Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday 8 July 2013

Saat Kau Dakap CIntaku - Bab 8










“Tangan awak ni letak kat sini Ray, kat perut Airis ni.  Tangan Airis pulak tindih atas tangan awak macam ni.  Alih sini sikit, biar nampak cincin masing-masing.  Bagi nampak cincin tu dalam gambar.  Airis, belakang badan tu sandar sikit kat dada Rayyan tu.  Ray, senyum biar nampak gigi tau. Ok, sedia. Saya nak ambil gambar ni. 1,2,3!” Terpancar flash kamera ke muka Airis dan Rayyan.  Airis menginjakkan badannya sebaik ternampak pancaran flash tadi.

“Eh, kejap.  Lagi sekali.”  Airis menyumpah dalam hati.  Terasa canggung dipeluk begitu oleh Rayyan.  Tangan Rayyan yang diletakkan di bawah tangannya terasa begitu sejuk.  Mesti Rayyan terasa gugup dipaksa memeluk dirinya.  Sudahlah seluruh isi rumah itu melihat aksi mereka bergambar, sesekali ternampak orang kampung yang tersengih-sengih melihat mereka berdua. Kalaulah muka Airis tidak disolek tebal hari ini, mungkin para tetamu menyedari wajahnya yang sudah merona merah.  Dia betul-betul malu dirakam aksi sebegitu.

“Ok, sekarang ni awak pusing Airis.  Ray peluk pinggang Airis ni.  Tangan Airis ni letak kat dada Ray, kepala sengetkan sikit. Eh, lembutkan sikit leher ni Ris.  Apa nak malu-malu, dah sah dah ha...”  Usik Kak Atie pula sambil tangannya diletakkan ke atas kepala Airis, melentukkannya ke dada Rayyan. 

“Ray senyum biar nampak gigi.  Kuat sikit peluk pinggang Airis tu.  Tak payah nak malu-malu sangat.  Kalau malu, awak yang rugi malam ni.”  Berderai ketawa dari tetamu yang dari tadi memerhati mereka beraksi untuk dirakam gambar di atas pelamin. Kak Atie dan Abang Rosli tersengih.  Seronok mereka dapat menyakat Airis dan Rayyan yang ternyata nampak kekok disuruh beraksi romantik.

“Kali ni kita nak suruh buat aksi super romantik pulak.”  Abang Rosli masih seperti tadi. Dengan senyum sumbingnya.  Airis terkebil-kebil, terasa ingin berlari ke dalam bilik.  Dia sangkakan penyeksaan didera beraksi romantik bersama Rayyan selepas majlis berinai  malam tadi sudah pun berakhir.  Rupanya hari ini, lebih teruk dia didera.  Malunya pada tetamu yang tak jemu memandang sudah tidak dapat digambarkan lagi.

“Muka kamu berdua ni rapatkan.”  Rayyan terasa ingin memekik dalam hati.  Sedang disuruh memeluk Airis pun dia tak rela, inikan pula disuruh bertentang mata dengan Airis! Dengan jarak cuma berselang hidung saja pula tu! Dia terasa ingin pitam.

“Eh, apa tercegat lagi.  Cepat lah, saya nak ambil gambar ni.  Rapatkan muka cepat.  Temukan hidung Airis tu dengan hidung Rayyan.  Mata tu pandang ke mata pasangan masing-masing.  Mulut tu senyum.”  Arah Abang Rosli lagi.

‘Eeee....kenapalah abang photographer ni mengada-ngada nak suruh buat aksi macam ni pulak.  Pakcik depan aku ni jangan kata nak tengok mata, tengok telinganya pun aku tak rela tau.’ Airis mengomel di dalam hati.  Nak tak nak dia menyuakan mukanya, dirapatkan sehingga hidungnya menyentuh ke hidung Rayyan.  Dadanya berdegup kencang.  Malu, segan, takut, gemuruh semuanya bercampur baur saat anak matanya bertentang dengan anak mata Rayyan.  Mata lelaki itu sedikit kecoklatan apabila dilihat sedekat itu.  Sesuai dengan kulitnya yang kuning langsat itu.  ‘Cantik mata pakcik ni.  Coklat.  Agaknya mata ni dah cairkan berapa ramai perempuan lah kan?’ Airis berfikir di dalam hati.  Terasa segan bertentang mata dengan Rayyan seperti itu.  Tapi apalah dayanya.  ‘Takkan nak lari terjun tingkap?  Nanti orang tahu lah aku kena kahwin paksa.’ Airis terus-terus mengomel.  Cuba menyembunyikan rasa gugup di dalam hatinya.

Saat hidung Airis mencecah hidungnya, Rayyan tersentak.  Dadanya berdegup laju.  Belum pernah seumur hidupnya, merapati seorang perempuan sebegini dekat.  Dia dapat merasa hembusan nafas yang keluar dari hidung Airis.  Dia dapat melihat mata bundar milik Airis.  Tangannya yang basah dengan peluh sejuk dari tadi menjadi bertambah dingin.  Perasaannya ketika itu sukar ditafsirkan. Melayang-layang entah ke mana.  Mata itu, wajah itu sekali lagi dirasakan seperti pernah dilihatnya sebelum ini.  Tapi dia masih gagal mengingat di mana dan bila dia pernah melihatnya.

“Ok, dah sudah lah tu.  Takkan lah nak melekat macam tu sampai esok.” Kak Atie menepuk bahu Airis lembut.  Terdengar kekekan tawa dari tetamu yang dari tadi masih setia menanti.  Menunggu aksi dari pasangan pengantin itu.

“Pantang bagi can, terus tak nak lepas kan Kak Atie? Sabar lah sikit kalau ye pun nak terkam.  Hahahaha...” Berderai tawa Abang Rosli.  Disambut dengan tawa dari tetamu.  Jelas merona merah di wajah Rayyan.  Entah berapa lama mereka berpaut hidung, dia sendiri tidak pasti.  Sedar-sedar Airis sudah mengalihkan wajahnya.  Dan bila dia menoleh, seluruh tetamu yang ada di situ sedang ketawa.    Dia berdoa semoga sesi ini berakhir dengan cepat.  Tak sanggup dia dijadikan bahan ketawa oleh penduduk kampung.

Tepat pukul 6.00 petang, laman rumah Mak Mah sudah pun lengang.  Orang-orang kampung yang bergotong royong sejak semalam pun sudah lama menghilangkan diri.  Barangkali semuanya sudah terbaring keletihan di rumah masing-masing. 

Airis yang sudah pun kemas berbaju kurung moden, menelek wajahnya di cermin.  Membetulkan lipatan tudung di kepalanya beberapa kali lantas menyematkan keronsang berwarna krim berbentuk rama-rama di atas bahu kiri bajunya.  Dia menyarungkan cincin di jari manis kirinya.  Terasa janggal.  Disarung pula sebentuk lagi cincin ke jari manis kanannya.  Juga terasa pelik.  Kedua-dua cincin itu dibelek-belek.  Satu cincin pertunangan dan satu lagi cincin pernikahannya.  Digapai pula seutas gelang emas dari dalam kotak, dikancingkan ke pergelangan tangannya.  Hadiah dari ibu mertuanya. Terasa majlis pernikahan dan persandingannya seolah-olah di dalam mimpi.  Tidak pernah langsung dia terfikir akan bergelar puan kepada seorang lelaki yang bergelar suami.  Dia tersenyum. Puas hati dengan penampilannya, dia mengorak langkah keluar dari biliknya perlahan-lahan.

“Sekarang kamu dah kahwin dengan Airis, segala tanggungjawab Mak Mah pada dia dah ada atas bahu kamu.”  Sayup-sayup terdengar suara Mak Mah dari luar rumah.  Entah mengapa Airis tiba-tiba terasa sayu.  Hatinya sedikit terusik bila mengenangkan dia tidak lagi akan duduk di rumah ini seperti dulu.  Rumah yang menyimpan terlalu banyak kenangan dalam hidupnya.  Dia mengetap bibir, cuba menghalang airmatanya dari keluar.  Menarik nafasnya sedalam yang mungkin, lalu melangkah keluar menuju ke arah Rayyan dan kedua ibu bapanya.

“Jangan risau kak, kami sekeluarga akan jaga dia jugak.  Kalau Ray buat yang bukan-bukan pada Airis nanti, siaplah dia.  Kami gerak balik dulu lah.  Nanti ada masa kita jumpa lagi ye?”  Datin Marissa menepuk bahu Mak Mah lembut.  Tangannya dihulur ingin bersalam.  Tanda ingin berangkat balik ke Johor Bahru.  Mak Mah hanya tersenyum hambar tanpa berkata apa-apa.  Tangannya menyambut huluran salam Datin Marissa. 

Rayyan yang dari tadi tercegat di sisi kedua ibu bapanya, menghulurkan salam kepada Mak Mah.  Dia kemudiannya berjalan seiring dengan Dato’ Harun dan Datin Marissa dan masuk ke dalam kereta.  Dari dalam kereta, dia memerhati kelibat Airis yang baru saja melangkah keluar dari rumah dan berjalan menghampiri Mak Mah dan kakak iparnya, Syafinaz. 

“Airis mintak maaf salah silap Airis selama ni.  Halalkan makan minum Airis.  Terima kasih sudi jaga Airis selama ni.”  Airis menunduk ingin mencium tangan Mak Mah yang disalamnya.  Airmatanya tumpah jua. 

“Hmmm...”  Mak Mah mendengus.  Tangannya cepat-cepat ditarik dari pegangan Airis.  Dia memandang ke arah lain, buat-buat tidak mendengar apa yang diperkatakan Airis.

“Aku pun nak mintak maaf dengan kau.”  Airis menghulur salamnya ke arah Syafinaz.  Kakak tirinya itu juga dingin seperti Mak Mah.  Bersalam pun seperti hendak tak hendak.  Airis menyeka airmatanya.  Dia lantas mengangkat beg.  Berjalan menuju ke arah kereta bapa mertuanya yang dari tadi menunggu.

Rayyan yang dari tadi memerhati berasa hairan dengan sikap Mak Mah dan kakak iparnya terhadap Airis.  Dia ingin sekali bertanya, tapi lidahnya kelu.  Timbul rasa simpati bila melihat Mak Mah yang menarik tangan sewaktu Airis ingin menciumnya.  Raut wajah Airis diperhatikannya.  Wajah itu kian mendung.  Tiada walau secalit senyuman pun terukir.  Jauh berbeza dengan keadaannya sewaktu di atas pelamin tengahari tadi.

 Airis perlahan duduk di sisi Rayyan yang mengalihkan pandangan.  Dia sedar dari tadi Rayyan ralit memerhatikannya.  Dia melihat sekilas pada bapa mertuanya yang menoleh ke belakang menunggu dia menutup pintu kereta sebelum memulakan perjalanan.  Datin Marissa pula dari tadi khusyuk mengadap telefon pintarnya.  Airis membuang pandang ke luar tingkap.  Dia menyedut nafasnya dalam dan melepaskannya perlahan.  Fikirannya tenang ketika itu.  Di bibirnya terukir secalit senyuman.  Senyuman kelegaan meninggalkan memori pahit hidupnya di rumah peninggalan arwah ayah.  Jauh dalam sudut hatinya, biarlah hidupnya selepas ini menjadi lebih baik dari sebelum ini.  Dia tahu ianya sukar, apatah lagi dengan penerimaan Rayyan terhadap dirinya, tapi biarlah.  Dia sudah tenang buat masa ini.  Walaupun mungkin cuma untuk kali ini. Perlahan matanya terpejam.





“Mak cik, bangun.”  Sayup-sayup Airis mendengar satu suara menerjah telinganya.  Dia membiarkan suara itu, dia enggan membuka matanya.  Dia betul-betul letih ketika itu.

“Poonnnnnnnn!!!!!!!!” Airis melompat.  Dia cuba berdiri tetapi tindakannya itu menyebabkan badannya kembali terhenyak ke kerusi apabila kepalanya terhantuk ke bumbung kereta.  Matanya terbuka luas.  Dia memerhati sekeliling.  Cuba mengerti apa sebenarnya yang terjadi.  Tangannya menggosok berulang kali kepala yang rasa berdenyut.

Airis menoleh ke kiri saat mendengar pintu kereta ditutup.  Dari cermin tingkap yang tertutup itu, dia dapat melihat susuk tubuh seseorang yang sedang ketawa sambil membongkokkan badan.  Sesekali susuk tubuh itu menudingkan jari ke arahnya.  Rayyan!

Rayyan mengesat airmatanya yang keluar.  Ketawanya masih bersisa.  Geli betul hatinya bila melihat Airis yang melompat terkejut.  Tambah menggelikan hatinya bila melihat Airis terhantuk bumbung kereta saat dia cuba untuk bangun.  Ternyata gadis itu lupa yang dia sedang berada di dalam kereta.  Dia melihat telefon bimbitnya.  Permainan “Horn A Sound” yang terdapat di dalam telefon bimbitnya dimatikan.  Selalunya permainan itu lah yang digunakan setiap kali ingin menyakat makcik-makciknya di kampung terutama ketika masing-masing sibuk bergotong royong memasak setiap kali menyambut hari raya Aidilfitri di rumah Tok Wannya.  Mengekek dia ketawa melihat makcik-makciknya melatah dengan pelbagai aksi selepas terkejut dengan bunyi hon yang sangat kuat itu.  Kali ini, Airis pula menjadi mangsa.  Sudah lebih lima kali dia cuba mengejutkan Airis namun gadis itu cuma beralih badan tapi tidak membuka matanya.  Geram melihat Airis yang seolah-olah pekak, dia membuka permainan dalam telefon bimbitnya dan ditalakan tepat-tepat ke telinga Airis.  Pantas dia keluar dari kereta saat melihat Airis yang terkejut.

“Seronok kenakan aku?” Airis mencukakan wajahnya.  Bengang dengan tindakan Rayyan.  Kepalanya juga tiba-tiba sebal.  Sudah lah penat menguruskan majlis perkahwinannya masih belum hilang, lenanya pula diganggu dengan lawak bangang Rayyan.  Kepalanya yang terhantuk kuat bertambah berdenyut-denyut.  Luar dan dalam.  Badannya terasa sedikit hangat. Ahh...Janganlah demam pula!

“Habis aku kejut kau tak nak bangun.  Dekat sepuluh kali kot aku kejut kau.  Tidur mati.” Rayyan membebel di sisi Airis yang tercegat.  Dia berjalan menghampiri bonet kereta, membukanya dan mencapai dua buah beg Airis.  Diletakkan beg-beg itu di sisi kakinya.  Dicapai pula satu lagi beg kecil kepunyaannya dan disandang ke bahu.  Airis yang dari tadi berdiri tercegat memerhati, menghampirinya.  Gadis itu membongkokkan badannya, menggapai kedua-kedua beg yang tersandar di kaki Rayyan.

“Takpe, biar aku bawakkan.”  Rayyan merampas beg dari genggaman Airis perlahan dan terus melangkah masuk ke dalam rumah.  Airis yang keletihan tidak membantah, membiarkan tindakan Rayyan dan mengikut langkah Rayyan.

Mata Airis meliar ke segenap rumah.  Cantiknya! Berkali-kali ayat itu bergema di dalam hati saat kakinya melangkah masuk ke rumah itu.  Rumah itu memang terlalu cantik.  Perhiasannya, perabotnya, lampu-lampunya, pendek kata semua perincian di dalam rumah itu begitu memukau.  Padanlah dengan status yang disandang ibu dan ayah Rayyan.  Terasa dirinya terlalu kerdil di dalam rumah itu.  Dia pantas mengekori Rayyan yang sudah pun meniti tangga untuk ke tingkat atas.  Sempat dia meninjau-ninjau sekeliling rumah memerhati kelibat ibu dan bapa mertuanya.  Barangkali sudah masuk ke dalam bilik, merehatkan badan. 

Sebaik kaki Airis mencecah ke tingkat atas rumah itu, matanya tertancap pada sebuah tv leper bersaiz 40” yang melekat di dinding.  Di lantai, tersusun empat biji bantal gebu di atas hamparan permaidani tebal berwarna kelabu.  Airis mengagak mungkin ruangan ini dijadikan tempat bersantai Rayyan bersama ahli keluarganya yang lain di waktu senggang.  Menghabiskan masa menonton drama, atau mungkin bermain game.  Di satu sudut lain, tergantung bingkai-bingkai gambar yang menarik perhatian Airis.  Dihampiri sudut itu, meninggalkan Rayyan yang sudah pun hilang menyusup ke dalam bilik.

Matanya memerhati pada setiap gambar yang bergantungan.  Gambar Rayyan, ibu, ayah dan mungkin adik-adiknya. Airis tersenyum.  Gembira melihat gambar-gambar itu yang tampak ceria.  Matanya tiba-tiba terpaku pada sekeping gambar.  Pada gambar itu, kelihatan Rayyan sedang merangkul mesra seorang gadis.  Dia melarikan pandangan ke bingkai-bingkai gambar yang lain, memerhati jika gambar gadis itu ada pada gambar yang lain pula.  Tiada. 

Airis mengerutkan dahinya.  Memikir-mikir siapakah gerangan gadis yang dipeluk Rayyan.  ‘Siapa pulak yang Ray peluk ni? Bukan main mesra lagi.  Kenapa dalam banyak-banyak gambar, aku mesti nak kena tengok gambar yang ni? Kalau tak tengok tadi kan bagus, tak payah nak fikir siapa dia ni. Eh, lantak dia la kan?  Yang aku nak pening-pening kepala ni kenapa pulak? Tapi dia suami aku.  Isteri gila mana yang  tak terasa sesuatu bila tengok suami sendiri peluk perempuan lain macam ni?  Ahhh...bencinya!’  Airis membebel di dalam hati.  Gambar itu ditenung lagi.  Lama.  Memerhati setiap inci gambar itu.  Memerhati senyuman Rayyan yang begitu lebar saat itu.  Menggambarkan betapa bahagianya dia di samping gadis itu.  Gadis itu cantik, rambutnya ikal mayang panjang melepasi bahu, senyumannya manis, kulitnya putih cerah.  Entah kenapa, dia benci melihat gambar itu.  Dan dia terasa pelik terpaksa membenci.  Gila! Aku dah gila agaknya!

Rayyan yang dari tadi mengintai dari celah pintu biliknya, cepat-cepat berlari dan melompat ke atas katilnya sebaik menyedari Airis membuka langkah ingin masuk ke bilik.  Dia menyembamkan wajahnya ke bantal dan pura-pura tidur.  Sebaik masuk ke bilik tadi, dia melihat Airis sudah tercegat di sudut gambar-gambar yang digantung pada dinding.  Sejak tadi dia khusyuk memerhati tingkah Airis.  Dia tahu Airis lama menatap sekeping gambar.  Dan dia tahu itu adalah gambarnya sedang merangkul leher Jasmin.  Gambar itu diambil oleh kawannya sewaktu mereka sama-sama bercuti di Pulau Langkawi dua tahun lepas.  Lama dia memerhati reaksi Airis yang nyata begitu berminat dengan gambar itu.  Menanti reaksi Airis sehinggalah gadis itu melangkah masuk ke biliknya.  Kelam kabut dia berlari menuju ke katil bimbang aksinya mengintai tadi diketahui Airis.

Airis mendengus lemah.  Menjeling sejenak pada tubuh Rayyan yang sudah pun terbaring di atas katilnya.  Melintang.  Betul-betul di tengah katil.  Menyembamkan wajahnya pada bantal. ‘Kalau kau tidur menegak sekali pun, tak ingin aku nak tidur sebelah kau tau.’ Airis menjeling lagi.  Memerhati pada segenap bilik itu.  Untuk lelaki bujang seperti Rayyan, dia kagum bilik itu boleh jadi sekemas ini.  Setiap satunya tersusun rapi. 

Dia berjalan menuju ke almari hiasan yang menempatkan pelbagai model kereta mini.  Diperhatikan satu persatu.  Semuanya tersusun kemas dalam satu barisan dan tampak berkilat.  Ditambah dengan limpahan cahaya lampu di dalam almari itu.  Dia memandang pula pada koleksi patung-patung kecil watak dari filem Star Wars.  Ada yang dikenalinya dan ada yang tampak janggal di matanya.  Dia menghampiri pula rak buku bersebelahan almari itu.  Tersusun pelbagai deretan buku-buku dengan pelbagai tajuk.  Dicapainya sebuah buku, diselak-selak tanpa tujuan dan kemudian di letakkan semula ke susunan asal.

Airis menghampiri pula meja solek kepunyaan Rayyan.  Ditanggalkan kerongsang di bahu kirinya, lantas ditanggalkan tudung dari kepalanya.  Terasa lega bila kepalanya tidak lagi dibaluti tudung.  Dia mengibas-ngibaskan rambutnya dengan jari.  Dicapai sikat lalu disikatnya serapi yang boleh.  Matanya terpandang pula pada barisan botol-botol minyak wangi yang tersusun rapi.  Satu-satu dicapainya, dibuka tudungnya dan disuakan di hidung.  Airis memerhati pula pada sebaris deodorant pelbagai jenama.  Seperti tadi, dia mengulangi perbuatan yang sama.  Menghidunya satu persatu. 

Panggg! Airis tertegun.  Senggolan jarinya menyebabkan satu botol minyak wangi terhempas ke lantai.  Berderai. Airis menutup mulutnya, membesarkan mata.  Terkejut melihat botol minyak wangi itu sudah pun berkecai, bertaburan di atas lantai. 

“Kau buat apa?”  Kuat suara Rayyan menengking Airis yang terpinga-pinga.  Dia yang hampir terlelap tadi terjaga semula saat mendengar bunyi kaca terhempas.  Segera dia bingkas dari katil dan menuju ke arah Airis.

Sorry, aku tak sengaja.”  Airis menunduk, kelam kabut mengutip serpihan botol kaca yang bersepah di lantai.

“Aduh!” Airis menarik tangannya lantas mengulum jari.  Entah di mana silapnya, jarinya terhiris pada serpihan botol kaca yang pecah.  Sesekali dia memerhati luka di jarinya, kemudian mengulumnya kembali.  Lukanya agak dalam.  Darah juga tidak henti-henti mengalir.

“Aku tak suka lah kau usik barang aku.”  Rayyan yang duduk di sisinya mencapai tangannya.  Memerhati luka di tangannya lantas mencapai sekotak tisu. 

“Tekap jari kau ni macam ni.” Rayyan mengarah.  Wajahnya masam.  Dia bingkas bangun.  Meninggalkan Airis yang terpinga-pinga.  Airis ditimpa rasa bersalah yang amat sangat.  Memerhati pada botol minyak wangi yang sudah pun berderai di lantai.  Melihat reaksi Rayyan yang ternyata marah.

Dua minit kemudian, Rayyan masuk semula ke dalam bilik dengan sekotak first aid kit.  Dia membuka kotak itu, mencapai cecair berwarna kuning dan sekeping handyplast.  Jari Airis yang ditekap dengan tisu digapainya, dibuang tisu yang penuh dengan darah ke dalam bakul sampah.  Dia menekap pula cecair kuning tadi ke atas kapas dan menekapnya ke luka di jari Airis.

“Auww..pedih!”  Airis ingin menarik jarinya tetapi genggaman Rayyan ternyata begitu kuat. Lelaki itu menanggalkan tekapan kapas di jarinya dan digantikan dengan sekeping handyplast.  Dari tadi dia tekun melihat lelaki itu merawat jarinya.  Saat itu, susuk Rayyan diperhatikan sepuas-puasnya.  Pada helaian rambut di dahinya yang terjuntai jatuh, pada otot di lengannya yang sasa, pada bauan wangi yang melekat di pakaian lelaki itu, pada kumis nipis di bibirnya, pada helaian bulu matanya yang melentik.  Semuanya jelas pada jarak sedekat itu.  Lelaki itu ternyata jauh berbeza dari tanggapannya sebelum ini.  Melihat keperihatinan Rayyan terhadap dirinya ketika ini, dada Airis berdebar-debar. Aku ni dah jatuh cinta pada pak cik ni ke? Ah...sudah!

“Lain kali jangan usik barang-barang aku. Tu, yang kau pecahkan tu.  Yang paling aku sayang.”  Rayyan bingkas bangun.  Meletakkan kembali bakul sampah ke tempat asalnya.  Kotak first aid kit pula diletakkan di bawah katilnya. 

Sorry.  Nanti aku ada duit, aku belikan yang baru.”  Airis menundukkan wajah.  Kesal dengan apa yang terjadi.  Kalaulah dari tadi tangannya reti duduk diam, pasti tiada barang-barang kepunyaan Rayyan yang terhempas ke lantai.

“Tak sama.  Kau belikan aku 100 botol yang sama macam tu pun tetap takkan sama. Yang itu, orang yang aku paling sayang yang kasi.”  Rayyan mengutip cebisan kaca yang bertaburan satu persatu. 

‘Orang yang paling kau sayang? Jangan-jangan perempuan yang kau peluk sakan tu kan? 100 botol konon.  100 botol tu bukan buat sembur badan tau tak, buat mandi pun boleh lah pak cik!’  Airis membebel dalam hati.   Terasa bengang mendengar ayat yang keluar dari mulut Rayyan.

“Kau usik aku punya perfume ni semua kenapa mak cik? Tangan kau tak boleh duduk diam ke?  Dah usik tu lain kali letak balik kat tempat asal dia.  Ni, yang ni bukan kat sini tempat dia.  Yang ni, yang pendek ni letak depan sekali, yang tinggi kat belakang.  Semua ni kena lah ikut turutan.  Bukan lintang pukang macam ni. Ni, buku ni, lain kali kau dah ambik, kau letak balik kat tempat dia tegak-tegak dalam aturan dia.  Bukan terkeluar-keluar macam ni.  Aku ni tak boleh tau tengok benda-benda tak tersusun macam ni.  Serabut mata aku ni.”  Rayyan membebel.  Airis terkebil-kebil.  Terasa dirinya seperti anak-anak kecil yang dimarahi ibu selepas menyelerakkan rumah dengan permainan.  Dia sama sekali tak menyangka Rayyan seteliti itu.  Perlahan-lahan dia mengundur.  Merapati begnya, membuka dan mencapai tuala mandinya.  Penuh hati-hati dia melangkah ke bilik air sambil memerhati Rayyan yang terus-terusan membebel  sambil tangannya ligat menyusun atur barangan miliknya.


“Mak cik! Tu kau dah guna barang-barang dalam toilet tu jangan lupa susun balik elok-elok!”  Airis tersengih.  Dia menggelengkan kepalanya.  Pening melayan karenah Rayyan.  Susun atur di bilik air itu juga sama seperti dalam bilik Rayyan.  Pada kemasan dan aturannya.  Saat matanya tertancap pada berus gigi milik Rayyan, Airis menepuk dahinya.  Dia terlupa membawa berus gigi!






Secebis kata :  Terima kasih untuk semua yang sudi membaca! Pada yang baca senyap-senyap tapi tak tinggal komen tu, terima kasih jugak tau!!  Kalau dapat tinggal komen dan beri pendapat tentang tulisan AA, lagi AA suke!


6 comments:

Unknown said...

best...

Anonymous said...

bestnya!!! rayyan dah macam mak nenek...

novel novellas said...

baru jumpa blog ni.dh baca bab 1-8.mmg best,x sabar lak nk ikuti n3 yg seterusnya.

Adra Adiella said...

---> baby mio,

thanks sudi bace!

---> anonymous,

mmg rayyan mcm mak nenek..die seronok dpat kenakan Airis.

---> novel novellas,

thanks sudi bace dari permulaan cerita..sabar ye tunggu next n3..

Anonymous said...

Assalam to writer...

Rayyan? membebel mcm mak nenek? yg rendah duduk depan yg tinggi duduk belakang? buku dah tgok letak balik kt tempat asalnya? hummm.... jarang jumpe orang laki2 camni... menarik... agak sukar nk layan orang laki2 camni. hop writer bijak memainkan watak Airis utk mengatasi ketelitian tahap melampau Ray ni.. hhehehe...

Airis? the blur one...hihihihi... but watak dia gud enough now... hopfully Airis ni orangnya tetap pendirian utk mengatur langkah hidup dia seterusnya...

Rayyan vs Airis = buku betemu dengan ruas... gud combination...

nice start approaches writer berikan to Rayyan n how dia handle Airis bila mereka 1st time duduk besama.... ok..

Anyway gud luck writer... ;)

From : IJA

Fatini Zulghafar said...

AA, bab 7 memang tak boleh baca ke? kite tak baca lagi huhuhu...