Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday 26 October 2015

PADA SUJUDNYA SEORANG BONDA

Assalamualaikum sayangs!

Ini cerpen pertama yang AA buat.  Ya betul, memang tak pernah buat cerpen sebab AA tak pandai nak singkatkan sesuatu cerita.   Kalau dah menaip ni, banyak sangat benda nak tulis dah tak boleh nak panggil cerpen lagi dah.

Untuk cerpen pertama ni, AA pun tak tahu lah cerpen ni okeh ke tak...jadi pada yang sudi, tinggalkanlah komen untuk AA perbaiki mana-mana yang kurang ya!



FARZANA menutup matanya, kuat.  Terasa urat-urat di sekitar matanya ikut sama tertarik kesan dari tindakan dia menutup rapat dan kuat kelopak matanya itu.  Dia ikut sama bengang dengan dentuman kuat dari hempasan pintu oleh anak bongsunya tadi.

Farzana menarik nafasnya panjang lalu menghembusnya perlahan-lahan.  Masih belum dapat menghilangkan rasa perit, sakit dan pedih seperti dihiris-hiris pada tangkai hatinya.  Begitu pedih sehingga menakung air pada tubir matanya.  Dia mengoles airmata itu, menghalangnya dari terus jatuh.

Bam!

Farzana berpaling membelakangkan pintu biliknya.  Jelas kedengaran pintu di ruang tamu tadi dikuak dengan kuat pula kali ini.  Dia mematikan diri, menunggu sehingga pintu biliknya pula dikuak.

“Berambus.” Perintah lelaki itu ringkas sebaik pintu dibuka. Farzana berpaling dari memandang lelaki itu.  Darahnya naik semula ke kepala.  Rasa bengang yang tadinya beransur hilang kini kembali. 

“Kau pekak?” Lelaki itu bengang bila dilihat Farzana tidak berganjak.

“Kau belum puas lagi ke?!” Farzana separuh menjerit.  Tapi dia masih belum berpaling menghadap lelaki yang sedang memeluk gadis pertengahan 20-an yang berpakaian tidak cukup kain itu.
            
Hatinya sakit bagai disiat-siat oleh suaminya itu.  Setiap hari tak kira siang atau malam bersilih ganti gadis genit yang dibawa.  Tapi kebiasaannya lelaki itu jarang ada dirumah.  Dan dia lebih suka lelaki itu tiada dari muncul di depan mata tapi menyakitkan hatinya. 
            
“Keluar lah!” Tengking Faizal bila Farzana masih membatukan dirinya di sisi katil.
           
“Kau yang patut keluar dari rumah ni!” Farzana menengking.  Dia berdiri, memandang tepat ke wajah Faizal.  Dadanya berombak laju.  Marahnya membuak-buak.

Pang!

Farzana tersungkur.  Dia menyeka hujung bibirnya.  Pecah dan berdarah.  Airmatanya terus mengalir.  Terasa marah diperlakukan seperti binatang dan terasa malu diperlakukan seperti itu di hadapan perempuan lain oleh suaminya sendiri.  Suami yang terlalu dia cintai.
            
“Kalau kau tak sukakan aku lagi...jangan seksa aku macam ni!  Jangan buat aku macam binatang!  Lepaskan aku!” Terus Farzana meluru ke arah Faizal.  Tangannya digenggam, menumbuk dada lelaki itu bertubi-tubi sekuat hatinya.
            
“Kau jangan mimpi aku akan lepaskan kau lah! Hahaha...” Faizal tertawa besar.  Tangannya menggenggam erat tangan Farzana yang dari tadi menumbuk dadanya.
            
“Aku takkan lepaskan kau sampai bila-bila pun!  Itu janji aku dari dulu lagi.  Dari zaman kita bercinta dulu lagi aku dah cakap dengan kau kan?  Kau lupa?  Aku takkan lepaskan kau sampai bila-bila pun! Kau lupa ke? Aku sayang...cintakan kau! Hahaha....”
            
“Sayang?  Cinta?  Kalau kau sayang dan cintakan aku...kau takkan buat aku macam ni!  Tolong lah Faizal.....Kalau tak nak lepaskan aku...layan aku baik-baik!  Layan aku macam aku ni isteri kau!  Ibu pada anak-anak kau!  Bukan buat aku macam ni!  Bukan buat aku macam tunggul dalam rumah ni!  Bukan berseronok dengan betina macam ni depan mata aku!  Dalam rumah aku!  Dalam bilik aku!” Farzana terjerit lagi.  Dia sudah tidak peduli kalau-kalau jiran tetangga mendengar jerit pekik mereka suami isteri.  Pasti saja mereka juga sudah lali kerana sudah acap kali mereka terpekik terlolong setiap kali Faizal pulang ke rumah.
            
“Apa?  Apa kau cakap tadi? Anak?  Hahaha....” Faizal tergelak besar.
            
“Anak....Anak ye?  Kau cakap pasal anak ye?  Hahaha....”  Faizal sambung ketawa lagi.
            
“Yang betina....perangai macam jalang.  Yang lelaki langsung tak nak mengaku aku ni bapak dia, kau mak dia...macam tu kau nak aku panggil anak? Hahaha....” Faizal ketawa besar lagi.  Dia memaut pinggang gadis di sebelahnya itu lebih erat.  Sesekali bibir nakalnya disondol-sondol ke pipi ranum gadis muda itu yang langsung tidak peduli dengan drama depan matanya.  Dia apa peduli kalau poketnya sudah penuh dan nafsunya sudah terlampias.  Dia sama sekali tidak peduli.
            
Farzana terkedu.  Menelan setiap kata-kata suaminya itu tentang anak mereka walaupun terlalu pahit hakikatnya.  Dia akui, ada kebenaran pada ayat yang diucapkan Faizal.  Tapi anak tetap anak.  Kedua-dua anak itulah yang telah dikandungnya selama sembilan bulan sepuluh hari.  Tentu saja walau apa pun keadaan dan penerimaan mereka, tetap mereka itulah darah dagingnya.
            
“Dah...berambus.  Jangan nak buat drama air mata kat sini.  Pergi dapur buat air, masak nasi, masak lauk.  Kejap lagi kitorang nak makan.  Penat buat kerja sekejap lagi ni....” Sengih Faizal pada gadis genit di sebelahnya yang tersipu-sipu.  Dia kemudiannya menolak kasar bahu Farzana yang masih terjelepuk kaku di atas lantai.
            
“Keluar lah!” Jerit Faizal kuat bila melihat Farzana masih berdegil.
            
“Kau nak makan penerajang aku pulak ke?!  Tak cukup ke dengan penampar aku bagi tadi?!” Faizal mula menyinga. 
            
“Berambus lah! Eiii...kau ni!” Terus dia mencengkam lengan Farzana.  Didirikan wanita itu lalu dicekak rambut Farzana sekuat hatinya.  Terus Farzana menyeringai kesakitan.  Dia kemudiannya menolak tubuh kurus itu sekuat hati sehingga wanita itu terjelepuk di luar pintu bilik.
            
Bam!
            
Pintu bilik dihempas kuat.  Pantas Farzana bangun dan melekap pada pintu bilik.  Diketuknya daun pintu itu berulang kali sekuat hati dengan tangisannya yang menggila.
            
“Kau tak boleh buat aku macam ni!  Kau tak boleh buat macam ni!  Bukak pintu ni!  Bukak Faizal!” Farzana melaung dengan linangan airmata.  Pintu bilik diketuk sekuat hati.
            
“Tolong lah Faizal!  Tolong lah!  Jangan buat aku macam ni....bukak pintu ni!  Bukak!” Farzana melaung lagi.  Airmatanya turun semakin laju.
            
“Faizal........Jangan buat aku macam ni...tolong lah....” Farzana terduduk.  Dia tersedu-sedu.  Tangisannya masih lebat.  Dia sudah tidak larat lagi untuk menggegar pintu bilik.  Yang jelas di pendengarannya kini hanyalah hilai tawa dan senda gurau suaminya bersama gadis tadi.  Terbayang kini di dalam kepalanya adegan mesra antara mereka berdua dan terus meracik-racik isi hatinya menjadi serpihan paling halus dalam sanubarinya.  Airmatanya mengalir dan terus mengalir.


****************************************


FITRI merengus.  Dia membiarkan Suraya yang duduk memandang sisi belakang badannya dari tadi.
            
“Fitri...tak baik buat Mama macam tu.  Mama kan datang nak jumpa Fitri....Dah lama dia tak tengok Fitri.  Penat dia datang naik bas ke sini bawa makanan untuk Fitri.  Tapi Fitri duduk terperuk dalam bilik.  Kesian dekat Mama.” Suraya memujuk lembut.  Dia tahu Fitri kurang senang dengan kehadiran adik iparnya itu.
            
“Ala...malas lah nak tengok muka dia.  Dulu masa Fitri kecik...bagi Fitri kat Ummi suruh Ummi dengan Papa yang jaga.  Sekarang kenapa datang sini sibuk-sibuk tunjuk muka?  Fitri rimas lah.  Dia tak datang pun takpelah Mi.” Fitri merengus lagi.  Dia masih membelakangkan badan enggan menatap wajah Umminya.
            
Suraya mengetap bibir.  Mengerti perasaan anak bujangnya yang sudah menginjak remaja itu.  Yang sudah pun tahu tentang duduk situasinya yang sebenar bahawa dia adalah anak angkat yang dibelanya sejak dari lahir.  Yang sudah pun tahu bahawa yang sedang menunggunya di luar itu adalah ibu kandungnya yang sebenar.
            
Memang dari kecil lagi baik dia dan suaminya sudah menerangkan tentang kedudukan dan status diri Fitri.  Bahawa anak itu hasil dari benih Farzana dan Faizal yang sah tetapi disebabkan desakan hidup dan masalah kewangan, tanggungjawab membesarkan Fitri diserahkan kepada dia dan Zikri di atas permintaan ibu suaminya itu.
            
Walau agak keberatan pada awalnya tapi Suraya jadi kalah dan lemah dengan kilauan cahaya pada sepasang mata bundar milik Fitri di samping senyuman manisnya yang dihiasi lesung pipit di kedua pipi montel anak itu enam belas tahun yang lalu.  Dan akhirnya, Fitri kini jadi sebati sebagai sebahagian dari keluarga bahagia miliknya.  Bahagia bersama kakak dan abang yang hakikatnya adalah saudara sepupu tapi dianggap bagai adik beradik kandung sendiri.
            
“Fitri jangan lah macam ni...tak baik.  Ummi tak pernah ajar anak-anak Ummi layan orang lain...layan tetamu...layan orang yang lebih tua...macam ni.  Itu...yang tunggu Fitri kat luar tu, bukan orang lain.  Mama Fitri sendiri.”  Suraya menuturkan kata-katanya lembut.  Cuba memujuk lagi.
            
“Mama apanya macam tu Mi?  Dah berbulan dia tak jenguk Fitri kat sini!”  Nada suara Fitri dikeraskan sedikit, menunjukkan yang dia sedang marah.  Tapi dikawalnya sebaik yang mungkin, bimbang mengecilkan hati Ummi kesayangannya itu.
            
“Macam mana Mama tu nak datang jenguk Fitri selalu kalau layanan Fitri pada Mama macam ni?  Bila Mama datang...Ummi kena pujuk Fitri dulu, nanti Mama tunggu lama kat luar tu baru Fitri nak keluar layan Mama.  Kalau Ummi lah...dah kecil hati dah anak Ummi buat macam tu...”  Suraya tersengih.  Dia sengaja mengusik anak bujangnya.  Dan dia tahu jejaka itu sedikit terusik, nampak dia beralih punggung dan mula menunduk merenung lantai.
            
“Ya Mi...Fitri tahu...Fitri ni bukan anak Ummi.  Kalau Kakak dengan Abang yang buat macam ni Ummi kecil hati kan...kalau Fitri buat Ummi macam ni, Ummi mesti tak kecil hati.”  Fitri sengaja menduga.
            
“Fitri....”  Suraya terkedu.  Tidak menyangka ayat yang meluncur dari bibir Fitri.
            
“Sampai hati cakap macam tu pada Ummi...”  Mata Suraya mula bergenang.  Tangkai hatinya sedikit terusik.
            
“Demi Allah...dalam hati Ummi ni, Ummi dah anggap Fitri macam anak kandung Ummi.  Adik kesayangan pada Abang dan Kakak.  Anak kesayangan Ummi dan Papa macam Kakak dengan Abang.  Kalau Fitri layan Ummi macam Fitri layan Mama.....mesti Ummi dah kecil hati sangat-sangat.  Takde beza antara anak-anak Ummi ni.  Baik Kakak, Abang atau Fitri...kalau layan Ummi macam Fitri layan Mama...Ummi akan kecil hati sangat-sangat.  Silap-silap Ummi dah meraung-raung dah kat luar tu tunggu Fitri keluar layan Ummi.”  Suraya menerangkan satu persatu.  Dia tidak mahu Fitri tersalah anggap lagi.
            
“Fitri tak kesian dengan Ummi?”  Tanya Suraya.
            
Lambat-lambat Fitri mengangguk.  Masih terngiang-ngiang penjelasan dari mulut Umminya itu.  Terasa sesal menyesak jiwanya cuba menguji Ummi tadi.  Ternyata dia yang silap. 
            
“Kalau Ummi ni Fitri kesian...mesti pada Mama tu lagi tinggi kesian Fitri kan?  Ummi tahu...Fitri tak nak tunjuk pada Ummi kan?  Saja lah tu...nak tunjuk macho...abang sado tak macho lah nak tunjuk hati goyang kan?”  Cuit Suraya lembut pada dagu anak bujangnya itu.  Sekadar mengusik, mengembalikan suasana ceria.
            
“Dah...pergi keluar, layan Mama elok-elok.  Dah lama dia tunggu Fitri kat luar.”  Pujuk Suraya lagi.
            
“Kalau Fitri tak boleh buat untuk Mama...buat demi Ummi.  Boleh?”  Duga Suraya.
            
“Fitri minta maaf pasal tadi Mi....” Anak itu terus menggapai tangan Suraya, diciumnya tangan itu lama. 
            
Perlahan Suraya mengangkat wajah yang dari tadi menunduk.  Dia perasan ada takungan air pada mata anaknya itu.  Dan saat itu ditahan rasa sebak dalam dadanya yang bukan kepalang.  Rasa dia ingin memeluk Fitri dan meraung sepuas hatinya.  Bahawa betapa dia kasihkan anak itu sama seperti anak-anak kandungnya sendiri.
            
“Fitri buat demi Ummi...Apa-apa saja untuk Ummi, Fitri sanggup buat.”  Senyum Fitri lalu bingkas bangun dan berjalan perlahan keluar dari bilik.
            
“Fitri...tidur ke?  Sorry mama ganggu.  Kalau Fitri mengantuk lagi...takpe pergilah tidur balik....Nanti Mama bagi dekat Ummi makanan ni semua.”  Farzana sekadar berbasa basi, dia tahu Fitri kurang senang dengan kehadirannya.  Tapi, dia rindukan anaknya itu.
            
“Tak lah.  Tengah study tadi.”  Fitri memaksa dirinya untuk senyum.  Dia belum lupa janjinya pada Ummi tadi.
            
“Mama bawa lauk apa hari ni? Fitri lapar.” 
            
Terus buntang mata Farzana.  Tidak menyangka sama sekali penerimaan baik dari Fitri kali ini.  Selalunya setiap kali dia menjenguk anaknya itu, pasti saja Fitri mencukakan wajah.  Hanya nampak sinar ceria wajah anaknya itu tatkala dia meminta izin untuk pulang ke rumah.  Kali ini bagai ingin menitis airmatanya melihat reaksi Fitri.  Sungguh dia bersyukur tidak terhingga ke hadrat Ilahi.
            
“Mama masak asam pedas ayam, sayur kacang buncis tumis dengan ikan selar goreng.  Lepas tu ada telur dadar sekali ni.  Ummi cakap Fitri suka makan asam pedas.  Tak kisah lah ayam ke ikan ke....” Farzana tersenyum.  Hatinya gembira.
            
“Semalam Mama pergi pasar beli ayam.  Saja kali ni nak masakkan Fitri asam pedas ayam pulak sebab Ummi pun takde cakap Fitri suka ayam atau ikan.  Lagipun kalau masak ayam asam pedas ni lagi sedap dari ikan sebenarnya.  Tu pun resepi dari Tok Mak dulu ajar....”  Terus Farzana terdiam.  Termenung seolah mengenang sesuatu.
            
“Zana....kalau nak makan bawak lah ke meja makan kat dapur ya?  Luas sikit nak makan berdua.”  Sampuk Suraya tiba-tiba yang dari tadi mengintai aksi kedua beranak itu di sebalik dinding.  Dia pasti Farzana tentu saja terkenangkan sesuatu.
            
“Eh...ha..ye lah Kak Su.  Jom Fitri...kita makan kat dapur.”  Bingkas Farzana bangun sambil membawa bungkusan bekal yang tidak jadi dibukanya tadi.  Fitri ikut sama bangun, hanya menurut.  Dia berpaling, memandang pada wajah Suraya yang tersenyum.  Dia tahu Ummi pasti sedar yang dia sedang berusaha menjaga hati Mamanya.
            
“Sedap?”  Sampuk Farzana saat memerhati anaknya itu menyuap nasi.  Fitri sekadar mengangguk.
            
“Lain kali bolehlah kerap Mama datang...Mama masak, kita makan sama-sama macam ni.”
            
“Jangan.”  Bisik Fitri perlahan.  Antara dengar dan tidak.  Tangannya menguis butiran nasi yang berterabur di dalam pinggan.  Wajahnya ditunduk, enggan bertentang mata dengan Farzana.  Berkerut dahi Farzana.
           
“Fitri sibuk lepas ni.  Nak study.  Lagipun takut nanti masa Mama datang, Fitri keluar.  Fitri ada group discussion untuk SPM tahun depan.  Kitorang selalunya tukar-tukar location...kadang-kadang buat kat sini, kadang-kadang buat kat rumah member yang lain tapi selalunya kat library.  Senang nak cari buku untuk rujukan on the spot.”  Fitri berkata selamba.  Dia sedar riak perubahan wajah Farzana.
           
“Lagipun......Mama datang atau tak...tak memberi kesan apa-apa dalam hidup Fitri.  Ada atau takde, sama jek.  I don’t bother of it at all.”  Fitri selamba lagi.  Jarinya mencubit ikan goreng dalam pinggannya lalu disuapkan ke dalam mulut.
            
I treat you well because of her.  Kalau bukan sebab Ummi, dah lama Fitri halau Mama.”  Fitri berpaling.  Melimpahkan reaksi wajah bengisnya.  Dia sudah tidak peduli. 
            
“Kenapa Fitri cakap macam ni?”  Soal Farzana.  Dadanya bagai ingin pecah.
            
“Fitri tak boleh lupa hari pertama Fitri tahu yang Fitri ni bukan anak kandung Ummi dengan Papa.  Kecewa, sedih,  marah sebab selama ni yang sayang Fitri, yang bela Fitri tu bukan mak dan ayah kandung Fitri sendiri.  Dan bertambah kecewa lagi bila Fitri dapat tahu Mama dengan Ayah lah mak bapak kandung Fitri.  Ada jek korang dekat sini...bukan jauh mana pun sampai membesarkan Fitri ni jadi bebanan pada korang.”
            
“Dan yang peliknya...boleh pulak bela Fitrah?  Tak pulak cakap desakan hidup, kewangan dan macam-macam lagi alasan untuk abaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa....”
            
“Dan sekarang...untuk apa cari Fitri ni?  Kalau dah buang...kenapa kutip?  Kalau dah ludah...kenapa jilat?” Farzana terpinga-pinga. Terkebil-kebil menelan setiap butir pertanyaan yang meluncur laju dari mulut anak bujangnya itu.
            
“Untuk tebus semula rasa bersalah Mama pada Fitri?  Untuk tebus semula segala dosa Mama pada keluarga?  Pada Papa dan Ummi?  Pada Tok Mak?” Fitri menjegilkan biji mata dengan senyum sinisnya. 
            
“Fitri tahu Ma...semua tentang Mama Fitri tahu.....” Fitri masih senyum.  Jarinya menguis nasi lagi tapi tidak dijamahnya.  Seleranya mati.
            
“Jangan nanti Mama nak salahkan Ummi dengan Papa...Bukan diorang yang bercerita pasal Mama...pasal hidup Mama sebelum ni....Bukan diorang.  Jangan Mama berani-berani usik Ummi dan Papa Fitri....Lama kelamaan, baik Fitri atau Fitrah akan tahu kisah Mama...Cepat atau lambat.  Itu saja bezanya...”
            
Fitri...Mama...” Farzana sebak.  Hatinya bagai disiat-siat.
            
“Mama balik lah....Sebelum lagi banyak dosa yang Fitri kumpul sebab kurang ajar dengan Mama.  Balik lah....Kalau tak datang terus pun Fitri takkan ambil hati.  Lagipun Fitri dah puas hati....dah luahkan apa yang terpendam dalam hati Fitri selama ni....” Cepat-cepat Fitri menyampuk sebelum Farzana mencelah lebih panjang lagi.  Dia tidak mahu mendengarnya.  Dia tidak berminat.
            
“Kalau Mama boleh buang Fitri dari hidup Mama...rasanya tidak menjadi satu dosa kalau Fitri buang Mama dari hidup Fitri kan?” Fitri tersenyum lagi.  Dadanya sebak bukan kepalang.  Matanya sudah bertakung air yang menunggu masa untuk tumpah.
            
Sedihnya dia saat mengucapkan kata-kata itu pada seorang ibu yang bertarung nyawa melahirkannya.  Tapi mengenang sikap lepas tangan Mama dan Ayahnya selama ini buat dia tekad.  Buat dia jadi pendendam setia.  Buat dia jadi iri hati terhadap adik kandungnya sendiri yang boleh saja dibela oleh Mama dan Ayahnya itu.  Justeru kenapa dia saja dicampak pada Ummi dan Papa?  Apa kurangnya dia sebagai anak?  Bukankah anak pertama itu yang paling dinanti, paling ditunggu dan paling disayang selayaknya dari pasangan yang baru berkahwin?
            
Pasti Ummi kecewa bukan kepalang sekiranya tahu sikap dia terhadap Mama sebegini.  Entahlah, dia cuma sudah tidak mahu menanggung rasa perit di dalam hati ini lagi. Walau dia diberi didikan agama secukupnya dari keluarga angkatnya dan juga dari guru-guru di sekolah agama terutamanya, dia tidak peduli.  Yang penting, dia mahu Mama sedar yang dia terseksa menelan hakikat yang dia dibuang dari keluarga sendiri dan dibela oleh ibu dan bapa saudara sendiri.  Dia juga mahu Mama tahu dia adalah amanah yang diturunkan Allah untuk dijaga bukannya disisihkan seperti ini.
            
“Fitri...kalau Fitri benci Mama....Mama faham....”  Cepat-cepat Farzana menyeka airmatanya yang mengalir dengan hujung blause.  Sebak dalam dadanya bukan kepalang.
            
“Tapi jangan bunuh peluang untuk Mama tebus semula silap Mama dan Ayah dulu.”
            
“Huh...Ayah?”  Fitri senyum sinis lagi.
            
“Fitri jangan halang Mama untuk jumpa Fitri lagi lepas ni walaupun Mama dah tahu yang Fitri bencikan Mama selama ni.”  Sambung Farzana.
            
“Mama takkan pernah jemu untuk pujuk Fitri supaya dapat terima Mama semula....”
           
“Mama tahu anak Mama ni anak yang baik....Mama tahu satu hari nanti pintu hati Fitri akan terbuka untuk kehadiran Mama dalam hidup Fitri.  Mama takkan putus asa untuk menangi hati Fitri.  Dan Mama....minta maaf atas semua yang terjadi selama ni....” Farzana menyusun ayatnya satu persatu.
            
“Senang jek kan....dah buang Fitri...lepas tu pungut balik.  Lepas tu minta maaf...Senang kan?” 
            
“Kalau semudah itu....Fitri nak buang Mama...lepas tu Fitri akan cari Mama semula dan minta maaf.  Nah....mudah kan?”  Fitri tidak lekang dengan senyum menyindirnya.
            
“Mama tahu takkan pernah mudah..semua ni takkan pernah mudah.”  Farzana tunduk.  Dia tahu Fitri sedang bengang ketika ini.  Dia fikir dia harus beredar sebelum marah anaknya itu jadi semakin teruk.
            
Perlahan-lahan dia bangun, membungkus kembali bekal makanan yang terhidang di hadapan matanya.  Membiarkan Fitri yang masih menguis nasi dengan pandangan yang ditundukkan.  Dia mahu pulang.  Cukup sudah luka dalam hatinya saat ini.  Dia tidak mahu ia jadi bertambah dalam.
            
“Zana...dah nak balik ke?”  Tegur Suraya bila dilihat adik iparnya itu tergesa-gesa mengemas dan ingin beredar sedangkan Fitri masih lagi tercegat menatap pinggannya.
            
“Eh Kak Su...Ha ah nak balik ni.  Baru teringat Fitrah mintak jemput dia balik lepas kelas tambahan.  Takut nanti lambat-lambat, lama pulak dia tunggu Zana kat sekolah.  Tak sempat lah Zana nak tunggu Fitri siap makan...” Bohong Farzana.  Sepantas kilat dia menyeka airmatanya yang masih bersisa tadi.
            
“Nanti Mama datang lagi....” Bisik Farzana antara dengar dan tidak di telinga Fitri.  Tangannya dihulur, menanti reaksi anak bujangnya itu.  Lama baru Fitri menyambut lalu mencium tangannya.
            
“Ma...”  Fitri terdiam.  Tekaknya terasa tersekat.
            
“Ya...Ya Fitri?”  Tanya Farzana penuh minat.
            
“Takde apa-apa.”  Fitri mengetap bibir.  Tidak jadi meluahkan rasa sesal dan betapa dia ingin meminta maaf kerana mengguris hati tua itu.  Ternyata egonya lebih mengatasi rasa bersalahnya.



            **********************************



“NI JEK yang Mama ada?”  Fitrah mencampak lima helai not ringgit yang berwarna merah itu ke wajah Farzana.
            
“Tira nak buat apa duit banyak-banyak?”  Farzana mengawal tonasi suaranya.  Hakikatnya dia bengang dengan sikap kurang ajar anak daranya itu.
             
“Mama tak payah tahu lah Ma....Mama bagi jek berapa yang Tira mintak.  Bukannya banyak tanya macam ni!”  Tengking Fitrah.
            
“Aku ni mak kau Fitrah...jaga bahasa kau tu.”  Farzana memberi amaran.  Suaranya tidak tinggi tapi bernada tegas.
            
“Cepatlah...Tira nak duit!  Zack dah tunggu lama dah tu!” Tengking Fitrah lagi.
            
“Jangan keluar malam ni.  Duduk rumah.” Farzana memberi arahan.
            
“Mama nak suruh Tira mengadap muka Mama jek ke 24 jam?  Siang Tira ada kan kat rumah....malam bagi lah Tira jalan!” Fitrah mula bengang.  Dia bengang ibunya itu menyekat kebebasan dirinya.
            
“Siang kau membuta dalam bilik....kerja rumah kau langsung tak nak buat.  Aku suruh kau sekolah, kau tak nak!  Malam kau nak menggatal dengan jantan!  Aku suruh duduk rumah...duduk jek lah rumah!” Tengking Farzana.  Dia sudah tidak berupaya menahan rasa marahnya lagi.
            
“Apa bezanya Tira dengan Mama?  Mama pun tak habis sekolah dulu kan?  Tok Mak suruh Mama sekolah...Mama tak nak.  Sekarang Mama nak Tira pulak sekolah...Kan kelakar tu? Hahaha....” Fitrah ketawa besar.
            
“Aku ni mak kau Fitrah!” Jerit Farzana.  Badannya menggigil.  Rasa ingin dilempang Fitrah ketika itu.
            
“Ye....tahu!  Tira tahu Mama ni mak Tira!  So what?!”  Fitrah menengking, membalas jeritan Farzana.  Dia menjegilkan matanya.
            
“Tira ni muda lagi Ma...Jangan lah kongkong itu tak boleh, ini tak boleh.  Tira nak jumpa kawan-kawan.  Tira nak enjoy lepak-lepak dengan Zack.  Tira nak bebas Ma!  Kenapa Mama susah sangat nak faham?” Fitrah menjeling tajam.
            
“Habis.....kau nak hidup kau jadi macam hidup aku?” Farzana merenung jelingan Fitrah. Begitu tajam sehingga gadis itu melarikan pandangannya.
            
“Aku ni nasihat...sebab nak kau jadi orang.  Sebab nak kau jangan sampai menyesal tak sudah macam aku....”
            
“Aku tak bagi kau keluar dengan jantan-jantan tak guna kat luar tu semua sebab aku nak kau dapat suami yang boleh bimbing kau masuk syurga...bukan yang ajak kau masuk neraka!”
            
“Aku tak bagi kau itu ini macam yang kau nak tu supaya kau sedar yang aku ni susah...sekolah tak habis dan kau kena sedar, dalam dunia ni bukan semua benda yang kita nak...orang akan bagi, orang akan suap mulut kita.  Kau kena usaha.  Kau kena rasa peritnya berusaha baru kau faham manisnya hasil yang kau dapat lepas kau berpenat lelah tu.”
            
“Sebab tu aku suruh kau sekolah!  Sekolah tinggi-tinggi supaya kau boleh dapat kerja yang bagus, lelaki yang baik, anak-anak yang pandai...Kau boleh hidup bahagia bukan macam aku ni!” Farzana menengking.
            
“Tapi kau ni degil...kau langsung tak nak dengar cakap aku!  Kau nak jadi apa ha?” Farzana menjegilkan matanya.  Dipandang Fitrah seolah-olah mahu ditelannya.
            
“Ala Mama ni kan...suka paksa Tira buat itu, buat ini.  Kalau Tira sekolah pun, Tira tak minat lah.  Benda kalau dah tak minat, buat apa nak paksa?  Tira berhenti sekolah kan senang...Mama tak payah nak susah-susah cari duit bagi kat Tira.”
            
“Habis tu apa bezanya dengan sekarang?  Kau keluar ni kenapa kau mintak duit dengan aku?  Kalau kau sekolah, kau mintak duit...aku boleh usaha dengan tulang empat kerat aku ni bagi kau....asalkan kau sekolah betul-betul.  Ni kau dah lah pemalas, sekolah tak nak....lepas tu kau nak enjoy, kau pandai cari aku mintak duit.”
            
“Kau cakap tadi kalau kau tak sekolah...aku ni tak payah susah-susah cari duit bagi kau kan?” Farzana senyum sinis.
            
Pinn!
            
Hon motor terdengar nyaring di luar rumah.  Sesekali derumannya nyaring mengganggu pertengkaran mereka tadi.
            
“Cepatlah Ma!  Mana cukup ni!” Desak Fitrah.
            
“Aku takde duit.  Kau tak payah keluar.” Farzana berpaling, memandang televisyen dan pura-pura selamba.
            
“Ah...aku nak keluar.  Kisah pulak aku..kau tak bagi!” Fitrah membuka langkah.
            
“Jangan!  Jangan keluar Tira!” Pantas Farzana berlari menghampiri Fitrah lalu memaut lengannya, menghalang gadis itu dari keluar rumah.
            
“Apa ni Ma? Sakit lah!” Fitrah merentap kasar genggaman ibunya.
            
“Aku cakap jangan keluar.  Duduk rumah!” Cepat-cepat lengan Fitrah digenggamnya semula.  Kali ini lebih kuat. 
            
“Sakit lah!  Kau tak nak kasi aku duit dah lah...tak payah lah nak paksa aku terperuk jek kat dalam rumah ni!  Lepas lah!” Fitrah menarik lengannya lagi.
            
“Jangan keluar Tira!  Duduk rumah!  Jaga diri kau, maruah kau tu!”
            
“Apa maruah, maruah ni semua ni! Hishhh....dah lah!  Tepilah!” Terus Fitrah menolak wanita separuh abad itu kuat.  Terduduk Farzana di atas lantai.  Dia terkejut.  Terpinga-pinga ditolak sebegitu oleh Fitrah.  Tapi dengan pantas dia memaut pula betis Fitrah.
            
“Hei orang tua ni!  Kau ni dah kenapa malam ni?!” Tengking Fitrah. 
            
“Tepi lah!  Tepi aku cakap!  Kau ni kenapa ha?!” Spontan Fitrah menolak tubuh Farzana lebih kuat, ingin melepaskan pautan wanita itu pada betisnya.  Kali ini tubuh Farzana terinjak lebih jauh dan terhempas kuat pada lantai rumah.  Cepat-cepat dia memegang hujung bibirnya.  Darah.
            
“Padan muka kau!  Degil sangat!  Kalau bagi aku keluar tadi...kan tak jadi macam ni!  Dah lah...aku berambus lagi bagus!” Fitrah merengus lalu selamba meninggalkan ibunya.
            
“Mak.....Mak!”  Farzana merintih.  Airmatanya merembes keluar dengan laju.  Serta merta ingatannya menerjah kenangan masa silamnya.


******************


ABANG......SAYANG minta maaf.  Sayang rasa sayang tak boleh teruskan lagi.  Sayang tak marah kalau Abang tak boleh bersama sayang...tapi sayang tak boleh teruskan lagi dengan Abang.  Sayang takkan paksa Abang untuk ikut sayang.  Sayang tahu Abang ada tanggungjawab pada keluarga Abang.  Teruskan.  Tapi jangan paksa sayang lagi.  Sayang tak mampu lagi bersabar.  Sayang minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. 
            
Suraya memberi isyarat lampu sisinya lalu stereng kereta ditarik ke kiri jalan.  Puas hati dengan kedudukan keretanya, dia memandang permukaan jalan yang terbentang luas.  Enjin kereta dibiarkan hidup, tidak dimatikan.  Dia menggenggam stereng kereta kemas dan ditarik nafasnya dalam-dalam sambil menutup mata.
            
Dia mencapai telefon bimbitnya yang tersadai di kerusi penumpang lalu ditatap lagi pesanan yang dihantar kepada Zikri.  Terus airmatanya yang ditahan sejak tadi, tumpah.  Semakin lama semakin lebat sehingga tubuhnya terhinggut-hinggut menahan esak tangis yang bukan kepalang.
            
Sudah empat tahun Suraya menumpang di rumah keluarga Zikri, dan sepanjang tempoh itu dia banyak memendam perasaan.  Tapi disebabkan ketaatannya pada seorang suami, dia sentiasa mengalah.  Selalu saja dia menipu perasaan sebenar di hadapan Zikri kerana kasihnya dia pada lelaki itu.
            
Tapi pagi tadi, kesabarannya betul-betul sudah sampai ke kemuncaknya.  Saat dia sedang sibuk bersiap untuk pergi ke tempat kerja, dia mendengar dengan jelas sekali perbualan di ruang tamu rumah ibu Zikri itu.
            
“Acu...kakak nak ikut...”  Tangis Marsya sayu.
            
“Tak boleh!  Acu nak berambus dari rumah ni!”  Farzana selamba.  Darahnya naik mendidih.  Dia nekad mahu meninggalkan rumah itu hari ini juga.  Padanya semua orang dalam rumah ini langsung tidak mengerti jiwa remajanya.
            
“Acu nak pergi mana?  Jangan lah pergi jauh-jauh....Kakak nak ikut....”  Pujuk Marsya lagi dengan rengekan dan pelatnya.  Kanak-kanak berusia 2 tahun lebih itu langsung tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi.
            
“Eiii...pergi mampos lah kau!”  Jerit Farzana lantang terus berlalu masuk ke dalam bilik.  Dia buat-buat pekak walau Marsya melaung dengan kuat sambil mengetuk pintu mahukan Acunya itu.
            
Pantas Suraya keluar dari bilik mendapatkan Marsya.  Dadanya bagai ingin pecah.  Apatah lagi saat mendengar Marsya dimaki seperti itu oleh adik iparnya itu.  Ikutkan hati, mahu saja dia menampar Farzana tapi bila mengenang ibu mertuanya yang baik hati, yang melayan dirinya dan Marsya dengan baik, dia membatalkan niatnya.  Dirangkul Marsya dalam pelukannya, dipujuk anak kecil itu.  Airmatanya ditahan.  Rasa marah dengan perbuatan Farzana cuba dikawal sedaya upaya.
            
Dia menuju ke dapur lalu membuka pintu.  Cepat-cepat dia melangkah menuju ke rumah Mak cik Miha.  Pintu dapur rumah itu dibuka perlahan-lahan.  Suraya menghulur Marsya ke pelukan Mak cik Miha. 
            
“Cik...mintak tolong jagakan Marsya.....”  Suara Suraya bergetar.  Dia cuba menahan sedih dan marah yang bergelodak dalam hatinya.
            
“Farzana cakap nak lari dari rumah....Saya takut dia bawak sekali Marsya.  Tolong jagakan Marsya....”  Terus airmatanya tumpah.  Badannya menggigil.
            
“Ya Allah...kenapa ni Su?  Kenapa?”  Cepat-cepat Mak cik Miha memegang lengan Suraya.  Dia jadi panik saat melihat airmata Suraya berjuraian.  Dia jadi keliru dengan keadaan Suraya.
            
“Tadi Farzana cakap nak lari dari rumah....Marsya sibuk nak ikut....”  Suraya sudah teresak-esak menangis.
            
“Tiba-tiba dia maki Marsya...pergi mampos lah!  Saya geram cik!  Saya rasa nak lempang dia!”  Suraya mengetap bibir.  Marahnya ditahan.
           
“Saya tak kisah dia nak lari mana pun...pergi lah mana pun yang dia nak pergi.  Ini bukan kali pertama dia lari dari rumah...Tapi, jangan bawak Marsya sekali!  Jangan usik anak saya!”  Suraya bersuara tegas walau airmatanya masih bersisa.
            
“Ya Allah...Su sabar ya? Takpe..mak cik jagakan Marsya ni...Su jangan risau.  Mak cik takkan bagi dia pegang Marsya.  Biarlah...lantak dia lah nak lari mana pun.  Budak bermasalah!”  Mak cik Miha merengus.  Geram dengan sikap kurang ajar gadis itu.
            
“Saya pergi kerja dulu cik...jagakan Marsya elok-elok ya cik?”  Dirangkul Marsya yang terpinga-pinga dalam pelukan Mak cik Miha lalu diciumnya bertubi-tubi.  Mungkin pelik melihat Suraya berjuraian airmata.
            
“Ya..ya..Su jangan risau.  Dah...pergi kerja.  Cik jaga anak Su baik-baik.  Jangan risau.”  Mak cik Miha tersenyum, digosok-gosok lengan Suraya berulang kali.  Cuba meyakinkan wanita itu.  Faham akan kegusaran dalam hati Suraya saat ini.
            
Suraya menarik nafas dalam, menghembusnya perlahan-lahan lalu dipejam matanya.  Jatuh terus airmata menuruni pipinya.  Terus saja melebat airmatanya bagai tidak mahu berhenti.  Terus saja dia meraung di dalam kereta itu sekuat-kuat hatinya. 
            
Kali ini dia tekad.  Melepaskan Zikri demi Marsya.  Dia sudah tidak lagi peduli cinta pada lelaki itu.



**************



ZIKRI TERKEBIL-KEBIL.  Tulisan di aplikasi What’s App pada skrin telefon bimbitnya ditenung lama.  Terasa tidak percaya dengan apa yang dibacanya.  Dadanya terus bergoncang. 

“Aku nak balik. Ada hal kecemasan.” Spontan dia berdiri lalu pantas meninggalkan meja kerjanya.  Rakan kerjanya jadi terpinga-pinga langsung tidak sempat bertanya.

“Abang tak kerja?”  Tanya Suraya sebaik dia melabuhkan duduknya di hadapan Zikri.  Terkejut dia sewaktu Zikri menelefonnya dan meminta dia datang ke restoran ini.  Walaupun agak keberatan tapi dia tahu segala permasalahan ini perlu dirungkai.  Kalau tidak sekarang, bila lagi?

Zikri diam, tidak menjawab.  Direnung wajah isterinya itu.  Bengkak pada mata isterinya itu jelas.  Dia tahu Suraya pasti sudah puas menangis.  Suraya menunduk, dia tahu Zikri sedang merenungnya. 

“Kenapa What’s App Abang macam tu?”  Tanya Zikri sebaik pelayan menghantar minuman.

“Abang...Su dah buat keputusan.  Su tak boleh teruskan lagi.  Su tak boleh terus duduk dengan Mak dan adik-adik Abang.  Lagi lama Su dalam rumah tu, Su boleh jadi gila....” Su menarik nafas.

“Su tak marah kalau Abang tak boleh nak ikut Su.  Su faham Abang anak sulung, arwah Abah dah takde, adik-adik takde siapa nak bela.  Su tak kisah Bang.  Su boleh terima kalau Abang cakap Abang tak boleh pilih Su...Takpe..Su faham...Su..”

“Apa Sayang cakap ni?”  Terus Zikri memintas kata-kata Suraya.  Dadanya berombak.  Telinganya panas.

“Abang...Su mintak maaf...Su..tak boleh....”  Airmata Suraya jatuh.  Hatinya sebak bukan kepalang.  Dia sanggup mengalah, sanggup kehilangan lelaki yang dicintainya itu.  Dia sudah tidak lagi mampu bertahan.

“Su dah tak sayang Abang?”  Tanya Zikri.  Airmatanya bertakung di tubir mata.  Bila-bila saja akan jatuh.

“Allah saja yang tahu betapa Su sayangkan Abang.  Abang suami yang baik, lelaki yang baik, ayah yang baik untuk Marsya...Tapi...Su...Su minta maaf...Su dah tak boleh bersabar lagi...” Su menunduk, bimbang airmatanya disedari pelanggan lain yang sedang menjamu selera.

“Abang tahu apa Farzana buat pagi tadi?” Dahi Zikri berkerut.  Naluri ingin tahunya memuncak.  Cepat-cepat dia menggeleng.

“Dia nak lari dari rumah lagi...Masa dia tengah mengemas beg nak lari tu..Marsya nampak....Dia sibuk nak ikut Farzana tapi Farzana tak bagi...” Suraya diam seketika.

“Bila tak bagi ikut Marsya nangis...merengek-rengek nak ikut...Su biarkan sebab Su tengah sibuk bersiap dalam bilik tapi Su dengar setiap perkataan yang keluar dari mulut Farzana dan Marsya.....”

“Yang buat Su kecewa, marah dan sedih...bila Farzana maki Marsya bila Marsya meraung nak jugak ikut dia...” Zikri tersentak.

“Dia cakap apa?” Darahnya naik ke kepala.  Padanlah isterinya itu hilang sudah sabarnya.

“Dia cakap...pergi mampos lah! Pada Marsya.  Anak kita.  Yang kecil dan tak tahu apa-apa!” Suraya merengus.  Geram bila mengenangkan kembali.

“Dia boleh jadi sejahat mana pun dia nak jadi.  Su tak peduli.  Tapi jangan sentuh Marsya!  Jangan dimaki budak yang tak tahu apa-apa tu!  Dari umur dia 12 tahun sampai sekarang dah 16 tahun...berapa kali dia lari dari rumah?  Berapa kali dia ponteng sekolah?  Berapa kali dia buat mak Abang menangis?”

“Benda ni takkan jadi macam ni kalau mak Abang tak bagi muka...” Suraya diam.  Dia menunggu reaksi Zikri yang dari tadi membisu.

“Mak...sayangkan Farzana...”  Lama baru Zikri membuka mulut.  Dia serba salah.  Dia sayangkan Suraya tapi kasihkan ibu dan adik-adiknya.

“Tapi cara mak tu silap...setiap kali Farzana lari, mak kelam kabut cari sana sini...berhari-hari tak makan, berendam airmata....Bila Farzana balik, langsung tak dimarah...tak ditegur...Abang-abang tak boleh tegur, tak boleh hukum Farzana...atas alasan apa?  Takut Farzana lari lagi dan terus tak balik-balik....” Suraya meluahkan segala yang terbuku.

“Farzana jadi lemak...pijak kepala kita...langsung tak hormat kita...Sebab apa?  Sebab mak sayang aku...mak tak kasi Abang-abang marah aku...Kalau berani marah...marah lah!  Aku lari, biar semua orang tak dapat cari aku.  Biar mak merana makan hati aku tak balik rumah!”

“Dia tak balik rumah berhari-hari...apa yang dia buat?  Dia duduk mana?  Dia dengan siapa?  Takkan Su nak fikir yang dia tidur di masjid?  Berqiamulail dari tengah malam sampai ke pagi?”

“Dan sekarang...disebabkan dia, siapa yang jadi mangsa?  Su! Marsya!  Sedangkan bukan kami yang buat masalah!” Su menggengam jemarinya.  Puas dapat meluahkan segalanya.

“Mak...bila Farzana lari,tak balik rumah,melawan cakap,keluar dengan jantan entah mana asal usul.....pandai mengadu itu ini pada Su.  Tanya pandangan Su.  Mintak nasihat Su.  Tapi bila Farzana balik, apa yang Su nasihat terus mak lupa...Apa yang Farzana buat dari yang salah terus berubah jadi betul.  Abang tahu betapa Su kecewa?  Betapa Su sakit hati dengan cara mak mendidik anak?”

“Su nasihat mak suruh didik Farzana...bukan lah dengan cara belasah budak tu sampai lembik...Ada banyak cara lain...tapi sekurang-kurangnya tunjuk lah apa yang Farzana buat tu salah selama ni....Sebagai anak, Farzana tak boleh buat macam tu pada mak, pada Abang, pada abang-abang dia yang lain, pada Su dan pada Marsya.  Dan mak juga salah cara didikannya pada Farzana.  Su tahu dia sayangkan Farzana.  Tapi bukan ini caranya.”

“Takpe lah...Su dah tak larat dah nak teruskan lagi....Su cuma nak duduk sendiri...dengan Marsya.  Kalau Abang nak ikut...Su alu-alukan.  Kalau Abang tak boleh ikut...takde dendam dalam hati Su.  Su sentiasa sayang Abang dunia akhirat.  Su minta maaf.” Suraya menunduk, menggapai beg tangannya ingin bingkas bangun.

“Nanti....” Zikri sempat memaut lengan Suraya.

“Kita pindah...” Zikri senyum.  Tawar.

“Kita pindah ya sayang?” Mata Zikri ikut berkaca melihat linangan airmata Suraya.  Dia tahu Suraya terharu kelegaan.  Dia tahu derita isterinya sudah terungkai kini.



**********************



FARZANA MERENGUS.  Nafasnya turun naik laju.  Dia marah dengan tindakan emaknya yang menghalang dia keluar.  Dia mengilas jam di dinding.  Sudah pukul 5.00 petang.  Dia sudah terlewat setengah jam dari waktu yang ditetapkan Faizal.  Dia gelisah.  Memikir jalan untuk keluar dari rumah itu.
            
“Kau nak pergi mana?” Langkah Farzana terhenti sekejap.  Dia merengus kemudian teruskan melangkah.
            
“Kau nak pergi mana ha?  Aku cakap jangan keluar kan!  Kenapa kau ni degil sangat dik!  Kenapa kau tak boleh nak dengar nasihat mak ni dik!” Fauziah merintih.  Hatinya sakit.  Kecewa bukan kepalang bila dilihat Farzana tidak berubah, malahan menjadi semakin teruk.
            
“Mak nak Zana duduk jek terperuk dalam rumah ni ke Mak?  Zana bosan tau tak mak?  Takkan lah nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh!” Farzana menengking emaknya.  Langsung tidak peduli pada kemarahan emaknya.  Dia juga marah.
            
“Mak tak marah kalau kau setakat nak keluar dengan kawan-kawan...pergilah.  Tapi kau tu bila orang bagi keluar...kau terus hilang tak balik-balik.  Handphone kau tak nak angkat...merata abang-abang kau cari kau...aku ni susah hati tak senang duduk tunggu kau balik....Sebab tu kitorang dalam rumah ni tak kasi kau keluar!”
           
“Ala...nanti Zana balik lah!”
            
“Bohong!  Setiap kali kau keluar dengan Faizal kau mesti tak balik...entah ke mana jantan tu bawak kau...dengan dia-dia sekali lesap!” Fauziah bersuara lantang.  Dia melawan kedegilan Farzana.  Dia tidak mahu anak gadisnya itu keluar lagi.
            
“Kau tu ada dalam rumah ni pun boleh terlepas...ni kan pulak kalau kau keluar depan mata aku macam ni...”
            
“Kau lupa...masa kitorang tengah tengok tv kat ruang tamu..kau dalam bilik.  Elok cerita habis semua orang nak masuk tidur...kau lesap!  Pukul 12 tengah malam kau lesap!  Senyap-senyap kau keluar sehelai sepinggang!  Takde kesan, takde bunyi...Tahu-tahu kau lesap!  Padahal petang tu kau baru balik lepas kau hilang tiga hari!  Aku ni cari kau tengah-tengah malam buta satu kampung ni tau!  Kau tahu aku ni susah hati entah kau kena culik ke kena bunuh ke.....Kau tahu tak aku ni dah tua, bawak motor tengah-tengah malam cari kau macam orang gila!  Kau tak kesiankan aku ke Zana?!”
            
“Zana balik jugak kan akhirnya?” Farzana duduk.  Membiarkan emaknya terus-terusan membebel.
            
“Lain kali kalau Zana hilang, tak balik...tak payah cari.  Tahu lah Zana nak balik.  Zana belum lupa lagi jalan nak balik ke rumah ni.”
            
“Ye..aku tahu kau tak lupa.  Tapi kau tu anak dara...agama kau tu Islam....bukan ajaran agama kita untuk kau buat macam ni...Kau tak kesian dekat arwah abah ke dik...melaung-laung dia dalam kubur kena seksa bila kau buat mak macam ni....Tolong lah Zana...berubah lah!” Fauziah duduk di sebelah Farzana, memerhati sisi wajah Zana yang putih bersih itu.
            
“Mak ni sebolehnya nak bagi yang terbaik untuk anak-anak mak lebih-lebih lagi kau...sebab apa?  Sebab dalam adik beradik kau...kau ni lah yang paling sekejap merasa kasih sayang seorang ayah.  Masa kau umur 4 tahun abah dah pergi tinggalkan kita semua...tinggalkan mak besarkan kau dengan abang-abang kau.  Nasib baik Abang Zikri tu dah habis sekolah..dia keluar bekerja tolong-tolong mak apa yang patut.  Kau tahu abang-abang kau marah mak sebab terlalu manjakan kau?” Fauziah menarik nafasnya dalam-dalam.  Bagai ingin meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya.
            
“Padahal diorang tak faham....mak sayangkan kau.  Bukan mak manjakan kau.  Bertahun kami harapkan bayi yang keluar dari perut mak ni bayi perempuan lepas dah dapat 3 orang anak lelaki.  Arwah abah lah yang paling gembira bila kau lahir dia dapat tahu kau ni perempuan.  Tapi sayang...umur dia tak panjang.  Waktu kau dengan dia tak lama.  Sebab tu kalau kau buat perangai, abang-abang kau nak hukum kau...nak marah kau..mak halang.  Mak tak sampai hati...mak teringatkan arwah Abah....” Mata Fauziah berkaca.  Dia masih lagi memandang sisi wajah Farzana yang langsung tidak berpaling menghadapnya.  Tapi dia tahu Farzana sedang mendengar.
            
“Salah ke kalau kau jadi anak yang baik?  Tak boleh ke?” Fauziah menggamit lengan Farzana.  Mengharap pengertian anak gadis yang terlalu disayanginya itu.
            
“Mak...mak tak faham.  Zana ni muda lagi.  Zana nak keluar dengan kawan-kawan....Mak tahu tak seronok berkumpul ramai-ramai macam tu...berbual, gelak ketawa...mak apa tahu?” Farzana berlembut.  Walau dia terkesan dengan ayat emaknya tadi, tapi dia tetap dengan pendiriannya.  Dia bingkas bangun.  Cepat-cepat Fauziah menggenggam lengannya.
            
“Jangan macam ni dik...kau tak dengar ke apa yang mak cakap dari tadi?” Pujuk Fauziah lagi.
           
“Dengar...tapi Zana tetap nak keluar!  Faizal dah tunggu lama dah tu!” Farzana merentap lengannya.  Kakinya mengatur langkah ingin pergi.
            
“Jangan!”  Sekali lagi Fauziah memaut lengan Farzana.
            
“Hei kau ni!  Lepaslah! Aku baling kau karang!”  Ugut Farzana.  Tangannya yang sedang memegang powerbank diangkat tinggi.  Cuba menakutkan Fauziah.
            
“Jangan!  Mak kata jangan keluar!”  Fauziah bertegas lagi.
            
Pangggg!
            
Powerbank tadi dihempas.  Sikit saja lagi hampir terkena kaki Fauziah.  Dia terus terdiam.  Terpaku melihat powerbank yang berderai terdampar di atas lantai.  Sungguh dia terkedu dengan sikap Farzana. 
            
“Berambuslah!”  Tolak Farzana kuat sambil merentap lengannya.  Terhuyung hayang Fauziah jadinya akibat tolakan itu, terus saja genggamannya terlepas.
            
“Dik...jangan keluar dik!  Duduk rumah!”  Cepat-cepat Fauziah berlari.  Mengejar Farzana yang sudah pun ada di laman rumah.
            
Bukk!
            
Fauziah terjatuh.  Dia menyeringai sakit.  Perit pada kedua-dua lutut dan telapak tangannya.  Darah.  Ditoleh pada Farzana yang sudah pun menjauh di dalam kereta.
            
‘Sampai hati kau dik!’



**************************



“KURANG AJAR KAU!!!”  Terus penumbuk padu singgah ke mukanya tanpa sempat dia mengelak.  Spontan tangannya menekap hidungnya yang sudah pun berdarah.
            
Farzana terkulat-kulat.  Ingin membantu Faizal tapi dia takut dengan amukan abang ketiganya itu.  Dia menoleh, ternampak ibu dan kakak iparnya sedang ralit memerhati dia di seberang jalan.
            
“Kau bawak adik aku pergi kelab malam...lepas tu kau tidur dengan dia...Sekarang, kau dengan tanpa rasa takut sikit pun tunjuk muka kau depan aku?  Kau memang berani!”
            
“Apa ni Uda!  Kau kalau setakat dengar orang cakap...takde bukti, jangan memandai-mandai nak tuduh aku yang bukan-bukan.”  Tengking Farzana.

“Kau diam!”
            
Pang!! 
            
Spontan terus Zali menampar Farzana.  Farzana terus tergamam.  Dia terkejut.  Tidak menyangka akan diperlakukan sebegitu oleh abangnya.  Dia jadi malu pada Faizal.
            
“Kalau aku takde bukti...aku takkan mengamuk macam ni!  Dah...kau pergi masuk sana!”  Tengking Zali lagi.  Farzana hanya diam tapi kakinya melangkah menuju ke pintu rumah.  Hatinya bengang.  Marah dilempang abangnya di hadapan Faizal.
            
“Uda tu kenapa mak?  Jangan macam-macam dengan Zana!  Kalau Zana lari tak balik terus nanti...kau jugak yang susah nanti!”  Sempat Farzana memberi amaran saat melintas di hadapan emak dan kakak iparnya. 
           
Berdesing terus telinga Suraya dengan kebiadapan Farzana.  Ikutkan hatinya, mahu saja dia menerkam Farzana dan menampar gadis itu.  Akan diheret gadis itu dan dipaksa supaya dia menyembah ibu mertuanya itu.  Tapi bila dilihat ibu mertuanya bersahaja langsung tidak memberi apa-apa reaksi, dia diam kaku.  Malas untuk masuk campur.  Dia tahu sikap ibu mertuanya itu.  Terlalu sayangkan Farzana.  Tapi tidak kena gayanya.
            
“Kau kenapa teruk sangat sekarang ni Dik?!” Zali menerjah pintu bilik.  Ditatapnya Farzana yang baring di atas katil. 
            
“Kau pekak ke apa aku cakap?!” Zali mencapai bantal di sisi katil lalu dilemparkan ke muka Farzana yang menutup matanya.
            
“Kau nak apa lagi?!  Kau dah lempang aku kan?  Faizal pun kau dah tumbuk kan?  Apa lagi yang kau tak puas hati!” Farzana duduk.  Memandang abangnya itu dengan penuh amarah.
            
“Apa lagi ni?!  Sudah lah...sudah!” Masuk pula Fauziah ke dalam bilik itu, cuba menghalang pergaduhan dua beradik itu dari semakin melarat.
           
“Mak ni macam tu lah...sikit-sikit sudah! Sikit-sikit sudah!  Apa yang adik buat semua takpe!  Semua boleh!” Jerit Zali pada emaknya.
            
“Habis tu kau ingat kalau kau belasah adik kau ni pun...keadaan akan berubah ke?  Kalau dia lari tak balik, macam mana?!” Fauziah menjegilkan matanya.  Melawan amukan anaknya itu.
            
“Biarlah dia nak lari!  Nak sangat jadi bohsia kat luar tu...biarkan dia lari!  Mak nak pertahan sangat dia sebab mak takut dia lari tu kenapa?!”
            
“Mak tahu tak apa anak kesayangan mak ni dah buat?!  Kalau dia buat elok...buat baik...Uda takkan marah dia.  Abang gila mana yang nak marah adik jadi molek?  Adik jadi baik?”
            
“Apa?  Apa adik kau ni dah buat?  Apa kau dah buat dik?” Fauziah mengalih pandangnya ke arah Farzana yang membatu.
            
“Kenapa diam?!  Cakap lah!  Tadi bukan main lagi kau menengking-nengking cakap dengan aku!”
           
“Apsal diam?  Tahu pulak kau takut!” Farzana menjeling.  Dia benci dengan abangnya itu.
            
“Dik...kenapa kau diam?!  Kau tadi bukan main lagi kan?....Sekarang apsal kau diam?!  Ke kau nak aku yang beritahu mak?!”
            
“Kau tak payah campur urusan aku lah Bang!  Aku tak sibuk hal kau pun!” Farzana membalas.
            
“Aku pun tak ingin lah nak masuk campur urusan kau tu Dik...tapi masalahnya apa yang kau buat tu salah...aku ni sebagai abang takkan nak biarkan jek kau macam tu?”
            
“Biar jek lah.  Aku tak suruh pun kau sibuk-sibuk hal aku.”
            
“Eiii...kau ni!  Melampau-lampau kau sekarang kan!” Terus Zali mengangkat tangannya tinggi.  Fauziah segera meluru, menahan Zali membuat tindakan.
           
“Sudah! Sudahhh!!” Jerit Fauziah.
            
“Itulah mak!  Sikit-sikit sudah!  Mak tak tahu mak apa yang adik buat mak!  Mak tak tahu! Aku cabar kau dik...kau cakap apa yang kau dah buat!  Kau berani sangat kan...kau cakap lah dengan mak!  Aku cabar kau!” Jerit Zali, dia seperti kerasukan.  Marahnya pada Farzana sudah tidak dapat dibendung.
            
“Aku pergi kelab malam...aku telan ice!  Aku minum!  Aku mabuk lepas tu aku tidur dengan Faizal!  Puas hati kau?!  Puas?!  Puas?!” Farzana menjerit.  Dadanya berombak kencang.  Dia geram dengan desakan Zali.
            
“Ya Allah dik....kenapa macam tu sekali?  Kenapa kau buat tu semua?  Kau takut Allah ke?  Kau tak ingat mak?  Kau tak kesian dengan mak ke dik?”  Fauziah terkejut bukan kepalang.  Hatinya hancur berderai.  Anak kesayangannya sudah melampaui batas yang dia berikan selama ini.  Dia kecewa.  Sangat-sangat kecewa.
           
‘Abang...maafkan Yah Bang...Yah gagal didik anak perempuan kita.....’




**************



FARZANA MUNDAR MANDIR.  Dia melihat ke seluruh halaman rumah yang sudah lama tidak dijenguknya itu.  Dia ke kiri rumah, melihat pokok rambutan yang melebat dengan buahnya.  Tersenyum.  Dia memetik buah rambutan yang paling merah, lantas mengupas dan meratahnya perlahan-lahan.
            
Perlahan-lahan dia menapak lagi ke arah deretan pokok bunga yang ditanam di keliling rumah.  Tersenyum lagi dia.  Terimbau lagi kenangan lalu sewaktu dia bersama-sama dengan emaknya itu mengemas laman sebaik Abang Zikri selesai memotong rumput.  Ketika itu juga lah dia akan berkejaran dengan Marsya, berlumba siapa yang lebih cepat menyapu laman atau siapa yang lebih dahulu selesai menjirus pokok-pokok bunga.  Dia tersengih.  Bergenang airmatanya.  Rindu sungguh dia pada masa lalu.
            
Langkahnya terhenti.  Memandang sudut yang diletakkan kerusi set dan buaian besar tempat dia sekeluarga sama-sama menikmati juadah petang setiap hujung minggu.  Kadang-kadang emaknya akan memasak mee goreng, kadang kala kakak iparnya akan memasak pula lempeng pisang dan sesekali dia pula yang memasak lempeng dicicah sambal ikan bilis.  Terbayang-bayang gelak tawa mereka bergema saat itu.
            
Matanya terhenti pula pada pintu masuk ke dalam rumah itu.  Terus dia mengetap bibir.  Hatinya meronta ingin menolak pintu itu lalu masuk ke dalam memeluk emaknya.  Tapi kakinya seolah-olah melekat, menghalang dirinya melangkah masuk.  Terasa berat dan sukar.
            
Dia menarik nafasnya dalam-dalam.  Memejam matanya kuat-kuat dan membulatkan tekadnya.  Dia nekad.  Sudah terlalu lama dia tidak menjenguk emaknya di rumah itu.  Sejak hari terakhir dia menyerahkan Fitri kepada emaknya.  Mujur kakak iparnya dapat dihubungi dan dari situlah dia tahu yang amanah membela Fitri telah diserahkan sepenuhnya kepada abang sulungnya.
            
Hakikatnya dia malu untuk menjejak kaki ke rumah itu lagi.  Selepas melahirkan Fitri, dia terus keluar dari rumah itu, kononnya mencari bahagia bersama Faizal.  Hingga sanggup meninggalkan bayi kecil itu di bawah jagaan emaknya.  Dan atas keprihatinan Zikri dan Suraya, emaknya menyerahkan Fitri supaya nasib anak itu lebih terjamin. 

Tapi apa yang diimpikan hanyalah janji-janji palsu dari lelaki itu.  Dia malu hidupnya jadi lebih teruk sedangkan dulu dia lah yang dengan bangganya mengagungkan Faizal.  Dan saat tersungkur, tentu saja dia malu untuk memunculkan dirinya.
            Tombol pintu rumah itu dipulas perlahan-lahan lalu ditolaknya.  Kosong.  Ruang tamu rumah itu kosong dengan hiasannya yang tetap sama seperti berbelas tahun lalu.  Ah...dia rindukan rumah itu, suasana rumah itu, bau rumah itu. 
            
“Assalamualaikum...mak!”  Farzana memberi salam.  Dia menapak selangkah demi selangkah.
           
“Assalamualaikum....Mak...Mak...”  Panggil Farzana lagi.  Senyap.
            
Perlahan-lahan dia menolak pintu bilik emaknya.  Dia tahu pasti emaknya ada di dalam itu.  Tidur barangkali.  Sebaik dibuka, terlihat emaknya yang sedang sujud.  Farzana menarik senyumnya.  Menutup kembali pintu bilik lalu menuju ke dapur.
            
Farzana tersenyum saat terpandang barisan bekas-bekas yang mengandungi pelbagai jenis makanan.  Ada lauk masak lemak pucuk paku, ikan goreng bersambal, ayam masak ungkep dan sambal belacan dengan potongan ulam yang beraneka jenis.  Semuanya lauk kegemaran yang dirindui yang telah lama tidak dijamahnya.  Seolah-olah emak tahu yang dia ingin pulang ketika itu.  Terus berkeroncong perutnya sebaik bau enak masakan menyerbu rongga hidungnya.  Dia menarik kerusi, duduk dan menunggu emaknya menyelesaikan solat.
            
15 minit sudah berlalu tapi emak masih belum keluar dari bilik.  Farzana tunggu lagi.  Barangkali doa emak panjang, atau mungkin wirid dan zikirnya juga panjang.  Farzana menunggu lagi.  30 minit pula berlalu tapi emaknya masih belum muncul.  Mungkin emak mengaji pula.  Tidak mengapa, dia boleh menunggu lagi. 
            
Sudah satu jam dia di meja makan, emak masih juga tidak muncul-muncul.  Adakah emak sudah terlelap sebaik usai solatnya lantaran kepenatan memasak pelbagai makanan ini?  Farzana jadi tertanya-tanya.  Lalu dia bingkas bangun menuju ke bilik.  Sebaik pintu bilik dikuak, emak masih lagi sujud.
            
Timbul rasa tidak enak.  Tapi dia biarkan.  Perlahan-lahan dia duduk di sisi katil, memerhati emaknya itu.  Sudah lebih lima minit emak masih sujud.  Terlalu lama.  Tidak mungkin sebegini lama.  Tadi sewaktu menjengah kali pertama, emak juga sedang sujud.  Farzana mula rasa ada sesuatu yang tidak kena.  Takut-takut dia menghulur tangan, menyentuh bahu ibunya yang sujud itu.  Terus tubuh itu tergolek ke sisi.  Buntang mata Farzana.
            
“Emaakkkkk.....Ya Allah! Emakkkk!”  Farzana menjerit.  Terkejut melihat emaknya yang sudah pun terbujur di sisi tetapi masih dalam posisi bersujud.  Farzana cepat-cepat memangku emaknya.
            
“Emakkkk...Zana balik mak!  Zana balik!  Bangun mak!  Zana nak mintak maaf dengan makkk!!!”  Raung Farzana lagi. 
            
“Emakkk...Zana...Zana mintak ampun mak...Zana mintak ampun...Zana mintak maaf tak dengar cakap mak selama ni....Hidup Zana merana mak...Zana tak bahagia dengan Faizal...dia buat Zana macam sampah!  Bangun lah Mak!  Zana nak duduk dengan Mak macam dulu!”
            
“Makkk...bangun lah!  Makkk......”  Farzana melaung.  Dia seperti hilang akal.  Ternyata apa yang terjadi saat ini sungguh di luar jangkaannya.
            
“Tok mak!”  Jerit satu suara dari arah belakang Farzana.  Cepat-cepat dia menoleh.
            
“Mak! Ya Allah kenapa ni?  Zana...kenapa dengan mak ni?!”  Sampuk Suraya dengan suara cemas.
            
“Ya Allah...Zana!  Kau buat apa dengan mak ha?!”  Sergah pula Zikri tiba-tiba.
            
“Apa Mama buat dengan Tok Mak?!  Kenapa dengan Tok Mak ni?!  Ya Allah..Tok Mak...Bangun lah!  Fitri datang ni! Ummi...Tok Mak! Ya Allahhhh.....”  Fitri meraung.  Dia panik melihat neneknya sudah kaku tidak bernyawa lagi.  Zikri terus mencengkam lengan Farzana, memaksa adiknya itu bangun.
            
“Kau buat apa dengan mak ha?!  Kau cakap...apa yang kau buat tadi?!”
            
“Sumpah Bang...Zana takde buat apa-apa! Sumpah!  Demi Allah!” Farzana menyeringai sakit, mukanya berkerut.
            
“Zana sampai sini tadi...Zana tengok mak tengah sembahyang.  Jadi Zana tunggu mak kat dapur.  Lama Zana tunggu...dekat sejam tapi bila Zana masuk mak tak bangun-bangun dari sujud...Zana pegang mak...terus mak jatuh macam ni.....Zana takde buat apa-apa kat mak!  Sumpah Bang...Sumpah Kak Su!”  Farzana mengangkat tangan lagak seperti mengangkat sumpah.  Dia sendiri turut terkejut melihat keadaan maknya itu.
            
“Apa Zana buat kat sini?  Zana kan dah lama tak balik?  Kenapa tiba-tiba boleh ada kat sini?” Soal Suraya tiba-tiba.  Turut menyimpan rasa curiga.  Terlalu banyak persoalan yang bertubi-tubi masuk ke dalam kepalanya.
            
Dia memerhati setiap inci tubuh Farzana.  Terdapat kesan luka pada dahi Farzana.  Dia tahu pastinya dari perbuatan Faizal.  Dia tahu birasnya itu jantan dayus yang suka melepaskan amarah pada adik iparnya itu.  Diperhatikan pula pada tangan Farzana dan di sekeliling bilik, tiada sebarang senjata tajam.  Malahan pada tubuh Tok Mak sendiri tiada sebarang kecederaan.  Mungkin benar Farzana tidak tahu apa-apa.  Tapi dia tidak dapat membuang rasa sangsinya apatah lagi dia dari dulu tahu Farzana pernah bertindak kurang ajar dengan ibu mertuanya sebelum ini.
            
“Zana balik nak mintak ampun dengan Mak...Banyak sangat salah silap Zana pada Mak..pada Kak Su, pada Abang Zikri...pada Fitri....Zana nak mintak ampun dan maaf pada mak biar hidup Zana lebih berkat.  Selama ni, Zana tak tenang.  Zana tak bahagia.....”  Airmata Farzana terus menerus mengalir seolah langsung tiada penghujungnya.
            
“Tapi mak...” Farzana teresak-esak.  Sedih dan kecewa dalam hatinya bukan kepalang.  Dia menggoyang tubuh kaku emaknya itu berulang kali.
            
“Mak...bangun Mak!  Zana balik ni...Mak...jom kita makan sama-sama.  Zana rindu dekat mak!  Zana mintak ampun Mak! Makkkk.....”  Farzana melaung.  Kecewa dalam hatinya bukan kepalang, kerana sudah terlambat untuk memohon keampunan dari ibu yang melahirkannya itu.
            
“Dah...sudah lah...Sudah lah Zana...Kita angkat mak dulu, letak atas katil ni.  Abang....telefon ambulans.  Nanti Su beritahu jiran-jiran mak.  Fitri duduk sini dengan Mama ya?”  Suraya mengoles airmata yang jatuh di pipi anak bujangnya itu.  Dia tahu Fitri pasti terkesan dengan semua ini.
            
“Maaf.....”  Celah satu suara tiba-tiba.  Serentak semuanya berpaling, menghadap ke muka pintu.  Berdiri dua orang lelaki lengkap berseragam polis memerhati mereka.
            
“Mintak maaf saya menganggu.....Saya beri salam banyak kali kat luar tadi tapi takde siapa menyahut....”  Pegawai polis tadi menghulur salamnya ke arah Zikri.  Lambat-lambat Zikri menyambutnya, terpinga-pinga.
            
“Kami mencari Puan Farzana Binti Suhaimi.” Spontan Suraya, Zikri dan Fitri memandang ke arah Farzana.
            
“Ya....”
            
“Maaf Puan...kami ingin bawa Puan ke balai bagi proses soal siasat berhubung dengan penangkapan suami Puan, Encik Faizal atas sindiket pelacuran dan juga penahanan anak puan Fitrah kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran.” 
            
“Makkkk........” Farzana meraung!



“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (al-Isra’, 17: 23)


* Cerita di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.  Yang baik kita jadikan pengajaran dan yang buruk kita jadikan tauladan.


Sayang sayangs,
Adra Adiella