Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday 23 December 2016

Aksara Cinta Elvina - Bab 4






ELVINA mengetap bibir.  Botol mineral digenggamnya kuat-kuat.  Dari tadi dia tekun melihat Iskandar yang sedang rancak berbual bersama rakan-rakannya.  Sama-sama kepenatan sebaik keadaan kicau bilau tadi beransur reda setelah Ustaz Zamri  dan beberapa lagi pelajar lelaki melaungkan azan ke segenap ruang sekolah.

Hatinya meronta ingin berbual dengan Iskandar, entah apa sebabnya dia juga tidak tahu.  Cuma ada sesuatu pada lelaki itu yang buat dia terasa ingin mengenalinya dengan lebih dekat.
            
“Vie!”  Spontan Elvina menoleh.
            
“Kau buat apa kat sini?” Tegur Haslinda dari jauh, dengan muka pelik.  Melihat Elvina yang dari tadi mundar mandir seperti sedang ligat memikirkan sesuatu.
            
“Err...takde apa-apa!”
            
“Kau tahu tak Zati dah bising tunggu kau kat dalam surau sana.  Dia cakap kau keluar tadi lepas hantar dia kat surau.....nak cari aku sebab nak beritahu dia pengsan. Tapi kenapa kau boleh ada kat sini?  Aku kan jual makanan dekat stall sana.”
          
“Errr..aku...ahh...er..” Elvina tergagap-gagap.
            
“Kau ni kenapa?” Kerut di dahi Haslinda semakin jelas.  Matanya melilau, memandang sekeliling kawasan itu sebelum tertancap pada susuk tubuh Iskandar yang sedang duduk berkumpul bersama kawan-kawannya di anak tangga tepi gelanggang futsal itu.
            
“Kau ni....”  Haslinda tersengih.
            
“Apa?!”  Elvina menjegilkan biji matanya.  Serentak pipinya merona merah menahan malu yang tiba-tiba saja muncul.
            
“Kau perhatikan Iskandar kan sebenarnya dari tadi?”  Haslinda masih dengan senyum nakalnya.
            
“Mana ada!”  Elvina memekik lantang. 
            
“Kau jangan nak bohong aku lah Vie!  Kau ingat aku baru kenal kau ke?”  Haslinda tersengih lagi.
            
“Kau ingat aku tak perhatikan kau ke?  Dari jauh lagi aku dah nampak kau terjenguk-jenguk..kejap duduk, kejap bangun.  Tertoleh-toleh, tertinjau-tinjau...mundar-mandir sana sini macam kucing nak beranak!”
            
“Tu....mata kau tu.  Ingat aku buta ke tak nampak kau perhati mamat hujung sana tu?”
            
Haslinda galak dengan provokannya terhadap Elvina.  Dia kenal Elvina.  Dia tahu Elvina menyembunyikan sesuatu di sebalik keresahan dan penafiannya itu.  Dan dia pasti ada sesuatu di dalam hati Elvina terhadap Iskandar.
            
“Mana ada lah!  Aku...aku tunggu...aku...” Elvina terdiam, mindanya ligat memikir idea untuk berbohong.
            
“Apa?” Sergah Haslinda.
            
“Tunggu kau!  Ha..aku tunggu kau!”
            
“Ye lah tunggu aku! Kau tak payah lah nak bohong Vie.  Jangan buat kelakar boleh tak?”
            
“Mana ada buat kelakar?  Aku tengah ketawa ke?”
            
“Tak kelakar kau cakap?  Kau tunggu aku?  Bila masa kau cakap kau nak tunggu aku kat sini?  Dari tadi aku kat stall......sampai aku pergi sendiri jumpa Izati takde siapa pun yang cakap kau tunggu aku kat sini.  Kau jangan nak membohong aku lah.  Kau...”
            
“...Jom lah kita pergi tengok Zati!  Dah, cepat!  Jom! Jom!” Pantas Elvina memintas ayat Haslinda sambil laju tangannya menggapai lengan sahabatnya itu.  Bimbang lebih banyak soalan yang keluar dari mulut Haslinda, semakin mengarut jawapan yang dia berikan. 
            
Iskandar menoleh.  Memerhati dari kejauhan susuk tubuh Elvina dan Haslinda yang sudah pun mula beredar.  Dari tadi, sewaktu dia rancak berborak dengan kawan-kawannya lagi dia sudah perasankan kelibat Elvina yang terjenguk-jenguk memerhatikannya.  Setiap kali dia memandang ke arah Elvina, cepat saja gadis itu melarikan pandangan.
            
Sengaja juga dia membiarkan gelagat gadis cantik itu.  Ingin melihat sejauh mana lagi tindakan Elvina selepas itu.  Lama dia menunggu kalau-kalau Elvina datang mendekat, malangnya sehingga saat Haslinda muncul, Elvina tetap di situ.  Memerhatikan dirinya dari jauh.

Nalurinya yakin, bagai wujud satu getaran antara dia dan Elvina walau jarak mereka yang agak jauh ketika itu.  Bagai terasa-rasa seolah Elvina cuba mendekati dirinya selepas kejadian rasuk di sekolah itu tiga jam yang lepas.  Apatah lagi dia menyedari Elvina yang bagaikan kaku di sisinya melihat dengan tekun setiap kali dia cuba menyelamatkan pelajar-pelajar yang meraung kerasukan.
            
Renungan mata Elvina tepat terus menusuk ke tangkai hatinya.  Buat dia juga terbuai dengan perasaannya sendiri dan bagai dapat membaca bahawa Elvina sedang mengagumi dirinya ketika itu.  Buat dia merasa istimewa pada pandangan mata gadis itu.  Untuk pertama kalinya.  Terasa dirinya dipandang bernilai oleh gadis sesempurna Elvina.
            
Matanya masih memandang pada bayangan dua gadis itu yang semakin lama semakin menghilang.  Masih belum dapat melupakan tingkah Elvina sejak dari tadi.  Buat dadanya juga sesak dengan mainan perasaan sendiri.  Dalam riuh gelak tawa rakan-rakannya, dia tenggelam dalam buaian khayalannya jauh entah ke mana. 


                        *******************************************


“LAMA betul kau cari Linda ye Vie?  Sesat ke?” Izati menjeling tajam.  Wajahnya dipalingkan.  Mengelak dari bertentang mata dengan Elvina.
            
“Alolololo...merajuk pulak dah mak cik ni!  Sini peluk sini...sayang dia!” Elvina mendepangkan tangan lantas bahu Izati diraih.  Dia tahu rakannya itu berpura-pura merajuk.  Sudah masak sangat dengan perangai dua sahabatnya itu.
            
“Kau cari Linda ke Linda cari kau?” Izati tersengih.  Hilang sudah rajuknya saat Elvina memeluknya erat.
           
“Aku cari dia...dia cari aku.” Elvina tersengih-sengih.
            
“Ha ah...kau cari aku sangat!  Cari nun kat futsal court sana!”
            
Futsal court?  Kau buat apa kat situ?  Kan Linda kat stall jual makanan depan blok A?” Izati pelik.  Berkerut keningnya.
            
“Memanglah aku nak cari Linda.  Tapi masa nak pergi ke stall dia, aku jumpa punya lah ramai budak-budak sekolah ni histeria, menjerit, mengamuk.  Kau tahu tak cikgu-cikgu kumpul budak-budak yang histeria ni semua kat dalam futsal court tu supaya senang nak kawal?” Elvina menaikkan keningnya.  Serentak kedua sahabatnya menggelengkan kepala.
            
“Haa...tu lah.  Tak tahu kan?  Sebab tu aku ada kat situ.  Tengok-tengok, tolong-tolong apa yang patut.  Dah kalut tolong sana-sini tu sampai terlupa pulak nak pergi panggil Linda ni.”
            
“Tapi tadi masa aku sampai situ....kau tengah....” cepat-cepat Haslinda menyampuk.
            
“Tengah buat keputusan sama ada nak pergi cari kau atau balik semula kat surau.  Takut lah kalau ada budak lain dah beritahu pasal ni semua masa aku sibuk tolong-tolong tu, jadi mungkin kau dah ada dengan Izati kat dalam surau ni,” laju Elvina mencelah. 
            
“Vie...boleh tak kau tak payah nak temberang aku?” Haslinda senyum senget.
            
“Mana ada temberang?” Elvina menjegilkan matanya.
            
“Aku belum buta Vie sayang oi...kau ingat aku tak nampak ke kau tengah perhatikan siapa?”
            
“Siapa?” Mata Elvina dibulatkan.  Dadanya berdebar.  Malu aksinya diperhatikan tanpa disedari.
            
“Is...”
            
“Is?” Mata Izati terbeliak.
            
“Ya Zati....Is.  Masa aku sampai tu kemain asyik dia merenung si Is tu.  Lepas tu gelisah semacam.  Sekejap bangun, sekejap duduk.  Mundar-mandir macam kucing nak beranak.”
            
“Is?  Is geng study group kita tu ke?”  Izati membesarkan lagi matanya.
            
“Ya lah....Is tu lah.  Is mana lagi lah kat sekolah ni?”
            
“Hai..tak puas ke kau tengok dia dalam study group kita Vie?” Izati tersengih.  Masih terasa pelik dengan kelakuan Elvina.
            
“Sebelum ni cakap menyampah lah, meluat lah.  Time study group tak nak pulak tenung macam tu.  Bila jauh tenung macam nak terkeluar biji mata!” Haslinda menyakat.  Bibirnya menguntum senyum sehingga ke telinga.
            
“Sebab tu lah kita ni jangan menyampah sangat dekat orang...nanti terjatuh sayang.  Sekarang siapa yang malu?  Betul tak kitorang cakap hari tu?” Izati pula menyampuk.
            
“Amboi!  Sedap korang bahan aku kan?  Terjatuh sayang bagai lah.  Ya lah..ya lah...Aku mengaku...”
            
“Haaa...mengaku pun!  Dah jatuh cinta lah tu!” Pekik Haslinda spontan.
            
“Wei..jatuh cinta apanya lah!  Takde maknanya aku nak jatuh cinta bagai ni semua lah!  Aku takde masa nak bercintan-cintun bagai ni semua....”  cepat-cepat Elvina memintas.  Serentak darah panas naik ke kepalanya.  Malu.  Malu mengakui hakikat sebenar perasaan aneh dalam hatinya.
            
“Habis tu tenung si Is tu lain macam dah kenapa?” Haslinda galak mengusik lagi.  Tidak berpuas hati dengan jawapan Elvina.
            
“Tu lah..korang takde kat situ, korang tak tahu.  Aku ni yang nampak dengan mata kepala aku sendiri apa si Is tu buat.”
            
“Dia buat apa?”
            
“Dia macam ada kuasa dalaman yang menenangkan budak-budak yang melolong-lolong terjerit tu...sampai dengan aku sekali macam terpukau.”
            
“Kau ni biar betul Vie.” Haslinda enggan percaya.
            
“Maksud aku dia macam ustaz-ustaz yang merawat benda-benda halus lah.  Kau ingat kuasa dalaman tu Ultraman dengan Superman jek ke yang ada?”
            
“Habis tu kau cakap kuasa dalaman.  Aku dah terbayang dia ada api kat tangan tengah fire hantu. Hebat wei..hebat!” Terus berderai tawa mereka bertiga. 
            
“Tak lah...bukan macam tu.  Kira dia boleh mengubat jugak lah orang-orang kena sampuk ni.....”
            
“...macam tok bomoh!” Sampuk Izati.
            
“Haaa...betul-betul.  Tok bomoh Is!”
            
“Tok bomoh?” Elvina berkerut dahi.
            
“Okey jugak!” Pecah tawa mereka bertiga, bergema ke segenap ruangan surau itu.
            
“Entah-entah dia memang ada menuntut ilmu apa-apa sebab tu pandai mengubat orang kena sampuk.  Korang tak tengok, sekali dia sapu muka budak-budak ni....terus terkulai semua.  Diam, kaku, tak bergerak-gerak lagi dah.  Sebab tu aku kagum dengan dia.
            
Sebenarnya tadi aku terjengah-jengah dia tu, nak ajak dia borak-borak kejap.  Nak tanya lah macam mana dia boleh pandai mengubat macam tu.  Belajar dengan Ustaz ke?  Menuntut ilmu apa-apa ke?  Bukannya dah jatuh cinta, okey!” Elvina menjegilkan matanya.  Menafikan kenyataan kawan-kawannya sebelum ini.
            
Baik Izati dan Haslinda, sama-sama tersengih.  Malu kerana tersalah anggap tapi dalam masa yang sama masih terasa Elvina cuba menyembunyikan sesuatu.
            
“Dah tu  kenapa tak tegur jek?  Bukan kau tak biasa dengan dia?  Dalam study group kemain garang lagi kau dengan dia,”  tanya Haslinda.
            
“Ramai budak-budak lain dengan dia tadi.  Tu yang aku fikir dulu, nak pergi tegur dia kat situ atau nanti dulu.  Tup-tup...kau muncul sergah aku.  Potong betul!”
            
“Mana aku tahu kau nak temu ramah tok bomoh!” Haslinda menyeringai.  Masih belum hilang sisa tawa pada garis bibirnya.
            
“Ala..esok-esok kan kita ada buat lagi study group.  Nanti kita tanyalah puas-puas macam mana dia boleh handal sangat lawan kuasa-kuasa mistik ni semua.  Aku pun berminat jugak nak tahu.  Tak sangka dia sehebat tu.  Kalau time study group kemain baik, senyap jek.  Tunduk, pasrah dan menyerah jek.  Time kelas pulak asyik kena denda diri depan pintu jek macam pak guard.  Rupa-rupanya ada bakat terpendam.  Jadi tok bomoh!” Spontan ketiga-tiga mereka ketawa besar.
            
“Cakap fasal study group ni, minggu depan lah kita mula.  Esok dah Jumaat, dapat cuti sebab ganti hari ni Ko-ko.  So, aku rasa kita mula semula Isninlah.  Kita rehat hujung minggu ni.  Lagipun kesian pulak dekat kau,” terus semua mata tertumpu pada Izati.
            
“Ha ah takpelah.  Lagipun aku penat ni.  Tiga hari cuti tu boleh aku tidur puas-puas.”  Haslinda tersengih.
           
“Tidur jek yang kau tahu. Kita ni hujung tahun dah SPM tahu.  Dah tak banyak masa yang kita ada.  Sekarang dah bulan September.  Pejam celik, pejam celik, tahu-tahu esok kita dah exam,” sampuk Izati.
            
“Habis tu kau tu okey ke?  Aku kesian kat kau Zati. Mana tahu masih belum okey,” cepat-cepat pula Elvina memintas.  Bimbang niatnya disalaherti.  Sedar masa kian singkat sebelum peperiksaan besar dalam hidup mereka bermula tapi dia risau keadaan sahabat baiknya itu.
            
“Aku okey kot?  Entah, kadang-kadang macam ada rasa pening sikit-sikit.  Macam nak demam pun ada.”  Izati memicit dahinya perlahan-lahan.
            
“Semangat kau belum okey lagi ni.  Terkejut tadi.  Sebab tu aku suruh kita buat study group minggu depan jek tunggu kau dah betul-betul sihat.  Nanti kau balik suruh lah mak ayah kau cari air penawar dekat ustaz mana-mana yang pandai untuk pulihkan semangat....”
            
“Amboi Vie...kau dah macam bini tok bomoh nampak?” Pantas Haslinda menyampuk.  Lebar sengihannya kali ini.  Masih galak menyakat Elvina.
            
“Eh...ak..aku..cakap jek apa yang aku tahu.  Bukannya Is yang beritahu aku pun nak kena buat apa dengan orang-orang yang lemah semangat ni...”  Elvina tergagap-gagap.  Pipinya sudah merona kemerahan.
            
“....eh, bila pulak si Linda ni cakap pasal Is?  Mana ada dia sebut pasal Is?  Kau ni, semua benda nak libatkan Is padahal kitorang tak cakap pasal Is pun.  Sah kau ni dah angau ni!” Izati pula galak menyakat.
            
“Laa...Linda cakap tok bomoh tadi kan?  So, aku assume tok bomoh tu Iskandar lah.  Korang jugak yang gelarkan dia macam tu tadi.  Takde masa lah aku nak angau-angau ni semua!” Elvina panas hati.  Dia malu hakikatnya diusik sebegitu terus-terusan sejak dari tadi.
            
“Ala...nak angau pun takde salahnya la Vie.  Sesuai apa kau dengan Is tu.  Tok bomoh dan bini tok bomoh!  Wah...boleh buat tajuk novel.  Suamiku Tok Bomoh.  Atau Tok Bomohku Sayang.  Tak pun....Cintaku Si Tok Bomoh,” terburai tawa mereka bertiga.  Lama tawa mereka kali ini.  Masing-masing menekan perut malah ada yang mengesat hujung mata yang berair lantaran ketawa berterusan.
            
Start dah mengarut korang ni.  Malas aku nak layan.” Elvina menarik muka.  Sakit hati disenda kawan-kawannya.
            
“Ala..gurau lah.  Tu pun nak merajuk.” Izati pantas mencucuk pinggang Elvina.  Spontan gadis itu menarik hujung jarinya, menghalang Izati dari terus menggeletek.
            
“Aku nak balik ni.  Korang?” tanya Elvina lantas mengangkat beg galas yang diletak di sisinya tadi.
            
“Aku tengah tunggu mak ayah aku sampai.  Tadi Ustazah cakap dah call diorang. Kau, Linda?” Semua mata tertumpu pada Haslinda pula kali ini.
            
“Aku kena balik stall semula.  Kena tolong diorang kemas dulu stall lepas tu baru boleh balik rumah.  Cikgu dah warning awal-awal dah.  Esok akan ada panel yang datang sekolah untuk check stall area ni.  Mana-mana stall yang tak kemas, berselerak, sampah bersepah-sepah, minggu depan....siap!  Kena bayar penalti lepas tu kelab atau persatuan kena black list tak boleh dah berniaga tahun depan,” terang Haslinda panjang lebar.
            
Terbayang di matanya kini gerai makanan yang diamanahkan kepadanya oleh guru pengendali Persatuan Bulan Sabit Merah.  Dia selaku AJK yang terlibat untuk program Hari Ko-kurikulum pada hari ini dipertanggungjawabkan mengendalikan dapur untuk memasak roti john, roti jala dan burger bersama dua orang pelajar Tingkatan 4.  Mereka inilah yang menjadi pembantu bagi melengkapkan bahan sampingan ketiga makanan tadi sebelum dibungkus dan dijual.
            
Selain daripada ketiga-tiga makanan yang dimasak, beberapa ahli persatuan juga sukarela menyediakan hidangan lain dari rumah masing-masing untuk memperbanyakkan jualan.  Antara yang disediakan oleh mereka adalah kuih-muih, sandwich dan beberapa jenis pemanis mulut.  Minuman-minuman untuk jualan pula disediakan di gerai sahaja dibantu oleh ahli-ahli yang ada.
            
Kebiasaannya pada Hari Ko-Kurikulum yang dianjurkan sekolah setiap tahun pada penghujung bulan September ini akan menggabungkan semua kelab dan persatuan yang ada untuk menyertai gerai-gerai jualan menjual pelbagai barangan dan makanan.  Duit hasil dari kutipan jualan ini kebiasaanya akan dikumpul ke dalam tabung kelab dan persatuan masing-masing untuk kegunaan sepanjang tahun.
            
Selain gerai jualan makanan dan pelbagai barangan lain, akan wujud jugalah rumah hantu seperti anjuran kelab Kebudayaan dan Kesenian yang disertai Iskandar tadi.  Manakala Kelab Kesenian pula kebiasaannya akan menganjurkan galeri lukisan yang mempamerkan pelbagai hasil-hasil seni kesemua pelajar yang berminat.  Di samping itu juga, akan wujud juga pelbagai jenis permainan yang mengenakan tiket bayaran seperti futsal, permainan game virtual secara online dan banyak lagi.
            
Malangnya pada tahun ini terjadi pula peristiwa histeria dan kerasukan yang berpunca dari rumah hantu yang dianjurkan.  Izati pasti aktiviti rumah hantu tidak akan dianjurkan lagi untuk tahun seterusnya selepas ini.  Apatah lagi diawal penganjuran rumah hantu ini pada tahun-tahun sebelumnya telah mendapat tentangan hebat dari beberapa orang guru dan kini perkara yang ditakuti telah pun benar-benar terjadi.
            
“Ye lah.  Memang patut cikgu buat macam tu.  Kan tahun lepas aku terlibat dengan senior.  Yang mana jualan dah habis tu, terus jek balik.  Yang mana tinggal nilah yang kena bersihkan sampah-sampah diorang ni.  Mungkin sebab tu tahun ni cikgu buat peraturan macam ni.  Adil lah kan?  Siapa yang buat sepah, dia lah yang kemas.” Izati menyampuk mematikan lamunan Haslinda.
           
“Kalau macam tu, aku balik dulu lah.  Jumpa korang minggu depan.” Elvina bingkas bangun. 
            
“Tapi pameran kau dengan budak-budak yang lain macam mana?  Takkan nak dibiarkan?” 
            
“Tadi aku dah kunci bilik pameran.  Nanti Isnin baru cikgu Balqis decide macam mana.  Sebab dia ada beritahu aku,  mungkin kekalkan jek kat situ tak payah dikemas.  Senang buat rujukan untuk budak-budak Form 4 nanti.  Kebanyakan material dalam pameran tu  memang ada dalam silibus, jadi senang diorang tinggal ikut contoh jek. Okey korang, aku balik dulu.  Jumpa Isnin,” terus Elvina mengorak langkah.
            
Serentak kedua sahabat itu mengangguk seraya melepas pandang pada susuk tubuh Elvina yang perlahan-lahan meninggalkan mereka.


Thursday 15 December 2016

Aksara Cinta Elvina - Bab 3






“MENYESAL AKU ikut kau!”

Izati menggenggam lengan Elvina kuat-kuat.  Dadanya bagai ingin meletup.  Nafasnya menderu keluar masuk begitu kuat sekali seolah-olah seperti dia baru saja selesai berlari pecut.  Dia takut bukan kepalang.  Suasana sempit dengan cahaya yang samar-samar, buat dia lemas tidak bernafas.  Kepanasan terasa berkuap ditambah pula dengan ketakutan yang menggila buat dirinya basah bermandi peluh.  Elvina hanya mendiamkan diri, pandangannya dihala ke depan.  

Sudah lebih 10 minit dia di dalam rumah itu bersama Elvina.  Tidak terkira banyaknya dia menjerit setiap kali dikejutkan dengan pelbagai jenis boneka hantu yang mengeluarkan hilaian dan jerit tawa menyeramkan.  Dari tadi dia langsung tidak berjauhan walau seinci pun dengan Elvina.  Kalau boleh dia ingin saja memeluk Elvina.  Tapi kalau dah berpeluk, bagaimana pula mereka ingin melangkah kaki keluar dari rumah itu?  Ah...Izati berpeluh!  Dia terasa ingin menangis!
    
Elvina berlagak tenang.  Berpura-pura selamba walau dalam hatinya bergelodak rasa cemas dan takut.  Cahaya yang berbalam-balam dan hampir gelap itu menyukarkan dia dan Izati untuk berjalan dengan laju.  Dibiarkan saja Izati yang menggenggam erat lengannya dari tadi.  Asap putih yang menyelimuti seluruh ruang bilik itu lama kelamaan jadi menyesakkan, menyukarkan lagi penglihatan dan melambatkan perjalanan.
            
Suara jeritan hiruk pikuk dengan alunan lembut mendayu-dayu jadi menyeramkan.  Ditambah pula dengan hilaian dan pekikan dari pengunjung yang lain silih berganti buat bulu roma ikut tegak menaik.  Seramnya bukan kepalang apatah lagi sesekali akan ada kain-kain putih lusuh yang berterbangan melintasi kepala mereka.
            
“Kau tengok tu Vie...ap..ap...apa tu? Terbang-terbang...”  Izati tergagap-gagap sambil mengecilkan matanya.  Cuba melihat dalam samar cahaya objek yang ligat berterbangan.  Badannya dikecil-kecilkan, seolah-olah ingin masuk terus ke belakang badan Elvina.
           
Elvina mencerunkan matanya, menumpukan pada objek yang sedang melayang-layang lebih kurang 300 meter di hadapan mereka.  Lama dia berfikir sebelum menemui jawapan apabila kaki mereka semakin mendekat.
            
“Hmmm...ni diorang buat macam penanggal lah. Tu yang terbang ke sana sini tak boleh duduk diam ni.  Penanggal ni sebenarnya manusia yang amal ilmu salah.  Kepala dia boleh tertanggal cari darah ibu-ibu yang beranak.  Nanti bila dia dah dapat apa yang dia nak, dia balik lah bercantum semula dengan badan dia yang dah terpisah tadi.” Elvina menerangkan.  Izati pucat lesi.
            
Mereka melangkah lagi.  Ternampak pula satu timbunan tanah yang dipacakkan dengan dua biji batu.  Kubur!  Elvina meneguk liur.  Lengannya dicengkam lebih kuat oleh Izati.  Dia mendekat,  memerhati kuburan yang diletakkan di satu sudut rumah itu.  Di atas timbunan tanah itu timbul sepasang tangan yang seolah-olah ingin keluar dari dalam kubur. 
            
“Arghhhh!” Serentak kedua mereka berpaling.   Izati menggigil.  Rasa ingin terkencing.
            
“Ada lah tu budak yang terperanjat.  Entah siapa lah yang pedajal agaknya tu...” Elvina mengomel.  Sengaja ingin menenangkan Izati.
            
“Kat sini takde short cut ke Vie?  Tak payah lah jalan sampai habis.  Aku nak keluar.  Nak terkencing dah ni aku rasa...” Izati gelisah.  Kalau boleh dia ingin berlari keluar.  Tapi ke mana?  Dia sendiri tidak tahu di mana jalan keluar.
            
“Kau nak patah balik ke? Aku pun tak nampak jalan ni...tengok anak panah yang diorang sediakan tu jek.  Lagipun aku rasa dah tak jauh kot.  Dah macam-macam hantu dah ni kita tengok dari tadi.  Takkanlah jauh lagi...” Elvina memujuk.  Dia faham Izati keresahan, gagal mengawal rasa takutnya yang menggila tapi berpatah balik bukan satu tindakan yang bijak fikirnya.
            
Izati rasa ingin menangis.  Takutnya bukan kepalang apatah lagi saat Elvina menolak cadangannya tadi.  Sesalnya juga tidak berguna lagi.  Dia sendiri tidak tahu sudah di peringkat mana kah dia sekarang ini.  Adakah masih di permulaan rumah, pertengahan atau hampir ke jalan keluar rumah hantu ini.  Tiba-tiba dia terasa ingin memarahi penganjur yang punya idea gila ini.  Tapi, tiada siapa yang memaksa dia masuk ke dalam rumah hantu ini!  Dia sendiri yang sukarela ingin menemani Elvina masuk tadi.  Sekarang....dia menyesal!
            
“Ala..kau pegang aku.  Kau ikut jek aku.  Tak payah takut lah...kita dah nak sampai pintu keluar ni aku rasa.” Elvina menepuk lengan Izati yang kejap di lengannya.  Cuba menenangkan sahabatnya itu.  Kakinya mula mengorak langkah perlahan-lahan.
            
“Huwarghhhh!!!” Jerit satu suara betul-betul di tepi telinga Elvina.
            
“Hiyarkkk!!” Spontan Elvina mengangkat tangan, melibas satu objek berwarna putih yang mendepangkan tangan.  Terus makhluk tadi terduduk.
           
“Zati!” Jerit Elvina.  Terkejut melihat Izati ikut sama terjelepuk jatuh.
            
“Kau ni kan.....hiyak!” Pantas Elvina melepaskan penumbuk pada makhluk yang sedang berkerut menahan kesakitan tapi masih cuba untuk membantu mengangkat Izati yang sudah pun terkulai tidak sedarkan diri.
            
“Adoiiii! Sakit...sakit woi! Aku lah...Vie!  Aku ni! Is!” Iskandar menunduk mengelak lagi dari terkena buah silat dari Elvina.  Libasan tadi yang mengena tepat ke tengkuknya masih terasa berbisa.  Kini ditambah pula dengan tumbukan di bibir.  Pecah.  Basah sudah dengan darah.  Dia menyeringai kesakitan.
            
“Is?!” Elvina menjegilkan matanya.  Terkejut mendengar pengakuan Iskandar.
            
“Kau jangan main-main...aku bagi lagi sekali, nak?” Elvina menggenggam penumbuk, dilayangkan tinggi-tinggi bersedia untuk dilepaskan ke wajah Iskandar.
            
“Eh...tak nak! Tak nak!  Betul lah, aku ni. Iskandar!” Cepat-cepat Iskandar menanggalkan rambut palsu yang melekat di kepalanya.  Taring yang diselitkan pada gigi depannya ditanggalkan.  Dia tersengih-sengih. 
            
“Kau kan!  Eiii....” Elvina meninggikan lagi penumbuknya, bersedia untuk mendaratkan ke wajah Iskandar.  Geram dengan sikap Iskandar yang kebudak-budakan.
            
“Ala...gurau lah!  Gurau!  Rumah hantu kot....standard lah ada hantu!”
            
“Kau tengok apa dah jadi pada Zati?  Gurau kau cakap! Eiii...kau ni!” Elvina mengetap bibir.  Geram.
            
“Dah berpuluh kot orang masuk rumah hantu ni dari pagi tadi.  Takde sorang pun yang pengsan,  Zati sorang jek yang pengsan!  Bukan seram mana pun muka aku ni!” Iskandar tersengih lagi.
            
“Kau sergah macam tu sekali jangan kata orang...gajah pun boleh pengsan!”           
“Kau tak pengsan pun?”

“Kau sebenarnya nak pengsankan aku ke?” Elvina menjegilkan matanya.
            
“Haa...Is!  Pengsan tak? Vie pengsan tak?” Jerit satu suara dari kejauhan.  Elvina terpinga-pinga.
            
“Wahh, hebat kau!  Pengsan pun Vie!  Kan aku dah cakap mesti jadi punya plan ni.  Huh...takde lah hebat mana pun Vie ni!  Dengan hantu jadian pun takut,” muncul seorang remaja lelaki dari balik langsir hitam, galak ketawa besar sambil memerhati Izati yang masih belum sedar.
           
Iskandar pucat.  Dia memandang wajah Elvina dan kawannya itu silih berganti.  Dia tahu Elvina sedang marah.  Terpancar dari sinaran api dalam matanya. 
            
“Mana? Mana woi?  Vie dah pengsan ke? Vie..eh.  Ni...Vie....”  muncul pula seorang lagi kawan Iskandar.
            
“Kenapa kau ni tergagap-gagap ni?  Ni ha Vie...tak nampak dah terbaring lembik tak sedar apa-apa ni!” Sampuk rakan Iskandar yang pertama sampai dengan ketawa terbahak-bahak.   
            
“Bodoh kau ni!  Ni bukan Vie!  Bodoh lah kau ni!” Tengking sahabat Iskandar yang baru saja datang menjengah tadi.  Terbeliak matanya memandang Elvina yang memandang penuh amarah. 
            
“Korang nak kenakan aku ke?”  Tengking Elvina.  Geramnya dia bukan kepalang.  Darahnya naik ke kepala.  Iskandar dilihatnya kecil besar, menikus dengan pandangan yang dilarikan.
            
“Eh...tak...tak!   Ni semua idea Is!”  Pantas kedua-duanya menuding ke arah Iskandar yang sudah pucat lesi. 
            
“Kau kan.....”  Elvina bingkas bangun, ingin menerkam Iskandar.  Darahnya mendidih.  Geram dengan tindakan Iskandar yang dirasakannya cukup melampau kali ini.
            
“Arghhhhh!!!!!”  Spontan kaki Elvina berhenti melangkah.  Serentak kesemua mereka berpaling mengikut ke arah bunyi itu bergema.
            
“Eh..kat sini pun ada sorang lagi yang tak sedar ye?  Cepat...angkat, bawak ke surau!”  Muncul Ustaz Zamri dari balik tirai dengan nada suara yang cemas.
            
Seluruh ruang di dalam bilik itu kini terang benderang sebaik lampu dipasang.  Segala suasana suram dan menyeramkan tadi kelihatan biasa saja apabila sudah terang seperti ini.  Tidak lagi menakutkan seperti tadi.  Terpampang jelas di hadapan mata Elvina fizikal Iskandar.  Kalau di dalam gelap tadi lelaki itu nampak sungguh menakutkan, kini dia cuba menahan gelak.  Iskandar layak mengambil alih tempat seorang pelawak.  Lansung dia tidak merasa seram!
            
“Ha...apa lagi kamu semua tercegat ni!  Cepat, tolong angkat kawan kamu ni!  Mana yang kuat semangat ikut saya!”  Ustaz Zamri menegaskan sedikit suaranya bila dilihat masing-masing seolah terpinga-pinga.
            
Dengan pantas Iskandar bangun, menanggalkan kain putih lusuh comot yang compang camping di sana sini dari badannya.  Dia terus berlari mengejar Ustaz Zamri yang sudah pun dari tadi meninggalkan mereka.  Serentak itu juga Elvina dan dua lagi kawan Iskandar bingkas mengangkat Izati yang masih melepek tidak sedarkan diri.  Mereka bersama-sama bergerak menuju ke surau sekolah berdekatan sementara Iskandar pula telah menghilang bersama Ustaz Zamri. 
            
“Letak kawan kamu dekat sini,” pantas Ustazah Hidayah memberi arahan sebaik matanya tertancap pada susuk tubuh yang melepek di dalam dukungan mereka bertiga.
            
“Kamu yang lelaki ni semua boleh beredar ya.  Ni kawasan untuk budak perempuan.  Kalau jadi apa-apa masih terpelihara aurat mereka.  Untuk kawan-kawan lelaki kamu semua yang mana tak sedarkan diri cikgu-cikgu lain uruskan di pusat sumber.  Kamu berdua boleh tengok-tengok kawan kamu yang lain kat sana.  Atau pun bantu bawa pelajar perempuan yang tak sedarkan diri ke sini,” arah Ustazah Hidayah sambil mendepangkan tangannya ke muka pintu, simbolik arahan kepada  dua orang kawan Iskandar tadi untuk beredar pergi.
            
Sebaik keduanya menghilang, Ustazah Hidayah menunduk bersebelahan Elvina yang dari tadi memangku kepala sahabatnya itu.  Elvina diam, termangu-mangu tidak tahu apa yang harus dilakukannya.  Matanya meliar, memandang pada kumpulan-kumpulan pelajar perempuan yang mengerumuni beberapa orang pelajar perempuan yang terbaring tidak sedarkan diri.
            
“Vie..bukakan tudung Izati tu.  Saya nak sapukan air ni ke muka dia.  Biar dia sedar,” arah Ustazah Hidayah tenang.  Cepat-cepat Elvina bertindak, penuh lembut dia membuka tudung dan skaf yang membalut kepala Izati.  Dadanya sesak dengan kerisauan, bimbang melihat keadaan Izati.
            
Perlahan-lahan wajah Izati diusap lembut oleh Ustazah Hidayah.  Sesekali air jernih itu direnjis perlahan ke wajah gadis itu yang masih kaku.  Beberapa saat baru ternampak riak wajah Izati yang berkerut dan lambat-lambat dia membuka matanya.
            
“Zati....” panggil Elvina lembut.
            
“Aku kat mana ni?” Tanya Izati, keliru melihat dirinya yang terbaring di pangkuan Elvina dan pelik melihat persekitarannya.
            
“Kau kat surau ni..pengsan tadi.”
            
“Pengsan?” Berkerut terus keningnya.
            
“Ha ah.  Kau ingat tak tadi kan kita dalam rumah hantu.  Si Iskandar dengan geng-geng dia lah ni yang buat pedajal...hantu betul!”
            
Izati terdiam.  Dia melarikan pandangan seolah cuba mengimbas kembali memori tadi.  Betul, dia tahu dan sedar apa yang diperkatakan Elvina.  Namun ada sesuatu yang ditahan dari terus diluahkan pada Elvina memandangkan Ustazah Hidayah masih duduk tercegat bersebelahan mereka.
            
“Alhamdulilah, awak dah sedar.  Banyakkan selawat Zati.  Ingat Allah.  Baca ayat Qursi banyak-banyak sebagai pelindung diri.  Dalam keadaan awak yang lemah ni, mudah benda-benda halus cuba datang dekat.  Sebab tu boleh jadi histeria, tak sedarkan diri, kerasukan.  Kuatkan semangat awak.  Ingat...sentiasa selawat, baca Al-Fatihah dan ayat Qursi sebagai tembok penahan dari gangguan iblis dan syaitan yang menyesatkan manusia ni,”  nasihat Ustazah Hidayah panjang lebar pada kedua gadis itu.
            
“Ustazah!” Panggil seorang lagi pelajar perempuan yang dari riaknya jelas sangat cemas.
            
“Tolong kawan saya ustazah, pengsan dekat tepi surau ni.  Tak larat dah saya nak angkat.”
            
Pantas Ustazah Hidayah bingkas.  Air botol minuman yang dipegangnya tadi disuakan ke arah Izati.
            
“Habiskan air ni Zati.  Berehat dulu kat sini.  Pihak sekolah sedang usahakan untuk hubungi penjaga atau pun ibu bapa untuk ambil kamu hari ni.  Jadi saya nak kamu tunggu jek dekat sini sampai mereka sampai.  Sementara menunggu ni, kamu ingat kan pesan saya?”
            
Pantas Izati mengangguk lantas huluran botol tadi disambut.
            
“Vie.. jom tolong saya sekali,”  arah Ustazah Hidayah lalu bergegas menuju ke pintu keluar surau mendekatkan pelajar tadi.
            
Izati melepaskan pandangannya pada Elvina yang sudah pun meluru membontoti Ustazah Hidayah.  Dia perlahan-lahan membuka penutup botol minuman lalu meneguk air perlahan-lahan.  Otaknya masih berfikir sama ada mahu menceritakan apa yang dilihatnya tadi kepada Elvina atau tidak.  Bimbang menimbulkan ketakutan pada sahabatnya itu tapi gusar juga menyimpan rasa takut seorang diri tanpa pengetahuan Elvina.
            
“Hah! Apa yang kau menungkan?  Okey tak ni?” Sergah Elvina tiba-tiba.
            
“Kau ni...terkejut aku!  Kalau pengsan lagi sekali tadi, macam mana?”
            
“Ala..kita dalam surau ni kan?  Aku azan jek kuat-kuat kat telinga kau!  Sedarlah kau nanti.”  Elvina tergelak kecil.  Cuba menimbulkan suasana ceria, bimbang kalau-kalau Izati masih ketakutan apatah lagi sejak dari tadi diperhatikan Izati termenung, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.  Atau mungkin terbayangkan sesuatu. 
            
“Macam mana budak tadi tu?  Budak form berapa?”  Soal Izati menghentikan tawa Elvina.
            
“Budak Form Two.  Semangat sikit orangnya, tu yang kawan dia tak larat nak angkat sorang tu.  Ustazah tengah uruskan.”        
            
“Vie...” Izati menggumam.   Terhenti lagi kata-katanya.
            
“Tadi...”
            
“Kenapa?  Kenapa dengan tadi?”
            
“Aku....”
            
“Apa dia?  Kau ni cakap satu-satu...sikit-sikit!”
            
“Tadi tu aku bukan terkejut tengok Is....”
            
Buntang mata Elvina.  Terkejut mendengar pengakuan Izati.  Walau dirasakan agak keterlaluan perilaku Iskandar tadi sehingga Izati jatuh pengsan tapi dia langsung tidak terfikirkan kemungkinan perkara yang lain.
            
“Kalau setakat si Is tu sergah macam tu, walaupun aku takut...takdelah sampai nak pengsan aku rasa....”
            
“.....kau tahu tak kat belakang Iskandar tadi....” Izati terdiam.  Tangannya berpaut pada lengan Elvina, cuba mengurangkan rasa seramnya yang tiba-tiba muncul.  Selesa dengan letak duduknya, dia menggigit bibir.  Elvina menunggu tidak sabar.
            
“Ada seorang perempuan.....rambutnya panjang.  Mukanya putih...putih macam pelakon opera cina tu....”
            
“Mula-mula aku tak kisah lah...sebab aku ingat tu memang kerja budak-budak yang handle rumah hantu tu.  Tapi aku dah rasa sangat-sangat lain bila nampak mata dia warna merah.  Merah macam mentol menyala tu.  Keseluruhan biji mata....mata putih pun merah, mata hitam tu pun merah!  Mana ada manusia biasa yang boleh buat mata menyala macam tu sekali!”
            
Izati menbeliakkan matanya.  Elvina meneguk liur.  Tiba-tiba bulu romanya ikut merinding naik.  Suasana seram tiba-tiba menyelubungi dua sekawan itu.  Tapak tangan dan kakinya serta merta sejuk seperti ais.
            
“Aku tengok kau steady jek...aku fikir takkan lah kau tak nampak apa yang aku nampak kan?  Mesti kau pun nampak.”
            
“Tak...aku tak nampak!” Cepat-cepat Elvina memintas kata-kata Izati.  Sungguh, dia langsung tidak nampak kelibat perempuan seperti yang diperkatakan Izati. Yang dia nampak adalah Iskandar yang di dalam pakaian pontianak menyergah mereka berdua dengan sangat kuat.  Sangkanya akibat sergahan itulah Izati jatuh pengsan.
            
“Kalau kau nampak lah apa yang aku nampak tadi, mesti kau pun pengsan jugak.” Izati menunduk.  Memandang seluruh kaki tangannya yang masih terasa kebas, menyukarkan dia untuk bergerak bebas.  Terasa lemah segala sendi dan otot-otot badannya.  Seolah ikut terbang sama bersama semangatnya sewaktu pengsan tadi.
            
“Perempuan tu tiba-tiba tersengih kat aku.  Lepas tu dia buka mulut dia seluas-luasnya, serentak dengan tu jugak keluar darah melimpah-limpah macam air paip.  Habis basah baju warna putih dia tu dan bertukar jadi warna merah.  Tak lama lepas tu pulak keluar ulat-ulat dengan ular hitam terus jatuh terkelepek dekat kaki dia.  Tangan dia pulak terkapai-kapai ke arah kita macam nak mintak kita tolong selamatkan dia.” Izati memandang tepat ke dalam anak mata Elvina.  Jelas tergambar perasaan seram tadi dalam anak matanya masuk ke dalam tangkai hati Elvina buat gadis itu turut kecut perut.
            
“.....lepas tu aku terus ada kat dalam ni.  Dengan kau.” Izati tersengih. 
            
“Aku rasa bukan kau seorang lah yang nampak.  Satu sekolah tengah kecoh ni.  Cikgu-cikgu semua berlari sana sini.  Pelajar-pelajar semua menjerit sana sini.  Ni...kau tengok surau ni, penuh dengan budak-budak pengsan macam kau.  Mesti nampak benda yang sama jugak lah ni.  Habis histeria sana-sini.  Budak-budak perempuan, lelaki yang mana lemah semangat, menjerit, mengamuk, lari ke sana sini sepanjang kami nak bawa kau ke sini tadi.  Takut aku tengok.  Seram!” Elvina menggeleng-gelengkan kepalanya.  Menggosok roma di lengannya yang tegak menaik.  Dia kemudian mengalihkan pandangannya, mengajak anak mata Izati turut sama meninjau keadaan persekitaran surau yang penuh dengan pelajar yang lembik tidak berdaya.
            
“Ni semua rumah hantu punya pasal lah ni.  Kalau takde rumah hantu, takdenya jadi macam ni!” Bulat mata Izati, menyuarakan pendapat di atas permasalahan yang timbul.
            
“Kau dah okeh sikit kan?  Aku ingat nak tengok-tengok keadaan kat luar kejap.  Nanti aku datang balik.”
            
“Eh..kau nak pergi mana?  Aku seram ni.” Izati cemas.  Cepat-cepat lengan Elvina dipaut semula.
            
“Ala..sekejap jek lah.  Aku tengok kat luar tu sekejap, kot-kot boleh bantu apa yang patut.  Keadaan tengah kecoh ni takkan nak biar jek.  Kau rehat sini dulu, tu kan ada budak-budak lain jugak tu...Ustazah Hidayah pun ada.  Lagipun aku nak beritahu Linda, mesti dia tak tahu kau jadi macam ni.” Elvina menjuihkan mulut ke arah susuk Ustazah Hidayah yang duduk memegang salah seorang pelajar yang baru saja dihantar ke dalam surau.
            
“Nanti kau datang balik tahu Vie...jumpa aku kat sini.  Bawak Linda sekali,” pesan Izati.
            
Elvina tersenyum lantas kepalanya dianggukkan laju.  Dia kemudian bingkas bangun dan menyarung kembali kasut sekolahnya sebaik keluar dari surau sekolah.  Pantas dia mengorak langkah, ingin menuju kembali ke rumah hantu tadi ingin meninjau keadaan.
            
“Arghhh.....Arghhh!!!” 

Buntang mata Elvina.  Terus kakinya terpaku di kaki lima yang menempatkan deretan bilik kelas tingkatan tiga sebaik jeritan tadi saling bersahut-sahutan menangkap cuping telinganya.  Matanya melingas ke sana sini memerhati suasana pada ketika itu yang cukup janggal dirasakan.  Bulu romanya naik menegak kembali.  Seolah-olah ketika ini dia sedang menyaksikan wayang gambar yang menayangkan aksi-aksi manusia kerasukan yang bagaikan tidak dapat dikawal.

Dia tiba-tiba ikut jadi seram sebaik secara tiba-tiba salah seorang pelajar sekolahnya menggelupur di atas lantai betul-betul di hadapannya dengan jarak lebih kurang 5 meter sahaja darinya.  Menjerit-jerit, melaung-laung tidak ketahuan punca.  Kalau tadi dia tergamam melihat Izati yang tiba-tiba saja rebah tidak sedarkan diri, kali ini degupan jantungnya bagai terhenti saat laungan pelajar itu bagai memecah gegendang telinganya. Nyaring dan sangat menyeramkan.  Dia hanya terdiam, tercegat memerhati dua rakan pelajar tadi datang dan cuba merangkulnya.
            
Dia menoleh pula kemudiannya pada satu lagi suara yang berteriak.  Kelihatan pelajar junior tingkatan 3 pula sedang dipeluk dua orang rakan perempuannya yang lain.  Seperti yang dilihatnya tadi, pelajar ini juga menggelupur minta dilepaskan.  Tenaga pelajar itu tiba-tiba jadi luar biasa, sehinggakan cikgu yang cuba menahan ikut sama tersungkur.

Sebaik menyedari kedua-dua pelajar tadi berjaya dikawal oleh rakan-rakan merea bersama dua orang guru perempuan, Elvina berlalu pergi.  Dia berhajat ingin meninjau lagi walaupun hakikatnya dia sendiri keliru dan tidak tahu apa yang harus dilakukan saat itu. 

Suasana lebih hingar-bingar di gelanggang futsal bersebelahan ‘rumah hantu’ sebaik Elvina menjejakkan kaki ke situ pula.  Rupa-rupanya para guru yang bertugas ketika itu sepakat untuk mengumpulkan kesemua mereka yang meronta-ronta, menjerit tidak ketahuan punca di gelanggang futsal itu supaya lebih mudah diuruskan.  Manakala yang pengsan tidak sedarkan diri pula diletakkan di dalam surau dengan pengawasan guru-guru yang lain pula.
     
Sebahagian lagi guru dan pelajar lelaki yang lain memantau mana-mana pelajar yang bertempiaran lari, dibimbangi keluar dari kawasan sekolah dan mendatangkan pula masalah yang lain.  Memang dari tadi ada beberapa orang pelajar yang berlarian sambil berpekik dan menjerit terlolong-lolong seolah sedang takutkan sesuatu tapi berjaya ditahan dan ditangkap sebelum sempat pergi lebih jauh.
            
“Vie...ambil air ni!  Sapu kat muka budak ni!”  Satu suara menyergahnya dari belakang.  Dia cepat-cepat menoleh, menyambut huluran botol berisi air mineral dari tangan seorang pelajar lelaki. 

Iskandar.

“Selawat dulu, tiup muka dia lepas tu sapu kat muka dia,”  arah Iskandar.
            
Elvina pantas menyambut huluran Iskandar lalu menghampiri salah seorang pelajar perempuan yang meronta-ronta minta dilepaskan dari pegangan Iskandar tadi.  Dia terkumat kamit, serentak menghembus ke wajah pelajar itu dan menyapu air yang dibekalkan Iskandar tadi.  Selang beberapa saat, terus pelajar tadi terdiam.  Mula sedar dan seolah-olah terpinga-pinga.  Cepat-cepat Iskandar memberi arahan kepada pelajar perempuan lain untuk segera memapahnya yang masih lagi lemah dan keletihan.
           
Elvina lega.  Satu sudah selesai.  Matanya menangkap pada kelibat Iskandar yang sudah pun kelam kabut berlari membantu para guru lain yang juga cuba memulihkan semula semangat pelajar-pelajar yang kerasukan.  Elvina melihat susuk tubuh lelaki itu dengan penuh tekun.  Melihat pada riak wajah lelaki itu yang tampak ikhlas menghulurkan bantuan ketika itu. 
            
Tadi dia marahkan lelaki itu.  Langsung dia tidak menyangka sisi ‘baik’ yang ada pada Iskandar.  Selalunya lelaki itu akan menaikkan kemarahannya dengan pelbagai kerenah nakal dan main-mainnya.  Tapi kini, dia kagum.  Apatah lagi saat lelaki itu mengarahkan dia cuba memulihkan semangat salah seorang pelajar yang dirasuk.  Ada sesuatu yang istimewa pada Iskandar yang buat dia tertarik.  Entah tiba-tiba terasa suatu getaran pelik mengusik tangkai hatinya.  Langsung dia terlupa pada kenakalan Iskandar yang mengenakannya tadi.
            
“Vie...tolong kejap!”  Jerit Iskandar ke arah Elvina yang dilihatnya dari tadi hanya berdiri tercegat memerhatikannya.  Seolah baru tersedar, pantas Elvina menghampiri.
            
“Ambil air tu!  Aku nak sapu kat muka dia!”  Iskandar menjuihkan bibirnya, mengarah Elvina menggapaikan botol minuman yang terbaring di atas lantai.  Pantas Elvina membongkok, mencapai botol minuman lalu menghulurkannya kepada Iskandar.
            
Elvina tercegat kaku lagi.  Asyik memerhati lelaki itu yang dari tadi kalut cuba menyelamatkan keadaan.  Tidak lekang walau sesaat pun mata Elvina terlepas dari memandang Iskandar.  Tiba-tiba datang lagi perasaan aneh itu dalam dirinya.  Yang membawa dia jadi terbuai-buai dan tersenyum sendirian ketika itu.  Yang buat dia juga sangat pelik dengan debaran dalam hatinya sendiri.  Yang buat dirinya terus terbang bagai ke dunia lain.