Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday, 8 August 2016

SKDC - Bab 2


DUA pasang mata itu merenung Thia tajam. Thia berpura-pura tidak menyedarinya dan meneruskan kerjanya mencuci pinggan dan mangkuk yang berbaki di dalam singki. Waktu ini dia sudah berada di rumah melangsaikan pula kerja-kerja harian di rumah.
“Kau pergi mana tadi?” tanya Mak Mah mendatar.  Direnung mata Thia tajam.
Thia melarikan pandangannya. Dadanya berdegup kencang.
“Pergi bandar dengan Kimi. Kan mak cik tahukan, Hakimi tak tahu supplier mana jual kicap yang kita guna tu.”
Thia mengalihkan pandangan pada tangannya yang masih ligat membilas basuhan. Hatinya rasa gelisah yang amat sangat.
“Sejak bila kau dah pandai menipu ni Thia?”
Tingkah Thia terhenti pada satu suara yang tiba-tiba mencelah. Jelas kedengaran Syafinaz menutup pintu peti ais kuat. Mak Mah yang dari tadi tercegat di sisi Thia merenungnya tajam.
“Kau jangan ingat aku tak tahulah Thia. Kau ingat bandar ni besar sangat ke? Kau ingat tak ada yang nak jadi mata, mulut, telinga aku?”
Mak Mah menarik lengan Thia kasar. Cengkamannya terasa sangat kuat. Menyeringai Thia menahan sakit. Dari ekor matanya, dia tahu Syafinaz sedang ketawa, tawa mengejek padanya.
“Bukan main mesra lagi kau dengan Hakimi aku tengok. Bertepuk tampar, gelak ketawa sampai tak sedar orang keliling,” Syafinaz bersuara lagi. 
Thia tahu kini, Syafinazlah yang menjadi mata, telinga dan mulut Mak Mah. Thia menahan nafas dalam. Dia masih kaku di tepi singki. Basuhannya sudah pun selesai dari tadi.  Penuh taat dia menahan telinganya mendengar amukan Mak Mah.
“Aku suruh kau kerja dekat warung untuk ringankan beban aku. Bukan suruh kau menggatal! Kau ni tak sedar diri ke apa? Kau tak malu ke? Kau ingat kau ni cantik sangat ke? Kau ni sedar tak diri kau yang hodoh tu?”
Ayat-ayat Mak Mah tika itu seperti panahan petir membelah jiwanya. Terasa ngilu dan cukup memedihkan. Air matanya cuba ditahan dari tumpah.
“Kami tak buat apa-apa pun mak cik. Kami cuma duduk bersembang. Lagipun bukan kami berdua je dekat situ.  Ramai lagi orang yang ada, yang boleh jadi saksi apa yang kami buat,” Thia bersuara sedikit tegas, mempertahankan dirinya.
Panggg!
Serentak itu, pandangannya gelap. Terasa kulit pipinya bagai tersiat. Cepat-cepat Thia mengalas pipinya dengan tapak tangan. Wajahnya ditundukkan. Matanya tertumpu ke lantai.  Pandangannya kosong saat itu. Terasa maruahnya hilang entah ke mana.
“Jaga air muka aku Thia. Penat aku besarkan kau, bagi kau mencekik sampai kau boleh hidup hari ni. Kalau aku nak biarkan kau, boleh je Thia. Biarkan kau mati merempat kat luar sana tu! Tapi aku ni masih pegang lagi amanah arwah bapak kau tu. Masih belum tergamak nak biarkan kau mati kebulur! Aku dah susah payah bela kau ni, jangan sampai aku dengar orang-orang kampung ni sampaikan cerita yang bukan-bukan fasal kau pada aku. Memang lunyai kau aku kerjakan!”
Mak Mah menghela nafas keras. Dadanya terasa sebal tika itu. Membuak-buak amarahnya saat Thia menjawab tadi.
Thia masih lagi membatu di situ. Direnung tajam tikar getah yang dipijaknya. Hatinya kemudian sedikit lega saat melihat Mak Mah beredar. Lega kerana amukannya tidak melarat. Cukup dengan satu penampar buatnya.
“Kau jangan fikir aku akan senyap tentang perkara ni.  Sekali lagi aku tengok kau keluar dengan Kimi, aku sendiri yang akan belasah kau.”
Thia sekadar membisu. Hatinya tersenyum, tergelak mendengar kata-kata Syafinaz.
Ada hati nak belasah aku. Sekali aku tiup terpelanting masuk dalam semak. Badan dahlah keding macam bini Popeye.
Thia mengukir senyuman. Syafinaz yang tersedar senyuman menyindir Thia segera menepis bahu Thia sekuat hatinya. Badan Thia teranjak ke belakang. Serentak itu dipautnya tangan Syafinaz dan digenggam erat.
“Kau ingat aku takut dengan kau ke Syaf? Kau silap kalau kau fikir aku takutkan kau. Aku langsung tak takutkan kau tau tak? Aku jugak tak pernah takutkan mak cik. Selama ni aku diam sebab aku masih belum hilang hormat pada orang yang membesarkan aku dan isteri kepada arwah ayah aku. Mak cik boleh lempang, sepak terajang aku tapi kau Syaf, langkah mayat aku dulu!” Thia berbisik perlahan namun menyusup ke gegendang telinga Syafinaz. 
Mulut Syafinaz terherot-herot sambil dipejam-pejamkan matanya. Peluh dingin mula menitik sekitar dahi. 
Thia menolak tubuh Syafinaz kasar, terdorong tubuh keding itu ke belakang dan memberikan laluan untuk Thia berjalan ke biliknya.
Thia menolak selak pintu biliknya perlahan. Dadanya yang berombak-ombak sejak tadi terasa ingin pecah. Perlahan dia duduk di birai katil memandang wajahnya pada cermin meja solek yang bertentangan. Jelas rona merah di sekitar pipi kirinya. Diraup perlahan. Tanpa sedar, air matanya menitis.

THIA mengorak langkahnya laju. Sesekali dia berlari anak. Sebolehnya dia ingin cepat sampai ke rumah. Berita yang didengar dari mulut Pak Atan tadi benar-benar mengocak jantungnya.
“Thia, ayah kau kemalangan!”
Butir seterusnya yang keluar dari mulut Pak Atan sudah tidak dia dengari. Saat itu, fikirannya melayang jauh ingin segera pulang ke rumah. Sedar tak sedar, dia sudah pun berada di persimpangan jalan menuju ke rumahnya.
Di hujung jalan, bersimpang-siur kereta diparkir di sekitar rumahnya. Sekumpulan lima lelaki memandangnya dari atas ke bawah berulang-ulang kali. Thia menjeling sekilas, melajukan lagi gerak kakinya. Sampai di kaki tangga, Mak Nab tiba-tiba meluru memeluknya yang terpinga-pinga.
“Thia, ayah kau dah tak ada. Sabar ya nak,” Mak Nab meraup kedua-dua pipinya lembut. 
Air mata Mak Nab yang berjuraian membuatkan Thia bertambah bingung. Thia mengorak langkah memanjat tangga rumahnya perlahan. Sayup-sayup di telinganya, alunan bacaan ayat-ayat Surah Yassin. Beberapa pasang mata menoleh ke arahnya sekilas kemudian menyambung bacaan kembali.
Thia menghela nafasnya dalam mengumpul segenap kekuatan menghadapi kenyataan di hadapannya kini. Disimpuhkan duduknya sambil menyelak kain batik yang sedari tadi menutup wajah sekujur tubuh itu.
“Ayah!” air matanya berhamburan. 
Dipeluk wajah itu sekuat hatinya. Kalau boleh biar ayahnya bangun semula dan menidakkan segala yang terjadi di depannya. Kalau boleh biarlah segala realiti di hadapan matanya ketika itu hanyalah satu mimpi buruk.
“Ayah, bangun! Thia ni ayah. Mana janji ayah nak jaga Thia sampai bila-bila! Ayah cakap nak tengok Thia belajar tinggi-tinggi, kerja yang bagus-bagus. Kahwin dengan lelaki yang baik dan dapatkan ayah cucu yang ramai. Ayah janji nak main dengan cucu-cucu ayah bila ayah tua nanti. Kenapa ayah pergi sekarang? Kenapa mesti sekarang ayah!” pilu sungguh hatinya melihat tubuh kaku ayahnya itu.
“Thia tahu ayah tipu kan. Ayah sebenarnya tengah tidur kan. Ayah tunggu Thia balik dari study group kan. Bangunlah yah, Thia dah balik ni. Jom kita makan sama-sama. Thia dah lapar ni. Bangunlah ayah. Bangun...”
Thia menggoncang tubuh arwah ayahnya kuat.  Berulang-ulang kali sehingga terpaksa ditahan oleh Mak Nab yang dari tadi setia di sisinya.
“Thia, sudahlah tu. Ayah kamu dah tak ada ni. Tak baik kamu meratap-ratap macam ni. Reda Thia. Redakan pemergian dia Thia. Ayah kamu pun mesti tak tenang nak tinggalkan kamu kalau keadaan kamu macam ni. Sudahlah tu Thia, bawa bersabar ya. Istighfar banyak-banyak,” Mak Nab memujuk lembut sambil dia mengusap-usap kepala Thia.
Thia terdiam. Goncangannya tadi dihentikan.  Pelukannya yang kejap juga dileraikan. Perlahan-lahan dia mengusap air mata yang berjuraian di pipinya. Dipandang wajah Mak Nab.
“Mak Nab, sampai hati ayah tinggalkan saya, Mak Nab. Ayah dah janji banyak benda dengan saya, Mak Nab. Kenapa ayah tinggalkan saya?”
Thia memeluk Mak Nab erat. Air matanya diseka perlahan oleh Mak Nab. Dia merangkul lembut kepala Thia dan  dibawa ke dadanya. Dengan lembut, dia mengusap-usap rambut lurus Thia.
“Thia, Allah lebih sayangkan dia dari kita sayangkan dia. Dah tiba masa Allah kata dia mesti pulang ke pangkuanNya, siapalah kita untuk menidakkan ketentuanNya. Thia kena belajar melepaskan, baru yang di dalam ni rasa lega, lapang dan tenang.” Dengan lembut, Mak Nab menyentuh dagu kemudian mendongakkan kepala Thia supaya bertentang mata dengannya.
“Thia, ayah kamu ni baik orangnya. Orang baik ni, biasanya Allah sayang lebih, sebab tu Allah jemput lebih awal untuk jadi peneman Dia kat sana. Thia tak bangga ke? Bukan senang dan bukan semua orang dapat peluang macam tu kan?”
Thia menyeka air matanya seraya menghadiahkan senyuman tawar kepada Mak Nab. Walaupun hambar, tapi itu sudah memadai untuk melegakan hati tua Mak Nab.
Ketika itu, kedengaran suara Mak Mah nyaring dari serambi rumah.
“Kau ingat senang-senang macam tu je! Kau ingat dengan minta maaf, laki aku boleh hidup balik? Mana kau letak mata kau suka-suka hati kau nak langgar laki aku macam tu!”  
Thia menjengah dari jendela. Kelihatan dua orang mak cik memegang bahu ibu tirinya. Di sisi salah seorang mak cik itu, terselit Syafinaz yang menundukkan wajahnya. Dari lenggok bahu, jelas dia sedang terenjut-enjut menahan tangis.
“Saya minta maaf, kak. Saya tahu saya bersalah, tapi saya tak sengaja kak. Saya tak perasan arwah melintas waktu tu.” Seorang lelaki separuh abad berdiri menghadap Mak Mah, menghalang Thia dari melihat wajahnya.
“Memanglah kau tak perasan! Aku dengar kau mabuk waktu tu kan? Kalau dalam badan kau ni dah penuh dengan air kencing setan, memanglah satu apa pun kau tak kan nampak.  Patutnya kau yang mati, bukannya laki aku!”
Lelaki itu masih seperti tadi, menundukkan wajahnya.  Sesekali, dia menanggalkan kaca mata, meraup wajahnya. Dia memang minum air haram itu tapi bukan mabuk. Cuma dia tertekan dengan masalah diri dan cuai.
Perlahan-lahan Thia menuruni anak tangga satu persatu berjalan tenang menghampiri Mak Mah.
“Ha Thia, inilah orangnya yang langgar bapak kau,” Mak Mah membuka bicara kasar. 
Thia menarik nafas dalam. Wajah lelaki itu ditatap sepuasnya. Terlihat jelas pada baju lelaki itu tompokan darah merah masih basah di bahagian dadanya. Thia tahu, itu darah ayahnya.
Raut wajah itu serabut, jambangnya agak panjang.  Misainya juga tidak dikemaskan. Jelas dia tidak terurus. Air mata yang sedari tadi dikawal, menitis lagi akhirnya.
“Nak, pak cik minta maaf. Pak cik tahu pak cik salah.  Pak cik janji pak cik akan tebus segala dosa pak cik ni. Yang penting kamu maafkan pak cik dulu,” lelaki itu merenung wajah Thia. Tepat ke dalam anak matanya.
Selepas berlaku kemalangan tadi, lelaki yang dilanggar itu berkeras minta dia membawa ke rumah ini, bukan ke hospital. Dia pula akur apabila didesak dan dilihat lelaki itu seperti nazak sangat.
“Kalau saya maafkan pak cik, boleh pak cik hidupkan semula ayah saya?”
Lelaki itu terkedu bila mendengar pertanyaan tanpa disangka-sangka dari anak gadis di hadapannya itu. Dia meneguk liurnya. Menarik nafasnya dalam sambil memejamkan mata.
“Pak cik tahu pak cik tak boleh hidupkan semula ayah kamu tapi tolonglah maafkan pak cik. Pak cik tak sengaja,”  mata lelaki itu mula berkaca.
Thia mengalih pandangannya.
“Sudahlah pak cik. Semuanya sudah terjadi. Terus terang saya katakan yang saya perlukan masa.  Terlalu sukar untuk saya maafkan dan kemudian melupakan apa yang menimpa ayah saya macam tu saja. Saya harap pak cik hormati keputusan saya. Beri saya sedikit masa,” Thia memandang tepat mata lelaki itu.
“Pak cik faham. Pak cik hormati keputusan kamu tapi pak cik tak kan pernah putus asa memohon kemaafan dari kamu. Pak cik tunggu hari itu. Hari kamu memaafkan pak cik.  Seikhlasnya. Juga kemaafan dari seluruh ahli keluarga kamu.”
Thia mengukir senyuman hambar tanda membalas kenyataan lelaki itu tadi. Senyumannya tiba-tiba mati sebaik melihat wajah kelat Mak Mah dan Syafinaz.

THIA tersedar. Cepat-cepat dia melihat jam yang tergantung di dinding biliknya. 5.30 petang! Thia meraup mukanya perlahan.    Dia bangun menuju ke meja soleknya. Seketika matanya tertumpu pada gambar berbingkai yang usang. Perlahan dia mengusap gambar dua insan tersayang dalam hidupnya. Thia memejamkan matanya, cuba sedayanya menahan sebak.  Sesungguhnya saat itu, dia terlalu rindukan ibu dan ayahnya.
Kini dia menumpang kasih pada Mak Mah dan Syafinaz pula. Walaupun selalu dihina dan diherdik, segalanya dia hadapi dengan hati terbuka. Jauh dia memanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana masih ada tempat dia menumpang berteduh biar dia sedar kehadirannya langsung tidak disukai.
Mulanya Thia sendiri tidak mengerti mengapa kehadiran dia dan arwah ibunya tidak pernah langsung diterima.  Tapi kini semakin dia menginjak dewasa, barulah dia tahu hakikat sebenar perjalanan hidupnya.
Dia mengerti bukan semua wanita dapat menerima kenyataan dimadukan suami, apatah lagi secara rahsia. Lebih memburukkan keadaan, setelah kedua-dua ibu bapanya dijemput Ilahi, beban membesarkan dirinya tergalas pula di bahu Mak Mah. Kerana itu jugalah, tak pernah sesekali dia melawan segala perbuatan Mak Mah terhadapnya.
Biarlah, sekurang-kurangnya wanita tua itu tahu dirinya masih lagi insan yang tahu mengenang budi. Dia rela kalau dengan dimarahi, dihina dan dipukul dapat menebus segala dendam Mak Mah atas kesalahan arwah ibunya.
Thia menghela nafasnya panjang. Dia bingkas bangun.  Sebelum dia perlu menyiapkan bahan-bahan tumisan untuk warung Mak Mah pada keesokannya, kain baju kotor berlambak di bilik air haruslah diselesaikan dulu.

Sepatutnya tadi lagi selepas pinggan dan mangkuk siap dibasuh, kain baju kotor pula mengambil giliran tapi disebabkan dia terlalu melayan emosi, dia tertidur dan sudahnya terlewat pula menyelesaikan kerja-kerja rumah. Nasibnya juga baik, kerana suara Mak Mah masih belum bergema. Seketika kemudian, mesin basuhnya mula berbunyi tanda memulakan operasi.

No comments: