Airis menyelak
langsir jendela dalam biliknya itu sekali lagi.
Dia merengus perlahan. Hampa
melihat jalan hitam pekat yang kosong terbentang depan matanya. Sesekali dia memanjangkan leher,
meninjau-ninjau kerlipan cahaya dari lampu kereta milik Rayyan. Kosong.
Dia menghembuskan nafasnya kuat.
Airis
menghempas badannya kasar ke atas tilam.
Dia mengibas-ngibas tangan laksana sedang terbang saat badannya meniarap
di atas katil dan wajahnya tersembam
pada bantal milik Rayyan. Dahinya
berkerut. Dia menaikkan wajahnya. Didekatkan kembali hidungnya pada bantal di
hadapan mata. Berkali kali dia mencium
bauan yang melekat pada bantal itu. Dia
tersenyum. Sekali lagi menarik nafas
sedalam-dalamnya dan mencium bauan yang melekat itu sambil di kepalanya
terbayangkan wajah Rayyan. Bauan itu
ternyata menyenangkannya.
‘Boleh naik
angau aku cium bau minyak rambut si Ray ni.’
Airis tersengih. Dia masih
seperti tadi, menyembamkan wajahnya.
‘Entah-entah
bau peluh pak cik ni. Pandai jek aku cakap minyak rambut. Silap-silap bau air liur basi dia!’ Airis menepuk dahinya sambil tersengih
lagi. Dia terlentang pula kali ini. Matanya memandang pada siling bilik itu. Wajah Rayyan terbayang sekali lagi saat itu. Tiba-tiba muncul pula wajah Jasmin berpimpin
tangan di sisi Rayyan.
“Arggghhhhh....” Airis menjerit perlahan. Digeleng-gelengkan kepala sambil tangannya
diletakkan di kedua-dua telinga.
Membuang jauh-jauh imej Ray yang sedang asyik bermesra bersama
Jasmin. Tiba-tiba hatinya terasa
sakit. Dia bingkas bangun.
Dia berjalan
mundar mandir di dalam bilik itu. Jam di
dinding sudah dijelingnya entah yang keberapa kali. Dia masih ternanti-nanti
kepulangan Rayyan yang menikmati makan malam bersama Jasmin. Terbayang-bayang kemesraan antara mereka
berdua menikmati hidangan yang enak-enak sedang dia menjeruk rasa di rumah
menunggu kepulangan suami sendiri. Dia
melepaskan nafasnya kuat. Sedikit marah
menanti Rayyan yang tidak pulang-pulang walaupun jam sudah menunjukkan ke angka
12 tengah malam.
Bosan
menunggu, dia memulas tombol pintu bilik.
Perlahan-lahan dia meniti anak tangga ke bawah. Dia ingin ke dapur membasahkan tekak
sementara menghilangkan kebosanannya menanti kepulangan Rayyan. Saat kakinya mencecah anak tangga yang
terakhir, dia terdengar suara dari tv yang terpasang di ruang tamu. Segera dia meninjau, bimbang malam-malam
seperti itu, ada yang terlupa untuk menutup tv sebelum masuk tidur.
“Eh,
Papa. Belum tidur lagi?” Airis mengukir senyum melihat bapa mertuanya
duduk terperusuk dalam celahan sofa empuk menghadap tv.
“Belum
Ris. Mata ni tak boleh nak tutup pulak
lepas minum kopi pekat tadi.” Dato’
Harun mengukir senyum. Cuba menutup
pembohongan dengan alasan yang diciptanya.
Selalunya pada jam ini dia sudah jauh belayar ke alam mimpi. Dari tadi dia sebenarnya resah menanti
kepulangan Rayyan. Dia tahu, Airis juga
sepertinya.
“Airis pun
susah jugak nak tidur ni Pa. Mak Intan
punya kopi betul-betul kaw kan Pa?”
Airis tergelak. Menyembunyikan
gundah di hatinya. Dia melabuhkan
duduknya di sofa bersebelahan bapa mertuanya.
Matanya memandang tepat pada tv di hadapannya. Lama mereka sama-sama
terdiam.
“Airis tahu
Ray ke mana?” Airis terkedu mendengar
soalan dari mulut bapa mertuanya.
Berasak-asak alasan datang menyerbu ke kotak fikirannya ketika itu.
“Dia jumpa client. Kot.” Airis menggigit bibir. Ahh, dia ternyata tak
pandai menipu!
“Dia jumpa
Jasmin kan?” Wajah tua bapa mertuanya
itu direnung. Airis ternyata tiada
jawapan untuk soalan itu. Dia hanya
mendiamkan diri dari tadi. Cepat-cepat
dia memandang ke arah tv semula.
“Airis
bahagia jadi isteri Ray?” Suara Dato’
Harun terasa berdesing menghiris gegendang telinganya. Dia sekali lagi terdiam kaku, matanya melekat
ke kaca tv tapi mindanya ligat memikirkan jawapan yang dirasakan sesuai.
“Masih
terlalu awal untuk Airis berikan penilaian Pa.
Susah nak jawab soalan Papa ni.”
Airis tersenyum. Dia mengalih
wajahnya menghadap ke bapa mertuanya semula.
Memandang sepasang mata tua di hadapannya itu.
“Papa mintak
maaf kalau Airis tak bahagia.” Suara
Dato’ Harun mengendur. Dia tidak
membalas pandangan Airis. Pandangan
matanya dialihkan ke kaca tv.
“Eh,
janganlah cakap macam tu Pa. Airis...” Airis terdiam. Lidahnya kelu untuk mengeluarkan
kata-kata. Hakikatnya, tiada jawapan
yang dirasakan bersesuaian dengan kenyataan bapa mertuanya. Dia sendiri keliru tentang status bahagia
atau tidak dirinya menjadi isteri Rayyan.
“Tu, calar
kat tangan, kat buku lali tu. Ray yang
tolak Airis masuk kolam kan?” Mata Dato’
Harun menjeling sekilas pada kesan calar pada lengan dan kaki Airis.
“La....ini
ke Pa? Ni Airis yang terjatuh ni
Pa. Tak hati-hati masa borak-borak
dengan Ray malam tu. Tau-tau jek dah ada
dalam kolam. Nasib baik Ray ada, dia
yang pimpin Airis keluar dari kolam.
Ala, sikit jek ni Pa.” Airis
melarikan pandangannya. Matanya meliar
pada kesan-kesan calar pada kaki dan tangannya.
Takut untuk memandang mata bapa mertuanya. Takut pembohongannya dapat dihidu.
Dato Harun
melirikkan senyum tipis. Dia tahu gadis
itu berbohong. Dari tingkap biliknya
malam itu, jelas semuanya yang berlaku pada anak dan menantunya. Dia melihat semuanya walau tidak dapat
mendengar butir bicara mereka berdua ketika itu. Dia dapat melihat sejelasnya Rayyan menolak
Airis sehingga gadis itu tersungkur di dalam kolam ikan. Kalau diikutkan hatinya yang panas, mahu saja
dia turun ke bawah dan memarahi tindakan melampau Rayyan terhadap Airis tapi
disabarkan hatinya. Sebagai ibu bapa,
urusan rumah tangga anaknya tidak wajar untuk dia campur tangan. Buat masa ini.
“Airis tak
payah nak sembunyikan apa-apa dari pengetahuan Papa. I know
everything. Selalu ke Ray buat Airis
macam tu? Mengasari Airis di luar
pengetahuan Papa?” Airis
terkebil-kebil. Hatinya dihambat rasa
bersalah. Dia tidak menyangka peristiwa dia terjatuh di dalam kolam ikan sampai
ke pengetahuan bapa mertuanya itu. Dan
lebih teruk lagi, bapa mertuanya itu tersalah tafsir tentang apa sebenarnya
yang berlaku. Betul bukan Ray yang
menolaknya tapi tidak benar dia secara tidak sengaja tergelincir ke dalam
kolam. Segalanya berlaku terlalu pantas
malam itu. Dan dia tahu Rayyan tidak
berniat untuk menolaknya dengan sengaja.
“Pa, Airis
rasa Papa tersalah faham ni. Betul,
ab...abang Ray tak pernah pun sakitkan Airis.”
Tersekat-sekat perkataan yang terkeluar dari bibirnya saat menggelar Ray
sebagai abang di hadapan Dato’ Harun.
Terasa janggal, apatah lagi selalunya dia ‘ber aku engkau’ saja dengan
Rayyan selama ini.
“Airis yang
tak hati-hati malam tu.” Airis
tersenyum. Cuba menyakinkan bapa mertuanya.
“ Papa rasa
bersalah atas apa yang Ray buat kat Airis.
Papa kecewa, apa yang Papa
rancangkan tak menjadi seperti yang Papa inginkan. Dan yang paling penting, Papa tak dapat tebus
kesalahan Papa pada Airis.” Dato’ Harun
menundukkan wajahnya. Merenung pada
lantai ruang tamu itu yang beralaskan karpet tebal berwarna kelabu.
“Pa, Airis
dah lama lupakan hal tu. Apa yang Papa
bagi pada Airis sekarang ni, lebih dari cukup.”
Airis terasa bersalah. Betul,
dulu dia cukup bencikan Dato’ Harun di atas kehilangan bapanya dan keputusannya
untuk mengahwinkan dia dengan Rayyan.
Tapi kini, Airis gembira dengan kehidupannya. Berkahwin dengan Rayyan membolehkan dia
menyambung pengajian ke universiti tidak lama lagi dan yang paling penting
dapat lari dari cengkaman Mak Mah. Ya,
itu sudah cukup membahagiakan dirinya walaupun Rayyan tidak ikhlas menerimanya
sebagai isteri.
“Airis
bersyukur sangat dapat ibu dan bapa mertua sebaik Papa dan Mama. Terima Airis seadanya. Layan Airis sebaik yang mungkin. Airis sendiri tak tahu macam mana nak balas
jasa baik Papa dengan Mama.” Airis mengukir
senyum seikhlas yang mungkin. Mengharap
bapa mertuanya itu tidak lagi dipagut rasa bersalah. Tentang hubungannya dengan Rayyan, biarlah
cuma menjadi rahsia mereka berdua sahaja.
“Papa dan
Mama tak pernah pun mengharap apa-apa balasan dari Airis. Kami cuma harap Airis bahagia menjadi
sebahagian dari keluarga kami. Ni jek
salah satu cara untuk tebus salah Papa pada Airis. Melihat Airis bahagia. Hmmm...sudah lah. Dah lewat sangat ni. Airis pergi naik tidur. Biar Papa yang tunggu Ray balik.” Airis tersenyum. Sedikit lega bapa mertuanya itu tidak
memanjangkan lagi perbualan mereka. Dia
bimbang macam-macam lagi yang akan ditanya sehingga akhirnya masalah dia
bersama Rayyan dapat dihidu.
Perlahan-lahan dia bangkit dari duduknya dan dia melangkah masuk ke bilik
tidur meninggalkan Dato’ Harun yang tidak berganjak dari tadi.
Airis sekali
lagi menyelak langsir jendela bilik.
Walau dia tahu takkan ada kelibat kereta Rayyan pada saat itu, dia tetap
merenung jalan di hadapan rumah.
Tertanya-tanya ke mana Rayyan dan Jasmin pergi sehingga masih belum
pulang-pulang lagi. Dia mengeluh kasar lalu melabuhkan badannya di sofa yang
menjadi katil untuk dirinya beradu. Cuba
untuk memejamkan mata.
Tiba-tiba
kedengaran bunyi kereta memasuki ruang parkir di hadapan rumah. Airis
membeliakkan matanya, memasang telinga.
Sah, Rayyan sudah balik!
Cepat-cepat dia menutup matanya, pura-pura tidur.
“Baru balik
Ray?” Dato’ Harun bersuara sebaik
dilihat pintu utama rumahnya dikuak dari ekor matanya.
“Eh, Papa
tak tidur lagi? Dah lewat malam ni
Pa.” Rayyan terkejut mendengar suara
Papanya. Tidak menyangka ayahnya itu
belum tidur pada waktu begini.
“Tahu pun
dah lewat malam. Kamu tu, dah lupa ke
jalan rumah kita ni sampai tak reti nak balik?”
Dato’ Harun tersengih. Sengaja
menyindir Rayyan.
“Isteri yang
ada depan mata tu kamu tak hargai, perempuan yang belum tentu jadi isteri kamu
tu lah yang kamu kejar-kejar. Jangan
nanti yang kamu kejar tak dapat, yang kamu kendong keciciran Ray. Satu hari nanti, bila dah takde depan mata,
baru kamu akan terasa betapa berharganya isteri kamu tu.” Mata Dato’ Harun masih menatap tv, enggan
melihat Ray yang sudah pun duduk bersebelahannya.
“Kamu dah
beritahu Jasmin tentang status kamu?”
Telinga Rayyan berdesing. Terasa
soalan itu menghiris tangkai hatinya.
Darah merah panas terasa menaik ke wajahnya.
“Ke Ray nak
Papa sendiri yang beritahu Jasmin?”
Dato’ Harun merenung ke mata anaknya.
Ingin melihat reaksi Rayyan.
“Apa ni
Pa? Papa suruh Ray kahwin dengan Airis,
Ray dah ikutkan. Sekarang ni, Ray rasa
Papa tak berhak masuk campur hubungan
Ray dengan Jasmin.” Ray sedaya upaya
mengawal nada suaranya. Bimbang
bertindak kurang ajar terhadap ayah sendiri.
“Kahwin
bukan hanya terletak pada sekeping sijil nikah kamu tu jek Ray. Ikatan perkahwinan tu membawa kamu kepada
satu tanggungjawab untuk bina kebahagian keluarga kamu sendiri. Kalau kamu kahwin, lepas tu kamu berkepit
dengan Jasmin 24 jam, lebih baik kamu tak payah kahwin.” Dato’ Harun mengeluh panjang. Kesal dengan tindakan anaknya yang
mengabaikan Airis.
“Dari kamu
kejar Jasmin yang tak cintakan kamu tu, baik kamu kejar hati Airis. Isteri kamu sendiri yang sah.” Dato’ Harun bersuara lagi. Dari tadi Rayyan hanya membisu. Dia tahu Rayyan marah terhadapnya.
Rayyan
tersentak. Kata-kata Dato’ Harun tentang
Jasmin menyasak ruang fikirannya. Dia
mendalihkan kenyataan itu di dalam hati.
Dia tahu, Jasmin cintakannya.
“Ray dah
mengantuk.” Rayyan bingkas bangun. Dia enggan meneruskan lagi perbincangan
dengan bapanya. Lebih banyak yang
didengar dari mulut bapanya, lebih sakit hatinya. Tambahan pula, dia sudah letih. Saat ini, dia cuma mahu melelapkan
matanya. Dia mengatur langkah ke bilik
tidur.
Rayyan
mengecilkan matanya saat pintu bilik dikuak.
Cuba melihat susuk tubuh Airis dalam gelap bilik itu. Dia meraba-raba suis yang melekat di dinding,
dan menekan suis lampu tidur. Dalam
samar-samar cahaya itu, dia terlihat Airis sedang berbaring di sofanya. Mungkin sudah lama dibuai mimpi, fikirnya.
Airis
membuka matanya sekecil mungkin. Dari
tadi dia membatukan dirinya, berpura-pura sedang tidur. Dia tidak mahu Rayyan
tahu yang dia sedang menunggu kepulangannya.
Dia memasang telinga, cuba mendengar pergerakan Rayyan.
Rayyan
menghampiri Airis yang sedang tidur. Dia
mendekatkan wajahnya ke muka Airis. Meneliti
setiap inci wajah di hadapannya itu dalam samar-samar cahaya biliknya. Wajah seorang isteri yang tidak pernah dia
rela untuk kahwini. Matanya terhenti
pada sepasang mata milik Airis yang sedang terpejam. Ya, mata itu lah yang menggetar jiwanya. Bundar mata milik isterinya itu kadang-kadang
membuat dia terbuai. Dalam diam, dia
akui, terbit perasaan aneh terhadap Airis.
Tangannya ingin mengilas rambut yang terjuih di dahi Airis, tapi
terhalang tiba-tiba. Bimbang gadis itu
terjaga. Bimbang untuk meneruskan
niatnya. Bimbang memikirkan niatnya
sendiri. Dia tersengih. Menggeleng-gelengkan kepalanya. Terlalu jauh dia berfikir. Matanya memandang pula pada susuk tubuh
Airis. Melihat Airis membongkok seolah-olah
menahan sejuk, dia mencapai selimut.
Rayyan membeliakkan matanya saat melihat Airis tiba-tiba menggerakkan
badan dan membuka mata. Cepat-cepat dia
berdiri dan mencampakkan selimut yang di pegangnya tadi ke tepi.
“Kau nak apa
ni?” Airis mengerutkan dahinya. Hairan melihat Rayyan yang tercegat berdiri
di sisinya. Tadi sewaktu dia berpura-pura sedang tidur, dia terasa satu gerakan
di sisinya, membuatkan dia lekas-lekas membuka matanya. Tambahan pula, Rayyan diam sejak masuk ke
dalam bilik.
“Errr...aku
nak...aku nak..” Suara Rayyan tersekat-sekat.
Dia mencari-cari jawapan yang tepat untuk soalan Airis. Bimbang Airis menyedari tindakannya yang
merenung wajah Airis tadi dan niatnya untuk menyelimutkan Airis.
“Nak
apa?!” Airis meninggikan suaranya. Gusar dengan permintaan Rayyan di
tengah-tengah malam begitu. Permintaan
seorang suami barangkali. Oh tidak, tak sanggup!
“Aku nak
kopi.” Terpacul ayat itu dari mulut
Rayyan sebaik disergah. Dia mengerutkan
dahi mendengar jawapannya sendiri.
“Hmmm...kopi. Ingatkan nak apa tadi.” Airis menghembus nafas kelegaan. Fikirannya yang bukan-bukan tadi terbang
melayang.
“Eh, kau kan
keluar dengan Kak Min tadi? Tak minum
ke?” Airis mengerutkan dahinya. Pelik dengan permintaan Rayyan.
“Alahhh..buat
jek la apa yang aku suruh. Aku nak minum
kopi. Sekarang jugak!” Rayyan menjegilkan matanya. Menegaskan pendiriannya untuk minum kopi di
tengah-tengah malam itu. Hakikatnya, dia
cuma mahu menyembunyikan perbuatannya tadi.
Terciptalah alasan kopi pada ketika itu.
“Kopi jek
pak cik? Biskut tawar, roti kering kau tak nak?” Airis tersengih. Sengaja memerli Rayyan. Dia tercegat di tepi pintu menanti reaksi lelaki
itu.
“Aku suruh
kau uli tepung malam-malam buta ni kang baru kau tahu.” Rayyan bersuara sinis. Geram dengan Airis yang sengaja melengahkan
masa.
“Buat apa
nak uli, kat dapur tu berbungkus-bungkus roti ada. Kau nak bawak mandi pun boleh.” Airis cepat-cepat keluar dari bilik itu. Takut menjadi mangsa amukan Rayyan walaupun
dia sendiri geram dengan permintaan Rayyan.
Lekas-lekas dia mengorak langkah ke dapur. Mencapai sebiji mug, botol berisi kopi
serbuk, bekas gula dan sudu. Laju
tangannya menadah air panas dari water
heater lantas mengacau kopi yang panas berasap itu. Setelah gulanya larut, dia menuju ke peti
ais, dicapai pula botol berisi air sejuk lalu dituangnya ke dalam mug yang
berisi dengan separuh kopi panas tadi supaya tidak terlalu panas untuk dihirup
Rayyan nanti. Setelah berpuas hati
dengan minuman yang disediakannya, dia naik semula ke tingkat atas, menuju ke
bilik tidur Rayyan.
“Kau baring
kat tilam aku kan tadi?” Rayyan menyoal sebaik tubuh Airis muncul di sebalik
pintu dengan sebiji mug di tangan.
Airis
terpinga-pinga. Bilik itu sudah terang
benderang. Segera matanya menangkap pada
alas tilam yang berkeromot di katil Rayyan.
Ah, terlupa dia hendak mengemasnya kembali setelah baring sementara
menunggu kepulangan Rayyan tadi. Dia
menggigit bibir, sedar dirinya sudah melakukan kesalahan.
“Ala, tadi
terbaring sekejap. Terbaring, ok? Sikit
jek ni. Kecoh la kau ni.” Airis meletak mug kopi yang dipegangnya di atas
meja, bersebelahan Rayyan yang dari duduk tercegat memerhatikannya. Cepat-cepat dia menghampiri katil Rayyan,
meratakan permukaan cadar berkali-kali menggunakan tapak tangannya. Setelah berpuas hati, dia menoleh ke arah Rayyan.
“Puas hati
pak cik?” Dia menjeling sekilas.
“Tu, kedut
tu. Tak rata. Kat tepi sebelah kanan.” Rayyan menjuihkan mulutnya, menunjuk ke arah
cadar yang nampak berkedut di matanya sambil tangannya memegang mug kopi yang
disediakan Airis tadi.
Airis
bengang. Di matanya, semuanya nampak
elok. Kemas, rata sepertimana sebelum
dia melabuhkan badannya tadi. Dia
membebel di dalam hati, tapi tangannya ligat meratakan permukaan cadar, menurut
perintah Rayyan.
“Tu, kat
tengah-tengah tu. Tak rata. Kau buta ke?”
Ray menjuihkan lagi muncungnya.
Kali ini dihalakan pula ke tengah-tengah tilam.
“Kau tu yang
buta! Kau nak rata macam mana lagi cadar
ni?” Airis separuh menjerit. Bengang dengan perlakuan Rayyan yang
dirasakan seolah-olah ingin mengenakannya.
Dia bercekak pinggang memandang Rayyan.
Rayyan
bangun setelah meletakkan mugnya di atas meja solek. Dia menghampiri Airis. Semakin lama semakin rapat. Airis mula gelisah. Bimbang dengan perlakuan Rayyan. Tapi dia masih tercegat, menanti perlakuan
lelaki itu seterusnya. Dada Rayyan yang
separas dengan kepalanya sudah betul-betul berdekatan dengan dirinya, Airis
meneguk liur. Terasa satu tolakan keras
dari bahu Rayyan, mengibas rambutnya ke pipi.
Badannya juga terinjak sedikit ke belakang. Rayyan selamba berjalan menuju ke almari
bajunya.
“Watch and learn.” Rayyan mengambil sebatang penyangkut
baju. Airis berdebar. ‘Eh, dia ni nak
denda aku ke? Nak sebat aku? Gila la pak
cik ni!’ Airis berbisik di dalam hati.
Rayyan
menuju ke katilnya. Dia melurut
permukaan cadar mengunakan penyangkut bajunya berkali-kali di setiap bahagian
dan penjuru katil. Sesekali tangannya
menarik kuat-kuat setiap bucu cadar.
Sambil itu tangannya ligat menggosok permukaan cadar sehingga tegang
tanpa sebarang kedutan.
“Pakai
tangan tak rata tau tak. Lain kali pakai
hanger ni, baru la rata. Nampak tegang, kemas cadar tilam ni. Aku tak nak tengok ada kedut-kedut,
gelembung-gelembung sikit pun kat katil aku ni.
Semua ni mesti kemas, tegak, tegang, teratur. Balik kerja, penat-penat, mata aku nak tengok
bilik aku ni kemas. Baru hilang semua
serabut kepala aku. Sebab tu aku boleh
tahu kalau ada orang usik barang-barang aku.”
Rayyan bersuara tanpa memandang Airis yang tercegat di belakangnya
memerhati. Puas hati dengan ketegangan
cadarnya, dia menyimpan kembali penyangkut bajunya.
“Kalau aku
tahu, aku bawak balik stand iron kat
butik tu. Senang nak gosok cadar bodoh
kau ni.” Airis menaikkan matanya ke
atas. Dia mengukir senyum sumbing. Terkekek dia ketawa di dalam hati melihat
kesempurnaan Rayyan dalam semua benda.
‘Gosok cadar pakai hanger? Aku
ni duduk dengan alien agaknya!’
“Cadar bodoh
kau cakap? Suka hati kau jek kan? Ah, tak kira!
Yang aku tahu, semua barang-barang aku dalam bilik ni kena kemas
teratur. Teratur. Faham? Semua kena susun tegak-tegak,
kemas-kemas. Dari hari tu aku nak tegur
kau pasal hal ni, tapi aku terlupa.
Balik dah penat. Ni, dah alang-alang sama-sama terjaga pagi-pagi buta,
biar aku sampai pesan sikit.” Rayyan membebel lagi. Airis sudah pun duduk tercegat memerhati
Rayyan yang beralih menyusun pula deretan minyak wanginya.
“Tahu pun dah
pagi buta, ingatkan tak tahu tadi. Kau
pergi mana dengan Kak Min sampai balik lambat?
Papa risau tunggu kau tak balik-balik.”
Airis merenung Rayyan, menanti jawapan dari lelaki itu. Ya, dia juga sebenarnya tertanya-tanya ke
mana Rayyan pergi bersama Jasmin.
“Oooo...kau
lah yang report kat Papa pasal aku
keluar dengan Jasmin?” Rayyan
menjegilkan biji matanya. Terasa ingin
ditelan Airis saat itu.
“Huh, tak
kuasa aku! Aku turun nak minum air tadi,
lepas tu nampak Papa tengah tengok tv.
Papa tengok tv waktu-waktu macam ni?
Memang tak kot. Bila aku tanya, dia cakap tunggu kau, tak reti nak
balik.” Airis mencebikkan mulutnya. Wajah Rayyan tidak dipandangnya.
“Habis tu
yang kau nak tahu aku pergi mana dengan Jasmin tu kenapa? Apa kena mengena aku pergi mana dengan Papa
tunggu aku balik?” Rayyan mengerutkan
dahinya. Memandang Airis yang sedang
mengulit kuku di jarinya.
“Aku...aku
tanya jek. Saja. Tak boleh ke?” Airis tergagap-gagap. Niatnya untuk mengetahui ke mana destinasi
Rayyan bersama Jasmin, terbantut.
“Tak
boleh. Apa yang aku buat, dengan siapa
aku keluar, kau tak boleh tahu. Dan
tolong jangan ambil tahu. Kau dah lupa,
kan kita dah janji kan? Kita buat hal
sendiri. Jangan masuk campur urusan
masing-masing.” Rayyan membelakangi
Airis, menghadap ke pintu almari lalu membuka baju yang dipakainya. Dia mencapai baju tidur yang tergantung di
dalam almari lantas menyarungnya ke badan.
Dicapai pula tualanya yang tergantung di penyidai, dililitnya ke
sekeliling pinggang. Dia membuka seluar
jeans yang dipakainya, kemudian menyarung pula seluar tidur. Setelah selesai, tuala tadi digantung
semula. Setegak yang mungkin. Bucu bertemu bucu.
“Aku tak
pernah ambil tahu pun. Kau keluar dengan
siapa, bila kau nak balik, aku tak nak tahu pun...” Tak! Aku nak tahu! Aku isteri kau! Aku berhak
tahu semuanya tentang kau! Airis menjerit di dalam hati. Mulutnya menidakkan hakikat sebenar isi hatinya
di hadapan Rayyan.
“Tapi fikir
lah sikit. Kalau Papa atau Mama tengok
kau takde, siapa yang diorang tanya? Aku kan?
Apa aku nak jawab?” Airis menaikkan keningnya, mengharap jawapan dari
Rayyan. Betul, dia memang ingin tahu ke mana saja lelaki itu pergi, dengan
siapa lelaki itu bersama, tetapi yang paling perlu dijaga hati adalah kedua ibu
bapa Rayyan. Bukan dirinya.
“Pandai-pandai
lah kau cover line. Kan kita dah janji sebelum ni. Apa pun yang kita buat, cuma kita berdua jek
yang tahu. Jangan sampai Mama dengan Papa aku tahu realiti sebenar hubungan
kita ni.” Rayyan cepat-cepat meneguk titisan
kopinya yang terakhir. Dia mahu
cepat-cepat merebahkan badannya. Dia
betul-betul keletihan.
“Aku ingat
kita pindah duduk sendiri jek lepas ni.
Senang takde siapa nak monitor
aktiviti aku.” Rayyan menarik selimutnya
menutupi seluruh badan tanda tamatnya perbualan mereka malam itu. Airis
terpinga-pinga. Ayat ‘pindah duduk
sendiri’ dirasakan antara dengar dan tidak di telinganya.
“Tu, cawan
tu. Pergi basuh. Tinggal kat situ nanti esok bersemut.” Airis mengetap bibir. Sempat lagi Rayyan mengarah kepadanya!
4 comments:
Assalam to writer...
just want to say... uuuuuuuu... HOT!.. hahahahaha...
Anyway, as usual, good luck n cant wait for next, next, next ep....
From: IJA
Nice n3 Adra! Tapi mcm ckit sgt la pulak... BTW, bila lagi nal buat Rayyan jealous? Kesian kat Airis yg selalu makan hati dgn peranagi Ray. Apakata bagi Ray jealous pulak, tgk mcm mana dia nak handle perasaan cemburu dia tu..do continue ye Adra!
Yalah kesian airis
.
orang macam Rayyan ni kena bagi terserempak sikit dengan Ziyaad. nak-nak kalau time tu Airis ada sekali. masa tu baru Rayyan ni tahu cemburu dan pandai menghargai orang. tertekan betul dengan si Rayyan ni hahaha...
Post a Comment