Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday 23 December 2016

Aksara Cinta Elvina - Bab 4






ELVINA mengetap bibir.  Botol mineral digenggamnya kuat-kuat.  Dari tadi dia tekun melihat Iskandar yang sedang rancak berbual bersama rakan-rakannya.  Sama-sama kepenatan sebaik keadaan kicau bilau tadi beransur reda setelah Ustaz Zamri  dan beberapa lagi pelajar lelaki melaungkan azan ke segenap ruang sekolah.

Hatinya meronta ingin berbual dengan Iskandar, entah apa sebabnya dia juga tidak tahu.  Cuma ada sesuatu pada lelaki itu yang buat dia terasa ingin mengenalinya dengan lebih dekat.
            
“Vie!”  Spontan Elvina menoleh.
            
“Kau buat apa kat sini?” Tegur Haslinda dari jauh, dengan muka pelik.  Melihat Elvina yang dari tadi mundar mandir seperti sedang ligat memikirkan sesuatu.
            
“Err...takde apa-apa!”
            
“Kau tahu tak Zati dah bising tunggu kau kat dalam surau sana.  Dia cakap kau keluar tadi lepas hantar dia kat surau.....nak cari aku sebab nak beritahu dia pengsan. Tapi kenapa kau boleh ada kat sini?  Aku kan jual makanan dekat stall sana.”
          
“Errr..aku...ahh...er..” Elvina tergagap-gagap.
            
“Kau ni kenapa?” Kerut di dahi Haslinda semakin jelas.  Matanya melilau, memandang sekeliling kawasan itu sebelum tertancap pada susuk tubuh Iskandar yang sedang duduk berkumpul bersama kawan-kawannya di anak tangga tepi gelanggang futsal itu.
            
“Kau ni....”  Haslinda tersengih.
            
“Apa?!”  Elvina menjegilkan biji matanya.  Serentak pipinya merona merah menahan malu yang tiba-tiba saja muncul.
            
“Kau perhatikan Iskandar kan sebenarnya dari tadi?”  Haslinda masih dengan senyum nakalnya.
            
“Mana ada!”  Elvina memekik lantang. 
            
“Kau jangan nak bohong aku lah Vie!  Kau ingat aku baru kenal kau ke?”  Haslinda tersengih lagi.
            
“Kau ingat aku tak perhatikan kau ke?  Dari jauh lagi aku dah nampak kau terjenguk-jenguk..kejap duduk, kejap bangun.  Tertoleh-toleh, tertinjau-tinjau...mundar-mandir sana sini macam kucing nak beranak!”
            
“Tu....mata kau tu.  Ingat aku buta ke tak nampak kau perhati mamat hujung sana tu?”
            
Haslinda galak dengan provokannya terhadap Elvina.  Dia kenal Elvina.  Dia tahu Elvina menyembunyikan sesuatu di sebalik keresahan dan penafiannya itu.  Dan dia pasti ada sesuatu di dalam hati Elvina terhadap Iskandar.
            
“Mana ada lah!  Aku...aku tunggu...aku...” Elvina terdiam, mindanya ligat memikir idea untuk berbohong.
            
“Apa?” Sergah Haslinda.
            
“Tunggu kau!  Ha..aku tunggu kau!”
            
“Ye lah tunggu aku! Kau tak payah lah nak bohong Vie.  Jangan buat kelakar boleh tak?”
            
“Mana ada buat kelakar?  Aku tengah ketawa ke?”
            
“Tak kelakar kau cakap?  Kau tunggu aku?  Bila masa kau cakap kau nak tunggu aku kat sini?  Dari tadi aku kat stall......sampai aku pergi sendiri jumpa Izati takde siapa pun yang cakap kau tunggu aku kat sini.  Kau jangan nak membohong aku lah.  Kau...”
            
“...Jom lah kita pergi tengok Zati!  Dah, cepat!  Jom! Jom!” Pantas Elvina memintas ayat Haslinda sambil laju tangannya menggapai lengan sahabatnya itu.  Bimbang lebih banyak soalan yang keluar dari mulut Haslinda, semakin mengarut jawapan yang dia berikan. 
            
Iskandar menoleh.  Memerhati dari kejauhan susuk tubuh Elvina dan Haslinda yang sudah pun mula beredar.  Dari tadi, sewaktu dia rancak berborak dengan kawan-kawannya lagi dia sudah perasankan kelibat Elvina yang terjenguk-jenguk memerhatikannya.  Setiap kali dia memandang ke arah Elvina, cepat saja gadis itu melarikan pandangan.
            
Sengaja juga dia membiarkan gelagat gadis cantik itu.  Ingin melihat sejauh mana lagi tindakan Elvina selepas itu.  Lama dia menunggu kalau-kalau Elvina datang mendekat, malangnya sehingga saat Haslinda muncul, Elvina tetap di situ.  Memerhatikan dirinya dari jauh.

Nalurinya yakin, bagai wujud satu getaran antara dia dan Elvina walau jarak mereka yang agak jauh ketika itu.  Bagai terasa-rasa seolah Elvina cuba mendekati dirinya selepas kejadian rasuk di sekolah itu tiga jam yang lepas.  Apatah lagi dia menyedari Elvina yang bagaikan kaku di sisinya melihat dengan tekun setiap kali dia cuba menyelamatkan pelajar-pelajar yang meraung kerasukan.
            
Renungan mata Elvina tepat terus menusuk ke tangkai hatinya.  Buat dia juga terbuai dengan perasaannya sendiri dan bagai dapat membaca bahawa Elvina sedang mengagumi dirinya ketika itu.  Buat dia merasa istimewa pada pandangan mata gadis itu.  Untuk pertama kalinya.  Terasa dirinya dipandang bernilai oleh gadis sesempurna Elvina.
            
Matanya masih memandang pada bayangan dua gadis itu yang semakin lama semakin menghilang.  Masih belum dapat melupakan tingkah Elvina sejak dari tadi.  Buat dadanya juga sesak dengan mainan perasaan sendiri.  Dalam riuh gelak tawa rakan-rakannya, dia tenggelam dalam buaian khayalannya jauh entah ke mana. 


                        *******************************************


“LAMA betul kau cari Linda ye Vie?  Sesat ke?” Izati menjeling tajam.  Wajahnya dipalingkan.  Mengelak dari bertentang mata dengan Elvina.
            
“Alolololo...merajuk pulak dah mak cik ni!  Sini peluk sini...sayang dia!” Elvina mendepangkan tangan lantas bahu Izati diraih.  Dia tahu rakannya itu berpura-pura merajuk.  Sudah masak sangat dengan perangai dua sahabatnya itu.
            
“Kau cari Linda ke Linda cari kau?” Izati tersengih.  Hilang sudah rajuknya saat Elvina memeluknya erat.
           
“Aku cari dia...dia cari aku.” Elvina tersengih-sengih.
            
“Ha ah...kau cari aku sangat!  Cari nun kat futsal court sana!”
            
Futsal court?  Kau buat apa kat situ?  Kan Linda kat stall jual makanan depan blok A?” Izati pelik.  Berkerut keningnya.
            
“Memanglah aku nak cari Linda.  Tapi masa nak pergi ke stall dia, aku jumpa punya lah ramai budak-budak sekolah ni histeria, menjerit, mengamuk.  Kau tahu tak cikgu-cikgu kumpul budak-budak yang histeria ni semua kat dalam futsal court tu supaya senang nak kawal?” Elvina menaikkan keningnya.  Serentak kedua sahabatnya menggelengkan kepala.
            
“Haa...tu lah.  Tak tahu kan?  Sebab tu aku ada kat situ.  Tengok-tengok, tolong-tolong apa yang patut.  Dah kalut tolong sana-sini tu sampai terlupa pulak nak pergi panggil Linda ni.”
            
“Tapi tadi masa aku sampai situ....kau tengah....” cepat-cepat Haslinda menyampuk.
            
“Tengah buat keputusan sama ada nak pergi cari kau atau balik semula kat surau.  Takut lah kalau ada budak lain dah beritahu pasal ni semua masa aku sibuk tolong-tolong tu, jadi mungkin kau dah ada dengan Izati kat dalam surau ni,” laju Elvina mencelah. 
            
“Vie...boleh tak kau tak payah nak temberang aku?” Haslinda senyum senget.
            
“Mana ada temberang?” Elvina menjegilkan matanya.
            
“Aku belum buta Vie sayang oi...kau ingat aku tak nampak ke kau tengah perhatikan siapa?”
            
“Siapa?” Mata Elvina dibulatkan.  Dadanya berdebar.  Malu aksinya diperhatikan tanpa disedari.
            
“Is...”
            
“Is?” Mata Izati terbeliak.
            
“Ya Zati....Is.  Masa aku sampai tu kemain asyik dia merenung si Is tu.  Lepas tu gelisah semacam.  Sekejap bangun, sekejap duduk.  Mundar-mandir macam kucing nak beranak.”
            
“Is?  Is geng study group kita tu ke?”  Izati membesarkan lagi matanya.
            
“Ya lah....Is tu lah.  Is mana lagi lah kat sekolah ni?”
            
“Hai..tak puas ke kau tengok dia dalam study group kita Vie?” Izati tersengih.  Masih terasa pelik dengan kelakuan Elvina.
            
“Sebelum ni cakap menyampah lah, meluat lah.  Time study group tak nak pulak tenung macam tu.  Bila jauh tenung macam nak terkeluar biji mata!” Haslinda menyakat.  Bibirnya menguntum senyum sehingga ke telinga.
            
“Sebab tu lah kita ni jangan menyampah sangat dekat orang...nanti terjatuh sayang.  Sekarang siapa yang malu?  Betul tak kitorang cakap hari tu?” Izati pula menyampuk.
            
“Amboi!  Sedap korang bahan aku kan?  Terjatuh sayang bagai lah.  Ya lah..ya lah...Aku mengaku...”
            
“Haaa...mengaku pun!  Dah jatuh cinta lah tu!” Pekik Haslinda spontan.
            
“Wei..jatuh cinta apanya lah!  Takde maknanya aku nak jatuh cinta bagai ni semua lah!  Aku takde masa nak bercintan-cintun bagai ni semua....”  cepat-cepat Elvina memintas.  Serentak darah panas naik ke kepalanya.  Malu.  Malu mengakui hakikat sebenar perasaan aneh dalam hatinya.
            
“Habis tu tenung si Is tu lain macam dah kenapa?” Haslinda galak mengusik lagi.  Tidak berpuas hati dengan jawapan Elvina.
            
“Tu lah..korang takde kat situ, korang tak tahu.  Aku ni yang nampak dengan mata kepala aku sendiri apa si Is tu buat.”
            
“Dia buat apa?”
            
“Dia macam ada kuasa dalaman yang menenangkan budak-budak yang melolong-lolong terjerit tu...sampai dengan aku sekali macam terpukau.”
            
“Kau ni biar betul Vie.” Haslinda enggan percaya.
            
“Maksud aku dia macam ustaz-ustaz yang merawat benda-benda halus lah.  Kau ingat kuasa dalaman tu Ultraman dengan Superman jek ke yang ada?”
            
“Habis tu kau cakap kuasa dalaman.  Aku dah terbayang dia ada api kat tangan tengah fire hantu. Hebat wei..hebat!” Terus berderai tawa mereka bertiga. 
            
“Tak lah...bukan macam tu.  Kira dia boleh mengubat jugak lah orang-orang kena sampuk ni.....”
            
“...macam tok bomoh!” Sampuk Izati.
            
“Haaa...betul-betul.  Tok bomoh Is!”
            
“Tok bomoh?” Elvina berkerut dahi.
            
“Okey jugak!” Pecah tawa mereka bertiga, bergema ke segenap ruangan surau itu.
            
“Entah-entah dia memang ada menuntut ilmu apa-apa sebab tu pandai mengubat orang kena sampuk.  Korang tak tengok, sekali dia sapu muka budak-budak ni....terus terkulai semua.  Diam, kaku, tak bergerak-gerak lagi dah.  Sebab tu aku kagum dengan dia.
            
Sebenarnya tadi aku terjengah-jengah dia tu, nak ajak dia borak-borak kejap.  Nak tanya lah macam mana dia boleh pandai mengubat macam tu.  Belajar dengan Ustaz ke?  Menuntut ilmu apa-apa ke?  Bukannya dah jatuh cinta, okey!” Elvina menjegilkan matanya.  Menafikan kenyataan kawan-kawannya sebelum ini.
            
Baik Izati dan Haslinda, sama-sama tersengih.  Malu kerana tersalah anggap tapi dalam masa yang sama masih terasa Elvina cuba menyembunyikan sesuatu.
            
“Dah tu  kenapa tak tegur jek?  Bukan kau tak biasa dengan dia?  Dalam study group kemain garang lagi kau dengan dia,”  tanya Haslinda.
            
“Ramai budak-budak lain dengan dia tadi.  Tu yang aku fikir dulu, nak pergi tegur dia kat situ atau nanti dulu.  Tup-tup...kau muncul sergah aku.  Potong betul!”
            
“Mana aku tahu kau nak temu ramah tok bomoh!” Haslinda menyeringai.  Masih belum hilang sisa tawa pada garis bibirnya.
            
“Ala..esok-esok kan kita ada buat lagi study group.  Nanti kita tanyalah puas-puas macam mana dia boleh handal sangat lawan kuasa-kuasa mistik ni semua.  Aku pun berminat jugak nak tahu.  Tak sangka dia sehebat tu.  Kalau time study group kemain baik, senyap jek.  Tunduk, pasrah dan menyerah jek.  Time kelas pulak asyik kena denda diri depan pintu jek macam pak guard.  Rupa-rupanya ada bakat terpendam.  Jadi tok bomoh!” Spontan ketiga-tiga mereka ketawa besar.
            
“Cakap fasal study group ni, minggu depan lah kita mula.  Esok dah Jumaat, dapat cuti sebab ganti hari ni Ko-ko.  So, aku rasa kita mula semula Isninlah.  Kita rehat hujung minggu ni.  Lagipun kesian pulak dekat kau,” terus semua mata tertumpu pada Izati.
            
“Ha ah takpelah.  Lagipun aku penat ni.  Tiga hari cuti tu boleh aku tidur puas-puas.”  Haslinda tersengih.
           
“Tidur jek yang kau tahu. Kita ni hujung tahun dah SPM tahu.  Dah tak banyak masa yang kita ada.  Sekarang dah bulan September.  Pejam celik, pejam celik, tahu-tahu esok kita dah exam,” sampuk Izati.
            
“Habis tu kau tu okey ke?  Aku kesian kat kau Zati. Mana tahu masih belum okey,” cepat-cepat pula Elvina memintas.  Bimbang niatnya disalaherti.  Sedar masa kian singkat sebelum peperiksaan besar dalam hidup mereka bermula tapi dia risau keadaan sahabat baiknya itu.
            
“Aku okey kot?  Entah, kadang-kadang macam ada rasa pening sikit-sikit.  Macam nak demam pun ada.”  Izati memicit dahinya perlahan-lahan.
            
“Semangat kau belum okey lagi ni.  Terkejut tadi.  Sebab tu aku suruh kita buat study group minggu depan jek tunggu kau dah betul-betul sihat.  Nanti kau balik suruh lah mak ayah kau cari air penawar dekat ustaz mana-mana yang pandai untuk pulihkan semangat....”
            
“Amboi Vie...kau dah macam bini tok bomoh nampak?” Pantas Haslinda menyampuk.  Lebar sengihannya kali ini.  Masih galak menyakat Elvina.
            
“Eh...ak..aku..cakap jek apa yang aku tahu.  Bukannya Is yang beritahu aku pun nak kena buat apa dengan orang-orang yang lemah semangat ni...”  Elvina tergagap-gagap.  Pipinya sudah merona kemerahan.
            
“....eh, bila pulak si Linda ni cakap pasal Is?  Mana ada dia sebut pasal Is?  Kau ni, semua benda nak libatkan Is padahal kitorang tak cakap pasal Is pun.  Sah kau ni dah angau ni!” Izati pula galak menyakat.
            
“Laa...Linda cakap tok bomoh tadi kan?  So, aku assume tok bomoh tu Iskandar lah.  Korang jugak yang gelarkan dia macam tu tadi.  Takde masa lah aku nak angau-angau ni semua!” Elvina panas hati.  Dia malu hakikatnya diusik sebegitu terus-terusan sejak dari tadi.
            
“Ala...nak angau pun takde salahnya la Vie.  Sesuai apa kau dengan Is tu.  Tok bomoh dan bini tok bomoh!  Wah...boleh buat tajuk novel.  Suamiku Tok Bomoh.  Atau Tok Bomohku Sayang.  Tak pun....Cintaku Si Tok Bomoh,” terburai tawa mereka bertiga.  Lama tawa mereka kali ini.  Masing-masing menekan perut malah ada yang mengesat hujung mata yang berair lantaran ketawa berterusan.
            
Start dah mengarut korang ni.  Malas aku nak layan.” Elvina menarik muka.  Sakit hati disenda kawan-kawannya.
            
“Ala..gurau lah.  Tu pun nak merajuk.” Izati pantas mencucuk pinggang Elvina.  Spontan gadis itu menarik hujung jarinya, menghalang Izati dari terus menggeletek.
            
“Aku nak balik ni.  Korang?” tanya Elvina lantas mengangkat beg galas yang diletak di sisinya tadi.
            
“Aku tengah tunggu mak ayah aku sampai.  Tadi Ustazah cakap dah call diorang. Kau, Linda?” Semua mata tertumpu pada Haslinda pula kali ini.
            
“Aku kena balik stall semula.  Kena tolong diorang kemas dulu stall lepas tu baru boleh balik rumah.  Cikgu dah warning awal-awal dah.  Esok akan ada panel yang datang sekolah untuk check stall area ni.  Mana-mana stall yang tak kemas, berselerak, sampah bersepah-sepah, minggu depan....siap!  Kena bayar penalti lepas tu kelab atau persatuan kena black list tak boleh dah berniaga tahun depan,” terang Haslinda panjang lebar.
            
Terbayang di matanya kini gerai makanan yang diamanahkan kepadanya oleh guru pengendali Persatuan Bulan Sabit Merah.  Dia selaku AJK yang terlibat untuk program Hari Ko-kurikulum pada hari ini dipertanggungjawabkan mengendalikan dapur untuk memasak roti john, roti jala dan burger bersama dua orang pelajar Tingkatan 4.  Mereka inilah yang menjadi pembantu bagi melengkapkan bahan sampingan ketiga makanan tadi sebelum dibungkus dan dijual.
            
Selain daripada ketiga-tiga makanan yang dimasak, beberapa ahli persatuan juga sukarela menyediakan hidangan lain dari rumah masing-masing untuk memperbanyakkan jualan.  Antara yang disediakan oleh mereka adalah kuih-muih, sandwich dan beberapa jenis pemanis mulut.  Minuman-minuman untuk jualan pula disediakan di gerai sahaja dibantu oleh ahli-ahli yang ada.
            
Kebiasaannya pada Hari Ko-Kurikulum yang dianjurkan sekolah setiap tahun pada penghujung bulan September ini akan menggabungkan semua kelab dan persatuan yang ada untuk menyertai gerai-gerai jualan menjual pelbagai barangan dan makanan.  Duit hasil dari kutipan jualan ini kebiasaanya akan dikumpul ke dalam tabung kelab dan persatuan masing-masing untuk kegunaan sepanjang tahun.
            
Selain gerai jualan makanan dan pelbagai barangan lain, akan wujud jugalah rumah hantu seperti anjuran kelab Kebudayaan dan Kesenian yang disertai Iskandar tadi.  Manakala Kelab Kesenian pula kebiasaannya akan menganjurkan galeri lukisan yang mempamerkan pelbagai hasil-hasil seni kesemua pelajar yang berminat.  Di samping itu juga, akan wujud juga pelbagai jenis permainan yang mengenakan tiket bayaran seperti futsal, permainan game virtual secara online dan banyak lagi.
            
Malangnya pada tahun ini terjadi pula peristiwa histeria dan kerasukan yang berpunca dari rumah hantu yang dianjurkan.  Izati pasti aktiviti rumah hantu tidak akan dianjurkan lagi untuk tahun seterusnya selepas ini.  Apatah lagi diawal penganjuran rumah hantu ini pada tahun-tahun sebelumnya telah mendapat tentangan hebat dari beberapa orang guru dan kini perkara yang ditakuti telah pun benar-benar terjadi.
            
“Ye lah.  Memang patut cikgu buat macam tu.  Kan tahun lepas aku terlibat dengan senior.  Yang mana jualan dah habis tu, terus jek balik.  Yang mana tinggal nilah yang kena bersihkan sampah-sampah diorang ni.  Mungkin sebab tu tahun ni cikgu buat peraturan macam ni.  Adil lah kan?  Siapa yang buat sepah, dia lah yang kemas.” Izati menyampuk mematikan lamunan Haslinda.
           
“Kalau macam tu, aku balik dulu lah.  Jumpa korang minggu depan.” Elvina bingkas bangun. 
            
“Tapi pameran kau dengan budak-budak yang lain macam mana?  Takkan nak dibiarkan?” 
            
“Tadi aku dah kunci bilik pameran.  Nanti Isnin baru cikgu Balqis decide macam mana.  Sebab dia ada beritahu aku,  mungkin kekalkan jek kat situ tak payah dikemas.  Senang buat rujukan untuk budak-budak Form 4 nanti.  Kebanyakan material dalam pameran tu  memang ada dalam silibus, jadi senang diorang tinggal ikut contoh jek. Okey korang, aku balik dulu.  Jumpa Isnin,” terus Elvina mengorak langkah.
            
Serentak kedua sahabat itu mengangguk seraya melepas pandang pada susuk tubuh Elvina yang perlahan-lahan meninggalkan mereka.


No comments: