Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday, 8 August 2016

SKDC - Bab 3


SYAFINAZ terbaring lesu di atas katil sambil memandang ke arah Aiman yang terkial-kial menyarung jeannya. Dia menghembuskan nafas lelah.  Selimut yang melorot menampakkan separuh dadanya ditarik, menghangatkan dirinya dalam kesejukan air cond buruk yang bising itu.
“Kenapa ni sayang?” Aiman bersandar di sisinya sambil menyisir lembut helaian rambut Syafinaz yang jatuh menutupi dahi dan mata gadis itu.
Syafinaz mendengus seraya melemparkan pandangannya ke arah lain. Aiman menggeleng lemah memegang dagu Syafinaz lembut dan perlahan memaksa wajah itu memandang matanya.
“Marah kat abang ya?”
Aiman tersenyum. Hampa. Syafinaz masih mencuka seperti tadi.
“Kalau macam ni, abang balik dululah. Nanti sayang dah okey, call abang eh?”
Aiman bingkas bangun. Sepantas itu lengannya dipaut Syafinaz, memaksa dia duduk di birai katil.
We need to talk.”
Syafinaz merebahkan mukanya ke bahu Aiman.
“Eleh, you tu tadi yang senyap tak mahu cakap dengan I,” Aiman mencebikkan bibirnya.
I takut. Apa yang patut I buat?”
Syafinaz menggenggam tangan Aiman, dibawa ke perutnya. Dibiarkan tangan itu kaku di situ.
Aiman mendengus kasar.
“Kan I dah cakap dekat you apa yang patut you buat kan?You tu je yang buat tak endah. Nanti bila yang tu dah makin membesar, you jugak yang susah!”
Syafinaz menelan kata-kata Aiman. Matanya memandang pada muncung Aiman yang dijuihkan mengena tepat ke perutnya. Walaupun perit, tapi telinganya tetap mendengar kata-kata Aiman dan dia tahu kebenaran tentang kenyataan itu. Dia juga sudah arif benar bila Aiman sudah mula ber I-You dengannya, tahulah dia bahawa mood Aiman sudah rosak sepenuhnya.
You temankan I, boleh?”
You gila? Nanti kalau orang nampak kita berdua macam mana?”
Aiman separuh menengking. Bingkas dia berdiri menyarung pula kemejanya yang tersidai di kerusi malas pada sudut bilik motel itu. Dicapai pula jam Rolexnya di atas meja solek. 2.20 petang.
“Dahlah tu. Cepat siap. I book bilik ni sampai 2.30 petang je. I nak pergi check out ni. Nanti kita jumpa kat ofis.”
Aiman memberi arahan ringkas bila diperhatikan Syafinaz masih lagi kaku di atas katil. Melihat Syafinaz terus membisu, Aiman kembali duduk di sisi Syafinaz.
Sorry abang tertinggi suara kat sayang tadi. Abang tau sayang takut tapi kalau sayang tak ikut macam yang abang suruh, sayang tahu akibatnya nanti kan? Hubungan kita ni pun dah sedia complicated, sayang nak ianya jadi lebih rumit?” Aiman menggenggam tangan Syafinaz. Dibelai-belai tangan itu lembut. Harapannya gadis itu turut berlembut hati.

“NURUL Syafinaz Abdul Hamid!” laung pembantu doktor sekali lagi. Sedikit nyaring berbanding laungan pada kali pertama dan kedua.
            Syafinaz tersentak lalu dia bingkas bangun.
“Ya, ya.”
Kali ini dia melebarkan langkahnya menuju ke arah pembantu doktor berbangsa India itu. Tergesa-gesa dia meluru masuk ke dalam bilik doktor. Enggan pembantu itu bertambah marah dengan dirinya yang asyik mengelamun sebentar tadi.
Okay, Syaf. You seem to have a problem here, anything that I can help?” Doktor wanita muda yang berketurunan India itu mengukir senyuman kecil.
“Macam biasa, I don’t want this,” Syafinaz menunduk, memandang pada tangannya yang diletak ke atas perutnya.
“Tapi Syaf, ni dah masuk kali ketiga. I takut akan memudaratkan rahim you, in fact nyawa you sendiri.” Doktor Devi memandang wajah Syafinaz tegas mengharapkan gadis di hadapannya itu sedar tentang risikonya kali ini.
Please Devi, I sanggup bayar you berapa pun. I tak kisah, yang penting I tak nak ni,” Syafinaz masih seperti tadi memegang perutnya. Dipegang lengan doktor itu, digegar-gegarkannya berulang kali, merayu.
“Ini bukan soal duit. Ini soal nyawa you sendiri.” Doktor Devi memandang timbunan report yang berselerak di mejanya. Sengaja tidak dipandang wajah Syafinaz yang benar-benar mengharap.
Please Devi, for the last time. Lepas ni I janji I tak kan buang lagi. Tolonglah...” Syafinaz merayu lagi. Ditenung wajah doktor itu penuh harapan. Dadanya berombak kencang, bimbang rayuannya kali ini gagal.
Doktor Devi masih kaku seperti tadi. Sebolehnya dia tidak mahu melayan rayuan Syafinaz kali ini. Walaupun dia sedar perbuatannya yang melanggar etika kedoktoran, tapi nyawa setiap pesakit sentiasa menjadi keutamaannya. Dia sama sekali tidak mahu menanggung sebarang risiko kehilangan nyawa pesakit.
“Kalau you tak nak tolong I kali ni, you sendiri yang akan menyesal kalau apa-apa terjadi pada I,” Syafinaz bersuara perlahan separuh mengugut.
Doktor Devi yang fasih berbahasa Melayu itu tersentak tapi sedayanya dia cuba tidak menzahirkannya di depan Syafinaz. Kali ini dia betul-betul serba salah mengenangkan nyawa Syafinaz dan mengenangkan pula persahabatan antara mereka yang terjalin sejak di bangku sekolah lagi. Dia mendengus nafas panjang kemudian merenung Syafinaz di hadapannya.
This is the last one. If I see you again after this, I won’t consider you my friend anymore. You jangan ingat I takut nak buat macam tu.”
Syafinaz tersenyum. Lega kerana akhirnya sahabatnya itu mengalah.
“Tapi kalau I datang sebab demam, you masih nak check I kan Devi?” Syafinaz mengukir senyumnya lebar. Tanpa dapat ditahan, Doktor Devi juga akhirnya tersenyum.
“Kalau you datang sakit sebab benda-benda lain, I akan beri you layanan first class macam selalu tapi kalau untuk sakit buatan orang macam ni, sorry dear.” Doktor Devi berbicara lembut sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tangannya lincah menulis sesuatu di atas report. Butang interkom ditekan.
Syafinaz tekun mendengar bicara doktor itu walaupun tiada sepatah kata pun yang difahaminya lantaran Devi berbahasa Tamil.
Selang lima minit, pintu bilik terkuak. Muncul pembantu klinik tadi yang juga berbangsa India. Dia menjeling Syafinaz sekilas, kemudian memandang wajah Doktor Devi.
Sorry doc, I just want to inform you that the OT is ready.
Doktor Devi mengangguk. Serentak itu, pembantu klinik tadi menutup kembali pintu bilik. Doktor Devi lantas menyusun dokumen-dokumen di atas mejanya, bangun dari kerusi dan mencapai white coat yang sejak tadi tergantung di dinding.
Okay Syaf, we are ready. Prepare yourself.”
Syafinaz menelan liur, terasa kesat dan terlekat di kerongkongnya. Biarpun ini kali yang ketiga, entah kenapa rasa gugupnya tak pernah hilang setiap kali dia harus melalui semua prosedur ini.
Lambat-lambat dia bangun mengekori langkah Doktor Devi menuju ke OT. Dia menutup matanya membulatkan tekad dan berjanji inilah kali terakhir dia datang bertemu Devi untuk menyelesaikan masalah yang dia cari sendiri.
Langkah Doktor Devi tiba-tiba terhenti saat dia memegang tombol pintu. Dipalingkan badannya menghadap Syafinaz yang membuntutinya dari tadi.
You know how much I love you Syaf? Kita dah kawan sejak dari sekolah rendah lagi. Bila kita masuk sekolah menengah, you masih sudi kawan dengan I walaupun kita berlainan bangsa. Kenapa you buat macam ni pada diri you sendiri? You tak sayang diri you ke? You tak sayang pada orang yang sayang you? Please dear, I nak you promise pada I yang ini adalah kali terakhir. And one more thing, leave that guy. Kalau dia betul-betul sayangkan you, dia tak kan buat you macam ni.  Sayangi diri you dulu sebelum you sayang orang lain.”
Doktor Devi mengukir senyuman kecil. Tangannya menggenggam lengan Syafinaz berharap gadis itu bangkit dari mimpinya.
Syafinaz hanya membisu. Kali ini dia tidak mampu membidas kata-kata sahabatnya itu. Sedar bahawa tindakannya membahayakan nyawanya sendiri.

TELEFON bimbit dalam beg tangannya berbunyi sayup-sayup. Syafinaz segera mengecilkan bunyi radio seraya menggagau mencari telefon bimbitnya yang terselit di dalam beg tangan.
            “Ya sayang, ada apa ni?” Syafinaz bersuara lembut tetapi kedengaran ceria. Gembira kekasih hatinya di talian sekarang ini. Masalahnya juga sudah selesai.
“Saja je abang call. Nak tahu sayang dah sampai mana,” Aiman bersuara mendatar.
“Sayang dah sampai tol Ayer Hitam ni. Kejap lagi sampailah kampung sayang. Abang jangan risaulah ya,”  Syafinaz bersuara manja cuba membunuh perasaan bimbang kekasihnya itu.
Okay, you take care of yourself. Abang nak sambung meeting, nanti membebel pulak Dato’ Syafiq kalau abang masuk lambat. Minggu depan kita jumpa ya,” Aiman bersuara agak tergesa-gesa.
Okay dear, we’ll meet up next week. Will miss you so much sayang!”
“Okey, hati-hati drive. Bye sayang.”
Bye sayang,” Syafinaz mematikan talian.
Matanya kini tertumpu pada jalan raya tapi fikirannya mula terbayang-bayangkan Aiman. Lelaki yang sudah dikenali sejak lima tahun lalu, pada hari pertama dia menjejakkan kakinya ke Radiant Holding sebagai Sales Executive Trainee.
Memandang lelaki itu buat pertama kalinya sudah membuatkan dia tidak tidur malam. Apatah lagi bila mengenangkan kebaikan lelaki itu. Kepandaiannya mengambil hati Syafinaz, buat dia langsung tidak berdaya menolak cinta yang lelaki itu hulurkan. 
Sedar-sedar dia sudah pun tiba di tengah-tengah bandar. Matanya memandang pula bangunan Econsave yang terletak di kiri jalan. Segera dia membelokkan Myvi kesayangannya untuk singgah sebentar ke Marrybrown. Perutnya rancak berbunyi minta diisi.
Syafinaz membuka langkah sebaik butang alarm Myvinya ditekan sambil itu disisir rambutnya supaya lebih kemas. Teringat dia sewaktu pertama kali dia balik ke kampung setelah dua bulan di Kuala Lumpur, membebel Mak Mah melihat rambutnya yang sudah bertukar warna hitam ke perang. Rambut karat kata emaknya tapi bebelan Mak Mah terhenti saat not RM50 sebanyak empat keping dihulurkan. Emak, emak... tersenyum Syafinaz terkenangkan emaknya.
Pintu Marrybrown ditolaknya perlahan. Teringin pula tekaknya menikmati bubur ayam Marrybrown. Dia segera  menuju ke kaunter memesan set makanannya. Di satu sudut agak terpencil, dia meletakkan dulangnya di atas satu meja kecil yang diatur dengan dua kerusi. Bubur itu dikacau perlahan lalu disuapkan ke dalam mulut.
“Hai, boleh aku duduk sini?” 
Suara itu mengejutkan Syafinaz yang dari tadi leka menghadap juadahnya. Dipandang wajah sesusuk tubuh yang berdiri di hadapannya itu. Dia terbatuk-batuk kecil. Terasa ingin terkeluar bubur yang disuapnya tadi. Segera dia menyedut air menghilangkan rasa tersedaknya tadi.
“Amboi, macam nampak hantu je kau ni Syaf.”
Lelaki itu menarik kerusi bertentangan dengan Syafinaz membuatkan hati gadis itu tambah berkocak. Dia berlagak tenang merenung mangkuk bubur sambil tangannya mengacau bubur itu perlahan.
“Kalau benci sangat dengan aku, tak kan sampai langsung kau tak nak tengok muka aku ni?” lelaki itu bersuara lagi mengharap dapat memecahkan dinding keegoan Syafinaz.
“Habis kau nak suruh aku tersengih depan kau macam orang gila?” Syafinaz merenung lelaki itu tajam. Walaupun dia bersuara perlahan, ada ketegasan dalam bicaranya. Jelas dia tidak menyenangi kehadiran lelaki itu.
“Haaaa...ada pun suara. Ingatkan sejak duduk KL, kau dah bisu tadi. Takut jugak aku, maklumlah aku bukannya pandai berbahasa isyarat,” lelaki itu tersenyum kecil. Senyuman menyindir.
“Kalau kau setakat nak berlawak bodoh kat sini,  jangan buang masa aku,” mati terus seleranya tadi.
“Saja aku nak bertanya khabar kau. Lama kita tak jumpa, tak sangka kau masih ingat jalan pulang,” lelaki itu mengambil air Pepsi Syafinaz, diteguknya perlahan.
“Itu air aku!” Syafinaz menekankan suaranya.  Tangannya pantas menarik cawan kertas dari tangan lelaki di hadapannya.
“Kau lupa dulu hampir semuanya kita berkongsi?  Makanan aku, makanan kau. Minuman kau, minuman aku malah, bantal kau, lengan aku. Kau lupa Syaf?” dia menggenggam cawan kertas itu kejap menghalang Syafinaz dari menariknya.
“Memang aku lupa. Aku lupa segalanya tentang kau tapi aku cuma ingat satu tentang diri kau, Syam. Sikap penakut kau tu! Sampai mati pun aku tak kan pernah lupa,” mata Syafinaz mula bergenang. Hatinya sakit. Tiba-tiba hatinya menjadi panas.  Dadanya berombak kencang. Rasa ingin dicekik-cekik Syamsul saat itu.
“Aku minta maaf Syaf. Aku tahu, aku salah. Aku tahu aku tak patut tinggalkan kau dulu,” Syamsul tunduk. Gagal merenung mata Syafinaz yang berapi.
“Kau tahu? Kau tahu rupanya kau salah? Jantan tak guna macam kau tahu jugak rasa bersalah ya. Habis, kau tahu aku hampir membunuh diri disebabkan kau? Kau tahu aku hampir gila memikirkan hasil tuaian kau dalam perut aku dulu? Kau tahu apa jadi pada aku lepas kau tinggalkan aku?” Syafinaz separuh menengking. Dadanya rasa ingin pecah saat itu. Terasa ingin ditumbuk muka lelaki bernama Syamsul itu.
“Sebab tu aku minta maaf pada kau sebab tak bertanggungjawab atas apa yang aku dah buat pada kau. Kalau boleh aku nak tebus balik kesilapan aku dulu.”
“Tebus? Kau ingat aku ni perempuan jenis apa! Maruah aku ni boleh kau buat macam pengalas kaki kau? Bila bersih, kau lap segala kotoran di kaki kau pada badan aku, bila dah kotor kau buang aku macam sampah. Bila nak, kau datang. Bila dah benci, kau pergi!” Syafinaz menggigil. Perasaan marahnya kali itu betul-betul memuncak.
“Maruah? Syaf...Kalau kau ada maruah, kau tak serah diri kau pada aku. Kita sama, Syaf.”
Syafinaz mengetap giginya. Bukan sahaja dia mahu tumbuk muka Syamsul tapi rasa nak tikam Syamsul sekarang ini!
“Okey...sorry. Syaf, aku nak tebus segala kesilapan aku dulu tu.  Aku masih cintakan kau. Tak pernah hilang walau sikit pun rasa tu dalam hati aku ni Syaf. Bagilah aku peluang sekali lagi,” tangan Syamsul menggenggam tangan Syafinaz.  Matanya merenung ke dalam mata Syafinaz penuh mengharap. 
“Kau nak tebus macam mana?” Syafinaz bersuara hambar. Segera dia menarik tangannya dari terus digenggam Syamsul. Bertahun-tahun baru nak bertanggungjawab? Gila!
“Kita kahwin.”
“Kahwin? Kau ingat aku bodoh? Kau ingat aku tak ada otak?  Kau ingat aku tak tahu kau dah kahwin? Kau ingat aku tak tahu kau tak bahagia dengan isteri kau?” diukir senyuman kecil sewaktu dilihat wajah Syamsul yang tiba-tiba berubah.
“Dulu aku sekolah lagi, masih bodoh, masih mentah.  Apa yang kau mahu, semuanya aku serahkan. Ya, memang aku bodoh, bodoh kerana mencintai lelaki yang tak guna macam kau. Ya, memang aku bodoh, tapi aku bukan lagi bodoh untuk terima kembali cinta kau. Cinta kau, nama kau dah lama mati sejak hari kau tinggalkan aku.” Syafinaz bingkas bangun melangkah pergi meninggalkan Syamsul yang masih terdiam kaku.
Dia menghenyak badannya kuat ke kerusi, ditutup pintu keretanya kuat. Ditekapkan wajahnya ke stereng keretanya. Petang itu, dalam hujan lebat, dia menangis. Padahal lama dulu, dia sudah berjanji tak kan menangis lagi untuk lelaki yang bernama Syamsul itu.
Syamsul punca segalanya. Pujuk rayu Syamsul mencairkannya hingga dia terpedaya dan mula kenal apa itu seks dalam erti kata sebenar. Hilang Syamsul, ketagih tentang lelaki tidak pernah hilang. Di universiti dan kini dengan Aiman pula.
Dan tidak mungkin dia lupa kisah beberapa tahun lepas. Masih dia ingat lagi pada malam itu...
Dia melangkah laju. Sesekali dia menoleh ke belakang.  Bimbang kelibatnya diperhatikan orang. Sambil berlari anak, dia memegang perutnya. Berkerut dahinya menahan rasa ngilu yang hadir sejak tadi.
            Sampai di sebatang pokok sawit yang agak jauh dari jalan raya, dia berhenti. Lampu picit yang dibawanya tadi disuluh ke serata tempat. Hatinya cemas ketika itu. Perasaan bimbang juga semakin merajai dirinya. Dipandang lagi pokok sawit tadi ke atas dan ke bawah lalu dikeluarkan cangkul kecil dari dalam begnya. Perlahan dia mencangkul permukaan tanah lembut itu. Selepas berpuas hati dengan kedalamannya, dia mengambil semula beg sandangnya tadi.
Penuh hati-hati dia mengeluarkan gumpalan kain batik lantas dia mencium lama sambil memejamkan matanya. Mengalir air matanya saat itu. Terenjut-enjut bahunya menahan sebak. Dia meletakkan gumpalan kain itu ke dalam lubang tadi. Air matanya yang bercucuran diseka dengan tapak tangannya berkali-kali.
Maafkan mama, sayang.
Segera dia menimbus kembali lubang yang sudah diletakkan kain tadi. Air matanya masih lagi laju seperti tadi tapi dia tahu dia perlu cepat sebelum perbuatannya diketahui orang. Pantas dia mengambus lagi, kemudian menepuk-nepuk permukaan tanah itu. Diambil pula daun dan rumput-rumput kering bagi menutupi kesan tanah yang digemburnya tadi.
Syafinaz bingkas bangun. Diambil botol mineral yang dibawanya tadi, diteguk sekali dua dan bakinya digunakan untuk membasuh tangan. Segera dia berlari anak keluar dari kawasan kebun yang bersemak-samun itu. Sampai di jalan raya, dia berjalan perlahan cuba berlagak tenang.
Sampai di sebuah pondok perhentian bas, dia berhenti.  Syafinaz termenung memikirkan segala perbuatannya tadi. Tiba-tiba air matanya kembali lebat. Tiba-tiba perasaan takut menyelubungi dirinya kini.
“Syaf?”
Syafinaz mendongak. Terkejut dia melihat Devi sudah di hadapannya. Pantas dia memeluk Devi. Air matanya kembali mencurah-curah keluar.
“Kenapa ni Syaf? Kau okey?” Devi duduk di sebelah Syafinaz seraya memegang bahu sahabatnya itu lembut. Dipandang sekeliling pondok bas itu, ternyata Syafinaz keseorangan.
“Aku miscarriage. The truth is, aku sendiri yang gugurkan,” Syafinaz memeluk kembali sahabatnya. Kali ini dia meraung. Terasa menyesal dengan perbuatannya tadi. 
Devi tercengang. Bingung dia mendengar kata-kata Syafinaz. Diusap perlahan belakang sahabatnya itu.
“Apa ni? Aku tak faham.” Devi merenung wajah Syafinaz yang sudah pun basah dengan air mata.           
“Aku mengandung, anak Syamsul. Bila aku suruh dia bertanggungjawab, dia lari entah ke mana. Aku takut mak aku tahu. Jadi aku gugurkan. Lagipun, aku dah dapat surat tawaran U.” Syafinaz memandang kereta milik ibu Devi yang tentu dipandu oleh Devi. Entah bila hadirnya Devi di sini, dia sendiri tidak sedar.
Devi gamam seketika. Gembira dengan kejayaan Syafinaz tapi tidak terucap rasa gembiranya apabila melihat situasi sekarang ini. Dia juga sebenarnya dalam perjalanan ke rumah Syafinaz untuk memberitahu surat tawaran universiti yang diterima siang tadi.
“Jadi, ni kau dari mana dan nak ke mana?” Sekali lagi Devi memerhati sekelilingnya yang sunyi. Pelik betul dia.
“Aaaakkku...aakuuu... baru lepas tanam...”
“...anak kau? Mana kau buang baby tu?” Tidak sabar Devi mahu tahu. Dia dapat agak apa yang ingin Syafinaz katakan.
“Kau janji tak kan beritahu orang lain?”
“Ya, aku janji. Kau tenangkan diri kau,” Devi menutup matanya, diraih jari Syafinaz yang menuding ke arahnya lalu diletakkan ke dadanya.  Tanda dia bersungguh-sungguh memegang janjinya.
“Aku dah tanam baby tu. Kat mana, biarlah menjadi rahsia aku. Lagipun dia belum sempurna mana. Masih belum cukup sifatnya.”
Devi mendengus lemah. Disuruh janji tapi masih berahsia. Namun dia memang terkejut dengan pengakuan Syafinaz dan langsung tidak menyangka sebegini jauh Syafinaz sudah terpesong. Untuk beberapa saat, mereka sama-sama terdiam.
“Kebetulan aku baru balik dari klinik emak aku. Nanti aku beri kau ubat ya.” Devi membuka bicara seraya memimpin Syafinaz ke kereta. Dicapai satu beg plastik yang penuh dengan ubat-ubatan yang sepatutnya dijadikan simpanan untuk kegunaan keluarganya di rumah.
“Emak aku tadi ada bagi pil tahan sakit, kau makanlah untuk kurangkan sikit rasa sakit tu dan ini untuk cuci luka.  Untuk elak luka tu dijangkiti kuman, kau bilas bekas luka kau tu dengan ubat ni ya. Sepatutnya kau kena makan antibiotik, tapi aku tak pasti ubat yang mana sesuai untuk kau. Tak apa, esok aku belikan kau pati gamat, sesuai untuk luka dalaman.”
Tanpa sedar, Syafinaz sudah pun menangis kembali.  Terharu dia dengan keprihatinan Devi.
“Terima kasih Devi. Aku tak tahu nak buat macam mana lagi. Aku harap kau simpan rahsia aku ni sampai mati ya?” Syafinaz menggenggam jemari Devi. 
Devi tersenyum kecil, kembali menyeka air mata Syafinaz yang terlalu murah ketika itu.
“Ya, aku janji. Sampai mati aku tak kan bocorkan rahsia ni. Kau jangan risau.” Devi memeluk sahabatnya itu. Kali ini lebih kejap.
“Jom aku hantar kau balik. Nanti aku boleh cakap dengan emak kau yang kau tak sihat, baru balik dari klinik mak aku. Dah pukul lapan malam dah ni, mengamuk pulak dia nanti.”

Seperti orang bodoh, Syafinaz hanya menurut buah fikiran Devi. Fikirannya betul-betul kosong. Saat itulah cintanya pada lelaki yang bernama Syamsul sudah pun mati.

1 comment:

Nana said...

Salam kenal. Jemput singgah di blog saya. Follow me back :)

ctkhatijahdiana.blogspot.my