
Rayyan
tersenyum lebar saat dapat melihat kelibat Jasmin yang sedang duduk di satu
sudut restoran itu. Gadis itu seperti
biasa, anggun walau dalam pakaian kasual.
Lama dia berdiri di sudut restoran, tekun memerhati gadis pujaan hatinya
itu. Gadis yang terlalu sukar ditakluki
hatinya. Gadis yang impiannya setinggi
bintang di langit. Gadis yang membuat dirinya
termimpi-mimpi di malam hari. Gadis
impian untuk dijadikan suri dalam hidupnya.
Airis? Rayyan mendengus kasar.
Kelibat Airis yang menerpa dalam fikirannya membunuh bayangan indahnya
bersama Jasmin sebentar tadi. Perlahan
dia mengorak langkah menghampiri Jasmin.
“Panjangnya
muncung you tu. Kenapa ni?” Jasmin tersenyum. Jejaka di hadapannya itu ditatap. Raut wajah Rayyan
tampak kusut. Matanya juga agak
kusam. Lelaki itu seolah-olah menyimpan
beban yang amat dalam. Saat itu seorang waiter menghampiri meja dan mengambil
pesanan untuk Rayyan.
“Rindu kat you.”
Rayyan bersuara perlahan sambil menghadiahkan senyuman sebaik waiter tadi meninggalkan meja mereka. Tangannya menggengam tangan Jasmin di atas
meja. Rayyan cuba menyembunyikan gundah
dalam hatinya. Memikirkan status dirinya
yang akan bertukar dalam dua minggu lagi.
Yang pasti, status dirinya haruslah dirahsiakan dari pengetahuan
Jasmin. Malah dari semua orang sekali
pun.
“Ada ada jek
you ni.” Jasmin menunduk, meleraikan
genggaman tangan Rayyan dan berpura-pura mencari telefon bimbit di dalam beg
tangannya. Cuba menyembunyikan rona
merah di wajahnya yang cerah itu.
“Lama kita
tak jumpa kan? You asyik sibuk
jek. You
don’t even reply my text.” Mendatar suara Rayyan. Kecewa melihat sikap Jasmin yang acuh tak
acuh. Kecewa Jasmin meleraikan genggaman
tangannya tadi. Dia mengharap simpati
gadis di hadapannya itu. Cuba mendapat
perhatian dari gadis pujaannya.
“Ala, sorry la Ray. You
tau kan bulan ni I sibuk prepare material untuk show I kat KL. Bukan senang tau nak dapat peluang macam
ni. Koleksi I nak dipertontonkan setanding dengan designer besar kat KL sana. I tak nak ada walau satu pun kesilapan
kecil. Semuanya mesti perfect.
Ni pun I curi-curi masa jumpa you sekejap. Kejap lagi I nak gerak pergi Nilai. Nak
cari silk kat sana. Mintak mintak lah jumpa. Letih asyik ke hulur hilir cari silk.”
Jasmin membelek planner di tangannya.
Memerhati setiap butir tulisan tangannya. Memerhati senarai yang sudah dibereskan dan
yang masih belum diselesaikan. Jadualnya
betul-betul padat sehingga ke penghujung tahun.
Dengan andaman pengantin, tempahan menjahit baju, dan ditambah pula
dengan penyertaannya dalam peragaan pakaian di bawah jenamanya pula. Segala-galanya menuntut masa yang
banyak. Sehingga dia tiada masa untuk
dirinya sendiri. Apatah lagi untuk
Rayyan. Dia benar-benar sibuk.
“You tak kesian ke kat I?
Macam menunggu bulan jatuh ke riba tau.”
Rayyan memegang penyedut minuman di hadapannya. Disuakan ke mulutnya, lantas air fresh orange yang dihantar waiter sebentar tadi disedut perlahan.
“Ala you janganlah buat muka sinchan you tu kat sini ok. Ni kan I
dah luangkan jugak dah masa untuk you
tau.” Jasmin tersengih. Tangannya
mencubit pipi Rayyan lembut. Mengharap
agar lelaki itu mengerti kesibukannya.
Mata lelaki itu direnung dalam. Dia keliru perasaannya pada Rayyan. Nak dikata sayang, dia lebih menganggap
Rayyan seperti kawan baiknya. Nak dikata
tidak sayang, lelaki itu lah yang selalu dirindu bila tiada depan matanya. Entah lah.
Dia betul-betul tidak tahu.
Rayyan
tersenyum lebar. Tangan Jasmin yang
mencubitnya lembut, digapai. Dibiarkan tangan itu di pipi, bertaut dengan
tangannya. Lama. Gembira hatinya melihat gadis pujaannya
memujuk hati yang merajuk itu. Seleranya
terbuka melihat hidangan yang tersedia depan mata.
Saat
keduanya asyik menjamu selera, handphone
Rayyan bergema menandakan ada sms
yang masuk. Dia mencapainya sambil mulut
masih terus mengunyah. Dia mengerutkan
dahi sebaik melihat nama Airis yang tertera pada ruangan peti masuk sms.
Jumpa
esok pagi kat butik mak andam pukul 10.
Kena fitting baju. Lagipun aku
tak tahu kau suka warna apa. Kalau kau
tak datang, aku pilih STRIKING PINK macam kumpulan JAMBU MAHARAJA LAWAK boleh?
HAHAHAHA...
Rayyan
terbatuk. Dia tersedak. Cepat-cepat dicapai air di hadapannya dan
diteguk laju. Dadanya ditepuk-tepuk. Jasmin juga turut cemas melihat wajah Rayyan
yang sudah merona merah.
“Kenapa you ni?
Kot ye pun lapar, jangan lah gelojoh.
Tengok ni sampai tersedak-sedak.”
Jasmin menghulurkan tisu kepada Rayyan.
Cepat-cepat hulurannya disambut Rayyan lantas dia mengesat bibir. Rayyan betul-betul terkejut dengan sms dari Airis yang diterimanya. Striking
pink? Gila! Dia mengetap bibirnya kuat.
‘Siap kau
esok. Aku dera kau cukup-cukup.’ Rayyan
berbisik dalam hati.

Rayyan tiba
di laman rumah Airis tepat pukul 10 pagi.
Matanya meninjau ke seluruh laman rumah itu. Bersih.
Terasa sejuk matanya melihat pokok-pokok yang ditanam di sekeliling
rumah itu. Dia masih di dalam kereta,
menunggu Airis keluar dari rumah. Semasa
dalam perjalanan hendak ke sini, dia sudah pun menghubungi Airis supaya
bersiap. Tingkap kereta dibuka luas
lantas dicapai kotak rokoknya. Perlahan
dia menyuakan sebatang rokok ke mulut dan menyalakannya. Saat itu, Airis sedang menuju ke arahnya.
Airis
membuka pintu kereta Rayyan perlahan.
Tiba-tiba dia terasa janggal.
Hendak dibuka pintu belakang, dia takut Rayyan menjerkahnya kerana
berlagak seperti Datin Sri yang mempunyai pemandu. Hendak dibuka pintu depan, sesungguhnya dia
janggal duduk di sisi lelaki itu. Dalam
berkira-kira itu, dirinya sudah pun duduk bersebelahan Rayyan di dalam kereta.
“Kat mana
butik tu?” Rayyan bertanya ringkas. Tangan kirinya menurunkan brek tangan, lantas
menukar gear dari N ke D. Perlahan,
keretanya menyusur keluar dari laman rumah Airis.
“Kat
bandar.” Airis juga membalas
ringkas. Sesungguhnya dia rimas dengan
bau asap rokok yang memenuhi segenap ruang kereta itu. Terasa sesak nafasnya ketika itu. Matanya juga pedih berair. Dia hanya membuang pandang ke luar tingkap,
mencari udara segar.
“Tahu lah
kat bandar. Kat bandar tu kat
mana?” Rayyan bersuara sedikit
meninggi. Bengang mendengar jawapan
Airis yang terlalu ringkas. Ditambah
pula dengan Airis yang dari tadi hanya menoleh ke luar tingkap.
“Jalan jek dulu
sampai kat bandar. Nanti aku beritahu
lah kedainya kat mana. Uhuk.” Airis terbatuk.
Nafasnya yang ditahan-tahan tadi menyebabkan dia terbatuk, apatah lagi
bila menyedut asap rokok Rayyan. Rayyan
yang sedar Airis kerimasan, segera menghisap rokoknya buat kali terakhir lalu
membuang puntungnya ke luar tingkap.
Sesaat kemudian, dia menaikkan kesemua cermin tingkap dan menghidupkan
suis aircond.
“Kau belok
kanan kat simpang depan tu. Kedai Atie’s
Gallery. Kedai no 2.” Airis bersuara
setelah hampir 10 minit kereta bergerak.
Tiada apa yang mereka bualkan sepanjang perjalanan itu. Masing-masing hanya melayan lagu-lagu yang
berkumandang di radio. Setelah Rayyan
memparkir keretanya, mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam butik pengantin.
“Haaaa....
Airis. Panjang umur kau. Akak tertunggu-tunggu jugak ni dari tadi.”
Sapa Kak Atie ramah. Huluran tangannya
disambut Airis.
“Lambat
sikit kak, saya kena tunggu orang datang jemput. Kalau lambat orang yang menjemput, lambatlah
saya jawabnya.” Airis bersuara sambil
mulutnya tersenyum sumbing. Rayyan yang
sedang melihat baju-baju yang tergantung, pura-pura tidak mendengar. Dia kemudiannya duduk di ruangan tempat duduk
yang disediakan.
“Ha ah kan,
orang dah ada driver sekarang. Kena lah tunggu cik abang datang ambil
kan?” Kak Atie tersengih lagi. Dijeling Rayyan sekilas, pemuda itu khusyuk
menatap album-album gambar yang tersusun di atas meja. Airis turut tersengih. Geli hatinya mendengar panggilan cik abang
itu sedangkan dia cuma ber aku kau saja dengan Rayyan selama ini.
“Airis dah
fikir nak warna tema apa?” Airis
terkebil-kebil memandang Kak Atie.
Kenapalah dia tak terfikir tentang warna tema awal-awal sebelum ni
ya? Sekarang dia sendiri keliru untuk
memilih warna yang tepat untuk dirinya.
“Hari tu masa
tunang saya ambil hijau kan? Saya ingat
nak pakai warna lain pulak kali ni.”
Airis menoleh ke arah Rayyan, seolah-olah meminta pendapat dari
tunangnya itu pula tetapi lelaki itu masih seperti tadi. Khusyuk membelek album pengantin.
“Ha ah bagus
jugak kalau ambil warna lain pulak.
Untuk baju nikah pun sekali sewa dengan akak kan?” Airis terkebil-kebil lagi. Sesungguhnya dia langsung tidak tahu menahu
tentang perkara-perkara seperti ini.
“Airis nak
ambil warna krim ke putih? Selalu dua
warna ni yang sesuai untuk majlis nikah.
Orang kata dua warna ni melambangkan sucinya pernikahan pasangan pengantin. Tapi kalau Airis nak warna lain, akak tak
kisah. Boleh juga.” Kak Atie bangun mencapai 3,4 persalinan yang
tergantung di ampaian tepi dinding.
Sambil
membelek-belek, Airis ligat berfikir tentang kebenaran kata-kata Kak Atie. Putih dan krim. Dia akhirnya mencapai sehelai baju kurung
moden ditaburi sekuin di dada dan hujung baju.
Ringkas tapi penuh elegan. Apatah
lagi sekuin itu diselang selikan dengan batu-batu berkilau persis berlian. Dia betul-betul sukakan sentuhan yang
terdapat pada baju itu.
“Kalau suka
yang ni, Airis pergi fitting room,
pakai baju ni. Akak nak tunang Airis fitting sekali baju Melayu. Nak tengok match tak dengan baju nikah Airis ni. Kalau ok, akak bookkan baju ni untuk majlis Airis nanti. Takde lah akak terbagi kat pengantin lain
pulak kan kalau dah book.” Tangannya ligat pula mencapai sepasang baju
melayu yang tergantung di ampaian.
Menyuakan kepada Rayyan yang nyata terpinga-pinga.
“Pergi lah
salin.” Kak Atie menyuruh lembut. Lambat-lambat Rayyan bangun dan menyambut
huluran baju dari tangan Kak Atie.
Matanya melilau ke sekeliling butik, mencari kelibat Airis. Tiada.
“Airis pergi
try baju dia. Tak hilang kemana tunang awak tu.” Kak Atie bersuara. Seolah-olah mengerti tindakan Rayyan. Rayyan berjalan laju menuju ke bilik
persalinan tersedia. Malu kerana
tindakannya yang mencari Airis disedari Kak Atie.
Setelah berpuas
hati dengan penampilannya, Airis membuka selak pintu perlahan-lahan. Dia berbelah bagi. Malu sebenarnya. Entah apa lah yang difikirkan Rayyan nanti
bila melihat dia dalam persalinan begitu.
Mesti terkejut. Terkejut bukan
kerana keanggunannya, terkejut kerana dirinya yang tenggelam di dalam
kecantikan baju nikah itu. ‘Nasib baik muat!’
Getus hati Airis. Sedikit lega
kerana masih ada persalinan pengantin yang muat untuk dirinya.
Saat pintu
terbuka, dia terkesima. Terpegun melihat
Rayyan yang sudah pun lengkap berbaju melayu, bertanjak dan bersamping. Tidak berkelip matanya memandang Rayyan. Lelaki itu ternyata bertambah tampan dalam
persalinan baju Melayu. Dadanya
berdebar.
Rayyan
memalingkan badannya saat terdengar bunyi pintu dibuka. Dia terkelu.
Otaknya seakan berhenti seketika dari berfungsi. Wanita di hadapannya kini ternyata membuatkan
dirinya cair. Airis terlalu mempersona
dengan baju kurung moden itu. Walaupun
gempal, ternyata badan Airis tetap mempunyai shaping yang menawan sekaligus menjadikan baju yang dipakainya
nampak terletak. Mata Airis ditatap,
seluruh wajahnya diperhati. Entah
mengapa, dari pertama kali bertemu Airis sebelum ini, dia seolah-olah pernah
bertemu dengan Airis. Kali ini, perasaan
itu muncul lagi. Puas dia mengingat,
tapi gagal. Dia sendiri keliru sama ada
pernah bertemu Airis sebelum ini atau hanya pelanduk dua serupa.
“Akak rasa
dah okay dah ni. Korang rasa macam mana?” Kak Atie bersuara memecah suasana apabila
melihat Airis dan Rayyan kaku dari tadi.
Airis cepat-cepat menjawab.
Melarikan pandangannya dari terus melihat Rayyan.
“Okay la ni Kak Atie. Saya ambil yang ni.” Rayyan segera merapati cermin besar yang terlekat
di dinding. Memerhati dirinya sekali
lagi. Menjauhkan pandangan matanya dari
terus merenung Airis sebelum disedari Kak Atie.
“Okay.
Sekarang kita pilih baju untuk berinai, bersanding dengan makan berdamai
pulak.” Airis mengerutkan dahi. ‘Banyaknya!’ Dia mendengus dalam hati.
“Airis nak
persalinan tak?” Kak Atie memandang wajah Airis, menanti jawapan dari mulut
Airis yang semakin mengerutkan dahinya.
“Persalinan
ni maksudnya pakaian dari negara lain atau budaya lain selain dari Melayu
lah. Contohnya macam kimono, Jawa,
Korea, cheongsam, sari dan macam-macam lagi lah. Ikut Airis lah nak cuba yang mana satu.” Kak Atie menerangkan panjang lebar.
“Boleh
kak. Bagi jek Airis cuba.” Terpacul suara dari Rayyan tiba-tiba. ‘Masanya sudah sampai Airis!’ Dia tersengih
di dalam hati. Pantas dia berjalan
menuju ke bilik persalinan, menukar kembali baju yang dicubanya itu.
Keluar dari
bilik persalinan, dia merapati Airis.
Memerhati gadis itu yang sedang memilih baju. Niatnya ingin menyakat gadis itu kini bakal
terlaksana.
“Ambil yang
ini. I
nak tengok you pakai warna ni.” Rayyan mengunjuk sepasang kebaya berwarna
kuning ke arah Airis. Airis mengerutkan
dahinya. ‘I, You konon!’ Hatinya merengus geram. Huluran Rayyan tetap dicapai lantas dia menuju ke bilik
persalinan.
Hati Rayyan
berbunga riang melihat Airis yang menuruti arahannya. Walaupun janggal dengan panggilan ‘I, You’ dengan Airis, dia tetap perlu
berselindung dari pengetahuan Kak Atie tentang duduk letak hubungan mereka yang
sebenar. Dia kembali duduk di kerusi
tempat dia membelek album gambar sebelum ini.
Kali ini sengaja dia memilih kerusi yang betul-betul bertentangan dengan
pintu bilik persalinan. ‘Senang aku nak dera kau nanti’. Hatinya ketawa.
Airis
seperti tadi, teragak-agak keluar dari bilik persalinan itu. Kebaya kuning ini kelihatan elok di
matanya. Entah apa lah pandangan Rayyan
nanti.
“I tak suka. Cari warna lain.” Ringkas jawapan Rayyan saat matanya melihat
Airis keluar dari bilik persalinan.
Airis merenung tunangnya tajam. Rayyan
cepat-cepat membelek album pengantin di ribanya buat entah ke berapa kali.
Airis terasa ingin menidakkan pendapat Rayyan.
Terasa ingin memberitahu dia sukakan kebaya kuning itu. Tapi kakinya tetap melangkah ke barisan
baju-baju yang tergantung. Memilih pula
kebaya moden berwarna ungu.
Rayyan hanya
memandang langkah Airis. Dia tahu Airis
sudah tentu bengang dengan dirinya ketika itu. Hatinya berbunga riang. Memang itulah tujuannya. Melihat gadis itu marah. Sengaja dia ingin mengenakan Airis lantaran
sakit hati dengan sms yang dihantar
Airis semalam.
Lima minit
kemudian, Airis terpacak di hadapannya.
Tegak berdiri menanti Rayyan mengangguk setuju. Kebaya ini juga menepati seleranya. Tona warnanya menyerlahkan lagi kulitnya yang
cerah.
Saat mata
Rayyan tertancap pada Airis yang sudah mengenakan kebaya berwarna ungu itu, dia
tersentap. Cantik. Terasa ingin mengangguk bersetuju. Tapi dia masih belum puas mengenakan Airis
lantas dia menggeleng. Seperti tadi, dia
pura-pura membelek kembali album gambar.
Dari ekor matanya dia tahu Airis marah.
Tersenyum hatinya melihat gelagat Airis yang menghentakkan kakinya kuat
melangkah menuju ke gantungan baju-baju persandingan. Geli hatinya melihat bibir Airis yang
mengomel halus dan dahinya yang berkerut-kerut.
Setelah satu
jam setengah Airis keluar masuk dari bilik persalinan mencuba hampir 20 pasang
baju, dia menarik lengan Rayyan ke satu sudut butik itu. Terlindung dari pandangan Kak Atie.
“Kau ni kenapa semuanya tak kena? Semuanya kau tak
berkenan? Dah 20 helai baju aku try
tau tak?” Airis menjegilkan biji matanya
sambil suaranya ditekan kuat tapi dalam nada berbisik. Bimbang didengari Kak Atie.
“Saja. Suka tengok kau kena salin baju banyak-banyak
kali macam tu. Ni ha, peluh kau ni.
Mahal tau.” Rayyan mengelap dahi
Airis yang sudah pun dibasahi peluh.
Wajah Airis jelas terpampang keletihan, letih menyalin pakaian sejak
satu jam setengah yang lepas.
“Saja?
Saja-saja kau nak tengok aku tukar baju macam ni?” Airis mengerutkan dahinya. Terasa ingin ditelan Rayyan saat itu.
“Ha ah,
saja. Lagi pun dari tadi aku tengok kau
belum try satu warna ni. Selagi kau tak try warna tu, selagi tu lah aku tak puas hati. Hahahaha...”Rayyan tergelak perlahan. Ditahan-tahan bimbang diketahui Kak Atie.
‘Striking pink!’ Getus hati Airis. Teringat kembali sms gurauannya pada Rayyan semalam.
“Gila!”
Spontan Airis menyebut. Rayyan tergelak.
Gembira melihat Airis marah sebegitu.
“Sekarang
kau cakap betul-betul nak pakai baju warna apa.
Kalau tak, aku balik. Apa nak jadi,
jadi lah.” Airis merenung mata
Rayyan. Geram melihat lelaki itu masih
tersenyum sumbing.
“Aku saja
jek nak kenakan kau. Suka tengok kau berpeluh-peluh
macam ni. Kau pilihlah warna yang kau suka.
Janji bukan striking pink.”
Rayyan tersengih lagi. Airis mendengus. ‘Kalau cakap dari tadi kan senang, tak payah
aku macam nak gila tukar baju sampai 20 pasang.
Kau ingat senang ke nak tukar baju pengantin yang ada macam-macam jenis
ni? Aku sarungkan kat engkau karang baru tahu.
Tak pun aku pilih baju warna pink
pekat ni baru tahu. Eh, tapi mati lah
kalau pink ni, aku pun kena pakai
jugak nanti. Berguling satu kampung
gelakkan aku nanti.’ Airis membebel di
dalam hati. Sebal dadanya dengan
perangai Rayyan yang kebudak-budakkan.
Matanya
melilau kembali ke arah timbunan baju yang tergantung. Dia mencapai sepasang kebaya moden berwarna
merah darah dihiasi taburan kerawang bunga berwarna hitam. Nampak eksklusif dan menyerlahkan lagi
kulitnya yang cerah. Nasib baik kulit
Rayyan juga cerah, tidaklah Airis pening kepala hendak menyesuai padankan warna
baju dengan warna kulit mereka berdua.
Apa saja yang kena pada warna kulitnya, tentu sekali kena juga dengan
warna kulit Rayyan.
‘Ok, baju
sanding dah settle. Sekarang baju
berinai pulak.’ Airis mengomel
lagi. Menurut kata Mak Mah, selepas
majlis nikah akan diadakan pula majlis berinai disusuli dengan berzanji. Mata dan tangannya terhenti pada sepasang
baju kebaya moden berwarna kuning lemon.
Bunga-bunga kerawang yang bertaburan pada baju itu berwarna oren. Berkenan sungguh dia dengan warna itu. Cantik! Untunglah kebanyakan baju yang
tergantung sudah dicubanya tadi, jadi untuk memilih tidaklah mengambil masa
yang lama.
Persalinan
Jawa dan Korea yang diambilnya tadi diletakkan ke atas meja Kak Atie. Dilambakkan sekali bersama baju nikah,
sanding dan berinainya tadi. Kak Atie
yang dari tadi sibuk menggunting perca kain, menulis nama AIRIS menggunakan
marker pen. Perca kain itu dipinkan
bersama dengan baju-baju yang dipilih oleh Airis beserta baju-baju Melayu
Rayyan yang dipasangkan sekali. Sebagai
tanda baju-baju itu sudah pun ditempah oleh pasangan pengantin dan mengelakkan
tindihan berlaku untuk dua pengantin dalam satu masa yang sama. Airis menarik nafas lega kerana baju-baju
yang berkenan di hatinya masih lagi dalam kategori saiz badannya. Kebanyakan baju yang dipilihnya cuma
dibesarkan dalam satu ke dua inci dari saiz asal.
Untuk majlis
memotong kek, dia memilih gaun moden ala-ala Inggeris berwarna putih. Gaun itu ditaburi dengan mutiara-mutiara
berwarna silver dan berlian yang
berkilauan.Dipadankan dengan suit
Rayyan yang juga berwarna silver.
Selesai sesi
fitting baju, tema pelamin dan
khidmat jurugambar serta solekan pula dibincangkan. Hampir 4 jam mereka di dalam butik,
sedar-sedar jam sudah pun menunjukkan pukul 2 petang. Patut lah perut masing-masing sudah mula
berbunyi, sejak pagi lagi baik Airis mahu pun Rayyan tidak berkesempatan
menjamah apa-apa hidangan.
“Airis!” Bergema panggilan dari belakang Airis dan
Rayyan saat mereka melangkah keluar dari butik Kak Atie. Rayyan yang baru hendak mengenakan cermin
mata hitamnya, berpaling ke arah suara itu.
Dia melihat seorang lelaki yang tersenyum besar. Kegembiraan di mata lelaki itu jelas
terpancar.
“Kimi!” Airis separuh menjerit. Terkejut melihat wajah itu di depan
matanya. Kali terakhir lelaki itu
berjumpa dirinya adalah di warung sebelum dia bertunang. Selepas itu, Hakimi tidak lagi muncul menemui
Airis. Bekalan makanan mentah pula dua
kali sehari akan dihantar oleh ayah Hakimi.
Dia sendiri belum berkesempatan berjumpa Hakimi.
“Mana kau
pergi? Kau dari mana ni? Lama tau aku
tak jumpa kau.” Airis menyengih. Suaranya tergambar kegembiraan yang amat
sangat bertemu lelaki itu. Rayyan
memandang dengan pandangan yang kosong. Terpinga-pinga melihat Airis dan lelaki
itu yang gembira dapat bertemu. Lelaki itu juga dari tadi seolah-olah tidak menyedari
kewujudannya. Hatinya tiba-tiba panas.
“Aku ada
lah. Cuma sibuk sikit, kena attend kursus keusahawanan sana
sini. Kejap ade bengkel tu lah, bengkel
ni lah. Ada yang dua hari, ada yang tiga
hari. Bila balik kampung, aku pulak
penat. Tu yang tak menyempat nak jumpa kau tu.
Nak cakap tahniah kau bertunang hari tu pun tak sempat tau. Ni tunang kau ye? Saya Hakimi.”
Hakimi tersenyum, menghulur tangannya ingin bersalam dengan Rayyan. Dari tadi lelaki itu asyik merenungnya.
“Rayyan.” Rayyan berpura-pura tersenyum lantas
menyambut huluran salam tangan Hakimi.
“Kau nak
pergi mana ni? Jom lah kita pergi makan.
Dapat sembang-sembang.” Rayyan tersentak. Terkejut mendengar pelawaan Hakimi. ‘Amboi, aku ni kau buta ke? Suka hati kau jek nak ajak tunang aku keluar
makan? Eh, tunang? Kata menyampah dengan minah ni. Tapi dia tunang aku, takkan aku nak biar jek
dia keluar dengan lelaki lain? Ahh, dah
kenapa dengan aku ni?’ Dia membebel di dalam hati. Terasa ingin menarik tangan Airis supaya
masuk ke dalam keretanya.
“Jom. Lama
kita tak borak-borak kan. Sementara aku
dapat lepas keluar ni, baik aku gunakan betul-betul masa yang ada. Takpe lah
Rayyan, you balik dulu. Nanti I
tumpang Hakimi balik.” Rayyan tersentak
lagi, terkejut melihat Airis yang menerima pelawaan itu dan menghalaunya balik.
Airis betul-betul terlupa yang dirinya kini sudah pun menjadi tunangan orang.
“Aku..errr...I..nak ikut.” Buntang mata Airis. Terkejut dia mendengar kata-kata yang keluar
dari mulut Rayyan. Dia memandang semula
ke arah Hakimi. Hatinya kini berbelah
bagi. Meneruskan niat untuk makan
bersama Hakimi tapi ditemani Rayyan atau balik ke rumah saja. Dia mati akal.
“Oh, jom lah
sekali Rayyan. Errr..Encik Rayyan.” Hakimi tergagap-gagap. Terasa pelik ber encik-encik dengan tunang
Airis. Nak dipanggil nama saja, bimbang
di cop kurang ajar.
“Jom!” Rayyan menggamit tangan Airis. Sekali lagi Airis terkejut. Dahinya dikerutkan. ‘Apehal mamat ni pelik
sangat ni?’ Dia cuba menarik tangannya perlahan tapi gagal. Ternyata pegangan Rayyan kejap.
Kaki mereka
melangkah masuk ke restoran Anjung Suri yang terletak bersebelahan dengan butik
pengantin Kak Atie. Airis dan Hakimi
melangkah terus menuju ke set buffet yang tersedia, mengambil nasi yang
dicedukkan ke dalam pinggan oleh pekerja restoran. Rayyan hanya duduk, memerhati gelagat Airis
dan Hakimi dari jauh.
Entah
mengapa, dia benci melihat senyuman di bibir Airis terhadap Hakimi pada ketika
itu. Dia marah melihat Hakimi sesekali
tergelak besar di samping Airis. Terasa
seolah-olah dirinya tidak wujud. Dan
terasa seperti yang patut menjadi tunang kepada Airis adalah Hakimi, bukan
dirinya. Dia keliru tentang rasa hatinya
kini. Hatinya bagai tersiat melihat
Airis yang begitu gembira bersama Hakimi.
Rayyan hanya
memesan segelas jus epal. Tekaknya tidak
terasa menginginkan sesuatu walaupun perutnya menjerit kelaparan. Seleranya mati melihat kemesraan Airis
bersama Hakimi. Airis ternyata berbeza
berbanding bila bersama dirinya.
“Ok lah, aku
gerak dulu.” Suara Hakimi menyentakkan Rayyan yang dari tadi termenung. Selepas bersalaman dengan Hakimi, Rayyan
bingkas bangun. Entah apa yang
diborakkan mereka berdua selama 40 minit itu langsung tidak didengarinya. Dia asyik dengan dunianya. Menerawang entah ke mana-mana.
“Jom, aku
hantar kau balik.” Rayyan memandang
Airis yang masih lagi meneguk air.
Cepat-cepat Airis bangun, mencapai beg tangannya dan membontoti Rayyan
yang sudah pun berjalan keluar dari restoran.
“Siapa
Hakimi tu?” Rayyan tiba-tiba
bersuara.
“Maksud
kau?” Airis mengerutkan dahinya. Sedikit
pelik dengan soalan Rayyan. Dia
menjeling sekilas ke arah pemuda itu.
Pemuda itu sedang menumpukan perhatian pada pemanduannya, matanya
terarah ke jalan raya.
“Kawan?
Bekas pakwe? Bekas tunang?” Rayyan masih seperti tadi. Suaranya masih mendatar.
“Bekas pakwe.” Airis tergelak di dalam hati. Sengaja dia ingin melihat reaksi Rayyan. Dia sebenarnya pelik dengan lelaki itu. Sejak bila ingin tahu dengan siapa dia berkawan? Selama ini Rayyan langsung tak pernah mengambil pusing tentang dirinya sejak mereka bertunang.
“What a taste.” Rayyan berlagak tenang. Hakikatnya, dia benci mendengar jawapan Airis. Terasa ingin memberhentikan keretanya dan menurunkan Airis di tepi jalan pada saat itu juga. ‘Pergi lah suruh boyfriend kau tu jemput kau!’ Ngomel hatinya.
“Ye, aku
tahu lah taste aku orang kampung
jek.” Airis bersuara mendatar. Bengang mendengar jawapan Rayyan. Niatnya untuk menyakitkan hati Rayyan
bertukar kepada hatinya sendiri yang sakit.
Dia sekadar membuang pandang ke luar.
Malas ingin berkata apa-apa lagi kepada Rayyan.
“Hello sayang. You kat mana? Oooo....I ada appoinment dengan sorang mak cik ni. Terhegeh-hegeh tau dia. Menyampah I. Dari pagi I duk layan dia. Bernanah jek telinga I ni dengar dia membebel. Cerewet betul. Malam ni you jangan lupa, kita dinner sama-sama tau. Ok, you jaga diri baik-baik. I sayaaaannnng you tau! Bye!” Rayyan tersengih. Harap-harap niatnya untuk menyakitkan hati Airis menjadi. Skrin telefon bimbitnya sengaja ditenyeh-tenyeh tanpa tujuan. Sebenarnya tiada siapa pun yang dihubunginya tadi. Nak bersayang dengan Jasmin? Dapat bercakap dengan Jasmin seminit pun sudah dikira bertuah, inikan pula nak bersayang-sayang. Dia menjeling sekilas pada Airis. Gadis itu seperti tadi, masih merenung ke luar tingkap tanpa sepatah kata. Dia terkelu, tak tahu bagaimana lagi ingin mengenakan Airis untuk hari ini.
“Terima
kasih pak cik!” Airis menutup pintu
kereta Rayyan sedikit kuat. Geram
mendengar suara Rayyan yang merengek-rengek bercakap dengan seseorang di
telefon tadi. Lebih menyakitkan hati,
Rayyan juga menggelarkannya mak cik. Mak
cik mana lagi yang satu hari berurusan dengan dia hari ni? ‘Aku lah tu!’ Airis
membebel lagi tanpa sedar kereta Rayyan sudah pun menghilang dari pandangan
matanya.
Secebis Kata : Terima kasih untuk yang sudi baca dan komen untuk bab sebelum ni. Semangat AA jadinya tuk terus menulis. Terima kasih semua! Sayang ketat-ketat! Baca bab seterusnya ni, jangan lupe tinggalkan komen ok!
5 comments:
Best
Thanks Adra for the new n3! Suka dgn watak Airis....sbb dia selamba & kelakar. Harap2 Airis terus jadi watak heroin yg kuat semangat, sabar tapi sempoi at the same time. Jgn lupa cepat2 sambung ye Adra!
-----> cik anon,
thanks! jgn lupe bace bab seterusnye minggu depan ye!
-----> ida,
eh, jgn la thanks kt sy...thanks kat awak sbb sudi bace karya AA ni ha..nantikan bab seterusnya minggu depan ye. btw, thanks again for keep supporting! cayam ida!
Assalam to writer...
emmm... nice... enjin dah mula nk panas ni... but tgu temperature nk menyala... hihihi...
now hakimi n jasmin bole dijadikan alasan among Rayyan n Airis... bole bakar sikap cmburu masing2. (bunyi mcm so typical) hihihi...
Anyway gud luck writer.. ;)
from: IJA
alahai dua-dua ni masing-masing nakal. si Airis ni nakal suka menjawab, si Rayyan pulak nakal suka mengusik. what a perfect partner hehehehe :)))
Post a Comment