Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday, 1 August 2011

Pelangi Hati - Bab 5



Updated : Terima kasih buat ANA yang sudi menegur AA tentang isu perkahwinan kontrak ni.  Sejujurnya, AA tak tahu bahawa di Malaysia, perkahwinan seperti ini tidak sah.  Dan hasil carian dan pertanyaan dengan bantuan ALIESHA KIRANA tadi, terbukti adalah benar tidak sah berkahwin secara kontrak seperti yang AA tuliskan dalam bab 5 ini.  Jadi, AA rombak semula sebahagian jalan cerita pada bab ini iaitu pada pengakhiran cerita yang ada menimbulkan isu kahwin kontrak.  AA memohon maaf atas salah faham ini.  Teruskan menyokong dan memberi komen untuk karya AA ye.




Airis mengelap satu demi satu meja dan kerusi yang terdapat di dalam warung itu. Selalunya warung akan lengang pada ketika ini kerana kebanyakan pekerja sudah pun masuk ke dalam kilang menyambung semula tugasan selepas waktu rehat tamat.  Dan pada ketika inilah Airis akan mengemas keseluruhan warung.  Mengelap meja dan kerusi, menyapu sekeliling warung dan membakar daun-daun kering yang siap disapu di tepi warung.  Pukul 3 nanti, dia akan kembali sibuk melayan pekerja kilang yang rehat untuk minum petang.

“Nah, milo special.  Berpeluh-peluh kau Ris.  Pengantin baru mana boleh kerja penat-penat macam ni, hilanglah serinya nanti.”  Kak Inah melabuhkan punggungnya, duduk menghadap Airis yang mengelap peluh sambil mengibas-ngibaskan bajunya, cuba menghilangkan bahang kepanasan dirinya saat membakar daun-daun kering tadi.

“Hai kak…macam perli Airis jek ni?  Pengantin baru la sangat…”  Airis mencapai gelas berisi air milo kegemarannya itu.  Ditenung mata Kak Inah dalam sambil bibirnya terukir senyuman kecil.  Dia mengelap peluh di dahinya dengan belakang tapak tangan lantas duduk.  Melepaskan sedikit keluhan kemudian menyedut minumannya perlahan.  Terasa segar tekaknya dengan kesejukan air itu.  Hilang bahang panas badannya yang bertungkus lumus mengemas dari tadi.

“Eh, betul apa? Kau kan dah tunangan orang sekarang ni.  Darah tengah manis ni.  Tak boleh buat kerja berat-berat, tak boleh pergi jauh-jauh.  Patut sekarang ni kau duduk dekat rumah buat facial, spa, urutan badan, mandi lulur.  Biar nanti naik pelamin berseri-seri mengalahkan tuan puteri.” Kak Inah mengomel sambil tangannya laju menyusun tisu, sudu dan garfu ke dalam bekas yang tersedia di atas meja.

“Apa yang akak melalut jauh-jauh sangat ni kak?  Mandi lulur, spa?  Eeee…tak kuasa la Airis kak.  Kalau boleh kahwin pun tak nak tau?” Airis menunduk.  Tangannya memegang straw sambil dikocak-kocak minumannya itu perlahan.

“Sabarlah Ris.  Walaupun akak rasa tindakan Mak Mah kau tu melampau sangat kali ni, tapi sekurang-kurangnya ini satu-satunya jalan untuk kau lari dari dia kan?  Silap-silap bila kau dah takde, akak pun berhenti jugak rasanya.”  Kak Inah pula menunduk.  Memerhati tangannya yang mengusap-ngusap perutnya perlahan.  Airis mula serba salah.  Terasa kesal menimbulkan topik itu tadi.

“Ala kak, kenapa pulak nak berhenti kerja?  Kerja jek la kat sini.  Dapat jugak tambah-tambah pendapatan, ringan sikit beban Abang Arif tu.  Dapat jugak akak belikan Along tu mainan, jajan, baju macam anak orang lain jugak.  Ni, anak sedara saya yang kedua ni nanti nak keluar tengok dunia, banyak belanjanya nanti kak.”  Tangan Airis mengusap perut Kak Inah yang membuncit, cuba menyembunyikan kesalnya menggundahkan perasaan Kak Inah.

“Kalau kau dah kahwin Ris, mestilah kau ikut laki kau kan.  Akak dengar orang kampung ni bercakap, keluarga mertua kau golongan berada.  Untung kau Ris.  Senang hidup bila dah kahwin nanti.  Tak payah nak susah-susah macam akak ni.  Kalau kau dah tak duduk kat kampung ni, akak tak tahu macam mana nak menghadap Mak Mah tu hari-hari.”  Tangan Airis yang masih melekap di perutnya digenggam erat.  Terasa benar dia akan kehilangan satu-satu ‘adik’ kesayangannya.

“Akak janganlah bandingkan hidup akak dengan hidup saya.  Takdir manusia ni Allah dah tetapkan kak. Ada orang lebih yang ini, kurang yang itu.  Ada orang lebih yang itu, kurang yang ini.  Sama jek. Kalau Airis kaya pun lepas ni, Airis bahagia ke kak?  Sekurang-kurangnya akak berkahwin dengan orang yang akak sayang kan?  Airis?”  Kak Inah terkedu.  Ternyata gadis dihadapannya jauh lebih matang dari usianya.  Terlalu jauh yang difikirnya, menjangkaui apa yang difikirkan dirinya sendiri.

“Eh, mana akak tahu keluarga tunang Airis tu orang kaya?  Airis sendiri tak tahu apa-apa pun.  Mak Mah dengan Finaz langsung tak bercerita pasal diorang, entah kaya ke, ada ijazah bergulung-gulung ke.  Airis satu apa pun tak tahu.” Airis menyambung katanya lagi.

“Ha ah kan.  Entah-entah akak salah dengar.  Entah-entah bukan kaya, kayap rupanya. Hahahahah…Entah-entah gigi jongang, mata juling.  Eeeeee…..koser mak tau!!!” Kak Inah mengekek ketawa, tangannya laju menepuk-nepuk bahu Airis yang turut ketawa besar.

“Assalamualaikum.”  Suara garau itu mematikan tawa mereka berdua.  Berdiri tegak seorang lelaki pertengahan usia di sudut warung. Airis bingkas bangun, mencapai gelasnya.  Kak Inah turut bangun, terus menuju ke dapur.

“Waalaikumussalam cik, marilah duduk sini.”  Airis mengukir senyum.  Menjemput pak cik tadi duduk di kerusi yang tersedia. 

Macam pernah tengok pak cik ni. Getus hati Airis.  Dia menggagau nota kecil dan pen di dalam kocek seluarnya dan menghampiri pak cik itu untuk mengambil pesanan makanan dan minuman.

“Pak cik nak minum apa?  Kalau petang-petang ni lauk campur kami dah habis biasanya.  Yang ada cuma nasi goreng, mee goreng dan kuih-kuih.”  Airis memandang wajah lelaki itu.  Diteliti setiap sudut wajah yang rasanya seperti dia kenali sebelum ini.  Ternyata dia gagal.  Gagal mengingat di mana dan bila dia pernah bertemu lelaki ini.

“Bagi saya nasi goreng tu je lah.  Dan bagi saya air teh.”  Lelaki itu membuka cermin matanya, mengusap wajah perlahan dan kemudian memakai kembali cermin matanya tadi.  Selepas itu pandangannya meliar ke segenap warung.  Memerhati sana dan sini.  Airis beredar ke dapur, menghampiri Kak Inah.

“Kak, pak cik tu nak air teh satu.”  Airis menghampiri rak pinggan mangkuk, mencapai sebiji pinggan dan menuju ke ruang penyediaan juadah yang bersambung antara gerai dan dapur.  Diceduk nasi goreng, dicapai sebiji telur goreng dan dituangkan sambal tumis ke atasnya.

“Airis macam kenal lah kak pak cik tu.  Tapi tak ingat pernah jumpa kat mana.”  Airis membuka bicara saat Kak Inah menghulurkan gelas air teh ke arahnya.

“Orang luar la ni Ris.  Akak tak pernah tengok pun sebelum ni.”  Airis diam.  Dia membuka langkah menuju ke arah pak cik itu.  Ditatang perlahan dulang berisi sepinggan nasi goreng dan secawan teh panas itu penuh hati-hati.

“Terima kasih.”  Pak cik itu membuka bicara saat Airis meletakkan hidangan di atas mejanya.

“Sama-sama pak cik, jemput makan ye.”  Airis mengukir senyum kecil, memandang wajah lelaki itu.

“Boleh teman Uncle makan?  Ada perkara yang ingin Uncle bincangkan.”  Airis terkedu.  Ternyata dia terkejut dengan permintaan lelaki itu tetapi sebolehnya dia berlagak tenang.  Kebetulan tiada pelanggan ketika itu, Airis duduk setentang dengan lelaki yang dari tadi merenung wajahnya.

“Kamu tak kenal Uncle?”  Airis sekali lagi terkedu.  Pak cik ni kenal aku ke? Getus hatinya.

Uncle yang langgar ayah kamu tiga tahun lepas.”  Lelaki itu tenang mengaturkan ayat-ayat itu di bibirnya.  Memerhati reaksi Airis yang ternyata juga tenang dari tadi.

“Patut lah dari tadi saya macam pernah tengok pak cik ni.  Pak cik sihat?”  Airis mengukir senyum lebar.  Walaupun ternyata dia sangat canggung berdepan dengan lelaki itu, dia seboleh daya mahu menutupnya.  Melindungi gelora hatinya, bertindak seolah-olah tiada lagi dendam lagi di dalam hati.  Betul-betul seikhlasnya memaafkan lelaki itu seperti yang dikotakan tiga tahun lepas.  Betul dia sudah memaafkan, tapi sukar sekali dia memadamkan ingatan terhadap peristiwa gelap itu.

Just call me Uncle Harun Ris.  Or, should be Papa after this?” Lelaki itu tersenyum kecil.  Mencapai sudu kecil di dalam gelas tehnya tadi.  Digodak-godak air itu perlahan sambil memerhati reaksi Airis.  Kali ini jelas kerutan di dahi Airis, mungkin terperanjat dengan soalannya tadi.

“Apa maksud pak cik…errr, Uncle ni?  Saya tak faham.”  Airis mengecilkan mata, dikerut-kerutkan dahinya.  Mengharap penjelasan lanjut dari mulut lelaki di hadapannya kini.

“Perempuan yang sarungkan cincin di jari manis Airis Ahad lepas tu, isteri Uncle.  Aunty Mary.”  Lelaki itu memuncungkan bibirnya ke arah jari manis Airis yang tersarung sebentuk cincin.  Melihat perlakuan itu, Airis menarik tangannya ke riba.  Melarikan pandangan lelaki itu.

“Oooo…rupanya Uncle lah yang berpakat dengan family saya untuk porak perandakan seluruh hidup saya? Masa depan saya?”  Airis tersenyum sinis.  Mematikan tingkah lelaki itu yang baru hendak menyuap nasi goreng di pinggannya.

“Jangan terlalu cepat menghukum tanpa menilai terlebih dulu Ris.  Hari ni Uncle datang untuk jelaskan tindakan kami.” Lelaki itu merenung lagi wajah Airis yang mula keruh.

“Silakan.  Saya memang tengah tunggu penjelasan dari Uncle ni.”  Airis melarikan pandangannya.  Marahnya meluap tiba-tiba.

Uncle kenal arwah Pak Amid.  Macam mana Uncle kenal, rasanya tak perlulah Airis tahu.  Cuma pada saat terakhir hayat arwah ayah kamu, dalam perjalanan ke hospital, arwah ayah Airis sampaikan pesannya pada Uncle.  Katanya, jaga kamu baik-baik macam anak sendiri.”

“Huh…anak sendiri, bukan jadi bini anak sendiri!” Airis menjeling sekilas.  Telinganya mula panas.  Terasa darah menyirap ke kepalanya.

“Itu yang dia mintak pada Uncle, Ris.  Katanya itu saja jalan untuk Uncle tebus kesalahan Uncle.  Apa lagi daya Uncle selain dari tunaikan amanah dia Ris?”  Lelaki itu merenung Airis yang langsung tidak menoleh ke arahnya.  Dari tadi mata Airis asyik melilau ke sana sini.  Tidak memandang wajahnya walau sekali.

“Saya pun tak faham la.  Kenapa salah orang lain, saya pulak yang menanggung akibatnya?  Kenapa tarik sekali saya?  Musnahkan impian saya, cita-cita saya, hidup saya?” Airis meninggikan suaranya.

“Apa impian kamu Ris?  Apa cita-cita kamu?  Beritahu Uncle.  Uncle cuba realisasikannya asalkan kamu teruskan perkahwinan ni.”  Lelaki itu bersuara sayu.  Cuba menarik simpati Airis pastinya.

“Saya dah pun disarungkan dengan cincin ni Uncle.  Kalau saya tak setuju, saya takkan benarkan cincin ni tersarung di jari saya.”  Airis membelek cincin tunangnya.  Cincin itu cantik, kena dengan seleranya. 

Uncle tahu.  Dari tadi Uncle perhatikan Airis dari jauh.  Kejap-kejap kamu belek cincin tu kan?” Lelaki itu tersenyum.  Senyumnya bertambah lebar tatkala Airis tersipu malu.

“Saya terima cincin ni bukan sebab saya perempuan murahan.  Yang maruahnya boleh ditukar ganti sesuka hati.  Yang boleh dicampak ke sana sini macam langsung tiada nilai.  Saya terima pinangan anak Uncle kerana arwah ibu saya.  Kalau ini saja caranya buat arwah ibu saya tenang di sana, nyawa pun saya sanggup beri kalau itu yang Uncle mahukan.”  Berkerut dahi lelaki itu mendengar kata-kata Airis.  Terpempan dia dengan pendirian gadis di hadapannya itu.

“Terima kasih sebab kamu sanggup berkorban untuk Uncle.  Uncle janji setiap permintaan kamu, Uncle akan cuba tunaikan sedaya yang mungkin.  Setakat ni, apa yang kamu impikan Ris?”  Airis mendengus.  Entahlah, terasa seperti maruahnya dijual beli pula ketika ini.  Seketika, dia teringat sesuatu.

“Saya nak sambung belajar, boleh?”  Airis memandang tepat ke dalam anak mata lelaki di hadapannya itu.  Jelas riak wajahnya terlalu mengharap.

“Boleh!  Airis nak belajar dekat mana pun Uncle izinkan.  Ini janji Uncle pada Airis.  Tapi segala urusan akan Uncle selesaikan selepas majlis perkahwinan kamu nanti.”

Uncle tak payah risau.  Saya memang dah dapat tawaran belajar.  Tarikh daftar bulan 6 nanti.  Sempat saya jadi menantu Uncle nanti, jangan risau.”  Airis tersenyum kecil, ternyata dia gembira.  Akhirnya hajatnya tercapai kini.  Dia bersyukur ke hadrat Ilahi, dalam kelamnya dugaan pasti datang sinar bahagia.

“Ini hadiah Uncle yang pertama. Harap Airis tak menolaknya.” Bungkusan plastik itu dihulur ke arah Airis.  Airis terkebil-kebil.

“Susah Uncle nak contact kamu Ris.  Ambillah ye.  Senang nanti kalau ada apa-apa.” Lelaki itu mengeluarkan kotak yang dibungkus plastik tadi bila dilihat Airis masih tercegat.  Airis memerhati kotak itu.  Terpampang di atas kotak tulisan NOKIA N8 dan lain-lain butir perkataan yang asing dimatanya.

“Takpe lah Uncle.  Cukup dengan persetujuan Uncle untuk biayai pengajian saya nanti.  Itu pun dah jadi hadiah yang tak ternilai buat saya.”  Airis menolak kotak tadi kembali ke arah lelaki itu perlahan.

Uncle ikhlas Ris.  Bukan apa, payah betul nak contact Airis.  Anggap saja ini hadiah perkahwinan dari Uncle ye.”  Lelaki itu bingkas bangun.  Tisu yang digunakan untuk mengelap mulutnya dicampak ke dalam pinggan nasi goreng yang masih separuh berbaki.  Dia membuka beg dompetnya, mencapai not RM10 dan meletakkannya di sisi Airis yang masih kaku.

“Takpe, kali ni saya belanja. Terima kasih untuk segalanya.  Mungkin saya tersilap mentafsir Uncle sebelum ni.”  Airis mengukir senyuman kecil.  Huluran not RM10 tadi disambut lelaki itu dengan senyuman lantas memasukkan ke dalam kocek seluarnya kembali.

“Sedap nasi goreng kamu Ris.  Nanti dah kahwin, masakkan yang macam tu untuk Papa okeh?” Airis tersipu.  Menghantar lelaki itu yang menuju ke kereta dengan pandangan matanya.

Uncle, apa pula yang Uncle rasuah anak Uncle supaya setuju kahwin dengan saya?”  Airis menjerit kuat dari warungnya ke arah lelaki itu sewaktu keretanya mula bergerak.  Pertanyaan Airis cuma dibalas dengan senyuman lebar.


Airis menggosok-gosok matanya.  Terasa berpasir saat dia cuba membukanya.  Handphonenya berdering sekali lagi.  Kali ini dia segera bingkas mencapainya.  Tertera nombor tidak dikenali.  Segera dia menjawab perlahan.  Sedikit marah kerana mengganggu tidurnya.

“Hello.” 

“Kau Airis?” Terdengar suara garau di hujung talian.

“Ye, siapa ni?”  Airis mengerutkan dahinya. 

“Ray, tunang kau!”  Suara itu kedengaran memekik.  Airis menjauhkan handphone dari telinganya.

“Perlu ke jerit-jerit beritahu nama kau?  Dah habis waktu siang ke kau nak call aku malam-malam ni?”  Airis menjawab sinis.  Sudahlah telefon tengah-tengah malam buta, ditengking-tengking pula.  Hatinya mula berasap.

“Amboi, boleh tahan jugak kau ni melawan.  Esok aku nak jumpa kau.  Tunggu aku dekat KP Mall pukul 1.”  Suara itu mengarah lagi.  Airis mengetap bibir menahan marah.

“Kau nak jumpa aku kan?  Kau lah cari aku.  Jumpa aku dekat warung pukul 4.”  Airis menjawab tegas.

“Pukul 4?  Kau ingat aku macam kau?  Takde kerja lain nak buat?”  Suara itu menengking lagi.  Airis mula panas hati.

“Habis aku ni pun takde kerja lain nak buat?  Kau nak jumpa aku, kau ikut cakap aku.  Kalau tak, tak payah jumpa.  Habis cerita.”  Airis mengetap bibir lagi, cuba sedaya mengawal marahnya dari membuak.  Talian terus dimatikan.  Padan muka kau! Getus hatinya.  Kan aku dah susah nak tidur balik!  Marah hatinya pula.




Kak Inah memerhati dari celah pintu dapur ke arah lelaki yang duduk di meja warung.  Minggu ini sudah dua lelaki berpakaian kemas datang ke warung.  Dia pasti lelaki muda pertengahan 20-an ini juga ingin berjumpa Airis.  Sudah setengah jam lelaki itu menunggu.  Sudah berpuluh-puluh kali juga lelaki itu melihat jamnya.  Sesekali dia mengeluh kasar.

Sorry kak, Airis lambat sikit.  Tadi Mak Mah tu sibuk suruh saya tolong dia pasang tabir bilik.  Kesian pulak tengok dia memanjat sorang-sorang.”  Airis terkocoh-kocoh masuk ke dalam dapur melalui pintu belakang.

“Takpe Ris.  Tu, kat luar tu ada mamat handsome nak jumpa.  Dari tadi duk tanya, Airis ada kak? Bila dia nak datang kak?  Lambat lagi ke kak? Naik penat aku nak menjawabnya.  Dah macam kerja kat kaunter pertanyaan pulak.”  Airis terdiam.  Bebelan Kak Inah dibiarkan lantas dia menjenguk sekilas dari ruang penyediaan makanan yang bersambung antara dapur dan warung.  Terpampang depan matanya seorang lelaki berkulit putih, berambut pendek, berkumis nipis dan berkaca mata gelap. Gila, duduk warung pakai spek hitam!  Celoteh hatinya.  Dia keluar dari ruang dapur dan menuju ke arah lelaki itu.

“Kau cari aku?”  Akhirnya itu ayat yang keluar dari mulutnya setelah sejak dari tadi dia memikirkan ayat apa yang sesuai untuk menegur lelaki itu.

“Kau Airis?” Lelaki itu mendongak wajahnya, memandang wajah Airis yang tercegat berdiri di hadapannya.

“Ye, aku Airis.  Yang kau telefon tengking-tengking tengah malam buta tu la.  Kau nak apa cari aku?”  Airis bingkas duduk menghadap lelaki itu kini.  Mual pula rasa hatinya mengenangkan sikap lelaki itu malam tadi.

“Kau rupanya Airis.  Hmmmm….memang tepat jangkaan aku.  Stok-stok kampung macam kau ni memang selera bapak aku.  Tapi yang malangnya, aku pulak yang jadi mangsa.”  Lelaki itu menjuihkan bibirnya.  Airis sentap.

“Kau rupanya Rayyan Irsyad.  Hmmmm…jauh lari tanggapan aku tentang diri kau.  Ingatkan baik macam bapak kau.  Rupanya jauh panggang dari api.”  Giliran Airis menjuihkan bibirnya sambil menjeling.  Dari ekor matanya, jelas terpampang lelaki di hadapannya itu mula marah.

“Ah, aku takde masa nak layan perempuan gemuk macam kau ni….” Lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya.  Belum sempat dia menyambung ayat, Airis segera memintas.

“Kau ingat aku ada banyak masa nak menghadap muka kau? Banyak lagi kerja lain boleh aku buat selain dari tengok muka kau.”  Airis menjeling lagi.  Hatinya betul-betul sakit ketika itu.  Lelaki di depannya itu terlalu lancang berkata-kata.

So, let’s make it simple and easier.  Lagi cepat urusan kita selesai, lagi cepat aku berambus dari tempat ni.  Panas, rimas!”  Rayyan menarik tali lehernya.  Melonggarkan ikatannya supaya memudahkan aliran keluar masuk udara ke dalam bajunya.  Dahinya mula berpeluh-peluh.  Wajahnya yang putih juga sudah mula merona merah.  Airis diam kaku, hanya menanti bicara seterusnya dari lelaki itu.

“Aku dah berbincang dengan family aku tentang perkahwinan kita.  Ada beberapa hal yang kami bincang dan putuskan bersama dan ada jugak beberapa perkara yang aku sendiri tetapkan dan aku nak cuma kita berdua jek yang tahu tentang hal ni.  Mula-mula sekali aku nak beritahu apa yang family aku dah tetapkan.  Yang pertama, perkahwinan kita Sabtu dan Ahad ni cuma berlangsung di kampung ni jek.  Maknanya, apa yang bermula di sini akan berakhir di sini juga.  Kita takkan sambut apa-apa langsung di rumah aku selepas majlis di sini. ”  Airis terkedu.  Terasa bergegar gegendang telinganya saat  mendengar kata-kata terakhir Rayyan.

“Yang kedua,  kita cuma menjadi suami dan isteri pada sekeping sijil pernikahan sahaja.  Hakikatnya, kau dengan dunia kau, aku dengan dunia aku.  Kau boleh buat apa yang kau suka dan aku boleh buat apa yang aku suka.  Tapi, dengan syarat depan family, kita pandai cover line.”  Rayyan meneguk liur.  Menanti reaksi gadis di hadapan yang terkebil-kebil.

Cover line atuk kau lah.  Ingat aku ni apa agaknya.  Ah, janji aku dapat sambung belajar sudah lah.  Setakat berlakon ni, kacang punya.’  Bicara Airis di dalam hati.  Matanya masih merenung Rayyan tapi nyata fikirannya melayan jauh.

“Kau dengar tak apa aku cakap ni?”  Rayyan menjegilkan matanya.  Risau melihat gadis itu terusan membisu.

“Dengar.  Aku belum pekak lagi.”  Airis menjawab hambar.  Malas dia hendak melayan karenah lelaki di hadapannya itu.

“Lagi satu, buat sementara ni lepas kahwin kita duduk dengan family aku.  Jadi sepanjang berada dalam rumah tu, pandai-pandai la kau layan aku supaya orang lain tak syak.”  Airis menghela nafasnya panjang.  Butir-butir kata Rayyan didengarnya satu persatu.

“Itu je?  Itu jek syarat-syarat nak jadi bini kau?  Dah takde lagi dah?”  Airis senyum menyindir.  Dipandang wajah Rayyan tajam.

“Apa-apa jek la wahai Encik Rayyan Irsyad.  Suka hati kau lah nak buat macam mana yang kau suka.  Tapi aku nak tanya satu jek.  Sampai bila kita nak jadi macam tu?”  Airis merenung mata lelaki di hadapannya.  Lelaki itu mendengus.  Dia bingkas bangun ingin beredar dari situ.

‘Sampai aku jumpa pengganti kau.’  Getus hati Rayyan.  Langkahnya dilajukan, ingin segera dia meninggalkan tempat itu.  Fikirannya bertambah kusut.  Memikirkan masalah yang kian bertimpa.  Terlintas wajah Airis di fikirannya.  Sayu hatinya melihat keadaan Airis yang tersepit.  Tapi sesungguhnya, dia juga mangsa keadaan!





Secebis Kata : Update Pelangi Hati sangat-sangat slow.  Rasanya readers pun banyak da tak ikut cerita ni.  Jangan la macam tu ye, bacalah sebagai tanda sokongan pada AA.  Berminggu-minggu  AA hadapi macam-macam dugaan, dan ambil sedikit masa nak draf cerita ni.  Maaf baru kali ni AA dapat kembali menulis.  teruskan menyokong ye kawan-kawan!