Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday, 9 September 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 15











Airis menyelak langsir jendela dalam biliknya itu sekali lagi.  Dia merengus perlahan.  Hampa melihat jalan hitam pekat yang kosong terbentang depan matanya.  Sesekali dia memanjangkan leher, meninjau-ninjau kerlipan cahaya dari lampu kereta milik Rayyan.  Kosong.  Dia menghembuskan nafasnya kuat.

Airis menghempas badannya kasar ke atas tilam.  Dia mengibas-ngibas tangan laksana sedang terbang saat badannya meniarap  di atas katil dan wajahnya tersembam pada bantal milik Rayyan.  Dahinya berkerut.  Dia menaikkan wajahnya.  Didekatkan kembali hidungnya pada bantal di hadapan mata.   Berkali kali dia mencium bauan yang melekat pada bantal itu.  Dia tersenyum.  Sekali lagi menarik nafas sedalam-dalamnya dan mencium bauan yang melekat itu sambil di kepalanya terbayangkan wajah Rayyan.  Bauan itu ternyata menyenangkannya.

‘Boleh naik angau aku cium bau minyak rambut si Ray ni.’  Airis tersengih.  Dia masih seperti tadi, menyembamkan wajahnya.

‘Entah-entah bau peluh pak cik ni. Pandai jek aku cakap minyak rambut.  Silap-silap bau air liur basi dia!’  Airis menepuk dahinya sambil tersengih lagi.  Dia terlentang pula kali ini.  Matanya memandang pada siling bilik itu.  Wajah Rayyan terbayang sekali lagi saat itu.  Tiba-tiba muncul pula wajah Jasmin berpimpin tangan di sisi Rayyan.

“Arggghhhhh....”  Airis menjerit perlahan.  Digeleng-gelengkan kepala sambil tangannya diletakkan di kedua-dua telinga.  Membuang jauh-jauh imej Ray yang sedang asyik bermesra bersama Jasmin.  Tiba-tiba hatinya terasa sakit.  Dia bingkas bangun.

Dia berjalan mundar mandir di dalam bilik itu.  Jam di dinding sudah dijelingnya entah yang keberapa kali. Dia masih ternanti-nanti kepulangan Rayyan yang menikmati makan malam bersama Jasmin.  Terbayang-bayang kemesraan antara mereka berdua menikmati hidangan yang enak-enak sedang dia menjeruk rasa di rumah menunggu kepulangan suami sendiri.  Dia melepaskan nafasnya kuat.  Sedikit marah menanti Rayyan yang tidak pulang-pulang walaupun jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah malam.

Bosan menunggu, dia memulas tombol pintu bilik.  Perlahan-lahan dia meniti anak tangga ke bawah.  Dia ingin ke dapur membasahkan tekak sementara menghilangkan kebosanannya menanti kepulangan Rayyan.  Saat kakinya mencecah anak tangga yang terakhir, dia terdengar suara dari tv yang terpasang di ruang tamu.  Segera dia meninjau, bimbang malam-malam seperti itu, ada yang terlupa untuk menutup tv sebelum masuk tidur.

“Eh, Papa.  Belum tidur lagi?”  Airis mengukir senyum melihat bapa mertuanya duduk terperusuk dalam celahan sofa empuk menghadap tv.

“Belum Ris.  Mata ni tak boleh nak tutup pulak lepas minum kopi pekat tadi.”  Dato’ Harun mengukir senyum.  Cuba menutup pembohongan dengan alasan yang diciptanya.  Selalunya pada jam ini dia sudah jauh belayar ke alam mimpi.  Dari tadi dia sebenarnya resah menanti kepulangan Rayyan.  Dia tahu, Airis juga sepertinya.

“Airis pun susah jugak nak tidur ni Pa.  Mak Intan punya kopi betul-betul kaw kan Pa?”  Airis tergelak.  Menyembunyikan gundah di hatinya.  Dia melabuhkan duduknya di sofa bersebelahan bapa mertuanya.  Matanya memandang tepat pada tv di hadapannya. Lama mereka sama-sama terdiam.

“Airis tahu Ray ke mana?”  Airis terkedu mendengar soalan dari mulut bapa mertuanya.  Berasak-asak alasan datang menyerbu ke kotak fikirannya ketika itu.

“Dia jumpa client. Kot.”  Airis menggigit bibir. Ahh, dia ternyata tak pandai menipu!

“Dia jumpa Jasmin kan?”  Wajah tua bapa mertuanya itu direnung.  Airis ternyata tiada jawapan untuk soalan itu.  Dia hanya mendiamkan diri dari tadi.  Cepat-cepat dia memandang ke arah tv semula.

“Airis bahagia jadi isteri Ray?”  Suara Dato’ Harun terasa berdesing menghiris gegendang telinganya.  Dia sekali lagi terdiam kaku, matanya melekat ke kaca tv tapi mindanya ligat memikirkan jawapan yang dirasakan sesuai. 

“Masih terlalu awal untuk Airis berikan penilaian Pa.  Susah nak jawab soalan Papa ni.”  Airis tersenyum.  Dia mengalih wajahnya menghadap ke bapa mertuanya semula.  Memandang sepasang mata tua di hadapannya itu.

“Papa mintak maaf kalau Airis tak bahagia.”  Suara Dato’ Harun mengendur.  Dia tidak membalas pandangan Airis.  Pandangan matanya dialihkan ke kaca tv.

“Eh, janganlah cakap macam tu Pa.  Airis...”  Airis terdiam.  Lidahnya kelu untuk mengeluarkan kata-kata.  Hakikatnya, tiada jawapan yang dirasakan bersesuaian dengan kenyataan bapa mertuanya.  Dia sendiri keliru tentang status bahagia atau tidak dirinya menjadi isteri Rayyan.

“Tu, calar kat tangan, kat buku lali tu.  Ray yang tolak Airis masuk kolam kan?”  Mata Dato’ Harun menjeling sekilas pada kesan calar pada lengan dan kaki Airis.

“La....ini ke Pa?  Ni Airis yang terjatuh ni Pa.  Tak hati-hati masa borak-borak dengan Ray malam tu.  Tau-tau jek dah ada dalam kolam.  Nasib baik Ray ada, dia yang pimpin Airis keluar dari kolam.  Ala, sikit jek ni Pa.”  Airis melarikan pandangannya.  Matanya meliar pada kesan-kesan calar pada kaki dan tangannya.  Takut untuk memandang mata bapa mertuanya.  Takut pembohongannya dapat dihidu.

Dato Harun melirikkan senyum tipis.  Dia tahu gadis itu berbohong.  Dari tingkap biliknya malam itu, jelas semuanya yang berlaku pada anak dan menantunya.  Dia melihat semuanya walau tidak dapat mendengar butir bicara mereka berdua ketika itu.  Dia dapat melihat sejelasnya Rayyan menolak Airis sehingga gadis itu tersungkur di dalam kolam ikan.  Kalau diikutkan hatinya yang panas, mahu saja dia turun ke bawah dan memarahi tindakan melampau Rayyan terhadap Airis tapi disabarkan hatinya.  Sebagai ibu bapa, urusan rumah tangga anaknya tidak wajar untuk dia campur tangan. Buat masa ini.

“Airis tak payah nak sembunyikan apa-apa dari pengetahuan Papa.  I know everything.  Selalu ke Ray buat Airis macam tu?  Mengasari Airis di luar pengetahuan Papa?”  Airis terkebil-kebil.  Hatinya dihambat rasa bersalah. Dia tidak menyangka peristiwa dia terjatuh di dalam kolam ikan sampai ke pengetahuan bapa mertuanya itu.  Dan lebih teruk lagi, bapa mertuanya itu tersalah tafsir tentang apa sebenarnya yang berlaku.  Betul bukan Ray yang menolaknya tapi tidak benar dia secara tidak sengaja tergelincir ke dalam kolam.  Segalanya berlaku terlalu pantas malam itu.  Dan dia tahu Rayyan tidak berniat untuk menolaknya dengan sengaja.

“Pa, Airis rasa Papa tersalah faham ni.  Betul, ab...abang Ray tak pernah pun sakitkan Airis.”  Tersekat-sekat perkataan yang terkeluar dari bibirnya saat menggelar Ray sebagai abang di hadapan Dato’ Harun.  Terasa janggal, apatah lagi selalunya dia ‘ber aku engkau’ saja dengan Rayyan selama ini.

“Airis yang tak hati-hati malam tu.”  Airis tersenyum. Cuba menyakinkan bapa mertuanya.

“ Papa rasa bersalah atas apa yang Ray buat kat Airis.  Papa kecewa,  apa yang Papa rancangkan tak menjadi seperti yang Papa inginkan.  Dan yang paling penting, Papa tak dapat tebus kesalahan Papa pada Airis.”  Dato’ Harun menundukkan wajahnya.  Merenung pada lantai ruang tamu itu yang beralaskan karpet tebal berwarna kelabu.

“Pa, Airis dah lama lupakan hal tu.  Apa yang Papa bagi pada Airis sekarang ni, lebih dari cukup.”  Airis terasa bersalah.  Betul, dulu dia cukup bencikan Dato’ Harun di atas kehilangan bapanya dan keputusannya untuk mengahwinkan dia dengan Rayyan.  Tapi kini, Airis gembira dengan kehidupannya.  Berkahwin dengan Rayyan membolehkan dia menyambung pengajian ke universiti tidak lama lagi dan yang paling penting dapat lari dari cengkaman Mak Mah.  Ya, itu sudah cukup membahagiakan dirinya walaupun Rayyan tidak ikhlas menerimanya sebagai isteri. 

“Airis bersyukur sangat dapat ibu dan bapa mertua sebaik Papa dan Mama.  Terima Airis seadanya.  Layan Airis sebaik yang mungkin.  Airis sendiri tak tahu macam mana nak balas jasa baik Papa dengan Mama.”  Airis mengukir senyum seikhlas yang mungkin.  Mengharap bapa mertuanya itu tidak lagi dipagut rasa bersalah.  Tentang hubungannya dengan Rayyan, biarlah cuma menjadi rahsia mereka berdua sahaja.

“Papa dan Mama tak pernah pun mengharap apa-apa balasan dari Airis.  Kami cuma harap Airis bahagia menjadi sebahagian dari keluarga kami.  Ni jek salah satu cara untuk tebus salah Papa pada Airis.  Melihat Airis bahagia.  Hmmm...sudah lah.  Dah lewat sangat ni.  Airis pergi naik tidur.  Biar Papa yang tunggu Ray balik.”  Airis tersenyum.  Sedikit lega bapa mertuanya itu tidak memanjangkan lagi perbualan mereka.  Dia bimbang macam-macam lagi yang akan ditanya sehingga akhirnya masalah dia bersama Rayyan dapat dihidu.  Perlahan-lahan dia bangkit dari duduknya dan dia melangkah masuk ke bilik tidur meninggalkan Dato’ Harun yang tidak berganjak dari tadi.

Airis sekali lagi menyelak langsir jendela bilik.  Walau dia tahu takkan ada kelibat kereta Rayyan pada saat itu, dia tetap merenung jalan di hadapan rumah.  Tertanya-tanya ke mana Rayyan dan Jasmin pergi sehingga masih belum pulang-pulang lagi. Dia mengeluh kasar lalu melabuhkan badannya di sofa yang menjadi katil untuk dirinya beradu.  Cuba untuk memejamkan mata.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta memasuki ruang parkir di hadapan rumah. Airis membeliakkan matanya, memasang telinga.  Sah, Rayyan sudah balik!  Cepat-cepat dia menutup matanya, pura-pura tidur.







“Baru balik Ray?”  Dato’ Harun bersuara sebaik dilihat pintu utama rumahnya dikuak dari ekor matanya.

“Eh, Papa tak tidur lagi?  Dah lewat malam ni Pa.”  Rayyan terkejut mendengar suara Papanya.  Tidak menyangka ayahnya itu belum tidur pada waktu begini.

“Tahu pun dah lewat malam.  Kamu tu, dah lupa ke jalan rumah kita ni sampai tak reti nak balik?”  Dato’ Harun tersengih.  Sengaja menyindir Rayyan.

“Isteri yang ada depan mata tu kamu tak hargai, perempuan yang belum tentu jadi isteri kamu tu lah yang kamu kejar-kejar.  Jangan nanti yang kamu kejar tak dapat, yang kamu kendong keciciran Ray.  Satu hari nanti, bila dah takde depan mata, baru kamu akan terasa betapa berharganya isteri kamu tu.”  Mata Dato’ Harun masih menatap tv, enggan melihat Ray yang sudah pun duduk bersebelahannya.

“Kamu dah beritahu Jasmin tentang status kamu?”  Telinga Rayyan berdesing.  Terasa soalan itu menghiris tangkai hatinya.  Darah merah panas terasa menaik ke wajahnya.

“Ke Ray nak Papa sendiri yang beritahu Jasmin?”  Dato’ Harun merenung ke mata anaknya.  Ingin melihat reaksi Rayyan.

“Apa ni Pa?  Papa suruh Ray kahwin dengan Airis, Ray dah ikutkan.  Sekarang ni, Ray rasa Papa tak berhak masuk campur  hubungan Ray dengan Jasmin.”  Ray sedaya upaya mengawal nada suaranya.  Bimbang bertindak kurang ajar terhadap ayah sendiri. 

“Kahwin bukan hanya terletak pada sekeping sijil nikah kamu tu jek Ray.  Ikatan perkahwinan tu membawa kamu kepada satu tanggungjawab untuk bina kebahagian keluarga kamu sendiri.  Kalau kamu kahwin, lepas tu kamu berkepit dengan Jasmin 24 jam, lebih baik kamu tak payah kahwin.”  Dato’ Harun mengeluh panjang.  Kesal dengan tindakan anaknya yang mengabaikan Airis. 

“Dari kamu kejar Jasmin yang tak cintakan kamu tu, baik kamu kejar hati Airis.  Isteri kamu sendiri yang sah.”  Dato’ Harun bersuara lagi.  Dari tadi Rayyan hanya membisu.  Dia tahu Rayyan marah terhadapnya.

Rayyan tersentak.  Kata-kata Dato’ Harun tentang Jasmin menyasak ruang fikirannya.  Dia mendalihkan kenyataan itu di dalam hati.  Dia tahu, Jasmin cintakannya. 

“Ray dah mengantuk.”  Rayyan bingkas bangun.  Dia enggan meneruskan lagi perbincangan dengan bapanya.  Lebih banyak yang didengar dari mulut bapanya, lebih sakit hatinya.  Tambahan pula, dia sudah letih.  Saat ini, dia cuma mahu melelapkan matanya.  Dia mengatur langkah ke bilik tidur. 

Rayyan mengecilkan matanya saat pintu bilik dikuak.  Cuba melihat susuk tubuh Airis dalam gelap bilik itu.  Dia meraba-raba suis yang melekat di dinding, dan menekan suis lampu tidur.  Dalam samar-samar cahaya itu, dia terlihat Airis sedang berbaring di sofanya.  Mungkin sudah lama dibuai mimpi, fikirnya.

Airis membuka matanya sekecil mungkin.  Dari tadi dia membatukan dirinya, berpura-pura sedang tidur. Dia tidak mahu Rayyan tahu yang dia sedang menunggu kepulangannya.  Dia memasang telinga, cuba mendengar pergerakan Rayyan.

Rayyan menghampiri Airis yang sedang tidur.  Dia mendekatkan wajahnya ke muka Airis.  Meneliti setiap inci wajah di hadapannya itu dalam samar-samar cahaya biliknya.  Wajah seorang isteri yang tidak pernah dia rela untuk kahwini.  Matanya terhenti pada sepasang mata milik Airis yang sedang terpejam.  Ya, mata itu lah yang menggetar jiwanya.  Bundar mata milik isterinya itu kadang-kadang membuat dia terbuai.  Dalam diam, dia akui, terbit perasaan aneh terhadap Airis.  Tangannya ingin mengilas rambut yang terjuih di dahi Airis, tapi terhalang tiba-tiba.  Bimbang gadis itu terjaga.  Bimbang untuk meneruskan niatnya.  Bimbang memikirkan niatnya sendiri.  Dia tersengih.  Menggeleng-gelengkan kepalanya.  Terlalu jauh dia berfikir.  Matanya memandang pula pada susuk tubuh Airis.  Melihat Airis membongkok seolah-olah menahan sejuk, dia mencapai selimut.  Rayyan membeliakkan matanya saat melihat Airis tiba-tiba menggerakkan badan dan membuka mata.  Cepat-cepat dia berdiri dan mencampakkan selimut yang di pegangnya tadi ke tepi.

“Kau nak apa ni?”  Airis mengerutkan dahinya.  Hairan melihat Rayyan yang tercegat berdiri di sisinya. Tadi sewaktu dia berpura-pura sedang tidur, dia terasa satu gerakan di sisinya, membuatkan dia lekas-lekas membuka matanya.  Tambahan pula, Rayyan diam sejak masuk ke dalam bilik.

“Errr...aku nak...aku nak..” Suara Rayyan tersekat-sekat.  Dia mencari-cari jawapan yang tepat untuk soalan Airis.  Bimbang Airis menyedari tindakannya yang merenung wajah Airis tadi dan niatnya untuk menyelimutkan Airis.

“Nak apa?!”  Airis meninggikan suaranya.  Gusar dengan permintaan Rayyan di tengah-tengah malam begitu.  Permintaan seorang suami barangkali. Oh tidak, tak sanggup!

“Aku nak kopi.”  Terpacul ayat itu dari mulut Rayyan sebaik disergah.  Dia mengerutkan dahi mendengar jawapannya sendiri.

“Hmmm...kopi.  Ingatkan nak apa tadi.”  Airis menghembus nafas kelegaan.  Fikirannya yang bukan-bukan tadi terbang melayang.

“Eh, kau kan keluar dengan Kak Min tadi?  Tak minum ke?”  Airis mengerutkan dahinya.  Pelik dengan permintaan Rayyan.

“Alahhh..buat jek la apa yang aku suruh.  Aku nak minum kopi.  Sekarang jugak!”  Rayyan menjegilkan matanya.  Menegaskan pendiriannya untuk minum kopi di tengah-tengah malam itu.  Hakikatnya, dia cuma mahu menyembunyikan perbuatannya tadi.  Terciptalah alasan kopi pada ketika itu.

“Kopi jek pak cik? Biskut tawar, roti kering kau tak nak?”  Airis tersengih.  Sengaja memerli Rayyan.  Dia tercegat di tepi pintu menanti reaksi lelaki itu.

“Aku suruh kau uli tepung malam-malam buta ni kang baru kau tahu.”  Rayyan bersuara sinis.  Geram dengan Airis yang sengaja melengahkan masa.

“Buat apa nak uli, kat dapur tu berbungkus-bungkus roti ada.  Kau nak bawak mandi pun boleh.”  Airis cepat-cepat keluar dari bilik itu.  Takut menjadi mangsa amukan Rayyan walaupun dia sendiri geram dengan permintaan Rayyan.  Lekas-lekas dia mengorak langkah ke dapur.  Mencapai sebiji mug, botol berisi kopi serbuk, bekas gula dan sudu.  Laju tangannya menadah air panas dari water heater lantas mengacau kopi yang panas berasap itu.  Setelah gulanya larut, dia menuju ke peti ais, dicapai pula botol berisi air sejuk lalu dituangnya ke dalam mug yang berisi dengan separuh kopi panas tadi supaya tidak terlalu panas untuk dihirup Rayyan nanti.  Setelah berpuas hati dengan minuman yang disediakannya, dia naik semula ke tingkat atas, menuju ke bilik tidur Rayyan.

“Kau baring kat tilam aku kan tadi?” Rayyan menyoal sebaik tubuh Airis muncul di sebalik pintu dengan sebiji mug di tangan.

Airis terpinga-pinga.  Bilik itu sudah terang benderang.  Segera matanya menangkap pada alas tilam yang berkeromot di katil Rayyan.  Ah, terlupa dia hendak mengemasnya kembali setelah baring sementara menunggu kepulangan Rayyan tadi.  Dia menggigit bibir, sedar dirinya sudah melakukan kesalahan.

“Ala, tadi terbaring sekejap.  Terbaring, ok? Sikit jek ni.  Kecoh la kau ni.”  Airis meletak mug kopi yang dipegangnya di atas meja, bersebelahan Rayyan yang dari duduk tercegat memerhatikannya.  Cepat-cepat dia menghampiri katil Rayyan, meratakan permukaan cadar berkali-kali menggunakan tapak tangannya.  Setelah berpuas hati, dia menoleh ke arah Rayyan.

“Puas hati pak cik?”  Dia menjeling sekilas. 

“Tu, kedut tu.  Tak rata.  Kat tepi sebelah kanan.”  Rayyan menjuihkan mulutnya, menunjuk ke arah cadar yang nampak berkedut di matanya sambil tangannya memegang mug kopi yang disediakan Airis tadi.

Airis bengang.  Di matanya, semuanya nampak elok.  Kemas, rata sepertimana sebelum dia melabuhkan badannya tadi.  Dia membebel di dalam hati, tapi tangannya ligat meratakan permukaan cadar, menurut perintah Rayyan.

“Tu, kat tengah-tengah tu.  Tak rata.  Kau buta ke?”  Ray menjuihkan lagi muncungnya.  Kali ini dihalakan pula ke tengah-tengah tilam.

“Kau tu yang buta!  Kau nak rata macam mana lagi cadar ni?”  Airis separuh menjerit.  Bengang dengan perlakuan Rayyan yang dirasakan seolah-olah ingin mengenakannya.  Dia bercekak pinggang memandang Rayyan.

Rayyan bangun setelah meletakkan mugnya di atas meja solek.  Dia menghampiri Airis.  Semakin lama semakin rapat.  Airis mula gelisah.  Bimbang dengan perlakuan Rayyan.  Tapi dia masih tercegat, menanti perlakuan lelaki itu seterusnya.  Dada Rayyan yang separas dengan kepalanya sudah betul-betul berdekatan dengan dirinya, Airis meneguk liur.  Terasa satu tolakan keras dari bahu Rayyan, mengibas rambutnya ke pipi.  Badannya juga terinjak sedikit ke belakang.  Rayyan selamba berjalan menuju ke almari bajunya.

Watch and learn.”  Rayyan mengambil sebatang penyangkut baju.  Airis berdebar. ‘Eh, dia ni nak denda aku ke?  Nak sebat aku? Gila la pak cik ni!’ Airis berbisik di dalam hati.

Rayyan menuju ke katilnya.  Dia melurut permukaan cadar mengunakan penyangkut bajunya berkali-kali di setiap bahagian dan penjuru katil.  Sesekali tangannya menarik kuat-kuat setiap bucu cadar.  Sambil itu tangannya ligat menggosok permukaan cadar sehingga tegang tanpa sebarang kedutan.

“Pakai tangan tak rata tau tak.  Lain kali pakai hanger ni, baru la rata.  Nampak tegang, kemas cadar tilam ni.  Aku tak nak tengok ada kedut-kedut, gelembung-gelembung sikit pun kat katil aku ni.  Semua ni mesti kemas, tegak, tegang, teratur.  Balik kerja, penat-penat, mata aku nak tengok bilik aku ni kemas.  Baru hilang semua serabut kepala aku.  Sebab tu aku boleh tahu kalau ada orang usik barang-barang aku.”  Rayyan bersuara tanpa memandang Airis yang tercegat di belakangnya memerhati.  Puas hati dengan ketegangan cadarnya, dia menyimpan kembali penyangkut bajunya.

“Kalau aku tahu, aku bawak balik stand iron kat butik tu.  Senang nak gosok cadar bodoh kau ni.”  Airis menaikkan matanya ke atas.  Dia mengukir senyum sumbing.  Terkekek dia ketawa di dalam hati melihat kesempurnaan Rayyan dalam semua benda.  ‘Gosok cadar pakai hanger? Aku ni duduk dengan alien agaknya!’ 

“Cadar bodoh kau cakap?  Suka hati kau jek kan?  Ah, tak kira!  Yang aku tahu, semua barang-barang aku dalam bilik ni kena kemas teratur.  Teratur.  Faham? Semua kena susun tegak-tegak, kemas-kemas.  Dari hari tu aku nak tegur kau pasal hal ni, tapi aku terlupa.  Balik dah penat. Ni, dah alang-alang sama-sama terjaga pagi-pagi buta, biar aku sampai pesan sikit.” Rayyan membebel lagi.  Airis sudah pun duduk tercegat memerhati Rayyan yang beralih menyusun pula deretan minyak wanginya.

“Tahu pun dah pagi buta, ingatkan tak tahu tadi.  Kau pergi mana dengan Kak Min sampai balik lambat?  Papa risau tunggu kau tak balik-balik.”  Airis merenung Rayyan, menanti jawapan dari lelaki itu.  Ya, dia juga sebenarnya tertanya-tanya ke mana Rayyan pergi bersama Jasmin.

“Oooo...kau lah yang report kat Papa pasal aku keluar dengan Jasmin?”  Rayyan menjegilkan biji matanya.  Terasa ingin ditelan Airis saat itu.

“Huh, tak kuasa aku!  Aku turun nak minum air tadi, lepas tu nampak Papa tengah tengok tv.  Papa tengok tv waktu-waktu macam ni?  Memang tak kot. Bila aku tanya, dia cakap tunggu kau, tak reti nak balik.”  Airis mencebikkan mulutnya.  Wajah Rayyan tidak dipandangnya.

“Habis tu yang kau nak tahu aku pergi mana dengan Jasmin tu kenapa?  Apa kena mengena aku pergi mana dengan Papa tunggu aku balik?”  Rayyan mengerutkan dahinya.  Memandang Airis yang sedang mengulit kuku di jarinya.

“Aku...aku tanya jek.  Saja. Tak boleh ke?”  Airis tergagap-gagap.  Niatnya untuk mengetahui ke mana destinasi Rayyan bersama Jasmin, terbantut.

“Tak boleh.  Apa yang aku buat, dengan siapa aku keluar, kau tak boleh tahu.  Dan tolong jangan ambil tahu.  Kau dah lupa, kan kita dah janji kan?  Kita buat hal sendiri.  Jangan masuk campur urusan masing-masing.”  Rayyan membelakangi Airis, menghadap ke pintu almari lalu membuka baju yang dipakainya.  Dia mencapai baju tidur yang tergantung di dalam almari lantas menyarungnya ke badan.  Dicapai pula tualanya yang tergantung di penyidai, dililitnya ke sekeliling pinggang.  Dia membuka seluar jeans yang dipakainya, kemudian menyarung pula seluar tidur.  Setelah selesai, tuala tadi digantung semula.  Setegak yang mungkin.  Bucu bertemu bucu.

“Aku tak pernah ambil tahu pun.  Kau keluar dengan siapa, bila kau nak balik, aku tak nak tahu pun...”  Tak! Aku nak tahu! Aku isteri kau! Aku berhak tahu semuanya tentang kau! Airis menjerit di dalam hati.  Mulutnya menidakkan hakikat sebenar isi hatinya di hadapan Rayyan.

“Tapi fikir lah sikit.  Kalau Papa atau Mama tengok kau takde, siapa yang diorang tanya? Aku kan?  Apa aku nak jawab?” Airis menaikkan keningnya, mengharap jawapan dari Rayyan. Betul, dia memang ingin tahu ke mana saja lelaki itu pergi, dengan siapa lelaki itu bersama, tetapi yang paling perlu dijaga hati adalah kedua ibu bapa Rayyan.  Bukan dirinya.

“Pandai-pandai lah kau cover line.  Kan kita dah janji sebelum ni.  Apa pun yang kita buat, cuma kita berdua jek yang tahu. Jangan sampai Mama dengan Papa aku tahu realiti sebenar hubungan kita ni.”  Rayyan cepat-cepat meneguk titisan kopinya yang terakhir.  Dia mahu cepat-cepat merebahkan badannya.  Dia betul-betul keletihan.

“Aku ingat kita pindah duduk sendiri jek lepas ni.  Senang takde siapa nak monitor aktiviti aku.”  Rayyan menarik selimutnya menutupi seluruh badan tanda tamatnya perbualan mereka malam itu. Airis terpinga-pinga.  Ayat ‘pindah duduk sendiri’ dirasakan antara dengar dan tidak di telinganya.


“Tu, cawan tu.  Pergi basuh.  Tinggal kat situ nanti esok bersemut.”  Airis mengetap bibir.  Sempat lagi Rayyan mengarah kepadanya!






4 comments:

Anonymous said...

Assalam to writer...

just want to say... uuuuuuuu... HOT!.. hahahahaha...

Anyway, as usual, good luck n cant wait for next, next, next ep....

From: IJA

ida said...

Nice n3 Adra! Tapi mcm ckit sgt la pulak... BTW, bila lagi nal buat Rayyan jealous? Kesian kat Airis yg selalu makan hati dgn peranagi Ray. Apakata bagi Ray jealous pulak, tgk mcm mana dia nak handle perasaan cemburu dia tu..do continue ye Adra!

Unknown said...

Yalah kesian airis
.

Fatini Zulghafar said...

orang macam Rayyan ni kena bagi terserempak sikit dengan Ziyaad. nak-nak kalau time tu Airis ada sekali. masa tu baru Rayyan ni tahu cemburu dan pandai menghargai orang. tertekan betul dengan si Rayyan ni hahaha...