Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday 4 November 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 21










“Rania! Rania! Bukak pintu ni!”  Rayyan mengetuk pintu bilik di hadapannya itu kuat.  Terasa bergegar seluruh rumah ketika itu.

“Sudah lah.  Benda dah settle kan? Kau marah pun tak guna lah.”  Airis berdiri di sisi Rayyan.  Cuba menghalang suaminya dari memarahi Rania atas perbuatannya petang tadi.

“Memang lah.  Tapi Nia ni nak kena tegur.  Apa yang dia buat tu salah.  Dia ni kalau buat salah, macam ni lah dia.  Memerap dalam bilik. Takut orang marah. Nia, bukak pintu ni sekarang sebelum Abang Long pecahkan pintu ni!”  Rayyan memekik lagi.

“Apahal kecoh-kecoh ni?  Tak boleh tengok orang senang betul lah!”  Rania menjerit kuat sebaik pintu biliknya dibuka.

“Nia, kenapa suruh Zara naik tingkat atas jumpa kami kat bilik?  Apa tujuan Nia buat macam tu?!”  Rayyan cepat-cepat meloloskan dirinya ke dalam bilik Rania.  Mendorong gadis itu ke belakang.

“Hai, mestilah sebab dia nak jumpa Kak Airis.  Takkan lah dia saja-saja pulak nak naik atas.”  Rania mengendurkan suaranya.  Bimbang melihat amukan abangnya itu.

“Tipu! Nia tipu kan?  Nia suruh dia naik ke atas, cari bilik kami, cakap Kak Airis yang nak jumpa kan?  Betul kan?!”  Rayyan menengking lagi.  Dia tahu Rania berbohong untuk menyelamatkan dirinya.

“Memang!  Memang Nia sengaja suruh Kak Zara naik, suruh dia jumpa Kak Airis.  Biar dia tahu korang dah kahwin!”  Rania membalas jeritan Rayyan.  Dari tadi Airis berdiri tercegat. Sekadar memerhati pergaduhan dua beradik itu.

“Kenapa Nia?  Kenapa?  Kan Abang Long dah pesan, rahsiakan perkahwinan kami! Apa yang susah sangat Nia nak faham?” 

“Kenapa Abang Long nak rahsiakan?  Kenapa dah kahwin, tapi tak nak semua orang tahu?  Sebab Abang Long tak sukakan Kak Airis kan?  Sebab perempuan ni gemuk kan, hodoh, tak sepadan dengan Abang Long kan?  Tak setaraf dengan Kak Min kan?  Itu kan sebabnya?!”  Berombak-ombak dada Rania melawan kata-kata Rayyan.  Terbuntang mata Airis mendengar kata-kata Rania.  Tidak menyangka adik iparnya itu sanggup menghinanya sebegitu rupa.  Telinganya panas.  Dia cepat-cepat berpaling, berhajat meninggalkan bilik itu.

“Airis, tunggu!”  Rayyan cepat-cepat menghalang Airis dari melangkah keluar.

“Nia, walau macam mana buruk, teruk sekali pun, ini isteri Abang Long.  Kalau Nia benci dia sekalipun, tolong jangan hina dia.”  Rayyan melembutkan suaranya.  Dia tahu Airis terguris. Dia perasan genangan air di mata Airis.  Dan sebagai suami, walaupun hanya pada sekeping sijil nikah, dia harus mempertahankan Airis.

“Memang betul apa yang Nia cakap.  Kalau nak dibandingkan Kak Airis ni dengan Kak Min, jauh bezanya!  Nak mengaku kakak ipar pun segan!”  Nia mencebikkan bibirnya.  Dia menjeling Airis yang berdiri tercegat di sisi Rayyan dengan ekor matanya.

“Entah mana Papa kutip, lepas tu suruh kahwin dengan Abang Long.  Entah-entah saja kahwin dengan abang sebab nak kikis harta keluarga kita.  Sudah lah dari sekolah, Papa yang tanggung dia, kenapa dah kahwin ni pun kita nak kena tanggung dia?  Pengemis macam ni tak layak masuk keluarga kita.  Kak Min yang sepatutnya jadi kakak ipar Nia ni.  Bukan dia! Dia tak layak jadi kakak ipar Nia! Pengemis!”  Darah Rayyan betul-betul menyirap saat Rania menghabiskan kata-katanya.  Ayat yang meluncur di mulut Rania ternyata cukup kasar dan mengguris perasaan. 

“Nia ni kenapa melampau sangat?!”  Rayyan melayangkan tangannya tinggi bersedia untuk memberi penampar kepada adiknya itu.  Biar pun dia tidak menyintai Airis, biar pun gadis itu tidaklah sesempurna Jasmin di matanya, tapi maruah isterinya itu tidak seharusnya dipijak sesuka hati, walaupun oleh adik kandungnya sendiri.  Manusia, serendah mana pun tarafnya, tetap harus dihormati oleh manusia yang lain walau setinggi mana pun kedudukannya.

“Sudah! Sudah! Berhenti bergaduh!”  Cepat-cepat Airis memaut lengan Rayyan.  Menghalang suaminya dari menampar Rania.  Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih bercelaru walaupun hatinya begitu pedih ketika itu.

“Kenapa Abang Long berhenti?  Kenapa tak tampar jek adik abang ni?  Sebab perempuan ni abang sanggup nak tampar Nia kan?  Tampar lah! Kau ketepi! Biar abang aku tampar aku.  Baru puas hati kau kan?!”  Rania pula mencengkam lengan Airis kuat.  Badan Airis ditolaknya kuat sehingga Airis terdorong ke tepi dan di luar kawalannya, lengannya yang berbalut terhentak kuat ke meja solek.  Sakitnya bukan kepalang. Dia terus terduduk di sisi meja solek. 

“Airis!”  Cepat-cepat Rayyan mencangkung.  Memegang lengan Airis yang berbalut.  Balutan di lengan itu mula menampakkan tompokan merah. Semakin lama semakin besar dan akhirnya darah mulai mengalir keluar dari celah balutan yang melilit lengan Airis.  Rayyan panik.

“Mama! Mama!  Mak Intan!”  Rayyan menjerit kuat memanggil Datin Marissa dan Mak Intan di tingkat bawah.  Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya.

“Kenapa ni Ray, terjerit-jerit?”  Datin Marissa yang tiba sejurus kemudian terus meluru ke arah Rayyan yang sedang duduk di sisi Airis.  Terbeliak matanya melihat lelehan darah yang mengalir di lengan Airis.  Rania dilihatnya sedang berdiri tercegat dengan wajah yang pucat.

“Ya Allah, apa dah jadi ni?!  Kenapa ni Ray?  Kenapa ni Nia?  Apa korang buat kat bilik Nia ni?”  Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Datin Marissa kepada kedua anak-anaknya itu.  Dia pantas mencapai tuala berwarna krim yang tersidai di penyangkut dan segera menekap darah yang mengalir keluar.

 “Ya Allah, kenapa ni Airis?  Kenapa ni Datin?”  Mak Intan yang tiba tidak lama kemudian turut terkejut.  Sebenarnya sebelum dia pergi ke dapur tadi, dia sudah terdengar jerit pekik Rayyan di tingkat atas.  Enggan masuk campur urusan dua beradik itu, dia pura-pura tidak mendengar dan terus pantas melangkah ke dapur menyiapkan kerja rumahnya.  Dan sekarang dia betul-betul terkejut, tidak menyangka pertengkaran itu berakhir sebegini rupa.

“Tak tahulah apa jadi budak-budak ni.  Dah Ray, pergi hospital sekarang ni jugak.  Suruh doktor periksa luka Airis ni.  Tak berani Mama nak bukak balutan ni.”  Datin Marissa memaut bahu Airis, mendorongnya ikut sama bangun. 

Rayyan bingkas bangun. Cepat-cepat dia menuju ke biliknya, menukar seluar pendeknya kepada seluar jeans lantas mencapai kunci keretanya yang tergantung di dinding.  Sempat dia menjeling tajam ke pintu bilik adiknya sebelum menuruni anak tangga ke bawah.  Hatinya jadi bertambah sakit!







“Ray, sorry mama kacau.  Mama risau ni, Rania dari semalam tak balik-balik.” Semua mata di dalam bilik mesyuarat itu memandang tepat ke arah Rayyan yang menutup mulutnya, mengelak suaranya bergema didengari semua orang.

“Apa?  Dari semalam tak balik?  Kenapa hari ni baru Mama beritahu?”  Rayyan membuntangkan matanya.  Tangannya masih lagi menutup sebahagian mulutnya, menghalang suaranya kedengaran kuat di dalam bilik mesyuarat itu.  Dia bingkas bangun, memberi isyarat tangan dan kemudian terus keluar dari bilik mesyuarat.

“Mama tunggu Nia balik sampai pagi Ray, tapi dia tak balik-balik.  Ni dah tengahari dah ni,  tak jugak balik. Tu yang Mama call ni.”  Suara Datin Marissa cemas.

“Papa tahu tak ni?”  Rayyan teringat bapanya.  Pasti lelaki itu mengamuk jika berita ini sampai ke telinganya.

“Ray lupa ke?  Kan Papa pergi Hong Kong.  Esok baru dia balik.”  Datin Marissa mengingatkan Rayyan.  Dia takut untuk menghubungi suaminya malam tadi, bimbang mengganggu urusan suaminya itu.  Dan lebih menakutkan dia, Dato’ Harun mengamuk kerana ini bukan lah kali pertama Rania tidak pulang ke rumah.  Untuk memberitahu Rayyan, anaknya itu pulang ke rumah saat jam sudah mencecah ke 11 malam.  Malas untuk menyusahkan hati Ray, dia memutuskan untuk menunggu Rania balik sehingga lah ke saat ini.  Tapi, langsung bayang Rania tidak juga muncul.

“Kejap lagi Ray balik.  Kita cari sama-sama.”  Rayyan mematikan talian.  Dia masuk semula ke dalam bilik mesyuarat dengan wajah yang keruh.

Sorry guys.  I have to adjourn this meeting to the next date that will be informed.  I have a personal matter.”  Cepat-cepat Rayyan mengemas segala nota-nota dan minit mesyuarat di atas mejanya.  Dia menyerahkan segala fail dokumen kepada Marlina, setiausahanya.  Tergesa-gesa dia masuk ke dalam biliknya, kemudian berlari keluar dengan briefcase di tangan.

“Dah call kawan-kawan dia Ma?”  Tanya Rayyan sebaik ternampak kelibat mamanya yang sedang menundukkan wajah saat berteleku di atas sofa.  Datin Marissa mengangguk sekilas tapi tidak mengeluarkan sebarang kata-kata.  Fikirannya betul-betul serabut ketika itu. Dia risaukan keadaan Rania yang sudah lebih 24 jam tidak diketahui berita. Entah ke manalah Rania menghilang.

Rayyan menghela nafasnya kasar.  Kali ini dia betul-betul geram dengan sikap Rania.  Ini sudah masuk kali ketiga Rania menghilangkan diri tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan.  Kali pertama, bapanya dapat menangkap dia sedang melepak dengan beberapa kawan perempuannya bersama tiga orang lelaki jongos yang tidak dikenali.  Kali kedua, mamanya pula menangkap dia sedang asyik berpelukan bersama seorang lelaki selekeh juga tidak dikenali di bangku sebuah perhentian bas. Dan sekarang dia buntu ingin mencari Rania di mana.  Telefonnya berdering kuat tiba-tiba.

“Hello?” 

“Hello, ini family Rania ye?  Siapa ni?”  Kedengaran seorang wanita berusia dalam lingkungan 40 an di hujung talian.  Rayyan mengerutkan keningnya.

“Ya, saya Rayyan.  Abang Rania.” 

“Oh, abang Rania ye.  Makcik ni Latifah, mak kepada Hairi, kawan Rania.  Rania ada kat rumah makcik ni. Dia cakap dia takut nak balik rumah.”  Suara wanita bernama Latifah itu lembut kedengaran di telinga Rayyan.  Membatalkan niat awalnya yang ingin marah tadi.

“Kalau dia tak buat salah, takde siapa yang marahkan dia mak cik.  Mak cik duduk mana?  Kejap lagi saya ambik Rania.” Rayyan mengerutkan dahinya.  Terasa pelik dengan kenyataan Rania yang takut ingin pulang ke rumah.  Takutkan apa? Siapa?

“Eh, tak boleh.  Rania cakap kalau family dia tahu dia kat mana sekarang ni, teruk dia kena belasah dengan korang.  Dia cakap korang selalu pukul, dera dia.  Sebab dia tak tahan lagi, dia mintak tolong Hairi.  Mak cik cuma beritahu jek ni, dia ada kat rumah mak cik ni.  Mak cik takut korang risau.”  Rayyan tercengang.  Terkejut dengan cerita yang disampaikan mak cik Latifah.  Rania didera keluarga sendiri?  Hatinya bertambah panas. Rania sudah melampau!

“Mak cik, cuba mak cik tengok-tengok lengan dengan kaki dia?  Patah tak? Ada lebam sana sini tak?  Tengok kat muka dia pulak.  Ada bibir pecah kena tumbuk, mata lebam? Takde kan?  Kitorang ni masih belum tergamak lagi nak pukul walaupun macam-macam dah dia buat perangai, mak cik.  Rania ni bermasalah mak cik.  Dia memang suka lari dari rumah.  Dan ini bukan kali pertama dia lari dari rumah, ni dah masuk kali ketiga dah ni.  Cakap kat anak mak cik tu, kalau nak cari awek, tolonglah cari selain dari Rania ni.  Mak cik nak ke menantu mak cik nanti dah kahwin dengan anak mak cik, tak sampai sebulan 12 kali lari dari rumah?”  Rayyan bersuara lembut tapi penuh sindiran.  Terasa ingin dihamun Rania saat itu juga tapi dikawal perasaannya.

“Sekarang mak cik kena beritahu alamat rumah mak cik.  Mama saya dah risau sangat-sangat dah tu.  Segala apa yang keluar dari mulut Rania tu mak cik tolong lah jangan percaya.  Kejap lagi saya bawak mama saya sekali, mama saya pun boleh terangkan segala-galanya.”  Rayyan menjeling sekilas ke arah Datin Marissa yang dari tadi tidak melepaskan pandangan mata ke arahnya.

“Tapi...” Suara mak cik Latifah terhenti.  Dia masih ragu-ragu.  Keliru memikirkan siapa yang bercakap benar dalam hal ini.

“Mak cik, saya tak bohong.  Kenapa lah kami nak dera dia?  Jentik dia pun tak pernah mak cik.  Mungkin sebab tu lah, dia jadi teruk macam ni.  Mak cik jangan risau, saya bawak mama saya sekali ni.”  Rayyan menerangkan lagi.  Dia faham wanita itu pastinya ragu-ragu untuk mempercayai pihak yang mana bercakap benar. Penderaan bukan satu kes yang boleh dipandang ringan.

“Kejap lagi mak cik sms kan alamat rumah mak cik.  Mak cik harap mak cik buat tindakan yang betul kali ni.”  Mak cik Latifah bersuara sayu.  Di hatinya masih belum hilang rasa ragu-ragu.  Dia bimbang jika Rayyan yang menipu.

“Takpe.  Kita jumpa dulu nanti.”  Rayyan mematikan talian.  Dia meraup wajahnya.  Kesal dengan sikap Rania yang sanggup memburukkan keluarga sendiri.

Sebaik mendapat kiriman sms dari Mak cik Latifah, Rayyan bersama Datin Marissa bergegas menaiki kereta menuju ke rumah wanita itu.  Empat puluh minit kemudian, kereta mereka menyusur masuk ke perkarangan rumah Mak cik Latifah.  Sempat Rayyan menangkap kelibat Rania yang bergegas masuk ke dalam rumah.  Hatinya terbakar kembali.

“Assalamualaikum. Puan Latifah ye?”  Datin Marissa tersenyum kelat tapi tetap menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan wanita yang tercegat di hadapan pintu rumah itu.

“Waalaikumussalam.”  Latifah menjawab acuh tak acuh.  Dari tadi dia memerhati Datin Marissa dan Rayyan dari atas ke bawah.  Dari gaya, dia tahu mereka adalah dari golongan berada.  Mendera Rania nampak tidak logik pada pandangannya.  Tapi, siapalah yang tahu kebenarannya?

“Rania ada kat dalam mak cik?  Kami nak ambil dia bawa balik ke rumah.”  Rayyan terus bersuara.  Malas hendak membuang waktu.
“Ada.  Tapi dia cakap dia tak nak balik.”  Latifah mengeruhkan wajahnya.  Dia masih keliru, siapa sebenarnya yang bercakap benar atau mereka cerita.

“Bagi kami jumpa dia dulu Puan Latifah.”  Datin Marissa memaut lengan Latifah.  Mengharap pengertian wanita itu.  Latifah menunduk, masih berkira-kira untuk membenarkan mereka masuk dan berjumpa Rania.

“Baik saya, abang dia ni atau pun suami saya, kami tak pernah pun pukul dia.  Apatah lagi nak dera macam yang dia cakap.  Kalau diikutkan hati, dengan perangai dia yang macam tu, memang sepatutnya kami dah pukul dia sebagai pengajaran.  Tapi bukan itu cara didikan saya pada anak-anak.  Puan pun ada anak kan?  Mesti Puan faham perasaan saya sekarang ni.  Kami memang tak bohong, kami tak pernah pun pukul dia.  Tolonglah pujuk dia balik.”  Mata Datin Marissa mula digenangi air.  Dia risaukan keadaan Rania.  Gadis itu terlalu mengikut kata hati.  Langsung tidak memikirkan perasaan keluarga.  Lama Latifah termenung sebelum dia akhirnya memusingkan badan dan masuk ke dalam rumah.

“Nia tak nak balik.”  Ujar Rania sebaik muncul di hadapan mama dan abangnya.  Wajahnya ditunduk. Enggan bertentang mata.

“Balik sekarang!”  Rayyan menengking.  Tangannya pantas merenggut lengan Rania kuat.

“Sakit lah! Lepas!”  Rania menjerit.  Pegangan tangan Rayyan ternyata cukup kuat. Berkali-kali dia cuba meleraikan pegangan tapi gagal.

“Apa ni bang?  Kalau dia tak nak, jangan paksa boleh?” Tiba-tiba muncul seorang remaja dari balik pintu.  Dia merentap pegangan tangan Rayyan pada lengan Rania.

“Kau siapa? Pakwe dia?”  Rayyan bengang. 

“Saya tahu abang ni abang Rania.  Tapi itu tak bermakna abang boleh buat suka-suka hati kat dia.  Abang tak boleh suka-suka nak pukul dia! Paksa-paksa dia macam ni!”  Nafas Hairi turun naik.  Dia sebolehnya cuba menyelamatkan Rania.

“Kau ni buta ke?  Kau tengok adik aku ni.  Ada kau nampak lebam?  Ada nampak dia patah riuk?  Ada?!”  Jerkah Rayyan.  Dia betul-betul marah dengan Hairi yang tiba-tiba mencelah sedangkan remaja itu tidak tahu kisah sebenar.  Hairi terdiam.  Tiba-tiba dia terasa ada logiknya dengan pertanyaan Rayyan tadi.  Otaknya ligat membayangkan tubuh dan wajah Rania.  Betul, gadis itu langsung tiada sebarang tanda dipukul atau bekas lebam lama.

“Kau batalkan jek lah hasrat kau nak buat adik aku ni jadi awek kau.  Bagi aku ajar dia biar jadi orang dulu baru boleh menggatal nak berlaki.”  Rayyan tersenyum menyindir.  Dia tahu remaja itu pastinya menyukai Rania.  Dan dia pasti, segala temberang Rania, Hairi mempercayainya bulat-bulat.

“Tapi abang tak boleh buat macam ni.  Saya boleh report polis.”  Hairi masih bertegas.  Walaupun hakikatnya kini dia sendiri keliru siapa yang bercakap benar.

“Pergi lah report polis.  Kau ingat aku takut?  Kalau kau report polis, aku boleh cakap kau yang bawak lari adik aku ni.  Sekarang, siapa yang polis lebih percaya?  Aku dera adik aku yang sihat walafiat ni ke atau kau yang bawak lari anak dara orang?”  Hairi terkebil-kebil.  Dia menelan liur.  Dia menoleh ke arah Rania sekilas sebelum memaut lengan ibunya.

“Awak balik dulu.  Apa-apa hal beritahu saya cepat-cepat.”  Hairi bersuara mendatar.  Dia tidak punya pilihan lain.

“Ei..kau tak faham ke aku tak nak balik?  Lelaki apa kau ni ha?  Kau takut ke dengan abang aku ni?!”  Darah Rania mula menyirap saat melihat teman lelaki yang baru dikenalinya itu mula menyebelahi Rayyan dan Datin Marissa.

“Nia, awak balik dulu.  Salah awak duduk sini.  Nanti family awak report polis, family saya yang susah.”  Hairi mengendurkan suaranya.  Dia sebenarnya sedikit terkejut dijerkah Rania tadi.  Ternyata berlainan dengan sikap Rania yang dikenalinya selama hampir dua minggu sebelum ini.

“Tak nak! Aku tak nak balik!  Aku nak duduk sini dengan kau!  Diorang ni dera aku lah.  Kau tak faham ke aku tak nak balik?!”  Rania menengking lagi.  Sudah hilang rasa malunya pada ibu Hairi.  Dia sudah tidak peduli.  Yang penting dia tidak mahu pulang ke rumah mengikut abang dan mamanya.

“Sekarang kau cakap dengan aku, abang mana yang tak nak bagi pelempang kalau dapat adik macam dia ni?”  Rayyan menyindir lagi.  Hairi masih terkebil-kebil.  Masih terkejut dengan perangai sebenar Rania.  Sesekali dia memandang wajah ibunya yang turut tampak begitu terkejut.  Rania sekarang begitu berbeza dengan Rania yang datang ke rumah semalam.  Dia sudah tidak lagi mengenali gadis itu.

“Masuk kereta sekarang!”  Rayyan menengking ke arah Rania.  Matanya dibeliakkan.  Nafasnya turun naik laju. 

“Sudah lah Nia.  Jangan malukan Mama lagi.  Kita balik, kita bincang apa yang Nia tak puas hati. Apa-apa hal kita balik dulu.”  Datin Marissa pula cuba memujuk Rania.  Dia menggamit lengan Rania, mengajak anak gadisnya itu masuk ke dalam kereta.  Lega, Rania tidak membantah kali ini walaupun wajah gadis itu mencuka masam.

“Mak cik, saya mintak maaf tertinggi suara kat anak mak cik tadi.  Saya mintak maaf sebab Rania ni dah susahkan mak cik sekeluarga.  Terima kasih sebab percaya cerita saya dan mama saya.  Kami akan cuba sedaya upaya ubah sikap Rania.”  Rayyan menghulur tangannya untuk bersalam dengan Latifah.  Wanita yang hampir sebaya ibunya itu menyambut salam dan membiarkan Rayyan mencium tangannya.  Dia pasti kini, siapa yang betul-betul bersalah dalam hal ini.  Rania, bukanlah seperti yang dia gambarkan sebelum ini.  Dan sebagai ibu, dia takut membayangkan hubungan anaknya dengan Rania. 






“Aku mintak maaf pasal Rania.”  Rayyan mengalihkan pandangan matanya.  Dia enggan melihat ke dalam mata Airis.  Terasa bersalah dengan perlakuan Rania.

“Takpe, aku ok.  Dia tak sengaja.”  Airis mengukir senyum kelat. Dua jahitan di lengannya tertetas menyebabkan darah mengalir keluar dengan banyak akibat hentakan kuat di meja solek tadi.  Doktor sudah pun menjahitnya semula dan dia dibenarkan balik semula ke rumah.  Saat mereka menjejakkan kaki ke rumah, jam sudah pun menunjukkan ke angka 9.30 malam.  Dia betul-betul letih.  Badannya terasa letih ditambah dengan perit mencucuk-cucuk di lengannya. 

“Kau dah nak tidur?”  Rayyan terkebil-kebil memandang Airis yang sedang mengibas sofa menggunakan selimut tebalnya.

“Ha ah.  Kenapa?  Kau ada nak apa-apa ke?”  Airis terus mengibas tanpa menoleh ke arah Rayyan yang sedang duduk di atas katil.

“Aku nak minum kopi.  Buatkan boleh?”  Rayyan tersengih.
“Baru satu malam duduk kat hospital.  Dah rindu dah dengan kopi aku?”  Airis turut tersengih.  Tak menyangka lelaki itu rindukan kopi air tangannya.

“Kejap, aku turun bawah buatkan.  Kau nak minum kat sini ke kat bawah?” 

“Kat sini.  Kau bawak naik atas. Aku tunggu.”  Airis tidak menyoal lagi sebaik mendengar kata-kata Rayyan.  Pantas dia keluar dari bilik dan menuju ke dapur ingin menyiapkan kopi seperti diminta Rayyan.  Berbunga sungguh hatinya ketika itu, walaupun Rayyan cuma meminta secawan kopi.  Entah mengapa, dia senang sekali dengan arahan itu.  Terukir senyuman di bibirnya.

Penuh hati-hati Airis menatang dulang berisi secawan kopi panas berasap itu menaiki tangga ke biliknya.  Dia menguak pintu perlahan.  Kemudian meletakkan dulangnya di atas meja solek sambil matanya tercari-cari kelibat Rayyan.  Melihat tabir pintu yang terbuai-buai ditiup angin, dia pasti Rayyan tentu sedang menghisap rokok di balkoni luar.  Matanya terpandang pula pada selimut dan bantalnya yang berselerak di atas katil.  Dahinya berkerut, cepat-cepat dia mengambil kopi tadi sebelum melangkah ke luar balkoni.

“Kenapa dengan selimut dan bantal aku tu?”  Airis meletakkan cawan berisi kopi di hadapan Rayyan lalu dia melabuhkan duduknya.  Puntung rokoknya sudah dilenyekkan di dalam ashtray.

“Malam ni kau tidur lah dekat katil aku tu.”  Airis mengerutkan dahinya.  Dadanya berdebar.  ‘Habis tu pak cik  ni nak tidur dengan aku ke? Ishhh...’ Airis mengusap roma di lehernya.  Terasa meremang.

“Dalam keadaan kau macam ni, takpelah.  Kau tidur jek kat tilam aku tu.”  Rayyan mengangkat cawannya, mendekatkan ke bibir.  Meniupnya perlahan.  Bau harum kopi menyucuk rongga hidungnya.

“Habis kau?”  Airis belum sudah mengerutkan dahinya.  Dia betul-betul risau.

“Aku tidur kat sofa lah.  Takut sangat aku nak tidur dengan kau.  Sepatutnya memang boleh tau aku tidur dengan kau.  Kita kan dah kahwin.”  Airis terkebil-kebil.  Walaupun terasa ada benarnya kata-kata Rayyan, tapi tidur berdua sekatil dengan lelaki itu? Ahhh...dia terasa janggal. 

“Dalam dua, tiga hari kita pindah.  Aku tengah survey rumah sewa dekat-dekat sini.”  Rayyan meneguk kopi yang masih berasap itu perlahan-lahan.

“Pindah?  Kenapa?” Airis terkejut.  Langsung tidak menjangka keputusan Rayyan yang agak mendadak itu.

“Aku tahu Rania tak suka kau.  Dan kau pun mesti tak selesa dengan dia kan?  Takpelah, kita pindah duduk rumah sendiri.  Sekarang ni, Zara dah tahu pasal kita.  Silap-silap Jasmin pulak dapat tahu hal ni, lebih baik kita pindah.” 

“Lagi pun kalau aku nak keluar malam dengan Jasmin, Papa selalu membebel.  Kalau kita dah duduk sendiri, payahlah sikit Papa nak monitor kita kan?” Rayyan menjongkit keningnya ke arah Airis.

“Sampai bila kau nak sorok benda ni dari Kak Min dan yang lain-lain? Lama-lama semua orang akan tahu jugak.”  Airis menunduk.  Kesal dengan keputusan Rayyan ingin berpindah semata-mata untuk menyorokkan status mereka dari pengetahuan orang lain dan mengelak dari dimarahi Papa setiap kali bertemu Jasmin.

“Sampai Jasmin terima cinta aku.  Masa tu aku akan lepaskan kau.  Lagi pun kau ada Ziyaad kan?  Masa tu takde siapa pun tahu yang kita pernah kahwin, pernah jadi suami isteri.  Sebab tu aku nak kita rahsiakan status kita ni.”  Airis tersentak.  Walaupun dia tahu satu hari nanti dia akan dilepaskan Rayyan, entah mengapa hatinya terguris mendengar kenyataan Rayyan.

“Suka hati kau lah. Tapi Mama macam mana? Dia tak kisah ke kita nak duduk sendiri ni?”  Cepat-cepat Airis melupakan rasa hatinya.  Mujur dia terfikirkan tentang ibu mertuanya.  Tentu ibu mertuanya terkejut dengan keputusan Rayyan yang terlalu mendadak.

“Mama ok.  Kau jangan risau pasal Mama.  Lagi pun kita pindah dekat-dekat sini jek.  Kita balik lah jenguk Mama dan Papa hujung minggu.” 

“Kesian Mama time Papa takde nanti.  Nia pun bukan balik sini selalu.  Cuti sekolah jek dia balik.”  Suara Airis mengendur.  Tiba-tiba datang rasa sayu bila mengenangkan Datin Marissa akan keseorangan bila Dato’ Harun ke luar negara atas urusan perniagaan.

“Kau ingat kalau Rania tu ada kat sini, membantu sangat ke?  Nanti lagi banyak masalah yang dia buat, lagi pening kepala aku.”  Rayyan mendengus.  Saat nama Rania terpacul, darahnya naik kembali.  Marah dia pada perbuatan Rania siang tadi tiba-tiba memuncak semula.

“Dia belajar kat mana sekarang ni sebenarnya?”  Airis melembutkan suaranya.  Cuba mengorek kisah sebenar mengenai adik iparnya itu.

“Papa hantar dia kat rumah kawan Papa kat Terengganu.  Ustaz ni uruskan sekolah pondok kat sana tapi Nia ni dimasukkan ke sekolah biasa sebab kat sana pelajar semuanya lelaki.  Tapi, walaupun sekolah biasa, balik sekolah Ustaz ni dengan isteri dia yang akan monitor segala pergerakan Nia.  Kat sana jugak Ustaz tu akan dedahkan dia dengan ilmu-ilmu Islam.  Bukannya kami tak sayang Nia tu, hantar dia jauh-jauh.  Tapi kat sini, kami sendiri tak boleh nak control dia.  Sebelum kami hantar ke sana, dah tiga kali dah dia lari dari rumah.  Jadi, sebelum jadi apa-apa yang lebih buruk, Papa mintak tolong kawan dia kat sana.”  Rayyan memandang ke dalam mata Airis yang dari tadi tekun mendengar.

“Mungkin sebab dia baru nak menginjak remaja, sebab tu dia buat sesuatu keputusan tu tanpa fikir dulu. Biasalah, budak baru nak naik.”  Airis mengukir senyum tawar.  Cuba memujuk hati Rayyan yang sedang marah.

“Aku harap sangat dia berubah bila dia duduk kat sana di bawah bimbingan ustaz dan ustazah tu.  Kalau tak jadi sebaik seorang ustazah sekali pun, cukup lah jadi sebaik Rania Irdina, adik yang aku pernah sayang dulu.”  Rayyan meruap wajahnya.  Betul, dia rindukan satu-satunya adik yang dia ada.

“Semua tu perlukan masa.  Dan kau sebagai abang, kena selalu doakan dia supaya lembut hati untuk berubah.  Perubahan pada seseorang tu bukan terletak pada siapa yang mendidiknya tau, tapi pada hati orang tu sendiri.  Kalau dia memang nak berubah, bila-bila masa pun dia boleh berubah.  Kau kena bagi dia masa.  Dah lama dia sekolah kat Terengganu?”  Rayyan terkebil-kebil mendengar kata-kata Airis.  Sungguh, hatinya tersentuh mendengar ayat yang meluncur dari mulut Airis.  Terasa gadis itu sedang memujuknya di dalam diam dengan aura positif.

“Dah dekat setahun.  Tapi kau tengok lah, bila balik sini dia ikut kepala dia jek.  Sebab dia jugak lah Zara boleh tahu kita dah kahwin.  Dan sebab dia jugak lah, jahitan kau tu tertetas dan kena jahit balik.  Aku mintak maaf bagi pihak dia.”  Rayyan mengukir segaris senyuman.

“Takpe.  Benda pun dah jadi.  Sebab tu aku tak suka kau kecoh-kecoh.  Kalau kau tak sibuk nak marah dia, mesti benda ni tak jadi kan?”  Airis mengangkat keningnya.

“Benda dah jadi Ris.”  Rayyan pula mengangkat keningnya sambil tersengih.

“Dah, jom masuk tidur. Cawan ni biar jek kat sini. Esok Mak Intan boleh uruskan.” Rayyan bingkas bangun tapi masih tercegat memandang Airis.

“Takpe ke aku tidur situ?  Kalau kau tak selesa, aku boleh jek tidur kat sofa.  Aku dah biasa dah tidur situ.”  Airis masih tercegat enggan bangun.

“Takpe.  Nanti 2,3 hari lagi kita pindah, kita tidur bilik sendiri.  Buat masa ni, kau tidur dulu kat katil aku tu. Tapi esok pagi kemas balik katil aku tu.  Cadar macam biasa, tegang.”  Rayyan menapak menuju ke dalam bilik.

“Dah, masuklah.  Tidur! Ingat senang ke aku nak bagi kau tidur kat tilam aku tu?  Dah, masuk!”  Sergah Rayyan bila dilihatnya Airis masih tidak berganjak dari tempat duduknya.  Terpisat-pisat Airis bangun, masuk ke dalam bilik.  Rayyan dilihatnya sedang berdiri tercegat di sisi suis lampu, memerhati dia yang menutup pintu balkoni dan berjalan menuju ke tilam.  Saat dia melabuhkan kepalanya ke bantal, lampu bilik dipadamkan, manakala lampu tidur dibiarkan menyala.

Dalam kelam cahaya bilik itu, Airis membuka matanya.  Dia melihat Rayyan sedang mengibas sofa dengan selimut sebelum melabuhkan tubuhnya.  Airis tersenyum.  Tidak menyangka lelaki itu sebegini prihatin.  Walau dalam hati Rayyan tiada rasa cinta kepadanya, tapi masih ada perasaan belas terhadap dirinya terutama dalam situasi sebegini. Dia tersenyum lagi.  Dadanya berdebar. Timbul rasa aneh dalam dirinya terhadap Rayyan. Hentikan Airis! Dia sukakan Jasmin! Tapiiii......

“Airis! Kau dah tidur ke?”  Airis tersentak saat mendengar suara Rayyan yang memanggilnya.

“Baru nak tidur.  Kenapa?” Airis bingkas duduk. Dia menoleh ke arah Rayyan yang sudah pun duduk memandangnya dalam samar cahaya lampu tidur itu.

“Kau belum makan ubat kan?” Airis menepuk dahi!  Dia baru saja menarik nafas lega lelaki itu langsung tidak menyebut ubat di hadapannya tadi.  Rupanya, lelaki itu tidak pernah lupa!


“Bangun! Makan ubat sekarang.”  Rayyan memetik semula suis lampu bilik tidur.  Cahaya terang mula menyinari.  Airis menggenggam tangan.  Bersiap sedia ingin menumbuk Rayyan jika dipaksa menelan ubat!








Nota Selit : Sori minggu lepas tak sempat nk update bab 21...AA cuba gak siapkan before friday, tpi on saturday tu baru dapat wat final check...sori sangat2 tuk sayangs semua ye! AA tak sihat lagi sebenarnya ni..tpi tuk sume AA kuatkan semangat n harap2 minggu ni dapat siapkan bab 22...doakan AA cepat sihat ye...jgn lupe tau, 4 bab lagi! (eh, kejapnye...tinggal lagi 4 bab jek rupanye!)