Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Tuesday, 4 October 2016

SKDC - Bab 15

Thia bergegas menghampiri Datin Marisa yang sudah pun agak jauh di hadapannya. Dia terpaku seketika tadi tatkala terlihat sehelai blaus berwarna merah yang tergantung di hadapan dinding kaca pusat membeli-belah itu. Membayangkan dirinya mengenakan blaus itu di badannya sehingga terlupa pada ibu mentuanya yang sudah pun jauh ke hadapan.
“Thia, teman mama minum sekejap boleh?” Datin Marisa tersenyum saat Thia menghampirinya.
“ Eh, tak apa ke ma? Kan mama cakap nak bawak Thia pergi butik Kak Min. Nanti lambat, dia tak marah ke? Hari ni hari pertama Thia kerja tahu, ma.”
“Tak apa, semalam mama dah call Jasmin. Mama cakap mama yang hantar Thia. Mama cakap kat dia, mama ada meeting sampai pukul 10.00. Lebih kurang pukul 11.00 baru mama dapat hantar Thia.”
Thia tersenyum sahaja.
“Jom kita duduk sini, makan roti bakar. Dah lama tak minum white coffee kat sini.” Datin Marisa cepat-cepat menggamit lengan menantunya. Mendorong gadis itu menurut langkahnya masuk ke restoran Old Town.
Selang 10 minit kemudian, seorang pelayan menghantar pesanan mereka. Dua cawan white coffee dan dua piring kecil roti bakar terhidang depan mata. Thia juga memilih menu yang sama seperti dipesan Datin Marisa. Dia janggal duduk di restoran itu dan tidak tahu menu apa yang patut dipesannya.
“Macam mana jadi isteri Naz setakat ni?” 
Thia terkedu, terasa ingin tercekik saat itu. Air kopi yang ditiupnya perlahan-lahan tak jadi diminum. Dia meletakkan kembali cawan kopinya ke piring.
“Errr...okey je setakat ni ma. Kenapa tanya macam tu?” Thia mengukir senyum yang dibuat-buat. Terasa bersalah berbohong dengan jawapan seperti itu. Dia sendiri pun sebenarnya tidak tahu apa jawapan yang tepat untuk soalan itu.
“Mama tahu, kau orang masih dalam proses kenal satu sama lain kan? Tak apa Thia. Pelan-pelan. Jangan risau, Nazhan tu walau pun dia fussy sikit, perfectionist, over pengemas tapi dia baik. Lama-lama nanti Thia akan jatuh cinta jugak dengan kebaikan dia. Anak mama, mama tahulah kan?” Wanita itu tersenyum. Matanya memandang pada cawannya. 
Fussy sikit? Fussy banyak adalah. Itu tak kena, ini tak kena. Itu tak betul, ini tak betul. Itu bersepah, ini bersepah, bisik hati Thia. Pening kepala Thia melayan kerenah Nazhan sepanjang minggu pertama perkahwinan mereka.
“Mama nak cakap fasal benda ni pun payah tapi tak cakap karang, takut keadaan jadi lebih teruk pulak. Entahlah, susah betul.” Datin Marisa melepaskan keluhannya lambat-lambat.
“Kenapa ma? Cakap jelah. Fasal hubungan kami berdua ke?” Thia gusar. Dia mula terbayangkan perkara yang buruk. Kemungkinan Nazhan sudah memberitahu Datin Marisa untuk menceraikannya. Thia menarik nafas panjang. Bersedia menerima sebarang kemungkinan.
“Thia pun tahukan, Naz belum bersedia lagi dengan semua ni. Jadi, mama rasa mesti Thia tahu syarat-syarat Naz kan?” 
Thia semakin keliru. Dia bingung. Setahunya syarat yang Nazhan berikan padanya adalah tidak mahu orang luar selain keluarga tahu tentang status mereka. Setakat ini, dia pasti rahsia itu masih disimpan kemas. Sementelah pula usia perkahwinan mereka baru berusia seminggu dan Thia juga sepanjang hari hanya memerap di rumah.
“Naz pesan kat mama tadi, nanti bila Jasmin tanya siapa Thia ni,  Thia cakap Thia ni anak saudara belah papa ya. Kiranya Thia ni sepupu Naz lah. Semalam masa call Jasmin, mama dah beritahu jugak dekat dia tapi manalah tahu kalau-kalau Jasmin tanya Thia sendiri nanti.” Datin Marisa memandang anak mata Thia mengharap pengertian menantunya itu. 
Sejujurnya, dia senang dengan Thia menjadi menantunya. Walaupun Thia bukan gadis dari golongan keluarga berada, masih muda tapi perwatakan Thia yang lemah lembut, gayanya, wajahnya yang manis, semuanya menyenangkan hati keibuannya. Ditambah dengan kepakaran Thia memasak, dia pasti lama-lama Nazhan akan cair juga dengan Thia. Dia tahu anak bujangnya itu memerlukan masa untuk menerima status barunya yang sudah pun berkahwin kini.
Untuk ingkar permintaan Nazhan pula, dia bimbang Nazhan merajuk atau dideranya pula menantunya ini. Datin Marisa memang yakin Nazhan akan jatuh cinta juga dengan Thia suatu hari nanti. Sikap Nazhan yang tak semenggah terutama terhadap Jasmin tu tak ke mana pun nanti.
Thia terdiam. Cepat-cepat dia menunduk. Jarinya menguis-nguis hujung pinggan yang terhidang dua keping roti bakar tadi. Entah kenapa hatinya sedikit terusik dengan permintaan ibu mentuanya tadi. Walaupun dia sudah tahu syarat-syarat yang ditetapkan Nazhan, dia terasa sedikit pelik mendengarnya  dari mulut seorang ibu mentua. 
Terasa seolah-olah ibu mentuanya itu juga malu dan tidak mahu bermenantukan dirinya sehinggakan tidak layak diperkenalkan kepada orang luar. Seolah-olah menyokong tindakan anaknya yang mahukan status perkahwinan mereka dirahsiakan. Lama dia terpaku, menatap pinggan di hadapan matanya.
“Okey ma,”  Thia mengukir senyuman kecil. 
Thank you Thia, for your understanding,” Datin Marisa tersenyum. Faham benar dengan keruh wajah Thia sebentar tadi. Isteri manalah yang tidak terluka, bila status diri sendiri tidak boleh didedahkan kepada umum?
“Jom, kita pergi butik.” Datin Marisa sekali lagi menggamit lengan Thia sebaik dia selesai meneguk kopinya. Cepat-cepat Thia bingkas, menuruti langkah Datin Marisa.
Tiga minit berjalan di dalam pusat membeli-belah itu, Datin Marisa memasuki sebuah butik. Terpampang signboard ‘Jazzy Collection’ dengan huruf berukir warna keemasan di atas muka pintu kedai.
“Datin, lama tak singgah butik. Rindu saya pada Datin,” Dalili, pembantu butik menyapa ramah. Dia memerhati wanita pertengahan umur di hadapannya itu penuh teliti. Datin Marisa masih seperti selalu. Anggun bergaya dengan kelasnya yang tersendiri. 
“Ha’ah Lili. Saya sibuk sikitlah. Dah alang-alang saya kat sini, saya nak ambillah sehelai dua baju kurung. Eh, terlupa pulak. Ni ha, Jasmin ada cakap tak dengan Lili fasal Thia?”
“ Ada Datin. Dia ada cakap tadi. Oooo...ni lah Thia ya. Nama akak Dalili tapi boleh panggil Kak Lili.” 
Thia hanya mengukir senyuman sambil menyambut huluran salam daripada Dalili. Sangkanya tadi, wanita di hadapannya itu adalah Jasmin. Sebab dia nampak bergaya, selayaknya bergelar seorang usahawan butik pakaian. Kak Lili mengenakan kebaya labuh berwarna oren dipadankan dengan kain plain berwarna krim dan tudung berwarna peach.
“Thia ni anak saudara saya, Lili. Sementara nak tunggu dia sambung belajar ni, saya suruh dia kerja sini cari pengalaman. Dapat jugak dia cari duit poket sendiri kan?” Datin Marisa menjeling Thia sekilas melihat reaksi Thia saat diperkenalkan sebagai anak saudaranya, gadis itu diam tidak menunjukkan sebarang riak.
“Oooo... sepupu Naz lah ni ya Datin. Tak apa, Datin jangan risau. Kami jaga dia baik-baik kat sini. Eh, jomlah Datin. Kita tengok koleksi baru sampai. Kata tadi nak ambil sehelai dua baju kurung kan? Zara, tolong ajar Thia apa-apa yang patut ya,” arah Dalili kepada seorang pekerja yang dari tadi tekun menjahit manik.
“Zara.” Ringkas ayat yang keluar dari mulut gadis di hadapan Thia itu. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam.
“Thia.” Thia mengukir senyuman, menyambut huluran salam dari gadis manis di hadapannya.
“Hari ni stok tudung baru dah sampai dari supplier. Nanti Thia tolong saya kemas ya,” lembut Zara bersuara. Gadis itu cantik. 
Thia tersenyum lantas mengangguk. 
Dua jam pada hari pertama Thia bekerja di butik itu berlalu dengan baik. Gadis manis bernama Zara banyak membantu Thia mengenal koleksi-koleksi tudung dan baju-baju terkini yang terdapat di butik itu. Kebetulan pula hari ini banyak tudung dan baju-baju yang ditempah dari pemborong sampai ke butik.
Jadi tugas Thia dari tadi adalah menggosok tudung dan baju kurung sebelum digantung di ruangan display butik.  Hari ini juga dia belajar menggunakan stand steam iron untuk menggosok kesemua tudung dan pakaian yang ronyok selepas dikeluarkan dari dalam kotak. Walaupun pada mulanya dia agak kekok, akhirnya dia akui steam iron lebih praktikal digunakan terutamanya untuk orang-orang yang terlibat dalam industri pakaian seperti ini.
Thia menarik nafas lega sebaik helaian tudung terakhir siap digosok. Dia menjeling sekilas pada Kak Lili yang tekun mencatat sesuatu pada log book di atas meja. Zara pula dilihatnya dari tadi asyik menjahit manik pada kaki baju pengantin berwarna turqoise. Dia bersyukur dikurniakan majikan sebaik Kak Dalili dan rakan sekerjanya, Zara. Walaupun masih terlalu awal untuk memberi penilaian, sekurang-kurangnya dia bekerja dengan hati yang senang pada hari yang pertama. Doanya semoga keadaan yang baik sebegini berterusan sehinggalah dia menyambung pelajaran kelak.
“Assalamualaikum!”
Bunyi pintu butik berkuak kedengaran diselangi dengan suara lelaki memberi salam. Cepat-cepat Dalili berlari meninggalkan bilik stor menuju ke kaunter hadapan butik.
“Hei, kamu ni Naz! Kak Lili ingat bhai mana jual kain tadi.” Sayup-sayup terdengar suara gelak ketawa Dalili dan seorang lelaki di telinga Thia. Dia hanya memasang telinga dari tadi.
“Haiii adik manis! Ini bhai bukan sebarang bhai. Ini bhai Saif Ali Khan datang mahu hantar mere beloved girlfriend Karisma Kapoor balik juga adik manis!” Naz mendepangkan tangannya. Sengaja mengusik Dalili di hadapannya. Jasmin yang dari tadi tercegat di sisi Nazhan mula terkekeh ketawa.
“Ada-ada jelah you ni Naz. Tak habis-habis mengusik. Ha...Kak Lili, mana Thia? Saya nak tengok jugak orangnya.” Jasmin memanjangkan lehernya, menjenguk-jenguk ke belakang butik.
“Eh kejap. Ada dia kat belakang. Tengah tolong Zara kemas-kemas tadi. Kejap Kak Lili panggilkan.”  
Sesaat kemudian, Thia muncul. Dia terasa gugup melihat semua mata sedang memandangnya. Itulah pertama kali dia melihat Jasmin di hadapan matanya. Gadis itu ternyata begitu jelita sesuai dengan kerjayanya sebagai seorang pereka fesyen. Segera dia terbayangkan gambar Nazhan sedang memeluk pinggang gadis itu yang digantung di dinding tempoh hari. 
“Oooo...nilah Thia ya. Saya Jasmin. Boleh panggil Kak Min.” Jasmin tersenyum melihat wajah polos Thia. Dia menghulur tangannya untuk bersalam.
“Haaa... dia ni tauke besar butik ni. Kau jangan nak melawan cakap dia. Esok kalau aku kahwin dengan dia, aku pun jadi tauke kau juga. Jangan nak banyak songeh,” Nazhan tersengih. Senyumnya sengaja dilebarkan tatkala melihat wajah Thia yang mula berubah.
Zap! Darah panas mula menyirap ke kepala Thia. Perkataan ‘kahwin’ yang meluncur keluar dari mulut Nazhan seolah-olah menjadi pisau yang menghiris tangkai hatinya.
“Eh apa pulak sebut fasal kahwin ni Naz. I belum nak kahwinlah. Lama lagi I nak kahwin tau. You sanggup ke nak tunggu I?
Jasmin sengaja mengusik Nazhan. Dia tahu Nazhan cuma bergurau dan dia pasti Nazhan tahu tentang cita-cita dan impiannya yang menggunung tinggi.
“Sanggup!” Nazhan sengih.
Thia memandangnya dengan hati yang bengkak.  Terasa ingin disiat-siat senyuman Nazhan yang seolah-olah mengejeknya.
“Err...saya sambung kerja saya kat belakang ya Kak Min, Kak Lili.”  Thia meminta diri, malas ingin melayan Nazhan yang menyakitkan hatinya.
“Ha...baguslah. Pergi sambung kerja sana. Kerja rajin-rajin sikit, nanti aku suruh bos naikkan gaji kau tahu!” Nazhan menjerit lantang mengiringi pemergian Thia. 
Thia mengatur langkah lambat-lambat menuju ke bilik stor. Pelbagai persoalan timbul di mindanya. Tentang hubungan Jasmin dan Nazhan, tentang niat Nazhan untuk mengahwini Jasmin, tentang kedudukannya dalam keluarga Nazhan jikalau Nazhan betul-betul mengahwini Jasmin selepas ini. Semuanya bertubi-tubi mengasak ruang fikirannya. 
Sudahlah tadi dia terasa hati dengan status sepupu kepada Nazhan yang diberikan oleh ibu mentuanya sendiri. Sekarang dia cukup tergores dengan niat Nazhan yang ingin mengahwini Jasmin.
Di depan mata dia, siapa diri aku? Patung yang dikahwininya semata-mata untuk melepaskan syarat yang ditetapkan oleh Dato’ Harun?

Tiba-tiba imej Jasmin menerpa dalam fikirannya. Seolah-olah sedang mentertawakannya. Membandingkan dirinya dengan Jasmin, sudah tentulah dia jauh ketinggalan.  Thia terasa ingin menangis saat itu juga!

No comments: