PAGI-pagi lagi Mak Mah sudah memekik-mekik.
Bingit telinga Thia dan Kak Inah mendengarnya. Segala lauk-pauk yang dimasak
bermula sebelum subuh tadi diletakkan ke dalam set bufet. Setiap set itu pula
dipasangkan api kecil di bawahnya bagi memastikan lauk-pauk sentiasa panas dan
bertahan hingga ke petang.
Syafinaz
pula dari pagi lagi sudah ke hulu hilir mengekori Mak Mah sambil menuruti
setiap arahan. Sembilan dulang hantaran sudah pun disusun memanjang di depan
pelamin yang tersergam indah. Pelamin dan hantaran semuanya serba hijau
diselangi warna krim putih. Thia tahu itu adalah warna kegemaran Mak Mah.
Syafinaz sudah
pun cantik berbaju kebaya berwarna hijau lumut. Wajahnya disolek nipis.
Rambutnya yang panjang mengurai disanggul kemas. Di bahunya tersemat kemas selendang
berwarna krim. Dia memang cukup cantik hari itu berseri-seri wajahnya. Seri
bakal pengantin katakan.
“Ha Thia, yang
kau tercegat kat sini buat apa? Tak nampak Mak Andam dah sampai tu?”
Thia
tersentak, mematikan lamunannya yang terbuai dalam kemeriahan majlis tadi.
“Nak Thia
siapkan air apa untuk Mak Andam tu mak cik?” Thia menoleh menghadap Mak Mah.
Orang tua itu hari ini juga berpakaian hijau sedondon.
“Air? Itu biar
Kak Inah kau uruskan. Pandailah dia nanti. Kau pergi masuk dalam bilik aku tu
dulu,” Mak Mah memegang lengan Thia. Ditolaknya tubuh Thia, menggesanya supaya
segera masuk ke dalam biliknya. Thia menurut.
“Ni ke bakal
pengantinnya mak cik? Meh sini duduk.
Nak mekap ni lama dik, lambat-lambat nanti cik abangnya sampai, awak tak
siap-siap lagi tapi orang cantik macam awak ni, senanglah nampaknya kerja akak.
Tak payah nak touch up tebal-tebal. Orang kata natural beauty
gitu... mekap pun tak payah tebal-tebal,” Kak Atie senyum sambil menggamit
lengan Thia pula, menyuruh Thia duduk. Terpinga-pinga Thia.
“Bersih je
kulit adik ni. Senang betul kerja akak hari ni.”
“Kak, kenapa
ni? Kenapa saya pulak yang nak disolekkan? Bukan saya yang nak ditunangkan hari
ni!” Thia menarik muka, membantutkan perlakuan Kak Atie yang sejak tadi ralit
memerhatikan wajahnya.
“Eh, adik ni
Thia kan?” Dia pelik melihat Thia yang nampak cemas.
“Ya, saya Thia
tapi bukan saya yang nak tunang hari ni. Entah-entah Thia lain tak kak?”
“Kau tunggu
sini dik, biar akak cari Mak Mah dengan Syafinaz. Hei, pening kepala aku
dibuatnya!”
Kak Atie
segera keluar dari bilik. Beberapa minit kemudian, dia muncul kembali bersama
Mak Mah dan juga Syafinaz.
“Kau jangan
banyak cakaplah Thia. Duduk sini, tadah muka kau tu, pakai baju. Kejap lagi
pihak lelaki nak sampai, kau jangan nak buat fasal,” suara Mak Mah mendatar.
Syafinaz di sisinya dari tadi tersenyum sinis. Fahamlah Thia duduk perkara
sebenar. Sedih hatinya campur celaru.
“Apa ni mak
cik? Kenapa buat Thia macam ni? Kenapa
tak bincang dulu?” matanya mula bergenang.
“Kau ni memang
tak mengenang budi kan? Mak aku dah penat-penat aturkan semua ni untuk kau,
macam ni kau balas budi mak aku ke? Kau ingat ada ke orang nak kahwin dengan
kau kalau tak mak aku yang carikan. Sedarlah sikit diri kau tu merempat tak ada
mak bapak!” Syafinaz tiba-tiba mencelah.
Kelibat Kak
Atie sudah tiada dalam bilik itu, awal-awal lagi sewaktu mereka berdua masuk,
Mak Mah sudah mengarahkannya supaya menunggu di luar bilik.
“Kalau kau
kenang jasa aku bela kau, kau terima lamaran ni.”
Mak Mah merenung mata Thia dalam. Thia
terkebil-kebil. Terkedu dengan kata-kata Mak Mah.
“Bukan cara ni
Thia kena balas balik budi mak cik. Banyak
lagi cara lain.”
“Kalau kau nak
aku maafkan kesalahan mak kau pada aku, terima lamaran ni.”
Thia ternyata
sangat terkejut dengan kata-kata Mak Mah tadi. Kini perasaannya mula berbelah
bahagi. Lama dia termenung membiarkan Mak Mah dan Syafinaz tercegat di sisi
katil.
“Baiklah.
Kalau itu saja caranya untuk mak cik
maafkan kesalahan arwah ibu pada mak cik, Thia sanggup.”
Thia tunduk.
Serentak itu air matanya gugur lebih laju.
YA ALLAH, dugaan apa pula kali ini
yang Kau berikan padaku? Thia merintih dalam hati.
Kini
segala-galanya mula jelas. Tentang majlis ini, tentang baju kurungnya yang
diambil untuk dibuat contoh kepada tukang jahit minggu lepas, tentang saiz
kasutnya dan juga saiz jarinya. Tentang Mak Mah yang membenarkan dia
menjejakkan kaki ke dalam bilik yang diharamkan untuknya selama ini, tentang
hiasan pada bilik ini yang sangat cantik, tentang sikap endah tak endah
Syafinaz terhadap persiapan majlis yang Thia sangkakan untuk kakaknya itu.
Kenapalah
terlalu bodoh untuk dia memahami segala yang tersirat atas perancangan Mak Mah
dan Syafinaz selama ini? Air matanya mula bergenang. Sebolehnya dia cuba
menahan dari menumpahkan air matanya lagi. Bimbang menjejaskan solekan yang
bertepek di wajahnya. Dia memujuk hatinya perlahan.
Thia duduk menghadap
cermin, memandang wajahnya sendiri.
Cantik, bisik
hatinya.
Itulah kali
pertama dia disolek sebegitu rapi. Dia bersyukur dikurniakan dengan wajah yang
putih bersih, tanpa sebarang kesan parut. Sama cantik seperti kakak tirinya
malah, rasanya melebihi dari kecantikan
Syafinaz. Kalau tidak, masakan namanya yang sering meniti di bibir
pemuda-pemuda kampung berbanding nama Syafinaz? Dia mengukir senyuman kecil
seketika.
Sayup-sayup di
telinganya terdengar keriuhan tetamu di luar bilik yang sudah pun datang sejak
10 minit lepas. Pasti sebentar lagi,
bakal ibu mentuanya akan masuk ke dalam bilik ini. Terdetik pula di hatinya,
adakah bakal tunangnya juga hadir ketika ini.
Siapalah
agaknya lelaki budiman yang berhati mulia sanggup memperisterikannya tanpa
melihat fizikal dirinya terlebih dahulu? Siapalah agaknya lelaki budiman itu
yang akan bergelar suaminya kelak? Moga Allah membalas segala kebaikannya
terhadapku! Thia sempat berdoa saat dia terdengar pintu biliknya dikuak.
Mulut kau
memang masin Kimi! Hatinya menjerit kuat saat cincin merisik dan tunang
disarungkan ke jarinya oleh seorang wanita anggun.
No comments:
Post a Comment