Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Tuesday, 4 October 2016

SKDC - Bab 11

“MAK CIK, bangun.” 
Sayup-sayup Thia mendengar satu suara menerjah ke  telinganya. Dia membiarkan suara itu, dia enggan membuka matanya.  Dia betul-betul letih ketika itu.
Poonnnnnnnn!
Thia melompat. Dia cuba berdiri tetapi tindakannya itu menyebabkan badannya kembali terhenyak ke kerusi apabila kepalanya terhantuk ke bumbung kereta. Matanya terbuka luas. Dia memerhati sekeliling. Cuba mengerti apa sebenarnya yang terjadi. Tangannya menggosok kepala yang berdenyut berulang kali.
Thia menoleh ke kiri saat mendengar pintu kereta ditutup. Dari cermin tingkap yang tertutup itu, dia dapat melihat susuk tubuh seseorang yang sedang ketawa. Sesekali susuk tubuh itu menudingkan jari ke arahnya.
Nazhan!
Nazhan mengesat air matanya yang keluar. Ketawanya masih bersisa. Ternyata gadis itu lupa yang dia sedang berada di dalam kereta. Dia melihat telefon bimbitnya. Permainan Horn A Sound yang terdapat di dalam telefon bimbitnya dimatikan. 
Selalunya permainan itulah yang digunakan setiap kali ingin menyakat mak cik-mak ciknya di kampung terutamanya ketika masing-masing sibuk bergotong-royong memasak setiap kali menyambut hari raya Aidilfitri di rumah Tok Wannya. Mengekek dia ketawa melihat mak cik-mak ciknya melatah dengan pelbagai aksi selepas terkejut dengan bunyi hon yang sangat kuat itu. 
Kali ini, Thia pula menjadi mangsa. Sudah lebih lima kali dia cuba mengejutkan Thia namun gadis itu cuma beralih badan tapi tidak membuka matanya. Geram melihat Thia yang seolah-olah pekak, dia membuka permainan dalam telefon bimbitnya dan ditala tepat-tepat ke telinga Thia. Pantas dia keluar dari kereta saat melihat Thia yang terkejut.
“Seronok kenakan aku?”
Thia bengang dengan tindakan Nazhan. Kepalanya juga tiba-tiba sebal. Sudahlah penat menguruskan majlis perkahwinannya masih belum hilang, lenanya pula diganggu dengan lawak bangang Nazhan. Kepalanya yang terhantuk kuat bertambah berdenyut-denyut. Badannya terasa sedikit hangat. Ahh... janganlah demam pulak!
“Habis aku kejut kau tak nak bangun. Dekat sepuluh kali kut aku kejut kau. Tidur mati.” Nazhan membebel di sisi Thia yang tercegat. Suka pulak dia berbalah dengan Thia yang seolah-olah macam kawannya ini. 
Thia bengang. Terus saja dia mengangkat beg pakaiannya dan berlalu pergi.
“Tak apa, biar aku bawakan.”
Nazhan merampas beg dari genggaman Thia perlahan dan terus melangkah masuk ke dalam rumah. Thia yang keletihan tidak membantah, membiarkan tindakan Nazhan dan mengikut langkah Nazhan. Mata Thia meliar ke segenap rumah.
Cantiknya!
Berkali-kali ayat itu bergema di dalam hati saat kakinya melangkah masuk ke rumah itu. Rumah itu memang terlalu cantik. Perhiasannya, perabotnya, lampu-lampunya, pendek kata semua perincian di dalam rumah itu begitu memukau. Padanlah dengan status yang disandang oleh ibu dan ayah Nazhan.
Terasa dirinya terlalu kerdil di dalam rumah itu. Dia pantas mengekori Nazhan yang sudah pun meniti tangga untuk ke tingkat atas. Sempat dia meninjau-ninjau sekeliling rumah memerhati kelibat ibu dan bapa mentuanya. Barangkali sudah masuk ke dalam bilik, merehatkan badan. 
Sebaik kaki Thia mencecah ke tingkat atas rumah itu, matanya tertancap pada sebuah tv leper bersaiz 40 inci yang melekat di dinding. Di lantai, tersusun empat biji bantal gebu di atas hamparan permaidani tebal berwarna kelabu.
Thia mengagak mungkin ruangan ini dijadikan tempat bersantai Nazhan bersama ahli keluarganya yang lain di waktu senggang. Menghabiskan masa menonton drama atau mungkin bermain game. Di satu sudut lain, tergantung bingkai-bingkai gambar yang menarik perhatian Thia. Dihampiri sudut itu, meninggalkan Nazhan yang sudah pun hilang menyusup ke dalam bilik.
Matanya memerhati pada setiap gambar yang bergantungan. Gambar Nazhan, ibu, ayah dan mungkin adiknya. Thia tersenyum. Gembira melihat gambar-gambar itu yang tampak ceria. Matanya tiba-tiba terpaku pada sekeping gambar.
Pada gambar itu, kelihatan Nazhan sedang merangkul mesra seorang gadis. Dia melarikan pandangan ke bingkai-bingkai gambar yang lain, memerhati jika gambar gadis itu ada pada gambar yang lain pula. Tiada. 
Siapa pulak yang Naz peluk ni? Bukan main mesra lagi. Kenapa dalam banyak-banyak gambar, aku mesti nak tengok gambar yang ni? Kalau tak tengok tadi kan bagus, tak payah nak fikir siapa dia ni. Eh, lantak dia la kan? Yang aku nak pening-pening kepala ni kenapa pulak? Tapi dia suami aku. Isteri gila mana yang  tak terasa sesuatu bila tengok suami sendiri peluk perempuan lain macam ni? Ahhh...bencinya! Thia membebel di dalam hati. 
Gambar itu ditenung lagi. Lama dia memerhati setiap inci gambar itu. Melihat senyuman Nazhan yang begitu lebar saat itu yang menggambarkan betapa bahagianya dia di samping gadis itu. Gadis itu cantik, rambutnya ikal mayang panjang melepasi bahu, senyumannya manis, kulitnya putih cerah. Entah kenapa, dia benci melihat gambar itu.
Gila! Aku dah gila agaknya!
Nazhan yang dari tadi mengintai dari celah pintu biliknya, cepat-cepat berlari dan melompat ke atas katilnya sebaik menyedari Thia sedang membuka langkah ingin masuk ke biliknya. Dia menyembamkan wajahnya ke bantal dan pura-pura tidur. Sebaik masuk ke bilik tadi, dia melihat Thia sudah tercegat di sudut gambar-gambar yang digantung pada dinding. 
Sejak tadi juga dia khusyuk memerhatikan tingkah Thia. Dia tahu Thia lama menatap sekeping gambar dan dia tahu itu adalah gambarnya yang sedang merangkul leher Jasmin. Gambar itu diambil oleh kawannya sewaktu mereka sama-sama bercuti di Pulau Langkawi dua tahun lepas. Lama dia memerhatikan reaksi Thia yang nyata begitu berminat dengan gambar itu. 
Thia mendengus lemah. Menjeling sejenak pada tubuh Nazhan yang sudah pun terbaring di atas katilnya. Melintang.  Betul-betul di tengah-tengah katil. Menyembamkan wajahnya pada bantal.
Kalau kau tidur menegak sekali pun, tak ingin aku nak tidur sebelah kau tahu.
Thia menjeling lagi. Memerhati pada segenap bilik itu.  Untuk lelaki bujang seperti Nazhan, dia kagum bilik itu boleh jadi sekemas ini. Setiap satunya tersusun rapi. 
Dia berjalan menuju ke almari hiasan yang menempatkan pelbagai model kereta mini. Diperhatikan satu persatu. Semuanya tersusun kemas dalam satu barisan dan nampak berkilat. Ditambah dengan limpahan cahaya lampu di dalam almari itu. Dia memandang pula pada koleksi patung-patung kecil watak dari filem Star Wars. Ada yang dikenalinya dan ada yang nampak janggal di matanya. Dia menghampiri pula rak buku bersebelahan almari itu. Tersusun pelbagai deretan buku-buku dengan pelbagai tajuk. Dicapainya sebuah buku, diselak-selak tanpa tujuan dan kemudian diletakkan semula  seperti susunan asal.
Thia menghampiri pula meja solek kepunyaan Nazhan. Ditanggalkan tudung dari kepalanya. Dia mengibas-ngibaskan rambutnya dengan jari. Dicapai sikat lalu disikatnya serapi yang boleh. Matanya terpandang pula pada botol-botol minyak wangi yang tersusun rapi. Satu-satu dicapainya, dibuka penutupnya dan disuakan ke hidung. Thia memerhati pula pada sebaris deodorant pelbagai jenama. Seperti tadi, dia mengulangi perbuatan yang sama.  Menghidunya satu persatu. 
Prranggg!
Thia terpegun. Senggolan jarinya menyebabkan satu botol minyak wangi terhempas ke lantai. Berderai. Thia menutup mulutnya. Terkejut melihat botol minyak wangi itu sudah pun berkecai, bertaburan di atas lantai. 
“Kau buat apa?” kuat suara Nazhan menengking Thia yang terpinga-pinga. Dia yang pura-pura dan akhirnya hampir terlelap betul tadi terjaga  saat mendengar bunyi kaca terhempas. Segera dia bingkas dari katil dan menuju ke arah Thia.
Sorry, aku tak sengaja,” Thia menunduk seraya mengutip serpihan botol kaca yang bersepah di lantai.
“Aduh!”
Thia lantas mengulum jarinya. Entah di mana silapnya, jarinya terhiris pada serpihan botol kaca yang pecah. Sesekali dia memerhatikan luka di jarinya, kemudian mengulumnya kembali. Lukanya agak dalam. Darah juga tidak henti-henti mengalir.
“Aku tak sukalah kau usik barang aku.” Nazhan yang duduk di sisi Thia mencapai tangan gadis itu. Dia memerhatikan luka di tangan isterinya lantas mencapai sekotak tisu. 
“Tekap jari kau ni macam ni,” Nazhan mengarah.  Wajahnya masam. Dia bingkas bangun meninggalkan Thia yang terpinga-pinga. 
Thia ditimpa rasa bersalah yang amat sangat. Dia memerhatikan botol minyak wangi yang sudah pun berderai di lantai.
Dua minit kemudian, Nazhan masuk semula ke dalam bilik dengan sekotak first aid. Dia membuka kotak itu lalu mencapai cecair berwarna kuning dan sekeping handyplast. 
“Auww...pedih!” Thia ingin menarik jarinya tetapi genggaman Nazhan ternyata begitu kuat. Lelaki itu menanggalkan tekapan tisu di jarinya dan digantikan dengan sekeping handyplast
Saat itu, susuk Nazhan diperhatikan sepuas-puasnya. Pada helaian rambut di dahinya yang terjuntai jatuh, pada otot di lengannya yang sasa, pada bauan wangi yang melekat di pakaian lelaki itu, pada kumis nipis di bibirnya, pada helaian bulu matanya yang melentik. Semuanya jelas pada jarak sedekat itu. Lelaki itu ternyata jauh berbeza dari tanggapannya sebelum ini. Melihat keprihatinan Nazhan terhadap dirinya ketika ini, dada Thia berdebar-debar.
Aku ni dah jatuh cinta pada pak cik ni ke? Ah...sudah!
“Lain kali jangan usik barang-barang aku. Tu yang kau pecahkan tu, yang paling aku sayang.”
Nazhan bingkas bangun meletakkan kembali bakul sampah ke tempat asalnya. Kotak first aid pula diletakkan di bawah katilnya. 
Sorry. Nanti aku ada duit, aku belikan yang baru.”
Thia menundukkan wajah. Kesal dengan apa yang terjadi. Kalaulah dari tadi tangannya reti duduk diam, pasti tiada barang-barang kepunyaan Nazhan yang terhempas ke lantai.
“Tak sama. Kau belikan aku 100 botol yang sama macam tu pun tetap tak kan sama. Yang itu, orang yang aku paling sayang yang bagi.” Nazhan mengutip cebisan kaca yang bertaburan satu persatu. 
Orang yang paling kau sayang? Jangan-jangan perempuan yang kau peluk sakan tu kan? 100 botol konon.  100 botol tu bukan buat sembur badan tahu tak, buat mandi pun bolehlah pak cik! Thia membebel dalam hati. Terasa bengang mendengar ayat yang keluar dari mulut Nazhan.
“Kau usik aku punya perfume ni semua kenapa mak cik? Tangan kau tak boleh duduk diam ke? Dah usik tu lain kali letak balik kat tempat asal dia. Ni, yang ni bukan kat sini tempat dia. Yang ni, yang pendek ni letak depan sekali, yang tinggi kat belakang. Semua ni kenalah ikut turutan. Bukan lintang-pukang macam ni.
Ni, buku ni, lain kali kau dah ambil, kau letak balik kat tempat dia tegak-tegak dalam aturan dia. Bukan terkeluar-keluar macam ni. Aku ni tak boleh tahu tengok benda-benda tak tersusun macam ni. Serabut mata aku ni,” Nazhan terus membebel.
Thia terkebil-kebil. Terasa dirinya seperti anak-anak kecil yang dimarahi ibu selepas menyelerakkan rumah dengan permainan. Dia sama sekali tidak menyangka Nazhan seteliti itu. 
Perlahan-lahan dia mengundur. Merapati begnya, membuka dan mencapai tuala mandinya. Penuh hati-hati dia melangkah ke bilik air sambil memerhati Nazhan yang terus-terusan membebel sambil tangannya ligat menyusun atur barangan miliknya.
“Mak cik! Tu kau dah guna barang-barang dalam toilet tu jangan lupa susun balik elok-elok!” 
Thia tersengih. Dia menggelengkan kepalanya. Pening melayan kerenah Nazhan. Susun atur di bilik air itu juga sama seperti dalam bilik Nazhan pada kemasan dan aturannya. Saat matanya tertancap pada berus gigi milik Nazhan, Thia menepuk dahinya. Dia terlupa membawa berus gigi!

No comments: