Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday, 12 August 2016

SKDC - Bab 6

Thia  mengelap satu demi satu meja dan kerusi yang terdapat di warung Mak Mah. Selalunya warung akan lengang pada ketika ini kerana kebanyakan pekerja sudah pun masuk ke dalam kilang selepas waktu rehat tamat. Pada ketika inilah Thia akan mengemas keseluruhan warung. Mengelap meja dan kerusi, menyapu sekeliling warung dan membakar daun-daun kering yang siap disapu di tepi warung. Pukul 3.00 nanti, dia akan kembali sibuk melayan pekerja kilang yang rehat untuk minum petang.
“Nah, milo special. Berpeluh-peluh kau Thia. Pengantin baru mana boleh kerja penat-penat macam ni, hilanglah serinya nanti.”
Kak Inah melabuhkan punggungnya, duduk menghadap Thia yang mengelap peluh, cuba menghilangkan bahang kepanasan dirinya saat membakar daun-daun kering tadi.
“Hai kak, macam perli Thia je ni. Pengantin barulah sangat…”
Thia mencapai gelas berisi air milo kegemarannya itu. Ditenung mata Kak Inah dalam sambil bibirnya terukir senyuman kecil. Terasa segar tekaknya dengan kesejukan air itu.
“Eh, betul apa. Kau kan dah tunangan orang sekarang ni. Darah tengah manis ni. Tak boleh buat kerja berat-berat, tak boleh pergi jauh-jauh. Patut sekarang ni kau duduk dekat rumah buat facial, spa, urutan badan, mandi lulur. Biar nanti naik pelamin berseri-seri mengalahkan tuan puteri.”
Kak Inah mengomel sambil tangannya laju menyusun tisu, sudu dan garpu ke dalam bekas yang tersedia di atas meja.
“Apa yang akak melalut jauh-jauh sangat ni kak? Mandi lulur, spa. Eeee…tak kuasalah Thia kak. Kalau boleh kahwin pun tak nak tahu!” Thia menunduk. Tangannya memegang straw sambil dikocak-kocak minumannya itu perlahan.
“Sabarlah Thia. Walaupun akak rasa tindakan Mak Mah kau tu melampau sangat kali ni, tapi sekurang-kurangnya ini satu-satunya jalan untuk kau lari dari dia kan. Silap-silap bila kau dah tak ada, akak pun berhenti jugak rasanya.”
Kak Inah  menunduk mengusap-usap perutnya perlahan. Thia mula serba salah. Terasa kesal menimbulkan topik itu tadi.
“Ala kak, kenapa pulak nak berhenti kerja? Kerja jelah kat sini. Dapat jugak tambah-tambah pendapatan, ringan sikit beban Abang Arif tu. Dapat jugak akak belikan along tu mainan, jajan, baju macam anak orang lain jugak. Ni, anak saudara saya yang kedua ni nanti nak keluar tengok dunia, banyak belanjanya nanti kak.”
Tangan Thia mengusap perut Kak Inah yang membuncit, cuba menyembunyikan rasa kesalnya.
“Kalau kau dah kahwin Thia, mestilah kau ikut laki kau kan. Akak dengar orang kampung ni cakap, keluarga mentua kau golongan berada. Untung kau Thia, senang hidup bila dah kahwin nanti. Tak payah nak susah-susah macam akak ni. Kalau kau dah tak duduk kat kampung ni, akak tak tahu macam mana nak menghadap Mak Mah tu hari-hari.”
Tangan Thia yang masih melekap di perutnya digenggam erat. Terasa benar dia akan kehilangan satu-satu ‘adik’ kesayangannya.
“Akak janganlah bandingkan hidup akak dengan hidup saya. Takdir manusia ni Allah dah tetapkan kak. Ada orang lebih yang ini, kurang yang itu. Ada orang lebih yang itu, kurang yang ini. Sama je. Kalau Thia kaya pun lepas ni, Thia bahagia ke kak? Sekurang-kurangnya akak berkahwin dengan orang yang akak sayang. Tapi Thia?” 
Kak Inah terkedu. Ternyata gadis di hadapannya jauh lebih matang daripada usianya. Terlalu jauh fikirannya, menjangkau apa yang difikirkan dirinya sendiri.
“Eh, mana akak tahu keluarga tunang Thia tu orang kaya? Thia sendiri tak tahu apa-apa pun. Mak Mah dengan Syaf langsung tak bercerita fasal dia orang. Entah kaya ke, ada ijazah bergulung-gulung ke, Thia satu apa pun tak tahu.”
“Ha’ah kan. Entah-entah akak salah dengar. Entah-entah bukan kaya, kayap rupanya. Entah-entah gigi jongang, mata juling. Eeeeee… tak koser mak tau!” Kak Inah mengekek ketawa, tangannya laju menepuk-nepuk bahu Thia yang turut ketawa besar.
“Assalamualaikum.”
Suara garau itu mematikan tawa mereka berdua. Berdiri tegak seorang lelaki pertengahan usia di sudut warung. Thia bingkas bangun, mencapai gelasnya. Kak Inah turut bangun, terus menuju ke dapur.
“Waalaikumussalam encik, marilah duduk sini,” Thia mengukir senyuman.
Macam pernah tengok pak cik ni.
Thia menggagau nota kecil dan pen di dalam kocek seluarnya dan menghampiri pak cik itu untuk mengambil pesanan makanan dan minuman.
“Pak cik nak minum apa? Kalau petang-petang ni lauk campur kami dah habis biasanya. Yang ada cuma nasi goreng, mi goreng dan kuih-kuih,” Thia memandang wajah lelaki itu. Diteliti setiap sudut wajah yang rasanya seperti dia pernah kenali sebelum ini. Ternyata dia gagal. Gagal mengingat di mana dan bila dia pernah bertemu lelaki ini.
“Bagi saya nasi goreng tu jelah dan bagi saya air teh.” 
Lelaki itu membuka cermin matanya, mengusap wajah perlahan dan kemudian memakai kembali cermin matanya tadi. Selepas itu pandangannya meliar ke segenap warung memerhatikan sana dan sini.
Thia beredar ke dapur, menghampiri Kak Inah.
“Kak, pak cik tu nak air teh satu.”
Thia menghampiri rak pinggan mangkuk, mencapai sebiji pinggan dan menuju ke ruang penyediaan juadah. Dicedok nasi goreng, dicapai sebiji telur goreng dan dicurahkan sambal tumis ke atasnya.
“Thia macam kenallah kak pak cik tu tapi tak ingat pernah jumpa kat mana,” Thia membuka bicara saat Kak Inah menghulurkan gelas air teh ke arahnya.
“Orang luarlah ni Thia. Akak tak pernah tengok pun sebelum ni.” 
Thia diam. Dia membuka langkah menuju ke arah pak cik itu. Ditatang perlahan dulang berisi sepinggan nasi goreng dan secawan teh panas itu penuh hati-hati.
“Terima kasih.” 
“Sama-sama pak cik, jemput makan ya.” Thia mengukir senyum kecil, memandang wajah lelaki itu.
“Boleh teman uncle makan? Ada perkara yang ingin uncle bincangkan.” 
Thia terkedu. Ternyata dia terkejut dengan permintaan lelaki itu tetapi sebolehnya dia berlagak tenang. Kebetulan tiada pelanggan ketika itu, Thia duduk setentang dengan lelaki yang dari tadi merenung wajahnya.
“Kamu tak kenal uncle?” 
Thia sekali lagi terkedu. Pak cik ni kenal aku ke?
Uncle yang langgar ayah kamu tiga ke empat tahun lepas.” 
“Patutlah dari tadi saya macam pernah tengok pak cik ni. Pak cik sihat?”
Thia mengukir senyuman. Walaupun ternyata dia sangat canggung berdepan dengan lelaki itu, dia seboleh daya menutup gelora hatinya. Bertindak seolah-olah tiada lagi dendam di hati. Betul-betul seikhlasnya memaafkan lelaki itu seperti yang dikotakan hampir empat tahun lepas. Betul dia sudah memaafkan, tapi sukar sekali dia memadamkan ingatan terhadap peristiwa gelap itu.
Just call me Uncle Harun, Thia. You can call me papa after this.” Lelaki itu tersenyum kecil seraya mencapai sudu kecil di dalam gelas tehnya tadi.
“Apa maksud pak cik…errr, uncle ni? Saya tak faham.” 
“Perempuan yang sarungkan cincin di jari manis Thia pada Ahad lepas tu, isteri uncle, Aunty Mary.”
Lelaki itu memuncungkan bibirnya ke arah jari manis Thia yang tersarung sebentuk cincin. Melihat perlakuan itu, Thia menarik tangannya ke riba.  Melarikan pandangan lelaki itu.
Kali ini Thia tidak boleh menunjuk riak tenang. Air muka jelas terkejut.
“Oooo…rupanya unclelah yang berpakat dengan famili saya untuk porak-perandakan seluruh hidup saya, masa depan saya.” Thia tersenyum sinis mematikan tingkah lelaki itu yang baru hendak menyuap nasi goreng di pinggannya.
“Jangan terlalu cepat menghukum tanpa menilai terlebih dulu Thia. Hari ni uncle datang untuk jelaskan tindakan kami.” Lelaki itu merenung lagi wajah Thia yang mula keruh.
“Silakan. Saya memang tengah tunggu penjelasan dari uncle ni.” Thia melarikan pandangannya. Marahnya meluap tiba-tiba.
“Pada saat akhir hayat arwah ayah kamu, arwah ayah Thia sampaikan pesannya pada uncle.  Katanya, jaga kamu baik-baik macam anak sendiri.”
“Huh…anak sendiri, tapi bukan jadi bini anak sendiri!” Thia menjeling sekilas. Telinganya mula panas. Terasa darah menyirap ke kepalanya.
“Itu yang dia minta pada uncle, Thia. Katanya itu saja jalan untuk uncle tebus kesalahan uncle. Apa lagi daya uncle selain dari tunaikan amanah dia Thia?”
Lelaki itu merenung Thia yang langsung tidak menoleh ke arahnya. Dari tadi mata Thia asyik melilau ke sana sini, tidak memandang wajahnya walaupun sekali.
“Saya pun tak fahamlah. Kenapa salah orang lain, saya pulak yang menanggung akibatnya? Kenapa libatkan saya, musnahkan impian saya, cita-cita saya, hidup saya? Kalau nak jaga macam anak sendiri, ambil saya jadi anak angkat kan boleh juga. Tak perlulah nak kahwin bagai!” Thia meninggikan suaranya.
Lelaki itu tersenyum. Jadi anak angkat, ada batas aurat. Payah Thia serumah dengan perempuan yang bukan mahram ni. Nanti bakal ibu mentua Thia cemburu pulak.
Thia geram. Lelaki itu senyum-senyum pula.
“Apa impian kamu Thia? Apa cita-cita kamu? Beritahu uncle. Uncle cuba realisasikannya asalkan kamu teruskan perkahwinan ni.”
“Saya dah pun disarungkan dengan cincin ni uncle.  Kalau saya tak setuju, saya tak kan benarkan cincin ni tersarung di jari saya.” Thia membelek cincin tunangnya. Cincin itu cantik, kena dengan seleranya.
Uncle tahu. Dari tadi uncle perhatikan Thia dari jauh.  Kejap-kejap kamu belek cincin tu kan?” Lelaki itu tersenyum.  Senyumnya bertambah lebar tatkala Thia tersipu malu.
“Saya terima cincin ni bukan sebab saya perempuan murahan yang maruahnya boleh ditukar ganti sesuka hati, yang boleh dicampak ke sana sini macam langsung tiada nilai. Saya terima pinangan anak uncle kerana arwah ibu saya. Kalau ini saja caranya buat arwah ibu saya tenang di sana, nyawa pun saya sanggup beri kalau itu yang uncle mahukan.”
Berkerut dahi lelaki itu mendengar kata-kata Thia.  Terpempan dia dengan pendirian gadis di hadapannya itu.
“Terima kasih sebab kamu sanggup berkorban untuk uncle. Uncle janji setiap permintaan kamu, uncle akan cuba tunaikan sedaya yang mungkin. Setakat ni, apa yang kamu impikan Thia?”
Thia mendengus. Entahlah, terasa seperti maruahnya dijual beli pula ketika ini. Seketika, dia teringat sesuatu.
“Saya nak sambung belajar, boleh?” Thia memandang tepat ke dalam anak mata lelaki di hadapannya itu. Jelas riak wajahnya terlalu mengharap.
“Boleh. Thia nak belajar dekat mana pun uncle izinkan. Ini janji uncle pada Thia tapi segala urusan akan uncle selesaikan selepas majlis perkahwinan kamu nanti.”
“Ohh...tak boleh belajar dulu, baru kahwin ke?” Pendaftaran kemasukannya ke universiti tinggal tiga minggu sahaja lagi.
“Kahwin dulu, baru sambung belajar. Uncle janji, uncle akan pastikan Thia boleh belajar walaupun dah jadi menantu uncle.”
“Hurm...okeylah.” Thia terpaksa mengalah. Tahun ini tak dapat sambung belajar, mungkin tahun depan dia boleh sambung juga. Mahu menolak jodoh itu pun bukannya boleh. Mahu Mak Mah mengamuk bak singa nanti. Paling penting adalah akhirnya hajat dia akan tercapai. Walau apa pun, dia bersyukur ke hadrat Ilahi. Dalam kelamnya dugaan pasti datang sinar bahagia.
“Ini hadiah uncle yang pertama. Harap Thia tak menolaknya.”  
Thia terkebil-kebil melihat beg kertas di atas meja yang ditolak ke arahnya.
“Susah uncle nak contact kamu Thia. Ambillah ya. Senang nanti kalau ada apa-apa.” Lelaki itu mengeluarkan kotak di dalam beg tadi bila dilihat Thia masih tercegat. 
Thia memerhatikan kotak itu. Terpampang di atas kotak tulisan SAMSUNG S5 dan lain-lain butir perkataan yang asing di matanya.
“Tak apalah uncle. Cukup dengan persetujuan uncle untuk biayai pengajian saya nanti. Itu pun dah jadi hadiah yang tak ternilai buat saya.” Thia menolak kotak tadi kembali ke arah lelaki itu perlahan.
Uncle ikhlas Thia. Bukan apa, payah betul nak contact Thia. Anggap saja ini hadiah perkahwinan dari uncle ya.”
Lelaki itu bingkas bangun. Tisu yang digunakan untuk mengelap mulutnya dicampak ke dalam pinggan nasi goreng yang masih separuh berbaki. Dia membuka beg dompetnya, mencapai not RM10 dan meletakkannya di sisi Thia yang masih kaku.
“Tak apa, kali ni saya belanja. Terima kasih untuk segalanya. Mungkin saya tersilap mentafsir uncle sebelum ni.”
Thia mengukir senyuman kecil. Huluran not RM10 tadi disambut lelaki itu dengan senyuman lantas memasukkan kembali ke dalam kocek seluarnya.
“Sedap nasi goreng kamu Thia. Nanti dah kahwin, masakkan yang macam tu untuk papa okey?”
Thia tersipu. Hanya pandangan mata menghantar lelaki itu yang menuju ke keretanya.
Uncle, apa pulak yang uncle rasuah anak uncle supaya setuju kahwin dengan saya?”

Thia menjerit kuat dari warungnya ke arah lelaki itu sewaktu keretanya mula bergerak. Pertanyaan Thia cuma dibalas dengan senyuman lebar.

No comments: