Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Thursday 1 December 2016

Aksara Cinta Elvina - Bab 1










“APA yang awak ingat?  Semuanya lupa!  Berus takde, warna takde...habis tu macam mana nak siapkan semua ni?” Cikgu Balqis mencekak pinggang.

“Awak jangan lupa Vie...bulan depan Hari Ko-Ko...Lukisan banyak lagi nak kena siapkan.  Yang awak ni, asyik terlupa jek lah!” Cikgu Balqis memetir lagi.  Geram melihat sikap acuh tak acuh anak didiknya.

Dia memandang Elvina yang terkebil-kebil di hadapannya.  Sesekali matanya melingas pula pada kepingan kertas putih yang tidak berwarna itu.

Sorry cikgu...Saya betul-betul terlupa.” Elvina tersengih.  Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. 

“Takde sorry, sorry.  Sebagai ketua pameran yang bertanggungjawab handle Galeri Seni pada Hari Ko-Ko nanti, saya tak nak awak main-main.  Dah, pergi berdiri kat luar kelas sana.  Diri kat situ sampai habis kelas!” Cikgu Balqis menjegilkan matanya.  Geram melihat sengihan Elvina tadi.

Dia menarik nafasnya panjang.  Terasa letih otaknya berfikir tentang pelbagai program yang telah pihak sekolah aturkan.  Sebagai guru yang terlibat dengan tiga acara, tentu saja semuanya buat dia bertambah pening kepala.  Walaupun tugas telah pun dibahagikan sama rata kepada jawatankuasa yang dilantik, marahnya naik mendadak bila pengerusi kelab seni di bawah kendaliannya seolah-olah bersikap tidak mengambil berat.  Dia gusar segala-galanya tidak menjadi seperti yang dirancang sedangkan waktu program bakal berlangsung sudah semakin singkat.

 “Tapi...” Elvina bersuara antara dengar dan tidak.

“Takde tapi-tapi!  Saya tengah marah ni, awak jangan nak main-main.  Pergi berdiri kat luar!” Cikgu Balqis menjegilkan matanya lagi.  Terasa ingin ditelan Elvina ketika itu.

Elvina terus diam.  Tidak berani untuk membantah lagi walaupun hatinya ikut panas ketika itu.  Dia bingkas bangun, menunduk merenung lantai tapi dia tahu seluruh isi kelas sedang memerhatikan dirinya. 

Lambat-lambat dia berjalan, keluar dan tercegat di luar pintu.  Malunya dia bukan kepalang pada mata-mata yang mula menjenguk dari tingkap kelas-kelas bertentangan tapi dia sendiri tidak punya pilihan lain.  Sesekali dia mendengus.  Geram dengan sikap Cikgu Balqis yang langsung tiada kompromi.

‘Ni semua Mama punya pasal lah ni!  Sibuk sangat suruh aku check stok malam tadi.  Sampai terbangun lambat aku pagi tadi.  Sempat capai beg jek, tak ingat langsung dengan drawing set aku!’ Elvina membebel di dalam hati. 

“Pssttt!” Bisikan lembut menggamit ruang dengarnya.  Dia menoleh.

“Kau kena denda ke?” sengih lelaki di sebelahnya sambil menjongkitkan kening.  Tadi sewaktu dia keluar menuju ke pintu itu, langsung dia tidak perasankan budak lelaki yang dari tadi tersengih.  Macam kerang busuk!

“Kau apa hal?” Elvina mengerutkan kening.  Geram dengan soalan lelaki itu yang seolah menyindirnya.

“Eh, garangnya kau ni!” Iskandar tersenyum.  Hatinya berbunga riang sebaik melihat gadis itu keluar dari kelas dan berdiri tercegat di hadapan pintu kelas.  Pasti gadis itu juga didenda sepertinya.

Hari ini dia kelewatan lagi.  Sudah lah lewat, dia tertinggal buku teksnya di dalam bilik tidur sewaktu bergegas ke sekolah.  Dan untuk ke sekian kalinya, dia di situ lagi.  Menjadi peneman setia pintu bilik kelasnya.  Malu sudah tiada lagi dalam kamus hidupnya.  Malahan seisi sekolah juga sudah tidak hairan melihat dia tercegat di situ.

“Biar lah! Aku nak garang ke apa ke!” Elvina menjeling.

Ala...aku tanya jek.  Lagipun, kita ni sama lah...dua-dua kena denda berdiri kat luar kelas.  Itu pun nak marah ke?” Iskandar mencebik bibir.  Sesekali matanya melingas masuk ke dalam kelasnya bimbang cikgu ternampak dia yang sedang berbual dengan gadis itu.

“Aku lupa nak bawak drawing set aku.  Tu...kau tengok Cikgu Balqis tengah menyinga.  Sikit lagi aku nak ditelannya tadi.” Elvina menjeling sekilas pada Cikgu Balqis yang sedang tegak berdiri memerhati salah seorang kawan sekelasnya yang sedang tekun mewarna.

“Kau kenapa kena denda?” tanya Elvina kemudiannya, separuh berbisik.  Takut perbualan mereka menarik perhatian kedua-dua isi kelas mereka.

“Aku lupa bawa buku teks.”

“Kau ni memang selalu kena denda berdiri kat pintu kelas kan?  Aku selalu nampak kau berdiri kat sini.”

“Eh...kau curi-curi perhatikan aku ke?” terus Iskandar laju memotong ayat Elvina.

“Eeiii...tak kuasa aku nak perhatikan kau lah!” Elvina menjeling tajam.  Kali ini dia memalingkan wajah.  Malas untuk memanjangkan lagi perbualan.

“Eh..betul lah kau selalu perhatikan aku.  Kalau tak, takkan kau tahu aku selalu kena berdiri kat luar kelas kan?”

“Habis setiap kali aku masuk kelas Seni jek mesti muka kau ada kat sini...” laju Elvina memintas kata-kata Iskandar.

“Tup-tup hari ni, dengan kau sekali kena berdiri kat luar kelas dengan aku kan?” Iskandar mengekek ketawa tapi dia menahannya dengan menutup mulut.  Bimbang Cikgu Baharom yang sedang mengajar terdengar hilai tawanya.

“Malas aku nak layan kau lah.” Elvina menjeling lagi.

“Ish...kau punya jeling tu!  Menusuk!  Cair terus aku!”

“Gila!” Elvina menjeling lagi.  Kali ini lebih tajam.

“Kau tahu tak aku selalu kena denda berdiri kat pintu kelas ni sebab sengaja?  Memang aku ternanti-nanti nak kena denda berdiri kat luar kelas.”

“Gila!  Malas aku nak layan kau.” Elvina berpaling.  Hatinya mula panas.  Mula merasakan yang Iskandar semakin sewel.  Malas dia hendak terus melayan Iskandar.  Pandangannya dibuang terus ke hadapan.  Enggan lagi memandang Iskandar yang masih berminat untuk menyambung bicara.

“Betul lah apa aku cakap ni.  Kau tak percaya ke?  Ya, memang sengaja aku tak bawak buku teks lah, tak siap homework lah.  Supaya kena denda setiap kali kau ada dalam kelas Seni ni.”

“Dan selalunya aku yang pilih pintu belakang kelas ni bila cikgu denda aku.  Sebab....dari pintu ni lah aku boleh curi-curi pandang kau tengah khusyuk melukis kat dalam kelas.  Kalau aku diri kat pintu depan sana tu, tak dapat lah aku tengok kau.  Dan kalau aku tak kena denda, macam mana aku nak nampak kau, kelas aku dengan kelas seni ni kan sebelah-sebelah, lain lah kalau kelas kita ni setentang....senang aku nak tengok kau!” Iskandar menjeling sekilas pada pintu di bahagian kanannya.

“Ishhhh...gila lah kau ni!” Elvina separuh memekik sebaik mendengar penjelasan Iskandar.  Matanya dibuntangkan.  Terkejut dengan pengakuan Iskandar.

“Ha ah, memang gila.  Gilakan kau!” Iskandar tersengih.

“Aku...Iskandar.  Kau?” keningnya dijongketkan, menunggu jawapan dari si gadis manis pujaan hatinya itu.

“Takde masa lah aku nak layan kau!” Elvina menjeling.  Badannya dipalingkan.

“Ala..kau ingat aku tak tahu?  Kau Vie kan?  Pengerusi kelab Seni sekolah ni, merangkap Librarian...dan budak paling cantik kat sekolah ni!”

Elvina terkedu.  Sedikit terkejut kerana lelaki itu mengenalinya sedang dia langsung tidak menyedari kewujudan lelaki itu di sekolah ini.  Elvina berpaling, melihat lelaki yang tidak putus dengan senyuman itu dari hujung kaki hingga kepala.  Penampilannya biasa-biasa.  Seperti kebanyakan pelajar lelaki yang ada di dalam sekolah itu.  Tapi, senyuman lelaki itu.  Ya, senyumannya!  Bagai ada satu tarikan yang..entahlah!  Dia tidak tahu hendak mentafsirkannya. 

Entah mengapa selama ini dia langsung tidak menyedari lelaki itu.  Mungkin kerana hidupnya yang sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti apatah lagi dengan dua jawatan yang disandangnya.  Dia memang langsung tiada masa untuk memerhatikan orang lain.

Pulang ke rumah, dia akan sibuk membantu ibunya menguruskan perniagaan peninggalan arwah ayahnya.  Dengan urusan pengiraan stok, mengambil pesanan untuk setiap barang yang sudah habis sehingga kadangkala menguruskan pesanan sesetengah pelanggan.  Malah dia tiada masa untuk dirinya sendiri lantaran kesibukannya!

“Kita kawan?” tanya Iskandar bila dilihat pandangan Elvina menyapu bersih seluruh susuk tubuhnya, dari atas ke bawah.

“Kau tak sudi?” Iskandar menjongkitkan kening.

“Vie.” Elvina menggariskan senyuman tipis, cuba berlembut hati.  Berkawan, apa salahnya?  Akhirnya, dia kalah pada senyuman lelaki itu.

“Amboi...awak berdua ni.  Saya bagi denda berdiri dekat luar kelas tapi bukan main lagi korang bercengkerama ya?  Kamu ni Is...pantang nampak yang dahi licin, terus jual minyak ya!”  sergah Cikgu Baharom tiba-tiba.  Spontan terperanjat kedua-duanya. 

“Awak pergi berdiri dekat pintu belakang sana!  Jangan rapat dengan Iskandar ni...dia ni bukan boleh bagi chance!”  arah Cikgu Baharom lagi sambil tangannya diangkat menunjuk ke pintu belakang kelas Seni kepada Elvina.

“Eh..kenapa ni Cikgu?”  jenguk Cikgu Balqis pula saat telinganya menangkap kekecohan yang berlaku di luar kelas.

“Budak-budak ni sakan berborak!  Saya denda berdiri kat luar ni, diorang buat mesyuarat pintu pulak.  Geram betul saya!” 

Cikgu Baharom terus-terusan membebel lagi.  Elvina sudah mengatur langkah, perlahan-lahan menuju ke pintu belakang kelas Seni.  Wajahnya ditundukkan, malu bukan kepalang. Dia tahu ketika ini hampir kesemua pelajar di dalam kelas bangunan yang bertentangan sudah pun menyedari kewujudannya ketika itu.

Semuanya gara-gara Iskandar!


 ***********************



“KAU jangan kacau aku boleh tak?”  Elvina menjegilkan matanya.  Suaranya ditekan tapi masih terkawal.  Bimbang mengganggu fokus dan konsentrasi penghuni perpustakaan yang lain.

“Eh...mana ada aku kacau?  Kau tak nampak aku tengah cari buku ni?” Iskandar mengalih pandang, memerhati susunan buku di rak di hadapan matanya.

“Kau nak cari buku apa?” Elvina mula sebal.  Terasa bengang Iskandar masih belum puas mengganggu hidupnya.  Apatah masih belum hilang lagi rasa malunya disergah Cikgu Baharom di luar kelas dua hari yang lepas.

“Kau Librarian sekolah kita kan?  Mesti kau tahu mana letak buku-buku semua ni kan?”

“Mestilah, semua buku-buku kat sini disusun ikut kategori dan label yang tertentu.  Bukan main letak jek ikut suka.  Kau nak buku apa, biar aku carikan,” sambung Elvina lagi sambil tangannya ligat menyusun buku yang sudah berterabur susun aturnya.

“Buku Misi Memikat Cinta....Aku Cinta Padamu....Tolong Balas Cintaku....Cara-cara Memikat Hati...buku-buku macam tu lah.  Ada tak?”  Iskandar tersengih.

“Gila!”  Elvina menghentak buku yang dipegangnya kuat.  Beberapa pasang mata yang dari tadi tekun membelek buku mula melingas ke arah mereka berdua.  Tanda terganggu tumpuan mereka.

“Kau nak suruh aku jerit dalam library ni ke?”  Elvina menjegilkan matanya lagi.  Kali ini lebih besar dari tadi, supaya lelaki itu gerun.

“Eh...boleh jerit ke?  Kalau boleh jerit, aku pun nak ikut jerit sama lah.  Best jugak kan kalau boleh jerit dalam library.  Aku tak pernah lagi buat dan aku tak pernah nampak lagi ada orang yang buat. Jom!”

“Jom?”

“Laaa....tadi kata nak jerit.  Jom lah, jerit sama-sama!”

“Eeeeiiii...boleh gila lah aku dengan kau ni!” Elvina berpaling, berjalan menuju ke mejanya yang dari tadi sudah diletakkan dengan beberapa buah buku.  Malas melayan Iskandar yang sengaja mencabar kesabarannya.  Cadangnya tadi sebaik siap menyusun buku, dia mahu mengulangkaji pelajaran sebelum pulang ke rumah. 

“Ala Vie...kau ni cepat sangat lah marah.  Aku gurau dengan kau pun kau nak melenting.  Chill lah sikit!”  Iskandar tersengih.  Ah, lelaki itu sentiasa tidak lekang dengan senyumannya.

“Kau dah habis cakap?  Kalau dah habis, sila keluar.  Aku nak study.  Jangan kacau.”  Elvina menunduk, memandang pada barisan tulisan yang tersusun di dalam buku.  Tapi dia sekadar memandang, langsung tidak membacanya dengan teliti.  Fikirannya masih terganggu dengan kehadiran Iskandar yang tercegat memerhati gelagatnya.

“Vie, aku belikan kau ni.  Tadi masa rehat aku tengok kau terjongok lagi dalam Kelas Seni monitor lukisan kawan-kawan kau yang lain kan?  Sekarang dah habis waktu kelas pun kau tak terus balik.  Mesti kau lapar,”  hulur Iskandar pada Elvina.  Elvina mengangkat wajah, terkebil-kebil memandang sebungkus roti di hadapan matanya.  Dipandang pula pada wajah Iskandar yang masih belum jemu tersenyum.  Rasa terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan lelaki itu tiba-tiba.

“Makanlah! Mesti kau lapar,” unjuk Iskandar sekali lagi, tidak berputus asa.  Mengharap gadis itu tidak terus-terusan menolak. 

 “Tapi....”

“Jom, kita kongsi,” laju tangan Iskandar mencapai bungkusan roti tadi lalu dikoyakkan muncung plastik yang membalut roti.  Roti tadi dibelahnya kepada dua bahagian.

“Nah, kau makan separuh....aku makan separuh,” hulur Iskandar.

“Tapi....”

“Kenapa?  Kau nak aku suapkan ke?  Ala...manjanya lah kau ni!” Iskandar mencubit isi roti yang telah terbelah dua tadi lalu disuakan ke mulut Elvina.

“Ishhh...kau ni! Bukan tu lah!” Elvina menepis, menjauhkan wajahnya dari huluran Iskandar.

“Habis tu...Tapi tapi dari tadi...”

“Kita kan dalam library, mana boleh makan kat sini!”

Iskandar tersengih lagi!



Nota Selit : AA frust lah takde orang request pun nak baca cerita terbaru AA...Huwaaaa..Takpelah, syok sendiri pun takpelah.  Nak letak jugak tak kira! Terima kasih untuk semua sayangs yang sudi baca A.C.E ya! Muah!!

No comments: