Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday, 12 August 2016

SKDC - Bab 4

“Macam mana mak cik, ada yang berkenan di hati?” Mak andam yang sedari tadi sibuk menyusun helaian bil di atas mejanya memandang tubuh Mak Mah yang asyik membelek pakaian yang tergantung.
Mak Mah hanya tersenyum.
“Semuanya cantik-cantik kat kedai kamu ni, Tie.  Sampai mak cik tak tahu nak pilih mana satu.”
Atie tersenyum lagi. Dia sedia maklum memang kebanyakan pelanggannya kurang bijak memilih pakaian yang bersesuaian dan dia tak pernah sesekali kedekut ilmu, bahkan ada saja yang dikongsi kepada pelanggannya.
“Tak apa mak cik, saya faham. Ni mesti kali pertama nak jadi mak pengantin ni. Biasalah, belum ada pengalamanlah katakan. Cuba nanti dah dua, tiga kali jadi mak pengantin, saya pun kalah dibuatnya. Nanti silap-silap, mak cik lagi handal dari saya!” tawa kecil Atie disambut dengan senyuman lebar Mak Mah. Atie kemudiannya mengambil pula album-album gambar yang siap tersusun di atas meja.
“Mak cik ni nak buat majlis apa ya? Tunang ke kahwin?” Atie menyelak helaian album gambar satu persatu. Album itu ditutup dan diserahkan pula ke tangan Mak Mah.
“Mak cik nak buat semuanya. Dari merisik dan tunang untuk satu hari, kemudian terus nikah dan bersanding.”
“Oooo... kira semuanya nak buat dengan sayalah ni ya?  Alhamdulillah, bertambah lagi rezeki saya,” Atie masih seperti tadi, mengukir senyuman manisnya. 
“Kalau dah setuju mak cik nak ambil saya, boleh saya tetapkan dalam planner book saya ni ya. Senang nanti saya nak rujuk pada permintaan mak cik. Meniaga ni yang penting bagi saya adalah kepuasan pelanggan. Pelanggan puas hati, saya pun senang hati. Jadi sekarang saya nak tahu segala perincian tentang majlis anak mak cik ni.” Atie mengeluarkan buku dari dalam laci meja bersedia mencatatkan rancangan Mak Mah.
Mak Mah melarikan pandangannya pada kelakuan Atie yang sudah pun mula menulis sesuatu. Album gambar yang asyik dilihatnya sebentar tadi ditutup dan dikembalikan pada susunan album yang lain di atas meja. Dia menarik nafas dalam, bersedia meluahkan segala perancangannya terhadap majlis bersejarah anaknya nanti.

Syafinaz memberi isyarat lampu ke kiri. Dari jauh sudah kelihatan kelibat Mak Mah. Sebaik berhenti, Mak Mah segera masuk, menghenyakkan badannya yang sedikit gempal ke dalam kereta.
“Lambat kamu Syaf. Kau ke mana?” Mak Mah membuka zip beg tangannya mencari-cari sapu tangannya. 
“Syaf pergi bank tadi. Orang ramai, kaunter yang dibukanya sikit. Jenuh tunggu nak sampai ke nombor Syaf tadi.  Yang mak ni tak tunggu je dalam butik tadi kenapa?” Syafinaz membuka bicara tapi matanya masih menumpukan perhatian pada pemanduan.
“Lama dah mak tunggu kau kat dalam tu. Dari mak sorang sampai jadi sepuluh orang yang datang. Kau tak sampai-sampai jugak. Lagipun mak tak naklah mengganggu urusan orang lain dengan si Atie tu, jadi mak keluarlah tapi sekarang ni cuaca panas betullah. Baru lima minit je mak kat luar tadi, habis basah baju mak ni ha... berpeluh-peluh!”
Syafinaz memutar suis penghawa dingin keretanya ke tahap yang lebih tinggi supaya kepanasan emaknya segera reda.
“Sekarang ni kita nak singgah mana?”
Syafinaz mengerling Mak Mah sekilas. Diperhatikan orang tuanya itu sedang menyelak buku nota kecil yang memang dari dulu tersimpan dalam beg tangannya. Mak Mah memegang sebatang pen menandakan senarai yang sudah dibereskan.
“Jom kita pergi Harmony. Cik Senah kau cakap Harmony tengah sales sekarang ni. Memang elok sangatlah kalau kita pergi sana sekarang ni. Dapat berjimat sikit mana yang patut kan.”
Syafinaz diam. Mengeyakan tak, menidakkan juga tak.  Dia hanya menurut kehendak Mak Mah.
“Mak ni Syaf tengok beria benar ni. Jangan sampai tak cukup duit sudahlah mak.” Syafinaz bersuara sambil memarkirkan Myvinya betul-betul bersebelahan Harmony, kedai menjual kelengkapan perkahwinan. 
“Kau jangan risaulah Syaf. Keluarga dia orang memang dah bagi peruntukan sebanyak mana yang aku nak. Kalau tak cukup, bila-bila masa aku cuma telefon je dan beritahu. Letak je telefon, duit dah sampai depan mata. Apa yang nak ditakutkan?” 
Mereka masuk ke Harmony. Mata Mak Mah ligat ke sana sini hinggalah dia hampiri satu ruang. Dia membelek kain alas dulang hantaran berwarna emas di hadapan matanya.
“Syaf, cantik tak ni?” 
Melihat Syafinaz tidak memberi sebarang respons, dia berjalan menuju ke satu sudut yang mempamerkan deretan bentuk hantaran untuk meletak cincin. Syafinaz hanya membuntutinya.
“Kau rasa warna apa yang cantik dan kena ya Syaf?” Mak Mah memandang wajah Syafinaz. Menanti sebarang idea dari mulut anaknya itu.
“Hmm... Syaf rasa kita ikut warna kesukaan mak je la. Lagipun kalau mak yang pilih, memang semuanya cantik.  Nanti Syaf pilih, takut tak sesuai pulak.”
Syafinaz membelek juntaian manik pada gabus yang dibentuk menjadi piano dan dihias cantik itu. Dia tahu Mak Mah sekadar berbasa-basi, bukan betul-betul inginkan pendapat darinya. Dia juga sangat arif dengan sikap orang tua itu, kalau sudah itu pilihannya, pilihan orang lain langsung tak kan diterima pakai.
“Haaa…baguslah. Kita ikut warna kesukaan mak, hijau pucuk pisang ni. Dulang hantaran ni kita ambil yang gold, alasnya warna krim,” Mak Mah terus-terusan lagi bercakap.  Tentang warna itu, tentang ukiran ini, tentang gubahan sana, tentang gubahan sini. Semuanya sayup-sayup masuk ke telinga Syafinaz. Dia ternyata dalam dunianya sendiri.

THIA terbongkok-bongkok menyapu helaian daun kering di halaman rumah. Dia memerhati sekilas pada kereta yang masuk ke persimpangan jalan menuju ke rumahnya.
            “Thia, angkat barang-barang ni semua. Bawa masuk dalam bilik aku,” Mak Mah memberi arahan sebaik kakinya mencecah tanah. 
Saat menjejak masuk ke dalam bilik Mak Mah, Thia terpegun. Pada hiasan bilik itu, pada kemasan cadar katil yang sangat cantik, pada jambangan bunga di meja sisi, pada semuanya. Sudah lama Thia tidak menjengah bilik Mak Mah sejak dia diharamkan masuk sewaktu berumur 14 tahun. Saat dia kehilangan arwah ibu dan ayahnya dan saat dia sudah tiada lagi tempat berteduh.
Bilik stor yang dia tidur kini pun sudah cukup baik buat dirinya. Dia sedar hakikat insan menumpang. Tahu letak duduk dirinya yang langsung tidak layak untuk meminta-minta. Dia sedar dia perlu bersyukur kerana sekurang-kurangnya Mak Mah tak pernah membuangnya.
“Kau masak apa hari ni Thia?” Syafinaz bersuara sayup-sayup dari dapur. 
Thia meletakkan kotak terakhir yang diangkatnya tadi di kaki katil.
“Kari ikan tongkol dengan tumis sawi. Kau dengan mak cik dah makan?” Thia memandang wajah Syafinaz yang rakus meneguk air sirap yang tersedia dalam peti ais. Biarpun jauh usia mereka, tapi dia ber aku kau saja dengan Syafinaz. Pernah juga dia panggil Syafinaz ‘kakak’ tapi ibu tirinya melarang. Dia pun tidak faham dengan ‘ajaran’ ibu tirinya itu.
“Kalau dah, tak adalah aku tanya kau masak apa hari ni. Cepatlah siapkan hidangan. Kita orang nak makan ni. Terhegeh-hegeh betullah kau ni. Semua pun nak tunggu aku suruh baru nak buat, baru nak bergerak.”
Thia membatukan diri. Sudah lali dengan bebelan Syafinaz yang tidak berkesudahan. Lima minit kemudian, segalanya siap terhidang.
Usai makan, Mak Mah mencelup tangannya ke dalam mangkuk yang berisi air, dicuitnya sedikit air tadi kemudian dilapkan pula ke bibir dan tangannya. 
“Lepas kau kemas semua ni, pergi warung. Kau goreng pisang tanduk dengan pisang nipah yang aku beli semalam.  Hari ni tengah hari kita tak meniaga, tak kan petang pun tak nak buka. Dari kau duduk tak ada kerja ni, baik tolong aku meniaga.  Aku dah telefon Kak Inah kau suruh tolong apa-apa yang patut,”  Mak Mah mula mengatur langkah menuju ke bilik air. 
Syafinaz pula bingkas bangun. Menolak pinggan bekas makannya ke tengah meja.
“Kau tercegat apa kat situ, tak reti-reti lagi? Kemaslah.  Kau ingat ada orang gaji kat rumah ni nak tolong kau kemas?” Syafinaz mencampak gumpalan tuala yang diguna Mak Mah sebentar tadi. Dia menolak kerusinya kasar dan terus menuju ke biliknya. Berdentum pintu bilik dihempas kuat. 
Thia sekadar memekakkan telinga dan menyudahkan kerjanya. Tepat pukul 4.00 petang, Thia sudah pun tercegat di warung ibu tirinya. Kak Inah yang tiba lebih awal menyambut huluran kunci dari tangan Thia. Bergegas dia membuka pintu warung. Tergesa-gesa dia mencapai kuali, meletakkannya di atas tungku dapur seraya membuka api. Thia pula membancuh adunan tepung.
“Kak Inah ni kelam-kabut semacam je. Relakslah kak,   Mak Mah tak datang warunglah hari ni. Dia busy tahu kat rumah tu.” 
Busy? Hai…tak pernah-pernah dia sibuk kat rumah.  Akak ingat dia datang petang ni. Tu yang kelam-kabut akak bersiap ni. Karang dia sampai tak adalah membebel macam mak nenek,” Kak Inah bercekak pinggang sambil tersenyum.  Tangannya memusing tombol pemetik api di dapur mematikan api yang marak tadi.
“Amboi, mentang-mentang saya cakap Mak Mah tak datang hari ni, terus berani nak kutuk-kutuk dia ya kak. Selalu tu kecut je saya tengok akak. Sesekali tengok dah macam bibik pun ya. Baik buk, baik buk,” Thia mengangguk-anggukkan kepalanya. Sengaja dia menyakat Kak Inah, cuba menceriakan suasana.
“Ooooo…pandai kau kutuk aku ya Thia. Kau tu pun sama jugak akak tengok. Lagi nak kutuk akak. Hei…akak ni bukan takut, akak hormat je kat dia, maklum orang tua...”
Thia bangun menghampiri Kak Inah.
Respect tak apa kak, jangan suspek sudah,” Jarinya mencuit pinggang Kak Inah kuat.
“Ohhh…mak kau suspek, aku suspek, nenek kau suspek! Haaaa…kan…” Kak Inah melatah kuat sambil tangannya yang dari tadi memegang sudip diacah-acahkan ke kepala Thia. 
Thia pantas mengelak seraya melangkah laju ke depan kaunter sambil tergelak besar. Geli hati melihat gelagat Kak Inah yang melatah saat dia mencuitnya tadi. Dia kemudiannya membongkok, mencapai setandan pisang nipah yang disandarkan di tepi kaunter oleh Mak Mah semalam. Di atas meja kaunter pula, tersusun elok lima sisir pisang tanduk yang sudah masak ranum.
“Suka kan kak kalau Mak Mah tak ada. Happy je kita buat kerja. Kalau macam ni hari-hari, bahagia je hidup kita kan,” Thia menyambung lagi bicaranya. 
“Jomlah kita doa Mak Mah kau tu sakit ke, demam ke, mati ke…eh!” Kak Inah menutup mulutnya pantas. Dia segera menyedari riak wajah Thia yang berubah.
“Kalau boleh doa macam tu kak, hari-hari saya doa untuk dia tapi tak baik pulak kan. Allah marah kita berdoa sesuatu keburukan terjadi pada hambaNya yang lain. Saya cuma doa semoga satu hari nanti Allah lembutkan hati dia. Jadi lebih penyayang, penyabar, boleh dibawa ke tepi, ke tengah dan yang penting, boleh terima saya macam anak dia sendiri, keturunan suami dia jugak. Tak adalah macam pengemis je di mata dia macam sekarang ni.”
Thia langsung diam. Tangannya bermain-main dengan kulit pisang yang dikopeknya tadi. Dilipat-lipat setiap koyakan kulit pisang tadi berulang kali. 
Kak Inah mengetap bibir. Terasa menyesal dengan keterlanjuran kata-katanya tadi. Dia berkali-kali menepuk perlahan mulutnya.
Sorry Thia, mulut Kak Inah ni kau tahu jelah. Tak ada brek.”
“Ala...tak ada apa-apalah kak. Macam orang putih cakap, no heart feelings.”
Feeling? Kau jangan nak bermadah pujangga mat salih kat sini Thia. Aku ni sekolah pun tak habis. Kang kau cakap lain, aku ingat lain.”
Berderai ketawa mereka.
“Woi… kemain lagi bergelak ketawa. Selalu masing-masing macam orang bisu, diam seribu bahasa.”
Thia dan Kak Inah serentak berpaling, memandang ke arah datangnya suara itu.
“Apa woi-woi? Tak reti bagi salam ke?” Thia bercekak pinggang. Terukir senyuman di bibirnya saat melihat Hakimi.
“Yalah, Ustajah Thia. Assalamualaikum warah matullah hiwabarakatuh ustajah!”
Kak Inah tergelak sambil menggeleng-gelengkan kepalanya melihat aksi Hakimi yang suka menyakat Thia.
“Waalaikumussalam warahmatullah hiwabarakatuh usetat. Apa mimpi datang hari ni usetat?” Thia duduk, menyudahkan kerjanya sebentar tadi.
“Mak aku tu ha, hari ni nak makan pisang goreng pulak. Hari ni kau goreng pisang apa?” Hakimi duduk di kerusi bersebelahan Kak Inah tapi matanya lebih tertumpu pada kelakuan Thia.
“Hari ni keledek tak ada ya, harap maklum. Yang ada cuma pisang nipah dengan pisang tanduk.”
Tangannya pantas mengaut kulit-kulit pisang yang berselerak, dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat mati pada hujungnya lalu dicampakkan ke dalam bakul sampah.
“Eleh, aku tak ada cakap pun nak makan keledek.” 
“Ala, Thia tu dah hafal dah makanan kegemaran kau, Mi. Untung kau tahu, ada jugak orang ambil berat. Dah macam bini kau pulak,” Kak Inah bingkas bangun mencapai besen yang dipenuhi pisang bersama adunan tepung. Dia mencapai sudipnya tadi dan mengaut satu demi satu biji pisang. Dengan penuh hati-hati dia memasukkan celupan pisang ke dalam minyak panas.
“Ala kak, siapalah saya ni kak. Thia tu tak pandang pun. Maklumlahkan, saya ni dahlah bodoh, miskin pulak tu,”  Hakimi mencebik-cebikkan lagi bibirnya sambil memandang Thia.
“Ha’ah, yalah tu Kimi. Bukan kau tu ke yang banyak cekadak? Nak bini bak bidadarilah, puterilah. Maklumlah kan, saya ni dahlah pendek, hodoh, hitam pulak tu. Siapalah yang nak kahwin dengan saya ni.”
Giliran Thia pula mencebik-cebikkan bibirnya. Sengaja dia menyakat Hakimi pula dengan merendah diri. 
Hakikatnya siapa yang tidak mengenali Thia di kampung itu. Gadis sunti yang menjadi idaman dan igauan pemuda kampung. Kecantikannya diwarisi dari arwah ibunya.  Belum ada lelaki yang tidak terpesona dengan keindahan wajahnya. Cuma yang digeruni adalah Mak Mah, singa betina. 
Dengan adanya Mak Mah, semuanya memendam rasa.  Yang berani menegur dan bergurau mesra hanyalah Hakimi. Itu pun kerana ikatan perniagaan yang telah lama terbina.
“Eh, cakap fasal kahwin ni kan, tadi pagi aku terserempak Mak Mah dengan Syafinaz baru keluar dari butik pengantin kat bandar tu. Tak lama lepas tu aku terserempak pulak dia orang kat kedai jual peralatan pengantin. Ala…Harmony tulah. Siapa yang nak kahwin Thia?”
Hakimi berjalan keluar dari sudut memasak itu menuju ke tempat meja pelanggan. Dia berhenti di hadapan peti ais mencapai dua kotak air minuman, kemudian menuju semula ke arah Thia. Dihulurkan salah satu air kotak itu kepada Thia.
“Haaaa…nilah yang menjadi persoalan di hati aku ni. Nak bertanya kang tak fasal-fasal kena sembur. Jadi, aku rasa-rasalah kan, Syafinaz nak kahwinlah kut.” Dia membuka balutan plastik pada straw lalu mencucukkannya ke lubang air kotak tersebut.  Disedut minuman itu laju.
“Ya ke? Wah...diam-diam je ya Syaf tu. Angin tak ada, ribut tak ada, alih-alih je nak kahwin. Dengan orang mana Thia?” Kak Inah yang sejak tadi tekun membalik-balikkan pisang di dalam kuali tiba-tiba mencelah.
“Thia ni kak, satu apa pun tak tahu fasal majlis dia orang ni. Satu apa cerita pun tak ada Thia dengar. Kalau ada boleh jugak dijadikan bahan nak bergosip hari ni kan. Tapi masalahnya Thia ni satu apa pun tak tahu. Thia pun tertanya-tanya jugak fasal majlis ni. Cuma yang Thia tahu dari apa yang Thia nampak,  memang akan ada majlis besar. Cuma tak tahulah tunang ke kahwin ke.”
“Entah-entah Mak Mah tak wei yang nak kahwin!” 
Thia tersedak. Air yang terkeluar dari mulutnya dikesat menggunakan telapak tangan. Bulat matanya memandang Hakimi.
“Kau ni Kimi! Tersedak aku dibuatnya!” Thia bangun mendekati Hakimi lalu menghadiahkan cubitan kecil.
“Adoi! Eh, betul apa aku cakap. Mana tahu entah-entah mak tiri kau tu yang dipinang orang. Lagipun tak salah kan? Bukannya dia tu bini orang pun. Bukannya dia tak cantik walaupun dah tua. Aku rasa tak mustahil jugak entah-entah dia yang nak kahwin.”
“Akak rasa mustahillah Mak Mah tu yang nak kahwin. Dengan panas baran dia tu, jangan kata harimau, singa pun takut. Ini kan pulak manusia kat muka bumi ni. Akak rasa betullah tu si Syaf yang nak kahwin.” Kak Inah bersuara pula sambil tangannya menggapai bekas plastik yang sudah pun dialas dengan kertas surat khabar. 
Didekatkan pada mulut kuali lantas dia mengangkat semua pisang-pisang yang digorengnya dari dalam minyak panas ke dalam besen itu. Kemudian dia mengulangi proses tadi, memasukkan pisang yang sudah diadun dengan tepung ke dalam minyak panas.
“Entah kau ni Kimi. Patut-patutlahkan, kut ya pun nak berimaginasi. Aku pun rasa si Syaf tu yang nak kahwin.” Thia mencedok air panas berhati-hati dan memasukkannya ke dalam jag. Air itu disimpan untuk kegunaannya memasak esok.
“Silap-silap, engkau tak Thia yang dia orang nak pinang?” Hakimi berkata selamba sambil menyedut air laicinya. 
Thia terjegil mata memandang lagak Hakimi yang selamba.
“Ala...siapalah aku ni Kimi. Manalah ada orang nak kahwin dengan aku ni, orang buta je kut,” Thia menunduk, terus-terusan merendah diri. Tangannya ligat mencampakkan segenggam cili padi ke dalam blender yang sudah pun terisi dengan beberapa ulas bawang putih, kicap dan juga gula.
“Ala, kalau dah jodoh tak ke mana Thia. Jodohkan Allah tentukan,” lembut Kak Inah bersuara.
“Entah kau ni, aku kan ada. Kalau dah tak ada anak dara kat bumi ni nanti, aku carilah kau ajak kahwin. Kau jangan risaulah.”
“Kurang ajar kau Kimi. Bila dah tak ada pilihan lain baru kau nak cari aku ya. Aku lebih rela kahwin dengan beruklah kalau kau satu-satunya lelaki terakhir kat bumi ni,” tangan Thia mencubit lagi pinggang Hakimi.
Hakimi pantas mengelak dan berlari keluar dari warung dengan ketawa besar.
“Wei, ni aku bayar esok. Takut aku nak bagi duit kat kau. Takut kena cubitan berapi kau tu!”

Hakimi menjerit lantang dari jauh, meninggalkan Thia dan Kak Inah. Sempat dia menyambut huluran pisang goreng yang dibungkus oleh Kak Inah sebentar tadi.

No comments: