Assalamualaikum sayangs!
Ini cerpen pertama yang AA buat. Ya betul, memang tak pernah buat cerpen sebab AA tak pandai nak singkatkan sesuatu cerita. Kalau dah menaip ni, banyak sangat benda nak tulis dah tak boleh nak panggil cerpen lagi dah.
Untuk cerpen pertama ni, AA pun tak tahu lah cerpen ni okeh ke tak...jadi pada yang sudi, tinggalkanlah komen untuk AA perbaiki mana-mana yang kurang ya!
FARZANA
menutup matanya, kuat. Terasa urat-urat
di sekitar matanya ikut sama tertarik kesan dari tindakan dia menutup rapat dan
kuat kelopak matanya itu. Dia ikut sama
bengang dengan dentuman kuat dari hempasan pintu oleh anak bongsunya tadi.
Farzana menarik nafasnya panjang
lalu menghembusnya perlahan-lahan. Masih
belum dapat menghilangkan rasa perit, sakit dan pedih seperti dihiris-hiris
pada tangkai hatinya. Begitu pedih
sehingga menakung air pada tubir matanya.
Dia mengoles airmata itu, menghalangnya dari terus jatuh.
Bam!
Farzana berpaling membelakangkan
pintu biliknya. Jelas kedengaran pintu
di ruang tamu tadi dikuak dengan kuat pula kali ini. Dia mematikan diri, menunggu sehingga pintu
biliknya pula dikuak.
“Berambus.” Perintah lelaki itu
ringkas sebaik pintu dibuka. Farzana berpaling dari memandang lelaki itu. Darahnya naik semula ke kepala. Rasa bengang yang tadinya beransur hilang
kini kembali.
“Kau pekak?” Lelaki itu bengang bila
dilihat Farzana tidak berganjak.
“Kau belum puas lagi ke?!” Farzana
separuh menjerit. Tapi dia masih belum
berpaling menghadap lelaki yang sedang memeluk gadis pertengahan 20-an yang
berpakaian tidak cukup kain itu.
Hatinya sakit bagai disiat-siat oleh
suaminya itu. Setiap hari tak kira siang
atau malam bersilih ganti gadis genit yang dibawa. Tapi kebiasaannya lelaki itu jarang ada
dirumah. Dan dia lebih suka lelaki itu
tiada dari muncul di depan mata tapi menyakitkan hatinya.
“Keluar lah!” Tengking Faizal bila
Farzana masih membatukan dirinya di sisi katil.
“Kau yang patut keluar dari rumah
ni!” Farzana menengking. Dia berdiri,
memandang tepat ke wajah Faizal. Dadanya
berombak laju. Marahnya membuak-buak.
Pang!
Farzana tersungkur. Dia menyeka hujung bibirnya. Pecah dan berdarah. Airmatanya terus mengalir. Terasa marah diperlakukan seperti binatang
dan terasa malu diperlakukan seperti itu di hadapan perempuan lain oleh
suaminya sendiri. Suami yang terlalu dia
cintai.
“Kalau kau tak sukakan aku
lagi...jangan seksa aku macam ni! Jangan
buat aku macam binatang! Lepaskan aku!”
Terus Farzana meluru ke arah Faizal.
Tangannya digenggam, menumbuk dada lelaki itu bertubi-tubi sekuat
hatinya.
“Kau jangan mimpi aku akan lepaskan
kau lah! Hahaha...” Faizal tertawa besar.
Tangannya menggenggam erat tangan Farzana yang dari tadi menumbuk
dadanya.
“Aku takkan lepaskan kau sampai
bila-bila pun! Itu janji aku dari dulu
lagi. Dari zaman kita bercinta dulu lagi
aku dah cakap dengan kau kan? Kau
lupa? Aku takkan lepaskan kau sampai
bila-bila pun! Kau lupa ke? Aku sayang...cintakan kau! Hahaha....”
“Sayang? Cinta?
Kalau kau sayang dan cintakan aku...kau takkan buat aku macam ni! Tolong lah Faizal.....Kalau tak nak lepaskan
aku...layan aku baik-baik! Layan aku
macam aku ni isteri kau! Ibu pada
anak-anak kau! Bukan buat aku macam ni! Bukan buat aku macam tunggul dalam rumah ni! Bukan berseronok dengan betina macam ni depan
mata aku! Dalam rumah aku! Dalam bilik aku!” Farzana terjerit lagi. Dia sudah tidak peduli kalau-kalau jiran
tetangga mendengar jerit pekik mereka suami isteri. Pasti saja mereka juga sudah lali kerana
sudah acap kali mereka terpekik terlolong setiap kali Faizal pulang ke rumah.
“Apa? Apa kau cakap tadi? Anak? Hahaha....” Faizal tergelak besar.
“Anak....Anak ye? Kau cakap pasal anak ye? Hahaha....”
Faizal sambung ketawa lagi.
“Yang betina....perangai macam
jalang. Yang lelaki langsung tak nak
mengaku aku ni bapak dia, kau mak dia...macam tu kau nak aku panggil anak?
Hahaha....” Faizal ketawa besar lagi.
Dia memaut pinggang gadis di sebelahnya itu lebih erat. Sesekali bibir nakalnya disondol-sondol ke
pipi ranum gadis muda itu yang langsung tidak peduli dengan drama depan matanya. Dia apa peduli kalau poketnya sudah penuh dan
nafsunya sudah terlampias. Dia sama
sekali tidak peduli.
Farzana terkedu. Menelan setiap kata-kata suaminya itu tentang
anak mereka walaupun terlalu pahit hakikatnya.
Dia akui, ada kebenaran pada ayat yang diucapkan Faizal. Tapi anak tetap anak. Kedua-dua anak itulah yang telah dikandungnya
selama sembilan bulan sepuluh hari.
Tentu saja walau apa pun keadaan dan penerimaan mereka, tetap mereka
itulah darah dagingnya.
“Dah...berambus. Jangan nak buat drama air mata kat sini. Pergi dapur buat air, masak nasi, masak
lauk. Kejap lagi kitorang nak
makan. Penat buat kerja sekejap lagi
ni....” Sengih Faizal pada gadis genit di sebelahnya yang tersipu-sipu. Dia kemudiannya menolak kasar bahu Farzana
yang masih terjelepuk kaku di atas lantai.
“Keluar lah!” Jerit Faizal kuat bila
melihat Farzana masih berdegil.
“Kau nak makan penerajang aku pulak
ke?! Tak cukup ke dengan penampar aku
bagi tadi?!” Faizal mula menyinga.
“Berambus lah! Eiii...kau ni!” Terus
dia mencengkam lengan Farzana. Didirikan
wanita itu lalu dicekak rambut Farzana sekuat hatinya. Terus Farzana menyeringai kesakitan. Dia kemudiannya menolak tubuh kurus itu
sekuat hati sehingga wanita itu terjelepuk di luar pintu bilik.
Bam!
Pintu bilik dihempas kuat. Pantas Farzana bangun dan melekap pada pintu
bilik. Diketuknya daun pintu itu
berulang kali sekuat hati dengan tangisannya yang menggila.
“Kau tak boleh buat aku macam
ni! Kau tak boleh buat macam ni! Bukak pintu ni! Bukak Faizal!” Farzana melaung dengan linangan
airmata. Pintu bilik diketuk sekuat
hati.
“Tolong lah Faizal! Tolong lah!
Jangan buat aku macam ni....bukak pintu ni! Bukak!” Farzana melaung lagi. Airmatanya turun semakin laju.
“Faizal........Jangan buat aku macam
ni...tolong lah....” Farzana terduduk.
Dia tersedu-sedu. Tangisannya
masih lebat. Dia sudah tidak larat lagi
untuk menggegar pintu bilik. Yang jelas
di pendengarannya kini hanyalah hilai tawa dan senda gurau suaminya bersama
gadis tadi. Terbayang kini di dalam
kepalanya adegan mesra antara mereka berdua dan terus meracik-racik isi hatinya
menjadi serpihan paling halus dalam sanubarinya. Airmatanya mengalir dan terus mengalir.
****************************************
FITRI
merengus. Dia membiarkan Suraya yang
duduk memandang sisi belakang badannya dari tadi.
“Fitri...tak baik buat Mama macam
tu. Mama kan datang nak jumpa
Fitri....Dah lama dia tak tengok Fitri.
Penat dia datang naik bas ke sini bawa makanan untuk Fitri. Tapi Fitri duduk terperuk dalam bilik. Kesian dekat Mama.” Suraya memujuk
lembut. Dia tahu Fitri kurang senang
dengan kehadiran adik iparnya itu.
“Ala...malas lah nak tengok muka
dia. Dulu masa Fitri kecik...bagi Fitri
kat Ummi suruh Ummi dengan Papa yang jaga.
Sekarang kenapa datang sini sibuk-sibuk tunjuk muka? Fitri rimas lah. Dia tak datang pun takpelah Mi.” Fitri
merengus lagi. Dia masih membelakangkan
badan enggan menatap wajah Umminya.
Suraya mengetap bibir. Mengerti perasaan anak bujangnya yang sudah
menginjak remaja itu. Yang sudah pun
tahu tentang duduk situasinya yang sebenar bahawa dia adalah anak angkat yang
dibelanya sejak dari lahir. Yang sudah
pun tahu bahawa yang sedang menunggunya di luar itu adalah ibu kandungnya yang
sebenar.
Memang dari kecil lagi baik dia dan
suaminya sudah menerangkan tentang kedudukan dan status diri Fitri. Bahawa anak itu hasil dari benih Farzana dan
Faizal yang sah tetapi disebabkan desakan hidup dan masalah kewangan,
tanggungjawab membesarkan Fitri diserahkan kepada dia dan Zikri di atas
permintaan ibu suaminya itu.
Walau agak keberatan pada awalnya
tapi Suraya jadi kalah dan lemah dengan kilauan cahaya pada sepasang mata
bundar milik Fitri di samping senyuman manisnya yang dihiasi lesung pipit di
kedua pipi montel anak itu enam belas tahun yang lalu. Dan akhirnya, Fitri kini jadi sebati sebagai
sebahagian dari keluarga bahagia miliknya.
Bahagia bersama kakak dan abang yang hakikatnya adalah saudara sepupu
tapi dianggap bagai adik beradik kandung sendiri.
“Fitri jangan lah macam ni...tak
baik. Ummi tak pernah ajar anak-anak
Ummi layan orang lain...layan tetamu...layan orang yang lebih tua...macam
ni. Itu...yang tunggu Fitri kat luar tu,
bukan orang lain. Mama Fitri
sendiri.” Suraya menuturkan kata-katanya
lembut. Cuba memujuk lagi.
“Mama apanya macam tu Mi? Dah berbulan dia tak jenguk Fitri kat
sini!” Nada suara Fitri dikeraskan
sedikit, menunjukkan yang dia sedang marah.
Tapi dikawalnya sebaik yang mungkin, bimbang mengecilkan hati Ummi
kesayangannya itu.
“Macam mana Mama tu nak datang
jenguk Fitri selalu kalau layanan Fitri pada Mama macam ni? Bila Mama datang...Ummi kena pujuk Fitri
dulu, nanti Mama tunggu lama kat luar tu baru Fitri nak keluar layan Mama. Kalau Ummi lah...dah kecil hati dah anak Ummi
buat macam tu...” Suraya tersengih. Dia sengaja mengusik anak bujangnya. Dan dia tahu jejaka itu sedikit terusik,
nampak dia beralih punggung dan mula menunduk merenung lantai.
“Ya Mi...Fitri tahu...Fitri ni bukan
anak Ummi. Kalau Kakak dengan Abang yang
buat macam ni Ummi kecil hati kan...kalau Fitri buat Ummi macam ni, Ummi mesti
tak kecil hati.” Fitri sengaja menduga.
“Fitri....” Suraya terkedu. Tidak menyangka ayat yang meluncur dari bibir
Fitri.
“Sampai hati cakap macam tu pada
Ummi...” Mata Suraya mula
bergenang. Tangkai hatinya sedikit
terusik.
“Demi Allah...dalam hati Ummi ni,
Ummi dah anggap Fitri macam anak kandung Ummi.
Adik kesayangan pada Abang dan Kakak.
Anak kesayangan Ummi dan Papa macam Kakak dengan Abang. Kalau Fitri layan Ummi macam Fitri layan
Mama.....mesti Ummi dah kecil hati sangat-sangat. Takde beza antara anak-anak Ummi ni. Baik Kakak, Abang atau Fitri...kalau layan
Ummi macam Fitri layan Mama...Ummi akan kecil hati sangat-sangat. Silap-silap Ummi dah meraung-raung dah kat
luar tu tunggu Fitri keluar layan Ummi.”
Suraya menerangkan satu persatu.
Dia tidak mahu Fitri tersalah anggap lagi.
“Fitri tak kesian dengan Ummi?” Tanya Suraya.
Lambat-lambat Fitri mengangguk. Masih terngiang-ngiang penjelasan dari mulut
Umminya itu. Terasa sesal menyesak
jiwanya cuba menguji Ummi tadi. Ternyata
dia yang silap.
“Kalau Ummi ni Fitri kesian...mesti
pada Mama tu lagi tinggi kesian Fitri kan?
Ummi tahu...Fitri tak nak tunjuk pada Ummi kan? Saja lah tu...nak tunjuk macho...abang sado
tak macho lah nak tunjuk hati goyang kan?”
Cuit Suraya lembut pada dagu anak bujangnya itu. Sekadar mengusik, mengembalikan suasana
ceria.
“Dah...pergi keluar, layan Mama
elok-elok. Dah lama dia tunggu Fitri kat
luar.” Pujuk Suraya lagi.
“Kalau Fitri tak boleh buat untuk
Mama...buat demi Ummi. Boleh?” Duga Suraya.
“Fitri minta maaf pasal tadi Mi....”
Anak itu terus menggapai tangan Suraya, diciumnya tangan itu lama.
Perlahan Suraya mengangkat wajah yang
dari tadi menunduk. Dia perasan ada
takungan air pada mata anaknya itu. Dan
saat itu ditahan rasa sebak dalam dadanya yang bukan kepalang. Rasa dia ingin memeluk Fitri dan meraung
sepuas hatinya. Bahawa betapa dia
kasihkan anak itu sama seperti anak-anak kandungnya sendiri.
“Fitri buat demi Ummi...Apa-apa saja
untuk Ummi, Fitri sanggup buat.” Senyum
Fitri lalu bingkas bangun dan berjalan perlahan keluar dari bilik.
“Fitri...tidur ke? Sorry
mama ganggu. Kalau Fitri mengantuk
lagi...takpe pergilah tidur balik....Nanti Mama bagi dekat Ummi makanan ni
semua.” Farzana sekadar berbasa basi,
dia tahu Fitri kurang senang dengan kehadirannya. Tapi, dia rindukan anaknya itu.
“Tak lah. Tengah study
tadi.” Fitri memaksa dirinya untuk
senyum. Dia belum lupa janjinya pada
Ummi tadi.
“Mama bawa lauk apa hari ni? Fitri
lapar.”
Terus buntang mata Farzana. Tidak menyangka sama sekali penerimaan baik
dari Fitri kali ini. Selalunya setiap
kali dia menjenguk anaknya itu, pasti saja Fitri mencukakan wajah. Hanya nampak sinar ceria wajah anaknya itu
tatkala dia meminta izin untuk pulang ke rumah.
Kali ini bagai ingin menitis airmatanya melihat reaksi Fitri. Sungguh dia bersyukur tidak terhingga ke hadrat
Ilahi.
“Mama masak asam pedas ayam, sayur
kacang buncis tumis dengan ikan selar goreng.
Lepas tu ada telur dadar sekali ni.
Ummi cakap Fitri suka makan asam pedas.
Tak kisah lah ayam ke ikan ke....” Farzana tersenyum. Hatinya gembira.
“Semalam Mama pergi pasar beli
ayam. Saja kali ni nak masakkan Fitri
asam pedas ayam pulak sebab Ummi pun takde cakap Fitri suka ayam atau
ikan. Lagipun kalau masak ayam asam
pedas ni lagi sedap dari ikan sebenarnya.
Tu pun resepi dari Tok Mak dulu ajar....” Terus Farzana terdiam. Termenung seolah mengenang sesuatu.
“Zana....kalau nak makan bawak lah
ke meja makan kat dapur ya? Luas sikit
nak makan berdua.” Sampuk Suraya
tiba-tiba yang dari tadi mengintai aksi kedua beranak itu di sebalik dinding. Dia pasti Farzana tentu saja terkenangkan
sesuatu.
“Eh...ha..ye lah Kak Su. Jom Fitri...kita makan kat dapur.” Bingkas Farzana bangun sambil membawa
bungkusan bekal yang tidak jadi dibukanya tadi.
Fitri ikut sama bangun, hanya menurut.
Dia berpaling, memandang pada wajah Suraya yang tersenyum. Dia tahu Ummi pasti sedar yang dia sedang
berusaha menjaga hati Mamanya.
“Sedap?” Sampuk Farzana saat memerhati anaknya itu
menyuap nasi. Fitri sekadar mengangguk.
“Lain kali bolehlah kerap Mama datang...Mama
masak, kita makan sama-sama macam ni.”
“Jangan.” Bisik Fitri perlahan. Antara dengar dan tidak. Tangannya menguis butiran nasi yang
berterabur di dalam pinggan. Wajahnya
ditunduk, enggan bertentang mata dengan Farzana. Berkerut dahi Farzana.
“Fitri sibuk lepas ni. Nak study. Lagipun takut nanti masa Mama datang, Fitri
keluar. Fitri ada group discussion untuk SPM tahun depan. Kitorang selalunya tukar-tukar location...kadang-kadang buat kat sini,
kadang-kadang buat kat rumah member yang lain tapi selalunya kat library.
Senang nak cari buku untuk rujukan on
the spot.” Fitri berkata
selamba. Dia sedar riak perubahan wajah
Farzana.
“Lagipun......Mama datang atau
tak...tak memberi kesan apa-apa dalam hidup Fitri. Ada atau takde, sama jek. I don’t
bother of it at all.” Fitri selamba
lagi. Jarinya mencubit ikan goreng dalam
pinggannya lalu disuapkan ke dalam mulut.
“I
treat you well because of her. Kalau
bukan sebab Ummi, dah lama Fitri halau Mama.”
Fitri berpaling. Melimpahkan
reaksi wajah bengisnya. Dia sudah tidak
peduli.
“Kenapa Fitri cakap macam ni?” Soal Farzana.
Dadanya bagai ingin pecah.
“Fitri tak boleh lupa hari pertama
Fitri tahu yang Fitri ni bukan anak kandung Ummi dengan Papa. Kecewa, sedih, marah sebab selama ni yang sayang Fitri, yang bela
Fitri tu bukan mak dan ayah kandung Fitri sendiri. Dan bertambah kecewa lagi bila Fitri dapat
tahu Mama dengan Ayah lah mak bapak kandung Fitri. Ada jek korang dekat sini...bukan jauh mana
pun sampai membesarkan Fitri ni jadi bebanan pada korang.”
“Dan yang peliknya...boleh pulak
bela Fitrah? Tak pulak cakap desakan
hidup, kewangan dan macam-macam lagi alasan untuk abaikan tanggungjawab sebagai
ibu bapa....”
“Dan sekarang...untuk apa cari Fitri
ni? Kalau dah buang...kenapa kutip? Kalau dah ludah...kenapa jilat?” Farzana
terpinga-pinga. Terkebil-kebil menelan setiap butir pertanyaan yang meluncur
laju dari mulut anak bujangnya itu.
“Untuk tebus semula rasa bersalah
Mama pada Fitri? Untuk tebus semula
segala dosa Mama pada keluarga? Pada
Papa dan Ummi? Pada Tok Mak?” Fitri
menjegilkan biji mata dengan senyum sinisnya.
“Fitri tahu Ma...semua tentang Mama
Fitri tahu.....” Fitri masih senyum.
Jarinya menguis nasi lagi tapi tidak dijamahnya. Seleranya mati.
“Jangan nanti Mama nak salahkan Ummi
dengan Papa...Bukan diorang yang bercerita pasal Mama...pasal hidup Mama
sebelum ni....Bukan diorang. Jangan Mama
berani-berani usik Ummi dan Papa Fitri....Lama kelamaan, baik Fitri atau Fitrah
akan tahu kisah Mama...Cepat atau lambat.
Itu saja bezanya...”
“Fitri...Mama...” Farzana
sebak. Hatinya bagai disiat-siat.
“Mama balik lah....Sebelum lagi
banyak dosa yang Fitri kumpul sebab kurang ajar dengan Mama. Balik lah....Kalau tak datang terus pun Fitri
takkan ambil hati. Lagipun Fitri dah
puas hati....dah luahkan apa yang terpendam dalam hati Fitri selama ni....”
Cepat-cepat Fitri menyampuk sebelum Farzana mencelah lebih panjang lagi. Dia tidak mahu mendengarnya. Dia tidak berminat.
“Kalau Mama boleh buang Fitri dari
hidup Mama...rasanya tidak menjadi satu dosa kalau Fitri buang Mama dari hidup
Fitri kan?” Fitri tersenyum lagi.
Dadanya sebak bukan kepalang.
Matanya sudah bertakung air yang menunggu masa untuk tumpah.
Sedihnya dia saat mengucapkan
kata-kata itu pada seorang ibu yang bertarung nyawa melahirkannya. Tapi mengenang sikap lepas tangan Mama dan
Ayahnya selama ini buat dia tekad. Buat
dia jadi pendendam setia. Buat dia jadi
iri hati terhadap adik kandungnya sendiri yang boleh saja dibela oleh Mama dan
Ayahnya itu. Justeru kenapa dia saja
dicampak pada Ummi dan Papa? Apa
kurangnya dia sebagai anak? Bukankah
anak pertama itu yang paling dinanti, paling ditunggu dan paling disayang
selayaknya dari pasangan yang baru berkahwin?
Pasti Ummi kecewa bukan kepalang sekiranya
tahu sikap dia terhadap Mama sebegini.
Entahlah, dia cuma sudah tidak mahu menanggung rasa perit di dalam hati
ini lagi. Walau dia diberi didikan agama secukupnya dari keluarga angkatnya dan
juga dari guru-guru di sekolah agama terutamanya, dia tidak peduli. Yang penting, dia mahu Mama sedar yang dia
terseksa menelan hakikat yang dia dibuang dari keluarga sendiri dan dibela oleh
ibu dan bapa saudara sendiri. Dia juga
mahu Mama tahu dia adalah amanah yang diturunkan Allah untuk dijaga bukannya disisihkan
seperti ini.
“Fitri...kalau Fitri benci
Mama....Mama faham....” Cepat-cepat
Farzana menyeka airmatanya yang mengalir dengan hujung blause. Sebak dalam dadanya bukan kepalang.
“Tapi jangan bunuh peluang untuk
Mama tebus semula silap Mama dan Ayah dulu.”
“Huh...Ayah?” Fitri senyum sinis lagi.
“Fitri jangan halang Mama untuk
jumpa Fitri lagi lepas ni walaupun Mama dah tahu yang Fitri bencikan Mama
selama ni.” Sambung Farzana.
“Mama takkan pernah jemu untuk pujuk
Fitri supaya dapat terima Mama semula....”
“Mama tahu anak Mama ni anak yang
baik....Mama tahu satu hari nanti pintu hati Fitri akan terbuka untuk kehadiran
Mama dalam hidup Fitri. Mama takkan
putus asa untuk menangi hati Fitri. Dan
Mama....minta maaf atas semua yang terjadi selama ni....” Farzana menyusun
ayatnya satu persatu.
“Senang jek kan....dah buang
Fitri...lepas tu pungut balik. Lepas tu
minta maaf...Senang kan?”
“Kalau semudah itu....Fitri nak
buang Mama...lepas tu Fitri akan cari Mama semula dan minta maaf. Nah....mudah kan?” Fitri tidak lekang dengan senyum
menyindirnya.
“Mama tahu takkan pernah
mudah..semua ni takkan pernah mudah.”
Farzana tunduk. Dia tahu Fitri
sedang bengang ketika ini. Dia fikir dia
harus beredar sebelum marah anaknya itu jadi semakin teruk.
Perlahan-lahan dia bangun,
membungkus kembali bekal makanan yang terhidang di hadapan matanya. Membiarkan Fitri yang masih menguis nasi
dengan pandangan yang ditundukkan. Dia mahu
pulang. Cukup sudah luka dalam hatinya
saat ini. Dia tidak mahu ia jadi
bertambah dalam.
“Zana...dah nak balik ke?” Tegur Suraya bila dilihat adik iparnya itu
tergesa-gesa mengemas dan ingin beredar sedangkan Fitri masih lagi tercegat
menatap pinggannya.
“Eh Kak Su...Ha ah nak balik
ni. Baru teringat Fitrah mintak jemput dia
balik lepas kelas tambahan. Takut nanti
lambat-lambat, lama pulak dia tunggu Zana kat sekolah. Tak sempat lah Zana nak tunggu Fitri siap
makan...” Bohong Farzana. Sepantas kilat
dia menyeka airmatanya yang masih bersisa tadi.
“Nanti Mama datang lagi....” Bisik
Farzana antara dengar dan tidak di telinga Fitri. Tangannya dihulur, menanti reaksi anak
bujangnya itu. Lama baru Fitri menyambut
lalu mencium tangannya.
“Ma...” Fitri terdiam. Tekaknya terasa tersekat.
“Ya...Ya Fitri?” Tanya Farzana penuh minat.
“Takde apa-apa.” Fitri mengetap bibir. Tidak jadi meluahkan rasa sesal dan betapa
dia ingin meminta maaf kerana mengguris hati tua itu. Ternyata egonya lebih mengatasi rasa
bersalahnya.
**********************************
“NI
JEK yang Mama ada?” Fitrah mencampak
lima helai not ringgit yang berwarna merah itu ke wajah Farzana.
“Tira nak buat apa duit
banyak-banyak?” Farzana mengawal tonasi
suaranya. Hakikatnya dia bengang dengan
sikap kurang ajar anak daranya itu.
“Mama tak payah tahu lah Ma....Mama bagi jek
berapa yang Tira mintak. Bukannya banyak
tanya macam ni!” Tengking Fitrah.
“Aku ni mak kau Fitrah...jaga bahasa
kau tu.” Farzana memberi amaran. Suaranya tidak tinggi tapi bernada tegas.
“Cepatlah...Tira nak duit! Zack dah tunggu lama dah tu!” Tengking Fitrah
lagi.
“Jangan keluar malam ni. Duduk rumah.” Farzana memberi arahan.
“Mama nak suruh Tira mengadap muka Mama
jek ke 24 jam? Siang Tira ada kan kat
rumah....malam bagi lah Tira jalan!” Fitrah mula bengang. Dia bengang ibunya itu menyekat kebebasan
dirinya.
“Siang kau membuta dalam
bilik....kerja rumah kau langsung tak nak buat.
Aku suruh kau sekolah, kau tak nak!
Malam kau nak menggatal dengan jantan!
Aku suruh duduk rumah...duduk jek lah rumah!” Tengking Farzana. Dia sudah tidak berupaya menahan rasa
marahnya lagi.
“Apa bezanya Tira dengan Mama? Mama pun tak habis sekolah dulu kan? Tok Mak suruh Mama sekolah...Mama tak
nak. Sekarang Mama nak Tira pulak
sekolah...Kan kelakar tu? Hahaha....” Fitrah ketawa besar.
“Aku ni mak kau Fitrah!” Jerit
Farzana. Badannya menggigil. Rasa ingin dilempang Fitrah ketika itu.
“Ye....tahu! Tira tahu Mama ni mak Tira! So what?!” Fitrah menengking, membalas jeritan
Farzana. Dia menjegilkan matanya.
“Tira ni muda lagi Ma...Jangan lah
kongkong itu tak boleh, ini tak boleh. Tira
nak jumpa kawan-kawan. Tira nak enjoy lepak-lepak dengan Zack. Tira nak bebas Ma! Kenapa Mama susah sangat nak faham?” Fitrah
menjeling tajam.
“Habis.....kau nak hidup kau jadi
macam hidup aku?” Farzana merenung jelingan Fitrah. Begitu tajam sehingga gadis
itu melarikan pandangannya.
“Aku ni nasihat...sebab nak kau jadi
orang. Sebab nak kau jangan sampai
menyesal tak sudah macam aku....”
“Aku tak bagi kau keluar dengan
jantan-jantan tak guna kat luar tu semua sebab aku nak kau dapat suami yang
boleh bimbing kau masuk syurga...bukan yang ajak kau masuk neraka!”
“Aku tak bagi kau itu ini macam yang
kau nak tu supaya kau sedar yang aku ni susah...sekolah tak habis dan kau kena
sedar, dalam dunia ni bukan semua benda yang kita nak...orang akan bagi, orang
akan suap mulut kita. Kau kena
usaha. Kau kena rasa peritnya berusaha
baru kau faham manisnya hasil yang kau dapat lepas kau berpenat lelah tu.”
“Sebab tu aku suruh kau
sekolah! Sekolah tinggi-tinggi supaya
kau boleh dapat kerja yang bagus, lelaki yang baik, anak-anak yang pandai...Kau
boleh hidup bahagia bukan macam aku ni!” Farzana menengking.
“Tapi kau ni degil...kau langsung
tak nak dengar cakap aku! Kau nak jadi
apa ha?” Farzana menjegilkan matanya.
Dipandang Fitrah seolah-olah mahu ditelannya.
“Ala Mama ni kan...suka paksa Tira
buat itu, buat ini. Kalau Tira sekolah pun,
Tira tak minat lah. Benda kalau dah tak
minat, buat apa nak paksa? Tira berhenti
sekolah kan senang...Mama tak payah nak susah-susah cari duit bagi kat Tira.”
“Habis tu apa bezanya dengan
sekarang? Kau keluar ni kenapa kau
mintak duit dengan aku? Kalau kau
sekolah, kau mintak duit...aku boleh usaha dengan tulang empat kerat aku ni
bagi kau....asalkan kau sekolah betul-betul.
Ni kau dah lah pemalas, sekolah tak nak....lepas tu kau nak enjoy, kau pandai cari aku mintak duit.”
“Kau cakap tadi kalau kau tak
sekolah...aku ni tak payah susah-susah cari duit bagi kau kan?” Farzana senyum
sinis.
Pinn!
Hon motor terdengar nyaring di luar
rumah. Sesekali derumannya nyaring
mengganggu pertengkaran mereka tadi.
“Cepatlah Ma! Mana cukup ni!” Desak Fitrah.
“Aku takde duit. Kau tak payah keluar.” Farzana berpaling,
memandang televisyen dan pura-pura selamba.
“Ah...aku nak keluar. Kisah pulak aku..kau tak bagi!” Fitrah
membuka langkah.
“Jangan! Jangan keluar Tira!” Pantas Farzana berlari
menghampiri Fitrah lalu memaut lengannya, menghalang gadis itu dari keluar
rumah.
“Apa ni Ma? Sakit lah!” Fitrah
merentap kasar genggaman ibunya.
“Aku cakap jangan keluar. Duduk rumah!” Cepat-cepat lengan Fitrah
digenggamnya semula. Kali ini lebih
kuat.
“Sakit lah! Kau tak nak kasi aku duit dah lah...tak payah
lah nak paksa aku terperuk jek kat dalam rumah ni! Lepas lah!” Fitrah menarik lengannya lagi.
“Jangan keluar Tira! Duduk rumah!
Jaga diri kau, maruah kau tu!”
“Apa maruah, maruah ni semua ni!
Hishhh....dah lah! Tepilah!” Terus
Fitrah menolak wanita separuh abad itu kuat.
Terduduk Farzana di atas lantai.
Dia terkejut. Terpinga-pinga
ditolak sebegitu oleh Fitrah. Tapi
dengan pantas dia memaut pula betis Fitrah.
“Hei orang tua ni! Kau ni dah kenapa malam ni?!” Tengking
Fitrah.
“Tepi lah! Tepi aku cakap! Kau ni kenapa ha?!” Spontan Fitrah menolak
tubuh Farzana lebih kuat, ingin melepaskan pautan wanita itu pada
betisnya. Kali ini tubuh Farzana
terinjak lebih jauh dan terhempas kuat pada lantai rumah. Cepat-cepat dia memegang hujung bibirnya. Darah.
“Padan muka kau! Degil sangat!
Kalau bagi aku keluar tadi...kan tak jadi macam ni! Dah lah...aku berambus lagi bagus!” Fitrah
merengus lalu selamba meninggalkan ibunya.
“Mak.....Mak!” Farzana merintih. Airmatanya merembes keluar dengan laju. Serta merta ingatannya menerjah kenangan masa
silamnya.
******************
ABANG......SAYANG minta maaf. Sayang rasa sayang tak boleh teruskan lagi. Sayang tak marah kalau Abang tak boleh
bersama sayang...tapi sayang tak boleh teruskan lagi dengan Abang. Sayang takkan paksa Abang untuk ikut sayang. Sayang tahu Abang ada tanggungjawab pada
keluarga Abang. Teruskan. Tapi jangan paksa sayang lagi. Sayang tak mampu lagi bersabar. Sayang minta maaf dari hujung rambut hingga
hujung kaki.
Suraya
memberi isyarat lampu sisinya lalu stereng kereta ditarik ke kiri jalan. Puas hati dengan kedudukan keretanya, dia
memandang permukaan jalan yang terbentang luas.
Enjin kereta dibiarkan hidup, tidak dimatikan. Dia menggenggam stereng kereta kemas dan
ditarik nafasnya dalam-dalam sambil menutup mata.
Dia mencapai telefon bimbitnya yang
tersadai di kerusi penumpang lalu ditatap lagi pesanan yang dihantar kepada
Zikri. Terus airmatanya yang ditahan
sejak tadi, tumpah. Semakin lama semakin
lebat sehingga tubuhnya terhinggut-hinggut menahan esak tangis yang bukan
kepalang.
Sudah empat tahun Suraya menumpang
di rumah keluarga Zikri, dan sepanjang tempoh itu dia banyak memendam
perasaan. Tapi disebabkan ketaatannya
pada seorang suami, dia sentiasa mengalah.
Selalu saja dia menipu perasaan sebenar di hadapan Zikri kerana kasihnya
dia pada lelaki itu.
Tapi pagi tadi, kesabarannya
betul-betul sudah sampai ke kemuncaknya.
Saat dia sedang sibuk bersiap untuk pergi ke tempat kerja, dia mendengar
dengan jelas sekali perbualan di ruang tamu rumah ibu Zikri itu.
“Acu...kakak nak ikut...” Tangis Marsya sayu.
“Tak boleh! Acu nak berambus dari rumah ni!” Farzana selamba. Darahnya naik mendidih. Dia nekad mahu meninggalkan rumah itu hari
ini juga. Padanya semua orang dalam
rumah ini langsung tidak mengerti jiwa remajanya.
“Acu nak pergi mana? Jangan lah pergi jauh-jauh....Kakak nak
ikut....” Pujuk Marsya lagi dengan
rengekan dan pelatnya. Kanak-kanak
berusia 2 tahun lebih itu langsung tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi.
“Eiii...pergi mampos lah kau!” Jerit Farzana lantang terus berlalu masuk ke
dalam bilik. Dia buat-buat pekak walau
Marsya melaung dengan kuat sambil mengetuk pintu mahukan Acunya itu.
Pantas Suraya keluar dari bilik
mendapatkan Marsya. Dadanya bagai ingin
pecah. Apatah lagi saat mendengar Marsya
dimaki seperti itu oleh adik iparnya itu.
Ikutkan hati, mahu saja dia menampar Farzana tapi bila mengenang ibu
mertuanya yang baik hati, yang melayan dirinya dan Marsya dengan baik, dia
membatalkan niatnya. Dirangkul Marsya
dalam pelukannya, dipujuk anak kecil itu.
Airmatanya ditahan. Rasa marah
dengan perbuatan Farzana cuba dikawal sedaya upaya.
Dia menuju ke dapur lalu membuka
pintu. Cepat-cepat dia melangkah menuju
ke rumah Mak cik Miha. Pintu dapur rumah
itu dibuka perlahan-lahan. Suraya
menghulur Marsya ke pelukan Mak cik Miha.
“Cik...mintak tolong jagakan
Marsya.....” Suara Suraya bergetar. Dia cuba menahan sedih dan marah yang
bergelodak dalam hatinya.
“Farzana cakap nak lari dari
rumah....Saya takut dia bawak sekali Marsya.
Tolong jagakan Marsya....” Terus
airmatanya tumpah. Badannya menggigil.
“Ya Allah...kenapa ni Su? Kenapa?”
Cepat-cepat Mak cik Miha memegang lengan Suraya. Dia jadi panik saat melihat airmata Suraya
berjuraian. Dia jadi keliru dengan
keadaan Suraya.
“Tadi Farzana cakap nak lari dari
rumah....Marsya sibuk nak ikut....”
Suraya sudah teresak-esak menangis.
“Tiba-tiba dia maki Marsya...pergi
mampos lah! Saya geram cik! Saya rasa nak lempang dia!” Suraya mengetap bibir. Marahnya ditahan.
“Saya tak kisah dia nak lari mana
pun...pergi lah mana pun yang dia nak pergi.
Ini bukan kali pertama dia lari dari rumah...Tapi, jangan bawak Marsya
sekali! Jangan usik anak saya!” Suraya bersuara tegas walau airmatanya masih
bersisa.
“Ya Allah...Su sabar ya? Takpe..mak
cik jagakan Marsya ni...Su jangan risau.
Mak cik takkan bagi dia pegang Marsya.
Biarlah...lantak dia lah nak lari mana pun. Budak bermasalah!” Mak cik Miha merengus. Geram dengan sikap kurang ajar gadis itu.
“Saya pergi kerja dulu cik...jagakan
Marsya elok-elok ya cik?” Dirangkul
Marsya yang terpinga-pinga dalam pelukan Mak cik Miha lalu diciumnya
bertubi-tubi. Mungkin pelik melihat
Suraya berjuraian airmata.
“Ya..ya..Su jangan risau. Dah...pergi kerja. Cik jaga anak Su baik-baik. Jangan risau.” Mak cik Miha tersenyum, digosok-gosok lengan
Suraya berulang kali. Cuba meyakinkan
wanita itu. Faham akan kegusaran dalam
hati Suraya saat ini.
Suraya menarik nafas dalam,
menghembusnya perlahan-lahan lalu dipejam matanya. Jatuh terus airmata menuruni pipinya. Terus saja melebat airmatanya bagai tidak
mahu berhenti. Terus saja dia meraung di
dalam kereta itu sekuat-kuat hatinya.
Kali ini dia tekad. Melepaskan Zikri demi Marsya. Dia sudah tidak lagi peduli cinta pada lelaki
itu.
**************
ZIKRI
TERKEBIL-KEBIL. Tulisan di aplikasi What’s App pada skrin telefon bimbitnya
ditenung lama. Terasa tidak percaya
dengan apa yang dibacanya. Dadanya terus
bergoncang.
“Aku
nak balik. Ada hal kecemasan.” Spontan dia berdiri lalu pantas meninggalkan
meja kerjanya. Rakan kerjanya jadi
terpinga-pinga langsung tidak sempat bertanya.
“Abang
tak kerja?” Tanya Suraya sebaik dia
melabuhkan duduknya di hadapan Zikri. Terkejut
dia sewaktu Zikri menelefonnya dan meminta dia datang ke restoran ini. Walaupun agak keberatan tapi dia tahu segala
permasalahan ini perlu dirungkai. Kalau
tidak sekarang, bila lagi?
Zikri
diam, tidak menjawab. Direnung wajah
isterinya itu. Bengkak pada mata
isterinya itu jelas. Dia tahu Suraya
pasti sudah puas menangis. Suraya
menunduk, dia tahu Zikri sedang merenungnya.
“Kenapa
What’s App Abang macam tu?” Tanya Zikri sebaik pelayan menghantar
minuman.
“Abang...Su
dah buat keputusan. Su tak boleh
teruskan lagi. Su tak boleh terus duduk
dengan Mak dan adik-adik Abang. Lagi
lama Su dalam rumah tu, Su boleh jadi gila....” Su menarik nafas.
“Su
tak marah kalau Abang tak boleh nak ikut Su.
Su faham Abang anak sulung, arwah Abah dah takde, adik-adik takde siapa
nak bela. Su tak kisah Bang. Su boleh terima kalau Abang cakap Abang tak
boleh pilih Su...Takpe..Su faham...Su..”
“Apa
Sayang cakap ni?” Terus Zikri memintas
kata-kata Suraya. Dadanya berombak. Telinganya panas.
“Abang...Su
mintak maaf...Su..tak boleh....” Airmata
Suraya jatuh. Hatinya sebak bukan kepalang. Dia sanggup mengalah, sanggup kehilangan
lelaki yang dicintainya itu. Dia sudah
tidak lagi mampu bertahan.
“Su
dah tak sayang Abang?” Tanya Zikri. Airmatanya bertakung di tubir mata. Bila-bila saja akan jatuh.
“Allah
saja yang tahu betapa Su sayangkan Abang.
Abang suami yang baik, lelaki yang baik, ayah yang baik untuk
Marsya...Tapi...Su...Su minta maaf...Su dah tak boleh bersabar lagi...” Su
menunduk, bimbang airmatanya disedari pelanggan lain yang sedang menjamu
selera.
“Abang
tahu apa Farzana buat pagi tadi?” Dahi Zikri berkerut. Naluri ingin tahunya memuncak. Cepat-cepat dia menggeleng.
“Dia
nak lari dari rumah lagi...Masa dia tengah mengemas beg nak lari tu..Marsya
nampak....Dia sibuk nak ikut Farzana tapi Farzana tak bagi...” Suraya diam seketika.
“Bila
tak bagi ikut Marsya nangis...merengek-rengek nak ikut...Su biarkan sebab Su
tengah sibuk bersiap dalam bilik tapi Su dengar setiap perkataan yang keluar
dari mulut Farzana dan Marsya.....”
“Yang
buat Su kecewa, marah dan sedih...bila Farzana maki Marsya bila Marsya meraung
nak jugak ikut dia...” Zikri tersentak.
“Dia
cakap apa?” Darahnya naik ke kepala.
Padanlah isterinya itu hilang sudah sabarnya.
“Dia
cakap...pergi mampos lah! Pada Marsya.
Anak kita. Yang kecil dan tak
tahu apa-apa!” Suraya merengus. Geram
bila mengenangkan kembali.
“Dia
boleh jadi sejahat mana pun dia nak jadi.
Su tak peduli. Tapi jangan sentuh
Marsya! Jangan dimaki budak yang tak
tahu apa-apa tu! Dari umur dia 12 tahun
sampai sekarang dah 16 tahun...berapa kali dia lari dari rumah? Berapa kali dia ponteng sekolah? Berapa kali dia buat mak Abang menangis?”
“Benda
ni takkan jadi macam ni kalau mak Abang tak bagi muka...” Suraya diam. Dia menunggu reaksi Zikri yang dari tadi
membisu.
“Mak...sayangkan
Farzana...” Lama baru Zikri membuka
mulut. Dia serba salah. Dia sayangkan Suraya tapi kasihkan ibu dan
adik-adiknya.
“Tapi
cara mak tu silap...setiap kali Farzana lari, mak kelam kabut cari sana
sini...berhari-hari tak makan, berendam airmata....Bila Farzana balik, langsung
tak dimarah...tak ditegur...Abang-abang tak boleh tegur, tak boleh hukum
Farzana...atas alasan apa? Takut Farzana
lari lagi dan terus tak balik-balik....” Suraya meluahkan segala yang terbuku.
“Farzana
jadi lemak...pijak kepala kita...langsung tak hormat kita...Sebab apa? Sebab mak sayang aku...mak tak kasi
Abang-abang marah aku...Kalau berani marah...marah lah! Aku lari, biar semua orang tak dapat cari
aku. Biar mak merana makan hati aku tak
balik rumah!”
“Dia
tak balik rumah berhari-hari...apa yang dia buat? Dia duduk mana? Dia dengan siapa? Takkan Su nak fikir yang dia tidur di
masjid? Berqiamulail dari tengah malam
sampai ke pagi?”
“Dan
sekarang...disebabkan dia, siapa yang jadi mangsa? Su! Marsya!
Sedangkan bukan kami yang buat masalah!” Su menggengam jemarinya. Puas dapat meluahkan segalanya.
“Mak...bila
Farzana lari,tak balik rumah,melawan cakap,keluar dengan jantan entah mana asal
usul.....pandai mengadu itu ini pada Su.
Tanya pandangan Su. Mintak
nasihat Su. Tapi bila Farzana balik, apa
yang Su nasihat terus mak lupa...Apa yang Farzana buat dari yang salah terus
berubah jadi betul. Abang tahu betapa Su
kecewa? Betapa Su sakit hati dengan cara
mak mendidik anak?”
“Su
nasihat mak suruh didik Farzana...bukan lah dengan cara belasah budak tu sampai
lembik...Ada banyak cara lain...tapi sekurang-kurangnya tunjuk lah apa yang
Farzana buat tu salah selama ni....Sebagai anak, Farzana tak boleh buat macam
tu pada mak, pada Abang, pada abang-abang dia yang lain, pada Su dan pada Marsya. Dan mak juga salah cara didikannya pada
Farzana. Su tahu dia sayangkan
Farzana. Tapi bukan ini caranya.”
“Takpe
lah...Su dah tak larat dah nak teruskan lagi....Su cuma nak duduk
sendiri...dengan Marsya. Kalau Abang nak
ikut...Su alu-alukan. Kalau Abang tak
boleh ikut...takde dendam dalam hati Su.
Su sentiasa sayang Abang dunia akhirat.
Su minta maaf.” Suraya menunduk, menggapai beg tangannya ingin bingkas
bangun.
“Nanti....”
Zikri sempat memaut lengan Suraya.
“Kita
pindah...” Zikri senyum. Tawar.
“Kita
pindah ya sayang?” Mata Zikri ikut berkaca melihat linangan airmata
Suraya. Dia tahu Suraya terharu
kelegaan. Dia tahu derita isterinya
sudah terungkai kini.
**********************
FARZANA
MERENGUS. Nafasnya turun naik laju. Dia marah dengan tindakan emaknya yang
menghalang dia keluar. Dia mengilas jam
di dinding. Sudah pukul 5.00
petang. Dia sudah terlewat setengah jam
dari waktu yang ditetapkan Faizal. Dia
gelisah. Memikir jalan untuk keluar dari
rumah itu.
“Kau nak pergi mana?” Langkah
Farzana terhenti sekejap. Dia merengus
kemudian teruskan melangkah.
“Kau nak pergi mana ha? Aku cakap jangan keluar kan! Kenapa kau ni degil sangat dik! Kenapa kau tak boleh nak dengar nasihat mak
ni dik!” Fauziah merintih. Hatinya
sakit. Kecewa bukan kepalang bila
dilihat Farzana tidak berubah, malahan menjadi semakin teruk.
“Mak nak Zana duduk jek terperuk
dalam rumah ni ke Mak? Zana bosan tau
tak mak? Takkan lah nak jumpa
kawan-kawan pun tak boleh!” Farzana menengking emaknya. Langsung tidak peduli pada kemarahan
emaknya. Dia juga marah.
“Mak tak marah kalau kau setakat nak
keluar dengan kawan-kawan...pergilah.
Tapi kau tu bila orang bagi keluar...kau terus hilang tak
balik-balik. Handphone kau tak nak angkat...merata abang-abang kau cari
kau...aku ni susah hati tak senang duduk tunggu kau balik....Sebab tu kitorang
dalam rumah ni tak kasi kau keluar!”
“Ala...nanti Zana balik lah!”
“Bohong! Setiap kali kau keluar dengan Faizal kau
mesti tak balik...entah ke mana jantan tu bawak kau...dengan dia-dia sekali
lesap!” Fauziah bersuara lantang. Dia
melawan kedegilan Farzana. Dia tidak
mahu anak gadisnya itu keluar lagi.
“Kau tu ada dalam rumah ni pun boleh
terlepas...ni kan pulak kalau kau keluar depan mata aku macam ni...”
“Kau lupa...masa kitorang tengah
tengok tv kat ruang tamu..kau dalam bilik.
Elok cerita habis semua orang nak masuk tidur...kau lesap! Pukul 12 tengah malam kau lesap! Senyap-senyap kau keluar sehelai
sepinggang! Takde kesan, takde
bunyi...Tahu-tahu kau lesap! Padahal
petang tu kau baru balik lepas kau hilang tiga hari! Aku ni cari kau tengah-tengah malam buta satu
kampung ni tau! Kau tahu aku ni susah
hati entah kau kena culik ke kena bunuh ke.....Kau tahu tak aku ni dah tua,
bawak motor tengah-tengah malam cari kau macam orang gila! Kau tak kesiankan aku ke Zana?!”
“Zana balik jugak kan akhirnya?”
Farzana duduk. Membiarkan emaknya
terus-terusan membebel.
“Lain kali kalau Zana hilang, tak
balik...tak payah cari. Tahu lah Zana
nak balik. Zana belum lupa lagi jalan
nak balik ke rumah ni.”
“Ye..aku tahu kau tak lupa. Tapi kau tu anak dara...agama kau tu
Islam....bukan ajaran agama kita untuk kau buat macam ni...Kau tak kesian dekat
arwah abah ke dik...melaung-laung dia dalam kubur kena seksa bila kau buat mak
macam ni....Tolong lah Zana...berubah lah!” Fauziah duduk di sebelah Farzana,
memerhati sisi wajah Zana yang putih bersih itu.
“Mak ni sebolehnya nak bagi yang
terbaik untuk anak-anak mak lebih-lebih lagi kau...sebab apa? Sebab dalam adik beradik kau...kau ni lah
yang paling sekejap merasa kasih sayang seorang ayah. Masa kau umur 4 tahun abah dah pergi
tinggalkan kita semua...tinggalkan mak besarkan kau dengan abang-abang
kau. Nasib baik Abang Zikri tu dah habis
sekolah..dia keluar bekerja tolong-tolong mak apa yang patut. Kau tahu abang-abang kau marah mak sebab
terlalu manjakan kau?” Fauziah menarik nafasnya dalam-dalam. Bagai ingin meluahkan segala yang terbuku
dalam hatinya.
“Padahal diorang tak faham....mak
sayangkan kau. Bukan mak manjakan
kau. Bertahun kami harapkan bayi yang
keluar dari perut mak ni bayi perempuan lepas dah dapat 3 orang anak lelaki. Arwah abah lah yang paling gembira bila kau
lahir dia dapat tahu kau ni perempuan.
Tapi sayang...umur dia tak panjang.
Waktu kau dengan dia tak lama.
Sebab tu kalau kau buat perangai, abang-abang kau nak hukum kau...nak
marah kau..mak halang. Mak tak sampai
hati...mak teringatkan arwah Abah....” Mata Fauziah berkaca. Dia masih lagi memandang sisi wajah Farzana
yang langsung tidak berpaling menghadapnya.
Tapi dia tahu Farzana sedang mendengar.
“Salah ke kalau kau jadi anak yang
baik? Tak boleh ke?” Fauziah menggamit
lengan Farzana. Mengharap pengertian
anak gadis yang terlalu disayanginya itu.
“Mak...mak tak faham. Zana ni muda lagi. Zana nak keluar dengan kawan-kawan....Mak
tahu tak seronok berkumpul ramai-ramai macam tu...berbual, gelak ketawa...mak
apa tahu?” Farzana berlembut. Walau dia
terkesan dengan ayat emaknya tadi, tapi dia tetap dengan pendiriannya. Dia bingkas bangun. Cepat-cepat Fauziah menggenggam lengannya.
“Jangan macam ni dik...kau tak
dengar ke apa yang mak cakap dari tadi?” Pujuk Fauziah lagi.
“Dengar...tapi Zana tetap nak
keluar! Faizal dah tunggu lama dah tu!”
Farzana merentap lengannya. Kakinya
mengatur langkah ingin pergi.
“Jangan!” Sekali lagi Fauziah memaut lengan Farzana.
“Hei kau ni! Lepaslah! Aku baling kau karang!” Ugut Farzana.
Tangannya yang sedang memegang powerbank diangkat tinggi. Cuba menakutkan Fauziah.
“Jangan! Mak kata jangan keluar!” Fauziah bertegas lagi.
Pangggg!
Powerbank tadi dihempas. Sikit saja lagi hampir terkena kaki
Fauziah. Dia terus terdiam. Terpaku melihat powerbank yang berderai
terdampar di atas lantai. Sungguh dia
terkedu dengan sikap Farzana.
“Berambuslah!” Tolak Farzana kuat sambil merentap
lengannya. Terhuyung hayang Fauziah
jadinya akibat tolakan itu, terus saja genggamannya terlepas.
“Dik...jangan keluar dik! Duduk rumah!”
Cepat-cepat Fauziah berlari.
Mengejar Farzana yang sudah pun ada di laman rumah.
Bukk!
Fauziah terjatuh. Dia menyeringai sakit. Perit pada kedua-dua lutut dan telapak
tangannya. Darah. Ditoleh pada Farzana yang sudah pun menjauh
di dalam kereta.
‘Sampai hati kau dik!’
**************************
“KURANG
AJAR KAU!!!” Terus penumbuk padu singgah
ke mukanya tanpa sempat dia mengelak.
Spontan tangannya menekap hidungnya yang sudah pun berdarah.
Farzana terkulat-kulat. Ingin membantu Faizal tapi dia takut dengan
amukan abang ketiganya itu. Dia menoleh,
ternampak ibu dan kakak iparnya sedang ralit memerhati dia di seberang jalan.
“Kau bawak adik aku pergi kelab
malam...lepas tu kau tidur dengan dia...Sekarang, kau dengan tanpa rasa takut
sikit pun tunjuk muka kau depan aku? Kau
memang berani!”
“Apa ni Uda! Kau kalau setakat dengar orang cakap...takde
bukti, jangan memandai-mandai nak tuduh aku yang bukan-bukan.” Tengking Farzana.
“Kau
diam!”
Pang!!
Spontan terus Zali menampar
Farzana. Farzana terus tergamam. Dia terkejut.
Tidak menyangka akan diperlakukan sebegitu oleh abangnya. Dia jadi malu pada Faizal.
“Kalau aku takde bukti...aku takkan
mengamuk macam ni! Dah...kau pergi masuk
sana!” Tengking Zali lagi. Farzana hanya diam tapi kakinya melangkah
menuju ke pintu rumah. Hatinya
bengang. Marah dilempang abangnya di
hadapan Faizal.
“Uda tu kenapa mak? Jangan macam-macam dengan Zana! Kalau Zana lari tak balik terus nanti...kau
jugak yang susah nanti!” Sempat Farzana
memberi amaran saat melintas di hadapan emak dan kakak iparnya.
Berdesing terus telinga Suraya
dengan kebiadapan Farzana. Ikutkan
hatinya, mahu saja dia menerkam Farzana dan menampar gadis itu. Akan diheret gadis itu dan dipaksa supaya dia
menyembah ibu mertuanya itu. Tapi bila
dilihat ibu mertuanya bersahaja langsung tidak memberi apa-apa reaksi, dia diam
kaku. Malas untuk masuk campur. Dia tahu sikap ibu mertuanya itu. Terlalu sayangkan Farzana. Tapi tidak kena gayanya.
“Kau kenapa teruk sangat sekarang ni
Dik?!” Zali menerjah pintu bilik.
Ditatapnya Farzana yang baring di atas katil.
“Kau pekak ke apa aku cakap?!” Zali
mencapai bantal di sisi katil lalu dilemparkan ke muka Farzana yang menutup
matanya.
“Kau nak apa lagi?! Kau dah lempang aku kan? Faizal pun kau dah tumbuk kan? Apa lagi yang kau tak puas hati!” Farzana
duduk. Memandang abangnya itu dengan
penuh amarah.
“Apa lagi ni?! Sudah lah...sudah!” Masuk pula Fauziah ke
dalam bilik itu, cuba menghalang pergaduhan dua beradik itu dari semakin
melarat.
“Mak ni macam tu lah...sikit-sikit
sudah! Sikit-sikit sudah! Apa yang adik
buat semua takpe! Semua boleh!” Jerit
Zali pada emaknya.
“Habis tu kau ingat kalau kau
belasah adik kau ni pun...keadaan akan berubah ke? Kalau dia lari tak balik, macam mana?!” Fauziah
menjegilkan matanya. Melawan amukan
anaknya itu.
“Biarlah dia nak lari! Nak sangat jadi bohsia kat luar tu...biarkan
dia lari! Mak nak pertahan sangat dia
sebab mak takut dia lari tu kenapa?!”
“Mak tahu tak apa anak kesayangan
mak ni dah buat?! Kalau dia buat
elok...buat baik...Uda takkan marah dia.
Abang gila mana yang nak marah adik jadi molek? Adik jadi baik?”
“Apa? Apa adik kau ni dah buat? Apa kau dah buat dik?” Fauziah mengalih pandangnya
ke arah Farzana yang membatu.
“Kenapa diam?! Cakap lah!
Tadi bukan main lagi kau menengking-nengking cakap dengan aku!”
“Apsal diam? Tahu pulak kau takut!” Farzana
menjeling. Dia benci dengan abangnya
itu.
“Dik...kenapa kau diam?! Kau tadi bukan main lagi kan?....Sekarang
apsal kau diam?! Ke kau nak aku yang
beritahu mak?!”
“Kau tak payah campur urusan aku lah
Bang! Aku tak sibuk hal kau pun!”
Farzana membalas.
“Aku pun tak ingin lah nak masuk
campur urusan kau tu Dik...tapi masalahnya apa yang kau buat tu salah...aku ni
sebagai abang takkan nak biarkan jek kau macam tu?”
“Biar jek lah. Aku tak suruh pun kau sibuk-sibuk hal aku.”
“Eiii...kau ni! Melampau-lampau kau sekarang kan!” Terus Zali
mengangkat tangannya tinggi. Fauziah segera
meluru, menahan Zali membuat tindakan.
“Sudah! Sudahhh!!” Jerit Fauziah.
“Itulah mak! Sikit-sikit sudah! Mak tak tahu mak apa yang adik buat mak! Mak tak tahu! Aku cabar kau dik...kau cakap
apa yang kau dah buat! Kau berani sangat
kan...kau cakap lah dengan mak! Aku
cabar kau!” Jerit Zali, dia seperti kerasukan.
Marahnya pada Farzana sudah tidak dapat dibendung.
“Aku pergi kelab malam...aku telan
ice! Aku minum! Aku mabuk lepas tu aku tidur dengan
Faizal! Puas hati kau?! Puas?!
Puas?!” Farzana menjerit. Dadanya
berombak kencang. Dia geram dengan
desakan Zali.
“Ya Allah dik....kenapa macam tu
sekali? Kenapa kau buat tu semua? Kau takut Allah ke? Kau tak ingat mak? Kau tak kesian dengan mak ke dik?” Fauziah terkejut bukan kepalang. Hatinya hancur berderai. Anak kesayangannya sudah melampaui batas yang
dia berikan selama ini. Dia kecewa. Sangat-sangat kecewa.
‘Abang...maafkan Yah Bang...Yah
gagal didik anak perempuan kita.....’
**************
FARZANA
MUNDAR MANDIR. Dia melihat ke seluruh
halaman rumah yang sudah lama tidak dijenguknya itu. Dia ke kiri rumah, melihat pokok rambutan
yang melebat dengan buahnya. Tersenyum. Dia memetik buah rambutan yang paling merah,
lantas mengupas dan meratahnya perlahan-lahan.
Perlahan-lahan dia menapak lagi ke
arah deretan pokok bunga yang ditanam di keliling rumah. Tersenyum lagi dia. Terimbau lagi kenangan lalu sewaktu dia
bersama-sama dengan emaknya itu mengemas laman sebaik Abang Zikri selesai memotong
rumput. Ketika itu juga lah dia akan
berkejaran dengan Marsya, berlumba siapa yang lebih cepat menyapu laman atau
siapa yang lebih dahulu selesai menjirus pokok-pokok bunga. Dia tersengih. Bergenang airmatanya. Rindu sungguh dia pada masa lalu.
Langkahnya terhenti. Memandang sudut yang diletakkan kerusi set
dan buaian besar tempat dia sekeluarga sama-sama menikmati juadah petang setiap
hujung minggu. Kadang-kadang emaknya
akan memasak mee goreng, kadang kala kakak iparnya akan memasak pula lempeng
pisang dan sesekali dia pula yang memasak lempeng dicicah sambal ikan
bilis. Terbayang-bayang gelak tawa
mereka bergema saat itu.
Matanya terhenti pula pada pintu
masuk ke dalam rumah itu. Terus dia
mengetap bibir. Hatinya meronta ingin
menolak pintu itu lalu masuk ke dalam memeluk emaknya. Tapi kakinya seolah-olah melekat, menghalang
dirinya melangkah masuk. Terasa berat
dan sukar.
Dia menarik nafasnya
dalam-dalam. Memejam matanya kuat-kuat
dan membulatkan tekadnya. Dia
nekad. Sudah terlalu lama dia tidak
menjenguk emaknya di rumah itu. Sejak
hari terakhir dia menyerahkan Fitri kepada emaknya. Mujur kakak iparnya dapat dihubungi dan dari
situlah dia tahu yang amanah membela Fitri telah diserahkan sepenuhnya kepada
abang sulungnya.
Hakikatnya dia malu untuk menjejak
kaki ke rumah itu lagi. Selepas
melahirkan Fitri, dia terus keluar dari rumah itu, kononnya mencari bahagia
bersama Faizal. Hingga sanggup
meninggalkan bayi kecil itu di bawah jagaan emaknya. Dan atas keprihatinan Zikri dan Suraya, emaknya
menyerahkan Fitri supaya nasib anak itu lebih terjamin.
Tapi
apa yang diimpikan hanyalah janji-janji palsu dari lelaki itu. Dia malu hidupnya jadi lebih teruk sedangkan
dulu dia lah yang dengan bangganya mengagungkan Faizal. Dan saat tersungkur, tentu saja dia malu
untuk memunculkan dirinya.
Tombol pintu rumah itu dipulas
perlahan-lahan lalu ditolaknya.
Kosong. Ruang tamu rumah itu
kosong dengan hiasannya yang tetap sama seperti berbelas tahun lalu. Ah...dia rindukan rumah itu, suasana rumah
itu, bau rumah itu.
“Assalamualaikum...mak!” Farzana memberi salam. Dia menapak selangkah demi selangkah.
“Assalamualaikum....Mak...Mak...” Panggil Farzana lagi. Senyap.
Perlahan-lahan dia menolak pintu
bilik emaknya. Dia tahu pasti emaknya
ada di dalam itu. Tidur barangkali. Sebaik dibuka, terlihat emaknya yang sedang
sujud. Farzana menarik senyumnya. Menutup kembali pintu bilik lalu menuju ke
dapur.
Farzana tersenyum saat terpandang
barisan bekas-bekas yang mengandungi pelbagai jenis makanan. Ada lauk masak lemak pucuk paku, ikan goreng
bersambal, ayam masak ungkep dan sambal belacan dengan potongan ulam yang
beraneka jenis. Semuanya lauk kegemaran
yang dirindui yang telah lama tidak dijamahnya.
Seolah-olah emak tahu yang dia ingin pulang ketika itu. Terus berkeroncong perutnya sebaik bau enak
masakan menyerbu rongga hidungnya. Dia
menarik kerusi, duduk dan menunggu emaknya menyelesaikan solat.
15 minit sudah berlalu tapi emak
masih belum keluar dari bilik. Farzana
tunggu lagi. Barangkali doa emak
panjang, atau mungkin wirid dan zikirnya juga panjang. Farzana menunggu lagi. 30 minit pula berlalu tapi emaknya masih
belum muncul. Mungkin emak mengaji
pula. Tidak mengapa, dia boleh menunggu
lagi.
Sudah satu jam dia di meja makan,
emak masih juga tidak muncul-muncul.
Adakah emak sudah terlelap sebaik usai solatnya lantaran kepenatan
memasak pelbagai makanan ini? Farzana jadi
tertanya-tanya. Lalu dia bingkas bangun
menuju ke bilik. Sebaik pintu bilik
dikuak, emak masih lagi sujud.
Timbul rasa tidak enak. Tapi dia biarkan. Perlahan-lahan dia duduk di sisi katil,
memerhati emaknya itu. Sudah lebih lima
minit emak masih sujud. Terlalu
lama. Tidak mungkin sebegini lama. Tadi sewaktu menjengah kali pertama, emak
juga sedang sujud. Farzana mula rasa ada
sesuatu yang tidak kena. Takut-takut dia
menghulur tangan, menyentuh bahu ibunya yang sujud itu. Terus tubuh itu tergolek ke sisi. Buntang mata Farzana.
“Emaakkkkk.....Ya Allah!
Emakkkk!” Farzana menjerit. Terkejut melihat emaknya yang sudah pun
terbujur di sisi tetapi masih dalam posisi bersujud. Farzana cepat-cepat memangku emaknya.
“Emakkkk...Zana balik mak! Zana balik!
Bangun mak! Zana nak mintak maaf
dengan makkk!!!” Raung Farzana
lagi.
“Emakkk...Zana...Zana mintak ampun
mak...Zana mintak ampun...Zana mintak maaf tak dengar cakap mak selama
ni....Hidup Zana merana mak...Zana tak bahagia dengan Faizal...dia buat Zana
macam sampah! Bangun lah Mak! Zana nak duduk dengan Mak macam dulu!”
“Makkk...bangun lah! Makkk......”
Farzana melaung. Dia seperti
hilang akal. Ternyata apa yang terjadi
saat ini sungguh di luar jangkaannya.
“Tok mak!” Jerit satu suara dari arah belakang
Farzana. Cepat-cepat dia menoleh.
“Mak! Ya Allah kenapa ni? Zana...kenapa dengan mak ni?!” Sampuk Suraya dengan suara cemas.
“Ya Allah...Zana! Kau buat apa dengan mak ha?!” Sergah pula Zikri tiba-tiba.
“Apa Mama buat dengan Tok Mak?! Kenapa dengan Tok Mak ni?! Ya Allah..Tok Mak...Bangun lah! Fitri datang ni! Ummi...Tok Mak! Ya
Allahhhh.....” Fitri meraung. Dia panik melihat neneknya sudah kaku tidak
bernyawa lagi. Zikri terus mencengkam
lengan Farzana, memaksa adiknya itu bangun.
“Kau buat apa dengan mak ha?! Kau cakap...apa yang kau buat tadi?!”
“Sumpah Bang...Zana takde buat
apa-apa! Sumpah! Demi Allah!” Farzana
menyeringai sakit, mukanya berkerut.
“Zana sampai sini tadi...Zana tengok
mak tengah sembahyang. Jadi Zana tunggu
mak kat dapur. Lama Zana tunggu...dekat
sejam tapi bila Zana masuk mak tak bangun-bangun dari sujud...Zana pegang
mak...terus mak jatuh macam ni.....Zana takde buat apa-apa kat mak! Sumpah Bang...Sumpah Kak Su!” Farzana mengangkat tangan lagak seperti
mengangkat sumpah. Dia sendiri turut
terkejut melihat keadaan maknya itu.
“Apa Zana buat kat sini? Zana kan dah lama tak balik? Kenapa tiba-tiba boleh ada kat sini?” Soal
Suraya tiba-tiba. Turut menyimpan rasa curiga. Terlalu banyak persoalan yang bertubi-tubi
masuk ke dalam kepalanya.
Dia memerhati setiap inci tubuh
Farzana. Terdapat kesan luka pada dahi
Farzana. Dia tahu pastinya dari
perbuatan Faizal. Dia tahu birasnya itu
jantan dayus yang suka melepaskan amarah pada adik iparnya itu. Diperhatikan pula pada tangan Farzana dan di
sekeliling bilik, tiada sebarang senjata tajam.
Malahan pada tubuh Tok Mak sendiri tiada sebarang kecederaan. Mungkin benar Farzana tidak tahu
apa-apa. Tapi dia tidak dapat membuang
rasa sangsinya apatah lagi dia dari dulu tahu Farzana pernah bertindak kurang
ajar dengan ibu mertuanya sebelum ini.
“Zana balik nak mintak ampun dengan
Mak...Banyak sangat salah silap Zana pada Mak..pada Kak Su, pada Abang
Zikri...pada Fitri....Zana nak mintak ampun dan maaf pada mak biar hidup Zana
lebih berkat. Selama ni, Zana tak
tenang. Zana tak bahagia.....” Airmata Farzana terus menerus mengalir seolah
langsung tiada penghujungnya.
“Tapi mak...” Farzana
teresak-esak. Sedih dan kecewa dalam hatinya
bukan kepalang. Dia menggoyang tubuh
kaku emaknya itu berulang kali.
“Mak...bangun Mak! Zana balik ni...Mak...jom kita makan
sama-sama. Zana rindu dekat mak! Zana mintak ampun Mak! Makkkk.....” Farzana melaung. Kecewa dalam hatinya bukan kepalang, kerana
sudah terlambat untuk memohon keampunan dari ibu yang melahirkannya itu.
“Dah...sudah lah...Sudah lah Zana...Kita
angkat mak dulu, letak atas katil ni. Abang....telefon
ambulans. Nanti Su beritahu jiran-jiran
mak. Fitri duduk sini dengan Mama
ya?” Suraya mengoles airmata yang jatuh
di pipi anak bujangnya itu. Dia tahu
Fitri pasti terkesan dengan semua ini.
“Maaf.....” Celah satu suara tiba-tiba. Serentak semuanya berpaling, menghadap ke
muka pintu. Berdiri dua orang lelaki
lengkap berseragam polis memerhati mereka.
“Mintak maaf saya menganggu.....Saya
beri salam banyak kali kat luar tadi tapi takde siapa menyahut....” Pegawai polis tadi menghulur salamnya ke arah
Zikri. Lambat-lambat Zikri menyambutnya,
terpinga-pinga.
“Kami mencari Puan Farzana Binti
Suhaimi.” Spontan Suraya, Zikri dan Fitri memandang ke arah Farzana.
“Ya....”
“Maaf Puan...kami ingin bawa Puan ke
balai bagi proses soal siasat berhubung dengan penangkapan suami Puan, Encik
Faizal atas sindiket pelacuran dan juga penahanan anak puan Fitrah kerana
terlibat dalam aktiviti pelacuran.”
“Makkkk........” Farzana meraung!
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak
menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua.
Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah
sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau
suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah
lembut.” (al-Isra’,
17: 23)
* Cerita di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia. Yang baik kita jadikan pengajaran dan yang buruk kita jadikan tauladan.
Sayang sayangs,
Adra Adiella
2 comments:
assalamualaikum akak..saya suka baca pnulisan akak..cerpen akak ni pon mmg mnginsafkn..hope akak akn tros mnulis lg..hehehe
@mai sarah,
thanks ye maisarah syg sbb sentiasa mengikuti penulisan akak..
really appreciate it!
Post a Comment