Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Wednesday 9 October 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 18












Airis menjeling jam di dinding restoran itu sekali lagi.  Sesekali dia menjeling pula pada jam di pergelangan tangannya.  Sudah hampir empat puluh lima minit dia menunggu kelibat Rayyan.  Sudah dua kali juga pelayan restoran menghampirinya, ingin mengambil pesanan.  Hatinya yang panas, menggelegak kini.  Panggilan telefonnya kepada Rayyan tidak di angkat dari tadi. Sudah lebih sepuluh kali dia mendail nombor telefon bimbit milik Rayyan.  Dia menghela nafas panjang, lalu mencapai beg tangannya dan bingkas bangun, ingin berangkat pulang semula ke butik.  Cukup sudah menunggu Rayyan.

Airis menoleh ke kiri dan kanan sebaik kakinya melangkah keluar dari Blue Wave. Tercari-cari lagi kelibat Rayyan buat kali yang terakhir.  Hampa.  Digapai pula telefon bimbitnya di dalam beg tangan.  Memerhati skrin telefon bimbitnya sebelum menghubungi Rayyan buat kali terakhir.  Hampa sekali lagi.  Airis menghembus nafasnya kuat.  Kesal dengan sikap Rayyan dengan janji yang dibuatnya pagi tadi.  Sudah lah begitu, panggilan Airis langsung tidak diangkat.

Airis mula mengorak langkah.  Tidak lagi mahu menunggu Rayyan.  Waktu rehatnya juga bakal habis sepuluh minit lagi.  Terus dia mempercepatkan langkah, bimbang terlewat sampai ke butik sebelum pukul dua petang.  Sampai di persimpangan jalan, dia berhenti seketika sebelum melintas.  Matanya tertancap pada seekor anak kucing yang tampak teragak-agak untuk menyeberangi jalan.  Dia menggariskan senyuman lalu menghampiri anak kucing berwarna kuning oren itu perlahan-lahan.  Anak kucing itu tampak takut, agak selekeh dan sedikit kurus.  Airis menyuakan tangan, seolah-olah ingin memberikannya makanan.  Perlahan-lahan, sedikit teragak-agak, anak kucing itu menghampiri Airis.  Setelah jarak anak kucing itu begitu dekat dengannya, Airis secepat mungkin mengangkat anak kucing itu lalu didekatkan ke pangkuannya.  Berkali-kali ia meronta minta dilepaskan, berkali-kali juga Airis mengusap lembut kepalanya, dan akhirnya anak kucing itu tenang dan diam dalam pangkuan Airis.

Airis menoleh ke kiri dan kanan jalan.  Dia memanjangkan lehernya, memerhati kenderaan yang lalu lalang sebelum mengatur langkah bersama anak kucing itu untuk menyeberangi jalan.  Sampai di hujung jalan, perlahan-lahan dia melepaskan anak kucing yang dikendongnya  ke kaki jalan.  Laju anak kucing itu berlari meninggalkan Airis dan akhirnya hilang dari pandangan.  Airis tersenyum.  Gembira dapat membantu.  Biarpun hanya pada seekor anak kucing jalanan.

Zaapppp!! Airis terdorong ke depan.  Tudungnya senget benget.  Ikut tertarik saat beg tangannya direntap tadi.  Di hadapannya kini berdiri seorang pemuda yang tidak dikenalinya. Lelaki itu serabai, kurus kering dan bajunya compang camping.   Tangan lelaki itu memegang beg tangan Airis kuat, cuba mendapatkan beg tangan yang disandang di bahu kirinya.  Dalam situasi tegang itu, Airis masih sempat menahan beg tangannya dari dirampas.

“Heiiiii...apa ni!! Lepas! Lepas!”  Airis menjerit cemas.  Lelaki di hadapannya itu tidak mahu mengalah.  Beberapa kali dia terdorong ke depan, ditarik lelaki itu yang seboleh-bolehnya cuba merampas beg tangan dipegangannya.  Tudungnya sudah terbang entah kemana. Insiden tarik menarik itu berlaku agak lama. 

Bukk!! Airis tersungkur saat pemuda itu menumbuk mukanya.  Pandangannya berpinar seketika.  Terasa cecair hangat mengalir di tepi bibirnya.  Tapi Airis masih berdegil.  Dia tetap bertekad, apa yang menjadi miliknya, tetap akan menjadi miliknya.  Untuk melepaskan tanpa mempertahankannya, tidak sama sekali.  Dia bangun, menarik tali beg tangannya sekuat hati.

“Tolong! Tolong! Peragut!”  Airis menjerit.  Airis menumbuk-numbuk badan lelaki di hadapannya itu pula.  Sebelah tangannya masih menggengam erat tali beg tangan. Dia masih berdegil, enggan melepaskannya dan lelaki di hadapannya itu juga nampak begitu nekad.  Walau apa pun yang terjadi, beg di genggaman Airis, harus menjadi miliknya.

“Lepaskan beg kau ni! Lepaskan!”  Pemuda itu memekik.  Dia sudah terlalu lama menghabiskan masa untuk merampas beg perempuan di hadapannya itu.  Hatinya mula panas.  Sudah dilepaskan penumbuk pun, Airis tetap enggan melepaskan pegangan beg tangannya.

Kali ini lelaki itu menarik lagi beg tangan di pegangan Airis sekuat hatinya.  Dia perlu pantas, jeritan Airis mula menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu.  Zasss!! Sepantas kilat Airis melepaskan beg dari pegangannya.  Dia melihat lelaki tadi sudah pantas berlari.  Darahnya mula menyirap saat melihat tali beg tangannya yang sudah pun putus.  Kurang ajar! Airis mengatur langkah, dia berlari ingin mengejar lelaki yang sudah sejauh 100 meter mendahuluinya.  Lelaki itu belum kenal siapa dirinya.

“Woiii...berhenti! Jangan lari!”  Airis menjerit sekuat hatinya.  Tangannya digawang-gawangkan ke udara, melambai lelaki itu supaya berhenti.  Hilang sudah segala malu dan segannya berlari walaupun dia tahu banyak mata yang memandangnya.  Apa yang penting, dia mendapat semula beg tangannya.

“Airis!”  Airis terduduk.  Diperhatikan lelaki yang bertembung dengannya tadi. 

“Apa awak buat ni?  Awak nak kejar lelaki yang ragut beg tangan awak tu?  Awak tahu tak bahaya buat macam tu?”  Ziyaad mencangkung di sisi Airis yang terduduk saat dia menghalang Airis dari terus mengejar peragut tadi.

“Awak tahu tak macam mana keadaan awak sekarang ni?  Kalau dia lari ke kawasan dia, atau tempat-tempat yang terpencil, macam-macam dia boleh buat pada awak dan takde siapa yang boleh tolong awak masa tu. Awak sedar tak diri awak macam mana sekarang ni?  Luka sana sini awak tahu tak?”  Ziyaad menekankan suaranya.  Sebaik mendengar jeritan Airis sebelum sempat dia memasuki keretanya tadi, dia bergegas menuju ke arah suara Airis.  Sebaik sampai dia terkejut melihat Airis yang berlari cuba mengejar peragut yang meragut beg tangannya.  Ternyata Airis bukan gadis sembarangan.  Secepat yang boleh dia mengatur langkah, cuba memintas Airis.  Bila berjaya mendahului, dia memaut lengan Airis yang mendorong gadis itu ke belakang dan jatuh terduduk sekaligus menghalang niat Airis dari terus mengejar pemuda tadi yang sudah pun hilang entah ke mana.

Airis terkebil-kebil.  Ketika itu barulah dia mula terasa perit mencucuk-cucuk di setiap bahagian badannya.  Belakang lengannya terasa begitu perit dan pedih.  Segera dia membelek belakang lengan kirinya. Terdapat torehan sepanjang sejengkal di situ.  Lukanya yang menganga itu membuakkan darah merah yang hangat.  Mungkin ketika peragut tadi memotong tali beg tangannya, tanpa disengajakan dia telah tertoreh sekali lengan Airis.  Dan Airis pula kerana terlalu geram begnya diragut, langsung sedikit pun dia tidak merasa sakit.  Saat itu, airmatanya tiba-tiba tumpah.  Airmata yang tumpah bukan kerana kesakitan yang di alami tapi kerana kecewa dengan dirinya sendiri yang gagal mempertahankan beg tangannya dan kecewa dengan sikap Rayyan yang tidak muncul seperti yang dijanjikan.  Dia jadi benci pada diri sendiri.  Benci menjadi bodoh menunggu Rayyan yang entah berada di mana sekarang ini.  Benci kerana disebabkan menunggu lelaki itu, dia ditimpa musibah sebegini.

“Ya Allah, Airis!”  Terbeliak mata Ziyaad.  Dia betul-betul terkejut melihat belahan luka sepanjang enam inci pada belakang lengan Airis.  Sangkanya kecederaan Airis hanya pada bibirnya yang pecah, luka di telapak tangannya dan kedua-dua lututnya saat tersungkur ditumbuk peragut tadi.  Rupanya, kecederaan Airis seteruk itu.

“Bangun Ris.  Mari sini ikut saya.”  Ziyaad memapah Airis yang terpinga-pinga.  Gadis itu dari tadi cuma membisu, kaku bersama lelehan air mata.  Dia tampak terkejut, wajahnya pucat.  Ziyaad memapah bahu Airis, saat itu dirasakan badan gadis itu menggigil.  Ditenung pada aliran darah merah pekat di bibir Airis yang mengalir sehingga mencecah dagu.  Tapak tangan gadis itu melecet dan penuh dengan kesan calar bersama palitan darah.  Kain baju kurungnya koyak di kedua-dua lutut.  Juga terdapat darah pekat mengalir.  Membasahi sebahagian kain baju kurungnya itu. 

“Auww...sakit! Sakit wak!”  Jerit Airis saat Ziyaad tersentuh lengannya yang ditoreh lelaki tadi.  Cepat-cepat Ziyaad melepaskan pegangannya.  Dia membuka kemeja yang sedang dipakainya.  Digulung panjang lantas dibelitkan pada lengan Airis yang terluka tadi.

“Pegang ni kuat-kuat.  Jom, kita pergi hospital sekarang.”    Dia mengarahkan Airis menekap luka itu, menghalang darah keluar dengan lebih banyak.    Airis tersentak.  Tidak menyangka sama sekali tindakan Ziyaad terhadap dirinya.  Dia memandang lelaki itu.  Dipandang pula pada baju Ziyaad yang melilit lengannya.  Sungguh, dia terharu dengan keprihatinan Ziyaad.

Ziyaad pura-pura tidak menyedari renungan Airis .  Dia tahu gadis itu terkejut dengan reaksinya yang menanggalkan baju.  Dalam keadaan seperti itu, dia perlu bertindak cepat.  Apa yang singgah di fikirannya, itu lah yang dicapai.  Yang penting, Airis perlu dibawa berjumpa doktor sesegera yang mungkin.  Dia langsung tidak peduli pada pandangan mata orang ramai yang melihatnya yang cuma bersinglet kini.  Dipapah Airis perlahan-lahan.  Terasa pergerakannya agak perlahan, dia berhenti. 

“Airis, awak tunggu sini.  Saya pergi ambik kereta dulu.”  Ziyaad tiba-tiba teringatkan kereta yang diparkirnya sedikit jauh dari kawasan itu.  Segera dia berlari, melintasi jalan, menuju ke keretanya.  Orang ramai yang dari tadi hanya mengerumun, sekadar melihat, tidak memberikan sebarang bantuan. Mungkin melihatkan Ziyaad yang dari tadi menghulur bantuan, mereka beranggapan Airis sudah pun dibantu.  Jadinya, mereka sekadar melihat.

Airis masih seperti tadi.  Diam kaku tidak bersuara langsung.  Airmatanya juga seperti tadi, mengalir tanpa henti.  Dia hanya berdiri di tepi jalan, menekap luka di lengannya.  Penampilannya selekeh kini, tudungnya entah tercampak ke mana, rambutnya kusut masai, pakaiannya comot dan terkoyak di bahagian lutut.  Pandangannya sekali lagi tertancap pada baju Ziyaad yang melilit lengan, kemudian ke arah Ziyaad yang berlari anak menuju ke kereta.  Dia tergamam.  Seolah-olah terpukau dengan segala tingkah laku lelaki itu.  Kerisauan lelaki itu, keprihatinan lelaki itu, dan tiba-tiba ingatannya menerjah pada ayat Ziyaad semalam. 

‘Saya cintakan awak.’

“Jom awak.  Saya hantar awak pergi hospital.  Luka awak tu tak boleh dibiarkan.”  Airis tersedar dari lamunannya saat terasa pautan tangan Ziyaad di lengannya.  Lelaki itu memimpin tangannya.  Kepala Airis disentuhnya, menyuruh Airis sedikit menunduk sebelum melabuhkan duduknya ke dalam kereta.  Selepas pintu ditutup, dia berlari pula ke tempat duduk pemandu.  Cepat-cepat memandu menuju ke hospital.

Airis mencuri pandang lagi ke sisi wajah Ziyaad yang sedang memacu steering.  Mencuri pandang pada lelaki yang menzahirkan kerisauan terhadap dirinya sedangkan dia belum lagi memberi apa-apa jawapan yang pasti kepada lelaki itu.    Hatinya kini betul-betul tersentuh dengan sikap Ziyaad terhadap dirinya.  Bagai jauh panggang dari api jika dibandingkan dengan Rayyan.  Terus ingatannya menerjah pada Rayyan.  Kalau tidak disebabkan menunggu Rayyan yang tidak kunjung tiba, sudah tentu semua ini tidak terjadi.  Hatinya jadi sakit kembali bila mengenangkan sikap Rayyan yang langsung tidak mengambil berat terhadap dirinya.  Airmatanya bertambah deras.  Antara sakitnya lengan yang ditoreh dengan sakitnya hati menunggu Rayyan yang lupa pada janji.  Airmatanya tumpah lagi.

“Sakit ye wak?  Sabar ye, dah nak sampai ni.”  Ziyaad kaget bila dia mula menyedari tangisan gadis itu semakin lebat.  Sesekali badan Airis turut ikut terhincut dengan tangisannya yang tidak berhenti sejak tadi.  Terasa ingin disentuh kepala Airis, menyapu lembut rambut gadis itu, menyuruhnya supaya bertenang.  Tapi, dimatikan hasratnya.

Sebaik kereta sampai di perkarangan hospital, Ziyaad pantas keluar dari keretanya dan menuju ke kaunter hadapan hospital, menemui petugas yang mundar mandir di situ.  Di balik tingkap kereta yang tertutup itu, Airis memandang lagi pada lelaki itu.  Membayangkan juga sekiranya yang dilihat di depan matanya itu adalah Rayyan.  Membayangkan Rayyan yang memimpin dirinya tadi.  Membayangkan Rayyan yang membalut luka di lengannya menggunakan baju yang sedang dipakai.  Tapi hakikatnya, Rayyan sendiri tidak muncul seperti dijanjikan.  Airis tahu, Rayyan pasti bersama Jasmin.  Berkali-kali dia menidakkannya, tapi dia tahu.  Hatinya betul-betul yakin suaminya itu pasti sedang bersama Jasmin.








Nota Selit :  Sorry lambat post bab 18! Dari minggu lepas AA ngan anak AA bergilir-gilir demam.  N to make it even worst, minggu ni pun AA demam lagi..Arini baru rase ok sikit walaupun bile bangun jek rase mcm melayang-layang gitu...n tekak pulak perit, kat leher pun ade seketul bijik angin...Doakan kami sihat sejahtera ye sayang semua..AA dari minggu lepas stuck kt bab 20..doakan cepat-cepat AA dapat siapkan manuskrip SKDC ye sayang semua!


Bab 18 ni memang pendek, sebab ade unsur saspen di situ, so AA tak mo campur ngan plot lain...Enjoy reading ye!  Jangan lupe ye, 7 bab jek lagi...

8 comments:

Unknown said...

kesian airis kenapa jahat sangat rayyan nasib baik ada ziyaad...lagi kalau airis dng ziyaad.

Anonymous said...

betul kesian airis...airis dgn ziyaad bolih tak...please...lagi pun rayyan tak serius dgn perkahwinannya...tak bertanggungjawab

~kak min~

Unknown said...

pendeknya n3 kali ni....nk lg....cian kat airis....

Unknown said...

ala pendeknya n3 kali ni....cpt2 smbg tau...cian kat airis...

Fatini Zulghafar said...

oh myyy Ziyaad sangat charming! Rayyan jahat, tinggalkan Airis! nasib baik ada Ziyaad. Agak-agaknya bila la Rayyan dengan Ziyaad boleh jumpa empat mata terus. baru kena buku dengan ruas.

Anonymous said...

Assalam t0 writer...

Ep ni hny 1 pl0t saje, but stil menarik then kerana feel demam still ar0und then timbul idea airis in misery jugak? Huhuhu... tp xpe, maseh m00d yg b0le dikatakan suspended... Huhu...

Anyway as usual... Gud luck t0 writer n xsbr nk tgu penuh versi0n...

Fr0m: IJA

intan abd wahab said...

sangat mengharapkan cerita ni tiada unsur kawin tanpa rela tapi akhirnya menerima antra satu sama lain..biarlah rayyan dgn egonya... temukan airis dgn kbhgian yg sbnar...
mnyayangi org yg mncintai kita lbh baik dr mnerima org yg sering mnhgina kita...

AINULRIDA HUSNI said...

Saya setuju dengan Intan. Biar la Rayyan lepaskan Airis sebab kahwin paksa then rela dah selalu sgt ada