Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday, 12 August 2016

SKDC - Bab 10

“TANGAN awak ni letak kat sini Naz, kat perut Thia ni.  Tangan Thia pulak tindih atas tangan awak macam ni. Alih sini sikit, biar nampak cincin masing-masing. Bagi nampak cincin tu dalam gambar. Thia, belakang badan tu sandar sikit kat dada Nazhan tu. Naz, senyum biar nampak gigi. Okey, sedia. Saya nak ambil gambar ni. One, two, three!
            Terpancar flash kamera ke muka Thia dan Nazhan. Thia menginjakkan badannya sebaik ternampak pancaran flash memanah matanya.
“Eh, kejap. Lagi sekali.”
Thia menyumpah dalam hati. Terasa canggung dipeluk begitu oleh Nazhan. Tangan Nazhan yang diletakkan di bawah tangannya terasa begitu sejuk. 
Mesti Nazhan terasa gugup dipaksa memeluk dirinya.  Sudahlah seluruh isi rumah itu melihat aksi mereka bergambar. Sesekali ternampak orang kampung yang tersengih-sengih melihat mereka berdua. Kalaulah muka Thia tidak disolek tebal hari ini, mungkin para tetamu menyedari wajahnya yang sudah merona merah. Dia betul-betul malu dirakam aksi sebegitu.
“Okey, sekarang ni awak pusing Thia. Naz peluk pinggang Thia ni. Tangan Thia ni letak kat dada Naz, kepala sengetkan sikit. Eh, lembutkan sikit leher ni Thia. Apa nak malu-malu, dah sah dah ha...” usik Kak Atie pula sambil tangannya diletakkan ke atas kepala Thia, melentokkannya ke dada Nazhan. 
“Naz senyum biar nampak gigi. Kuat sikit peluk pinggang Thia tu. Tak payah nak malu-malu sangat. Kalau malu, awak yang rugi malam ni.”
Berderai ketawa dari tetamu yang dari tadi memerhati mereka beraksi untuk dirakam gambar di atas pelamin. Kak Atie dan Abang Rosli tersengih. Seronok mereka dapat menyakat Thia dan Nazhan yang ternyata nampak kekok disuruh beraksi romantik.
“Kali ni kita nak suruh buat aksi super romantik pulak,”  Abang Rosli masih seperti tadi dengan senyum sumbingnya.
Thia terkebil-kebil, terasa ingin berlari ke dalam bilik. Dia sangkakan penyeksaan didera beraksi romantik bersama Nazhan selepas majlis berinai  malam tadi sudah pun berakhir.  Rupanya hari ini, lebih teruk dia didera. Malunya pada tetamu yang tak jemu memandang sudah tidak dapat digambarkan lagi.
“Muka kamu berdua ni rapatkan.” 
Nazhan dan Thia kaku.
“Eh, apa tercegat lagi? Cepatlah, saya nak ambil gambar ni. Rapatkan muka cepat. Temukan hidung Thia tu dengan hidung Nazhan. Mata tu pandang ke mata pasangan masing-masing. Mulut tu senyum,” arah Abang Rosli lagi.
Eeee... kenapalah abang photographer ni mengada-ada nak suruh buat aksi macam ni pulak. Pak cik depan aku ni jangan kata nak tengok mata, tengok telinganya pun aku tak rela.
Thia mengomel dalam hati. Nak tak nak dia menyuakan mukanya, dirapatkan sehingga hidungnya menyentuh ke hidung Nazhan. Dadanya berdegup kencang. Malu, segan, takut, gemuruh semuanya bercampur baur saat anak matanya bertentangan dengan anak mata Nazhan. 
Cantik mata pak cik ni. Coklat. Agaknya mata ni dah cairkan berapa ramai perempuanlah kan?
Thia berfikir dalam hati. Terasa segan bertentang mata dengan Nazhan seperti itu tapi apalah dayanya.
Tak kan nak lari terjun tingkap? Nanti orang tahulah aku kena kahwin paksa. Thia terus-terus mengomel. Cuba menyembunyikan rasa gugup dalam hatinya.
Saat hidung Thia mencecah hidungnya, Nazhan tersentak. Dadanya berdegup laju. Belum pernah seumur hidupnya, merapati seorang perempuan sebegini dekat. Dia dapat merasa hembusan nafas yang keluar dari hidung Thia.  Dia dapat melihat mata bundar milik Thia. Tangannya yang basah dengan peluh sejuk dari tadi menjadi bertambah dingin.
Perasaannya ketika itu sukar ditafsirkan. Melayang-layang entah ke mana.  Mata itu, wajah itu sekali lagi dirasakan seperti pernah dilihatnya sebelum ini tapi dia masih gagal mengingat di mana dan bila dia pernah melihatnya.
“Okey, dah sudahlah tu. Tak kanlah nak melekat macam tu sampai esok,” Kak Atie menepuk bahu Thia lembut.  Terdengar kekekan tawa daripada tetamu yang dari tadi masih setia menanti. Menunggu aksi dari pasangan pengantin itu.
“Pantang bagi chance, terus tak nak lepaskan. Sabarlah sikit kalau ya pun nak terkam.”
Berderai tawa Abang Rosli disambut dengan tawa dari tetamu. Jelas merona merah di wajah Nazhan. Entah berapa lama mereka berpaut hidung, dia sendiri tidak pasti. Sedar-sedar Thia sudah mengalihkan wajahnya dan bila dia menoleh, seluruh tetamu yang ada di situ sedang ketawa.  Dia berdoa semoga sesi ini berakhir dengan cepat. Tak sanggup dia dijadikan bahan ketawa oleh penduduk kampung.
Tepat pukul 6.00 petang, laman rumah Mak Mah sudah pun lengang. Orang-orang kampung yang bergotong-royong sejak semalam pun sudah lama menghilangkan diri. Barangkali semuanya sudah terbaring keletihan di rumah masing-masing. 
Thia yang sudah pun kemas berbaju kurung moden, menilik wajahnya di cermin. Dia menyarungkan cincin di jari manis kirinya. Terasa janggal. Disarung pula sebentuk lagi cincin ke jari manis kanannya. Juga terasa pelik. Kedua-dua cincin itu dibelek-belek. Satu cincin pertunangan dan satu lagi cincin pernikahannya.
Digapai pula seutas gelang emas dari dalam kotak, dikancingkan ke pergelangan tangannya. Hadiah dari ibu mentuanya. Terasa majlis pernikahan dan persandingannya seolah-olah di dalam mimpi. Tidak pernah langsung dia terfikir akan bergelar puan kepada seorang lelaki yang bergelar suami.  Dia tersenyum. Puas hati dengan penampilannya, dia mengorak langkah keluar dari biliknya perlahan-lahan.
“Sekarang kamu dah kahwin dengan Thia, segala tanggungjawab Mak Mah pada dia dah ada atas bahu kamu.” 
Sayup-sayup terdengar suara Mak Mah dari luar rumah. Entah mengapa Thia tiba-tiba terasa sayu. Hatinya sedikit terusik bila mengenangkan dia tidak lagi akan duduk di rumah ini seperti dulu. Rumah yang menyimpan terlalu banyak kenangan dalam hidupnya. Dia mengetap bibir, cuba menghalang air matanya dari keluar. Menarik nafasnya sedalam yang mungkin, lalu melangkah keluar menuju ke arah Nazhan dan kedua-dua ibu bapanya.
“Jangan risau kak, kami sekeluarga akan jaga dia jugak. Kalau Naz buat yang bukan-bukan pada Thia nanti, siaplah dia. Kami gerak balik dululah. Nanti ada masa kita jumpa lagi ya,”  Datin Marisa menepuk bahu Mak Mah lembut. Tangannya dihulur ingin bersalam.
Mak Mah hanya tersenyum hambar. Tangannya menyambut huluran salam Datin Marisa.  Nazhan yang dari tadi tercegat di sisi kedua-dua ibu bapanya, menghulurkan salam kepada Mak Mah. Dia kemudiannya berjalan seiring dengan Dato’ Harun dan Datin Marisa dan masuk ke dalam kereta. Dari dalam kereta, dia memerhati kelibat Thia yang baru saja melangkah keluar dari rumah dan berjalan menghampiri Mak Mah dan kakak iparnya, Syafinaz. 
“Thia minta maaf salah silap Thia selama ni. Halalkan makan minum Thia. Terima kasih sudi jaga Thia selama ni.”  Thia menunduk ingin mencium tangan Mak Mah. Air matanya tumpah jua. 
“Hmmm...” Mak Mah mendengus. Tangannya cepat-cepat ditarik dari pegangan Thia. Dia memandang ke arah lain, buat-buat tidak mendengar apa yang diperkatakan Thia.
“Aku pun nak minta maaf dengan kau.”
Thia menghulur salamnya ke arah Syafinaz. Kakak tirinya itu juga dingin seperti Mak Mah. Bersalam pun seperti hendak tak hendak. Thia menyeka air matanya. Dia lantas mengangkat beg. Berjalan menuju ke arah kereta bapa mentuanya yang dari tadi menunggu.
Nazhan yang dari tadi memerhati berasa hairan dengan sikap Mak Mah dan kakak iparnya terhadap Thia. Dia ingin sekali bertanya, tapi lidahnya kelu. Timbul rasa simpati bila melihat Mak Mah yang menarik tangan sewaktu Thia ingin menciumnya. Raut wajah Thia diperhatikannya. Wajah itu kian mendung. Tiada walau secalit senyuman pun terukir. Jauh berbeza dengan keadaannya sewaktu di atas pelamin tengah hari tadi.
 Thia perlahan duduk di sisi Nazhan yang mengalihkan pandangannya. Dia sedar dari tadi Nazhan ralit memerhatikannya. Dia melihat sekilas pada bapa mentuanya yang menoleh ke belakang menunggu dia menutup pintu kereta sebelum memulakan perjalanan. Datin Marisa pula dari tadi khusyuk menghadap telefon pintarnya. 
Thia membuang pandang ke luar tingkap. Fikirannya tenang ketika itu. Di bibirnya terukir secalit senyuman. Senyuman kelegaan meninggalkan memori pahit hidupnya di rumah peninggalan arwah ayah. 
Jauh dalam sudut hatinya, biarlah hidupnya selepas ini menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Dia tahu ianya sukar, apatah lagi dengan penerimaan Nazhan terhadap dirinya, tapi biarlah.  Dia sudah tenang buat masa ini. Walaupun mungkin cuma untuk kali ini. Perlahan matanya terpejam.

2 comments:

Nana said...

Best. Teruskan sis. :)

IVORYGINGER said...

next entry please!!!... ;D