Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday, 12 August 2016

SKDC - Bab 9

Nazhan tiba di halaman rumah Thia tepat pukul 10.00 pagi. Matanya meninjau ke seluruh halaman rumah itu. Bersih. Terasa sejuk matanya melihat pokok-pokok yang ditanam di sekeliling rumah itu. Dia masih di dalam kereta, menunggu Thia keluar dari rumah. Tingkap kereta dibuka luas lantas dicapai kotak rokoknya. Perlahan dia menyuakan sebatang rokok ke mulut dan menyalakannya. Saat itu, Thia sedang menuju ke arahnya.
Thia membuka pintu kereta Nazhan perlahan. Tiba-tiba dia terasa janggal. Hendak dibuka pintu belakang, dia takut Nazhan menjerkahnya kerana berlagak seperti Datin Sri yang mempunyai pemandu. Hendak dibuka pintu depan, sesungguhnya dia janggal duduk di sisi lelaki itu. Dalam berkira-kira itu, dirinya sudah pun duduk bersebelahan Nazhan di dalam kereta.
“Kat mana butik tu?” Nazhan bertanya ringkas.  Perlahan, keretanya menyusur keluar dari laman rumah Thia.
“Kat bandar,” Thia juga membalas ringkas. 
Sesungguhnya dia rimas dengan bau asap rokok yang memenuhi segenap ruang kereta itu. Terasa sesak nafasnya ketika itu. Dia hanya membuang pandang ke luar tingkap, mencari udara segar.
“Tahulah kat bandar. Kat bandar tu kat mana?” 
Nazhan bersuara sedikit meninggi. Bengang mendengar jawapan Thia yang terlalu ringkas. Ditambah pula dengan Thia yang dari tadi hanya menoleh ke luar tingkap.
“Jalan je dulu sampai kat bandar. Nanti aku beritahulah kedainya kat mana. Uhuk! Uhuk!” Nafasnya yang ditahan-tahan tadi menyebabkan dia terbatuk, apatah lagi bila menyedut asap rokok Nazhan. 
Nazhan yang sedar Thia kerimasan, segera menghisap rokoknya buat kali terakhir lalu membuang puntungnya ke luar tingkap. Sesaat kemudian, dia menaikkan kesemua cermin tingkap dan menghidupkan suis air cond.  
“Kau belok kanan kat simpang depan tu. Kedai Atie’s Gallery, kedai nombor dua,” Thia bersuara setelah hampir 10 minit kereta bergerak.
Tiada apa yang mereka bualkan sepanjang perjalanan itu. Masing-masing hanya melayan lagu-lagu yang berkumandang di radio. Setelah Nazhan memarkir keretanya, mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam butik pengantin.
“Haaaa... Thia, panjang umur kau. Akak tertunggu-tunggu jugak ni dari tadi,” sapa Kak Atie ramah. Huluran tangannya disambut Thia. 
“Lambat sikit kak, saya kena tunggu orang datang jemput. Kalau lambat orang yang menjemput, lambatlah saya jawabnya.” 
Nazhan yang sedang melihat baju-baju yang tergantung, pura-pura tidak mendengar. Dia kemudiannya duduk di ruangan tempat duduk yang disediakan.
“Ha’ah kan, orang dah ada driver sekarang. Kenalah tunggu cik abang datang ambil kan?”  Kak Atie tersengih lagi.  Dijeling Nazhan sekilas, pemuda itu khusyuk menatap album-album gambar yang tersusun di atas meja.
Thia turut tersengih.  Geli hatinya mendengar panggilan ‘cik abang’ itu sedangkan dia cuma beraku-kau saja dengan Nazhan selama ini.
“Thia dah fikir nak tema warna apa?”
Thia terkebil-kebil memandang Kak Atie. Kenapalah dia tak terfikir tentang warna tema awal-awal sebelum ni ya?  Sekarang dia sendiri keliru untuk memilih warna yang tepat untuk dirinya. 
“Hari tu masa tunang saya ambil hijau kan? Saya ingat nak pakai warna lain pulak kali ni.”
Dia menoleh ke arah Nazhan, seolah-olah meminta pendapat daripada tunangnya itu pula tetapi lelaki itu masih seperti tadi. Khusyuk membelek album pengantin.
“Ha’ah bagus jugak kalau ambil warna lain pulak. Untuk baju nikah pun sekali sewa dengan akak kan?” 
Thia terkebil-kebil lagi. Sesungguhnya dia langsung tidak tahu-menahu tentang perkara-perkara seperti ini.
“Thia nak ambil warna krim ke putih? Selalu dua warna ni yang sesuai untuk majlis nikah. Orang kata dua warna ni melambangkan sucinya pernikahan pasangan pengantin tapi kalau Thia nak warna lain, akak tak kisah. Boleh juga.”  Kak Atie bangun mencapai tiga hingga empat persalinan yang tergantung di ampaian tepi dinding. 
Sambil membelek-belek, Thia ligat berfikir tentang kebenaran kata-kata Kak Atie. Putih dan krim. Dia akhirnya mencapai sehelai baju kurung moden yang ditaburi labuci di dada dan hujung baju. Ringkas tapi penuh elegan. Apatah lagi labuci itu diselang-selikan dengan batu-batu berkilau persis berlian. Dia betul-betul sukakan sentuhan yang terdapat pada baju itu.
“Kalau suka yang ni, Thia pergi fitting room, pakai baju ni. Akak nak tunang Thia fitting sekali baju Melayu. Nak tengok match tak dengan baju nikah Thia ni. Kalau okey, akak bookkan baju ni untuk majlis Thia nanti. Tak adalah akak terbagi kat pengantin lain pulak kan kalau dah book.”
Tangan Kak Atie ligat mencapai sepasang baju Melayu yang tergantung di ampaian lalu disuakan kepada Nazhan yang nyata terpinga-pinga.
“Pergilah salin.”
Lambat-lambat Nazhan bangun dan menyambut huluran baju dari tangan Kak Atie. Matanya melilau ke sekeliling butik, mencari kelibat Thia. Tiada.
“Thia pergi try baju dia. Tak hilang ke mana tunang awak tu.”
Nazhan berjalan laju menuju ke bilik persalinan tersedia. Malu kerana tindakannya yang mencari Thia disedari Kak Atie.
Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Thia membuka selak pintu perlahan-lahan. Dia berbelah bahagi. Malu sebenarnya. Entah apalah yang difikirkan Nazhan nanti bila melihat dia dalam persalinan begitu. Mesti terkejut. Terkejut bukan kerana keanggunannya, terkejut kerana dirinya yang tenggelam dalam kecantikan baju nikah itu.
Saat pintu terbuka, dia terkesima. Terpegun melihat Nazhan yang sudah pun lengkap berbaju Melayu, bertanjak dan bersamping. Tidak berkelip matanya memandang Nazhan.  Lelaki itu ternyata bertambah tampan dalam persalinan baju Melayu. Dadanya berdebar.
Nazhan memalingkan badannya saat terdengar bunyi pintu dibuka. Dia terkelu. Otaknya seakan berhenti seketika daripada berfungsi. Wanita di hadapannya kini ternyata membuatkan hati bekunya cair. Thia terlalu mempersonakan. Mata Thia ditatap, seluruh wajahnya diperhatikan.
Entah mengapa, dari pertama kali terpandangkan Thia, dia seolah-olah pernah bertemu dengan Thia sebelum ini. Kali ini, perasaan itu muncul lagi. Puas dia mengingatkan, tapi gagal. Dia sendiri keliru sama ada pernah bertemu Thia sebelum ini atau hanya pelanduk dua serupa.
“Akak rasa dah okey dah ni. Kau orang rasa macam mana?” Kak Atie bersuara memecahkan suasana apabila melihat Thia dan Nazhan kaku dari tadi.
Thia cepat-cepat menjawab. Melarikan pandangannya dari terus melihat Nazhan.
“Okeylah ni Kak Atie. Saya ambil yang ni.” 
Nazhan segera merapati cermin besar yang terlekat di dinding. Memerhati dirinya sekali lagi. Menjauhkan pandangan matanya dari terus merenung Thia sebelum disedari Kak Atie.
“Okey. Sekarang kita pilih baju untuk berinai, bersanding dengan makan berdamai pulak.” 
Thia mengerutkan dahi. Banyaknya!
“Thia nak persalinan tak?” Kak Atie memandang wajah Thia, menanti jawapan dari gadis itu.
“Persalinan ni maksudnya pakaian dari negara lain atau budaya lain selain dari Melayulah. Contohnya macam kimono, Jawa, Korea, ceongsam, sari dan macam-macam lagilah. Ikut Thialah nak cuba yang mana satu,” Kak Atie menerangkan panjang lebar.
“Boleh kak. Bagi je Thia cuba,” suara Nazhan tiba-tiba.
Masanya sudah sampai Thia! Nazhan tersengih dalam hati.
Pantas dia berjalan menuju ke bilik persalinan, menukar kembali baju yang dicubanya itu. Keluar dari bilik persalinan, dia merapati Thia. Memerhati gadis itu yang sedang memilih baju. Niatnya ingin menyakat gadis itu kini bakal terlaksana. 
“Ambil yang ini. I nak tengok you pakai warna ni.” Nazhan menunjuk sepasang kebaya berwarna kuning ke arah Thia. 
Thia mengerutkan dahinya. I-You konon! Hatinya merengus geram. Huluran Nazhan tetap dicapai lantas dia menuju ke bilik persalinan.
Hati Nazhan berbunga riang melihat Thia yang menuruti arahannya. Walaupun janggal dengan panggilan I-You dengan Thia, dia tetap perlu berselindung daripada pengetahuan Kak Atie tentang duduk letak hubungan mereka yang sebenar.
Dia kembali duduk di kerusi. Kali ini sengaja dia memilih kerusi yang betul-betul bertentangan dengan pintu bilik persalinan.
Senang aku nak dera kau nanti, hatinya ketawa.
Thia seperti tadi, teragak-agak keluar dari bilik persalinan itu. Kebaya kuning ini kelihatan elok di matanya.  Entah apalah pandangan Nazhan nanti. 
I tak suka. Cari warna lain.” Ringkas jawapan Nazhan saat matanya melihat Thia keluar dari bilik persalinan. 
Thia merenung tunangnya tajam. Nazhan cepat-cepat membelek album pengantin di ribanya buat entah ke berapa kali. Thia terasa ingin menidakkan pendapat Nazhan tapi kakinya tetap melangkah ke barisan baju-baju yang tergantung. Memilih pula kebaya moden berwarna ungu.
Nazhan hanya memandang langkah Thia. Dia tahu Thia sudah tentu bengang dengan dirinya ketika itu. Hatinya berbunga riang. Memang itulah tujuannya, melihat gadis itu marah. Sengaja dia ingin mengenakan Thia lantaran sakit hati dengan sms yang dihantar oleh Thia semalam.
Lima minit kemudian, Thia terpacak di hadapannya.  Tegak berdiri menanti Nazhan mengangguk setuju. Kebaya ini juga menepati seleranya. Tona warnanya menyerlahkan lagi kulitnya yang cerah.
Saat mata Nazhan tertancap pada Thia yang sudah mengenakan kebaya berwarna ungu itu, dia tersentap. Cantik.  Terasa ingin mengangguk bersetuju tapi dia masih belum puas mengenakan Thia lantas dia menggeleng.
Seperti tadi, dia pura-pura membelek kembali album gambar. Tersenyum hatinya melihat gelagat Thia yang menghentakkan kakinya kuat melangkah menuju ke gantungan baju-baju persandingan. Geli hatinya melihat bibir Thia yang mengomel halus dan dahinya yang berkerut-kerut. 
Setelah satu jam setengah Thia keluar masuk dari bilik persalinan mencuba hampir 20 pasang baju, dia menarik lengan Nazhan ke satu sudut butik itu. Terlindung dari pandangan Kak Atie.
“Kau  ni kenapa semuanya tak kena? Semuanya kau tak berkenan? Dah 20 helai baju aku try tahu tak?”
“Saja. Suka tengok kau kena salin baju banyak-banyak kali macam tu. Ni ha, peluh kau ni, mahal tahu.”
Nazhan mengelap dahi Thia yang sudah pun dibasahi peluh. Wajah Thia jelas terpampang keletihan, letih menyalin pakaian sejak satu jam setengah yang lepas.
“Saja? Saja-saja kau nak tengok aku tukar baju macam ni?” Thia mengerutkan dahinya. Terasa ingin ditelan Nazhan saat itu. Garang betul pandangan matanya.
“Ha’ah saja. Lagi pun dari tadi aku tengok kau belum try satu warna ni. Selagi kau tak try warna tu, selagi tulah aku tak puas hati,” Nazhan tergelak perlahan. Ditahan-tahan bimbang diketahui Kak Atie.
Striking pink! Getus hati Thia. Teringat kembali sms gurauannya pada Nazhan semalam.
“Gila!” spontan Thia menyebut. Geram melihat lelaki itu tersenyum sumbing.
Nazhan tergelak pula. Gembira melihat Thia marah begitu.
“Sekarang kau cakap betul-betul nak pakai baju warna apa? Kalau tak, aku balik. Apa nak jadi, jadilah!” 
“Aku saja je nak kenakan kau. Kau pilihlah warna yang kau suka. Janji bukan striking pink,” Nazhan tersengih lagi.   
Thia mendengus. Kalau cakap dari tadi kan senang, tak payah aku macam nak gila tukar baju sampai 20 pasang. Kau ingat senang ke nak tukar baju pengantin yang ada macam-macam jenis ni? Aku sarungkan kat engkau karang baru tahu.  Tak pun aku pilih baju warna pink pekat ni.
Eh, tapi matilah kalau pink ni, aku pun kena pakai jugak nanti. Berguling satu kampung gelakkan aku nanti. Thia membebel dalam hati. Sebal dadanya dengan perangai Nazhan yang kebudak-budakan.
Hampir empat jam mereka di dalam butik, sedar-sedar jam sudah pun menunjukkan pukul 2.00 petang. Patutlah perut masing-masing sudah mula berbunyi. Sejak pagi lagi, baik Thia mahupun Nazhan tidak berkesempatan menjamah apa-apa hidangan.
“Thia!”
Bergema panggilan dari belakang Thia dan Nazhan saat mereka melangkah keluar dari butik Kak Atie. Nazhan yang baru hendak mengenakan cermin mata hitamnya, berpaling ke arah suara itu. Dia melihat seorang lelaki sedang tersenyum.
“Kimi!”
Thia separuh menjerit. Suaranya tergambar kegembiraan saat bertemu lelaki itu. Kali terakhir lelaki itu berjumpanya adalah di warung sebelum dia bertunang. Selepas itu, Hakimi tidak lagi muncul menemui Thia. Bekalan makanan mentah pula dua kali sehari akan dihantar oleh ayah Hakimi.
“Mana kau pergi?  Kau dari mana ni? Lama tahu aku tak jumpa kau.”  
Nazhan memandang dengan pandangan kosong. Terpinga-pinga melihat Thia dan lelaki itu yang gembira dapat bertemu. Lelaki itu  juga dari tadi seolah-olah tidak menyedari kewujudannya. Hatinya tiba-tiba panas.
“Aku adalah. Cuma sibuk sikit, kena attend kursus keusahawanan sana sini. Kejap ada bengkel tulah, bengkel nilah.  Ada yang dua hari, ada yang tiga hari. Bila balik kampung, aku pulak penat. Tu yang tak menyempat nak jumpa kau tu. Nak cakap tahniah kau bertunang hari tu pun tak sempat tahu. Ni tunang kau ya? Saya Hakimi.” Hakimi tersenyum, menghulur tangannya ingin bersalam dengan Nazhan. Dari tadi lelaki itu asyik merenungnya.
“Nazhan.” Nazhan berpura-pura tersenyum lantas menyambut huluran salam tangan Hakimi. 
“Kau nak pergi mana ni? Jomlah kita pergi makan.  Dapat sembang-sembang.” 
Nazhan tersentak. Terkejut mendengar pelawaan Hakimi.
Amboi,  aku ni kau buta ke? Suka hati kau je nak ajak tunang aku keluar makan. Eh, tunang? Kata menyampah dengan minah ni tapi dia tunang aku, tak kan aku nak biar je dia keluar dengan lelaki lain. Ahh, dah kenapa dengan aku ni? Dia membebel dalam hati. Terasa ingin menarik tangan Thia supaya masuk ke dalam keretanya.
“Jom. Lama kita tak borak-borak kan. Sementara aku dapat lepas keluar ni, baik aku gunakan betul-betul masa yang ada. Tak apalah Nazhan, you balik dulu. Nanti I tumpang Hakimi balik.”
Nazhan tersentak lagi, terkejut melihat Thia yang menerima pelawaan itu dan menghalaunya balik. Thia betul-betul terlupa yang dirinya kini sudah pun menjadi tunangan orang.
“Aku... errr... I nak ikut.” 
Buntang mata Thia. Terkejut dia mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Nazhan. Dia memandang semula ke arah Hakimi. Hatinya kini berbelah bahagi. Meneruskan niat untuk makan bersama Hakimi tapi ditemani Nazhan atau balik ke rumah saja. Dia mati akal.
“Oh, jomlah sekali Nazhan. Errr... Encik Nazhan,”  Hakimi tergagap-gagap. Terasa pelik ber ‘encik-encik’ dengan tunang Thia. Nak dipanggil nama saja, bimbang dicop kurang ajar.
“Jom!” Nazhan menggamit tangan Thia.
Sekali lagi Thia terkejut. Dahinya dikerutkan.
Apahal mamat ni pelik sangat ni?
Dia cuba menarik tangannya perlahan tapi gagal.  Ternyata pegangan Nazhan kejap.
Kaki mereka melangkah masuk ke restoran Anjung Suri yang terletak bersebelahan dengan butik pengantin Kak Atie. Thia dan Hakimi melangkah terus menuju ke set bufet yang tersedia, mengambil nasi yang dicedok ke dalam pinggan oleh pekerja restoran. Nazhan hanya duduk, memerhati gelagat Thia dan Hakimi dari jauh.
Entah mengapa, dia benci melihat senyuman di bibir Thia terhadap Hakimi saat itu. Dia marah melihat Hakimi sesekali tergelak besar di samping Thia. Terasa seolah-olah dirinya tidak wujud. Dan terasa yang patut menjadi tunang kepada Thia adalah Hakimi, bukan dirinya. Dia keliru tentang rasa hatinya kini.
Nazhan hanya memesan segelas jus epal. Tekaknya tidak terasa menginginkan sesuatu walaupun perutnya menjerit kelaparan. Seleranya mati melihat kemesraan mereka berdua. Thia ternyata berbeza berbanding bila bersama dirinya.
“Okeylah, aku gerak dulu,” suara Hakimi menyentakkan Nazhan yang dari tadi termenung.
Selepas bersalaman dengan Hakimi, Nazhan bingkas bangun. Entah apa yang diborakkan mereka berdua selama 40 minit itu langsung tidak didengarinya. Dia asyik dengan dunianya. Menerawang entah ke mana-mana.
“Jom, aku hantar kau balik,” Nazhan memandang Thia yang masih lagi meneguk air. 
Cepat-cepat Thia bangun, mencapai beg tangannya dan membuntuti Nazhan yang sudah pun berjalan keluar dari restoran.
“Siapa Hakimi tu?” Nazhan tiba-tiba bersuara. 
“Maksud kau?” 
Sedikit pelik dengan soalan Nazhan. Dia menjeling sekilas ke arah pemuda itu. Pemuda itu sedang menumpukan perhatian pada pemanduannya, matanya terarah ke jalan raya.
“Kawan? Bekas pakwe? Bekas tunang?” Nazhan masih seperti tadi. Suaranya masih mendatar.
“Bekas pakwe,” Thia tergelak di dalam hati.
Sengaja dia ingin melihat reaksi Nazhan. Dia sebenarnya pelik dengan lelaki itu. Sejak bila ingin tahu dengan siapa dia berkawan?  Selama ini Nazhan langsung tak pernah mengambil pusing tentang dirinya sejak mereka bertunang.
What a taste,”  Nazhan berlagak tenang. Hakikatnya, terasa ingin  memberhentikan keretanya dan menurunkan Thia di tepi jalan pada saat itu juga. 
“Ya, aku tahulah taste aku orang kampung je.”
Dia bengang mendengar jawapan Nazhan. Niatnya untuk menyakitkan hati Nazhan bertukar kepada menyakitkan hati sendiri. Dia sekadar membuang pandang ke luar. Malas ingin berkata apa-apa lagi kepada Nazhan.
Tiba-tiba...
“Helo sayang, you kat mana? Oooo... I ada appointment dengan sorang mak cik ni. Terhegeh-hegeh tahu dia, menyampah I. Dari pagi I duk layan dia. Bernanah je telinga I ni dengar dia membebel. Cerewet betul. Malam ni you jangan lupa, kita dinner sama-sama. Okey, you jaga diri baik-baik. I sayaaaannnng you. Bye!” Nazhan tersengih. Harap-harap niatnya untuk menyakitkan hati Thia menjadi. Skrin telefon bimbitnya sengaja ditenyeh-tenyeh tanpa tujuan. 
Sebenarnya tiada siapa pun yang dihubunginya tadi.  Nak bersayang dengan Jasmin? Dapat bercakap dengan Jasmin seminit pun sudah dikira bertuah, inikan pula nak bersayang-sayang. Dia menjeling sekilas pada Thia. Gadis itu seperti tadi, masih merenung ke luar tingkap tanpa sepatah kata. Dia terkelu, tidak tahu bagaimana lagi ingin mengenakan Thia untuk hari ini sampailah mereka tiba di laman rumah Mak Mah.
“Terima kasih pak cik!”
Thia menutup pintu kereta dengan kuat. Geram mendengar suara Nazhan yang merengek-rengek bercakap dengan seseorang di telefon tadi. 
“Mak cik mana lagi yang satu hari berurusan dengan dia hari ni? Akulah tu!”

Thia membebel lagi tanpa sedar kereta Nazhan sudah pun menghilang dari pandangan matanya.

No comments: