Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday 12 December 2016

Aksara Cinta Elvina - Bab 2






“VIE.....kenapa muncung jek muka kau ni?” tegur Haslinda saat dilihat rakan baiknya itu sedang menopang dagu dengan wajah masam mencuka.

“Huhhh...” Elvina mendengus nafasnya panjang, bibirnya digariskan mendatar.
            
“Amboiiii....cantik muka!” Haslinda tersenyum.
            
“Aku tengah takde mood ni.” Elvina berpaling, kalau tadi tangan kirinya yang menopang dagu kini tangan kanannya pula mengambil alih.  Reaksi wajahnya masih sama seperti tadi.  Muncung sedepa.
            
“Kau kenapa? Gaduh dengan Mama kau lagi ke?” Haslinda meletakkan buku yang dikendongnya tadi di sisi Elvina yang monyok.  Lambat-lambat Elvina menggeleng.  Pandangannya dilepaskan kosong entah ke mana.
            
“Kau kenal Is?” Elvina mengangkat wajah, memandang rakannya yang sedang membelek helaian buku.
            
“Is?” Kerut dahi Haslinda.
            
“Is mana? Hmmm....Is.” Haslinda menyengetkan bibirnya.  Cuba mengingat wajah di sebalik nama itu.
            
“Is....Iskandar. Kau tak kenal ke?”
           
“Is?  Iskandar? Hmmm...yang mana ni? Tak pernah dengar pun.”
            
“Ala...budak yang selalu kena denda luar kelas tu lah!”
            
“Oh...yang tu!  Budak kelas Ekonomi tu ke?  Iskandar nama dia rupanya.  Ha...kenapa dengan dia?” Haslinda mencapai buku di hadapan matanya.  Menyelak beberapa kali sebelum berhenti dan menatap pada timbunan pelbagai nombor di hadapan matanya itu.
            
Begitulah kebiasaannya mereka sebaik saja loceng terakhir sesi persekolahan mereka tamat setiap hari.  Berkumpul di meja bulat berhampiran padang sekolah untuk sesi belajar secara berkumpulan dan pada ketika ini lah segala kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru akan diselesaikan bersama-sama.  Kalau tiada kerja sekolah yang ditugaskan oleh guru, mereka akan mengulangkaji pelajaran sementelah peperiksaan SPM akan menjelang tiba di penghujung tahun nanti.
            
“Kat mana ada aku...kat situ lah ada dia! Kau tahu tak semalam dia ikut aku pergi library?” Elvina membeliakkan matanya.  Menunjukkan kesungguhan pada sahabatnya itu tentang kesanggupan Iskandar.
            
“Ala kau ni...Library kan semua orang boleh masuk.  Entah-entah dia memang nak masuk sebab nak study.” Haslinda berkata acuh tak acuh.  Dalam kepalanya ligat berfikir tentang formula yang berpadanan dengan soalan di dalam buku yang sedang ditelitinya. 
            
“Tapi...aku macam rasa lain lah dengan dia.  Macam terlalu....” Elvina terdiam.  Mematikan kata-katanya.  Menyembunyikan perasaannya.
            
“Mana Zati ni?  Aku tak boleh lama-lama ni...Nanti Mama aku bising balik lambat.  Petang nanti nak tolong dia bungkus kuih-kuih lepas tu nak teman dia hantar pulak ke kedai.” Elvina menjengah lehernya panjang, matanya meliar memandang sesekeliling.  Mencari-cari kelibat Izati yang belum lagi muncul.
            
“Kejap lagi sampai lah tu.  Agaknya dia tolong Cikgu Siti angkat buku masuk dalam kereta cikgu tu.  Kau tahu jek lah Zati tu, kan suka tolong orang.”
            
“Eh...kau ni kan, busy betul.  Penat aku dengar kau cerita kena buat itu ini.  Tapi yang peliknya, result exam kau semuanya dahsyat-dahsyat!  Jealous aku tengok kau!  Kau tengok aku ni, macam nak setengah mati study, result cukup-cukup makan jek...Haih!” Haslinda mengeluh sebaik menyambung kata-katanya tadi.

Terasa penat dengan segala usahanya bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran tapi keputusannya tidaklah sehebat mana.  Tidak sebaik Elvina pastinya.  Padahal gadis itu terlalu sibuk orangnya.  Mana dengan Pengerusi kelab Seni sekolah, ahli jawatankuasa kelab silat sekolah dan kemudian menyandang jawatan sebagai perpustakawan.  Bila tamat saja waktu persekolahan, Elvina akan bergegas membantu ibunya menguruskan perniagaan alat tulis dan pejabat dan kadang-kadang menghantar pula stok bekalan makanan sejuk beku ke kedai-kedai runcit dan warung-warung makanan. 

Walau jadual Elvina sebegitu padat dia jadi pelik dengan keputusan peperiksaan Elvina yang selalu saja menjadi sebutan guru-guru dan tentu saja menjeruk rasa pelajar-pelajar lain yang cuba bersaing.  Dia memandang sekilas gadis itu yang tersenyum ke arahnya.

“Kau ni tak baik cakap macam tu.  Sekurang-kurangnya keputusan kau masih di tahap baik lagi kan?  Sebab apa?  Ni.....semua ni.  Yang kita buat ni lah.  Ni namanya usaha.  Kalau tak usaha, tak dapatlah macam yang kau dapat sekarang ni.  Kalau kau malas, tak usaha macam kita tengah buat tiap-tiap hari ni, macam mana nak dapat apa yang kita dapat?  Dah sah-sah keputusannya lebih teruk dari yang kau dapat sekarang ni.”

“Tapi kan tak sehebat kau.” Haslinda cepat-cepat mencelah.

“Ala....kau jangan lah banding-bandingkan.  Yang aku nak suruh kau tengok sekarang ni, adalah usaha kita.  Lagi satu bila kita dah usaha, kita doa dan tawakal pulak.  Semua benda baik yang jadi dalam hidup kita ni, Allah dah atur siap-siap dah.  Kita tawakal dan redha jek.  Sekurang-kurangnya kita dah usaha yang terbaik.  Kau jangan nak banding-bandingkan dengan aku.”

“Kau ingat aku tak jealous dengan kau?  Sekurang-kurangnya balik dari study group kita ni, kau ada banyak lagi masa untuk diri kau.  Kau nak sambung lagi study boleh, kau nak melingkar tengok tv sampai tengah malam pun takde masalah.  Aku ni?  Balik ni dah bergegas kena tolong mak aku, ke hulur ke hilir.  Kalau ada kat rumah pun sibuk susun stok lah, check stok lah.  Dah malam baru ada masa nak jenguk buku.  Aku baru nak tengok muka surat pertama, kau dah nak masuk tidur sebab dah letih banyak sangat membaca.”  Elvina tersenyum tapi pandangan matanya dilepaskan pada hamparan rumput hijau di padang sekolah mereka itu.  Seolah-olah membayangkan kehidupan yang dilaluinya selama ini.

“Kau tak penat?” tanya Haslinda, merenung sisi wajah sahabatnya itu.

“Penat.....” Elvina menoleh.  Mengangguk kepalanya di hadapan Haslinda.

“Tapi takpelah, aku tolong mak aku...kesian dia.  Siapa lagi yang ada dekat rumah tu selain aku?”

“Abang kau kan ada.”

“Ada pun macam takde...kesian mak aku.”  Elvina menunduk.  Menguis rumput di hujung kasutnya.  Mengetap bibirnya kuat-kuat.

“Kakak kau memang langsung tak nak balik ke?”  Haslinda mengalih topik.  Dia tahu wajah keruh Elvina itu tanda dia tidak mahu meneruskan cerita tentang abangnya.

“Jangan kata balik....bertanya khabar kami kat sini pun tak pernah.  Kali terakhir jumpa masa aku pergi dengan mak aku masa dia konvo dua tahun lepas.  Dia cakap tak nak balik sebab dapat offer kerja kat sana....”

“Habis mak kau biarkan jek dia tak nak balik?” dahi Haslinda berkerut.

“Kau ni macam tak kenal kan dengan mak aku?  Hati batu.  Tapi aku tahu mak aku tu berkecil hati dengan kakak aku tu...cuma dia tak nak tunjuk.  Dan kakak aku tu pulak tak nak balik Malaysia sebab tak nak kerja dengan mak aku.  Diorang kan macam anjing dengan kucing, ada jek benda tak kena.  Tak faham aku kadang-kadang.” Elvina mengelengkan kepalanya berkali-kali.

Di mindanya kini terbayang wajah kakak sulungnya itu.  Yang sedang tersenyum manis padanya, yang sudah terlalu lama dirindukan kepulangannya.  Terlalu banyak kenangan bersama kakak dan abangnya sewaktu dia masih kecil dahulu.  Namun sebaik Papa pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya, semua orang perlahan-lahan meninggalkan hidupnya.  Seolah-olah membawa sekali seluruh jiwa Papa bersama dalam diri mereka.

Sewaktu kecil lagi dia sudah pun melihat Mama sering kali bertelagah dengan kakak selepas pemergian Papa.  Dia tahu Mama pasti yang paling terkesan sejak kehilangan Papa.  Mama ketika itulah yang menjadi ibu dan ayah dalam keluarga, menggalas tanggungjawab membesarkan ketiga mereka.  Dan kemudian ditambah pula dengan bebanan menguruskan syarikat yang dikendalikan arwah Papa semasa hayatnya.

Untuk seorang wanita yang selama ini dunianya hanyalah di dapur dan di rumah bersama anak-anak, tentu saja menguruskan perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah.  Hendak dibiarkan saja perniagaan itu terkubur, apa lagi punca pencarian yang Mama ada terutama dalam keadaan mendesak seperti itu?  Ditambah lagi dengan periuk nasi dua orang lagi pekerja yang setia bekerja sehingga ke hari ini, Mama nekad meneruskan perniagaan arwah Papa.  Cuba berdiri teguh di hadapan anak-anak walaupun Elvina sendiri akui, dia tahu dalaman Mama serapuh kaca yang teramat nipis.

Sebab itu sebolehnya dia cuba menolong Mama.  Cuba membuat wajah tua itu tersenyum kala hati tua itu hakikatnya cukup terguris dengan tindakan kakak dan abangnya.  Abangnya juga berubah mendadak sebaik Papa pergi.  Mencari dunia di luar tanpa bantuan Mama sedangkan sebagai anak lelaki sulung sepatutnya dialah yang mendukung Mama sewaktu Mamanya itu hampir rebah.

Sebab itu sebolehnya dia membantu Mama.  Kalau tidak dibantu dengan keringatnya, dia membantu memulihkan semangat Mama, dengan menjadi kebanggaan Mama.  Pencapaiannya yang baik di sekolah walau sibuk membantu Mama dengan perniagaan, itu hadiah yang dia tahu pasti buat hati tua itu berbangga.  Berbangga kerana satu-satu anak bongsunya inilah yang akhirnya buat Mama bahagia. 

“Ala takpe lah...kau kan ada!  Aku tengok kawan aku ni bukan main hebat lagi jaga mak sendiri!  Aku pun tak boleh buat macam kau tau....semangat kau ni, lain macam!” Haslinda tersengih.  Menepuk-nepuk bahu Elvina berulang kali.  Terus dipeluk sahabatnya itu.

“Aku macam Mama aku kan?  Semangat...Berani...Tak mengalah...” Elvina tersengih lagi.  Membiarkan airmatanya yang sudah bergenang di tubir mata.  Dalam terharu dengan pujian Haslinda bercampur dengan sebak mengenang kembali satu-satu peristiwa dalam hidupnya.

“Ha ah!  Garang pun macam Mama kau jugak, jangan lupa tu.” Haslinda ketawa kuat.  Langsung tidak berselindung.  Itulah hakikat Elvina yang sudah lama dikenalinya.

“Eh kau ni!  Sekali aku libas kau,  demam!” Elvina menaikkan tangannya tinggi.  Mengacah ingin melibas Haslinda dengan buah silatnya.

“Ha....tengok!  Sikit-sikit libas.  Tahu lah ada silat gayung! Kau ni kan,  cuba lah ayu-ayu sikit.  Jangan garang sangat macam harimau.  Ni kalau harimau jumpa kau....harimau yang lari dulu!” Haslinda mengelak, membongkokkan badannya menjauh dari tangan Elvina yang sikit lagi ingin mendarat ke bahunya.

“Kau ni, dah aku masuk kelab silat takkan nak lemah lembut macam orang masuk kelab kebudayaan!  Ala..baru nak libas sikit jek pun,  tak mati lah!”

“Eh...mana kau tak mati?  Buatnya mati!” Haslinda menjegilkan matanya.  Bibirnya masih tersengih.  Sakan mengusik Elvina.

“Meh sini..try!  Tengok mati ke tak? Sini..sini!” Elvina bingkas bangun, cepat-cepat dia memaut lengan Haslinda lalu mencengkam leher sahabatnya itu di lipatan lengannya.  Terkial-kial Haslinda meronta, cuba melepaskan diri.  Tawa mereka berhamburan keluar, sama-sama gelihati, sama-sama bergasak.

“Woi! Woi!  Apa ni bergomol kat kawasan sekolah ni?  Tak malu ke?” tegur satu suara.  Spontan Elvina dan Haslinda menoleh.  Terhenti terus gelak tawa mereka tadi.

Sorry korang, lambat.  Nah...makan,” hulur Izati sebungkus plastik makanan kepada mereka.  Cepat-cepat Elvina menyambut dengan kerutan di dahinya.

“Apa ni?” tanya Haslinda pula, memandang bungkusan yang kini berada di genggaman Elvina.

“Cikgu Siti bagi upah tu tadi.  Aku tolong kemas bilik dia.” Izati menghela nafas panjang, melepaskan lelahnya.  Dia duduk, meletakkan beg galasnya ke sisi.

Haslinda memanjangkan leher, cuba melihat ke dalam bungkusan plastik yang di ribaan Elvina.  Spontan jemarinya mencapai sekeping keropok lekor lantas digigitnya laju.

“Kan dia dah tukar bilik dengan stor sukan tu.  Bersepah kat dalam tu, aku tolong lah tadi kemas sikit-sikit.”

“Eh...dia duduk situ habis stor sukan dah takde ke?” sampuk Haslinda dengan mulut yang penuh dengan makanan.

“Ada.  Tapi tukar kat tingkat bawah belakang bangunan B sana.  Situ luas sikit.  Barang sukan kan melambak-lambak.  Kebetulan Cikgu Siti naik pangkat jadi ketua panitia Bahasa Melayu, tu yang dapat bilik baru tu.  Dia lah cerita kat aku masa kemas-kemas tadi.”

“Tapi macam kesian pulak kan...Sorang-sorang terperuk dia kat belakang sana.”  Elvina pula mencelah.

“Eh, takde lah.  Kau tahu tak dia cakap dekat aku dia seronok dapat bilik kat situ? Privacy.  Duduk dalam bilik sorang-sorang takde siapa yang kacau dia.  Macam bos besar dia cakap.” Izati tergelak.

“Betul jugak tu.  Kalau ada apa-apa nak cerita ke nak mengadu kat dia pun senang aku rasa.  Takde lah segan cikgu-cikgu lain kat meja sebelah terdengar.” Elvina mengangguk.  Dia mencapai botol air mineral dihadapannya, meneguknya perlahan-lahan.

“Dah penat mengemas tadi dia ajak aku minum kat kantin.  Bila aku cakap aku nak jumpa korang, study group...terus dia bungkuskan tu.  Dia suruh kita makan sama-sama,” sengih Izati.

“Baik Cikgu Siti belanja kitorang sekali.  Kau yang penat, kitorang yang kenyang,” Haslinda tersengih memandang Elvina yang mengangguk-angguk dengan senyum sengetnya.

“Dah, cepat-cepat.  Jom mulakan.  Aku tak boleh lambat-lambat ni.  Balik nak tolong mak aku, malam nak melukis.  Nak siapkan dua lukisan lagi sebelum pameran minggu depan.”  Elvina cepat-cepat menyelak lembaran buku latihan di hadapannya.  Mahu menyambung semula pembelajaran yang tertangguh dari tadi.  Enggan lagi membuang masa.

“Ala...kau ni.  Aku baru sampai.  Tu lah, sibuk sangat mengalahkan perdana menteri,” bebel Izati tapi tangannya ligat mengeluarkan buku nota dari dalam beg.  Dia sekadar mengusik.  Faham kesibukan sahabatnya itu. 

Dari dulu lagi, semenjak dari tingkatan satu lagi baik dia mahupun Haslinda sudah sedia maklum dengan keadaan Elvina.  Malahan kekaguman mereka jadi melimpah ruah bila Elvina jarang bersungut tentang kesibukannya itu.  Dan seringkali sifat Elvina juga cuba dicontohi mereka.  Tidak berat tulang dan sentiasa saja cuba meringankan bebanan orang lain.

“Eh..Vie!  Baru teringat!  Tadi masa on the way nak jumpa Cikgu Siti, aku terjumpa Iskandar....” 

“Hmmmm....”  Elvina mengeluh.  Haslinda menjeling sekilas dengan senyuman nipis.  Baru saja mereka berbincang tentang lelaki itu.  Panjang umur!

“Dia kirim salam kat kau!” Izati tersengih.

“Salam ada isi ni aku rasa.  Lain macam dia punya tersipu-sipu nak sampaikan salam tu.  Malu-malu.  Rasa nak cepuk pulak muka dia!”

“Cepuk ajek...” Elvina tarik muka.

“Aku rasa dia suka kat kau lah.  Okey apa.  Handsome!” Izati sengaja mengusik lagi.  Langsung tidak tahu Elvina yang naik meluat setiap kali nama Iskandar kedengaran.

“Berani dia nak suka kat aku...” Elvina menjeling.  Dia betul-betul menyampah.

“Kena libas baru tahu!” sampuk Haslinda.  Kali ini dengan sengihan yang lebih lebar. 

“Tahu takpe!” Elvina menjeling.

“Kau ni kenapa macam takde mood jek ni?” soal Izati pelik melihat reaksi sahabatnya itu.  Dia tahu Elvina memang punya ramai peminat.  Baik dari kalangan senior mahu pun junior di dalam sekolah itu. Orang yang cantik ditambah lagi dengan dirinya yang menyerlah dengan pelbagai jenis kegiatan di sekolah, tentu saja dia popular.  Tentu saja banyak mata yang memandang.  Dan tak kurang banyak juga hati yang memendam rasa.

Kebiasaannya Elvina hanya akan tersenyum dan terus berlagak seperti tiada apa-apa yang terjadi tapi kali ini reaksi sahabatnya jauh berbeza.  Seolah-olah nama yang disebutnya itu cukup dibenci Elvina.  Pada dia, Iskandar mungkin saja sama seperti lelaki-lelaki lain yang menjual saham, cuba mengumpan Elvina untuk berkenalan dengan lebih lanjut.  Tapi kali ini reaksi Elvina betul-betul berbeza.

“Vie bosan lah asyik sebut nama Iskandar jek beberapa hari ni...tu yang monyok jek dengar nama mamat tu,” terang Haslinda.

“Kau jangan nak menyampah sangat Vie.  Nanti yang kau menyampah tulah yang kau sayang!  Baru kau tahu!” usik Haslinda.

“Eeiii...takde masa aku nak sayang dia!”  Elvina mencebik bibir.  Meluat.

“Ha ah, mak aku pun cakap macam tu.  Kita ni kalau benci orang jangan lebih-lebih.  Nanti takut terjatuh sayang pulak kat dia.  Kau jangan main-main.” Izati tersengih.

“Ah, takde maknanya aku nak jatuh sayang...jatuh cinta...jatuh hati...dan yang sewaktu dengannya lah! Korang jangan nak macam-macam lah...Aku...”

“Apa benda yang jatuh..jatuh dari tadi ni Vie?”  sengih Iskandar.  Tercegat dengan menggendong sebeban buku bersama sebungkus plastik.  Terbeliak terus mata Elvina.

“Kau buat apa kat sini?”

Join study group korang....Ni, aku belikan korang air.  Minumlah!  Jangan malu-malu.” Iskandar selamba.  Dia merapat ke meja gadis-gadis itu yang masih terpinga-pinga.  Meletak buku-buku yang dipegangnya tadi dan bungkusan plastik yang berisi beberapa botol minuman lantas duduk.  Langsung tidak memperdulikan pandangan pelik tiga sekawan itu.

“Apa ni?  Siapa yang ajak kau join?”  Elvina bengang.  Apatah lagi melihat reaksi Iskandar yang selamba.  Betul, dulu dia tidak kisah lelaki itu ingin berkawan dengannya tapi kini dia jadi meluat.  Masakan tidak, setiap masa Iskandar akan muncul di sisinya.  Hampir setiap masa! Itulah yang buat dia rimas dengan lelaki itu.

Yang menjauhkan dirinya dengan Iskandar adalah ketika keduanya berada dalam bilik kelas masing-masing lantaran dia dan Iskandar mengambil aliran yang berlainan.  Ketika itu saja lah jiwa dan fikirannya tenang.  Selain dari itu...kacau bilau, haru biru!

“Takde siapa.  Saja..nak join.  Tak boleh ke?”  Iskandar buat-buat sibuk.  Menyelak dengan laju helaian kertas dalam buku teks Matematik tanpa tujuan.  Menghilangkan gugupnya sejak melihat jelingan tajam Elvina.  Dia tahu Elvina pasti sedang panas hati melihatnya.

“Tak boleh.  Blah sekarang.”  Elvina bengang.  Dia geram melihat tindakan Iskandar yang meluru. 

“Ala..kau ni tak kesian ke dekat aku?  Aku ni semua benda pun tak tahu.  Baru nak belajar dengan kau....dengan yang lain-lain....”  wajah Iskandar mendung.  Kecewa sebenarnya dengan tindakan Elvina yang mengusirnya.

“Kau tahu, semua orang tak nak kawan dengan aku.  Ye lah, aku ni kan pelajar paling bodoh kat sekolah ni.  Hari-hari kena denda berdiri luar kelas.  Memang takde siapa pun sudi nak tolong aku.  Takpe lah...” Iskandar menutup helaian buku teksnya.  Dia terasa hati dengan penolakan Elvina.  Walaupun dia sudah jatuh hati dengan gadis itu, niat dia untuk belajar bersama-sama adalah betul, bukan dibuat-buat.

Hakikatnya sejak dia melihat Elvina timbul satu perasaan ingin berubah.  Berubah ke arah yang lebih baik terutamanya dalam bidang pelajaran.  Segan melihat gadis pujaan hatinya itu lebih pintar, lebih menyerlah di sekolah itu sedangkan dia keciciran dalam pelajaran.  Sibuk dengan dunianya sehingga mengabaikan ilmu untuk kegunaan masa depan.

“Vie....” Izati menyinggung lengan Elvina perlahan,  rasa serba salah melihat wajah muram Iskandar.   Suaranya juga dibisikkan, antara dengar dan tidak di telinga Elvina. Dia memandang pula pada Haslinda, mengharap sahabatnya itu juga berfikiran yang sama sepertinya.  Haslinda terkebil-kebil.  Kelu langsung tidak bersuara.

Iskandar bingkas bangun.  Memegang begnya lantas disangkut ke bahu.  Sebeban buku yang dia bawa tadi, digendong ke tepi.  Dia memandang ke wajah Elvina yang kaku.  Langsung tidak memandangnya. Dia mengorak langkah.  Ingin terus saja pulang ke rumah.

“Is...”  spontan Elvina memanggil perlahan sambil menggetap bibir.  Rasa bersalah menyelimuti sanubarinya.  Terus langkah Iskandar terhenti.

“Kau nak join kitorang, sini lah....” Elvina menunduk.  Malu sebenarnya.  Segan dengan sikap buruknya tadi.  Membenci Iskandar tanpa meyedari lelaki itu tidak punya apa-apa pun salah kepadanya.  Juga malu pada sahabat-sahabatnya kerana dia seolah-olah kedekut ilmu, langsung tidak sudi sama-sama berganding bahu berkongsi idea dalam menuntut ilmu.  Tambahan seorang lagi ahli dalam kumpulannya pasti akan lebih meriah.  Ya, langsung tiada salahnya!

“Tapi kau jangan nak macam-macam!  Jangan nak banyak cekadak.  Aku...”

“Libas kau nanti!” serentak Haslinda dan Izati menyampuk.  Terus berhamburan tawa mereka. 

Iskandar yang dari tadi tercegat, berpaling. 

Tersengih.

Elvina menggenggam penumbuknya erat-erat.  Jadi geram melihat sengihan Iskandar kepada dirinya! 



No comments: