Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday, 8 August 2016

SKDC - Bab 1



Thia pantas memayang selabu bawang merah lalu dicampaknya ke dalam sambal yang sedang mendidih di dalam kuali.  Tangannya pula laju mengacau gulai lemak ikan keli yang sudah mula mereneh. Peluh di dahinya dilap dengan lengan baju. Sesekali matanya menjeling pada Kak Inah yang tekun membasuh pinggan, mangkuk dan cawan yang menggunung di singki.
Thia menjeling jam sekilas. Hatinya berdegup kencang.  Dia perlu segera menyiapkan hidangan. Setengah jam lagi pasti warung arwah ayah dan ibu tirinya dipenuhi dengan pekerja-pekerja dari kilang yang berdekatan.
Thia terkocoh-kocoh memasukkan gulai ikan keli tadi ke dalam besen. Perlahan, penuh hati-hati dia ke kaunter makanan dan menuang kesemua isi gulai ke dalam set bufet. Serta-merta naik wap panas ke udara bersama haruman masakannya.
Dia ke dapur semula, mematikan api sambal udang yang ditumisnya tadi. Thia mengulangi perbuatan yang sama. Setelah 10 minit, semuanya tersedia. Dia tersenyum lega. Kak Inah muncul terhuyung-hayang mengangkat sebalang air sirap. Thia cemas, segera dihampiri Kak Inah.
“Boleh ke ni Kak Inah, berat ni.”
Thia segera menyambut pegangan Kak Inah untuk menyokong pegangan Kak Inah dari sebelah kiri. Mungkin kerana kelam-kabut, pegangan itu akhirnya terlepas. 
Pranggg! 
Sebalang air sirap tumpah melimpah di atas lantai. Kak Inah terpaku di situ. Tergamam sambil matanya memandang tepat pada limpahan air yang mengalir. Mak Mah muncul dari balik langsir pintu dengan wajah bengisnya. Saat itu kalau boleh Thia mahu ditelannya.
“Maaf Kak Mah, tadi...”
“Thia yang jatuhkan mak cik. Licin pegang balang tu, tu yang terlepas.”
“Kau ni Thia, kalau satu hari tak menjahanamkan harta benda aku memang tak sah tau tak! Berapa banyak lagi harta benda aku yang kau nak jahanamkan? Kau ingat aku beli semua ni pakai daun getah ke! Kutip kat belakang warung kita ni!” 
Jari Mak Mah masih lagi menunjal-nunjal dahi Thia. Sesekali badan Thia turut terinjak akibat tunjalan itu.
“Mak Mah, berapa ni? Saya nak bayar ni, dah lambat nak masuk kerja!” Jeritan di ruang kaunter menghentikan bebelan Mak Mah pada Thia.
“Kau kemas semua ni. Kalau tak, teruk kau nanti,” sempat Mak Mah memberi amaran sebelum tubuhnya menghilang.
Thia kaku. Sedar-sedar dia melihat Kak Inah terbongkok-bongkok mengelap tumpahan air sirap.
“Dah Kak Inah, biar Thia buat.”
Tangan Thia pantas merampas kain buruk yang dipegang Kak Inah. Kak Inah merampas kain buruknya semula.
“Tak apa Thia, kan Kak Inah yang tumpahkan air tu tadi. Dah untung Thia tolong Kak Inah tadi, biarlah Kak Inah yang lap.”
Thia tersenyum tipis.
“Tak apalah Kak Inah, Thia kesian dengan baby dalam perut ni. Tak apalah, Kak Inah buat kerja lain. Yang ni, biar Thia yang uruskan.”
Thia mengusap perut Kak Inah lembut. Sebenarnya keadaan Kak Inah yang sedang sarat mengandung tujuh bulan itulah yang mengundang simpati melaut  Thia. Tak sampai pula hatinya melihat Kak Inah menjadi mangsa amukan Mak Mah.
“Thia, dah banyak kali sangat Thia tolong Kak Inah.  Hari tu Kak Inah pecahkan pinggan Mak Mah, tumpahkan gulai ikan, macam-macam lagilah. Thia juga yang mengaku buat semua tu pada Mak Mah. Ni, Kak Inah tumpahkan pulak sebalang air sirap, pun Thia mengaku Thia yang buat. Kali ni biar Kak Inah kemas semua ni, sebagai tanda terima kasih.”
Tangan Kak Inah pantas mengelap tumpahan air. Diperah serapan air sirap masuk ke dalam besen.
“Apa kata Kak Inah buatkan milo special untuk Thia sebagai tanda minta maaf. Dengan milo tu, kira kita kosong-kosong, boleh?” Thia tersenyum memandang Kak Inah yang tekun mengelap lantai.
“Thia, Thia... ada-ada je Thia ni. Yalah, Kak Inah kalahlah,” Kak Inah akhirnya mengalah. Dihulur kain buruk yang dipegangnya ke tangan Thia.
“Macam biasa eh Thia?”
“Mestilah macam biasa Kak Inah. Air suam suku cawan, susu dua sudu, krimer sepaket. Bancuh, lepas tu baru tuang air masak. Lepas tu air batu...” laju mulut Thia mengarah Kak Inah.
“Barulah letak serbuk milo satu sudu kan?” Kak Inah segera mencelah. Sudah cukup arif tentang minuman kesukaan Thia.
“Tahu tak apa.”
Thia ketawa kecil di hujung bicaranya. Kak Inah tersenyum lebar. Bangga bila Thia memuji air tangannya membuat air terutama air kesukaan Thia yang tidak boleh ditandingi oleh sesiapa. Kalau dua hari tak merasa air buatannya, boleh ketagih dibuatnya.
Kak Inah segera ke kabinet membancuh air sambil menjeling ke arah Thia. Banyak sungguh dia terhutang budi pada gadis itu. Tiba-tiba datang rasa simpatinya pada Thia. Sejak dia mula bekerja dengan Mak Mah, belum sekali pun dia melihat Thia dilayan dengan baik oleh Mak Mah. Ada saja yang tidak kena pada mata wanita itu.
Patutnya Mak Mah bersyukur kerana dengan kehadiran Thialah warungnya dikunjungi ramai orang. Kelazatan masakan Thia memang sukar ditandingi. Rata-rata pelanggan memuji air tangan Thia. Sudahlah orangnya cantik jelita, pandai memasak pula tu!
Kadang-kadang dia pelik melihat sikap Mak Mah yang seolah-olah membenci kehadiran Thia sedangkan Thialah yang banyak membantu meningkatkan sumber pendapatan keluarga Mak Mah. Kalau nak diharapkan air tangan Mak Mah, masih jauh ketinggalan berbanding Thia.
Kak Inah mengenali Thia pada hari ketiga dia bekerja di situ. Kali pertama melihat Thia, membuak-buak rasa simpatinya pada gadis itu terutama apabila Mak Mah melayannya kasar tapi apalah daya, dia cuma mampu melihat saja. Kagumnya dia pada Thia, tidak sekali pun air mata Thia tumpah walau teruk dicaci Mak Mah.
Thia anak tunggal pada Pak Amid bersama isteri keduanya. Ketika Thia menginjak 14 tahun, ibunya kembali ke pangkuan Ilahi berpunca penyakit barah hati. Sejak itu, hidupnya menumpang kasih pada Pak Amid, Mak Mah dan kakak tirinya, Syafinaz.
Malangnya kasih yang diharap tak pernah dia terima melainkan cacian dan makian. Ayahnya pula seperti pak turut, terdiam kaku setiap kali Thia diherdik Mak Mah. Silap hari bulan, dia juga menjadi sasaran kemarahan Mak Mah.
Kak Inah meletakkan segelas milo yang sudah pun siap dibancuh ke atas meja lalu dikerlingnya sekilas pada Thia. Ternyata Thia telah tiada. Dia arif benar perangai Thia yang pantas bila membuat sesuatu kerja. Sayup di telinganya, terdengar tawa Thia beradun dengan tawa seorang lelaki. Kak Inah mengukir senyuman, tahu suara itu milik siapa. Dia kembali ke singki, mencuci pinggan mangkuk yang menggunung.
“Kau masak apa hari ni Thia? Sedap je bau.”
Hakimi menarik nafas menikmati bau masakan Thia seolah-olah ianya ada di depan mata.
“Macam biasalah aku masak hari-hari pun. Cuma tadi Syafinaz bawa balik ikan keli, aku masak gulai la. Kalau kau tak malu, pergi la makan sana.” Thia berkata laju, selaju tangannya membelek helaian sayur di dalam van Hakimi.
“Memang aku tak malu pun, aku lapar ni. Aku makan dululah eh Thia.”
Hakimi perlahan menyusup ke dalam dapur bimbang kelibatnya dilihat Mak Mah. Walaupun dia kenal benar pada Mak Mah sekeluarga, tapi masih ada segannya. Tangannya pantas mencapai pinggan, mencedok nasi dan mencapai senduk berisi seketul ikan keli. Dituang kuah lemak membanjiri pinggannya.
“Dah lama kau sampai Kimi?” perlahan suara Mak Mah mengejutkan tingkah Hakimi. Entah sudah berapa lama Mak Mah memerhatikan kelakuannya.
“Baru je Mak Mah. Saya bau lauk-lauk Thia ni terus rasa lapar. Jadi dengan tak malunya saya nak makanlah ni. Saya minta izin makan ya Mak Mah.” Hakimi menguntum senyuman selebar-lebarnya, cuba menutup malu tadi.
“Makanlah Kimi, tak luak pun kalau kau makan.  Hari ni ayah kau tak datang sekali hantar barang?” Mak Mah mengerling sekilas kelibat Thia yang sibuk memunggah barang-barang kering keluar dari perut van.
“Ayah tak berapa sihat Mak Mah, tu yang saya tak bagi dia ikut. Saya suruh dia duduk je jaga kedai dengan mak.”
“Kirim salam aku dekat mak ayah kamu nanti.”
Mak Mah berlalu ke kaunter semula meninggalkan Hakimi menghabiskan baki nasinya. Pantas Hakimi membasuh tangannya dan ke kaunter mencari kelibat Mak Mah.
“Mak Mah ada order kicap kan? Thia cakap tadi saya tak bawa kicap. Saya balik dululah ambil kicap tapi saya bawa Thia sekali ya Mak Mah?”
“Nak bawa Thia sekali? Apa hal pulak sampai kena bawa Thia sekali?” mata Mak Mah mencerun tajam.
Hakimi menelan liurnya, bimbang kata-katanya memakan diri sendiri.
“Saya baru call ayah tadi, dia cakap stok kicap yang Mak Mah nak tu dah habis. Dia suruh saya bawa Thia pergi jumpa pemborong kat bandar. Ayah tak boleh ikut sebab kena temankan mak. Cuma ayah dengan Thia je yang tahu kat mana nak cari jenama kicap yang warung Mak Mah selalu guna ni,” Hakimi mengerlipkan matanya saat Mak Mah merenungnya tajam.
“Kamu ni ada-ada jelah Kimi. Tak kanlah kicap tu cuma Thia dengan ayah kamu je yang tahu.”
Hakimi menelan liur. Terasa tersekat di kerongkongnya.
“Betullah Mak Mah, cuma satu kedai ni je yang jual kicap ni. Saya kan baru je tolong ayah beli barang. Selalukan saya jaga kedai je. Ni saya dah dapat lesen, barulah ayah serah tanggungjawab beli barang kat saya. Jangan risaulah Mak Mah, saya tak culik punya Thia tu,” Hakimi mengukir senyuman.
“Pergilah tapi jangan lama-lama sangat. Banyak lagi kerja si Thia tu kat sini.”
Hakimi menarik nafas lega, di bibirnya terukir senyuman lega kerana helahnya menjadi kali ini.

“KAU ni gila betullah. Ni kalau mak cik tahu mampus aku kena siat tau tak?” Thia bersuara tegas tanda protesnya dengan tindakan Hakimi.
“Habis, kau yang kata ada hal penting nak cakap dengan aku. Lagi gila jadinya kalau kau beritahu hal penting tu kat warung tau tak? Apa halnya?” Hakimi meraup wajahnya perlahan. Saat itu, matanya tertancap pada kepingan kertas yang dihulurkan Thia.
“Tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara.”
Hakimi menghela nafas panjang setelah membaca   perkara yang tertera di surat itu. Dipandang wajah Thia yang dari tadi leka melihat sekumpulan kanak-kanak sedang bermandi-manda ditemani keluarga. Dipandang pula sekelilingnya. Pandangannya melayang pada redup, sayupnya keindahan ciptaan Tuhan ketika itu.
Selalunya di situlah tempat mereka bertemu, apatah lagi sejak enam bulan meninggalkan bangku sekolah. Dia arif benar dengan perangai Mak Mah pada Thia tapi yang cuma mampu dia lakukan adalah menjadi bahu sebagai tempat untuk Thia menangis. Untuk bertindak lebih dari itu, dia masih belum mampu.
“Islamic Banking. Habis, macam mana?” giliran Thia pula menghela nafas panjang. Dia kematian kata-kata. Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapak.
“Aku memang nak pergi sangat-sangat tapi...” kata-katanya terhenti di situ.
“Duit?” Hakimi memandang Thia sayu. Rasa simpatinya meluap-luap.
“Duit, mak cik, Syafinaz, warung. Semuanya,” ditundukkan wajahnya. Seboleh-boleh air matanya cuba ditahan supaya tidak tumpah.
“Thia, kalau kau nak suruh aku tolong, memang terus-terang aku tak boleh tolong kau. Aku tak mampu. Yang mampu aku buat adalah mendengar. Kau boleh luahkan semuanya pada aku. Aku sedia mendengar.”
“Aku bukan nak jadi hamba Allah yang tak bersyukur. Aku sentiasa bersyukur, sebab Allah masih bagi aku peluang hidup sampai sekarang ni tapi kalau boleh aku nak ubah nasib aku, Mi. Aku tak nak selama-lamanya di bawah kepompong mak cik. Jadi hamba dia, dilayan baik sikit dari binatang, jadi mangsa buli Syafinaz. Aku nak ubah hidup aku keseluruhannya. Aku nak lari dari semua ni.” Thia segera menepis air mata bimbang titisannya dilihat Hakimi.
“Masalahnya kau tak boleh lari Thia. Macam mana kau nak lari dari dia orang? Kau ada simpanan? Nak ke U ni, belanjanya besar. Duit yuran, makan minum kau lagi. Semuanya duit Thia. Aku tak rasa mak cik kau akan berbesar hati nak tanggung semua perbelanjaan kau nak sambung belajar.”
Thia diam, menundukkan wajahnya. Ada betulnya kata-kata Hakimi malah, dari mula surat itu diterima tiga hari yang lepas, dia tahu itulah yang akan terjadi. Berita gembira itu tadi akhirnya bertukar menjadi luka yang terpendam. Jauh di lubuk hatinya.
“Thia, aku minta maaf. Aku tak dapat tolong kau.  Kalau aku dah kahwin dengan kau lainlah. Boleh juga aku bawa kau  lari, suruh kau belajar tinggi-tinggi, dapat kerja best-best, gaji ribu-ribu. Aku duduk rumah, uruskan rumah tangga. Jaga anak-anak, masak dan layan kau,” pecah tawa Hakimi tika itu. Deraian tawanya menggamit pandangan pengunjung Air Terjun Silambak ke arah mereka.
“Kau ni tadi terlebih minum air sirap kat warung aku ke sampai jadi tak betul macam ni? Masuk air eh? Gila ke kau nak kahwin dengan aku? Kau dah buta ke apa?” Thia menjerit perlahan mematikan hilaian tawa Hakimi.
“Aku cakap kalau la. K.A.L.A.U. KALAU,” Hakimi menyebut huruf demi huruf, satu persatu.
Kalau Mi... kalaulah betul, Thia berbisik perlahan.
Thia mencampak butiran batu yang sedari tadi dalam genggamannya ke dalam air yang beralun tenang. Percikan air lembut kelihatan. Terukir senyuman di wajahnya kala itu.
“Yalah Mi, tak kanlah kita kahwin kan. Tak kanlah dah habis anak dara kat bandar ni sampai kau pilih aku jadi bini kau kan. Aku ni dahlah hitam, pendek, tak cantik pulak tu. Manalah sesuai jadi bini kau,” Thia berkata lembut, memandang tepat pada wajah Hakimi.
“Tahu tak apa. Aku tak cakap okey, kau yang mengaku sendiri tapi betul jugak tau, tak kanlah anak tauke mini market macam aku yang handsome, baik hati, peramah, disukai ramai ni nak kahwin dengan perempuan macam kau. Eeee, tak de class okay! Yang sesuai dengan aku ni, of course puteri-puteri cantik bak bidadari...auooowww!” Hakimi menjerit nyaring sambil tangannya memegang bahagian kiri kepalanya. Rasa perit terkena batu.
“Kurang ajar kau Thia. Kau baling kepala aku dengan batu ni? Nasib baik tak bocor tau kepala aku ni. Kalau bocor, habis hilang segala kehandsomean aku ni. Siapa yang nak kahwin dengan aku lagi lepas tu?”
Thia mengelak jemari Hakimi yang laju ingin mencubitnya.
“Kau ni kalau bab berangan memang nombor satu.  Puteri bidadarilah, apalah. Ha, tadi tu flying kisslah dari puteri tu.  Aku tolong kirimkan, puteri tu pesan kat aku tadi.”
Kali ini gelak Thia lebih panjang. Geli betul hatinya dengan gelagat Hakimi. Terasa semua masalahnya tadi hilang melayang. Tanpa sedar, di satu sudut di sebuah kedai, sepasang mata memandang kelibat mereka dengan hati yang parah.


No comments: