“Semua bil dah dibayar atas
nama Ziyaad Zikri Zamil Zikri. There is no outstanding bill, sir.” Ucap kakitangan hospital di hadapan kaunter
itu lembut sambil tersenyum. Rayyan
mengerutkan keningnya. Ziyaad lagi!
Rayyan memekik di dalam hati. Terasa
marah bila Ziyaad seolah-olah lebih prihatin mengenai Airis berbanding dirinya. Segala-gala perihal Airis seolah-olah berada
dalam genggaman Ziyaad. Dari menjadi
hero penyelamat saat Airis diragut, membawa Airis ke hospital, menyeka airmata
isterinya, meminta pertolongan ‘orang dalam’ untuk membuat laporan polis
mengenai kehilangan beg tangan milik Airis yang diragut, sehinggalah kepada
membayar segala bil hospital. Rayyan
tiba-tiba terasa marah, tapi tidak tahu ingin melepaskan kemarahannya kepada
siapa. Dia menoleh ke arah Airis yang
duduk di bangku menunggu. Gadis itu
membalas pandangannya tapi terkebil-kebil tidak mengerti maksud renungan
Rayyan. Malas hendak memanjangkan
cerita, cepat-cepat dia memaut lengan Airis, memimpin sehingga ke pintu keluar
hospital.
“Aku boleh jalan sendiri.” Airis menarik lengannya dari pegangan
Rayyan. Tidak selesa dipaut sebegitu dan
terasa janggal bila melihat ada mata yang memandang perlakuan mereka sedangkan
mereka suami isteri hakikatnya.
Arif dengan perangai Airis,
Rayyan membiarkan saja perlakuan Airis. Dia
menekan alarm keretanya lantas kunci
pintu kereta terbuka. Dia kemudian
membuka bonet keretanya, meletakkan beg pakaiannya dan Airis. Selepas itu dia masuk ke dalam kereta dan menghidupkan
enjin. Perlahan-lahan keretanya menyusur keluar dari perkarangan hospital.
Rayyan menjeling isterinya
sekilas. Dari tadi dia menyedari gadis
itu berkepit dengan telefon bimbitnya dan sekeping kad berwarna biru
gelap. Tangan Airis ligat menaip sesuatu
dan matanya begitu gatal untuk mengetahui apa yang ditaip Airis tapi dikawal
perbuatannya bimbang dijerkah Airis.
Assalamualaikum Ziyaad.
Saya dah keluar hospital ni. ~Airis~ Butang send pada telefon bimbitnya ditekan.
Waalaikumussalam
awak. Alhamdulilah. Saya baru ingat nak
datang jenguk awak tengahari nanti. Ada sesiapa yang hantar awak balik rumah
kan? Telefon bimbitnya berbunyi
beberapa minit kemudian menandakan pesanan ringkas masuk.
Rayyan ada ni.
Kami on the way balik ke
rumah. Jangan risau ye? Butang send
ditekan sekali lagi.
Ok. Jaga kesihatan.
Jangan lupa makan ubat dan jangan lupakan saya tau! Lagi sekali
telefon bimbit Airis bergema. Airis
mengukir senyum saat ayat terakhir dari Ziyaad itu dibaca. Dia melepaskan keluhan panjang. Tidak tahu ayat apa ingin dibalas pada Ziyaad
ketika itu. Dia mengalihkan pandangan
matanya ke arah jalan. Terbayang imej
Ziyaad di ruang fikirannya. Lelaki itu
baik. Terlalu baik sebenarnya. Terimbas kembali kejadian ragut
tempohari. Riak wajah Ziyaad ketika itu
begitu cemas dan risaukan dirinya. Dan
apa yang membuat dirinya betul-betul tersentuh adalah di saat lelaki itu
spontan menanggalkan baju yang melekat di badan lantas melilitkan ke lengannya.
Airis memejamkan pula
matanya. Kali ini imej Rayyan pula menari-nari
dalam ruang fikiran. Lelaki itu bukanlah
tidak baik langsung. Dia tahu suaminya
itu baik. Cuma cara Rayyan menzahirkan
kebaikan dan layanan kepada dirinya sedikit kasar dan tidak kena pada tempatnya. Kalau dilihat pada sikap Rayyan semata-mata,
tidaklah terlalu besar masalah hubungannya dengan Rayyan sebenarnya. Tapi, yang menjadi masalah utama ketika ini
ialah, Rayyan menyintai Jasmin, bukan dirinya.
“Kita makan dulu, aku
lapar.” Rayyan mematikan enjin
keretanya. Dia membuka pintu kereta dan menonong
keluar tanpa menunggu Airis yang masih terkebil-kebil. Kalau diikutkan hati Airis, dia mahu saja
pulang ke rumah merehatkan badan. Apatah
lagi dengan keadaan lengannya yang berbalut seperti itu, pasti semua mata akan
memberi pandangan pelik kepadanya.
Lambat-lambat dia keluar dari perut kereta. Tidak menjangka sebenarnya Rayyan akan
berhenti untuk mengisi perut sebelum pulang ke rumah.
“Aku dah pesan mushroom soup untuk kau. Itu jek soft
food yang ada kat sini.” Rayyan
bersuara sebaik saja Airis melabuhkan duduk bertentangan dengannya. Terjengah-jengah dia sewaktu melangkah kaki
masuk ke dalam restoran itu mencari kelibat Rayyan yang sudah pun duduk di satu
sudut yang agak tersorok. Dan tepat
seperti jangkaannya, semua mata memandang ke arahnya. Memberi pandangan pelik pada balutan di
lengannya. Airis mengambil sudu,
perlahan-lahan dia mengacau isi di dalam mangkuk dihadapannya itu. Dia menjeling sekilas pula ke pinggan
Rayyan. Lelaki itu memesan sepinggan sphagetti alfredo bersama
ketulan-ketulan udang berceracak di atasnya.
“Lunch
hari ni, sebagai ganti lunch
semalam.” Rayyan menunduk. Tidak berani
menatap mata Airis yang bertentangan dengannya.
Dia sedar kesilapannya semalam, dan hari ini dia cuba menebusnya
kembali. Airis dilihatnya masih
menunduk, memandang pada bubur sup cendawan yang dikacaunya
perlahan-lahan. Langsung tidak
memberikan apa-apa reaksi kepadanya.
“Sedap ke tu? Mintak sikit.” Spontan Rayyan menyuakan sudunya ke dalam
mangkuk Airis lalu menyuap sup cendawan itu ke dalam mulutnya. Darah Airis mula menyirap ke kepala. Terasa Rayyan besar kecil di depan matanya.
“Kau ni macam takde buat
apa-apa salah kat aku kan?” Airis
meletakkan sudunya pada piring yang terletak bersebelahan mangkuk supnya. Memerhati Rayyan yang tiba-tiba terhenti
suapannya.
“Ni, tak nampak ni? Kan aku dah ajak kau makan ni. Ni kira tebus balik salah aku lah ni.”
“Susah ke nak cakap mintak
maaf?” Rayyan tersentak, terasa getaran
suara Airis yang menahan marah.
“Ala, kau keluar dengan lelaki
lain pun takde mintak maaf dengan aku kot?”
Rayyan buat muka selamba. Sengaja
menyakitkan hati Airis.
“Nasib baik dia ada. Nak harapkan kau, sampai kiamat pun belum
tentu ada.” Airis mengukir senyum
sumbing. Dia tahu hatinya sakit dengan jawapan
Rayyan, tapi sengaja mengapikan lagi keadaan.
“Oh..maknanya sekarang ni dia
lagi penting lah dalam hidup kau?”
“Mungkin sama pentingnya Jasmin
dalam hidup kau kot?” Airis menyindir
lagi.
“Jangan babitkan Jasmin dalam
hal ni lah.” Rayyan bersuara sedikit
keras. Dia mengawal intonasi suaranya
bimbang menarik perhatian pengunjung restoran yang lain.
“Kalau macam tu jangan babitkan
Ziyaad dalam hal ni. Aku cuma nak dengar
kau mintak maaf sebab tak datang kat Blue Wave semalam sampai aku kena ragut
dan kita sama-sama bermalam kat hospital.
Susah sangat ke? Kalau susah sangat, kenapa semalam berkali-kali aku call, kau tak reti nak angkat? Kalau kau jawab call aku, kau cakap yang kau tak boleh nak lunch dengan aku sebab kena teman Kak Min, awal-awal lagi aku dah
balik. Tak payah aku nak tercongok kat
situ macam orang gila!” Airis
menjongkitkan keningnya, melawan renungan mata Rayyan yang tajam.
“Ye lah aku mintak maaf. Puas hati?”
Rayyan menjegilkan matanya. Dia
tahu dia bersalah dalam hal itu, tapi entah mengapa lidahnya begitu berat untuk
mengungkapkan kata-kata maaf kepada Airis.
“Hmmm..boleh lah. Kalau diukur level keikhlasan kau tu, aku bagi 2/10 jek lah. Terpaksa mintak maaf. Macam budak-budak.” Airis menjeling Rayyan. Geram dengan sikap Rayyan. Tapi
sekurang-kurangnya dia berpuas hati dapat mendengar ungkapan maaf dari mulut
lelaki itu.
“Untung aku nak mintak maaf
tau. Kalau ikutkan tak ingin aku nak
mintak maaf.” Rayyan menunduk, dia
memusing-musingkan garfunya, membelitkan spageti sebelum menyuapkannya ke mulut.
“Aku patut cakap kat Ziyaad,
biarkan jek aku kejar peragut hari tu.
Biar aku mati pun takpe dari aku sakit hati menagih maaf dari kau
sedangkan sebab tunggu kau lah aku jadi macam ni.” Airis mengendurkan suaranya. Sedikit terusik dengan ego Rayyan. Dia tahu dia bukan Jasmin, wanita yang Rayyan
cintai. Tapi dia juga manusia biasa yang tentunya ingin mendengar permohonan
maaf dari seseorang yang melakukan kesilapan.
Apatah lagi sehingga mengheret dia kepada malapetaka sebegini.
“Ziyaad sukakan kau kan?” Lambat-lambat ayat itu dituturkan Rayyan. Dia takut sebenarnya untuk mendengar jawapan
dari mulut Airis. Dan lebih mendebarkan
hati jika matanya memandang wajah Airis mengangguk, mengiyakan pertanyaannya.
“Kalau dia sukakan aku,
kenapa?” Airis tidak menjawab soalan
Rayyan, sebaliknya ingin tahu reaksi lelaki itu.
“Tak kisah.” Pranggg! Terasa hati Airis jatuh terhempas
berkecai menjadi keping-keping ke lantai saat mendengar jawapan Rayyan. Walaupun dia sebenarnya dapat mengagak
jawapan Rayyan dari awal lagi, entah mengapa luluh hatinya bila mendengar
sendiri jawapan itu dari mulut Rayyan.
“Kan kita dah pernah janji
dulu, kau dengan urusan kau, aku dengan urusan aku. Kita dah janji tak nak masuk campur dalam
urusan masing-masing kan? Lagi pun kau
pun tahu kan aku sukakan Jasmin. Jadi
kenapa aku mesti kisah kalau Ziyaad sukakan kau?” Rayyan menyucuk udang terakhir di atas
pinggannya lantas menyuapkan ke dalam mulut.
Matanya memandang Airis yang sedang menghirup minuman.
“Sampai bila lah kita nak macam
ni kan? Kau dengan Kak Min, aku pulak
dengan Ziyaad. Rasa macam keputusan kita
untuk berkahwin ni satu kesilapan. Kita
tak patut kahwin pun dari awal hari tu kan?”
Airis menunduk. Mangkuk supnya
sudah ditolaknya ke tengah meja, tanda tidak berminat lagi untuk
menghabiskannya. Dia merasakan
permasalahan hubungannya bersama Rayyan bertambah rumit sekarang ini.
“Bagi aku tempoh lagi. Kita kan baru kahwin, kalau jadi apa-apa pada
hubungan kita, mengamuk Papa pada aku nanti.”
Cepat-cepat Rayyan memintas kata-kata Airis. Walau dia merasakan ada kebenarannya
kata-kata Airis, tapi demi kepentingannya dan mengejar cinta Jasmin, dia perlu
bersikap tidak terburu-buru. Apatah lagi
bila dia pasti, Ziyaad menyukai isterinya itu.
“Dah jom balik. Karang bising Mama dengan Papa kita tak sampai-sampai
rumah.” Airis mengangguk mendengar kata-kata Rayyan. Cepat-cepat dia menghirup airnya yang masih
lagi tinggal sedikit bersisa. Datang
seorang pelayan membawa resit ke arah mereka berdua dan kemudian datang semula
membawa pula duit baki bayaran Rayyan tadi.
Setelah selesai segala urusan, mereka sama-sama bangun dan meninggalkan
restoran.
Zara meniti anak tangga ke
tingkat dua rumah banglo itu perlahan-lahan.
Ini lah pertama kali dalam hidupnya menjejakkan kaki ke dalam banglo
mewah milik Dato’ Harun dan DatinMarissa.
Itupun kerana Dalili yang mengajaknya ikut serta melawat Airis yang
sudah pun keluar dari wad tengahari tadi.
Sedang asyik dia meninjau-ninjau di sekitar banglo itu tadi, dia
dihampiri Rania yang memang dikenalinya.
“Kak Airis nak jumpa Kak Zara
kat atas. Kat dalam bilik dia. Bilik no 3, belah kanan.” Rania menyengih. Gembira melihat kedatangan Zara dan gembira
bila mengetahui rahsia Airis dan Rayyan bakal terbongkar sekejapan lagi.
Zara sekadar mengangguk. Sangkanya keadaan Airis yang tercedera
menyebabkan gadis itu mempelawanya ke bilik.
Lagi pun sudah hampir dua hari tidak bertemu dengan Airis, dia merindui
kawan berguraunya itu. Pantas dia meniti
tangga ke tingkat atas dan terus menuju ke bilik yang ketiga. Terbeliak matanya saat melihat Airis yang
baru saja keluar dari bilik air berkemban tuala berwarna oren separas peha
dengan rambutnya basah melekap sehingga ke belakang pinggang.
“Zara!” Airis ikut sama menbeliakkan matanya. Terkejut melihat Zara yang tiba-tiba tercegat
di depan pintunya yang menganga luas.
Pastinya Rayyan yang masuk tadi tanpa menutupnya kembali. Dia mengalihkan pandang pula pada Rayyan yang
bangun dan menggeliatkan badannya di atas katil. Suaminya itu pula togel, langsung tidak
mengenakan sebarang pakaian pada badannya dan pehanya juga cuma berbalut
sehelai tuala.
Zara yang turut menoleh ke arah
Rayyan yang terbaring di atas katil ikut terkejut. Berkali-kali dia memejam celikkan
matanya. Terasa tidak percaya dengan apa
yang dilihatnya. Airis dengan berkemban,
dan Rayyan pula cuma melilit tuala di pinggang, terbongkang di tengah katil
tanpa berbaju. Apa yang mereka buat
dalam keadaan sebegitu? Adakah status
sebagai sepupu terus menghalalkan batas aurat mereka? Dan adakah kerana status itu juga membolehkan
mereka duduk sebilik sebegini bebas?
Zara jadi keliru dan tiba-tiba mulutnya jadi kelu walaupun begitu banyak
persoalan mengasak mindanya ketika itu.
Darah panasnya yang menyerbu ke kepala buat dia sakit hati. Sakit hati kerana tidak menyangka perangai
sebenar sahabat baiknya itu jauh tersasar dari yang ditonjolkan kepadanya
sebelum ini. Apakah dia bodoh sehingga
tidak dapat mengagak apa yang mereka sedang lakukan sebelum dia menjengah bilik
itu tadi? Dia tidak menunggu lama, pantas
dia membuka langkah, menuruni tangga, tidak menghiraukan lagi jeritan Airis yang
memanggilnya dari tadi.
“Zara dari mana?” Senyuman Datin Marissa dipandangnya
sekilas. Dia memerhati Datin Marissa
yang sedang menuang teh panas ke dalam setiap cawan. Di hadapannya terbentang sepinggan scones panas bersama sebotol jem
strawberi. Bau harum mentega
menyucuk-nyucuk rongga hidungnya.
“Dari toilet, Aunty.” Cepat-cepat
Zara menjawab bila mata Datin Marissa dan Dalili memfokuskan ke wajahnya
menanti jawapan. Dia menarik kerusi, terus melabuhkan duduknya.
“Termengah-mengah awak ni Zara,
berlari dari toilet ke?” Terburai tawa Dalili. Dia perasan Zara tampak tergesa-gesa. Seolah-olah berlari dari satu tempat menuju
ke arah mereka. Zara hanya mengukir senyum, dia mencapai teh yang terhidang
lantas menghirupnya perlahan-lahan.
Mereka sama-sama menghabiskan masa bersembang dengan juadah yang
disediakan sambil menunggu Airis. Selang
beberapa minit kemudian, Airis turun menghampiri mereka.
“Sorry lambat sikit. Airis
tengah bersiap tadi.” Airis mengukir
senyum. Dipandang pada Zara. Gadis itu menundukkan wajah, enggan
bertentang mata dengannya.
“Eh, teruk jugak ye Ris. Kak Lili ingat sikit jek.” Dalili membelek lengan Airis yang
berbalut. Luka dan lebam di hujung bibir
Airis juga di perhatikannya. Tidak
menyangka kecederaan Airis sebegitu teruk.
“Ala, takde apa lah ni Kak
Lili. Sikit jek.” Airis melabuhkan duduknya bersebelahan
Zara. Gadis itu seperti tadi, enggan
menoleh ke arahnya. Membatukan diri
dengan menghirup teh.
“Sikit apa nya Lili kalau dah
macam tu? Tu pun nasib baik ada kawan
dia kat situ. Kalau tak, tak tahu lah
apa jadi.” Cepat-cepat Datin Marissa mencelah.
Dirasakan anak menantunya itu bersikap acuh tak acuh dengan kecederaan
seriusnya.
“Mama tu risau sangat. Airis ok jek ni kan? Boleh jek ni kalau nak masak, Mama nak makan
apa? Cepat Airis masakkan
sekarang.”
“Haa..kau tengok budak ni
Lili? Memang tau, ish! Ish!” Datin Marissa melayangkan tapak tangannya, menepuk
lembut bahu Airis. Geram dengan sikap
Airis, sedangkan seisi keluarga risaukan keadaannya. Dalili yang menyaksikannya ikut sama
tergelak.
“Eh, jom masuk dalam. Hari tu akak mengait tak siap lagi. Lili nak tengok tak?” Datin Marissa menggamit lengan Dalili. Dalili mengangguk, dia bangun menurut langkah
Datin Marissa yang ingin masuk ke dalam rumah.
Perkenalan hampir lima tahun antara dia dan Datin Marissa buat dia cukup
arif dengan hobi dan minat sahabatnya itu.
Walaupun perbezaan umur hampir 15 tahun di antara mereka berdua, Dalili
senang dengan sikap Datin Marissa yang sentiasa merendah diri. Dirinya juga sudah dianggap seperti adik
Datin Marissa sendiri walaupun dia selalunya segan dan masih memanggil Datin
Marissa dengan gelaran ‘Datin’.
Berkali-kali dilarang Datin Marissa, diingatkan supaya tidak memanggil
gelaran Datin kepada dirinya pun, sesekali terkeluar juga perkataan itu dari
mulut Dalili.
“Biar budak-budak ni kat
sini. Korang borak-borak dulu, nanti Mak
Intan dah siap masak lauk, Mama panggil.”
Airis mengangguk. Dadanya berdebar. Takut untuk menjelaskan duduk sebenar perkara
yang terjadi tadi kepada Zara. Dia tahu
Zara pasti sedang marahkan dirinya.
“Aku tak sangka kau macam ni Ris. Aku betul-betul tak sangka!” Zara tiba-tiba bersuara sebaik Datin Marissa
dan Dalili masuk ke dalam rumah. Airis
meneguk liur. Dia menarik nafas panjang,
bersedia untuk memberi penjelasan pada sahabat baiknya itu.
“Apa yang kau nampak tak
seperti yang kau bayangkan Zara.”
“Maksud kau? Kau sebenarnya apa ha dengan Rayyan? Kenapa dia dan kau boleh ada dalam satu bilik
dengan keadaan macam tu?” Zara sedikit
menengking. Marah bila mengenangkan
kembali apa yang dilihatnya tadi.
“Aku....Dia..Sebenarnya...”
Airis mati kata-kata. Dia meneguk liur.
“Kami dah kahwin, dekat sebulan
dah.” Rayyan tiba-tiba mencelah. Buntang mata Airis mendengarnya. Cepat-cepat dia menoleh ke arah suara Rayyan
yang berdiri tercegat di belakang mereka.
Kedua-dua tangan lelaki itu dimasukkan ke celah poketnya. Zara terkebil-kebil. Rasa tidak percaya dengan ayat yang meniti
keluar dari bibir Rayyan.
“Kami bukan sepupu. Kami suami isteri. Sebab tu yang kau nampak tadi tu, keadaan
kami macam tu. Kami memang suami
isteri.” Rayyan duduk bertentangan dengan
Airis dan Zara kini. Tadi sewaktu dia
melelapkan matanya seketika sewaktu menunggu Airis siap mandi, tiba-tiba
telinganya mendengar teriakan Airis memanggil Zara. Wajah Airis keruh, mungkin terkejut dengan
kehadiran Zara yang langsung tidak dijangka.
Dan sebagai lelaki, dia seharusnya tampil menjelaskan keadaan. Atau sekurang-kurangnya, membersihkan namanya
dan Airis dari disangka membuat yang bukan-bukan.
“Korang dah kahwin?” Zara membeliakkan matanya bila Rayyan nampak
bersungguh menjelaskan tentang status mereka.
Keningnya saling bertaut rapat.
Airis yang juga tampak terkejut dengan pengakuan Rayyan. Tidak menyangka Rayyan ingin turut sama
dengannya memberikan penjelasan kepada Zara.
“Kalau dah kahwin, kenapa tak
terus terang dengan kami semua sebelum ni?
Kenapa mesti rahsiakan dan berpura-pura korang ni sepupu? Dan yang
paling aku tak faham, kenapa sampai Datin Marissa pun ikut sama berkomplot tipu
kami semua?” Zara memekik lagi. Dia marah dengan Airis yang selama ini
berahsia dengan status sebenarnya. Dan
lebih menyakitkan hati, dia langsung tidak dapat menghidu penipuan mereka
berdua selama ini. Lakonan mereka berdua
ternyata berjaya!
“Perkahwinan ni dibuat tanpa
kerelaan kami. Dan sebagai syarat, aku
nak perkahwinan ni dirahsiakan dari sesiapa pun. Sebab tu Mama pun terpaksa berlakon sekali.” Rayyan menghela nafas panjang. Masih keliru sebenarnya, adakah dia membuat
keputusan yang tepat dengan mendedahkan perkara sebenar kepada Zara.
“Aku tak faham apa yang korang
fikir. Kalau dah tak suka, tak saling
menyintai, kenapa mesti akhiri dengan perkahwinan? Apa yang korang dapat dengan buat macam ni?
Tak suka, tapi kahwin. Lepas tu tak nak
semua orang tahu. Aku betul-betul tak faham.”
Zara mengerutkan dahinya. Wajah
Rayyan dan Airis dipandangnya silih berganti seolah ingin ditelan.
“Kau tahu kan aku sukakan
Jasmin?” Rayyan membalas pandangan Zara.
Lambat-lambat gadis itu mengangguk.
“Tapi Jasmin macam nak tak nak
jek dengan aku kan?” Gadis itu
mengangguk lagi. Dia tahu akan kebenaran
itu. Sejak dia bekerja di butik Jazzy Collection
tiga tahun lepas lagi dia tahu Rayyan memang tergila-gilakan Jasmin. Setiap masa, bila saja Jasmin memerlukan
Rayyan, di situ lah Rayyan akan setia terpacak.
Tapi majikannya itu seolah-olah tidak berminat dengan Rayyan, lebih
kepada membuli Rayyan dengan mengarah itu ini, mengusung Rayyan ke
tempat-tempat yang diingininya. Jasmin
dilihat sebagai seorang yang mengejar cita-citanya, dan menganggap cinta Rayyan
tidak sepenting kerjayanya. Cuma Rayyan
yang bodoh menjadi hamba kepada Jasmin tanpa dia sedari.
“Kau rasa kalau dia tahu aku
dah kahwin ni, dia masih nak dekat aku ke?”
Rayyan menyoal Zara lagi. Kali
ini gadis itu diam, mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.
‘Kalau kau belum kahwin sekali
pun, Jasmin tu nak ke kat kau? Kesian
Airis!’ Hati Zara mula sebal. Simpatinya
mula meruap kepada Airis. Tidak disangka
perkahwinan Airis menjadi serumit ini.
Hati isteri manalah yang tidak bergoncang saat suaminya menyintai wanita
lain? Dan lebih parah, status
perkahwinan pula harus dirahsiakan dari pengetahuan orang lain semata-mata
menjaga hati kekasih suami sendiri.
Gila, memang gila!
“Aku nak kau rahsiakan perkara
ni dari Jasmin. Even Kak Lili sendiri pun Mama aku tak pernah cerita. Sebab kau dah nampak kami dalam bilik tadi,
aku rasa aku perlu jelaskan semuanya pada kau.
Dan aku dengan Airis takde buat apa-apa, aku tunggu dia siap mandi sebab
tu aku pakai towel jek.” Zara terkebil-kebil lagi. Sesekali dia menoleh sekilas pada Airis yang
nampak bersahaja.
“Boleh kan?” Rayyan menyoal lagi. Tidak puas hati melihat Zara mendiamkan diri
dari tadi.
“Ye lah. Boleh.
Pelik-pelik lah korang ni.” Zara
mencebik bibirnya. Airis kehilangan
kata-kata. Dari tadi dia cuma mendengar
penjelasan Rayyan. Sejujurnya, dia rasa
terusik bila mengetahui hakikat perasaan sebenar Rayyan terhadap Jasmin dengan mata
kepalanya sendiri. Sungguh, terasa
martabat seorang isteri yang dipegangnya jatuh berkecai dihempas cinta suami
sendiri kepada perempuan lain.
“Lain kali kalau nak rahsiakan
sangat, tak payah lah nak ajak aku naik bilik korang. Kalau aku tak nampak korang dalam bilik tadi,
tak payah nak susah-susah explain
semua ni kan?” Zara menjegilkan
matanya. Kalau dia tidak naik ke tingkat
atas tadi, tentu rahsia mereka tidak terbongkar.
“Eh, aku takde pun suruh kau
naik atas. Siapa yang suruh?” Airis cepat-cepat mencelah. Sebaik sampai ke rumah setelah mereka menjamu
selera di restoran tadi, dia dan Rayyan terus saja menuju ke bilik mereka dan
dia masuk ke bilik air membersihkan dirinya.
Usai mandi, dia ternampak Zara yang tercegat di hadapan pintu bilik
tidurnya yang terbuka luas. Terus,
keadaan menjadi bercelaru selepas itu.
“Tadi Rania cakap kau nak jumpa
aku dalam bilik kat tingkat atas. Dia siap cakap lagi, bilik no 3. Sampai-sampai jek terus aku tengok adegan
18sx gitu.” Zara tersengih. Airis dan Rayyan sama-sama ikut tersipu malu.
“Rania yang suruh kau naik
atas?” Rayyan menyoal lagi. Zara sekadar mengangguk. Mengiyakan pertanyaan Rayyan.
“Rania ni kenapa? Pandai-pandai
suruh orang naik atas!” Suara Rayyan
sedikit meninggi. Dia ternyata nampak
marah bila mengetahui Rania menipu Zara sehinggakan gadis itu betul-betul
menyangka Airis mengajaknya masuk ke dalam bilik.
Airis menggelengkan
kepalanya. Walaupun tidak menjangka
Ranialah yang mengatur rancangan mendedahkan rahsia hubungan dia dan Rayyan
tapi dia tahu gadis itu ternyata begitu bencikan dirinya. Begitu benci, sehingga sanggup menipu. Dan Airis tahu, adik iparnya itu seolah-olah
ingin menghancurkan hubungannya bersama Rayyan.
Membayangkan Rania, secara tiba-tiba mengingatkan dirinya dengan Syafinaz. Dan sekarang, dia ternyata mempunyai musuh
baru di dalam keluarga.
3 comments:
Nice n3! So nampaknya En. Rayyan masih blur lagi pasal perasaan dia pada Airis. Pls wake up Rayyan...jodoh yg terbaik dah ada depan mata, pls appreciate your wife.. Kalau dah kena kebas esok2, baru haru biru hidup awak nanti! Just forget about Jasmin ok..
Assalam to writer...
emmm still hati berdegup2 membace.. hahaha... nice this ep. bile seorang suami or lelaki tercabar kerana seorang lelaki... wow...
mmg sangat luluh dengar bile husband jawab cam 2... adeh2... uhuhuh.. nmpak x emo.. hope xade adegan musuh gaduh2 yg cliche antara lelaki n lelaki... haha... biar nmpak perbalahan dalam gaya yg matang... n penyelesaian masalah yang matang jugak antara Airis n Rayyan n Ziyaad n Jasmin...
(buat macam cite ni aku jek directornye.. hahaha.. xpe kakak writer abaikan mane yg xpenting ye, just bg pendapat.. akkakakakaka)
anyway gud luck to writer.. lg 5 ep ye.. huhuhu... hope puan writer dapat gagahkan diri, dapat cari masa supaya dapat create scene yg best n mencabar emo.. hahaha... n dapat publish 2 yg pasti... gud luck to writer...
from: IJA
AA, dah takde update ke? However nice story... 😉😉
Post a Comment