Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday 14 October 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 19










Sreeettt!! Berdecit tayar kereta Rayyan saat kakinya mencengkam kuat pedal brek di kawasan parkir  Hospital Pakar Utama.  Dia betul-betul terkejut saat menerima panggilan dari Jasmin sebentar tadi.  Dari berita yang disampaikan oleh Dalili, Airis ditahan di wad sekarang ini.  Ditimpa kemalangan.  Dadanya berdebar-debar.  Adakah Airis kemalangan sewaktu pulang selepas menunggu dirinya di Blue Wave seperti yang dijanjikannya pagi tadi?  Atau mungkin Airis kemalangan sewaktu dalam perjalanan pergi ke Blue Wave? Dan apa pula yang melanggar Airis?  Ahhh..dia menjerit di dalam hati. 

Rayyan meraup wajahnya berkali-kali.  Terasa kesal memungkiri janjinya untuk bertemu Airis di Blue Wave tengahari tadi.  Panggilan telefon dari Airis juga tidak diendahkannya.  Bimbang menjadi mangsa amukan Airis kerana tidak menepati janji. Bila mendapat tahu Airis ditimpa kemalangan sebegini, dia menyumpah dirinya sendiri di dalam hati.

“Ray, temankan I nanti boleh?  You tolong I pilihkan hadiah untuk birthday party Alvin Ahad ni.  He invite you too, right?  Kita pergi lunch hour nanti, boleh kan?”  Rayyan tersentak.  Suara Jasmin di hujung talian terasa di awang-awangan. Fikirannya mula teringatkan janjinya pada Airis pagi tadi.  Dia serba salah.  Selama ini, segala kehendak Jasmin belum pernah diingkari.  Tapi dia sudah terlebih dahulu membuat janji kepada Airis.

“Hello, Ray?  You dengar tak apa I cakap ni?  Ray!”  Jasmin sedikit memekik.  Dari tadi Rayyan diam tak bersuara di hujung talian.

“Okey.  I’ll fetch you later.”  Talian telefon dimatikan.  Rayyan mendengus nafasnya kasar.  Dia meraup mukanya lagi.  Terngiang-ngiang lagi perbualan telefonnya tepat pukul 12 tengahari tadi bersama Jasmin. Dia tahu sekiranya dia tidak menemani Jasmin waktu rehat tengahari tadi, tentu Airis tidak ditimpa kemalangan. 

Rayyan berjalan menghampiri pintu masuk hospital dan menuju terus ke kaunter pendaftaran.  Setelah segala butiran diperolehi dari kakitangan bertugas, dia mengatur langkah.  Matanya melingas pada setiap papan tanda bernombor yang dilekatkan di atas muka pintu wad.  Tercari-cari lagi wad yang menempatkan Airis sehinggalah akhirnya kakinya terpaku di hadapan pintu yang terlekat dengan papan tanda tertera nombor yang diberikan oleh kakitangan hospital sebentar tadi.  Dari cermin bersaiz sebesar wajahnya yang terletak di hadapan pintu, Rayyan dapat melihat dengan jelas susuk tubuh Ziyaad yang duduk di sisi Airis.  Rayyan mematikan dirinya.  Tekun memerhati setiap tingkah laku Ziyaad.

Ziyaad menghembus nafasnya panjang.  Dia memerhati setiap sudut wajah Airis yang sedang nyenyak tidur.  Timbul simpati pada gadis itu saat matanya tertancap pada luka di bibir Airis yang pecah.  Diperhatikan pula ke tangan Airis yang sudah pun berbalut.  Terasa ingin digapai dan dibelai tangan itu ke dadanya.  Tapi, dia hanya membiarkan hasratnya.  Dia meraup wajahnya dan melepaskan keluhan nafasnya kasar.

Ziyaad tiba-tiba tersentak.  Dikerutkan dahinya.  Merenung kembali tepat-tepat ke arah mata Airis yang tertutup.  Airmata! Ya, gadis itu menangis dalam lenanya.  Ya Allah, entah apa lah yang ada dalam fikiran Airis ketika ini.  Dia jadi tertanya-tanya.  Walau dia tahu Airis dalam kesakitan, tak mungkin kerana kesakitan itu menyebabkan Airis mengalirkan airmata.  Pasti ada sesuatu di sebalik semua ini.  Dia sendiri masih ligat berfikir, siapa sebenarnya yang ingin Airis temui.  Ziyaad meraup wajahnya lagi.  Hatinya dipagut sayu bila melihat gadis yang disayanginya itu mengalirkan airmata.  Apatah lagi mengalirkan airmata saat sedang nyenyak beradu.  Ingin saja ditarik Airis dalam dakapannya, biar hilang segala kesedihannya.  Dia bingkas bangun, mengeluarkan sapu tangan dari kocek seluarnya lantas menyapu lembut pipi Airis dari airmata yang mengalir.  Sudah lah sayang, berhentilah menangis.  Matanya ikut berkaca.

Timbul kesalan dalam hatinya kerana tidak mendekati Airis sejak dari awal lagi sebelum dia diragut.  Tepat pukul 1 tadi dia cepat-cepat ke butik untuk mengajak Airis keluar makan tengahari bersamanya.  Selang beberapa langkah sebelum sampai ke muka pintu butik, dia terlihat Airis yang bergegas keluar tapi Airis langsung tidak menyedari kehadirannya ketika itu.   Secepat mungkin dia mengekori Airis, ingin mengetahui hala tuju Airis.  Sebaik dilihat Airis memasuki Blue Wave, dia memesan minuman di sebuah gerai bertentangan Blue Wave, sengaja ingin melihat dengan siapa Airis akan bertemu.

Hampir empat puluh lima minit menunggu, dia bingkas bangun bila melihat Airis bergegas keluar dari Blue Wave.  Sedikit pelik melihat gadis itu yang tidak memesan apa-apa makanan dan tidak bertemu dengan sesiapa pun.  Pada andaiannya mungkin seseorang yang ingin Airis temui tidak berkunjung tiba lantas gadis itu ingin kembali ke butik.  Setelah membayar harga minuman, dia mengatur langkah menuju ke keretanya,  ingin kembali ke pejabat.  Tapi langkahnya terhenti saat terdengar pekikan suara Airis.  Tindakan pantasnya berjaya menghalang Airis dari terus mengejar peragut tadi.  Entah apa yang ada dalam fikiran gadis itu, dia sendiri tidak tahu.  Dia terkejut melihat Airis sebegitu nekad sehingga mengabaikan nyawanya sendiri.  Jika dia tidak ada di tempat kejadian ketika itu, tragedi yang lebih buruk pasti akan menimpa Airis.

Bila teringatkan belahan luka Airis di lengannya tadi, Ziyaad kecut perut.  Sementelah Airis sendiri tidak menyedari kecederaannya, sudah pasti gadis itu juga tidak menyedari yang peragut itu memiliki sebilah pisau.  Seandainya Airis terus mengejar dan peragut itu membawa dia sehingga ke tempat persembunyian atau ke tempat terpencil, nyawa Airis boleh melayang.  Ziyaad menggelengkan kepalanya.  Tidak sanggup membayangkan dirinya bakal kehilangan Airis.  Syukur, dia ada tepat pada masanya.

Airis terpisat-pisat tidak lama kemudian.  Matanya cuba dicelikkan walaupun agak payah.  Kesan dari ubat yang diberikan oleh doktor buat dia mamai seketika.  Matanya tertancap pula pada tiub yang terlekat di atas tangannya yang bersambung pada drip bottle yang tergantung pada satu tiang besi bersebelahan katilnya.  Lengan di sebelah kirinya pula sudah berbalut kemas dengan bandage.  Di sisinya, Ziyaad duduk menggaris sebuah senyuman paling manis.

“Dah lama awak kat sini?”  Airis membalas senyuman Ziyaad.  Tidak menyangka lelaki itu masih setia menemaninya.  Dia menatap sekilas pada baju sejuk kain tebal berwarna biru laut yang melekap di badan Ziyaad.  Tadi sewaktu di dalam kereta, dia memang sedar kewujudan baju sejuk itu.  Dalam keadaan cemas tadi, Ziyaad sempat menyarungkan ke badannya yang cuma bersinglet sebelum berlari ke kaunter hospital.

“Dari tadi.  Saya nak tunggu sampai awak sedar.”  Ziyaad memegang hujung selimut yang membalut kaki Airis.  Ditariknya perlahan sehingga menutup perut Airis.  Bimbang gadis itu kesejukan dengan hembusan udara dari penghawa dingin.  Serentak kedua-dua mereka menoleh saat terdengar pintu bilik wad dikuak dari luar.  Airis membuntangkan matanya.  Terkejut dengan kehadiran Rayyan.  Tertanya-tanya siapa yang memaklumkan mengenai keadaannya kepada lelaki itu.  Dan sebolehnya, dia tidak mahu melihat wajah Rayyan buat masa ini.  Hatinya masih sakit.  Ziyaad bingkas bangun, menghulurkan salam pada lelaki di hadapannya itu.

“Ziyaad.”  Ziyaad bersuara sepatah.

“Rayyan Irsyad.”  Cepat-cepat Rayyan menyambut huluran salam Ziyaad.

“Saya ni...”

“Sepupu saya.”  Airis pantas menjawab sebelum sempat Rayyan menghabiskan kata-katanya.  Tapi langsung tidak dipandang ke wajah Rayyan atau pun Ziyaad. Matanya hanya memandang pada skrin tv yang melekat di dinding.  Wajahnya langsung tidak menggambarkan apa-apa reaksi.  Bersahaja.

Rayyan terpinga-pinga.  Terasa jawapan yang keluar dari mulut Airis terngiang-ngiang dalam fikirannya.  Ingin saja dia menerangkan duduk sebenar status dirinya dengan Airis kepada Ziyaad.  Biar lelaki itu tahu, wanita yang disapu airmatanya sebentar tadi adalah isterinya.

“Oh..you cousin Airis ya? Hmm...don’t worry.  Airis tak apa-apa.  Doktor pun dah jahit luka kat lengan dia tu.”  Ziyaad memuncungkan bibirnya, menunjuk ke arah lengan Airis yang kemas berbalut.  Airis buat-buat tak nampak pada pandangan Rayyan.

Actually, dia accident dengan apa?  Kereta? Lori? Motor?”  Rayyan mengerutkan dahinya.  Melihat pada bibir Airis yang pecah dan pada lengannya yang berbalut.  Airis mengekek ketawa di dalam hati.  Accident?  Aku nampak macam orang baru lepas kena langgar ke?  Airis mengukir senyum, membalas pandangan dari Ziyaad.

“Eh, dia tak accident.  Dia kena ragut kat depan Blue Wave.”  Ziyaad memandang Rayyan yang jelas berubah wajahnya.

“Ha ah.  Blue Wave!”  Sengaja Airis mengulang ayat dari Ziyaad dan menekannya sedikit kuat.   Sakit hatinya mengenangkan peristiwa tengahari tadi yang semestinya boleh dielakkan kalau dia tidak menurut permintaan Rayyan yang ingin keluar makan bersama.  Rayyan terpisat-pisat.  Dia tahu, Airis marah.

“Ragut?  Macam mana sampai boleh kena ragut ni?  Kau melenggang tayang handbag kau kot?”  Rayyan tersenyum sinis.  Dia pula membalas sindiran Airis.

“Ala benda nak jadi.  Kalau kita berhati-hati sekali pun, benda nak jadi, tetap jugak jadi.”  Cepat-cepat Ziyaad memintas cakap Rayyan.  Dari riak wajah Airis yang muram, dia tahu gadis itu marah dengan sepupunya itu.  Dan dia dapat mengagak Rayyan lah yang ditunggu Airis tengahari tadi.

So, apa kata doktor?”  Rayyan merapati Airis.  Melihat kecederaan isterinya itu dengan lebih dekat.  Sedikit tersentak dengan jawapan dari Ziyaad yang ternyata nampak menyebelahi isterinya itu.

“Bibir yang pecah tu tak teruk sangat.  Still boleh makan, tapi soft foods.  Luka kat lengan tu doktor dah jahit, 10 jahitan.  Luka-luka kat tempat lain pun not that serious.  Cuma Airis kena duduk wad untuk satu hari.  Esok baru boleh keluar.  Doktor still nak tengok progress jahitan kat lengan tu.”  Ziyaad menerangkan panjang lebar.  Dia yang dari tadi berdiri di sisi Rayyan, melabuhkan duduknya di sisi kaki Airis yang berlunjur.  Airis tersentak, terasa serba salah dengan tindakan Ziyaad yang tampak mesra dengan dirinya di hadapan Rayyan.  Tapi bukan salah Ziyaad, lelaki itu tidak tahu status hubungannya dengan Rayyan.

“10 jahitan?  Macam mana boleh kena jahit banyak sangat macam tu?”  Rayyan mengerutkan dahinya.  Sepuluh jahitan bermakna luka di lengan Airis agak panjang.

“Masa lelaki tu nak ragut, dia putuskan tali handbag guna pisau.  Mungkin terkena sekali masa tu.”  Airis berkalih duduk.  Perlahan-lahan.

“Lain kali orang ragut tu biarkan jek.  Tak payah nak tunjuk degil kau nak jadi hero.  Berapa juta sangat duit kau dalam handbag tu yang kau nak pertahankan?  Tu mulut kau tu, mesti kena tumbuk kan?  Lain kali jangan melawan lah, bagi jek apa yang dia nak.”  Berdesing telinga Ziyaad saat mendengar ayat yang meluncur keluar dari mulut Rayyan.  Kedengaran kasar di telinganya.  Lelaki itu melayan Airis dengan teruk.  Biarpun mungkin Airis tersilap kerana bersikap cuai, tapi ayat dari mulut Rayyan terlalu kasar.  Airis memandang wajahnya.  Wajah gadis itu mula merona merah.  Malu mungkin diherdik sebegitu di hadapannya.

“Kalau benda tu hak kita, tak salah pun kita bermatian mempertahankannya.  Tak kisah lah berapa sekali pun nilainya.  Hak kita, siapa lagi yang nak pertahankan kalau bukan diri kita kan?”  Ziyaad bersuara lembut.  Dia tidak memandang wajah  Rayyan sebaliknya dia bangun merapati meja di sebelah Airis.  Mencapai secawan jeli yang disediakan oleh jururawat tadi.  Dia membukanya lalu mencacakkan sudu di tengahnya dan menghulurkan kepada Airis.  Airis segera menyambut huluran Ziyaad.  Dia tidaklah terlalu lapar saat itu, tapi melihat lelaki itu begitu prihatin, dia berat hati untuk menolak.  Perlahan-lahan dia membuka mulut, menyuap jeli sejuk penuh hati-hati.  

“Airis! Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni?”  Datin Marissa dan Dato’ Harun tiba-tiba meluru masuk menghampiri Airis di birai katil wad.  Wajah Datin Marissa cukup cemas, apatah lagi bila dilihat keadaan Airis yang berbalut di sana sini.

“Ma, Airis takde apa-apa.  Jangan risau.  Sikit jek ni.”  Airis mengukir senyum.  Dia memaut lengan ibu mertuanya mesra.  Terharu dengan keprihatinan Datin Marissa.

“Eh, Ziyaad.  Kamu kenal Airis?”  Dato’ Harun menghulur salam sebaik melihat Ziyaad berada di sisi Airis dan Rayyan.  Terkejut dia dengan kehadiran anak lelaki Tan Sri Zamil di dalam wad itu.  Dia memang kenal dengan Ziyaad, ya, siapalah yang tidak mengenali Ziyaad?  Lebih-lebih lagi golongan usahawan seperti dirinya. 

“Saya kawan Airis, Uncle.  Kebetulan saya jumpa client dekat-dekat dengan tempat Airis kena ragut tadi.  Nasib baik saya ada kat situ, kalau tak, tak tahu lah apa jadi kat Airis.  Tak tahu lah dia nak kejar peragut tu sampai mana.”  Ziyaad meluahkan kebimbangannya dengan keberanian tidak bertempat Airis itu kepada Dato’ Harun.

“Kena ragut?  Kami ingat Airis kemalangan tadi.  Sebab tadi Rayyan beritahu Airis kemalangan.”  Datin Marissa cepat-cepat menyampuk.

“Ray pun baru tahu ni Ma.  Airis kena ragut, bukan kemalangan.”  Silap dirinya juga tadi, kerana kelam kabut dan kalut mendapat berita dari Dalili sebentar tadi, langsung dia terlupa untuk bertanya lebih lanjut.

“Habis tu yang boleh teruk sangat luka sana sini, bibir pecah, lengan berbalut ni macam mana pulak?” 

“Biasa lah Ma.  Orang kalau perasan nak jadi hero, ini lah dapatnya.  Ni baru sikit ni.”  Rayyan senyum, menyindir.  Ziyaad sedar riak wajah Airis yang sedikit berubah.

“Rasanya terkena pisau masa tengah kalut-kalut tarik handbag tu.  Airis pun tak sedar luka teruk macam ni.  Sambil tarik beg tu, sempat lagi lelaki tu tumbuk muka Airis ni.  Tu yang pecah bibir ni.  Takde apalah Ma, sikit jek ni.  Airis ok.”  Airis menjelaskan, bimbang melihat kedua ibu bapa mertuanya begitu risaukan keadaan dirinya.

“Sikit apanya, Uncle, Aunty.  Sepuluh jahitan tu doktor bagi.  Itu pun degil tu Uncle, masa saya sampai tu saya tengok dia tengah kejar peragut tu.  Semput jugak saya nak mengejar Airis ni.  Kalau tak dihalang, saya takut peragut tu lari jauh dari kawasan orang ramai, lepas tu buat yang bukan-bukan pulak pada Airis.”  Ziyaad tiba-tiba mencelah.  Dia merasa yang tindakan Airis itu sangat tidak wajar dan biarlah keluarga Dato’ Harun tahu mengenainya dan boleh menasihati Airis supaya tidak lagi bertindak sebegitu berani. 
 
“Betul ke Ris? Tahu kan bahaya Airis kejar peragut tu.  Lain kali beri jek apa yang dia nak tu.  Nyawa kita ni lagi bernilai.  Kalau dah melayang, takde apa yang boleh ganti.   Kan Papa dah cakap, waktu lunch makan kat dalam mall jek.  Tak payah nak keluar.  Kalau nak keluar sekali pun, ajak lah Zara teman.  Ni dah jadi macam ni, siapa yang susah?  Nasib baik takde apa-apa.  Dan nasib baik jugak Ziyaad ada kat situ.  Kalau tak, apa yang jadi?”  Dato’ Harun menekankan suaranya.  Dia ternyata kecewa melihat Airis memandang perkara sebegitu terlalu remeh.

“Zara tadi bawak bekal Pa.  Airis teringin nak makan dekat Blue Wave.  Malas nak ajak Zara sebab dia dah makan.  Airis ajaklah Abang Ray, Pa.  Mula-mula memang Abang Ray yang teman, tapi Abang Ray kena balik awal. Tu yang Airis balik sorang-sorang tu. Keluar  jek dari Blue Wave tadi, terus kena macam ni.   Tak sangka betul boleh jadi macam ni.”  Ziyaad dan Rayyan sama-sama tersentak.  Baik Ziyaad mahu pun Rayyan, tahu gadis itu berbohong.  Dari saat Airis melangkah keluar dari butik, sehinggalah dia diragut, gadis itu keseorangan.  Tiada langsung kelibat Rayyan menemaninya.  Malahan Airis juga tidak memesan apa-apa hidangan, cuma meneguk minuman sehinggalah Airis mengangkat kaki keluar dari Blue Wave.  Dan dari tadi dia juga sedikit pelik dengan bahasa panggilan Airis terhadap Dato’ Harun dan  Datin Marissa.  Papa dan Mama.  Kenapa bukan Pak Long, Pak Ngah atau yang lain-lain bersesuaian dengan panggilan untuk bapa dan ibu saudara?  Namun, dia biarkan tanda tanyanya itu bermain saja di dalam hati.

“Ray keluar dengan Jasmin lah Pa.  Dia mintak tolong....”  Suara Rayyan terhenti.  Dia mula tersedar yang dirinya sudah terlepas cakap. Hakikatnya, dia sendiri tidak muncul di Blue Wave seperti yang dijanjikannya, dan kini dia sendiri yang membongkar kesilapan sendiri di hadapan ibu bapanya. Dia menyumpah di dalam hati.  Bapanya sudah memberi renungan yang tajam seperti mahu menelannya.

“Takpelah.  Malas nak susahkan Abang Ray teman Airis balik butik.  Dapat temankan makan pun dah ok.”  Airis cuba mengukir senyum.  Perit untuk memberikan senyuman itu seperti peritnya dia cuba menutup kesalahan suaminya sendiri.  Lebih perit lagi bila mengetahui telahannya yang Rayyan keluar bersama Jasmin sebelum ini, ternyata benar.  Jauh di sudut hatinya, dia sangat kecewa dengan Rayyan.  Kalau diikutkan hatinya, ingin saja dihalau Rayyan keluar dari wad itu.  Pergilah  ulit Jasmin sayang kau tu!








“Saya dah call kawan saya untuk buat police report pasal hal ni.  Walaupun besar kemungkinan handbag Airis tu takkan dapat balik dan peragut tu pun mungkin akan terlepas macam tu jek, police report tetap jugak perlu dibuat.  Kehilangan IC dan kad-kad bank tu yang perlu dilaporkan kepada polis.  Benda-benda lain tak kisah sangat kan.  IC tu yang penting.  Memandangkan keadaan Airis macam ni, kawan saya boleh tolong uruskan dan Airis  tak perlu ke balai.”  Ziyaad bersuara sebaik sahaja melihat Airis meletakkan sudunya ke dalam mangkuk bubur.  Buburnya masih lagi banyak berbaki.  Mungkin bibirnya yang pecah itu menyukarkan dia menyuap makanan sehingga menyebabkan dia hilang selera. 

“Oh..terima kasih ye Ziyaad.  Susahkan kamu jek.  Dah banyak sangat ni kami susahkan kamu.”  Dato’ Harun segera mencelah.  Terasa segan terhadap Ziyaad yang sudah pun banyak membantu.

“Ala..takpe lah Uncle.  Lagipun kawan saya tu Sarjan kat IPD tu.  Saya rasa dia pun tak keberatan saya mintak tolong.”  Terlintas wajah Sarjan Azizi di fikiran Ziyaad ketika itu.  Dia mengukir senyum kepada Dato’ Harun, tanda ikhlas menghulurkan bantuannya.

“Saya rasa saya mintak diri dulu lah.  Lagipun Uncle sekeluarga dah ada ni, boleh tengok-tengokkan Airis.”  Ziyaad menghulur tangannya.  Menyalam kesemua ahli keluarga Airis termasuk Rayyan.  Sempat dia mengilas pandangannya pada jam di pergelangan tangan.  8.30 malam.  Dia perlu pulang, bimbang ibu bapanya risaukan keadaannya yang belum memaklumkan tentang situasinya yang membantu Airis. 

“Terima kasih ye wak.  Sorry, banyak sangat susahkan awak hari ni.”  Airis mengukir senyuman saat lelaki itu menghampirinya.  Melihatnya buat kali terakhir sebelum berangkat pulang.

“Takpe wak.  Tak susah pun tolong awak.  Anytime.  Jaga diri awak baik-baik tau.  Makan ubat. Saya balik dulu.”  Airis menganggukkan kepalanya, merelakan lelaki itu keluar dari wad.  Rayyan memandangnya dengan hati yang sakit.  Entah mengapa dia benci melihat senyuman di bibir Airis kepada Ziyaad.

“Papa dengan Mama pun dah nak balik jugak ni. Kamu tidur sini Ray, teman Airis tu.  Jangan biar dia sorang-sorang lagi.  Nanti Papa suruh Abang Mat hantar baju kamu dengan Airis.”  Dato’ Harun bersuara tegas.  Kali ini dia mahu pastikan Rayyan menebus kesalahannya pada Airis.  Dia akan pastikan malam ini, Rayyan menemani Airis sehingga Airis dibenarkan keluar wad esok hari.  Pakaian Rayyan dan Airis akan dihantar oleh pemandu peribadi keluarga mereka nanti. 

Rayyan cuma membisu, tidak berani membantah.  Dia bangun, bersalam dengan kedua ibu bapanya lalu menghantar mereka pulang sehingga ke pintu masuk hospital.  Setelah kereta beransur hilang dari pandangannya, dia mengatur langkah semula ke wad.  Sampai ke dalam wad, dilihatnya Airis perlahan-lahan bangun.  Tiang drip bottle dipegangnya, roda yang terdapat pada hujung tiang itu memudahkan Airis menolaknya menuju ke bilik air.

“Kau nak pergi mana?”  Rayyan bimbang.  Airis masih terhuyung hayang.

“Aku nak pergi bilik air.”  Airis berkata sekilas.  Dia tidak memandang ke arah Rayyan.  Sedar-sedar lelaki itu sudah memaut lengannya.

“Tak payah lah bawak tiang ni sekali.  Kau bawak botol dia ni jek.”  Rayyan menjingkitkan kakinya, menggapai hujung drip bottle yang tersangkut di atas tiang.  Dia masih lagi memaut lengan Airis.

“Aku temankan.” 

“Eh, tak payah.  Aku boleh pergi sendiri.”  Buntang mata Airis.  Tidak menjangka tindakan Rayyan.  Cepat-cepat dia menarik pegangan Rayyan pada lengannya.

“Aku teman sampai kat pintu bilik air tu jek la.  Bukannya sampai kat dalam.  Kau ni jalan pun terhuyung hayang, lagi nak degil kan?  Kalau jatuh dalam bilik air tu nanti macam mana?  Nanti aku yang kena marah dengan Papa, bukannya kau.”  Cepat-cepat Rayyan memaut lengan Airis.  Dia sudah maklum dengan kedegilan Airis.  Airis diam.  Kali ini dia tidak lagi menarik pegangan Rayyan pada lengannya.  Betul, dia masih terasa terhuyung hayang kesan dari ubat yang diberikan doktor tadi.  Selesai urusannya dalam bilik air, Rayyan masih terpacak di hadapan pintu bilik air.  Sekali lagi dia memaut lengan Airis dan memimpin gadis itu sehingga ke atas katil.

“Makan ubat. Tadi nurse tengok aku ada kat dalam ni, dia mintak tolong aku suruh bagi kau makan ubat.”  Airis menoleh ke arah meja di sebelah katilnya.  Nah, terhidang pelbagai jenis, warna dan bentuk pil sedang menanti untuk ditelan.  Airis meneguk liur.

“Sekejap lagi.”  Cepat-cepat dia berbaring, memejamkan matanya.  Berdoa semoga dirinya tertidur, dan dapat mengelak dari menelan ubat.

“Makan dulu ubat tu baru tidur.  Nanti kalau kau dah tidur, susah aku nak kejut.”  Rayyan dapat      membaca taktik Airis.  Dia dapat mengagak isterinya itu seorang yang payah untuk makan ubat.  Sebelum Airis melelapkan mata, dia harus pastikan Airis menelan kesemua ubat yang disediakan jururawat tadi.

“Nantilah, kejap lagi.  Aku nak tengok tv sekejap.”  Airis mula gelisah.  Dia mula mencipta alasan yang merapu.  Kalut bila dilihat Rayyan mula mendesak dia supaya menelan ubat-ubat yang tersedia.

“Makan ubat tak sampai setengah jam lah.  Telan, lepas tu kau nak tengok tv sampai esok pun takde siapa nak marah. Ni, antibiotik ni semua kena makan ni, bunuh kuman. Tahan sakit pun kena makan, baru kau boleh tidur nyenyak malam ni, tak sakit berdenyut-denyut.”  Rayyan membebel.  Dia tahu Airis mencipta alasan untuk mengelak dari menelan ubat.

“Hish..dah tak sakit lah.  Biar lah nak berdenyut ke apa, kalau dah ngantuk, boleh jek aku tidur.”  Airis masih berdegil.  Dia membuntangkan matanya, memandang skrin tv, takut dengan renungan Rayyan.

“Makan! Makan ubat ni! Jangan degil lah! Macam mana kau nak baik tak nak makan ubat!”  Airis mengelupur di atas katil.  Langsung dia tidak menjangka Rayyan akan mencengkam pipinya, cuba membuka mulutnya luas-luas untuk dimasukkan ubat.  Cepat-cepat dia mengibas, melayangkan tamparan demi tamparan halus ke arah lelaki itu.

“Tak nak lah!  Aku tak boleh makan sebiji-sebiji macam ni lah.  Kau buta ke pak cik?  Kau tak nampak pil ni besar-besar macam ni?  Tak muat tau tak nak lalu kat tekak aku ni!”  Airis menengking Rayyan.  Geram dengan sikap Rayyan yang seboleh-bolehnya mendesak.

“Apa?  Tak muat nak lalu kat tekak kau? Hahahahaha...Jangan nak buat lawak malam-malam buta boleh tak? Selama ni aku tengok kau makan nasi, ayam goreng semua tu muat jek lalu tekak kau.  Ni ubat secoit ni boleh pulak tak muat?”  Tersembur derai tawa di mulut Rayyan.  



“Ye la.  Kau tak nampak ni, besar-besar?  Aku tak boleh telan ubat besar-besar macam ni.  Nanti aku tercekik.”  Airis mengunjuk ubat yang tadinya berada dalam genggaman Rayyan.  Dia terkulat-kulat.  Takut membayangkan dirinya menelan ubat-ubat itu mengikut arahan Rayyan.

“Habis tu selalu kau makan ubat macam mana? Takkan kau makan ubat jenis cecair pulak? Dah tua-tua ni takde maknanya dapat makan ubat cecair.”  Rayyan mengesat matanya yang berair.  Tawanya masih bersisa.

“Aku jarang makan ubat. Biar jek nanti lama-lama aku baik sendiri.”  Airis cepat-cepat berbaring.  Selimut yang dari tadi menutupi separas pahanya cepat-cepat ditarik, menyelubungi seluruh tubuh sehingga ke kepalanya.  Bimbang Rayyan terus-terusan memaksa dia menelan ubat.  Dari kecil, dia memang agak payah menelan ubat.  Kepayahan itu terbawa-bawa sehinggalah sekarang ini.  Masih belum pernah berubah.  Dia lebih rela menahan sakit yang akhirnya akan sembuh juga dari bersusah payah menelan sebiji pil.  Tidak mungkin sama sekali.  Beberapa minit berselubung, dia menarik kain selimut mencari-cari kelibat Rayyan sudah tiada lagi di dalam bilik itu.  Airis duduk, berfikir ke mana pula lelaki itu menghilangkan diri secara tiba-tiba?  Merajukkah dia dengan sikapnya yang degil? 

‘Merajuk sebab aku tak nak makan ubat? Dah kenapa nak merajuk pulak? Aku yang kena paksa makan ubat, bukan aku yang paksa kau makan ubat!’  Airis mengomel di dalam hati.

Sepuluh minit menunggu, Rayyan muncul bersama sejinjit beg plastik.  Dia menghampiri meja di sisi katil Airis, lalu mengeluarkan isi kandungan dalam beg plastik itu.  Sebotol jus jambu batu bersaiz sederhana bersama semangkuk kecil jeli berperisa laici.  Dia membuka plastik yang menutup jeli tadi lalu menghulurkannya kepada Airis.

“Makan.  Lepas tu minum.  Lepas tu tidur.”  Airis terkebil-kebil.  Terasa pelik melihat mangkuk jeli yang dihulur Rayyan.

“Hai makcik...takkan lah jeli macam ni pun tak muat nak lalu kat tekak kau tu?  Hahahaha...”  Tersembur lagi tawa Rayyan.  Dia masih belum dapat melupakan alasan Airis enggan menelan ubat tadi.  Sangat menggelikan hatinya sehingga saat ini.  Wajah Airis mencuka masam.  Geram dengan Rayyan yang dari tadi galak mentertawakannya.  Cepat-cepat dia mencapai mangkuk jeli di pegangan Rayyan.  Terus dia menyuap masuk sesudu demi sesudu.  Walau pun tadi dia sudah pun menghabiskan semangkuk jeli yang diberikan Ziyaad, dia tetap menelan jeli yang dihulurkan Rayyan pula kali ini.  Terasa nyaman jeli lembut dan sejuk itu saat melalui tekaknya.

“Nah, minum ni pulak.”  Rayyan lekas-lekas menghulur botol minuman jus jambu batu kepada Airis sebaik melihat Airis menyuap sudu terakhir dari mangkuk jeli itu.  Tanpa banyak bicara, Airis cepat-cepat meneguk.

“Kenapa air ni rasa pelik?”  Airis mengerutkan dahinya.  Cepat-cepat dia melarikan muncung botol dari bibirnya.  Memerhati luaran botol itu, melihat jika terdapat sebarang benda asing yang bercampur dengan jus itu. 

“Rasa pelik? Tak lah, lidah kau tu ha..dah takde deria rasa agaknya.”  Cepat-cepat Rayyan berdalih.

“Ye lah.  Rasa dia pelik lah.  Ni jus jambu batu kan?  Selalu aku minum kalau beli kat kedai tak rasa macam ni pun.  Tak nak lah aku minum.”  Airis menutup muncung botol itu, membatalkan hasratnya untuk menghabiskannya tadi.

“Bak sini.”  Cepat-cepat Rayyan menggapai botol jus dari genggaman Airis.  Dia meneguk liur, berkira-kira untuk membuka penutup botol jus tapi lakonannya harus menjadi tanpa diragui ‘mangsa’.

“Hmmm...ok jek ni aku minum.  Takde rasa pelik pun.”  Rayyan mengesat hujung bibirnya dari bekas minuman jus jambu batu tadi menggunakan belakang tapak tangannya.  Dia terpaksa menelan dua ke tiga teguk tadi demi meyakinkan Airis.  Airis terdiam.  Terkaku melihat Rayyan yang langsung nampak tidak kisah minum dari ‘bekas’ mulutnya.

“Nah, minum. Habiskan.”  Rayyan mengunjukkan botol tadi ke arah Airis.  Terkebil-kebil dia melihat wajah Rayyan.  Hendak menolak bimbang lelaki itu mengamuk lagi.  Sudahlah ubat pun dia enggan telan, ini setakat jus minuman, menolak lagi boleh mengundang amukan Rayyan semula.  Terkulat-kulat dia cuba menghabiskan minuman jus yang mempunyai rasa pelik itu.

Tak sampai sepuluh minit, Airis sudah lena diulit mimpi.  Rayyan tersenyum.  Ternyata, rancangannya berhasil.  Tadi sewaktu Airis berselubung, dia cepat-cepat menyelinap keluar dari wad menuju ke kedai serbaneka yang terletak dalam kawasan hospital itu.  Sebelum masuk semula ke wad Airis, dia terlebih dahulu menghancurkan segala ubat-ubatan Airis menggunakan sudu yang dipinjamnya di kaunter kedai lalu memasukkannya ke dalam jus minuman.

“Bagi anak makan ubat ye bang?  Biasalah bang, budak-budak memang payah sikit makan ubat.  Kalau tak hancurkan, masuk dalam air macam ni, memang kirim salam lah nak makan ubat.”  Terngiang-ngiang lagi suara wanita yang menjaga kaunter di kedai serbaneka tadi sewaktu Rayyan meminjam sudu miliknya.  Rayyan sekadar tersenyum dan mengangguk.  ‘Ni bukan nak bagi budak makan ubat, ni bagi mak cik budak makan ubat.’  Rayyan tersengih di dalam hati. 

Dia menepuk-nepuk bantal kecil yang terdapat di sisi sofa sederhana besar di dalam wad itu.  Kasut yang dipakainya, ditanggalkan.  Dia mengangkat tangannya, menggeliat dan kemudian melabuhkan badannya.  Kakinya terlunjur keluar dari kawasan sofa sebaik kakinya diluruskan.  Tak selesa, dia berpusing ke kiri dan kanan, masih gagal melelapkan matanya.  Rayyan melipat kakinya, membengkokkan badan menghadap ke arah Airis yang sedang nyenyak tidur.  Di renung isterinya dari jarak 30 meter itu.  Terbit rasa bersalah tiba-tiba, selama ini Airis tidak pernah merungut disuruh tidur di atas sofa di dalam biliknya setiap malam.  Dan sekarang baru dia tahu, betapa tak selesanya tidur di atas sofa yang sempit seperti itu. 


Dia merenung lagi pada Airis.  Melihat susuk tubuh isterinya itu.  Melihat pada matanya yang terpejam rapat.  Seketika kemudian dia mula terbayang adegan ragut yang dialami Airis.  Timbul lagi perasaan sesal dalam hatinya. Seketika kemudian terbayang pula wajah Jasmin yang tersenyum manis dalam fikirannya.  Silih berganti antara wajah Airis dan Jasmin.  Mengejar cinta Jasmin seolah tidak pasti penghujungnya, menerima cinta Airis takut dia tidak seikhlasnya menyintai gadis itu.  Sungguh, dia serba salah.  Akhirnya, dalam gelap pekat malam itu, dia terlena.








Nota Selit : SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA BUAT SEMUA PEMBACA SKDC!! Harini AA kena keje, cuma cuti satu hari jek untuk raya esok, nasib baik cuma raya aji jek, kalau raya pose cuti satu ari, memang terbalik le meja kt opis ni...huhuhu...


Untuk bab 18, ramai nampaknye sayang yang mintak supaya Airis n Rayyan berpisah dan biar Airis pergi pada Ziyaad kan?  Tapi sayang semua tak kesian ke pada ikatan perkahwinan diorang?  AA sayang tau...huhu..Jadi bagi Rayyan sikit lagi masa, biar akhirnya nanti dia akan dapat nilai sendiri kebaikan dan pengorbanan Airis tu ye? Eh, ok..ok tak mo la britau plot SKDC seterusnye...kena la baca baru la kite tau camne gaya SKDC ni kan?

Untuk bab 19 ni, AA taip panjang sikit....kali ni, rasa kesian tak kat Rayyan?  Dia kejar cinta Jasmin yang tak kunjung tiba sedangkan Airis setia pada cinta Rayyan yang tak pasti...Habis tu Ziyaad pulak macam mana?  Susah kan cinta bersegi-segi macam ni? Huhuhu...BTW, thanks untuk semuaaaaaaaa sayang yang sudi baca, drop komen tuk SKDC ye! Sayangggg ketat-ketat!  Jangan lupe ye, ade 6 bab lagi sebelum SKDC ditamatkan!

5 comments:

Unknown said...

benci rayyan,suka ziyaad.

Anonymous said...

suka ziyaad. dia menerima airis seadanya...biarkan rayyan mengejar cinta yg tak pasti

~kak min~

lynn said...

cepat2 lah sambung...x sabar nak tau reaksi rayyan bl tau ziyaad suka kat wife dia..

ida said...

Thank u 4 this interesting n3 Adra! Still can't believe this story will end soon at this blog. Really hope that after the story end here, you can show yr generosity by giving us special n3. Thank u in advance ye Adra. BTW, I think Rayyan tgh figure out apa perasaan sebenar dia pd Airis. Let's give him some time for that. As for Ziyaad, he's totally clueless about this whole thing, but still love him for his good heart. To Airis, byk2 bersabar sbb ini semua dugaan. Remember, marriage is like a war, fight 4 yr own happiness ok! Still want Airis with Rayyan..pls keep them together Adra...

Anonymous said...

Assalam to writer... SALAM AIDILADHA...

Addoiii... humm seperti biase... SKDC mmpu mmbuatkan jantung mcm maen kuda Qabil Ambak jek coz nk tau ape jadi seterusnye... huuhuh...

bg sy xperlu pisahkan mereka.. asam garam rumah tangga 2 biase mmg ada.. ego laki2 n pompuan pon mesti ade.. xkan ler krn seorang ziyaad nk dileraikan spouse bonding... (nmpk sgt side Ray... coz i want ziyaad.. bole? hahaha.. aptb!!)

kali ni ade fair n square sikit walaupon airis lebih terasa sakitnye.. ziyaad dah mule curious dah.. cian die... but masih lagi mengekalkan watak die yg hummm... i like... melting... ahhaha...

anyway mmg best, gud luck 2 writer. lg 6 ep nk up kt cnie... hope mencabar minda n emo.. tp xmo tercabar ego... penat nk bace,, haaha... GUD LUCK AA...

From: IJA