“PAK CIK! Kau kat mana?” laung Thia.
Matanya meliar
memandang ke sekeliling bilik, mencari kelibat Nazhan. Sudahlah dia terlupa
membawa berus gigi, dia juga terlupa membawa pakaian untuk disalin di dalam
bilik air itu sebelum melangkah masuk tadi. Selalunya di rumah Mak Mah, dia
bebas berkemban tuala saja sebaik keluar dari bilik air. Yang ada di rumah
cumalah dia, Mak Mah dan Syafinaz. Tapi
di rumah ini, dengan Nazhan. Ahhh...Thia memejamkan matanya. Tak sanggup dia
bayangkan!
“Pak cik! Kau
pekak ke?” Thia memekik sekali lagi.
Panas hatinya
bila panggilannya tidak bersahut dari tadi. Terasa ingin melangkah keluar dari
bilik, tapi bimbang dilihat Nazhan. Untuk terus bertapa di dalam bilik air itu,
dia sudah tidak sanggup lagi. Sudahlah badannya betul-betul letih ketika ini.
Seharusnya dia sudah memejamkan mata saat ini.
“Nazhan!”
Thia menjerit
lagi. Darahnya betul-betul mendidih. Dia memejamkan mata, menarik nafasnya
dalam-dalam. Nekad untuk keluar dari bilik air itu dengan berkemban. Apa nak
jadi, jadilah!
“Wow!”
Thia melompat.
Dia benar-benar terkejut saat mendengar suara Nazhan yang sedang duduk di
balkoni luar biliknya. Lelaki itu tersengih-sengih. Di jarinya terselit
sebatang rokok. Terasa sebal mendapat
suami seorang perokok. Sudahlah dia benci dengan asap rokok.
“Terkejut aku.
Kau pekak ke aku panggil kau dari tadi?”
Thia meluru ke
arah Nazhan yang sedang duduk di kerusi balkoni biliknya. Dia bercekak pinggang
menatap wajah selamba Nazhan. Geram dengan tindakan Nazhan yang pura-pura tidak
mendengar panggilannya tadi.
Nazhan masih
dengan senyum sumbingnya. Membiarkan Thia
bercekak pinggang di muka pintu sedangkan dia masih asyik menghisap rokok.
Sesekali hujung rokoknya diketuk perlahan pada bibir ashtray yang ada di
atas meja.
“Pekak
rupanya,” Thia berbisik.
“Aku tak
pekak. Kalau tak buat macam ni, tak dapatlah aku nak tengok kulit kau yang
putih gebu ni.”
Nazhan
tersengih lagi. Kali ini lebih lebar. Matanya pula memandang Thia dari atas ke
bawah berulang kali. Inilah pertama kali dia melihat gadis itu sebegini.
Melihat bahu yang putih melepak, rambut Thia yang ikal mayang mencecah
pinggang, melihat pada paha dan betis Thia yang juga putih melepak. Dia akui,
Thia punya pesona yang tersendiri. Boleh juga menggegarkan hati lelakinya.
Cuma, baginya Thia terlalu muda dia rasakan untuknya. Thia tua setahun sahaja
daripada Rania. Tidak sampai hati pula dia biarpun bergegar imannya.
“Eh! Tutup
mata kau. Tutup!”
Thia
mengundurkan diri. Dia cuba menutup tubuhnya menggunakan lengan kanan dan
kirinya. Terbongkok-bongkok dia cuba menyembunyikan tubuhnya yang cuma
berkemban itu. Wajahnya sudah merona merah. Malu ditatap sebegitu oleh Nazhan.
Segera dia berlari masuk ke dalam bilik, mencapai beg pakaiannya dan menuju ke
bilik air. Dia tahu jika dia memilih pakaiannya di dalam bilik tadi, semakin
galaklah Nazhan mengejeknya. Lantas, beg pakaian sebeban itu diangkutnya ke
dalam bilik air.
Kurang asam
punya Naz! Hari ni asyik kenakan aku je! Eeeee... rasa nak cekik-cekik je leher
pak cik ni! Thia meradang dalam hati. Geram, tak henti-henti dikenakan oleh
Nazhan sejak ketibaannya di sini. Malu memang malu tapi tidaklah dia takut.
Nazhan kan suami dia!
Setelah
menyisir rambutnya yang basah, dia keluar perlahan-lahan dari bilik air. Dia
menjeling sekilas ke arah balkoni. Ternampak Nazhan yang masih lagi tercegat di
atas kerusi menikmati sinar bulan dan bintang di langit malam itu sambil
menghisap rokok.
Thia tersengih
melihat ke arah katil. Segera dia melabuhkan badannya dan berbaring melintangi
katil. Sama seperti mana yang Nazhan lakukan sewaktu dia mula-mula melangkah
masuk ke bilik itu tadi. Niatnya biarlah Nazhan mengalah bila melihat dia tidur
melintangi katil lalu tidur di sofa.
Dia tahu,
Nazhan mesti tak sanggup tidur di atas katil ini kalau dia sudah di sini. Thia
menarik selimut. Rambutnya yang basah menambahkan lagi kedinginan berada di
dalam bilik itu. Segera dia menarik selimut tebal, menutupi seluruh tubuhnya.
Matanya dipejamkan rapat saat terdengar sliding door balkoni ditutup
Nazhan. Thia pura-pura mematikan dirinya.
Perlahan-lahan
Nazhan menutup pintu. Menjeling sekilas pada Thia yang sudah pun terbaring di
atas katil. Nazhan melangkah masuk ke bilik air ingin mencuci muka dan memberus
giginya terlebih dahulu sebelum masuk tidur. Dia memerhati susunan toiletries
di atas singkinya. Berpuas hati. Lantas dicapai berus gigi. Sudah menjadi
amalannya sejak kecil lagi untuk menggosok gigi dan mencuci muka hasil didikan
neneknya di kampung. Saat meletakkan kembali berus gigi yang sudah dicuci
bersih, dia terfikirkan sesuatu.
Eh, pak cik ni
buat apa? Kenapa katil ni rasa bergerak-gerak? Matikan diri Thia, buat-buat
tidur, buat-buat tak dengar! Dada Thia mula berdebar saat terasa tilamnya
berombak seolah-olah ada orang yang turut baring di sisinya. Saat terasa
hembusan nafas lelaki itu di mukanya, dia mencelikkan mata. Spontan, dia
menampar muka Nazhan dan menolak tubuh lelaki itu.
“Kau nak buat
apa?”
Bimbang Nazhan
ingin melakukan yang bukan-bukan terhadap dirinya. Boleh memang boleh cuma
sesungguhnya dia belum benar-benar bersedia untuk saat itu pada waktu begini.
Lebih-lebih lagi untuk seorang lelaki yang langsung tidak dikenalinya.
Sekurang-kurangnya, bagilah dia ruang sedikit untuk mengenali Nazhan lebih lama
lagi.
Nazhan yang
sudah pun duduk di birai katil menggosok pipinya. Terasa pijar ditampar Thia.
Dia cuma ingin menakutkan gadis itu, langsung tidak menyangka Thia yang
terkejut bertindak menampar mukanya.
“Eh, kata nak
tidur dengan aku. Jomlah kita tidur sekali,” Nazhan tersengih. Sengaja dia
ingin mengusik gadis itu lagi.
“Mimpi?” Thia
bingkas bangun dari katil.
Niatnya tidur
secara melintang di katil itu supaya Nazhan tidak tidur bersamanya, gagal.
Eiii... nasib
baik pak cik ni tak buat apa-apa kat aku tadi. Tak fasal-fasal dapat penampar free.
Tak apalah, tak dapat tidur kat tilam empuk pun tak apa.
Thia mengheret
selimut tebal di atas katil Nazhan bersamanya. Ditepuk-tepuk bantalnya,
kemudian dia berbaring di atas sofa yang terdapat dalam bilik itu. Agak sempit
dan muat-muat untuk badannya.
Jadilah dari
jadi mangsa pak cik ni, Thia mengomel dalam hati.
Dia menjeling
sekilas Nazhan yang masih memerhatikannya di birai katil. Thia berselubung.
Sesaat kemudian, terasa selimutnya ditarik perlahan-lahan. Cepat-cepat dia
membuka matanya. Bimbang Nazhan membuat sesuatu di luar kawalan.
“Eh apa lagi
kau nak ni? Kan aku dah bagi kau tidur kat katil kau tu?” Thia menjegilkan
matanya. Dia memandang ke arah Nazhan yang tercegat di hadapannya dengan
tangannya yang cuba menarik selimut.
“Kau tak gosok
gigi kau kan?”
“Gosoklah!”
Thia melarikan pandangannya. Tangannya masih menggenggam hujung selimut
kuat.
“Bohong. Kalau
kau gosok gigi kau, mesti ada berus gigi kau kat dalam bilik air tu. Aku tengok
yang ada cuma ubat gigi, syampu dengan shower foam je. Berus gigi tak
ada pun,” Nazhan tersengih lagi. Dia tahu Thia membohonginya.
“Kalau tak ada
berus gigi aku kat situ, tak bermakna aku tak gosok gigi.” Thia merenung lelaki
itu cuba melawan mata itu.
“Habis tu kau
gosok gigi pakai apa? Berus jamban?”
“Pakai berus
gigi kaulah!” Thia menarik selimutnya lantas baring. Cepat-cepat dia
menyelubungi kepalanya dengan selimut. Dia terkekeh dalam hati.
Padan muka.
Sibuk sangat aku tak gosok gigi, tak bawak berus gigi kan. Ingat aku kebulur
sangat nak pakai berus gigi dia agaknya. Eeee...geli tahu!
“Kurang asam
kau. Bangun! Bangun! Aku nak selimut ni,” Nazhan bengang mendengar jawapan
Thia.
Tak dapat
dibayangkan Thia menggunakan berus giginya. Selepas itu, dia pulak menggunakan
berus gigi yang sama. Eeeuuwww! Dia menarik selimutnya.
Thia bingkas
duduk, menahan selimutnya dari ditarik Nazhan.
“Ini bilik
aku, tilam aku, katil aku, dan ini, selimut aku! Tu bantal yang kau guna tu,
tak apalah aku kasi pinjam tapi selimut ni memang tak boleh. Aku bagi kau,
nanti aku nak pakai selimut apa?” Nazhan berdiri di sisinya, cuba sekali lagi
mengambil selimut yang terbentang pada tubuh Thia.
“Eh, mana
boleh. Sejuk kut tak pakai selimut.” Thia menggenggam hujung selimutnya kuat.
Menghalang dari ditarik Nazhan.
“Ah... tu kau
punya fasal. Sejuk ke panas ke, bukan masalah aku. Meh sini!”
Nazhan
merentap kasar. Dia tetap inginkan selimutnya. Ingin meminta selimut lain pada
mama, tengah-tengah malam begini, pasti dia akan dipersoalkan. Sudah sah suami
isteri, tidur sekatil, jangan kata sebantal, seselimut pun tiada salahnya tapi
ingin berselimut dengan Thia? Dia menggeleng dalam hati. Tak sanggup! Cukuplah
tadi makan penampar. Silap-silap nanti, tengah-tengah malam dia makan
penerajang pulak daripada Thia. Mana tahu kan?
“Tak boleh.
Aku nak pakai selimut ni!”
Thia berkeras.
Dari tadi dia kesejukan. Bilik Nazhan yang dipasang dengan penghawa dingin itu
benar-benar menyeksa dirinya. Sejuknya bukan kepalang. Menggigit-gigit sejuknya
sehingga ke tulang. Kalau dibiarkan Nazhan merampas selimut itu, bagaimana dia
hendak menghabiskan masa tidurnya sehingga esok pagi? Tidur dengan tidak
berselimut? Dia boleh beku!
“Kau degil eh?
Meh sini aku nak peluk kau. Aku nak cium kau.”
Nazhan menjuihkan bibirnya sambil mendepangkan tangan. Badannya
dirapatkan perlahan-lahan ke arah Thia.
“Nah,
ambiklah!” cepat-cepat Thia melepaskan pegangan tangannya pada selimut Nazhan
tadi. Dia rela beku asalkan Nazhan tidak bertindak lebih gila.
“Tahu takut!”
Nazhan tersengih. Dia ternyata menang dalam perebutan itu. Terasa puas dapat
mengenakan Thia.
Thia mendengus. Kesejukan mula mencengkam
dirinya. Dia memandang ke arah Nazhan yang sudah pun terbaring di atas katil.
Dia memandang Nazhan dengan hati yang bengkak. Benci melihat lelaki itu yang
dari tadi galak menyakatnya. Matanya kini terbuka luas. Rasa mengantuknya
hilang biar pun badannya masih lagi kepenatan.
Tapi peliknya,
dia tidaklah takut sangat dengan Nazhan.
Belum bersedia saja, bukan berdebar sangat atau terlalu berfikir tentang
malam pertama. Dia sebenarnya tidak berapa kisah pun.
Thia
terkebil-kebil merenung ke siling bilik Nazhan. Sesekali dia mengiring ke
kanan, sekejap kemudian ke kiri pula. Dia betul-betul gagal untuk tidur. Tambah
menyakitkan hatinya, terdengar dengkuran kecil daripada Nazhan.
Perlahan-lahan
Thia bangun, memerhati setiap penjuru dinding bilik itu mencari suis lampu.
Dari tadi cahaya lampu yang terang dalam bilik itu menyukarkan dia untuk
melelapkan mata. Akhirnya, di sebalik almari pakaian Nazhan, dia menjumpai
deretan pelbagai suis. Dia sekadar mengagak dan dengan sekali tekan, lampu di
bilik Nazhan terpadam.
“Woi, bukak
balik lampu tu!”
Thia terkejut.
Cepat-cepat dia menekan kembali suis lampu tadi. Dia cemas. Tertanya-tanya apa
yang berlaku kepada Nazhan saat dia menutup suis lampu tadi.
“Jangan tutup
suis lampu,” Nazhan kembali berbaring membiarkan Thia yang terpinga-pinga.
Sekali lagi
Thia menutup suis lampu.
“Ei, kau tak
faham bahasa ke? Aku kata jangan tutup suis lampu tu. Aku tak boleh tidur lampu
tertutup. Biar je lampu tu terbukak sampai pagi.”
Thia mengekek
dalam hati. Geli hatinya mengetahui Nazhan rupanya takut tidur bergelap. Lelaki
seego itu, segagah itu, setua itu, takut tidur bergelap? Thia cuba menahan
tawanya daripada terburai keluar. Lelaki itu rupanya masih keanak-anakan.
Thia kembali
menekan suis lampu, membiarkan lampu kembali terbuka. Saat lampu menerangi
bilik itu, Nazhan dilihatnya sedang duduk di atas katil.
“Kalau kau tak
nak aku tutup lampu ni, kau tutup dulu suis air cond tu,” Thia
menjuihkan bibirnya ke arah penghawa dingin yang terpasang.
“Tak nak. Aku
panas.”
Nazhan baring,
menarik selimutnya sehingga menutup kepalanya. Thia bengang. Sedikit pun Nazhan
tidak mahu mengalah atau bertolak-ansur.
“Okey, aku
tutup lampu ni,” Thia menekan suis lampu.
“Gelap-gelap
ni, kalau aku terpeluk kau ke, tercium kau ke, terbenda lain ke, kau jangan
salahkan aku pulak,” Nazhan bersuara sayup-sayup dari dalam selimutnya.
Thia yang baru
hendak melangkahkan kaki ke sofa, terhenti.
Eeeeee....rasa
nak cekik-cekik!
Thia
menghentak kakinya menuju kembali ke deretan suis tadi. Dia menekan kembali
suis lampu, dan membiarkan lampu terpasang semula.
Monyet betul Nazhan ni!
No comments:
Post a Comment