Thia membuka matanya perlahan-lahan.
Terasa berpasir. Perit. Dia mencapai
telefon bimbit hadiah bapa mentuanya dari
dalam kocek seluar. Matanya masih sukar untuk dicelikkan.
6.30! Thia
membeliakkan biji matanya. Terkejut.
Sangkanya jam masih lagi dalam lingkungan 4.00 atau 5.00 pagi. Kebiasaannya pada waktu itulah dia bangun dan
bergegas menjemput Kak Inah di rumahnya dan terus menuju ke warung. Dia
terkejut saat tersedar dia sudah terlewat.
Thia bingkas
mengalihkan selimut yang menutupi tubuhnya. Dia menjeling sekilas ke arah
katil, melihat Nazhan yang masih lagi berdengkur. Cepat-cepat dia ke bilik air,
mengambil wuduk dan menunaikan solat subuh. Saat mengaminkan doanya, dia
terpandang selimut yang terperosok di sofa tempat dia tidur tadi.
Selimut? Dia
segera memandang ke arah Nazhan. Lelaki itu sedang mengerekot memeluk bantal
peluk tanpa selimut. Thia tersenyum.
Dia berdiri di
sisi Nazhan yang sedang nyenyak tidur. Jam ketika itu sudah menunjukkan 6.50
pagi. Thia resah. Ingin mengejutkan
Nazhan tapi dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya. Terasa janggal tiba-tiba
terpaksa mengejut seorang lelaki asing dalam hidupnya.
Thia berjalan
ke hulu hilir, berfikir-fikir cara untuk mengejutkan Nazhan. Sesekali dia
merengus. Tiba-tiba datang akalnya untuk menutup suis penghawa dingin. Dia
mencapai alat kawalan penghawa dingin. Buntu. Dia sendiri tidak tahu butang
mana yang harus ditekan untuk menutup penghawa dingin itu. Dua, tiga kali
menekan, akhirnya penghawa dingin itu senyap. Dia memerhati susuk tubuh Nazhan.
Akhirnya, Nazhan membuka matanya perlahan-lahan melihat Thia tercegat di
hadapannya.
“Eh, kau
siapa?” matanya dijegilkan. Dia memerhatikan Thia yang tercegat dari tadi.
“Akulah.
Bangun, solat!” Thia bercekak pinggang. Pelik melihat telatah lelaki itu yang
tampak terkejut dengan kehadirannya.
Bengong...
Lupalah tu dah kahwin! Thia merengus dalam hati.
Nazhan menutup
kembali matanya. Terasa kelakar bertanyakan soalan tadi kepada Thia. Dia
betul-betul lupa dirinya sudah berkahwin. Dia juga lupa gadis di hadapannya itu
adalah isterinya.
“Eh, kenapa
panas ni?” Nazhan kembali merenung susuk Thia yang sedang membuka tingkap
biliknya.
“Kalau tak
tutup air cond tu, kau tak reti nak bangun. Dahlah, bangun! Dah nak habis waktu dah ni,”
Thia menyisir pula rambutnya. Dia bercadang untuk turun ke tingkat bawah,
berkenalan dengan seisi keluarga dan membantu menyediakan hidangan sarapan
pagi.
Nazhan
merengus kasar. Geram dengan sikap Thia. Dia bingkas bangun. Matanya belingas
seketika ke jam dinding. Cepat-cepat dia mengatur langkah ke bilik air.
Usai solat,
dia terus turun ke tingkat bawah. Perutnya sudah berbunyi minta diisi.
Selalunya pada waktu begini dia sudah pun bersiap untuk ke pejabat. Cuti untuk
majlis perkahwinannya dilanjutkan sehingga ke hari ini. Dia hanya mahu berehat
di rumah sebelum kembali dengan urusan-urusan pejabat pada keesokan hari.
“Morning ma,”
Nazhan menegur mamanya yang sedang bersarapan bersama Thia dan papanya. Semua
mata tertumpu padanya. Cepat-cepat dia melarikan pandangan
“Morning.
Makan sekali dengan kami.” Datin Marisa mencapai sebiji pinggan, mencedok
sesenduk dua nasi goreng yang disediakan pembantu rumah mereka, Mak Intan.
Nazhan duduk
menghadap Thia. Gadis itu menundukkan wajahnya. Menguis-nguis nasi di
pinggannya.
“Mama dengar
Thia ni pandai memasak orangnya. Betul ke?”
Thia
mengangkat wajahnya. Mata Datin Marisa galak memandangnya. Menanti butir
jawapan dari mulut Thia.
“Taklah ma...”
suara Thia. Terasa janggal memanggil wanita itu dengan panggilan mama. Satu
panggilan yang sangat asing dalam hidupnya.
“Biasa-biasa
je mama. Tak adalah pandai sangat.” Thia menyambung bicara sambil membalas
senyum ibu mentuanya.
“Mana ada biasa-biasa
Thia. Hari tu masa majlis kat rumah Thia tu, orang kampung semua cakap Thia
pandai masak. Untung kami berdua dapat buat Thia jadi menantu kami,” Dato’
Harun tiba-tiba mencelah. Wajah Thia dipandangnya.
“Kalau macam
tu, hari ni Thia masak. Nanti mama dengan Mak Intan tolong Thia kat dapur.”
Mata Datin
Marisa kian galak. Terbayang-bayang dalam kepalanya, menu yang lama tidak
dijamah. Kali ini, dia ingin melihat sendiri kehebatan menantunya beraksi di
dapur. Dia ingin merasa sendiri air tangan menantunya yang acap kali dipuji
suaminya sendiri.
Thia tergamam,
terasa butir-butir nasi tadi bertukar menjadi batu melalui anak tekaknya.
Terasa perit dan kesat saat mendengar permintaan ibu mentuanya tadi.
Masak?
Ishhh... kalau kat warung dengan rumah Mak Mah, pandailah aku. Ini dekat rumah
mak mentua, boleh ke aku ni masak? Thia meneguk liur. Dadanya berdegup.
“Bahan-bahan
semua dah ada ke mama? Kalau ada, nanti kejap lagi Thia masakkan. Mama nak Thia
masak apa?” Thia mengukir senyuman, menyembunyikan gundahnya.
“Bahan kering
macam bawang, lada, kunyit semua tu dah ada kat dapur. Bahan basah yang tak
ada. Mama ingat mama nak makan ikan sembilang masak asam pedaslah. Dah lama
mama tak makan asam pedas. Dekat drawer dalam peti ais tu ada ikan masin
bulu ayam. Hari tu kawan papa belikan ikan masin tu tak habis-habis sampai
sekarang. Mama nak suruh Mak Intan gorengkan pun asyik lupa je. Untuk sayur,
mama nak makan tauge tumis je dengan tauhu. Hmmm... dah cukuplah tu untuk
hidangan tengah hari ni,” petah mulut Datin Marisa bercakap dan memandang Thia
tanpa berkelip.
“Naz, nanti
bawak Thia pergi pasar. Boleh jugak Naz tu kenal-kenal pasar tu apa.” Dato’
Harun memandang ke arah Nazhan menanti reaksi anak lelaki sulungnya itu.
“Eh, selalukan
yang beli barang dapur driver kita.”
“Papa ada meeting
hari ni. Kejap lagi papa dah nak gerak. Kalau pergi pasar dulu, lambatlah papa
nanti. Lagipun Naz pun cutikan hari ni, apa salahnya teman Thia pergi pasar.
Siapa lagi yang nak teman dia kalau tak Naz,” Dato’ Harun cepat-cepat berdalih.
Sengaja dia
ingin anaknya keluar bersama Thia. Memberi ruang dan masa untuk mereka berdua
menyesuaikan diri masing-masing. Memberi peluang kepada mereka saling mengenali
sifat dan sikap antara satu sama lain.
“TURUNLAH! Dah sampai,” Nazhan
memandang ke arah Thia yang duduk di sisinya. Dia menanti gadis itu membuka
pintu kereta. Tidak tahulah mengapa dia tak boleh berlembut dan bermanis bahasa
dengan Thia ini.
“Aku?
Sorang-sorang?” Thia menjegilkan matanya. Jarinya dituding ke mukanya.
“Eh, taklah.
Ada satu bas lagi nak teman kau masuk pasar tu. Kejap lagi sampailah bas tu,”
Nazhan mencebik-cebikkan bibirnya. Geram melihat Thia yang terhegeh-hegeh dari
tadi.
“Eh, tak kan
aku nak pergi masuk dalam tu sorang-sorang? Ni, kau tengok list ni. Ni
semua stok bahan masak untuk seminggu tahu. Tak kan aku nak angkat semua benda
tu sorang-sorang?” Thia menunjuk nota kecil yang dikeluarkan dari koceknya ke
muka Nazhan.
“Tu, kau
tengok tu. Lantai dia basah, lecak sana sini. Tu lalat banyak, mesti busuk
pasar ni. Eeee... tak naklah aku!”
Seumur
hidupnya, ini kali kedua dia menjejakkan kaki ke pasar. Kali pertama sewaktu
kecil dahulu, itu pun hampir biru mukanya menahan nafas daripada menghidu bau
pasar yang tidak disenanginya. Sejak itu, dia sering kali mengelak setiap kali
diajak ke pasar. Dia juga pening melihat susun atur pasar yang berselerak.
Terasa semuanya mahu dikemas.
“Kalau kau tak
nak, jom kita balik. Tak kuasa aku nak angkat barang banyak-banyak ni
sorang-sorang.” Thia melipat nota yang dipegangnya lantas digenggam.
“Yalah, yalah.
Jomlah aku teman! Mengada-ada betullah,” Nazhan separuh menjerit. Lambat-lambat
dia membuka tali pinggang keledar di sisi pinggangnya.
Thia
tersengih. Lucu melihat Nazhan yang tak henti mengomel tapi yang penting,
lelaki itu menuruti kehendaknya.
“Aku cari
ayam, ikan, sotong dengan udang. Kau cari sayur, boleh? Cepat sikit kita boleh
balik. Lagipun dekat area sayur tak lecak, bau pun tak teruk macam kat area
ikan. Nanti dah siap, kau tunggu aku kat kereta,” Thia memandang wajah
Nazhan yang berkerut.
“Kau nak suruh
aku cari apa?”
“Kobis,
kangkung, tauge, carrot, putik jagung dan tomato. Esok-esok boleh aku
masak tomyam campur,” Thia mengukir senyuman. Terbayang-bayang di kepalanya
keenakan tomyam campur air tangannya. Sudah agak lama juga dia tidak memasak
tomyam campur.
“Kau tahu tak
sayur-sayur yang aku cakap tu?”
“Tahulah.”
“Ingat tak apa
yang aku cakap tadi?”
“Ingat...”
Nazhan pantas beredar, meninggalkan Thia.
Ek eleh mamat
ni! Thia merengus.
Perlahan dia
mengatur langkah, memerhati setiap jenis ikan yang bersidai di atas meja.
Pelbagai jenis ikan, sotong, udang yang dijual. Sesekali tangannya
membelek-belek ikan, meneliti insangnya, memicit-micit perut ikan sebelum
memasukkan ke dalam bakul untuk ditimbang. Dia membelek pula ayam, udang dan
sotong.
Dia bergegas
pula ke bahagian sayur-sayuran, memilih serai, daun kesum, belacan dan
sebungkus lada kecil. Diambil segenggam asam gelugur dan dimasukkan ke dalam
plastik. Setelah yakin semua barang-barang dalam senarai sudah pun dibeli, dia
bergegas menuju ke kereta. Bimbang Nazhan sudah terlalu lama menunggunya.
“Ingatkan kau
nak duduk sini terus tadi,” perli Nazhan sebaik melihat kelibat Thia. Gadis itu
menjinjing sebeban beg plastik di kiri dan kanan tangannya. Cepat-cepat dia
membukakan but menyimpan barang di belakang kereta dan menanti gadis itu
meletakkan barang.
“Ni sayur
apa?” Thia mengeluarkan seikat sayur dan ditunjukkan di hadapan Nazhan.
“Kangkunglah.”
“Tadi kemain
kerek lagi kau kan. Kangkung dengan bayam pun tak kenal,” Thia tersengih.
Terasa tawanya ingin meledak keluar melihat keyakinan lelaki itu.
“Eh
kangkunglah tu!”
Geram melihat
senyum sumbing di bibir Thia. Malu sebenarnya. Dia lupa di bahagian sayur
kebiasaannya tidak diletakkan tanda nama. Sudahnya, dia main agak saja sayur
yang ada tadi. Tembakannya ternyata tidak mengena kali ini.
“Umur dah tua
dah, sekolah bukan main tinggi, sijil tebal berlapis-lapis tapi bengap. Sayur
pun tak kenal.”
Nazhan mula
bengang. Terasa dirinya dibodohkan Thia hanya kerana seikat sayur.
“Hei, siapa
kata aku tak kenal sayur? Ni, ni tomato kan? Ni serai, ni asam keping.
Ni...” kata-katanya terhenti memandang
pada seikat sayur. Dibawa ikatan sayur itu dekat ke hidungnya lalu dicium.
Sebaik dihidu bau dari sayur itu, dia mencampaknya. Busuk. Baunya seakan-akan
bau seekor kumbang.
“Ha, apasal
diam? Kenapa campak? Tu apa yang kau campak tu kalau kau kenal sangat?”
“Aku tahu
sayur ni, tapi aku lupa nama dia,” Nazhan berbohong. Dia betul-betul tidak tahu
sayur apakah yang diciumnya sebentar tadi.
“Tu lah, orang
cakap bengap tak boleh terima. Ni namanya daun kesum. Ni bukan sayur. Ni
penambah rasa dalam asam pedas atau pun laksa. Lain kali rajin-rajin pergi
pasar ya pak cik,” Thia tersengih lagi.
Cepat-cepat
dia ke depan dan masuk ke dalam kereta, bimbang marah Nazhan kian memuncak.
Nazhan
mengetap bibir, geram melihat Thia yang galak mentertawakannya. Dia tahu Thia
mengejeknya.
THIA membuang pandang ke luar
tingkap membiarkan Nazhan yang dari tadi senyap memandu. Tiba-tiba Nazhan memberhentikan keretanya seraya keluar tanpa
mengajak Thia. 10 minit kemudian, dia kembali dan menghulurkan sebungkus
plastik kepada Thia.
“Yang warna
merah tu kau punya, yang warna biru tu aku punya. Jangan nak pakai aku punya
lagi dah.” Nazhan meneruskan pemanduan membiarkan Thia membelek berus gigi di
dalam beg plastik yang dihulurnya tadi.
“Nanti aku
suruh technician datang pasangkan night lamp kat bilik. Tak payah
nak bergaduh tutup bukak lampu macam orang gila. Sekarang ni jom kita pergi
beli selimut pulak. Tak payah nak gaduh tarik-tarik selimut macam
budak-budak.”
Thia
terpempan. Teringat semula peristiwa malam tadi bersama Nazhan. Dia sendiri
tidak terfikir mencari jalan penyelesaiannya tapi lelaki itu sudah pun mencari
jalan. Dia menoleh sekilas ke wajah lelaki itu merenung jauh ke dalam anak mata
lelaki itu. Cuba meneroka isi hati lelaki itu, adakah sama getarannya seperti
getaran dalam hatinya pada saat itu?
IKAN sembilang yang dilumur oleh
Mak Intan dengan asam jawa tadi segera dibilas. Kemudian ikan tadi dimasukkan
ke dalam kuah asam pedas yang sedang menggelegak di atas dapur. Thia pantas
memasukkan secubit garam, gula dan serbuk perasa lantas merasanya.
Puas hati
dengan hasilnya, Thia menutup api dan menutup periuk. Dia menghampiri Datin
Marisa yang dari tadi tekun menyiang tauge.
“Dah siap
Thia?”
“Dah ma,”
balas Thia dengan senyuman.
Thia
sebenarnya sukar menduga watak sebenar ibu mentuanya itu. Adakah seperti yang
digambarkan dalam novel-novel atau pun cerita-cerita Melayu di kaca televisyen
yang selalunya garang, tidak berperikemanusiaan dan suka mendera menantu?
Lebih-lebih lagi menantu tak diundang seperti dirinya.
Sesekali
timbul rasa tidak keruan, bimbang dirinya tidak disukai wanita itu. Sudahlah
dia dibenci ibu dan kakak tirinya, terpaksa berkahwin dengan lelaki yang
langsung tidak dikenalinya, dan kini berhadapan dengan ibu mentua pula. Apa
lagi agaknya perkara malang yang harus dihadapinya?
Walau
bagaimanapun, Thia sedikit lega kerana wanita itu membuka bicara menegurnya
dahulu. Tangannya ligat meracik bawang merah, bawang putih bersama cili merah.
Mak Intan pula sibuk menyiapkan minuman manis untuk dihidangkan bersama juadah
tengah hari nanti.
“Macam mana
tadi pergi pasar dengan Naz? Dia okey?” Datin Marisa memandang Thia tapi
tangannya tetap ligat menyiang tauge.
Thia cuma
tersengih. Ragu-ragu untuk menjawab. Bimbang tersalah cakap.
“Kalau Thia
nak tahu, Naz tu tak suka pergi pasar. Kalau Mak Intan ajak dia, memang
bertuahlah dia nak ikut. Dari kecik-kecik lagi, memang sensitif betul dia kalau
ajak pergi pasar,” tawa mereka sama-sama berderai. Bergema memenuhi ruang dapur
itu.
“Kira tadi
berjaya jugaklah Thia bawak dia pergi pasar ya.” Thia masih mengukir senyum.
Sisa tawanya masih ada.
“Lagi pun papa
dah suruh. Nak ke tak nak ke, terpaksa jugaklah dia.” Datin Marisa menyampuk.
Cuba mewujudkan lagi suasana mesra bersama menantunya itu.
“Papa cakap
Thia nak sambung belajar ya?” Datin Marisa menyambung bicara.
“Ha’ah ma,
tapi tak tahu lagi nak ambik dekat U atau kolej mana. Course apa pun
Thia masih fikirkan lagi.” Thia segera bangun untuk menumis sayur tauge pula.
“Mama rasa
Thia kena ambil course yang berkenaan dengan makanan kut. Food
Service, Hotel Management atau Culinary Arts. Mama tengok Thia ada
bakat memasak. Kalau nak belajar ni, mama rasa lebih baik buat sesuatu yang
memang kita minat dan kita suka. Baru kita rasa seronok, rasa teruja nak
belajar lebih banyak lagi. Setahu mama, kalau ambil diploma dalam bidang-bidang
makanan ni, pelajar akan didedahkan bukan saja resipi dari Malaysia tapi dari
negara barat jugak. Jadi, pengetahuan tentang masakan kita akan jadi lebih
meluas.”
Thia tekun
mendengar.
“Dulu masa
zaman mama study, ada roommate
mama ambil course Hotel Management, bila tiba subjek memasak,
setiap kali dia balik dari kitchen, ada je benda yang dia tapau untuk
kami satu bilik. Masa tu barulah mama kenal lasagna, chicken pie, carbonara
spaghetti, croissant, macam-macamlah. Seronok tengok dia pandai masak
benda-benda yang selama ni kita cuma tengok dalam majalah atau kat tv je,”
Datin Marisa galak bercerita sambil tersenyum. Cukup mesra bersama menantunya.
“Sekarang ni
dia dah bukak restoran dengan bakery shop dah kat kampung dia.
Sebab course-course ni bukan cuma tumpu pada masakan semata-mata, tapi
ajar jugak business, marketing, so bila kita grad, kita boleh
aplikasikan dalam hidup kita dan jadikan kerjaya pulak.”
Thia cuma
terangguk-angguk dari tadi. Jauh dari sudut hati, dia gembira ibu mentuanya itu
ternyata seorang insan yang baik. Menganggap dirinya seperti anak sendiri,
boleh berbual seperti seorang ibu. Dia memanjat kesyukuran tidak terhingga
melihat bapa dan ibu mentuanya menerimanya dengan baik.
Mak Intan yang
tadinya menghilang, muncul semula bersama Nazhan dan Dato’ Harun di sisi.
Cepat-cepat Thia menyusun pinggan dan lauk-pauk di atas meja. Siap semuanya,
dia duduk di sisi ibu mentuanya, bertentangan dengan Nazhan. Dia tahu, dari
tadi Nazhan begitu khusyuk memandang dirinya. Sengaja dia pura-pura tidak
nampak.
“Mama puas
hati betullah dengan masakan Thia.
Sedap!” Datin Marisa tersenyum lebar.
“Itulah you,
kan I dah cakap dari hari tu. Menantu you ni pandai masak you
tak nak percaya. Tengok sekarang ni, bertambah-tambah you makan,” Dato’
Harun tergelak. Gembira hatinya melihat isterinya berselera makan. Tambah
bangga, juadah untuk mereka tengah hari itu disediakan oleh menantunya sendiri.
“Macam ni Mak
Intan kena letak jawatan ni.”
Terhambur lagi
ketawa dari mereka sekeluarga. Senang hati Thia melihat keakraban keluarga itu
pada saat ini. Dia sendiri sudah lama tidak makan sekeluarga seperti itu sejak
ketiadaan arwah ibunya.
“Jadi nanti
Thia nak sambung belajar?” Dato’ Harun bersuara, memandang ke wajah Thia yang
dari tadi tersenyum.
“Jadi,” Thia
membalas pendek. Terasa sedikit pelik dengan pertanyaan bapa mentuanya itu
sedangkan antara dia dan bapa mentuanya, sudah pun bersetuju dengan perjanjian
yang dibuat sebelum dia berkahwin.
“Sementara
belum sambung ni, Thia boleh kerja dengan Jasmin dekat butik dia. Nanti papa
suruh Naz call dia tanyakan ada kerja kosong tak.”
Nazhan
tersedak. Cepat-cepat dia meneguk air di hadapannya. Terkejut dengan permintaan
papanya. Datin Marisa juga menoleh ke arah suaminya.
“Dari Thia tak
buat apa-apa, boleh jugak hilangkan bosan kalau kerja kat butik tu nanti.
Sementara ni cari pengalaman sikit-sikit.” Dato’ Harun selamba sahaja.
Thia sekadar mengangguk, masih lagi ligat berfikir tentang perancangan
bapa mentuanya dan tertanya-tanya siapakah Jasmin yang disebut-sebut sehingga
menyebabkan Nazhan tersedak tadi.
No comments:
Post a Comment