Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Tuesday 4 October 2016

SKDC - Bab 15

Thia bergegas menghampiri Datin Marisa yang sudah pun agak jauh di hadapannya. Dia terpaku seketika tadi tatkala terlihat sehelai blaus berwarna merah yang tergantung di hadapan dinding kaca pusat membeli-belah itu. Membayangkan dirinya mengenakan blaus itu di badannya sehingga terlupa pada ibu mentuanya yang sudah pun jauh ke hadapan.
“Thia, teman mama minum sekejap boleh?” Datin Marisa tersenyum saat Thia menghampirinya.
“ Eh, tak apa ke ma? Kan mama cakap nak bawak Thia pergi butik Kak Min. Nanti lambat, dia tak marah ke? Hari ni hari pertama Thia kerja tahu, ma.”
“Tak apa, semalam mama dah call Jasmin. Mama cakap mama yang hantar Thia. Mama cakap kat dia, mama ada meeting sampai pukul 10.00. Lebih kurang pukul 11.00 baru mama dapat hantar Thia.”
Thia tersenyum sahaja.
“Jom kita duduk sini, makan roti bakar. Dah lama tak minum white coffee kat sini.” Datin Marisa cepat-cepat menggamit lengan menantunya. Mendorong gadis itu menurut langkahnya masuk ke restoran Old Town.
Selang 10 minit kemudian, seorang pelayan menghantar pesanan mereka. Dua cawan white coffee dan dua piring kecil roti bakar terhidang depan mata. Thia juga memilih menu yang sama seperti dipesan Datin Marisa. Dia janggal duduk di restoran itu dan tidak tahu menu apa yang patut dipesannya.
“Macam mana jadi isteri Naz setakat ni?” 
Thia terkedu, terasa ingin tercekik saat itu. Air kopi yang ditiupnya perlahan-lahan tak jadi diminum. Dia meletakkan kembali cawan kopinya ke piring.
“Errr...okey je setakat ni ma. Kenapa tanya macam tu?” Thia mengukir senyum yang dibuat-buat. Terasa bersalah berbohong dengan jawapan seperti itu. Dia sendiri pun sebenarnya tidak tahu apa jawapan yang tepat untuk soalan itu.
“Mama tahu, kau orang masih dalam proses kenal satu sama lain kan? Tak apa Thia. Pelan-pelan. Jangan risau, Nazhan tu walau pun dia fussy sikit, perfectionist, over pengemas tapi dia baik. Lama-lama nanti Thia akan jatuh cinta jugak dengan kebaikan dia. Anak mama, mama tahulah kan?” Wanita itu tersenyum. Matanya memandang pada cawannya. 
Fussy sikit? Fussy banyak adalah. Itu tak kena, ini tak kena. Itu tak betul, ini tak betul. Itu bersepah, ini bersepah, bisik hati Thia. Pening kepala Thia melayan kerenah Nazhan sepanjang minggu pertama perkahwinan mereka.
“Mama nak cakap fasal benda ni pun payah tapi tak cakap karang, takut keadaan jadi lebih teruk pulak. Entahlah, susah betul.” Datin Marisa melepaskan keluhannya lambat-lambat.
“Kenapa ma? Cakap jelah. Fasal hubungan kami berdua ke?” Thia gusar. Dia mula terbayangkan perkara yang buruk. Kemungkinan Nazhan sudah memberitahu Datin Marisa untuk menceraikannya. Thia menarik nafas panjang. Bersedia menerima sebarang kemungkinan.
“Thia pun tahukan, Naz belum bersedia lagi dengan semua ni. Jadi, mama rasa mesti Thia tahu syarat-syarat Naz kan?” 
Thia semakin keliru. Dia bingung. Setahunya syarat yang Nazhan berikan padanya adalah tidak mahu orang luar selain keluarga tahu tentang status mereka. Setakat ini, dia pasti rahsia itu masih disimpan kemas. Sementelah pula usia perkahwinan mereka baru berusia seminggu dan Thia juga sepanjang hari hanya memerap di rumah.
“Naz pesan kat mama tadi, nanti bila Jasmin tanya siapa Thia ni,  Thia cakap Thia ni anak saudara belah papa ya. Kiranya Thia ni sepupu Naz lah. Semalam masa call Jasmin, mama dah beritahu jugak dekat dia tapi manalah tahu kalau-kalau Jasmin tanya Thia sendiri nanti.” Datin Marisa memandang anak mata Thia mengharap pengertian menantunya itu. 
Sejujurnya, dia senang dengan Thia menjadi menantunya. Walaupun Thia bukan gadis dari golongan keluarga berada, masih muda tapi perwatakan Thia yang lemah lembut, gayanya, wajahnya yang manis, semuanya menyenangkan hati keibuannya. Ditambah dengan kepakaran Thia memasak, dia pasti lama-lama Nazhan akan cair juga dengan Thia. Dia tahu anak bujangnya itu memerlukan masa untuk menerima status barunya yang sudah pun berkahwin kini.
Untuk ingkar permintaan Nazhan pula, dia bimbang Nazhan merajuk atau dideranya pula menantunya ini. Datin Marisa memang yakin Nazhan akan jatuh cinta juga dengan Thia suatu hari nanti. Sikap Nazhan yang tak semenggah terutama terhadap Jasmin tu tak ke mana pun nanti.
Thia terdiam. Cepat-cepat dia menunduk. Jarinya menguis-nguis hujung pinggan yang terhidang dua keping roti bakar tadi. Entah kenapa hatinya sedikit terusik dengan permintaan ibu mentuanya tadi. Walaupun dia sudah tahu syarat-syarat yang ditetapkan Nazhan, dia terasa sedikit pelik mendengarnya  dari mulut seorang ibu mentua. 
Terasa seolah-olah ibu mentuanya itu juga malu dan tidak mahu bermenantukan dirinya sehinggakan tidak layak diperkenalkan kepada orang luar. Seolah-olah menyokong tindakan anaknya yang mahukan status perkahwinan mereka dirahsiakan. Lama dia terpaku, menatap pinggan di hadapan matanya.
“Okey ma,”  Thia mengukir senyuman kecil. 
Thank you Thia, for your understanding,” Datin Marisa tersenyum. Faham benar dengan keruh wajah Thia sebentar tadi. Isteri manalah yang tidak terluka, bila status diri sendiri tidak boleh didedahkan kepada umum?
“Jom, kita pergi butik.” Datin Marisa sekali lagi menggamit lengan Thia sebaik dia selesai meneguk kopinya. Cepat-cepat Thia bingkas, menuruti langkah Datin Marisa.
Tiga minit berjalan di dalam pusat membeli-belah itu, Datin Marisa memasuki sebuah butik. Terpampang signboard ‘Jazzy Collection’ dengan huruf berukir warna keemasan di atas muka pintu kedai.
“Datin, lama tak singgah butik. Rindu saya pada Datin,” Dalili, pembantu butik menyapa ramah. Dia memerhati wanita pertengahan umur di hadapannya itu penuh teliti. Datin Marisa masih seperti selalu. Anggun bergaya dengan kelasnya yang tersendiri. 
“Ha’ah Lili. Saya sibuk sikitlah. Dah alang-alang saya kat sini, saya nak ambillah sehelai dua baju kurung. Eh, terlupa pulak. Ni ha, Jasmin ada cakap tak dengan Lili fasal Thia?”
“ Ada Datin. Dia ada cakap tadi. Oooo...ni lah Thia ya. Nama akak Dalili tapi boleh panggil Kak Lili.” 
Thia hanya mengukir senyuman sambil menyambut huluran salam daripada Dalili. Sangkanya tadi, wanita di hadapannya itu adalah Jasmin. Sebab dia nampak bergaya, selayaknya bergelar seorang usahawan butik pakaian. Kak Lili mengenakan kebaya labuh berwarna oren dipadankan dengan kain plain berwarna krim dan tudung berwarna peach.
“Thia ni anak saudara saya, Lili. Sementara nak tunggu dia sambung belajar ni, saya suruh dia kerja sini cari pengalaman. Dapat jugak dia cari duit poket sendiri kan?” Datin Marisa menjeling Thia sekilas melihat reaksi Thia saat diperkenalkan sebagai anak saudaranya, gadis itu diam tidak menunjukkan sebarang riak.
“Oooo... sepupu Naz lah ni ya Datin. Tak apa, Datin jangan risau. Kami jaga dia baik-baik kat sini. Eh, jomlah Datin. Kita tengok koleksi baru sampai. Kata tadi nak ambil sehelai dua baju kurung kan? Zara, tolong ajar Thia apa-apa yang patut ya,” arah Dalili kepada seorang pekerja yang dari tadi tekun menjahit manik.
“Zara.” Ringkas ayat yang keluar dari mulut gadis di hadapan Thia itu. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam.
“Thia.” Thia mengukir senyuman, menyambut huluran salam dari gadis manis di hadapannya.
“Hari ni stok tudung baru dah sampai dari supplier. Nanti Thia tolong saya kemas ya,” lembut Zara bersuara. Gadis itu cantik. 
Thia tersenyum lantas mengangguk. 
Dua jam pada hari pertama Thia bekerja di butik itu berlalu dengan baik. Gadis manis bernama Zara banyak membantu Thia mengenal koleksi-koleksi tudung dan baju-baju terkini yang terdapat di butik itu. Kebetulan pula hari ini banyak tudung dan baju-baju yang ditempah dari pemborong sampai ke butik.
Jadi tugas Thia dari tadi adalah menggosok tudung dan baju kurung sebelum digantung di ruangan display butik.  Hari ini juga dia belajar menggunakan stand steam iron untuk menggosok kesemua tudung dan pakaian yang ronyok selepas dikeluarkan dari dalam kotak. Walaupun pada mulanya dia agak kekok, akhirnya dia akui steam iron lebih praktikal digunakan terutamanya untuk orang-orang yang terlibat dalam industri pakaian seperti ini.
Thia menarik nafas lega sebaik helaian tudung terakhir siap digosok. Dia menjeling sekilas pada Kak Lili yang tekun mencatat sesuatu pada log book di atas meja. Zara pula dilihatnya dari tadi asyik menjahit manik pada kaki baju pengantin berwarna turqoise. Dia bersyukur dikurniakan majikan sebaik Kak Dalili dan rakan sekerjanya, Zara. Walaupun masih terlalu awal untuk memberi penilaian, sekurang-kurangnya dia bekerja dengan hati yang senang pada hari yang pertama. Doanya semoga keadaan yang baik sebegini berterusan sehinggalah dia menyambung pelajaran kelak.
“Assalamualaikum!”
Bunyi pintu butik berkuak kedengaran diselangi dengan suara lelaki memberi salam. Cepat-cepat Dalili berlari meninggalkan bilik stor menuju ke kaunter hadapan butik.
“Hei, kamu ni Naz! Kak Lili ingat bhai mana jual kain tadi.” Sayup-sayup terdengar suara gelak ketawa Dalili dan seorang lelaki di telinga Thia. Dia hanya memasang telinga dari tadi.
“Haiii adik manis! Ini bhai bukan sebarang bhai. Ini bhai Saif Ali Khan datang mahu hantar mere beloved girlfriend Karisma Kapoor balik juga adik manis!” Naz mendepangkan tangannya. Sengaja mengusik Dalili di hadapannya. Jasmin yang dari tadi tercegat di sisi Nazhan mula terkekeh ketawa.
“Ada-ada jelah you ni Naz. Tak habis-habis mengusik. Ha...Kak Lili, mana Thia? Saya nak tengok jugak orangnya.” Jasmin memanjangkan lehernya, menjenguk-jenguk ke belakang butik.
“Eh kejap. Ada dia kat belakang. Tengah tolong Zara kemas-kemas tadi. Kejap Kak Lili panggilkan.”  
Sesaat kemudian, Thia muncul. Dia terasa gugup melihat semua mata sedang memandangnya. Itulah pertama kali dia melihat Jasmin di hadapan matanya. Gadis itu ternyata begitu jelita sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang pereka fesyen. Segera dia terbayangkan gambar Nazhan sedang memeluk pinggang gadis itu yang digantung di dinding tempoh hari. 
“Oooo...nilah Thia ya. Saya Jasmin. Boleh panggil Kak Min.” Jasmin tersenyum melihat wajah polos Thia. Dia menghulur tangannya untuk bersalam.
“Haaa... dia ni tauke besar butik ni. Kau jangan nak melawan cakap dia. Esok kalau aku kahwin dengan dia, aku pun jadi tauke kau juga. Jangan nak banyak songeh,” Nazhan tersengih. Senyumnya sengaja dilebarkan tatkala melihat wajah Thia yang mula berubah.
Zap! Darah panas mula menyirap ke kepala Thia. Perkataan ‘kahwin’ yang meluncur keluar dari mulut Nazhan seolah-olah menjadi pisau yang menghiris tangkai hatinya.
“Eh apa pulak sebut fasal kahwin ni Naz. I belum nak kahwinlah. Lama lagi I nak kahwin tau. You sanggup ke nak tunggu I?
Jasmin sengaja mengusik Nazhan. Dia tahu Nazhan cuma bergurau dan dia pasti Nazhan tahu tentang cita-cita dan impiannya yang menggunung tinggi.
“Sanggup!” Nazhan sengih.
Thia memandangnya dengan hati yang bengkak.  Terasa ingin disiat-siat senyuman Nazhan yang seolah-olah mengejeknya.
“Err...saya sambung kerja saya kat belakang ya Kak Min, Kak Lili.”  Thia meminta diri, malas ingin melayan Nazhan yang menyakitkan hatinya.
“Ha...baguslah. Pergi sambung kerja sana. Kerja rajin-rajin sikit, nanti aku suruh bos naikkan gaji kau tahu!” Nazhan menjerit lantang mengiringi pemergian Thia. 
Thia mengatur langkah lambat-lambat menuju ke bilik stor. Pelbagai persoalan timbul di mindanya. Tentang hubungan Jasmin dan Nazhan, tentang niat Nazhan untuk mengahwini Jasmin, tentang kedudukannya dalam keluarga Nazhan jikalau Nazhan betul-betul mengahwini Jasmin selepas ini. Semuanya bertubi-tubi mengasak ruang fikirannya. 
Sudahlah tadi dia terasa hati dengan status sepupu kepada Nazhan yang diberikan oleh ibu mentuanya sendiri. Sekarang dia cukup tergores dengan niat Nazhan yang ingin mengahwini Jasmin.
Di depan mata dia, siapa diri aku? Patung yang dikahwininya semata-mata untuk melepaskan syarat yang ditetapkan oleh Dato’ Harun?

Tiba-tiba imej Jasmin menerpa dalam fikirannya. Seolah-olah sedang mentertawakannya. Membandingkan dirinya dengan Jasmin, sudah tentulah dia jauh ketinggalan.  Thia terasa ingin menangis saat itu juga!

SKDC- Bab 14

“Abang dah kat mana? Syaf dah siap ni,” ringkas pertanyaan Syafinaz. Dia menguis-nguis kukunya yang berwarna peach.
            “Okey, bye,” cepat-cepat Syafinaz memasukkan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan usai talian dimatikan. Segera dia mencapai high heels empat inci berwarna hitam seraya mengunci pintu. Sementara menunggu Aiman, dia duduk di kerusi yang diletakkan berhadapan ruang letak kereta. Lima minit kemudian, kereta Aiman muncul.
Sorry lambat sikit sayang,” Aiman memeluk bahu Syafinaz lantas dikucup kedua-dua pipi gadis itu. Wajah Syafinaz sedikit mendung, mungkin marah dengan kelewatannya tadi. 
“Tunggu wife dengan anak-anak abang. Dia orang pun nak keluar jugak malam ni.”  
“Kita nak makan kat mana ni?” Syafinaz malas mengambil tahu perihal keluarga Aiman. Terasa sakit hatinya menyedari hakikat bahawa lelaki yang dia sayangi itu milik wanita lain. Bapa kepada dua orang anak.
“Kita makan kat tempat selalu nak? Abang teringin nak makan waktu malam ni. Selalu kita pergi siang je kan,” Aiman tersenyum lagi sambil menggenggam erat tangan gadis itu. 
Dia gembira dapat berjumpa Syafinaz. Terasa hilang letihnya dengan tekanan kerja di pejabat siang hari tadi. Terasa hilang bosannya melayan kerenah anak-anaknya yang selalu membingitkan telinga. Seakan-akan dia lupa tentang status dirinya saat berjumpa dengan Syafinaz.
Gadis itu cantik, bijak, pandai melayan dirinya dan selalu memanjakan dirinya. Dua hari tidak berjumpa gadis itu, boleh buat dia jadi gila bayang.
Kereta Aiman diparkir pada tempat letak kereta di hadapan Restoran Wardah Seafood itu. Cepat-cepat dia membuka pintu dan berjalan menuju ke meja bersama Syafinaz. Sesekali Aiman melirik matanya pada pandangan pekerja-pekerja restoran itu yang dari tadi memerhatikan Syafinaz. Dia tersenyum bangga dalam hati. Tahu mereka semuanya terpegun dengan kecantikan Syafinaz. Tambah-tambah lagi Syafinaz mengenakan dress singkat separas paha, menampakkan susuk badannya yang gebu. Tiada lelaki yang tidak menoleh saat Syafinaz berlalu.
Aiman tersenyum gembira melihat makanan yang terhidang di depan matanya setelah menunggu pesanan mereka. Mereka sama-sama menikmati makanan di restoran itu. Sesekali dia menyuap sesudu nasi ke mulut Syafinaz. Senang hatinya melihat senyuman di bibir gadis itu. Dia tahu panas di hati Syafinaz sudah pun reda.
“Papa!”
Teriakan dari suara milik kanak-kanak itu menyebabkan Aiman dan Syafinaz menoleh serentak. Wajah Aiman tiba-tiba pucat. Selera makannya terus mati saat matanya tertancap pada kanak-kanak di hadapannya itu.
“Papa buat apa kat sini?”
Kanak-kanak dalam lingkungan umur tiga tahun itu menarik hujung baju Aiman. Aiman tersenyum kelat mengusap lembut dahi anaknya itu. Peluh sejuk mula merembes keluar di dahinya. Tangannya juga sejuk. 
“Jomlah makan dengan mama.”
Kanak-kanak itu menarik hujung baju Aiman sedikit kuat. Menggesa papanya itu, menoleh ke arah meja di belakang mereka. 
Aiman tambah pucat. Terpaku melihat wajah merah padam Lidya yang sedang menggendong bayi mereka di samping kawan baiknya, Syima. Terasa darahnya menyirap ke kepala.
Mati! Getus hati Aiman.
Isterinya bingkas bangun merapati meja mereka lantas merentap tangan anak kecil yang berpaut pada lengan Aiman. Tindakannya yang sedikit kasar, menyebabkan anaknya berteriak kuat. Dia menampar Aiman sekuat-kuat hatinya. Dia sudah tidak peduli pada semua mata yang memandang mereka pada ketika itu. Hatinya belum puas, dia mencapai segelas jus oren lantas dituang ke kepala Syafinaz.
“Hei, apa ni!” Syafinaz bingkas bangun mengibas-ngibas air yang tumpah di bajunya. Rambutnya yang dibasahi air dilap menggunakan tisu. Dia mula panas hati diperlakukan sebegitu. Dia ingin menampar perempuan di hadapannya itu tapi segera ditahan Aiman.
Business meeting ya? Business meeting dengan GRO mana ni!” Lidya menjegilkan matanya. Terasa ingin ditelan Aiman saat itu.
“Kau dah tak ada lelaki lain ke!” Lidya memekik. Jarinya dituding ke muka Syafinaz.
Cepat-cepat Syafinaz menepis. Tindakan Syafinaz itu membuatkan api kemarahannya semakin meledak. Dia mencapai hujung rambut Syafinaz lantas menariknya sekuat hati. Mereka berdua mula bercakaran. Kuku tajam Syafinaz sempat menggores pipinya. 
Jeritan mereka berdua mula kedengaran ke seluruh ruang restoran. Mereka sudah sama sekali tidak peduli pada mata yang memandang malah, ada juga pelanggan yang bertindak mengeluarkan telefon bimbit dan merakam ‘drama’ percuma di hadapan mata mereka. Anak-anak Aiman pula sudah mula berteriak menyaksikan apa yang terjadi di hadapan mereka.
“Sudah Dya, sudah.”  Syima yang dari tadi mendiamkan diri sambil menggendong bayi Lidya mula cemas. Dia ingin meleraikan pertengkaran itu tapi terhalang dengan bayi yang dipegangnya. Cepat-cepat dia memandang ke arah Aiman, memohon lelaki itu segera membantu.
Stop it. Stop!” Aiman mencengkam lengan Syafinaz kuat menghalang gadis itu dari terus-terusan menyerang Lidya. Isterinya itu juga sudah didakap erat menghalang dia membalas serangan Syafinaz. 
Please go home. Just go,” suara Aiman mendatar mengharap gadis itu memahami situasinya kini. Dia mengusap kepala Lidya, menenangkan isterinya yang masih terus-terusan meraung. Dia ingin sekali memaut lengan Syafinaz, menenangkan gadis itu juga tapi, ahhh... dia serba salah!

AIMAN menutup pintu dengan kasar. Dadanya terasa sebal ketika itu. Dia serabut dengan permasalahan yang diciptanya sendiri. 
“Kenapa Dya buat macam ni?” Aiman tercegat di sisi isterinya yang sedang duduk kaku menghadap meja solek. Isterinya itu membelek luka cakaran Syafinaz di wajahnya. Air matanya masih belum surut.
“Kenapa? Kenapa Dya buat macam ni? Patutnya Dya yang tanya abang soalan tu!” Lidya bersuara lantang. Hatinya mula panas kembali. Bengang dengan soalan Aiman. Dia langsung tidak memandang wajah Aiman yang tercegat membelakanginya.
“Perlu ke Dya serang Syafinaz sampai macam tu sekali? Abang malu orang ramai semua tengok kita tadi,” Aiman mengeluh kasar. Matanya masih memandang isterinya yang kaku dari tadi.
“Ooooo... Syafinaz ya nama perempuan murahan tu? Kat kelab malam mana abang kutip dia?” Lidya menjeling tajam. Jelik mendengar nama perempuan penggoda suami orang meniti di bibir Aiman.
“Abang malu dengan orang ramai? Habis dengan Dya, dengan anak-anak, abang tak malu? Abang, Allah tu nak tunjuk bang siapa suami Dya ni, siapa ayah anak-anak kita selama ni. Sebab tulah, tergerak kita orang nak pergi makan kat situ. Kita orang tak tahu pun abang nak makan kat situ. Orang kalau buat jahat ni, lama-lama akan terbongkar jugak abang,” Lidya tersenyum sinis. 
Kalau diikutkan rancangan asal, dia dan Syima ingin membawa anak-anak makan di Coco Restaurant. Malangnya restoran itu ditutup untuk kegunaan pengantin baru yang menyewa seluruh ruang makan untuk majlis persandingan. Akur dengan cadangan Syima, mereka setuju untuk pergi ke Wardah Seafood dan akhirnya bertemu dengan Aiman bersama buah hatinya. 
Mujur selepas insiden itu, Syima menawarkan diri menjaga anak-anaknya, memberi ruang Lidya dan Aiman berbincang sedalam-dalamnya tentang masalah yang timbul saat ini.
“Abang cakap tadi ada business meeting dengan Dato’ kan? Tak tahu pulak Dya, Dato’ tu pakai dress,”  Lidya tersenyum sumbing lagi. Sakit hatinya ditipu. Entah sudah berapa lama dia ditipu Aiman, dia sendiri tidak tahu.
“Selama ni, Dya percaya pada abang. Dya korbankan career Dya. Dya sanggup berhenti kerja, duduk rumah jaga anak. Dya tumpukan seluruh hidup Dya untuk abang dan anak-anak, tapi ini yang Dya dapat? Ini yang abang balas?” Lidya bangun perlahan-lahan, menyingkap tirai langsir di biliknya.
“Apa lagi yang tak cukup? Apa lagi yang kurang? Apa lebihnya perempuan tu?” Lidya menuding jari, menanti Aiman membalas kata-katanya. Perit sungguh luka hatinya digores perbuatan Aiman.
Aiman duduk di sofa yang terletak di penjuru biliknya. Dia meraup wajahnya entah yang ke berapa kali. Lidahnya terlalu sukar membidas kata-kata Lidya.
“Dya tahu tak Dya selalu abaikan abang? Terlalu asyik dengan anak-anak sampai layanan pada abang macam hendak tak hendak?”
Aiman meraup mukanya. Takut untuk memandang wajah Lidya tapi kenyataan itu harus didedahkan. Dia tidak mahu terus-menerus menyimpannya lagi. Kesalahan ini bukan terletak di bahunya seorang.
“Abang sedar tak kita dah ada anak dua orang? Dua-dua tu masih kecil, masih perlukan perhatian dari Dya!” suara Lidya mula meninggi. Terasa malu dihina sebegitu. Betul, dia kurang menjaga penampilan dirinya, tapi tidaklah seteruk yang Aiman gambarkan.
“Memang, abang tahu tu tapi tak kanlah sampai diri Dya sendiri tak terjaga? Dya langsung tak jaga penampilan Dya.  Sudahlah abang pun Dya tak hiraukan, diri Dya sendiri pun tak terjaga.” Aiman merenung anak mata Lidya. Dada wanita itu kelihatan berombak, nafasnya juga kencang. Air mata Lidya dari tadi tidak henti-henti.
Lidya membuang pandang pada cermin di hadapannya. Memandang pada wajahnya, pada pakaiannya, pada susuk badannya. Dia tiba-tiba tersedar kebenaran kata-kata Aiman. Wajahnya kusam, dipenuhi jeragat. Dia langsung tiada masa menilik mukanya sendiri sehinggalah pada malam ini. Dia meraup wajahnya, menyapu air mata yang membasahi pipi.
Anak-anak yang sedang membesar sentiasa memerlukan perhatiannya. Sekejap along meminta dibuatkan susu, sekejap adik pula meminta didukung. Awal-awal pagi lagi dia sudah sibuk di dapur menyediakan sarapan pagi sebelum Aiman ke tempat kerja.
Sesudah itu, kain baju kotor pula dibasuh, disidai, rumah perlu disapu dan dibersihkan. Tugasnya bertambah rumit apabila salah seorang anaknya itu jatuh sakit, perhatian yang lebih harus diberikan. Rutin itulah yang diulang-ulangnya setiap hari sehinggakan dia tiada masa untuk memanjakan dirinya sendiri apatah lagi membelai Aiman. Dia betul-betul letih saat anak-anak dibuai mimpi. Dia tahu, dia sedar hakikat itu. Dia memang akui, kurang menumpukan perhatian pada Aiman.
Terbayang-bayang di ruang matanya kelibat wanita yang ditemui bersama Aiman tadi. Syafinaz. Ya, gadis itu memang mempersonakan. Tiada lelaki yang tak kan terpikat dengan kecantikannya. Jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan dirinya. Tiba-tiba datang perasaan rendah diri dalam hatinya.
“Kalau betul Dya dah tak menarik lagi, kenapa hukum Dya macam ni? Tak boleh ke abang bagi peluang untuk Dya betulkan keadaan? Kenapa bila Dya serabai, selekeh, abang cari perempuan lain? Kenapa abang tak tegur Dya, sedarkan Dya supaya berubah? Kenapa tak bagi Dya peluang, bang? Kenapa mesti curang pada Dya!”
Lidya separuh menjerit. Dia menumbuk-numbuk dadanya berulang kali, seolah-olah menghukum diri sendiri atas kelemahannya sehingga dia terjelepok ke lantai. Dia membongkokkan badannya, memeluk lututnya sambil menangis lagi teresak-esak.
“Kalaulah suatu hari nanti, abang diberhentikan kerja, abang susah, abang bukan apa yang abang jadi sekarang ni, tiba-tiba waktu tu hati Dya berubah. Pergi pada lelaki yang lebih bagus dari abang. Apa abang akan rasa?” Lidya merenung wajah Aiman yang kaku dari tadi. Air matanya disapu lagi, entah untuk yang ke berapa kali.
“Apa abang rasa!” Lidya separuh menjerit. Geram melihat Aiman yang membisu.
“Kalau kekurangan Dya ni abang jadikan alasan untuk abang cari perempuan lain, satu hari nanti bila akhirnya ada kekurangan dalam diri abang, mesti abang tak kisah kalau Dya cari lelaki lain kan? Abang jangan ingat abang sorang je yang boleh buat macam ni. You would never know, how bad I could be,” Dya tersenyum. Herot bibirnya jelas menunjukkan dia menyindir Aiman. Dia masih duduk sayu di sudut bilik itu membiarkan air matanya terus tumpah. 
Mata Aiman mencerun tajam pada Lidya. Terasa kebenarannya dengan kata-kata itu. Selama ini dia langsung tidak pernah terfikir kemungkinan Lidya pula yang akan curang terhadap dirinya. Tiba-tiba dia terasa takut. Takut kehilangan seorang isteri yang baik. Kehilangan ibu yang baik untuk anak-anaknya.  
Timbul rasa simpati melihat Lidya yang dari tadi menangis tidak henti-henti. Dia tahu dia telah melukakan hati Lidya.  Dia bingkas bangun, berjalan menghampiri tubuh Lidya. Dia memaut bahu Lidya perlahan, memaksa dengan lembut kepala isterinya supaya bersandar di dadanya. 
“Lepaskan Dya,”  Lidya bersuara perlahan-lahan. Dia cuba meronta dari pelukan Aiman. Semakin dia meronta, semakin kuat Aiman memeluknya.
No. Please don’t,” Aiman memeluk bahu Lidya semakin kuat. Takut Lidya betul-betul mengotakan kata-katanya. 
“Abang minta maaf, Dya. Abang minta maaf sebab lukakan hati Dya.” Aiman memegang dagu Lidya, merenung dalam anak mata Lidya yang sembap itu. Berkali-kali dia menyapu air mata Lidya yang tumpah. 
Lidya masih kaku. Dia langsung tidak memberi sebarang respons atas perbuatan Aiman. Perlahan-lahan Aiman menggamit tangan Lidya membawanya dekat ke bibir lantas dikucup belakang tapak tangan Lidya berkali-kali.
“Jangan tinggalkan abang dan anak-anak. I’m really sorry,”  Aiman memandang lagi ke anak mata Lidya. Cepat-cepat memeluk Lidya semula.
Lidya terkedu. Hatinya mula terusik. Marahnya mula sejuk. Fikirannya mula terbayang-bayang wajah anak-anaknya.  Kemudian muncul pula Aiman sedang menggamit Syafinaz sambil mentertawakannya. Dia sakit hati. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya membalas pelukan Aiman seerat-eratnya.
“Abang tinggalkan perempuan tu.” Lidya menyembamkan wajahnya ke bahu Aiman. Pelukannya jadi semakin erat.
Aiman terkedu.

SYAFINAZ  meletakkan sudu dan garpu  di tangan  ke pinggannya. Dia memandang pada pintu apartmennya, mendengar sekali lagi bunyi ketukan pintu. Sedikit marah kerana bunyi ketukan itu membantutkan seleranya. Lambat-lambat dia memulas tombol pintu. Sebaik pintu dibuka, dia sedikit terkejut.
“Tinggalkan Aiman.”
Syafinaz mengerutkan keningnya.  Oh, ni bini Aiman, getus hatinya. Dia hampir lupa akan wajah isteri Aiman yang pertama kali dilihatnya sewaktu mereka ‘beraksi’ di restoran dua malam yang lepas.
“Okey,” balas Syafinaz ringkas. Tangannya mencapai daun pintu ingin menutupnya tapi dihalang dengan tangan Lidya.
“Okey? Macam tu je? Kau ingat aku nak percaya?”
“Habis tu kau nak suruh aku buat apa lagi? Melutut depan kau minta maaf? Hei, bukan aku yang terkejar-kejarkan Aiman tu. Dia yang tergila-gilakan aku. Kau suruhlah laki kau tu tinggalkan aku!”
Syafinaz bengang dengan tindakan Lidya yang terus menyerang. Dia membatalkan hasratnya untuk menutup pintu. Perempuan di hadapannya itu belum kenal lagi siapa dirinya.
“Kau ni cantik, bergaya, seksi, tapi bodoh. Laki orang jugak kau nak kebas.”
Lidya memandang susuk tubuh Syafinaz dari atas ke bawah berulang kali. Gadis itu memakai singlet berwarna hitam, menampakkan dadanya yang montok, sendat seolah-olah ingin terkeluar segala isinya. Dia memakai seluar pendek separas paha, menampakkan kulitnya yang putih melepak. Dengan gayanya, sesiapa yang memandangnya dari belakang, orang tak kan tahu dia sebenarnya adalah seorang wanita yang beragama Islam.
“Laki kau tu yang bodoh. Pantang tengok perempuan cantik macam aku tapi memang patutlah. Tengok kau ni, aku pun tak selera,” Syafinaz tersenyum sinis. 
Isteri Aiman itu ditenung dari atas ke bawah mengulangi pula perbuatan Lidya yang dari tadi melihatnya dari atas ke bawah. Dia tahu isteri Aiman itu agak kolot orangnya. Aiman selalu mengadu perihal isterinya itu kepada dia. Segala-gala tentang Lidya, ada dalam koceknya. Sekarang Lidya sudah terpacak di hadapannya dan Lidya betul-betul seperti yang digambarkan Aiman selama ini. Langsung tiada daya tarikan. Tidak sepadan dengan Aiman yang kacak bergaya, di samping jawatannya yang kukuh di dalam syarikat.
“Kurang ajar mulut kau kan!”
Lidya mula panas hati. Dia menolak tubuh Syafinaz, mendorong gadis itu masuk ke dalam rumah. Syafinaz terkial-kial menepis tangan Lidya yang menolak bahunya. Mata Lidya meliar ke segenap rumah sehinggalah matanya terhenti pada potret Aiman bersama Syafinaz yang terletak di meja sisi sofa. Hatinya kembali panas, darahnya kembali menyirap ke kepala.
“Buruk-buruk aku pun, taklah semurah kau! Ni, laki siapa ni? Hodoh-hodoh aku pun, aku tak ambik laki orang lain! Hodoh-hodoh aku, aku tak jual badan aku pada lelaki!” Lidya menjerit ke arah Syafinaz.
“Kau dah habis cakap? Kalau dah, sila keluar. Aku tak pernah jemput perempuan meroyan macam kau ni masuk rumah aku. Pergi kepit laki kau kat rumah sana. Pesan kat dia, jangan gatal-gatal cari aku lagi.”
“Meroyan kau cakap aku? Ni meroyan kau!”
Lidya bengang. Mulut Syafinaz semakin lancang.    Lidya mengibas bingkai gambar Aiman dan Syafinaz yang dipegangnya ke wajah Syafinaz.
Syafinaz yang terkejut dengan tindakan Lidya tergamam. Dia lambat bertindak balas dan nyata libasan Lidya tadi mengena di dahinya. Syafinaz meraba-raba dahinya. Terasa cairan hangat mula mengalir, merentasi keningnya. Dia menyapu dan melihat darah di tapak tangannya. Hatinya mula panas. Dia marah Lidya bertindak sewenang-wenangnya.
Segera dia merapati Lidya yang dari tadi tercegat memerhatikannya. Dia mencengkam tudung yang dipakai Lidya. Berulang kali dia cuba menampar Lidya.
Lidya sedaya upaya cuba mengelak, menghalang Syafinaz dari terus-menerus menyerangnya. Kuku Syafinaz yang panjang dan tajam terasa menikam-nikam wajahnya. Sesekali dia menjerit minta dilepaskan. Sempat lagi tangannya menggapai hujung rambut Syafinaz dan menariknya sekuat hati. Kedua-duanya saling menjerit sehinggakan langsung tidak menyedari mereka berdua sudah pun  bergumpal di atas sofa.
“Sudah! Sudah!”
Terasa dua tangan tegap memeluk pinggang Lidya. Tudungnya sudah terbang entah ke mana. Sedar-sedar Aiman sudah memeluk dirinya, menjarakkan dirinya dari terus bergumpal dengan Syafinaz. 
Syafinaz pula sudah terjelepok jatuh di sisi sofa ditolak Aiman dari terus menyerang Lidya. Tiba-tiba dia terasa hiba. Sayu hatinya lelaki yang disayanginya selama ini, mencampak dirinya ke tepi dan mengutamakan wanita lain, di depan matanya sendiri.
Aiman cemas. Dia memeluk Lidya yang dari tadi masih meraung. Tangisan Lidya yang menggila tenggelam dalam pelukannya. Dia memandang ke arah Syafinaz. Sedikit terkaku melihat wanita kesayangannya itu bermandi dengan darah dari luka di dahinya. Apakan daya, saat itu, dia harus lebih mengutamakan Lidya. 
Gerak hatinya tadi betul tentang tindakan Lidya yang meminta izin dengannya untuk keluar rumah membeli barang-barang dapur. Selama perkahwinan mereka, Lidya jarang hendak membeli barang dapur bersendirian, selalunya mereka akan keluar membeli-belah bersama-sama. Malam tadi sewaktu Lidya mengajukan soalan tentang hubungannya dengan Syafinaz, dia tahu Lidya marah dengan jawapan acuh tak acuhnya. Penuh hati-hati dia mengikuti pergerakan kereta Lidya dari belakang.
“Ni, lelaki yang kau suka ni, akhirnya balik ke tangan aku jugaklah. Apa yang kau dapat? Cantik tapi bodoh pun tak guna! Bohsia!” Lidya menunjal kepala Syafinaz, memaksa badannya terdorong ke belakang.
Syafinaz masih kaku di situ, membiarkan air matanya terus mengalir. Rambutnya yang kusut masai dibiarkan. Dia hanya kaku melihat Aiman memimpin isterinya, berjalan keluar dari rumahnya.
Syafinaz masih menangis. Perlahan-lahan dia bangun, merapati sebuah cermin besar yang tergantung di ruang tamu rumahnya. Dia menatap wajahnya. Bibirnya pecah, dahinya luka. Rambutnya kusut menggerbang. 
“Arghhhh!” Syafinaz menumbuk cermin di hadapannya. Dia ternyata tewas dalam satu lagi episod percintaannya.

Lelaki! Tak guna! Syamsul...Aiman...sama saja!