinya, Rayyan juga agak keletihan.

Perlahan-lahan Airis bangun, memerhati setiap penjuru dinding bilik itu.  Mencari suis lampu.  Dari tadi cahaya lampu yang terang dalam bilik itu menyukarkan dia untuk melelapkan mata.  Akhirnya, di balik almari pakaian Rayyan, dia menjumpai deretan pelbagai suis.  Dia sekadar mengagak dan dengan sekali tekan, lampu di bilik Rayyan terpadam.

“Woi, bukak balik lampu tu!”  Airis terkejut.  Cepat-cepat dia menekan kembali suis lampu tadi.  Dia cemas.  Tertanya-tanya apa yang berlaku kepada Rayyan saat dia menutup suis lampu tadi.

“Jangan tutup suis lampu.”  Rayyan kembali berbaring.  Membiarkan Airis yang terpinga-pinga.  Sekali lagi dia menutup suis lampu.

“Ei, kau tak faham bahasa ke?  Aku kata jangan tutup suis lampu tu.  Aku tak boleh tidur lampu tertutup.  Biar jek lampu tu terbuka sampai pagi.”  Airis mengekek di dalam hati.  Geli hatinya mengetahui Rayyan rupanya takut tidur bergelap.  Lelaki seego itu, segagah itu, setua itu, takut tidur bergelap?  Airis cuba menahan tawanya dari terburai keluar.  Lelaki itu rupanya masih keanak-anakan.  Airis kembali menekan suis lampu, membiarkan lampu kembali terbuka.  Saat lampu menerangi bilik itu, Rayyan dilihatnya sedang duduk di atas katilnya.

“Kalau kau tak nak aku tutup lampu ni, kau tutup dulu suis aircond tu.”  Airis menjuihkan bibirnya, menunjuk ke arah penghawa dingin yang terpasang.  Memandang Rayyan yang sesekali menguap luas.

“Tak nak.  Aku panas.”  Rayyan baring, menarik selimutnya sehingga menutup kepalanya.  Airis bengang.  Sedikit pun Rayyan tidak mahu mengalah.

“Ok, aku tutup lampu ni.”  Airis menekan suis lampu.  Serta-merta bilik itu bertukar gelap. 

“Gelap-gelap ni, kalau karang aku terpeluk kau ke, tercium kau ke, ter benda lain ke...kau jangan salahkan aku pulak.”  Rayyan bersuara sayup-sayup dari dalam selimutnya.  Airis yang baru hendak melangkahkan kaki ke sofa, terhenti.  Eeeeee....rasa nak cekik-cekik!  Airis menghentak kakinya, memalingkan badan dan menuju kembali ke deretan suis tadi.  Menekan kembali suis lampu, dan membiarkan lampu terpasang semula. Monyet betul Rayyan ni!







Secebis Kata : Terima kasih pada semuaaaaa yang sudi membaca!  Teruskan menyokong AA ye!