“Abang dah kat mana? Syaf dah siap ni,”
ringkas pertanyaan Syafinaz. Dia menguis-nguis kukunya yang berwarna peach.
“Okey,
bye,” cepat-cepat Syafinaz memasukkan telefon bimbitnya ke dalam beg
tangan usai talian dimatikan. Segera dia mencapai high heels empat inci
berwarna hitam seraya mengunci pintu. Sementara menunggu Aiman, dia duduk di
kerusi yang diletakkan berhadapan ruang letak kereta. Lima minit kemudian,
kereta Aiman muncul.
“Sorry
lambat sikit sayang,” Aiman memeluk bahu Syafinaz lantas dikucup kedua-dua pipi
gadis itu. Wajah Syafinaz sedikit mendung, mungkin marah dengan kelewatannya
tadi.
“Tunggu wife
dengan anak-anak abang. Dia orang pun nak keluar jugak malam ni.”
“Kita nak
makan kat mana ni?” Syafinaz malas mengambil tahu perihal keluarga Aiman.
Terasa sakit hatinya menyedari hakikat bahawa lelaki yang dia sayangi itu milik
wanita lain. Bapa kepada dua orang anak.
“Kita makan
kat tempat selalu nak? Abang teringin nak makan waktu malam ni. Selalu kita
pergi siang je kan,” Aiman tersenyum lagi sambil menggenggam erat tangan gadis
itu.
Dia gembira
dapat berjumpa Syafinaz. Terasa hilang letihnya dengan tekanan kerja di pejabat
siang hari tadi. Terasa hilang bosannya melayan kerenah anak-anaknya yang
selalu membingitkan telinga. Seakan-akan dia lupa tentang status dirinya saat
berjumpa dengan Syafinaz.
Gadis itu
cantik, bijak, pandai melayan dirinya dan selalu memanjakan dirinya. Dua hari
tidak berjumpa gadis itu, boleh buat dia jadi gila bayang.
Kereta Aiman
diparkir pada tempat letak kereta di hadapan Restoran Wardah Seafood itu.
Cepat-cepat dia membuka pintu dan berjalan menuju ke meja bersama Syafinaz.
Sesekali Aiman melirik matanya pada pandangan pekerja-pekerja restoran itu yang
dari tadi memerhatikan Syafinaz. Dia tersenyum bangga dalam hati. Tahu mereka
semuanya terpegun dengan kecantikan Syafinaz. Tambah-tambah lagi Syafinaz
mengenakan dress singkat separas paha, menampakkan susuk badannya yang
gebu. Tiada lelaki yang tidak menoleh saat Syafinaz berlalu.
Aiman
tersenyum gembira melihat makanan yang terhidang di depan matanya setelah
menunggu pesanan mereka. Mereka sama-sama menikmati makanan di restoran itu.
Sesekali dia menyuap sesudu nasi ke mulut Syafinaz. Senang hatinya melihat
senyuman di bibir gadis itu. Dia tahu panas di hati Syafinaz sudah pun reda.
“Papa!”
Teriakan dari
suara milik kanak-kanak itu menyebabkan Aiman dan Syafinaz menoleh serentak.
Wajah Aiman tiba-tiba pucat. Selera makannya terus mati saat matanya tertancap
pada kanak-kanak di hadapannya itu.
“Papa buat apa
kat sini?”
Kanak-kanak
dalam lingkungan umur tiga tahun itu menarik hujung baju Aiman. Aiman tersenyum
kelat mengusap lembut dahi anaknya itu. Peluh sejuk mula merembes keluar di
dahinya. Tangannya juga sejuk.
“Jomlah makan
dengan mama.”
Kanak-kanak
itu menarik hujung baju Aiman sedikit kuat. Menggesa papanya itu, menoleh ke
arah meja di belakang mereka.
Aiman tambah
pucat. Terpaku melihat wajah merah padam Lidya yang sedang menggendong bayi
mereka di samping kawan baiknya, Syima. Terasa darahnya menyirap ke kepala.
Mati! Getus
hati Aiman.
Isterinya bingkas
bangun merapati meja mereka lantas merentap tangan anak kecil yang berpaut pada
lengan Aiman. Tindakannya yang sedikit kasar, menyebabkan anaknya berteriak
kuat. Dia menampar Aiman sekuat-kuat hatinya. Dia sudah tidak peduli pada semua
mata yang memandang mereka pada ketika itu. Hatinya belum puas, dia mencapai
segelas jus oren lantas dituang ke kepala Syafinaz.
“Hei, apa ni!”
Syafinaz bingkas bangun mengibas-ngibas air yang tumpah di bajunya. Rambutnya
yang dibasahi air dilap menggunakan tisu. Dia mula panas hati diperlakukan
sebegitu. Dia ingin menampar perempuan di hadapannya itu tapi segera ditahan
Aiman.
“Business
meeting ya? Business meeting dengan GRO mana ni!” Lidya menjegilkan
matanya. Terasa ingin ditelan Aiman saat itu.
“Kau dah tak
ada lelaki lain ke!” Lidya memekik. Jarinya dituding ke muka Syafinaz.
Cepat-cepat
Syafinaz menepis. Tindakan Syafinaz itu membuatkan api kemarahannya semakin
meledak. Dia mencapai hujung rambut Syafinaz lantas menariknya sekuat hati.
Mereka berdua mula bercakaran. Kuku tajam Syafinaz sempat menggores
pipinya.
Jeritan mereka
berdua mula kedengaran ke seluruh ruang restoran. Mereka sudah sama sekali
tidak peduli pada mata yang memandang malah, ada juga pelanggan yang bertindak
mengeluarkan telefon bimbit dan merakam ‘drama’ percuma di hadapan mata mereka.
Anak-anak Aiman pula sudah mula berteriak menyaksikan apa yang terjadi di
hadapan mereka.
“Sudah Dya,
sudah.” Syima yang dari tadi mendiamkan
diri sambil menggendong bayi Lidya mula cemas. Dia ingin meleraikan
pertengkaran itu tapi terhalang dengan bayi yang dipegangnya. Cepat-cepat dia
memandang ke arah Aiman, memohon lelaki itu segera membantu.
“Stop it.
Stop!” Aiman mencengkam lengan Syafinaz kuat menghalang gadis itu dari
terus-terusan menyerang Lidya. Isterinya itu juga sudah didakap erat menghalang
dia membalas serangan Syafinaz.
“Please go
home. Just go,” suara Aiman mendatar mengharap gadis itu memahami
situasinya kini. Dia mengusap kepala Lidya, menenangkan isterinya yang masih
terus-terusan meraung. Dia ingin sekali memaut lengan Syafinaz, menenangkan
gadis itu juga tapi, ahhh... dia serba salah!
AIMAN menutup pintu dengan kasar.
Dadanya terasa sebal ketika itu. Dia serabut dengan permasalahan yang
diciptanya sendiri.
“Kenapa Dya
buat macam ni?” Aiman tercegat di sisi isterinya yang sedang duduk kaku
menghadap meja solek. Isterinya itu membelek luka cakaran Syafinaz di wajahnya.
Air matanya masih belum surut.
“Kenapa?
Kenapa Dya buat macam ni? Patutnya Dya yang tanya abang soalan tu!” Lidya
bersuara lantang. Hatinya mula panas kembali. Bengang dengan soalan Aiman. Dia
langsung tidak memandang wajah Aiman yang tercegat membelakanginya.
“Perlu ke Dya
serang Syafinaz sampai macam tu sekali? Abang malu orang ramai semua tengok
kita tadi,” Aiman mengeluh kasar. Matanya masih memandang isterinya yang kaku
dari tadi.
“Ooooo...
Syafinaz ya nama perempuan murahan tu? Kat kelab malam mana abang kutip dia?”
Lidya menjeling tajam. Jelik mendengar nama perempuan penggoda suami orang
meniti di bibir Aiman.
“Abang malu
dengan orang ramai? Habis dengan Dya, dengan anak-anak, abang tak malu? Abang,
Allah tu nak tunjuk bang siapa suami Dya ni, siapa ayah anak-anak kita selama
ni. Sebab tulah, tergerak kita orang nak pergi makan kat situ. Kita orang tak
tahu pun abang nak makan kat situ. Orang kalau buat jahat ni, lama-lama akan
terbongkar jugak abang,” Lidya tersenyum sinis.
Kalau
diikutkan rancangan asal, dia dan Syima ingin membawa anak-anak makan di Coco
Restaurant. Malangnya restoran itu ditutup untuk kegunaan pengantin baru yang
menyewa seluruh ruang makan untuk majlis persandingan. Akur dengan cadangan
Syima, mereka setuju untuk pergi ke Wardah Seafood dan akhirnya bertemu dengan
Aiman bersama buah hatinya.
Mujur selepas
insiden itu, Syima menawarkan diri menjaga anak-anaknya, memberi ruang Lidya
dan Aiman berbincang sedalam-dalamnya tentang masalah yang timbul saat ini.
“Abang cakap
tadi ada business meeting dengan Dato’ kan? Tak tahu pulak Dya, Dato’ tu
pakai dress,” Lidya tersenyum
sumbing lagi. Sakit hatinya ditipu. Entah sudah berapa lama dia ditipu Aiman,
dia sendiri tidak tahu.
“Selama ni,
Dya percaya pada abang. Dya korbankan career Dya. Dya sanggup berhenti
kerja, duduk rumah jaga anak. Dya tumpukan seluruh hidup Dya untuk abang dan
anak-anak, tapi ini yang Dya dapat? Ini yang abang balas?” Lidya bangun
perlahan-lahan, menyingkap tirai langsir di biliknya.
“Apa lagi yang
tak cukup? Apa lagi yang kurang? Apa lebihnya perempuan tu?” Lidya menuding
jari, menanti Aiman membalas kata-katanya. Perit sungguh luka hatinya digores
perbuatan Aiman.
Aiman duduk di
sofa yang terletak di penjuru biliknya. Dia meraup wajahnya entah yang ke
berapa kali. Lidahnya terlalu sukar membidas kata-kata Lidya.
“Dya tahu tak
Dya selalu abaikan abang? Terlalu asyik dengan anak-anak sampai layanan pada
abang macam hendak tak hendak?”
Aiman meraup
mukanya. Takut untuk memandang wajah Lidya tapi kenyataan itu harus didedahkan.
Dia tidak mahu terus-menerus menyimpannya lagi. Kesalahan ini bukan terletak di
bahunya seorang.
“Abang sedar
tak kita dah ada anak dua orang? Dua-dua tu masih kecil, masih perlukan
perhatian dari Dya!” suara Lidya mula meninggi. Terasa malu dihina sebegitu.
Betul, dia kurang menjaga penampilan dirinya, tapi tidaklah seteruk yang Aiman
gambarkan.
“Memang, abang
tahu tu tapi tak kanlah sampai diri Dya sendiri tak terjaga? Dya langsung tak
jaga penampilan Dya. Sudahlah abang pun
Dya tak hiraukan, diri Dya sendiri pun tak terjaga.” Aiman merenung anak mata
Lidya. Dada wanita itu kelihatan berombak, nafasnya juga kencang. Air mata
Lidya dari tadi tidak henti-henti.
Lidya membuang
pandang pada cermin di hadapannya. Memandang pada wajahnya, pada pakaiannya,
pada susuk badannya. Dia tiba-tiba tersedar kebenaran kata-kata Aiman. Wajahnya
kusam, dipenuhi jeragat. Dia langsung tiada masa menilik mukanya sendiri
sehinggalah pada malam ini. Dia meraup wajahnya, menyapu air mata yang
membasahi pipi.
Anak-anak yang
sedang membesar sentiasa memerlukan perhatiannya. Sekejap along meminta
dibuatkan susu, sekejap adik pula meminta didukung. Awal-awal pagi lagi dia
sudah sibuk di dapur menyediakan sarapan pagi sebelum Aiman ke tempat kerja.
Sesudah itu,
kain baju kotor pula dibasuh, disidai, rumah perlu disapu dan dibersihkan.
Tugasnya bertambah rumit apabila salah seorang anaknya itu jatuh sakit,
perhatian yang lebih harus diberikan. Rutin itulah yang diulang-ulangnya setiap
hari sehinggakan dia tiada masa untuk memanjakan dirinya sendiri apatah lagi
membelai Aiman. Dia betul-betul letih saat anak-anak dibuai mimpi. Dia tahu,
dia sedar hakikat itu. Dia memang akui, kurang menumpukan perhatian pada Aiman.
Terbayang-bayang
di ruang matanya kelibat wanita yang ditemui bersama Aiman tadi. Syafinaz. Ya,
gadis itu memang mempersonakan. Tiada lelaki yang tak kan terpikat dengan
kecantikannya. Jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan dirinya. Tiba-tiba
datang perasaan rendah diri dalam hatinya.
“Kalau betul
Dya dah tak menarik lagi, kenapa hukum Dya macam ni? Tak boleh ke abang bagi
peluang untuk Dya betulkan keadaan? Kenapa bila Dya serabai, selekeh, abang
cari perempuan lain? Kenapa abang tak tegur Dya, sedarkan Dya supaya berubah?
Kenapa tak bagi Dya peluang, bang? Kenapa mesti curang pada Dya!”
Lidya separuh
menjerit. Dia menumbuk-numbuk dadanya berulang kali, seolah-olah menghukum diri
sendiri atas kelemahannya sehingga dia terjelepok ke lantai. Dia membongkokkan
badannya, memeluk lututnya sambil menangis lagi teresak-esak.
“Kalaulah
suatu hari nanti, abang diberhentikan kerja, abang susah, abang bukan apa yang
abang jadi sekarang ni, tiba-tiba waktu tu hati Dya berubah. Pergi pada lelaki
yang lebih bagus dari abang. Apa abang akan rasa?” Lidya merenung wajah Aiman
yang kaku dari tadi. Air matanya disapu lagi, entah untuk yang ke berapa kali.
“Apa abang
rasa!” Lidya separuh menjerit. Geram melihat Aiman yang membisu.
“Kalau
kekurangan Dya ni abang jadikan alasan untuk abang cari perempuan lain, satu
hari nanti bila akhirnya ada kekurangan dalam diri abang, mesti abang tak kisah
kalau Dya cari lelaki lain kan? Abang jangan ingat abang sorang je yang boleh
buat macam ni. You would never know, how bad I could be,” Dya tersenyum.
Herot bibirnya jelas menunjukkan dia menyindir Aiman. Dia masih duduk sayu di
sudut bilik itu membiarkan air matanya terus tumpah.
Mata Aiman
mencerun tajam pada Lidya. Terasa kebenarannya dengan kata-kata itu. Selama ini
dia langsung tidak pernah terfikir kemungkinan Lidya pula yang akan curang
terhadap dirinya. Tiba-tiba dia terasa takut. Takut kehilangan seorang isteri
yang baik. Kehilangan ibu yang baik untuk anak-anaknya.
Timbul rasa
simpati melihat Lidya yang dari tadi menangis tidak henti-henti. Dia tahu dia
telah melukakan hati Lidya. Dia bingkas
bangun, berjalan menghampiri tubuh Lidya. Dia memaut bahu Lidya perlahan,
memaksa dengan lembut kepala isterinya supaya bersandar di dadanya.
“Lepaskan
Dya,” Lidya bersuara perlahan-lahan. Dia
cuba meronta dari pelukan Aiman. Semakin dia meronta, semakin kuat Aiman
memeluknya.
“No. Please
don’t,” Aiman memeluk bahu Lidya semakin kuat. Takut Lidya betul-betul
mengotakan kata-katanya.
“Abang minta
maaf, Dya. Abang minta maaf sebab lukakan hati Dya.” Aiman memegang dagu Lidya,
merenung dalam anak mata Lidya yang sembap itu. Berkali-kali dia menyapu air
mata Lidya yang tumpah.
Lidya masih
kaku. Dia langsung tidak memberi sebarang respons atas perbuatan Aiman.
Perlahan-lahan Aiman menggamit tangan Lidya membawanya dekat ke bibir lantas
dikucup belakang tapak tangan Lidya berkali-kali.
“Jangan
tinggalkan abang dan anak-anak. I’m really sorry,” Aiman memandang lagi ke anak mata Lidya.
Cepat-cepat memeluk Lidya semula.
Lidya terkedu.
Hatinya mula terusik. Marahnya mula sejuk. Fikirannya mula terbayang-bayang
wajah anak-anaknya. Kemudian muncul pula
Aiman sedang menggamit Syafinaz sambil mentertawakannya. Dia sakit hati. Dia
menarik nafas sedalam-dalamnya membalas pelukan Aiman seerat-eratnya.
“Abang tinggalkan
perempuan tu.” Lidya menyembamkan wajahnya ke bahu Aiman. Pelukannya jadi
semakin erat.
Aiman terkedu.
SYAFINAZ meletakkan sudu dan garpu di tangan
ke pinggannya. Dia memandang pada pintu apartmennya, mendengar sekali
lagi bunyi ketukan pintu. Sedikit marah kerana bunyi ketukan itu membantutkan
seleranya. Lambat-lambat dia memulas tombol pintu. Sebaik pintu dibuka, dia
sedikit terkejut.
“Tinggalkan
Aiman.”
Syafinaz
mengerutkan keningnya. Oh, ni bini
Aiman, getus hatinya. Dia hampir lupa akan wajah isteri Aiman yang pertama kali
dilihatnya sewaktu mereka ‘beraksi’ di restoran dua malam yang lepas.
“Okey,” balas
Syafinaz ringkas. Tangannya mencapai daun pintu ingin menutupnya tapi dihalang
dengan tangan Lidya.
“Okey? Macam
tu je? Kau ingat aku nak percaya?”
“Habis tu kau
nak suruh aku buat apa lagi? Melutut depan kau minta maaf? Hei, bukan aku yang
terkejar-kejarkan Aiman tu. Dia yang tergila-gilakan aku. Kau suruhlah laki kau
tu tinggalkan aku!”
Syafinaz bengang
dengan tindakan Lidya yang terus menyerang. Dia membatalkan hasratnya untuk
menutup pintu. Perempuan di hadapannya itu belum kenal lagi siapa dirinya.
“Kau ni
cantik, bergaya, seksi, tapi bodoh. Laki orang jugak kau nak kebas.”
Lidya
memandang susuk tubuh Syafinaz dari atas ke bawah berulang kali. Gadis itu
memakai singlet berwarna hitam, menampakkan dadanya yang montok, sendat
seolah-olah ingin terkeluar segala isinya. Dia memakai seluar pendek separas
paha, menampakkan kulitnya yang putih melepak. Dengan gayanya, sesiapa yang
memandangnya dari belakang, orang tak kan tahu dia sebenarnya adalah seorang
wanita yang beragama Islam.
“Laki kau tu
yang bodoh. Pantang tengok perempuan cantik macam aku tapi memang patutlah.
Tengok kau ni, aku pun tak selera,” Syafinaz tersenyum sinis.
Isteri Aiman
itu ditenung dari atas ke bawah mengulangi pula perbuatan Lidya yang dari tadi
melihatnya dari atas ke bawah. Dia tahu isteri Aiman itu agak kolot orangnya.
Aiman selalu mengadu perihal isterinya itu kepada dia. Segala-gala tentang
Lidya, ada dalam koceknya. Sekarang Lidya sudah terpacak di hadapannya dan
Lidya betul-betul seperti yang digambarkan Aiman selama ini. Langsung tiada
daya tarikan. Tidak sepadan dengan Aiman yang kacak bergaya, di samping
jawatannya yang kukuh di dalam syarikat.
“Kurang ajar
mulut kau kan!”
Lidya mula
panas hati. Dia menolak tubuh Syafinaz, mendorong gadis itu masuk ke dalam
rumah. Syafinaz terkial-kial menepis tangan Lidya yang menolak bahunya. Mata
Lidya meliar ke segenap rumah sehinggalah matanya terhenti pada potret Aiman
bersama Syafinaz yang terletak di meja sisi sofa. Hatinya kembali panas,
darahnya kembali menyirap ke kepala.
“Buruk-buruk
aku pun, taklah semurah kau! Ni, laki siapa ni? Hodoh-hodoh aku pun, aku tak
ambik laki orang lain! Hodoh-hodoh aku, aku tak jual badan aku pada lelaki!”
Lidya menjerit ke arah Syafinaz.
“Kau dah habis
cakap? Kalau dah, sila keluar. Aku tak pernah jemput perempuan meroyan macam
kau ni masuk rumah aku. Pergi kepit laki kau kat rumah sana. Pesan kat dia,
jangan gatal-gatal cari aku lagi.”
“Meroyan kau
cakap aku? Ni meroyan kau!”
Lidya bengang.
Mulut Syafinaz semakin lancang. Lidya
mengibas bingkai gambar Aiman dan Syafinaz yang dipegangnya ke wajah Syafinaz.
Syafinaz yang
terkejut dengan tindakan Lidya tergamam. Dia lambat bertindak balas dan nyata
libasan Lidya tadi mengena di dahinya. Syafinaz meraba-raba dahinya. Terasa
cairan hangat mula mengalir, merentasi keningnya. Dia menyapu dan melihat darah
di tapak tangannya. Hatinya mula panas. Dia marah Lidya bertindak
sewenang-wenangnya.
Segera dia
merapati Lidya yang dari tadi tercegat memerhatikannya. Dia mencengkam tudung
yang dipakai Lidya. Berulang kali dia cuba menampar Lidya.
Lidya sedaya
upaya cuba mengelak, menghalang Syafinaz dari terus-menerus menyerangnya. Kuku
Syafinaz yang panjang dan tajam terasa menikam-nikam wajahnya. Sesekali dia
menjerit minta dilepaskan. Sempat lagi tangannya menggapai hujung rambut
Syafinaz dan menariknya sekuat hati. Kedua-duanya saling menjerit sehinggakan
langsung tidak menyedari mereka berdua sudah pun bergumpal di atas sofa.
“Sudah!
Sudah!”
Terasa dua
tangan tegap memeluk pinggang Lidya. Tudungnya sudah terbang entah ke mana.
Sedar-sedar Aiman sudah memeluk dirinya, menjarakkan dirinya dari terus bergumpal
dengan Syafinaz.
Syafinaz pula
sudah terjelepok jatuh di sisi sofa ditolak Aiman dari terus menyerang Lidya.
Tiba-tiba dia terasa hiba. Sayu hatinya lelaki yang disayanginya selama ini,
mencampak dirinya ke tepi dan mengutamakan wanita lain, di depan matanya
sendiri.
Aiman cemas.
Dia memeluk Lidya yang dari tadi masih meraung. Tangisan Lidya yang menggila
tenggelam dalam pelukannya. Dia memandang ke arah Syafinaz. Sedikit terkaku
melihat wanita kesayangannya itu bermandi dengan darah dari luka di dahinya.
Apakan daya, saat itu, dia harus lebih mengutamakan Lidya.
Gerak hatinya
tadi betul tentang tindakan Lidya yang meminta izin dengannya untuk keluar
rumah membeli barang-barang dapur. Selama perkahwinan mereka, Lidya jarang
hendak membeli barang dapur bersendirian, selalunya mereka akan keluar
membeli-belah bersama-sama. Malam tadi sewaktu Lidya mengajukan soalan tentang
hubungannya dengan Syafinaz, dia tahu Lidya marah dengan jawapan acuh tak
acuhnya. Penuh hati-hati dia mengikuti pergerakan kereta Lidya dari belakang.
“Ni, lelaki
yang kau suka ni, akhirnya balik ke tangan aku jugaklah. Apa yang kau dapat?
Cantik tapi bodoh pun tak guna! Bohsia!” Lidya menunjal kepala Syafinaz,
memaksa badannya terdorong ke belakang.
Syafinaz masih
kaku di situ, membiarkan air matanya terus mengalir. Rambutnya yang kusut masai
dibiarkan. Dia hanya kaku melihat Aiman memimpin isterinya, berjalan keluar
dari rumahnya.
Syafinaz masih
menangis. Perlahan-lahan dia bangun, merapati sebuah cermin besar yang
tergantung di ruang tamu rumahnya. Dia menatap wajahnya. Bibirnya pecah,
dahinya luka. Rambutnya kusut menggerbang.
“Arghhhh!”
Syafinaz menumbuk cermin di hadapannya. Dia ternyata tewas dalam satu lagi
episod percintaannya.
Lelaki! Tak
guna! Syamsul...Aiman...sama saja!
No comments:
Post a Comment