Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday 21 October 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 20











“Semua bil dah dibayar atas nama Ziyaad Zikri Zamil Zikri.  There is no outstanding bill, sir.”  Ucap kakitangan hospital di hadapan kaunter itu lembut sambil tersenyum.  Rayyan mengerutkan keningnya.  Ziyaad lagi! Rayyan memekik di dalam hati.  Terasa marah bila Ziyaad seolah-olah lebih prihatin mengenai Airis berbanding dirinya.  Segala-gala perihal Airis seolah-olah berada dalam genggaman Ziyaad.  Dari menjadi hero penyelamat saat Airis diragut, membawa Airis ke hospital, menyeka airmata isterinya, meminta pertolongan ‘orang dalam’ untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan beg tangan milik Airis yang diragut, sehinggalah kepada membayar segala bil hospital.  Rayyan tiba-tiba terasa marah, tapi tidak tahu ingin melepaskan kemarahannya kepada siapa.  Dia menoleh ke arah Airis yang duduk di bangku menunggu.  Gadis itu membalas pandangannya tapi terkebil-kebil tidak mengerti maksud renungan Rayyan.  Malas hendak memanjangkan cerita, cepat-cepat dia memaut lengan Airis, memimpin sehingga ke pintu keluar hospital.

“Aku boleh jalan sendiri.”  Airis menarik lengannya dari pegangan Rayyan.  Tidak selesa dipaut sebegitu dan terasa janggal bila melihat ada mata yang memandang perlakuan mereka sedangkan mereka suami isteri hakikatnya.

Arif dengan perangai Airis, Rayyan membiarkan saja perlakuan Airis.  Dia menekan alarm keretanya lantas kunci pintu kereta terbuka.  Dia kemudian membuka bonet keretanya, meletakkan beg pakaiannya dan Airis.  Selepas itu dia masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Perlahan-lahan keretanya menyusur keluar dari perkarangan hospital.

Rayyan menjeling isterinya sekilas.  Dari tadi dia menyedari gadis itu berkepit dengan telefon bimbitnya dan sekeping kad berwarna biru gelap.  Tangan Airis ligat menaip sesuatu dan matanya begitu gatal untuk mengetahui apa yang ditaip Airis tapi dikawal perbuatannya bimbang dijerkah Airis.

Assalamualaikum Ziyaad.  Saya dah keluar hospital ni. ~Airis~ Butang send pada telefon bimbitnya ditekan.
 
 Waalaikumussalam awak. Alhamdulilah.  Saya baru ingat nak datang jenguk awak tengahari nanti. Ada sesiapa yang hantar awak balik rumah kan?  Telefon bimbitnya berbunyi beberapa minit kemudian menandakan pesanan ringkas masuk. 

Rayyan ada ni.  Kami on the way balik ke rumah.  Jangan risau ye?  Butang send ditekan sekali lagi.

Ok. Jaga kesihatan.  Jangan lupa makan ubat dan jangan lupakan saya tau! Lagi sekali telefon bimbit Airis bergema.  Airis mengukir senyum saat ayat terakhir dari Ziyaad itu dibaca.  Dia melepaskan keluhan panjang.  Tidak tahu ayat apa ingin dibalas pada Ziyaad ketika itu.  Dia mengalihkan pandangan matanya ke arah jalan.  Terbayang imej Ziyaad di ruang fikirannya.  Lelaki itu baik.  Terlalu baik sebenarnya.  Terimbas kembali kejadian ragut tempohari.  Riak wajah Ziyaad ketika itu begitu cemas dan risaukan dirinya.  Dan apa yang membuat dirinya betul-betul tersentuh adalah di saat lelaki itu spontan menanggalkan baju yang melekat di badan lantas melilitkan ke lengannya. 

Airis memejamkan pula matanya.  Kali ini imej Rayyan pula menari-nari dalam ruang fikiran.  Lelaki itu bukanlah tidak baik langsung.  Dia tahu suaminya itu baik.  Cuma cara Rayyan menzahirkan kebaikan dan layanan kepada dirinya sedikit kasar dan tidak kena pada tempatnya.  Kalau dilihat pada sikap Rayyan semata-mata, tidaklah terlalu besar masalah hubungannya dengan Rayyan sebenarnya.  Tapi, yang menjadi masalah utama ketika ini ialah, Rayyan menyintai Jasmin, bukan dirinya. 

“Kita makan dulu, aku lapar.”  Rayyan mematikan enjin keretanya.  Dia membuka pintu kereta dan menonong keluar tanpa menunggu Airis yang masih terkebil-kebil.  Kalau diikutkan hati Airis, dia mahu saja pulang ke rumah merehatkan badan.  Apatah lagi dengan keadaan lengannya yang berbalut seperti itu, pasti semua mata akan memberi pandangan pelik kepadanya.  Lambat-lambat dia keluar dari perut kereta.  Tidak menjangka sebenarnya Rayyan akan berhenti untuk mengisi perut sebelum pulang ke rumah.

“Aku dah pesan mushroom soup untuk kau.  Itu jek soft food yang ada kat sini.”  Rayyan bersuara sebaik saja Airis melabuhkan duduk bertentangan dengannya.  Terjengah-jengah dia sewaktu melangkah kaki masuk ke dalam restoran itu mencari kelibat Rayyan yang sudah pun duduk di satu sudut yang agak tersorok.  Dan tepat seperti jangkaannya, semua mata memandang ke arahnya.  Memberi pandangan pelik pada balutan di lengannya.  Airis mengambil sudu, perlahan-lahan dia mengacau isi di dalam mangkuk dihadapannya itu.  Dia menjeling sekilas pula ke pinggan Rayyan.  Lelaki itu memesan sepinggan sphagetti alfredo bersama ketulan-ketulan udang berceracak di atasnya. 

 “Lunch hari ni, sebagai ganti lunch semalam.”  Rayyan menunduk. Tidak berani menatap mata Airis yang bertentangan dengannya.  Dia sedar kesilapannya semalam, dan hari ini dia cuba menebusnya kembali.  Airis dilihatnya masih menunduk, memandang pada bubur sup cendawan yang dikacaunya perlahan-lahan.  Langsung tidak memberikan apa-apa reaksi kepadanya.

“Sedap ke tu?  Mintak sikit.”  Spontan Rayyan menyuakan sudunya ke dalam mangkuk Airis lalu menyuap sup cendawan itu ke dalam mulutnya.  Darah Airis mula menyirap ke kepala.  Terasa Rayyan besar kecil di depan matanya.

“Kau ni macam takde buat apa-apa salah kat aku kan?”  Airis meletakkan sudunya pada piring yang terletak bersebelahan mangkuk supnya.  Memerhati Rayyan yang tiba-tiba terhenti suapannya.

“Ni, tak nampak ni?  Kan aku dah ajak kau makan ni.  Ni kira tebus balik salah aku lah ni.” 

“Susah ke nak cakap mintak maaf?”  Rayyan tersentak, terasa getaran suara Airis yang menahan marah.

“Ala, kau keluar dengan lelaki lain pun takde mintak maaf dengan aku kot?”  Rayyan buat muka selamba.  Sengaja menyakitkan hati Airis. 

“Nasib baik dia ada.  Nak harapkan kau, sampai kiamat pun belum tentu ada.”  Airis mengukir senyum sumbing.  Dia tahu hatinya sakit dengan jawapan Rayyan, tapi sengaja mengapikan lagi keadaan.

“Oh..maknanya sekarang ni dia lagi penting lah dalam hidup kau?”

“Mungkin sama pentingnya Jasmin dalam hidup kau kot?”  Airis menyindir lagi.

“Jangan babitkan Jasmin dalam hal ni lah.”  Rayyan bersuara sedikit keras.  Dia mengawal intonasi suaranya bimbang menarik perhatian pengunjung restoran yang lain.

“Kalau macam tu jangan babitkan Ziyaad dalam hal ni.  Aku cuma nak dengar kau mintak maaf sebab tak datang kat Blue Wave semalam sampai aku kena ragut dan kita sama-sama bermalam kat hospital.  Susah sangat ke? Kalau susah sangat, kenapa semalam berkali-kali aku call, kau tak reti nak angkat?  Kalau kau jawab call aku, kau cakap yang kau tak boleh nak lunch dengan aku sebab kena teman Kak Min, awal-awal lagi aku dah balik.  Tak payah aku nak tercongok kat situ macam orang gila!”  Airis menjongkitkan keningnya, melawan renungan mata Rayyan yang tajam.

“Ye lah aku mintak maaf.  Puas hati?”  Rayyan menjegilkan matanya.  Dia tahu dia bersalah dalam hal itu, tapi entah mengapa lidahnya begitu berat untuk mengungkapkan kata-kata maaf kepada Airis. 

“Hmmm..boleh lah.  Kalau diukur level keikhlasan kau tu, aku bagi 2/10 jek lah.  Terpaksa mintak maaf.  Macam budak-budak.”  Airis menjeling Rayyan.  Geram dengan sikap Rayyan. Tapi sekurang-kurangnya dia berpuas hati dapat mendengar ungkapan maaf dari mulut lelaki itu.

“Untung aku nak mintak maaf tau.  Kalau ikutkan tak ingin aku nak mintak maaf.”  Rayyan menunduk, dia memusing-musingkan garfunya, membelitkan spageti sebelum menyuapkannya ke mulut.

“Aku patut cakap kat Ziyaad, biarkan jek aku kejar peragut hari tu.  Biar aku mati pun takpe dari aku sakit hati menagih maaf dari kau sedangkan sebab tunggu kau lah aku jadi macam ni.”  Airis mengendurkan suaranya.  Sedikit terusik dengan ego Rayyan.  Dia tahu dia bukan Jasmin, wanita yang Rayyan cintai. Tapi dia juga manusia biasa yang tentunya ingin mendengar permohonan maaf dari seseorang yang melakukan kesilapan.  Apatah lagi sehingga mengheret dia kepada malapetaka sebegini.

“Ziyaad sukakan kau kan?”  Lambat-lambat ayat itu dituturkan Rayyan.  Dia takut sebenarnya untuk mendengar jawapan dari mulut Airis.  Dan lebih mendebarkan hati jika matanya memandang wajah Airis mengangguk, mengiyakan pertanyaannya.

“Kalau dia sukakan aku, kenapa?”  Airis tidak menjawab soalan Rayyan, sebaliknya ingin tahu reaksi lelaki itu.

“Tak kisah.”  Pranggg! Terasa hati Airis jatuh terhempas berkecai menjadi keping-keping ke lantai saat mendengar jawapan Rayyan.  Walaupun dia sebenarnya dapat mengagak jawapan Rayyan dari awal lagi, entah mengapa luluh hatinya bila mendengar sendiri jawapan itu dari mulut Rayyan.

“Kan kita dah pernah janji dulu, kau dengan urusan kau, aku dengan urusan aku.  Kita dah janji tak nak masuk campur dalam urusan masing-masing kan?  Lagi pun kau pun tahu kan aku sukakan Jasmin.  Jadi kenapa aku mesti kisah kalau Ziyaad sukakan kau?”  Rayyan menyucuk udang terakhir di atas pinggannya lantas menyuapkan ke dalam mulut.  Matanya memandang Airis yang sedang menghirup minuman.

“Sampai bila lah kita nak macam ni kan?  Kau dengan Kak Min, aku pulak dengan Ziyaad.  Rasa macam keputusan kita untuk berkahwin ni satu kesilapan.  Kita tak patut kahwin pun dari awal hari tu kan?”  Airis menunduk.  Mangkuk supnya sudah ditolaknya ke tengah meja, tanda tidak berminat lagi untuk menghabiskannya.  Dia merasakan permasalahan hubungannya bersama Rayyan bertambah rumit sekarang ini.

“Bagi aku tempoh lagi.  Kita kan baru kahwin, kalau jadi apa-apa pada hubungan kita, mengamuk Papa pada aku nanti.”  Cepat-cepat Rayyan memintas kata-kata Airis.  Walau dia merasakan ada kebenarannya kata-kata Airis, tapi demi kepentingannya dan mengejar cinta Jasmin, dia perlu bersikap tidak terburu-buru.  Apatah lagi bila dia pasti, Ziyaad menyukai isterinya itu. 

“Dah jom balik.  Karang bising Mama dengan Papa kita tak sampai-sampai rumah.” Airis mengangguk mendengar kata-kata Rayyan.  Cepat-cepat dia menghirup airnya yang masih lagi tinggal sedikit bersisa.  Datang seorang pelayan membawa resit ke arah mereka berdua dan kemudian datang semula membawa pula duit baki bayaran Rayyan tadi.  Setelah selesai segala urusan, mereka sama-sama bangun dan meninggalkan restoran.







Zara meniti anak tangga ke tingkat dua rumah banglo itu perlahan-lahan.  Ini lah pertama kali dalam hidupnya menjejakkan kaki ke dalam banglo mewah milik Dato’ Harun dan DatinMarissa.  Itupun kerana Dalili yang mengajaknya ikut serta melawat Airis yang sudah pun keluar dari wad tengahari tadi.  Sedang asyik dia meninjau-ninjau di sekitar banglo itu tadi, dia dihampiri Rania yang memang dikenalinya.

“Kak Airis nak jumpa Kak Zara kat atas.  Kat dalam bilik dia.  Bilik no 3, belah kanan.”  Rania menyengih.  Gembira melihat kedatangan Zara dan gembira bila mengetahui rahsia Airis dan Rayyan bakal terbongkar sekejapan lagi.

Zara sekadar mengangguk.  Sangkanya keadaan Airis yang tercedera menyebabkan gadis itu mempelawanya ke bilik.  Lagi pun sudah hampir dua hari tidak bertemu dengan Airis, dia merindui kawan berguraunya itu.  Pantas dia meniti tangga ke tingkat atas dan terus menuju ke bilik yang ketiga.  Terbeliak matanya saat melihat Airis yang baru saja keluar dari bilik air berkemban tuala berwarna oren separas peha dengan rambutnya basah melekap sehingga ke belakang pinggang.

“Zara!”  Airis ikut sama menbeliakkan matanya.  Terkejut melihat Zara yang tiba-tiba tercegat di depan pintunya yang menganga luas.  Pastinya Rayyan yang masuk tadi tanpa menutupnya kembali.  Dia mengalihkan pandang pula pada Rayyan yang bangun dan menggeliatkan badannya di atas katil.  Suaminya itu pula togel, langsung tidak mengenakan sebarang pakaian pada badannya dan pehanya juga cuma berbalut sehelai tuala.

Zara yang turut menoleh ke arah Rayyan yang terbaring di atas katil ikut terkejut.  Berkali-kali dia memejam celikkan matanya.  Terasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.  Airis dengan berkemban, dan Rayyan pula cuma melilit tuala di pinggang, terbongkang di tengah katil tanpa berbaju.  Apa yang mereka buat dalam keadaan sebegitu?  Adakah status sebagai sepupu terus menghalalkan batas aurat mereka?  Dan adakah kerana status itu juga membolehkan mereka duduk sebilik sebegini bebas?  Zara jadi keliru dan tiba-tiba mulutnya jadi kelu walaupun begitu banyak persoalan mengasak mindanya ketika itu.  Darah panasnya yang menyerbu ke kepala buat dia sakit hati.  Sakit hati kerana tidak menyangka perangai sebenar sahabat baiknya itu jauh tersasar dari yang ditonjolkan kepadanya sebelum ini.  Apakah dia bodoh sehingga tidak dapat mengagak apa yang mereka sedang lakukan sebelum dia menjengah bilik itu tadi?  Dia tidak menunggu lama, pantas dia membuka langkah, menuruni tangga, tidak menghiraukan lagi jeritan Airis yang memanggilnya dari tadi.

“Zara dari mana?”  Senyuman Datin Marissa dipandangnya sekilas.  Dia memerhati Datin Marissa yang sedang menuang teh panas ke dalam setiap cawan.  Di hadapannya terbentang sepinggan scones panas bersama sebotol jem strawberi.  Bau harum mentega menyucuk-nyucuk rongga hidungnya.

“Dari toilet, Aunty.”  Cepat-cepat Zara menjawab bila mata Datin Marissa dan Dalili memfokuskan ke wajahnya menanti jawapan. Dia menarik kerusi, terus melabuhkan duduknya.

“Termengah-mengah awak ni Zara, berlari dari toilet ke?”  Terburai tawa Dalili.  Dia perasan Zara tampak tergesa-gesa.  Seolah-olah berlari dari satu tempat menuju ke arah mereka. Zara hanya mengukir senyum, dia mencapai teh yang terhidang lantas menghirupnya perlahan-lahan.  Mereka sama-sama menghabiskan masa bersembang dengan juadah yang disediakan sambil menunggu Airis.  Selang beberapa minit kemudian, Airis turun menghampiri mereka.

Sorry lambat sikit.  Airis tengah bersiap tadi.”  Airis mengukir senyum.  Dipandang pada Zara.  Gadis itu menundukkan wajah, enggan bertentang mata dengannya. 

“Eh, teruk jugak ye Ris.  Kak Lili ingat sikit jek.”  Dalili membelek lengan Airis yang berbalut.  Luka dan lebam di hujung bibir Airis juga di perhatikannya.  Tidak menyangka kecederaan Airis sebegitu teruk.

“Ala, takde apa lah ni Kak Lili.  Sikit jek.”  Airis melabuhkan duduknya bersebelahan Zara.  Gadis itu seperti tadi, enggan menoleh ke arahnya.  Membatukan diri dengan menghirup teh.

“Sikit apa nya Lili kalau dah macam tu?  Tu pun nasib baik ada kawan dia kat situ.  Kalau tak, tak tahu lah apa jadi.” Cepat-cepat Datin Marissa mencelah.  Dirasakan anak menantunya itu bersikap acuh tak acuh dengan kecederaan seriusnya.

“Mama tu risau sangat.  Airis ok jek ni kan?  Boleh jek ni kalau nak masak, Mama nak makan apa?  Cepat Airis masakkan sekarang.” 

“Haa..kau tengok budak ni Lili?  Memang tau, ish! Ish!”  Datin Marissa melayangkan tapak tangannya, menepuk lembut bahu Airis.  Geram dengan sikap Airis, sedangkan seisi keluarga risaukan keadaannya.  Dalili yang menyaksikannya ikut sama tergelak. 

“Eh, jom masuk dalam.  Hari tu akak mengait tak siap lagi.  Lili nak tengok tak?”  Datin Marissa menggamit lengan Dalili.  Dalili mengangguk, dia bangun menurut langkah Datin Marissa yang ingin masuk ke dalam rumah.  Perkenalan hampir lima tahun antara dia dan Datin Marissa buat dia cukup arif dengan hobi dan minat sahabatnya itu.  Walaupun perbezaan umur hampir 15 tahun di antara mereka berdua, Dalili senang dengan sikap Datin Marissa yang sentiasa merendah diri.  Dirinya juga sudah dianggap seperti adik Datin Marissa sendiri walaupun dia selalunya segan dan masih memanggil Datin Marissa dengan gelaran ‘Datin’.  Berkali-kali dilarang Datin Marissa, diingatkan supaya tidak memanggil gelaran Datin kepada dirinya pun, sesekali terkeluar juga perkataan itu dari mulut Dalili.

“Biar budak-budak ni kat sini.  Korang borak-borak dulu, nanti Mak Intan dah siap masak lauk, Mama panggil.”  Airis mengangguk.  Dadanya berdebar.  Takut untuk menjelaskan duduk sebenar perkara yang terjadi tadi kepada Zara.  Dia tahu Zara pasti sedang marahkan dirinya.

“Aku tak sangka kau macam ni Ris.  Aku betul-betul tak sangka!”  Zara tiba-tiba bersuara sebaik Datin Marissa dan Dalili masuk ke dalam rumah.  Airis meneguk liur.  Dia menarik nafas panjang, bersedia untuk memberi penjelasan pada sahabat baiknya itu.

“Apa yang kau nampak tak seperti yang kau bayangkan Zara.” 

“Maksud kau?  Kau sebenarnya apa ha dengan Rayyan?  Kenapa dia dan kau boleh ada dalam satu bilik dengan keadaan macam tu?”   Zara sedikit menengking.  Marah bila mengenangkan kembali apa yang dilihatnya tadi.

“Aku....Dia..Sebenarnya...” Airis mati kata-kata.  Dia meneguk liur.

“Kami dah kahwin, dekat sebulan dah.”  Rayyan tiba-tiba mencelah.  Buntang mata Airis mendengarnya.  Cepat-cepat dia menoleh ke arah suara Rayyan yang berdiri tercegat di belakang mereka.  Kedua-dua tangan lelaki itu dimasukkan ke celah poketnya.  Zara terkebil-kebil.  Rasa tidak percaya dengan ayat yang meniti keluar dari bibir Rayyan.

“Kami bukan sepupu.  Kami suami isteri.  Sebab tu yang kau nampak tadi tu, keadaan kami macam tu.  Kami memang suami isteri.”  Rayyan duduk bertentangan dengan Airis dan Zara kini.  Tadi sewaktu dia melelapkan matanya seketika sewaktu menunggu Airis siap mandi, tiba-tiba telinganya mendengar teriakan Airis memanggil Zara.  Wajah Airis keruh, mungkin terkejut dengan kehadiran Zara yang langsung tidak dijangka.  Dan sebagai lelaki, dia seharusnya tampil menjelaskan keadaan.  Atau sekurang-kurangnya, membersihkan namanya dan Airis dari disangka membuat yang bukan-bukan.

“Korang dah kahwin?”  Zara membeliakkan matanya bila Rayyan nampak bersungguh menjelaskan tentang status mereka.  Keningnya saling bertaut rapat.  Airis yang juga tampak terkejut dengan pengakuan Rayyan.  Tidak menyangka Rayyan ingin turut sama dengannya memberikan penjelasan kepada Zara.

“Kalau dah kahwin, kenapa tak terus terang dengan kami semua sebelum ni?  Kenapa mesti rahsiakan dan berpura-pura korang ni sepupu? Dan yang paling aku tak faham, kenapa sampai Datin Marissa pun ikut sama berkomplot tipu kami semua?”  Zara memekik lagi.  Dia marah dengan Airis yang selama ini berahsia dengan status sebenarnya.  Dan lebih menyakitkan hati, dia langsung tidak dapat menghidu penipuan mereka berdua selama ini.  Lakonan mereka berdua ternyata berjaya!

“Perkahwinan ni dibuat tanpa kerelaan kami.  Dan sebagai syarat, aku nak perkahwinan ni dirahsiakan dari sesiapa pun.  Sebab tu Mama pun terpaksa berlakon sekali.”  Rayyan menghela nafas panjang.  Masih keliru sebenarnya, adakah dia membuat keputusan yang tepat dengan mendedahkan perkara sebenar kepada Zara.

“Aku tak faham apa yang korang fikir.  Kalau dah tak suka, tak saling menyintai, kenapa mesti akhiri dengan perkahwinan?  Apa yang korang dapat dengan buat macam ni? Tak suka, tapi kahwin.  Lepas tu tak nak semua orang tahu. Aku betul-betul tak faham.”  Zara mengerutkan dahinya.  Wajah Rayyan dan Airis dipandangnya silih berganti seolah ingin ditelan.

“Kau tahu kan aku sukakan Jasmin?”  Rayyan membalas pandangan Zara. Lambat-lambat gadis itu mengangguk.

“Tapi Jasmin macam nak tak nak jek dengan aku kan?”  Gadis itu mengangguk lagi.  Dia tahu akan kebenaran itu.  Sejak dia bekerja di butik Jazzy Collection tiga tahun lepas lagi dia tahu Rayyan memang tergila-gilakan Jasmin.  Setiap masa, bila saja Jasmin memerlukan Rayyan, di situ lah Rayyan akan setia terpacak.  Tapi majikannya itu seolah-olah tidak berminat dengan Rayyan, lebih kepada membuli Rayyan dengan mengarah itu ini, mengusung Rayyan ke tempat-tempat yang diingininya.  Jasmin dilihat sebagai seorang yang mengejar cita-citanya, dan menganggap cinta Rayyan tidak sepenting kerjayanya.  Cuma Rayyan yang bodoh menjadi hamba kepada Jasmin tanpa dia sedari.

“Kau rasa kalau dia tahu aku dah kahwin ni, dia masih nak dekat aku ke?”  Rayyan menyoal Zara lagi.  Kali ini gadis itu diam, mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

‘Kalau kau belum kahwin sekali pun, Jasmin tu nak ke kat kau?  Kesian Airis!’ Hati Zara mula sebal.  Simpatinya mula meruap kepada Airis.  Tidak disangka perkahwinan Airis menjadi serumit ini.  Hati isteri manalah yang tidak bergoncang saat suaminya menyintai wanita lain?  Dan lebih parah, status perkahwinan pula harus dirahsiakan dari pengetahuan orang lain semata-mata menjaga hati kekasih suami sendiri.  Gila, memang gila!

“Aku nak kau rahsiakan perkara ni dari Jasmin.  Even Kak Lili sendiri pun Mama aku tak pernah cerita.  Sebab kau dah nampak kami dalam bilik tadi, aku rasa aku perlu jelaskan semuanya pada kau.  Dan aku dengan Airis takde buat apa-apa, aku tunggu dia siap mandi sebab tu aku pakai towel jek.”  Zara terkebil-kebil lagi.  Sesekali dia menoleh sekilas pada Airis yang nampak bersahaja.

“Boleh kan?”  Rayyan menyoal lagi.  Tidak puas hati melihat Zara mendiamkan diri dari tadi.

“Ye lah.  Boleh.  Pelik-pelik lah korang ni.”  Zara mencebik bibirnya.  Airis kehilangan kata-kata.  Dari tadi dia cuma mendengar penjelasan Rayyan.  Sejujurnya, dia rasa terusik bila mengetahui hakikat perasaan sebenar Rayyan terhadap Jasmin dengan mata kepalanya sendiri.  Sungguh, terasa martabat seorang isteri yang dipegangnya jatuh berkecai dihempas cinta suami sendiri kepada perempuan lain.

“Lain kali kalau nak rahsiakan sangat, tak payah lah nak ajak aku naik bilik korang.  Kalau aku tak nampak korang dalam bilik tadi, tak payah nak susah-susah explain semua ni kan?”  Zara menjegilkan matanya.  Kalau dia tidak naik ke tingkat atas tadi, tentu rahsia mereka tidak terbongkar.

“Eh, aku takde pun suruh kau naik atas.  Siapa yang suruh?”  Airis cepat-cepat mencelah.  Sebaik sampai ke rumah setelah mereka menjamu selera di restoran tadi, dia dan Rayyan terus saja menuju ke bilik mereka dan dia masuk ke bilik air membersihkan dirinya.  Usai mandi, dia ternampak Zara yang tercegat di hadapan pintu bilik tidurnya yang terbuka luas.  Terus, keadaan menjadi bercelaru selepas itu.

“Tadi Rania cakap kau nak jumpa aku dalam bilik kat tingkat atas. Dia siap cakap lagi, bilik no 3.  Sampai-sampai jek terus aku tengok adegan 18sx gitu.”  Zara tersengih.  Airis dan Rayyan sama-sama ikut tersipu malu.

“Rania yang suruh kau naik atas?”  Rayyan menyoal lagi.  Zara sekadar mengangguk.  Mengiyakan pertanyaan Rayyan.

“Rania ni kenapa? Pandai-pandai suruh orang naik atas!”  Suara Rayyan sedikit meninggi.  Dia ternyata nampak marah bila mengetahui Rania menipu Zara sehinggakan gadis itu betul-betul menyangka Airis mengajaknya masuk ke dalam bilik.


Airis menggelengkan kepalanya.  Walaupun tidak menjangka Ranialah yang mengatur rancangan mendedahkan rahsia hubungan dia dan Rayyan tapi dia tahu gadis itu ternyata begitu bencikan dirinya.  Begitu benci, sehingga sanggup menipu.  Dan Airis tahu, adik iparnya itu seolah-olah ingin menghancurkan hubungannya bersama Rayyan.  Membayangkan Rania, secara tiba-tiba mengingatkan dirinya dengan Syafinaz.  Dan sekarang, dia ternyata mempunyai musuh baru di dalam keluarga.









Nota Selit : Enjoy reading ye sayang semua! Tinggal 5 bab lagi tau!

3 comments:

ida said...

Nice n3! So nampaknya En. Rayyan masih blur lagi pasal perasaan dia pada Airis. Pls wake up Rayyan...jodoh yg terbaik dah ada depan mata, pls appreciate your wife.. Kalau dah kena kebas esok2, baru haru biru hidup awak nanti! Just forget about Jasmin ok..

Anonymous said...

Assalam to writer...

emmm still hati berdegup2 membace.. hahaha... nice this ep. bile seorang suami or lelaki tercabar kerana seorang lelaki... wow...

mmg sangat luluh dengar bile husband jawab cam 2... adeh2... uhuhuh.. nmpak x emo.. hope xade adegan musuh gaduh2 yg cliche antara lelaki n lelaki... haha... biar nmpak perbalahan dalam gaya yg matang... n penyelesaian masalah yang matang jugak antara Airis n Rayyan n Ziyaad n Jasmin...

(buat macam cite ni aku jek directornye.. hahaha.. xpe kakak writer abaikan mane yg xpenting ye, just bg pendapat.. akkakakakaka)

anyway gud luck to writer.. lg 5 ep ye.. huhuhu... hope puan writer dapat gagahkan diri, dapat cari masa supaya dapat create scene yg best n mencabar emo.. hahaha... n dapat publish 2 yg pasti... gud luck to writer...

from: IJA

Anonymous said...

AA, dah takde update ke? However nice story... 😉😉