Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Tuesday 30 July 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 11











Syafinaz mengibas rambutnya ke belakang bahu.  Dikuis-kuis hujung rambutnya sesekali sambil tangannya ligat menyapu lip gloss pada bibir.  Kerap kali matanya menjeling pada jam yang melekat di dinding.  Tangannya ligat menghayun berus lembut yang sudah terpalit dengan pemerah pipi.  Sekejap sekejap dioles ke pipi, dagu dan dahinya berulang kali.  Puas hati dengan penampilannya,dia mencapai beg tangannya yang terdampar di atas katil.  Segera dia keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu.  Dia menghempas punggungnya kasar ke atas sofa, tangannya menggagau mencari telefon bimbit di dalam beg tangan. 

“Abang dah kat mana? Finaz dah siap ni.”  Ringkas pertanyaan Syafinaz. Dia menguis-nguis kuku jemarinya yang berwarna peach.  Matanya melirik pada skrin tv yang terpasang dari tadi tapi telinganya mendengar butir bicara pemanggil di dalam telefon bimbitnya.

“Ok, bye sayang.”  Cepat-cepat Syafinaz memasukkan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan saat talian dimatikan.  Suis tv dimatikan, dia lekas lekas menuju ke almari kasut.  Mencapai high heel 4 inci berwarna hitam.  Dia membongkok, menyarung kasut itu ke kakinya.  Pintu rumah ditutup dan dikunci.  Dia duduk di kerusi yang diletakkan berhadapan ruang letak kereta.  Menunggu kelibat Aiman yang sudah pun berjanji hendak makan malam bersamanya.  Lima minit kemudian, kereta Aiman muncul.

Sorry lambat sikit sayang.”  Aiman memeluk bahu Syafinaz lantas dikucup kedua-dua pipi gadis itu.  Wajah Syafinaz sedikit mendung, mungkin marah dengan kelewatannya tadi. 

“Tunggu wife dengan anak-anak Abang.  Diorang pun nak keluar jugak malam ni.”  Aiman tersengih lagi.  Mengharap Syafinaz akan mengukirkan senyumannya.

“Kita nak makan kat mana ni?”  Syafinaz bersuara perlahan.  Malas mengambil tahu perihal keluarga Aiman.  Terasa sakit hatinya menyedari hakikat bahawa lelaki yang dia sayangi itu milik wanita lain.  Bapa kepada dua orang anak.

“Kita makan kat tempat selalu nak?  Abang teringin nak makan sate lah malam ni.”  Aiman tersenyum lagi.  Menggenggam erat tangan gadis itu.  Dia gembira dapat berjumpa Syafinaz.  Terasa hilang letihnya dengan tekanan kerja di pejabat siang hari tadi.  Terasa hilang bosannya melayan karenah anak-anaknya yang selalu membingitkan telinga.  Seakan akan dia lupa tentang status dirinya saat berjumpa dengan Syafinaz.  Gadis itu cantik, bijak, pandai melayan dirinya dan selalu memanjakan dirinya.  Dua hari tidak berjumpa gadis itu, boleh buat dia jadi gila bayang.

Kereta Aiman diparkir pada tempat letak kereta di hadapan Restoran Wardah Seafood itu.  Keadaan restoran agak lengang pada jam itu.  Di satu sudut, terlihat kelibat seorang lelaki tua sedang mengipas arang kayu.  Membuat persiapan untuk membakar sate.  Terbayang-bayang keenakan sate daging di minda Aiman saat itu.  Cepat-cepat dia membuka pintu dan berjalan menuju ke meja bersama Syafinaz.  Sesekali Aiman melirik matanya pada pandangan pekerja-pekerja restoran itu yang dari tadi memerhati Syafinaz.  Dia tersenyum bangga di dalam hati.  Tahu mereka semuanya terpegun dengan kecantikan Syafinaz.  Tambah-tambah lagi Syafinaz mengenakan dress singkat separas peha, menampakkan susuk badannya yang gebu.  Tiada lelaki yang tidak menoleh saat Syafinaz berlalu.

Selepas 15 minit menunggu makanan yang dipesan, pelayan datang dengan sedulang makanan ke meja mereka.  Membawa sepinggan nasi ayam goreng dan semangkuk mihun tomyam beserta dua gelas jus oren.  Datang seorang lagi pelayan membawa sepinggan sate daging yang dipesan Aiman tadi.  Aiman tersenyum, gembira melihat makanan yang terhidang depan matanya.  Mereka sama-sama menikmati makanan di restoran itu.  Sesekali dia menyuap sesudu nasi ke mulut Syafinaz.  Senang hatinya melihat senyum di bibir gadis itu.  Dia tahu panas di hati Syafinaz sudah pun reda.

“Papa!”  Teriakan dari suara milik kanak-kanak itu menyebabkan Aiman dan Syafinaz menoleh serentak.  Wajah Aiman tiba-tiba pucat. Selera makannya terus mati saat matanya tertancap pada kanak-kanak di hadapannya itu.

“Papa buat apa kat sini?”  Kanak-kanak dalam lingkungan umur 4 tahun itu menarik hujung baju Aiman.  Aiman tersenyum kelat.  Mengusap lembut dahi anaknya itu. Peluh sejuk mula merembes keluar di dahinya.  Tangannya juga sejuk. 

“Jomlah makan dengan Mama.”  Kanak-kanak itu menarik hujung baju Aiman sedikit kuat.  Menggesa ayahnya itu, menoleh ke arah meja di belakang mereka.  Aiman tambah pucat.  Terpaku melihat wajah merah padam isterinya yang sedang menggendong bayi mereka di samping kawan baiknya, Syima.  Terasa darahnya menyirap ke kepala. Mati! Getus hati Aiman.

Isterinya bingkas bangun, merapati meja mereka lantas merentap tangan anak kecil yang berpaut pada lengan Aiman.  Tindakannya yang sedikit kasar, menyebabkan anaknya berteriak kuat.  Dia menampar Aiman sekuat-kuat hatinya. Dia sudah tidak peduli pada semua mata yang memandang mereka pada ketika itu.  Hatinya belum puas, dia mencapai segelas jus oren lantas dituang ke kepala Syafinaz.

“Hei, apa ni?!”  Syafinaz bingkas bangun.  Mengibas-ngibas air yang tumpah di bajunya.  Rambutnya yang kuyup dibasahi air dilap menggunakan tisu yang terdapat di atas meja.  Dia mula panas hati diperlakukan sebegitu.  Dia ingin menampar perempuan di hadapannya itu tapi segera ditahan Aiman.

Business meeting ye?  Business meeting dengan GRO mana ni?”  Lidya menjegilkan matanya.  Terasa ingin ditelan Aiman saat itu.

“Kau dah takde lelaki lain ke?”  Lidya memekik.  Jarinya dituding ke muka Syafinaz.  Cepat-cepat Syafinaz menepis.  Tindakan Syafinaz itu membuatkan api kemarahannya semakin meledak.  Dia mencapai hujung rambut Syafinaz lantas menariknya sekuat hati.  Mereka berdua mula bercakaran.  Kuku tajam Syafinaz sempat menggores pipinya.  Jeritan mereka berdua mula kedengaran ke seluruh ruang restoran.  Mereka sudah sama sekali tidak peduli pada mata yang memandang.  Malah ada juga pelanggan yang bertindak mengeluarkan telefon bimbit dan merakam ‘drama’ percuma di hadapan mata mereka.  Anak-anak Aiman pula sudah mula berteriak menyaksikan apa yang terjadi di hadapan mereka.

“Sudah Dya, sudah.”   Syima yang dari tadi mendiamkan diri sambil menggendong bayi Lidya mula cemas.  Dia ingin meleraikan pertengkaran itu tapi terhalang dengan bayi yang dipegangnya.  Cepat-cepat dia memandang ke arah Aiman, memohon lelaki itu segera membantu.  Cepat-cepat Aiman menarik lengan isterinya. Sebelah lagi tangannya menghadang tamparan bertubi tubi dari Syafinaz.

Stop it. Stop!” Aiman mencengkam lengan Syafinaz kuat.  Menghalang gadis itu dari terus-terusan menyerang Lidya.  Isterinya itu juga sudah didakap erat.  Menghalang dia membalas serangan Syafinaz. 

Please go home.  Just go.”  Suara Aiman mendatar.  Mengharap gadis itu memahami situasinya kini. Mengharap gadis itu tidak lagi mengeruhkan keadaan.  Dia mengusap kepala Lidya, menenangkan isterinya yang masih terus-terus meraung.   Dia ingin sekali memaut lengan Syafinaz, menenangkan gadis itu.  Tapi, ahhh..dia serba salah!






Aiman menutup pintu dengan kasar.  Dadanya terasa sebal ketika itu.  Dia serabut dengan permasalahan yang diciptanya sendiri. 

“Kenapa Dya buat macam ni?”  Aiman tercegat di sisi isterinya yang sedang duduk kaku menghadap meja solek.  Isterinya itu membelek luka cakaran Syafinaz di wajahnya.  Airmatanya masih belum surut.

“Kenapa?  Kenapa Dya buat macam ni? Patutnya Dya yang tanya abang soalan tu.”  Lidya bersuara lantang.  Hatinya mula panas kembali.  Bengang dengan soalan Aiman.  Dia langsung tidak memandang wajah Aiman yang tercegat membelakanginya.

“Kenapa libatkan Along dalam hal ni? Kalau Dya marah kat abang sekalipun, tak perlu babitkan anak-anak kita.  Kenapa mesti Dya nak angkut anak-anak kita kat restoran tu dengan Syima?  Perlu ke Dya serang Syafinaz sampai macam tu sekali?  Abang malu orang ramai semua tengok kita tadi.”  Aiman mengeluh kasar.  Masih memandang isterinya yang kaku dari tadi.

“Ooooo...Syafinaz ye nama perempuan murahan tu? Kat kelab malam mana Abang kutip dia?”  Lidya menjeling tajam.  Jelik mendengar nama perempuan penggoda suami orang meniti di bibir Aiman. Ya, perempuan itu lagaknya seperti perempuan murahan kelab malam.  Dari gayanya, pakaiannya.

“Abang Malu dengan orang ramai?  Habis dengan Dya, dengan anak-anak, abang tak malu?  Abang, Allah tu nak tunjuk bang siapa suami Dya ni, siapa ayah anak-anak kita ni selama ni.  Sebab tu lah, kitorang tergerak nak pergi makan kat situ.  Kitorang tak tahu pun Abang nak makan kat situ.  Orang kalau buat jahat ni, lama-lama akan terbongkar jugak abang.”  Lidya tersenyum sinis.  Kalau diikutkan rancangan asal, mereka ingin membawa anak-anak makan di Coco Restaurant.  Malangnya restoran itu ditutup untuk kegunaan pengantin baru yang menyewa seluruh ruang makan untuk majlis persandingan.  Akur dengan cadangan Syima, mereka setuju untuk pergi ke Wardah Seafood dan akhirnya bertemu dengan Aiman bersama buah hatinya.  Mujur selepas insiden itu, Syima menawarkan diri menjaga anak-anaknya, memberi ruang Lidya dan Aiman berbincang sedalam-dalamnya tentang masalah yang timbul saat ini.

“Abang cakap tadi ada business meeting dengan Dato’ kan?  Tak tahu pulak Dya, Dato’ tu pakai dress.”  Lidya tersenyum sumbing lagi.  Sakit hatinya ditipu.  Entah sudah berapa lama dia ditipu Aiman, dia sendiri tidak tahu.

“Selama ni, Dya percaya pada abang.  Dya korbankan career Dya.  Dya sanggup berhenti kerja, duduk rumah jaga anak.  Dya tumpukan seluruh hidup Dya untuk abang dan anak-anak, tapi ini yang Dya dapat?  Ini yang abang balas?”  Lidya bangun perlahan-lahan, menuju ke tirai langsir di sudut bilik.  Dia membuka tirai langsir, memandang ke luar tingkap.  Membuang pandang pada hitam jalan di hadapan rumah mereka.  Sisa airmatanya masih berbaki di hujung pipi.  Sesungguhnya, hanya Tuhan yang tahu betapa remuk hatinya saat itu.

“Apa lagi yang tak cukup?  Apa lagi yang kurang?  Apa lebihnya perempuan tu?”  Lidya menuding jari, menanti Aiman membalas kata-katanya.  Airmatanya tumpah lagi.  Perit sungguh luka hatinya diguris perbuatan Aiman.  Dicurangi.  Ditipu sepanjang perkahwinan mereka.

Aiman duduk di sofa yang terletak di penjuru biliknya.  Dia meraup wajahnya entah yang ke berapa kali.  Lidahnya terlalu sukar membidas kata-kata Lidya.  Dia tahu kesalahan itu datang dari dirinya.  Tapi semuanya berpunca dari sikap Lidya juga.  Wanita itu terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumah tangga sehingga penampilan diri sendiri tidak dijaga. Lidya mengambil sikap asal sempat dan asal boleh.  Pakaiannya selekeh.  Tudungnya disarung asal sempat tanpa mempedulikan padanan warna dengan baju yang dipakai. Itu pun senget benget penuh renyuk sana sini.  Terkadang dia sendiri malu ingin membawa Lidya keluar berjalan dengannya.  Bimbang dikata teman-teman, bini tak pandai pasang badan, langsung tak sepadan dirinya, pengurus sebuah syarikat terkemuka.

Pulang dari kerja,  makanan yang dihidang Lidya juga sekadar untuk memenuhkan perut tapi langsung tidak memikat seleranya.  Setiap hari, telinganya disumbat dengan teriakan Lidya memarahi anak-anak, membebel itu dan ini sehingga dia naik bosan.  Layanan Lidya di dalam bilik juga sekadar boleh.  Sekadar melepaskan keinginan lelakinya saja.

“Dya tahu tak Dya selalu abaikan abang?  Terlalu asyik dengan anak-anak?  Sampai layanan pada abang macam hendak tak hendak?”  Aiman meraup mukanya.  Takut untuk memandang wajah Lidya.  Tapi kenyataan itu harus didedahkan.  Dia tidak mahu terus menerus menyimpannya lagi.  Kesalahan ini bukan terletak di bahunya seorang.

“Abang sedar tak kita dah ada anak dua orang?  Dua-dua tu masih kecik, masih perlukan perhatian dari Dya.”  Suara Lidya mula meninggi.  Terasa malu dihina sebegitu.  Betul, dia kurang menjaga penampilan dirinya, tapi tidaklah seteruk yang Aiman gambarkan.

“Memang.  Abang tahu tu.  Tapi takkan lah sampai diri Dya sendiri tak terjaga? Dya langsung tak jaga penampilan Dya.  Sudah lah abang pun Dya tak hiraukan, diri Dya sendiri pun tak terjaga.”  Aiman merenung anak mata Lidya.  Dada wanita itu kelihatan berombak, nafasnya juga kencang.  Menahan marahnya dari meletup.  Airmata Lidya dari tadi tidak berhenti-henti.

Dia membuang pandang pada cermin di hadapannya.  Memandang pada wajahnya.  Memandang pada pakaiannya.  Memandang pada susuk badannya.  Dia tiba-tiba tersedar kebenaran kata-kata Aiman.  Wajahnya kusam, dipenuhi jeragat.  Dia langsung tiada masa menelek mukanya sendiri sehinggalah pada malam ini.  Dia meraup wajahnya.  Menyapu airmata yang membasahi pipi.

Anak-anak yang sedang membesar sentiasa memerlukan perhatiannya.  Sekejap Along meminta dibuatkan susu, sekejap adik pula meminta didukung.  Awal-awal pagi lagi dia sudah sibuk di dapur.  Menyediakan sarapan pagi sebelum Aiman ke tempat kerja.  Sesudah itu, kain baju kotor pula dibasuh, disidai, rumah perlu disapu dan dibersihkan.  Tugasnya bertambah rumit apabila salah seorang anaknya itu jatuh sakit, perhatian yang lebih harus diberikan.  Rutin itulah yang diulang-ulangnya setiap hari sehinggakan dia tiada masa untuk memanjakan dirinya sendiri apatah lagi membelai Aiman.  Dia betul-betul letih saat anak-anak dibuai mimpi.  Dia tahu, dia sedar hakikat itu.  Dia memang akui, kurang menumpukan perhatian pada Aiman.

Terbayang-bayang di ruang matanya kelibat wanita yang ditemui bersama Aiman tadi.  Syafinaz.  Ya, gadis itu memang mempersona.  Tiada lelaki yang takkan terpikat dengan kecantikannya.  Jauh bezanya jika hendak dibandingkan dengan dirinya.  Tiba-tiba datang perasaan rendah diri dalam hatinya.

“Kalau betul Dya dah tak menarik lagi, kenapa hukum Dya macam ni?  Tak boleh ke abang bagi peluang untuk Dya betulkan keadaan?  Kenapa bila Dya serabai, selekeh, abang cari perempuan lain? Kenapa abang tak tegur Dya, sedarkan Dya supaya berubah? Kenapa tak bagi Dya peluang bang? Kenapa mesti curang pada Dya?”  Lidya separuh menjerit.  Dia menumbuk-numbuk dadanya berulang kali, seolah-olah menghukum diri sendiri atas kelemahannya.  Berkali-kali sehingga dia terjelepuk ke lantai.  Dia membongkokkan badannya, memeluk lututnya sambil menangis lagi teresak-esak.

“Kalau lah suatu hari nanti, abang diberhentikan kerja, abang susah,  abang bukan apa yang abang jadi sekarang ni, tiba-tiba waktu tu hati Dya berubah.  Pergi pada lelaki yang lebih bagus dari abang.  Apa abang akan rasa?”  Lidya merenung wajah Aiman yang kaku dari tadi.  Dia mengibas rambutnya yang terjuntai di dahi ke belakang.  Airmatanya disapu lagi, entah untuk yang ke berapa kali.

“Apa abang rasa?!”  Lidya separuh menjerit.  Geram melihat Aiman yang membisu.

“Kalau kekurangan Dya ni abang jadikan alasan untuk abang cari perempuan lain, satu hari nanti bila akhirnya ada kekurangan dalam diri abang, mesti abang tak kisah kalau Dya cari lelaki lain kan? Abang jangan ingat abang sorang jek yang boleh buat macam ni.  You would never know, how bad I could be.” Dya tersenyum.  Herot bibirnya jelas menunjukkan dia menyindir Aiman.  Dia masih duduk terpeleku di sudut bilik itu.  Membiarkan airmatanya terus tumpah. 

Mata Aiman mencerun tajam pada Lidya.  Terasa kebenarannya dengan kata-kata itu.  Selama ini dia langsung tidak pernah terfikir kemungkinan Lidya pula yang akan curang terhadap dirinya.  Tiba-tiba dia terasa takut.  Takut kehilangan seorang isteri yang baik.  Kehilangan ibu yang baik untuk anak-anaknya. Timbul perasaan belas dalam hatinya.  Timbul rasa simpati melihat Lidya yang dari tadi menangis tidak berhenti-henti.  Dia tahu dia telah melukakan hati Lidya.   Dia bingkas bangun, berjalan menghampiri tubuh Lidya yang menyembamkan wajahnya di balik lututnya.  Dia memaut bahu Lidya perlahan, memaksa dengan lembut kepala isterinya supaya bersandar di dadanya. 

Let me go.”  Lidya bersuara perlahan-lahan.  Tersekat-sekat.  Cuba meronta dari pelukan Aiman.  Semakin dia meronta, semakin kuat Aiman memeluknya.  Memegang kepalanya lebih erat bersandarkan dada Aiman.

No. Please don’t.” Aiman memeluk bahu Lidya semakin kuat.  Mendiamkan rontaan Lidya.  Dia memejamkan matanya.  Takut Lidya betul-betul mengotakan kata-katanya.  Meninggalkan dirinya. 

“Abang mintak maaf Dya.  Abang mintak maaf sebab lukakan hati Dya.”  Aiman memegang dagu Lidya, merenung ke dalam anak mata Lidya yang sembap itu.  Berkali-kali dia menyapu airmata Lidya yang tumpah.  Lidya masih kaku.  Dia langsung tidak memberi sebarang respon atas perbuatan Aiman.  Perlahan-lahan Aiman menggamit tangan Lidya.  Membawanya dekat ke bibir lantas dikucup belakang tapak tangan Lidya berkali-kali.

“Jangan tinggalkan Abang dan anak-anak.  I’m really sorry.”  Aiman memandang lagi ke anak mata Lidya.  Mengharap simpati dari isterinya.  Mengharap isterinya memberikan satu lagi peluang buatnya.  Dia cepat-cepat memeluk Lidya semula.

Lidya terkedu.  Hatinya mula terusik.  Marahnya mula sejuk.  Sedikit demi sedikit.  Ayat ‘Jangan tinggalkan Abang dan anak-anak’ mula mengusik tangkai hatinya.  Fikirannya mula terbayang-bayang wajah anak-anaknya.  Kemudian muncul pula Aiman sedang menggamit Syafinaz sambil mentertawakannya.  Dia sakit hati.  Dia menarik nafas sedalam-dalamnya.  Membalas pelukan Aiman seerat-eratnya.

“Abang tinggalkan perempuan tu.”  Lidya menyembamkan wajahnya ke bahu Aiman.  Pelukannya jadi semakin erat.

Aiman terkedu.






Syafinaz melepaskan sudu dan garfu dari tangan ke pinggannya.  Dia menoleh, memandang pada pintu apartment.  Mendengar sekali lagi bunyi ketukan pintu.  Dia bangun perlahan-lahan menuju ke pintu.  Sedikit marah kerana bunyi ketukan itu membantutkan seleranya untuk menjamu selera.  Lambat-lambat dia memulas tombol pintu.  Sebaik pintu dibuka, dia sedikit terkejut.  Berfikir-fikir siapakah gerangan perempuan yang berdiri di hadapannya itu.

“Tinggalkan Aiman.” Syafinaz mengerutkan keningnya.  ‘Oh, ni bini Aiman.’  Getus hatinya.  Dia hampir lupa akan wajah isteri Aiman yang pertama kali dilihatnya sewaktu mereka ‘beraksi’ di restoran dua malam yang lepas.

“Ok.”  Syafinaz membalas ringkas.  Tangannya mencapai daun pintu, ingin menutupnya.  Tapi dihalang dengan tangan Lidya.

“Ok?  Macam tu jek?  Kau ingat aku nak percaya?”  Lidya menjegilkan matanya.  Dia tahu Syafinaz bersikap acuh tak acuh.

“Habis tu kau nak suruh aku buat apa lagi?  Melutut depan kau mintak maaf?  Hei, bukan aku yang terkejar-kejarkan Aiman tu.  Dia yang tergila-gilakan aku.  Kau suruh lah laki kau tu tinggalkan aku.”  Syafinaz menempelak.  Bengang dengan tindakan Lidya yang terus-terus menyerang.  Dia membatalkan hasratnya untuk menutup pintu.  Perempuan di hadapannya itu belum kenal lagi siapa dirinya.

“Kau ni cantik, bergaya, seksi.  Tapi bodoh.  Laki orang jugak kau nak kebas.”  Lidya memandang susuk tubuh Syafinaz dari atas ke bawah berulang kali.  Gadis itu memakai singlet berwarna hitam, menampakkan dadanya yang montok, sendat seolah-olah ingin terkeluar segala isinya.  Dia memakai seluar pendek separas peha, menampakkan kulitnya yang putih melepak.  Dengan gayanya, sesiapa yang memandangnya dari belakang, orang takkan tahu dia sebenarnya adalah seorang wanita yang beragama Islam.  Lidya menggeleng di dalam hati.

“Laki kau tu yang bodoh.  Pantang tengok perempuan cantik macam aku.  Tapi memang patut lah.  Tengok kau ni, aku pun tak selera.”  Syafinaz tersenyum sinis.  Isteri Aiman itu ditenung dari atas ke bawah.  Mengulangi pula perbuatan Lidya yang dari tadi melihatnya dari atas ke bawah.  Dia tahu isteri Aiman itu agak kolot orangnya.  Aiman selalu mengadu perihal isterinya itu kepada dirinya.  Tentang pakaian isterinya yang ketinggalan zaman, tentang isterinya yang tidak pandai melayan dirinya, pendek kata segala-gala tentang Lidya, ada dalam koceknya.  Sekarang Lidya sudah terpacak di hadapannya, dan Lidya betul-betul seperti yang digambarkan Aiman selama ini.  Langsung tiada daya tarikan.  Tidak sepadan dengan Aiman yang kacak bergaya, di samping jawatannya yang kukuh di dalam syarikat.

“Kurang ajar mulut kau kan?”  Lidya mula panas hati.  Dia menolak tubuh Syafinaz, mendorong gadis itu masuk ke dalam rumah, sekaligus membolehkan dirinya juga masuk ke dalam rumah itu.  Syafinaz terkial-kial menepis tangan Lidya yang menolak bahunya.  Mata Lidya meliar ke segenap rumah.  Sehinggalah matanya terhenti pada potret Aiman bersama Syafinaz yang terletak di meja sisi sofa.  Hatinya kembali panas, darahnya kembali menyirap ke kepala.

“Buruk-buruk aku pun, tak lah semurah kau!  Ni, laki siapa ni?  Hodoh-hodoh aku pun, aku tak ambik laki orang lain!”  Lidya menjerit ke arah Syafinaz.  Niatnya tadi, dia ingin berbincang dengan baik dengan Syafinaz supaya meninggalkan Aiman.  Tapi dengan jawapan-jawapan yang menyakitkan hatinya keluar dari mulut Syafinaz, dia jadi panas hati.  Perempuan itu benar-benar mencabar kewibawaannya.  Sudahlah suaminya dikebas, maruah dirinya juga dipijak-pijak.  Langsung tiada riak bersalah terpancar di wajah Syafinaz.

“Kau dah habis cakap?  Kalau dah, sila keluar.  Aku tak pernah jemput perempuan meroyan macam kau ni masuk rumah aku.  Pergi kepit laki kau kat rumah sana.  Pesan kat dia, jangan gatal-gatal cari aku lagi.”  Syafinaz menuding jarinya ke pintu,  mengarah Lidya untuk keluar dari rumahnya.

“Meroyan kau cakap aku? Ni meroyan kau!”  Lidya bengang.  Mulut Syafinaz semakin lancang.    Lidya mengibas bingkai gambar Aiman dan Syafinaz yang dipegangnya ke wajah Syafinaz.  Syafinaz yang terkejut dengan tindakan Lidya tergamam.  Dia lambat bertindak balas, dan nyata libasan Lidya tadi mengena di dahinya.  Syafinaz meraba-raba dahinya.  Terasa cairan hangat mula mengalir, merentasi keningnya.  Dia menyapu dan melihat darah di tapak tangannya.  Hatinya mula panas.  Dia marah Lidya bertindak sewenang-wenangnya.

Segera dia merapati Lidya yang dari tadi tercegat memerhatikannya.  Dia mencengkam tudung yang dipakai Lidya, berulang kali dia cuba menampar Lidya.  Lidya sedaya upaya cuba mengelak, menghalang Syafinaz dari terus menerus menyerangnya.  Kuku Syafinaz yang panjang dan tajam terasa menikam-nikam wajahnya.  Sesekali dia menjerit minta dilepaskan.  Sempat lagi tangannya menggapai hujung rambut Syafinaz dan menariknya sekuat hati.  Kedua-duanya saling jerit menjerit sehinggakan langsung tidak menyedari mereka berdua sudah pun  bergumpal di atas sofa.

“Sudah! Sudah!”  Terasa dua tangan tegap memeluk pinggang Lidya.  Tudungnya sudah terbang entah ke mana.  Sedar-sedar Aiman sudah memeluk dirinya, menjarakkan dirinya dari terus bergumpal dengan Syafinaz.  Syafinaz pula sudah terjelepuk jatuh di sisi sofa ditolak Aiman dari terus-terus menyerang Lidya.  Tiba-tiba dia terasa hiba.  Sayu hatinya lelaki yang disayanginya selama ini, mencampak dirinya ke tepi dan mengutamakan wanita lain, di depan matanya sendiri.

Aiman cemas.  Dia memeluk Lidya yang dari tadi masih meraung.  Tangisan Lidya yang menggila tenggelam dalam pelukannya.  Dia memandang ke arah Syafinaz.  Sedikit terkaku melihat wanita kesayangannya itu bermandi dengan darah dari luka di dahinya.  Apakan daya, saat itu, dia harus lebih mengutamakan Lidya.  Gerak hatinya tadi betul tentang tindakan Lidya yang meminta izin dengannya untuk keluar rumah membeli barang-barang dapur.  Selama perkahwinan mereka, Lidya jarang hendak membeli barang dapur bersendirian, selalunya mereka akan keluar membeli belah bersama-sama.  Bila dia katakan mahu keluar rumah membeli barang dapur, Aiman mula syak ada sesuatu yang tidak kena.  Malam tadi sewaktu Lidya mengajukan soalan tentang hubungannya dengan Syafinaz, dia tahu Lidya marah dengan jawapan acuh tak acuhnya.

Penuh hati-hati dia mengikuti pergerakan kereta Lidya dari belakang.  Dan saat kereta isterinya membelok ke perkarangan apartment Syafinaz, dia sudah pun membayangkan yang buruk-buruk di mindanya.  Dan betul, sewaktu dia sampai ke muka pintu dia dapat melihat dengan jelas Syafinaz sedang bergasak bersama Lidya di atas sofa.  Cepat-cepat dia meredakan keadaan.

“Ni, lelaki yang kau suka ni, akhirnya balik ke tangan aku jugak lah.  Apa yang kau dapat? Cantik tapi bodoh pun tak guna!  Bohsia!”  Sempat Lidya menunjal kepala Syafinaz, memaksa badannya terdorong ke belakang.  Dia masih kaku di situ, membiarkan airmatanya terus mengalir.  Rambutnya yang kusut masai dibiarkan.  Dia hanya kaku melihat Aiman memimpin isterinya, berjalan keluar dari rumahnya.

Syafinaz masih menangis.  Perlahan-lahan dia bangun, merapati sebuah cermin besar yang tergantung di ruang tamu rumahnya.  Dia menatap wajahnya.  Bibirnya pecah, dahinya luka.  Rambutnya kusut menggerbang. 

“Arghhhh!”  Syafinaz menjerit sekuat-kuat hati lantas menumbuk cermin di hadapannya.  Dia ternyata tewas dalam satu lagi episod percintaannya.







Secebis kata : Terima kasihhhhh sangat2 buat semua yang sudi tinggalkan komen pada entri yang lepas. Lega sangat2 AA bila tau ramai silent reader, sekurang2nye takde la AA rase syok sendiri menulis tapi takde sape yang baca kan?  Sayangggggg korang sume ketat-ketat!


Mintak maaf sangat2 semalam tak dapat nak up bab baru SKDC..semalam AA sibuk sikit, al maklum lah, nak gaji dan nak raya ni kan...


SKDC akan direhatkan selama dua minggu sempena hari raya ni tau.  AA akan up entri baru Insya Allah pada Isnin 19/8/2013.  Kita bagi peluang Airis anyam ketupat dan Rayyan main kejar-kejar tangkap ayam tuk juadah aidilfiltri nanti..hahaha...


Akhir kata, SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua pembaca SKDC dari AA sekeluarga!

4 comments:

Unknown said...

best...

Anonymous said...

Assalam to writer...

hummm... i luv this ep. WOW... Tenganga bace.... ahaahahah.. good... but ade mcm pening sikit time Aiman & Lidya gaduh, muncul plak nama Safiya... kurang sikit nk paham... is it safiya n lidya is the same person? i need to read twice... i though mereka orang yg sama.

anyway Gud luck Writer... kekalkan mood ni.. Xsabo nk tgu si Airis n heronya bercekamrama? hihihi....

From : IJA

Adra Adiella said...

---> baby mio,

thanks ye!

---> ija,

lidya = safiya...ni la padahnye bile da buat separuh cerita, lepas tu gatal nk tukar nama watak..

bile post, bace sekali lalu jek pulak tu, ingatkan sume nama safiya tu da ditukar jadi Lidya, rupanye ade lagi yg tak tertukar..

sori wat konpius ye!

Anonymous said...

Assalam to writer...

ok no prob. maaf diterima.. hihi
emmm mmg dah pening dah bile bace.. but ok, ceritanya still membara.. hot.. hihi.... small mistake bole tutup mata bile keluarkan n3 di blog.. but bile dah submit kt publisher bole menangis reader klu byk nama ni.. hihi... melainkan klu writer letak nama dia as "lidya safiya" bunyi mcm bes jek nama.. so writer nonit to change byk part. but selitkan juga nama penuh dia 2 kali dalam 1 scene bg mengelakkan org pening nk paham.. but klu nk tukar terus nama pon ok jek.. mana2 pon bole.

Anyway... gud luck.. gud luck... hihi...

From : IJA