THIA menggosok-gosok matanya. Terasa
berpasir saat dia cuba membukanya. Telefon bimbitnya berdering sekali
lagi. Kali ini dia segera bingkas
mencapainya.
“Helo.”
“Kau Thia?”
terdengar suara garau di hujung talian.
“Ya, siapa
ni?” Thia mengerutkan dahinya.
“Naz, tunang
kau!”
Thia
menjauhkan telefon bimbit dari telinganya.
Mak oi,
garang. Brutalnya, bisik hati Thia.
Baik! Kau
tengok pulak aku punya brutal. Thia sengih.
“Perlu ke
jerit-jerit beritahu nama kau? Dah habis waktu siang ke kau nak call aku
malam-malam ni?” Thia menjawab sinis. Sudahlah telefon tengah-tengah malam
buta, ditengking-tengking pula. Hatinya mula berasap.
“Amboi, boleh
tahan jugak kau ni melawan. Esok aku nak jumpa kau. Tunggu aku dekat KP Mall
pukul satu,” suara itu mengarah lagi.
Thia mengetap
bibir menahan marah.
“Kau nak jumpa
aku kan? Kaulah cari aku. Jumpa aku dekat warung pukul empat.”
“Pukul empat?
Kau ingat aku macam kau? Tak ada kerja lain nak buat?” suara itu menengking
lagi.
“Habis aku ni
pun tak ada kerja lain nak buat? Kau nak jumpa aku, kau ikut cakap aku. Kalau
tak, tak payah jumpa. Habis cerita.” Thia mengetap bibir lagi, cuba sedayanya
mengawal marah dari membuak. Talian terus dimatikan.
Padan muka
kau! Getus hatinya. Kan aku dah susah nak tidur balik!
KAK INAH memerhati dari celah pintu
dapur ke arah seorang lelaki yang duduk di meja warung. Minggu ini sudah dua
orang lelaki berpakaian kemas datang ke warung mereka. Dia pasti lelaki muda
pertengahan 20-an ini juga ingin berjumpa Thia. Sudah setengah jam lelaki itu
menunggu. Sudah berpuluh-puluh kali juga lelaki itu melihat jamnya. Sesekali
dia mengeluh kasar.
“Sorry
kak, Thia lambat sikit. Tadi Mak Mah tu sibuk suruh saya tolong dia pasang
tabir bilik. Kesian pulak tengok dia memanjat sorang-sorang.” Thia
terkocoh-kocoh masuk ke dalam dapur melalui pintu belakang.
“Tak apa Thia.
Tu, kat luar tu ada mamat handsome nak jumpa. Dari tadi duk tanya, ‘Thia
ada kak? Bila dia nak datang kak? Lambat lagi ke kak?’ Naik penat aku nak
menjawabnya. Dah macam kerja kat kaunter
pertanyaan pulak.”
Thia terdiam.
Bebelan Kak Inah dibiarkan lantas dia menjenguk sekilas dari ruang penyediaan
makanan yang bersambung antara dapur dan warung.
Terpampang
depan matanya seorang lelaki berkulit putih, berambut pendek, berkumis nipis
dan berkaca mata gelap.
Gila, duduk
warung pakai spec hitam! Celoteh hatinya.
“Kau cari
aku?” akhirnya ayat itu yang keluar dari mulut Thia setelah lama berfikir dan
berdiri juga di hadapan lelaki itu. Yakin saja dia itu tunangnya yang kurang
budi bahasanya.
“Kau Thia?”
matanya tidak berkedip. Terpukau melihat wajah cantik Thia tapi disembunyikan
gelora hatinya saat menatap wajah gadis itu.
“Ya, aku Thia
yang kau telefon tengking-tengking tengah malam buta tulah. Kau nak apa cari
aku?” Thia bingkas duduk menghadap lelaki itu kini. Mual pula rasa hatinya
mengenangkan sikap lelaki itu malam tadi.
“Kau rupanya
Thia. Hmmmm…memang tepat jangkaan aku. Stok-stok kampung macam kau ni memang
selera bapak aku tapi yang malangnya, aku pulak yang jadi mangsa,” lelaki itu menjuihkan bibirnya.
Thia sentap.
“Kau rupanya
Nazhan Irsyad. Hmm…jauh lari tanggapan aku tentang diri kau. Ingatkan baik
macam bapak kau. Rupanya jauh panggang
dari api.”
Giliran Thia
menjuihkan bibirnya sambil menjeling. Dari ekor matanya, jelas terpampang
lelaki di hadapannya itu mula marah.
Padan muka.
Ingat aku ni apa! Orang kampung, gadis pingitan yang sopan santun sentiasa? Eh,
mamat! Nak sopan santun pun tengok orang dan situasi juga. Kalau dengan kau,
tak payahlah...
“Ah, aku tak
ada masa nak layan perempuan kampung macam kau ni…” Nazhan menanggalkan cermin
mata hitamnya.
“Kau ingat aku
ada banyak masa nak menghadap muka kau? Banyak lagi kerja lain boleh aku buat
selain dari tengok muka kau,” Thia menjeling lagi. Hatinya betul-betul sakit
ketika itu. Lelaki di depannya itu terlalu lancang berkata-kata.
“So, let’s
make it simple and easy. Lagi cepat urusan kita selesai, lagi cepat aku
berhambus dari tempat ni. Panas, rimas!” Nazhan melonggarkan ikatan tali
lehernya. Dahinya mula berpeluh-peluh. Wajahnya yang putih juga sudah mula
merona merah.
Thia diam
kaku, hanya menanti bicara seterusnya dari lelaki itu.
“Aku dah
bincang dengan famili aku tentang perkahwinan kita. Ada beberapa hal yang kami
bincang ada jugak beberapa perkara yang aku sendiri tetapkan. Aku nak cuma kita
berdua je yang tahu tentang hal ni,” Nazhan menjeling Thia dengan ekor matanya.
“Mula-mula
sekali aku nak beritahu apa yang famili aku dah tetapkan. Yang pertama,
perkahwinan kita Sabtu dan Ahad ni cuma berlangsung di kampung ni je. Maknanya,
apa yang bermula di sini akan berakhir di sini juga. Kita tak kan sambut
apa-apa langsung di rumah aku selepas majlis di sini.”
Thia terkedu.
Terasa bergegar gegendang telinganya saat
mendengar kata-kata terakhir Nazhan.
“Yang
kedua, kita memang akan jadi suami dan
isteri nanti tapi sebenarnya kau dengan dunia kau, aku dengan dunia aku. Kau
boleh buat apa yang kau suka dan aku boleh buat apa yang aku suka tapi dengan
syarat depan famili, kita pandai cover line.” Nazhan meneguk liur
menanti reaksi gadis di hadapannya yang terkebil-kebil.
Thia mencebik.
Muka tua tapi fikiran macam budak-budak! Aku yang muda ni pulak lagi tahu
berfikir baik. Cover line atuk dia. Ingat aku ni apa agaknya. Ah,
pedulilah! Janji aku dapat sambung belajar sudahlah. Setakat berlakon ni,
kacang punya. Bicara Thia dalam hati. Matanya masih merenung Nazhan tapi nyata
fikirannya melayang jauh.
“Kau dengar
tak apa aku cakap ni?” Nazhan menjegilkan matanya. Risau melihat gadis itu
terusan membisu. Muda macam budak-budak, tak sesuai betul sebagai pasangannya.
“Dengar, aku
belum pekak lagi,” Thia menjawab hambar. Malas dia hendak melayan kerenah
lelaki di hadapannya itu.
“Lagi satu,
buat sementara ni lepas kahwin kita duduk dengan famili aku. Jadi sepanjang
berada dalam rumah tu, pandai-pandailah kau layan aku supaya orang lain tak
syak.”
Thia menghela
nafasnya panjang. Butir-butir kata Nazhan didengarnya satu persatu.
“Itu je? Itu
je syarat-syarat nak jadi bini kau? Dah tak ada lagi dah?” Thia senyum menyindir.
Dipandang wajah Nazhan tajam.
“Apa-apa jelah
wahai Encik Nazhan Irsyad. Suka hati kaulah nak buat macam mana yang kau suka
tapi aku nak tanya satu je. Sampai bila kita nak jadi macam tu?”
Lelaki itu
mendengus. Dia bingkas bangun seraya beredar dari situ. Persoalan Thia
dibiarkan mati di situ. Dia sendiri tiada jawapannya. Langkahnya dilajukan
ingin segera meninggalkan tempat itu. Fikirannya bertambah kusut memikirkan
masalah yang kian bertimpa. Terlintas wajah Thia di fikirannya. Sayu hatinya
melihat keadaan Thia yang tersepit tapi sesungguhnya, dia juga mangsa keadaan!
“ARGHHHHH!!”
Nazhan
menjerit sekuat-kuat hatinya. Ikatan tali lehernya ditanggalkan. Butang bajunya
dibuka satu persatu hingga mendedahkan sebahagian dadanya. Daun tingkap
biliknya ditolak kasar, dibuka seluas-luasnya membiarkan udara luar menerobos
masuk ke biliknya.
Jejaka
berumur 27 tahun itu mengeluarkan kotak
rokok dari kocek seluarnya. Rambutnya yang kusut diraup berkali-kali. Sesekali
dia mendengus kasar. Dari tingkap biliknya itu, dia terpandangkan papanya
sedang khusyuk membaca buku di gazebo bertentangan dengan kolam ikan dalam
kediaman mewah itu.
Nazhan
memandang raut wajah tua itu dari jauh. Tertanya-tanya tindakan papanya yang
inginkan dia berkahwin dengan perempuan yang entah dari ceruk mana! Yang
langsung tidak dikenalinya! Gila! Ini semua betul-betul buat dia jadi
gila.
Saat itu,
ingatannya menerawang pada Thia Zulaikha.
Wajahnya yang bersih, kulitnya yang putih, matanya yang bundar,
senyumnya yang manis, suaranya yang lunak, semuanya sempurna. Dia akui, Thia
memang menawan orangnya. Cuma muda sangat untuknya. Tak sesuai! Susah nak
dibawa ke majlis. Karang pakaian entah
apa-apa.
Wajah mulus
itu seolah-olah pernah dilihatnya sebelum ini tapi entah kenapa dia gagal
mengingatkan di mana dia pernah melihat Thia. Gadis itu pada pandangannya
sewaktu pertama kali dihubungi adalah seorang yang tegas, degil mungkin. Sama
seperti dirinya. Bagus. Barulah buku bertemu ruas. Ahhh...entah apalah hendak
jadi dengan perkahwinannya nanti.
Dato’ Harun
mengalihkan pandangannya ke arah Nazhan yang sudah pun duduk bertentangan
dengannya.
“Papa tak
boleh buat Naz macam ni. Naz bukan
budak-budak lagi.”
“Kenapa? Naz
rasa Naz dah cukup dewasa sangat ke?”
“Kenapa buat Naz macam ni? Naz tak berhak ke
buat keputusan sendiri?” Naz menjegilkan matanya. Sedikit bengang melihat ada
senyuman sinis di bibir papanya.
“Keputusan apa
yang selama ni papa tak pernah bagi Naz peluang untuk tentukan sendiri?”
Dato’ Harun
merenung anak mata Nazhan dalam. Melawan kuasa mata anaknya yang cuba
memberontak. Dia tahu Nazhan marah akan dirinya.
“Tak bermakna
papa boleh suka-suka suruh Naz kahwin dengan perempuan yang tak tahu asal usul
macam ni,” Nazhan bersuara mendatar. Sedar hakikat kata-kata papanya tadi.
Memang benar, tiada apa selama ini yang dipinta, papanya tidak cuba penuhi.
Semuanya dituruti.
“Percayalah
Naz, papa tahu apa yang terbaik untuk kamu.” Dato’ Harun menyambung bacaannya
semula.
“Naz tak kan
kahwin dengan perempuan tu!”
“You can
tender your notice of resignation by tomorrow morning. I’ll be waiting.”
Dato Harun bersuara mendatar tanpa memandang anaknya.
Nazhan
mengeluh kasar menolak kerusinya dan berlalu pergi. Saat itu dia terasa ingin
mencekik Thia Zulaikha!
“Kalau papa
ada syarat papa, Naz pun ada syarat Naz yang papa kena ikut.” Nazhan tercegat
di sisi papanya menanti sebarang reaksi.
“Apa
syaratnya?” Hatinya berdebar. Sedikit terkejut dengan tindakan Nazhan yang kini
meletakkan syarat ke atas dirinya.
“Perkahwinan
Naz dengan perempuan tu mesti dirahsiakan dari pengetahuan saudara-mara,
jiran-jiran dan kawan-kawan Naz. Maknanya, kat rumah kita ni tak kan ada majlis
apa-apa pun untuk sambut menantu kesayangan papa tu.”
Nazhan
cepat-cepat mengatur langkah menganggap papanya sudah pun berpegang pada janji
itu.
Dato’ Harun
meneguk liur. Dia terkelu dengan syarat Nazhan.
Nazhan menuju
ke dapur, tekaknya terasa dahaga. Dari pertemuan dengan Thia membawa kepada
perbincangan dengan papanya, semuanya terlalu menyesakkan jiwa. Sehingga dia
terlupa, belum ada setitik air pun melalui tekaknya sejak dari tengah hari
tadi.
Saat
sampai di dapur, dia melihat mamanya sedang duduk menghadap sepinggan
buah-buahan. Di atas meja, terpampang majalah LAMAN. Dari tadi dia ralit
menilik helaian demi helaian. Bibik di sisinya yang sibuk menyiapkan juadah
makan malam langsung tidak dihiraukan.
“Dah cantik
dah rumah kita ni ma,” Nazhan bersuara lembut. Dia membuka pintu peti ais,
mencapai setin air soya.
“Mama saja
tengok-tengok kolam ikan hiasan ni ha.
Mana tahu kalau ada yang menarik boleh kita buat pulak pada kolam ikan
kat rumah kita ni,” Datin Marisa berkata sekilas. Nazhan cuma dipandang dengan ekor matanya.
Nazhan menuju
ke kabinet dapur. Dia menyusun semula bekas berisi garam, gula, perisa dan
serbuk kunyit mengikut ketinggian. Bekas sudu, garpu dan senduk pula dijenguk.
Sudu dan garpu yang bercampur, diasingkan. Setelah berpuas hati, dia duduk di
sisi Datin Marisa.
“Kenapa? Asyik
mengeluh je dari tadi,” mata Datin Marisa masih tertancap pada majalah di
hadapannya.
“Mama tak tahu
ke fasal papa? Apa dia dah buat pada Naz?”
“Tahu tapi tak
boleh nak buat apa-apa. Naz bukan tak kenal dengan papa kan?”
Datin Marisa
menyelak pula ke helaian seterusnya. Dia
mendengar keluhan anaknya acuh tak acuh. Dia juga sudah letih memperjuangkan
nasib anaknya yang hendak dikahwinkan dengan perempuan yang langsung tidak
dikenalinya tapi Abdul Harun Bin Abdul Latif sudah 30 tahun dikenalinya. Hitam
katanya, maka hitamlah jadinya. Jangan cuba diputihkan. Tak kan pernah berjaya.
Nazhan
mengeluh lagi. Dia mengusap rambutnya berulang kali. Fikirannya betul-betul
kosong ketika itu.
“Naz kena resign
kalau tak nak dengar cakap papa,” ditoleh wajah wanita itu mengharap pengertian
mamanya.
“Papa pun
cakap benda yang sama dengan mama. Bila papa cakap macam tu, mama memang tak
boleh nak buat apa-apa lagi. Tak kanlah mama nak suruh Naz resign,
tinggalkan Aura Gemilang, hidup dengan haluan Naz sendiri? Habis bisnes papa tu
macam mana? Adik Naz belum pun habis belajar lagi. Lagipun sebagai anak sulung, memang mama nak
Naz yang warisi semuanya. Lepas tu pandai-pandai Naz lah nak bahagi-bahagikan
dengan adik-adik yang lain. Kalau Naz tak ada, siapa lagi boleh diharap? Papa
tu makin lama makin tua. Sementara dia larat ni, dia boleh jugak datang ofis,
bantu dan guide Naz apa yang perlu. Kalau Naz tak ada, tunggu adik Naz
cukup layak mengemudi syarikat, papa pun silap-silap tak sempat nak turun
ilmu.”
Datin Marisa
menatap wajah anak lelakinya. Sebagai ibu, dia tahu anaknya terseksa dengan
keputusan drastik suaminya tapi sebagai ibu jugalah dia tak mahu legasi
perniagaan hasil penat lelah yang suaminya usahakan selama ini tidak diwarisi
oleh anak-anak.
Nazhan bingkas
bangun. Dia juga seperti mamanya.
Tersepit dan tiada pilihan lain. Ditolak kerusi yang didudukinya tadi
memastikannya sebaris dengan kerusi di sebelah. Alas pinggan yang sedikit
terusik, dibetulkan kembali. Tegak teratur seperti sebelum dia duduk di situ.
Setelah dia berpuas hati, dia melangkah perlahan membiarkan mamanya meneruskan
bacaan.
Pintu biliknya
ditolak kasar. Dia menghempaskan badannya ke tilam. Sejenak kemudian, dia
memandang pada almari kaca yang meletakkan segala macam koleksi kesayangannya
sejak di bangku sekolah.
Didekati
almari itu dan direnung replika model-model kereta mewah di aras pertama dan
kedua almari tersebut. Seketika kemudian dia mengalih pandang pada paras ketiga
dan keempat yang menempatkan pula bermacam jenis koleksi Star Wars
kegemarannya.
Perlahan, dia
mengambil satu persatu model-model keretanya dan dimasukkan ke dalam bakul.
Satu-satu diulangnya, penuh hati-hati. Hasil koleksinya sudah mencecah 200
kesemuanya termasuk pelbagai patung watak-watak Star Wars.
Ada yang
dibelinya sendiri sewaktu menuntut di Amerika Syarikat dulu, ada yang diberi
oleh papanya sewaktu lawatan kerja ke luar negara, ada yang dibeli melalui online,
malah ada juga yang dihadiahkan kenalan dan saudara-mara yang tahu kegemarannya
itu.
Siap mengelap
kesemua koleksi kesayangannya menggunakan spray dan kain, matanya
melilau ke setiap penjuru bilik. Dia mencapai bulu ayam dan mengibas-ngibas
habuk di setiap perabot yang ada di dalam biliknya. Siap mengelap habuk, dia
mencapai vacuum, menyedut kesemua habuk yang bertaburan di lantai pula.
Peluh berjurai
di dahinya, dia segera pula ke bilik air.
Dicapai sebatang mop bersama baldi yang berisi cucian lantai. Kipas dipasang dengan laju, tingkap juga
dibuka seluas-luasnya. Dia memulakan
operasi mengemop lantainya pula.
Tepat pukul
tujuh petang, dia tersandar keletihan. Di hatinya terbit perasaan puas melihat
biliknya yang teratur kemas. Licin berkilat. Hilang seketika kekusutan di
fikirannya dengan segala macam masalah tadi.
Seluruh
keluarganya sudah cukup arif dengan tabiatnya yang satu ini. Pengemas. Walaupun
pada zahirnya tiada apa lagi yang perlu dikemaskan tapi dia tetap lebih berpuas
hati dapat mengemasnya sendiri sekali sekala. Terutamanya bila dia berserabut
dengan pelbagai masalah. Kalau diikutkan, mahu saja seluruh isi banglo mewah
papanya itu dikemaskan.
No comments:
Post a Comment