Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday, 20 September 2013

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 16










“Apa?  Biar betul Ma?!”  Rania Irdina mengerutkan dahinya.  Suaranya sedikit lantang, melawan suara lagu yang berkumandang dari corong radio.

“Betul lah.  Mama nampak macam menipu Nia ke?” Datin Marissa menjeling ke arah anak perempuannya sekilas.  Dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduannya.

“Abang Long dah kahwin?  Kenapa baru sekarang Mama beritahu Nia? Kenapa Kak Min takde cakap apa-apa pun kat Nia pasal perkahwinan diorang? Sampai hati Mama, Papa dan semua orang, buat majlis kahwin masa Nia takde kat rumah.”  Rania mendengus.  Marah, dirinya seolah dipinggirkan keluarga.

“Eh Kak Min?  Kenapa pulak Kak Min nak kena beritahu Nia pasal Abang Long dah kahwin?  Kak Min sendiri pun tak tahu abang Nia tu dah kahwin.”  Lampu signal ke kiri di petik jari telunjuk Datin Marissa, lalu perlahan-lahan stereng kereta dibelokkan ke kiri jalan.

“Hai Ma, takkan lah Kak Min kahwin, dia sendiri pun tak tahu.”  Rania menjeling mamanya.  Dirasakan ayat Mamanya itu tidak masuk akal.

“Eh, bila masa pulak Kak Min tu yang kahwin?”  Datin Marissa mengerutkan dahinya.  Dia pula jadi keliru.

“Ishhh..Mama ni cakap belit-belit lah.  Tadi kan Mama cakap Abang Long kahwin dengan Kak Min kan? Takkan lah Kak Min kahwin tak beritahu Nia.  Mama ni tak fokus lah time Nia cakap.”  Rania memeluk tubuhnya.  Pandangan matanya diarahkan ke luar tingkap kereta.

“Laaa...Mama pulak yang dikatanya tak fokus.  Nia, Abang Long tu bukannya kahwin dengan Kak Min kesayangan Nia tu.  Dah kalau dia tak kahwin dengan Abang Long, macam mana dia nak beritahu kat Nia?”  Datin Marissa menjelaskan lagi.  Tangannya masih mencengkam stereng kereta sambil matanya fokus pada pemanduan.

“Apa?!  Kak Min tak kahwin dengan Abang Long?  Habis tu, abang kahwin dengan siapa?”  Rania separuh memekik.  Dia betul-betul terkejut dengan kata-kata Mamanya.

“Dengan orang lain. Someone that you don’t know.”  Ringkas jawapan Datin Marissa.

“Kesian Kak Min.”  Suara Rania mengendur.  Sedikit kecewa menyedari hakikat Jasmin tidak menjadi kakak iparnya seperti yang diharapkan.  Dan impiannya untuk berkenalan lebih rapat lagi dengan Jefri, sepupu Jasmin, berkecai kini. 

“Papa dengan Mama nak Nia rahsiakan perkahwinan Abang Long dengan Kak Airis buat masa ni.”  Datin Marissa memandang pada lampu isyarat di hadapannya yang bertukar ke warna merah.  Dia memberhentikan kereta, menanti lampu itu bertukar ke warna hijau.

“Kenapa nak kena rahsiakan?  Ada apa-apa ke yang disorokkan dari pengetahuan Nia?” Rania memandang Mamanya.  Menanti jawapan dari mulut Datin Marissa.  Hilang segala letihnya menaiki bas lebih 8 jam malam tadi dari Kuala Terengganu.  Belum sempat dia meregangkan badannya, kepalanya sudah diasak pelbagai persoalan.  Sungguh, dia terasa kosong dengan apa yang terjadi pada keluarganya kini.  Terasa seperti dia bukan sebahagian dari keluarga itu.

It’s a long story actually.  Yang penting, buat masa ni Nia rahsiakan dulu dari siapa-siapa.  Kita tunggu sampai Abang Long dah betul-betul bersedia untuk dedahkan sendiri status dia.”  Datin Marissa menolak gear dari N ke D saat lampu merah tadi bertukar ke hijau. 

“Nia tak faham lah Ma.  Dah kahwin kan, kenapa nak rahsiakan pulak?”  Nia memandang wajah mamanya.  Menanti penjelasan.

“Papa yang suruh Abang Long kahwin dengan Kak Airis.”  Datin Marissa terdiam.  Kepalanya ligat memikirkan ayat yang sesuai untuk menerangkan pada anak gadisnya tentang situasi Rayyan.

“Habis tu Abang Long setuju macam tu jek?”  Rania terkejut.  Setahunya abang sulungnya itu seorang yang degil dan tegas dengan pendiriannya.  Berkahwin tanpa rela begitu sahaja kedengaran sangat pelik di telinganya.

“Terpaksa setuju.  You know your father really well, right?”  Datin Marissa tersenyum kecil. Mencari jalan singkat dengan menggunakan alasan tentang sikap suaminya yang tegas terhadap anak-anak.

“Siapa Kak Airis tu?”  Rania memandang wajah Mamanya.

“Perempuan.  Cantik.  Pandai masak.  Baik hati.  Seorang perempuan yang baik untuk Abang Long.”  Datin Marissa tersengih.  Imej Airis kini bermain-main di ruang matanya. Rania cuma membisu.  Letih untuk bertanya lagi.  Otaknya ligat memikirkan apa lagi yang dia tertinggal dengan situasi keluarganya.

Sepuluh minit kemudian, kereta Datin Marissa meluncur masuk ke perkarangan rumah.  Dia mematikan enjin kereta lantas membuka bonet.  Beg-beg yang dibawa anak gadisnya itu, disandang ke bahunya.  Anak gadisnya itu sudah menonong mencari tandas.  Dia tergelak kecil.

“Mama dari mana ni dengan beg-beg ni semua?”  Airis ramah menegur saat terlihat ibu mertuanya itu memasuki rumah.  Tangannya menuang teh panas ke dalam cawan di hadapan Ray.  Pagi ini, dia sudah awal-awal lagi ke dapur.  Menyiapkan nasi lemak sebelum Mak Intan sampai ke rumah.  Selalunya pembantu rumah itu akan membeli hidangan sarapan pagi di gerai berdekatan rumahnya untuk dihidangkan kepada mereka sekeluarga.  Hari ini, Airis terlebih dahulu memasak di awal pagi sebaik selesai menunaikan solat Subuh tadi.  Mak Intan juga sudah diingatkan dari awal petang semalam supaya tidak membeli hidangan sarapan pagi dari gerai.  Tekaknya tiba-tiba teringin pula hendak menjamah nasi lemak masakan sendiri.  Tambahan pula, dia begitu rindu untuk memasak.  Pagi ini, dia dapat memenuhi hajatnya.  Hilang sudah rindunya untuk bersilat dengan periuk belanga di dapur.

“Mama ambil Nia.  Eh, dia tak lalu sini ke tadi?  Sibuk sangat cakap nak ke bilik air, masuk dari pintu dapur lah tu.”  Datin Marissa tersenyum.  Dia meletakkan beg, menyandarkannya ke dinding, lalu menghampiri meja makan.  Aroma nasi lemak bersama sambal ikan bilis menerjah masuk ke rongga hidungnya.  Terus perutnya berkeroncong lapar.

“Hmmm...sedapnya bau nasi lemak.  Airis masak ye?” Datin Marissa menarik nafasnya dalam-dalam, menikmati aroma nasi lemak di atas meja makan.  Dia menarik kerusi lantas duduk bersebelahan Dato’ Harun.  Dia tahu nasi lemak itu dimasak sendiri, kerana kebiasaannya nasi lemak yang dibawa Mak Intan selalunya di dalam bentuk bungkusan bukan terhidang sebegini. 

Airis hanya mengukir senyum.  Cepat-cepat dia mencapai pinggan, menuang sesenduk nasi lemak sambil ligat pula menuang sambal, telur rebus, ikan bilis dan timun.  Dicapai pula sudu dan garfu lantas dihulurkan pinggan tadi kepada Datin Marissa. Dato’ Harun pula dari tadi khusyuk menghadap hidangannya sambil jarinya ligat menari di atas skrin tablet.

“Mana Mak Intan ni?  Ray punya telur dadar mana ni?”  Datin Marissa terjengah ke dapur, mencari kelibat Mak Intan sebaik dikilas pinggan nasi lemak Rayyan yang masih tidak terusik dengan ekor matanya.

“Ada ni Datin.  Borak-borak dengan Rania ni kejap.”  Mak Intan muncul bersama sepiring telur dadar dengan Rania yang berjalan seiringan.

“Ray ni tak makan telur rebus dengan telur mata tu Ris.  Kalau nak makan apa-apa, Mak Intan kena gorengkan dulu telur dadar baru dia nak makan.”  Mak Intan tersenyum memandang Airis.  Airis diam, tekun menikmati nasi lemak di hadapannya.  Dijeling pada Rayyan sekilas.  Padan lah dari tadi lelaki itu hanya meneguk teh.  Langsung tidak dihiraukan nasi lemak yang dihidangkannya. Mengada! Airis mencebik bibir.

“Airis, ni Rania.  Adik Ray yang bongsu.  Mama ambil dia kat bus station pagi tadi. Rania sekolah kat Kuala Terengganu.”  Airis bingkas bangun menghulur tangan pada gadis di hadapannya itu.  Dia mengukir senyuman selebar yang boleh.  Hulurannya disambut. 

“Oooo...ni rupanya wife Abang Long.  Sampai hati abang kan? Kahwin senyap-senyap tak beritahu Nia.”  Wajah gadis itu keruh.    Dia menunduk, menarik kerusi lalu melabuhkan duduknya.  Semua mata kini tertumpu padanya.

“Buat majlis kecil-kecil jek Nia.  Panggil yang penting-penting.  Utamakan yang wajib.  Kat sini pun takde buat apa-apa majlis.  Cuma buat dekat kampung Kak Airis kamu tu jek.”  Dato’ Harun tiba-tiba mencelah.  Cuba memecah keheningan keadaan pada waktu itu.

“Mana roti? Nia tak makan nasi lemak pagi-pagi macam ni.  Nanti gemuk.” Rania mencebik.  Sengaja menyindir kakak ipar yang dilihatnya berbadan sedikit gempal. Tapi dia akui, kakak iparnya itu mempunyai wajah yang menawan.  Matanya galak, keningnya tebal terbentuk.  Bibirnya mungil, mengukir senyuman yang cukup manis.  Ya, Airis memang cantik orangnya.

“Biar Kak Airis ambilkan.”  Airis bingkas bangun.  Kebetulan dia sudah pun selesai makan, pinggan kotornya hendak dibawa ke dapur untuk dicuci. Dia hakikatnya sedikit terasa dengan kata-kata adik iparnya tadi.

“Kalau tak suka, jangan tunjuk.  Jaga sikit perasaan orang lain dalam rumah ni.  Kak Airis tu bukan orang lain, kakak ipar Nia jugak.  Please respect her as you respect your own brother.”  Dato’ Harun merenung wajah Rania yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi sebaik Airis hilang dari pandangan matanya.  Pandangannya tidak dibalas, Rania leka menggodek telefon bimbit di tangannya.  Bosan direnung semua orang di meja makan itu, Rania bingkas bangun.

“Nia tak lapar.  Nia nak naik atas, tidur.”  Rania terus menonong meniti anak tangga.  Dia langsung tidak menghiraukan jelingan Dato’ Harun.  Hatinya panas bila melihat seluruh isi keluarganya menerima kehadiran Airis dengan senang hati. Entah dari mana munculnya perempuan bernama Airis itu, dia sendiri tidak tahu.  Dan sekarang, seluruh keluarganya nampak sangat menyenangi Airis.

Rania merebahkan badannya kasar ke atas tilam.  Dia benci melihat Airis.  Kedatangan Airis dalam keluarganya menyukarkan rancangannya untuk berbaik dengan Jasmin sekaligus menyukarkan dia untuk mendekati Jeffri, sepupu Jasmin.  Sangkanya, hubungan baik yang terjalin antara abangnya dan Jasmin akan berakhir di jinjang pelamin.  Jika itu kesudahannya, peluang dia untuk mengenali Jeffri dengan lebih mendalam akan terbuka luas.  Kini, harapannya musnah dengan kehadiran Airis.  Kalau setakat hadir, tidaklah dia terlalu risau, masih ada lagi peluang Jasmin menjadi kakak iparnya.  Tapi Airis kini sudah pun menjadi suri dalam hidup Abang Longnya, tentu sekali tiada lagi harapannya untuk melihat Jasmin berkahwin dengan Abang Long.  Sudahlah Jeffri sendiri bersikap acuh tak acuh dengan kehadirannya, apatah lagi sekarang ini.  Selama ini, Jasmin lah yang selalu menyampaikan perkara-perkara baik tentang dirinya kepada Jeffri supaya lelaki itu tertarik hati kepadanya.  Sekarang, sudah tentu Jasmin kecewa dengan status abangnya itu.  Dan pasti, harapannya untuk dicintai Jeffri, hancur berkecai.

“Arghhhh....”Rania menjerit.  Dia memejamkan matanya sambil tangan menarik-narik rambutnya yang panjang mencecah bahu.  Dia bingkas bangun, mendekati set home theater mini yang terletak di sudut biliknya.  Dia membuka DVD player dan memasang DVD dari kumpulan Metallica.  Speaker dibukanya pada tahap paling tinggi.  Seketika kemudian dia hanyut dalam hiruk pikuk muzik yang membingitkan telinga.






Airis mencangkung di hadapan pintu besi kedai.  Terkial-kial dia cuba membuka mangga yang melekat di celah pintu besi besar.  Setelah mangga berjaya dibuka, dia memegang hujung pintu besi itu lalu menolaknya ke atas sekuat hati.  Bunyi ia bergeser begitu kuat membingitkan telinga.  Selesai dengan pintu pagar besi yang satu itu, dia membuka pula pintu pagar kedai yang kedua.  Setelah itu, barulah dia membuka pintu kaca kedai. Untuk keselamatan, pintu-pintu pagar ini memang dipasang Jasmin dan Dalili berlapis-lapis seperti ini di samping dua biji kamera keselamatan yang di pasang di luar dan di dalam butik. 

Tadi pagi, selesai menjamu nasi lemak, dia menyambung tugas membasuh baju-baju kotor miliknya dan Rayyan.  Terasa segan pula membiarkan Mak Intan membasuh pakaian yang sudah dia dan Rayyan gunakan.  Lagipun apalah gunanya menjadi seorang isteri jika perkara-perkara seperti itu bukan diuruskan oleh dirinya.  Ditambah pula penggunaan mesin basuh jenis automatik di rumah itu memudahkan lagi kerja hariannya.  Sambil menunggu kain siap dibasuh, dia membersihkan pula bilik tidurnya.  Karpet divakum, sesudah itu lantai dimop pula.  Dia tak mahu menjadi mangsa bebelan Rayyan apabila pulang ke rumah petang nanti jika bilik Rayyan tidak dikemas rapi.

Selesai semuanya, dia segera membasahkan diri dan bersiap-siap pula untuk ke butik.  Kebiasaanya, dia hanya perlu menunggu teksi di rumah yang awal-awal sudah ditempah oleh Dato’ Harun memandangkan cuma ada seorang saja pemandu peribadi yang ditugaskan menghantar Dato’ Harun atas urusan kerja.  Memikirkan pelbagai risiko yang mungkin terjadi jika Airis menaiki bas ke butik, Dato’ Harun menempah teksi setiap kali Airis pergi dan balik dari kerja.  Airis tentu sekali berbesar hati dengan keprihatinan keluarga Rayyan ke atas dirinya.

Bunyi loceng dari pintu kedai mengejutkan lamunan Airis.  Cepat-cepat dia berlari anak menuju ke pintu, ingin membuka pintu yang diselaknya dari dalam.  Kebiasaannya, memang dia yang paling awal sampai ke butik.  Dan untuk mengelakkan perkara tidak diingini, pintu akan dikunci dulu dari dalam sehinggalah Dalili atau Zara yang sampai, barulah pintu akan dibuka.

“Ya?”  Airis mengerutkan dahinya.  Terasa pelik melihat lelaki di hadapannya itu yang sedang memegang bungkusan plastik berwarna merah jambu.

“Cik ni Airis Zulaikha?”  Lelaki di hadapannya itu mengukir segaris senyuman.

“Ya, saya. Encik ni siapa?” Airis memegang pintu.  Sekiranya terjadi apa-apa, senang untuk dia meloloskan dirinya masuk ke dalam butik lalu mengunci pintu.

“Saya dari Jovial Gift & Flower.  Ada delivery untuk cik ni.”  Lelaki itu menghulur bungkusan itu di hadapannya. Airis terkebil-kebil memandang bungkusan itu tapi tangannya masih menyambut huluran dari lelaki itu.

“Cik tolong sign kat sini ye.”  Lelaki itu menghulurkan sehelai kertas kepada Airis.  Setelah selesai mendapatkan tandatangan, lelaki itu berlalu meninggalkan Airis yang masih terpinga-pinga.  Saat Airis ingin mengunci kembali pintu butik, tiba-tiba Zara menyergahnya dari luar.  Terbuntang matanya, terkejut.

“Kau ni Zara, nasib baik aku tak pengsan kat sini tau.  Terkejut aku!”  Airis menampar lengan Zara lembut.  Geram dengan tindakan Zara yang mengejutkannya tadi.

“Hahaha...tu lah, berangan lagi!  Sebatu aku dah nampak sengih kau tu. Amboi....dapat apa ni?” Zara menjuihkan muncung bibirnya, menunjuk ke arah bungkusan yang dipegang oleh Airis.

“Aku nak bukak lah ni tengok apa ada kat dalam.  Tiba-tiba jek dapat macam ni, seram jugak aku.”  Airis tersengih.  Dadanya berdebar-debar.  Terasa cemas memikirkan apa isi kandungan bungkusan itu.  Mindanya juga tidak henti-henti memikirkan siapakah gerangan yang mengirimkan bungkusan itu.  Tangannya pantas membuka ikatan pada bungkusan plastik. Zara yang tercegat di sebelahnya, turut tidak sabar.

“Wahhhhh...teddy bear lah!”  Zara separuh menjerit sebaik kotak sederhana besar itu dibuka.  Dia cepat-cepat mengambil patung beruang sebesar bayi itu lalu dipeluk sekuat hatinya.  Airis mengerutkan dahinya.  Terasa pelik menerima patung beruang, bukan pada hari yang istimewa, atau pada hari jadinya.  Beruang dalam pelukan Zara ditenungnya lagi.  Berwarna merah darah.  ‘Rayyan?’ Getus hatinya memikirkan kemungkinan Rayyan yang menghantar kepadanya.  Dia sedar Rayyan tahu warna kesukaannya berdasarkan sandal yang dibelinya tempoh hari.  Juga berwarna merah darah.

“Lagi-lagi?  Apa lagi yang kau dapat?  Cepat, aku nak tengok!”  Desak Zara di sisi Airis.  Seronok lagaknya seolah-olah seperti dia yang menerima bungkusan penuh misteri itu.  Airis mencapai pula sekotak hadiah yang dibalut kemas  berikat reben. Perlahan-lahan dia mengoyak bungkusan yang membalut kotak itu.  Saat bungkusan dibuka, terpampang perkataan Cadbury di atasnya.  Dia mengukir senyuman. Coklat!

“Huiyyyoooo...coklat! Eiiii...beruntungnya kau! Eh, takde ke kad ke apa ke?  Nak tahu jugak siapa yang pemurah bagi ni.”  Zara membebel lagi.  Dia memegang kotak bungkusan besar tadi dan tercari-cari kad nama kalau-kalau ada disertakan sekali.  Airis yang dari tadi leka merenung kotak coklat dan patung beruang di hadapannya itu mencapai penutup kotak besar di tangan Zara.  Dia terperasan terdapat barisan perkataan pada permukaan dalam penutup kotak itu. Cepat-cepat Zara menyelit di sebelahnya.  Turut sama menumpang baca.

“SALAM PERKENALAN DARI SAYA. ZIYAAD ZIKRI ZAMIL ZIKRI.”  Zara membaca barisan perkataan pada permukaan dalam kotak itu kuat-kuat. Dia mengerutkan dahinya. 

“Ziyaad?  Ziyaad businessman yang handsome gila tu ke?!”  Zara menjerit lagi.  Matanya dibeliakkan.  Terkejut dengan nama yang meluncur dari mulutnya tadi.  Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbit di dalam begnya.  Ikon Google ditekan perlahan menggunakan jari telunjuknya sebanyak dua kali.  Menunggu beberapa saat, enjin pencarian itu sudah siap sedia digunakan.  Laju jari jemarinya menaip sesuatu.  Kemudian, segera dia mengunjuk telefon bimbitnya itu ke muka Airis.

“Ini?  Ni kan orangnya?”  Zara merenung wajah Airis.  Menanti reaksi gadis itu yang dari tadi terkebil-kebil.

“Ha ah.  Ini lah orangnya.  Macam mana kau boleh ada gambar dia ni? Ni gambar dia kat internet kan?”  Airis mengerutkan dahinya.  Terasa pelik melihat gambar Ziyaad di dalam telefon bimbit milik Zara. 

“Ni aku search image kat Google.  Kau tahu tak Ziyaad ni siapa?”  Zara membeliakkan biji matanya lagi.  Sukar mempercayai reaksi Airis yang tampak terpinga-pinga.

“Errrr...entahlah Zara.  Aku...”  Suara Airis tersekat-sekat.  Memorinya kembali saat Ziyaad menghulurkan business cardnya selepas peristiwa di dalam lif tempohari.  Sebaik Ziyaad menghilang dari pandangan matanya, cepat-cepat kad di tangannya itu dicampakkan ke dalam tong sampah.  Dia takut untuk menyimpan kad itu.  Bimbang dilihat Rayyan.  Bimbang disangka yang bukan-bukan oleh Rayyan walaupun dia sendiri tidak tahu tujuan Ziyaad memberikan dia kad tersebut.

“Kau ni Ris, lelaki sikit punya handsome macam ni kau tak tahu?  Ketinggalan keretapi kau ni, tahu tak? Kau tak ingat ke?  Parents dia kan customer kita hari tu.  Yang adik perempuan dia tunang tu lah.  Kan si Ziyaad ni asyik kenen-kenen kau kan masa tu?  Ye lah, aku dah ingat dah sekarang ni.  Patut lah aku rasa macam pernah tengok jek dia.  Hai...rugi betul aku tak ngorat dia masa kat rumah dia hari tu.  Kalau aku tahu, aku buat-buat baik dengan mak dia.  Bakal ibu mertuaku.”  Zara membebel.  Sekarang baru ingatannya kembali pada majlis pertunangan adik perempuan Ziyaad tempohari.  Kebiasaannya dia memang begitu, tekun menyiapkan kerja yang diarahkan Dalili tanpa mengambil peduli tentang latar belakang pelanggannya.  Melihat Ziyaad yang asyik merapati Airis membuatkan tumpuan dia sedikit terganggu.  Kini, dia dapat rasakan lelaki itu menyukai Airis.  Apatah lagi kini, lelaki itu mengirimkan pula hadiah buat Airis.  Ah, dia cemburu!

Zara menghampiri cash register machine di kaunter.  Tangannya ligat membelek buku log yang diletakkan bersebelahan mesin itu.  Dia memeriksa jumlah stok yang diterimanya petang semalam sebelum menggantungnya sebentar lagi.  Airis tersengih.  Terasa sedikit malu dikutuk Zara bahawa dirinya langsung tidak mengikuti perkembangan semasa.  Ah, dia memang tak punya masa menelek dunia luar selama ini.  Dulu, dunianya hanyalah warung dan kini, dunianya hanyalah butik Jazzy Collection ini. 

“Ziyaad Zikri ni anak Tan Sri Zamil Zikri, pengarah untuk Zeek Holding. Company yang uruskan semua Zeek Hotel, Zeek Resort, Zeek Spa, pendek kata asal ada nama zeek, zeek tu semua diorang yang punyalah kat satu Malaysia ni.  Ziyaad Zikri ni memang terkenallah dengan kekacakan dia di samping kredibiliti dia sebagai pewaris Zeek Holding selepas Tan Sri Zamil Zikri.  Selalu masuk paper, magazine, orang interview sana sini, gossip bercinta sana sini dengan artis.  Kau ni tak tengok tv ke Ris?” Zara menjegilkan matanya. Memandang Airis yang setia mendengar dari tadi.  Di minda Airis kini, terbayang-bayang wajah Ziyaad.  Lelaki itu rupanya seorang hartawan.  Sungguh dia tidak menyangka lelaki berperwatakan kelakar dan suka membuat dia ketawa itu seorang yang berada.  Mempunyai darjat yang tinggi di mata masyarakat dan terkenal satu Malaysia.  Sungguh, dia terasa bagai bermimpi dapat mengenali lelaki sepopular Ziyaad.

“Kenapa Ziyaad hantar kau teddy bear dengan coklat ni?”  Zara merenungnya lagi. Airis melarikan pandangannya.  Berfikir-fikir jawapan yang logik untuk sahabatnya itu.

“Ni.  Salam perkenalan.  Nak berkenalan lah maknanya.”  Airis menjawab bersahaja.  Matanya merenung kembali pada patung beruang yang bersetentang dengannya kini.  Comel!  Bertambah comel dengan warna kemerah-merahan.  Unik dan tersendiri.  Kebiasaannya, orang lebih menggemari patung beruang berwarna coklat ataupun krim.  Tetapi Ziyaad menghantarkan patung beruang berwarna merah kepadanya.  Seolah-olah tahu tentang warna kesukaannya itu.  Dia tersenyum gembira.  Berbunga-bunga hatinya kini.

Airis mengambil patung beruang di hadapannya itu.  Cepat-cepat dia memasukkan ke dalam locker kepunyaannya di bilik stor.  Kotak besar tadi, direnyuk-renyukkan sebelum dimasukkan ke dalam bakul sampah.  Kotak coklat pula diletakkan di atas kaunter, memudahkan sesiapa sahaja untuk menikmati keenakan coklat itu.  Untuk dibawa balik patung beruang dan kotak coklat itu, rasanya bukanlah satu  tindakan yang bijak.  Dia malas untuk menjawab pertanyaan Rayyan nanti walaupun dia sendiri tidak pasti adakah Rayyan akan menyedari tindakannya membawa pulang hadiah itu.  Ya, mungkin lelaki itu tidak kisah walau sedikit pun.  Langsung tak peduli.

Jealous aku Ziyaad nak ngorat kau. Eh, cuba kau tanya dia, adik dia single lagi tak?  Kenalkan lah aku kat dia.”  Zara memaut lengan Airis.  Mencebik-cebikkan bibirnya meraih simpati.  Airis tersenyum.  Terasa kelakar mendengar pertanyaan Zara.

“Dia kan cakap nak kenal jek ni.  Bukan nak ngorat aku, ajak bercinta pun.  Orang sekaya dia, satu Malaysia kenal, takkan lah nak orang macam aku ni.  Gemuk, pendek, tak lawa pulak tu.”  Airis merendah diri.  Dia sendiri tertanya-tanya tentang maksud barisan perkataan yang ditulis Ziyaad tadi.  Salam perkenalan. Bukankah selama ini mereka sudah saling mengenali satu sama lain.  Airis menggelengkan kepalanya.  Terasa pelik dengan ayat-ayat Ziyaad.

“Ris, mana ada orang nak berkenalan kasi coklat, teddy bear bagai ni semua?  Nak kawan, kawan jek lah.  Ni aku rasa bukan nak berkenalan sebagai kawan jek ni.  Ni mesti lebih dari kawan. Kalau kau nak tahu, beratur tau perempuan nak kat dia.  Bagi macam-macam kat dia.  Nak berkenalan dengan dia.  Nak jadi adik angkat, kakak angkat. Tiba-tiba dengan kau, dia nak berkenalan? Hmmmm...agak mencurigakan di situ.  Tapi, apa pun...arghhhh...jealousnya aku!”  Zara mencubit pipi Airis geram.  Sedikit iri hati dengan sahabatnya itu. 

“Eiii...sakit! Sakit lah Zara!”  Airis menutup matanya.  Menahan perit pipinya dicubit Zara.  Dia cepat-cepat menarik tangan Zara dari terus mencubit pipinya. Spontan, kedua-duanya sama-sama tergelak.

“Dah. Dah.  Jangan fikir lagi dah pasal Ziyaad ni.  Dia nak berkawan jek dengan aku. Tak payah nak jealous sangat ok? Jom kita sambung kerja.  Kang Kak Lili masuk butik tengok kita bersenang lenang, bergelak ketawa macam ni, mahu satu hari dia membebel nanti.  ”  Airis mencapai vacuum yang tersandar di dinding.  Malam tadi sebelum balik ke rumah, dia sempat meletakkan vacuum itu berdekatan kaunter supaya tidak terlupa untuk memvakum seluruh butik pada pagi ini.  Kebiasaannya seminggu sekali, dia akan membersihkan segala habuk dan sawang-sawang di seluruh butik.  Karpet yang terbentang di lantai cepat saja mengumpul habuk dan debu jika tidak rajin divakum.  Masing-masing kini tekun menghadap tugasan sendiri sementara menunggu Dalili sampai.






“Airis, ada lelaki nak jumpa Airis.”  Dalili menjengukkan wajahnya di sebalik pintu bilik rehat.  Airis yang dari tadi leka menatap helaian suratkhabar mengerutkan dahinya.  Siapa?  Dia bingkas bangun, berjalan keluar dari bilik rehat dan menuju ke pintu butik.  Dikerling jam di dinding bilik itu. 1.30 petang.  Sudah setengah jam dia menghabiskan waktu rehat tengaharinya.  Tinggal lagi setengah jam.  Bimbang dia tertidur setelah makan tadi, dia membaca suratkhabar untuk menghabiskan waktu rehatnya.

“Eh awak?”  Airis terkejut sebaik dia melihat wajah lelaki di hadapannya kini.  Ziyaad!

“Saya dah mintak izin dengan bos awak nak ajak awak keluar sekejap. Jom, kita pergi kat tingkat bawah, saya belanja awak makan.  Saya ada hal sikit nak cakap dengan awak.”  Ziyaad mengukir senyuman paling manis.  Berbunga hatinya dapat melihat gadis pujaannya itu di hadapan mata kali ini.  Airis diperhatikannya atas dan bawah.  Gadis itu ayu berbaju kurung berwarna ungu gelap ditaburi bunga kecil berwarna merah jambu.  Tudungnya yang berwarna ungu lembut itu sepadan dengan warna baju kurung. Ahhh...hatinya terus cair melihat Airis. 

“Masa rehat saya tinggal setengah jam lagi ni.  Lagi pun saya dah makan.” Airis menolak dengan lembut.  Dia membalas senyuman Ziyaad.  Serba salah untuk menerima pelawaan lelaki itu. 

“Sekejap jek.  Tak makan pun takpe. Kita sembang-sembang sekejap.  Lagi pun saya ada benda penting nak cakap dengan awak.”  Ziyaad merayu lagi.  Hatinya berdoa supaya gadis itu tidak terus terusan menolak.

“Ok.  Setengah jam jek tau.”  Airis menggigit bibir.  Terpaksa mengalah dengan ajakan Ziyaad.  Dia masuk kembali ke dalam bilik rehat, memaklumkan Dalili dan Zara yang dia ingin keluar bersama Ziyaad.

“Kita duduk minum kat sini ye?”  Ziyaad memandang ke pintu masuk Secret Recipe lalu menoleh ke arah Airis.  Meminta pandangan gadis itu.  Airis sekadar mengangguk. 

“Awak suka tak apa yang saya hantar pada awak pagi tadi?”  Ziyaad bertanya sebaik kedua mereka sama sama duduk pada sebuah set meja yang terletak di sudut restoran itu.

“Suka.  Terima kasih.  Susahkan awak jek.”  Airis mengangguk.  Dia tersenyum, menggambarkan betapa dia sangat menyukai hadiah yang diberikan Ziyaad.

“Tak susah pun awak.  Saya gembira awak sukakan hadiah tu.”  Ziyaad tersenyum lebar.  Hatinya berbunga lagi saat mengetahui Airis menyukai pemberiannya.

“Selalunya lelaki ni suka bagi perempuan bunga kan?” Ziyaad mengomel lagi.  Matanya tidak lepas merenung wajah ayu di hadapannya.  Rasa tak puas menatap wajah Airis.

“Saya baru nak tanya.  Kenapa teddy bear ye? Dan untuk apa?” Airis menunduk.  Kek di hadapan matanya cuma dikuis.  Dia sebenarnya sudah kenyang tapi tidak membantah saat Ziyaad memesan sepotong kek untuknya tadi.

“Kalau saya bagi awak bunga, lama-lama bunga tu mati.  Bila bunga dah mati, awak buang.  Ingatan awak pun takde kat saya sebab bunga tu dah takde depan mata awak.  Tapi kalau saya bagi awak teddy bear, selama-lamanya dia macam tu lah.  Tak mati.  Tak busuk.  Awak boleh simpan dan letak kat mana-mana.  Bila awak terpandang teddy bear tu, awak akan cakap ‘ohhhh...ni Ziyaad yang bagi.’ Sampai bila-bila jugak lah awak akan teringat kat saya kan?”  Ziyaad mengukir senyum, matanya tidak lepas menatap wajah Airis.  Dia tahu gadis itu tersipu-sipu malu, pipinya juga sudah merona merah dan dari tadi gadis itu asyik melarikan pandangan matanya dari terus direnungnya.

“Hari ni bukan harijadi saya.  Tapi, terima kasih untuk teddy bear tu.  Saya betul-betul suka.  Susah kot nak cari teddy bear warna merah.” Airis betul-betul gembira dengan pemberian Ziyaad, apatah lagi Ziyaad seolah-olah tahu warna kegemarannya itu.

“Saya suka warna merah.  Dalam banyak-banyak teddy bear kat shelf tu, saya rasa teddy bear merah tu lah yang paling menyerlah sekali.  Menarik-narik hati saya ni, suruh saya beli dan bagi kat awak.”  Airis tersentak.  Warna kegemaran Ziyaad juga merah rupanya!

“Awak tak jawab lagi pertanyaan saya.  Hadiah tu untuk apa?  Hari ni bukan harijadi saya.”  Airis memegang hujung straw pula.  Minuman yang terhidang di depan matanya, dihirup perlahan.  Menghilangkan gemuruhnya berhadapan renungan lelaki itu yang sangat menikam tangkai hatinya.  Lelaki itu, terlalu kacak!

“Saya rasa saya nak terus terang jek dengan awak.  Hadiah tu mewakili diri saya.  Saya nak kenal awak lebih dari seorang kawan. Saya cintakan awak. Dan saya berharap sangat-sangat awak boleh terima cinta saya ni.”  Airis tersentak lagi.  Dahinya dikerutkan.  Terasa keliru dengan kenyataan Ziyaad.  Di kotak tadi, salam perkenalan yang Ziyaad catatkan.  Kini, di hadapan matanya, sudah lain pula jadinya.  Mendengar ayat ‘saya cintakan awak’ dari Ziyaad buat Airis terasa seperti berada di awang-awangan.

“Dari hari pertama lagi saya tengok awak, saya dah rasa, you’re the girl.  Selama ni, perempuan yang kejar saya.  Tapi awak, awak macam takde perasaan bila tengok saya.  Awak macam tak peduli langsung kat saya.  Awak tak macam perempuan yang saya jumpa sebelum ni. Yang berebut nak berkenalan dengan saya lah, nak jadi adik angkat lah, kakak angkat lah, awek angkat lah.  Awak buat saya macam bukan sesiapa. Dan awak tahu tak, belum ada lagi orang yang tak nak call saya bila tahu no telefon saya? Awak orang pertama.”  Benar.  Gadis itu lain dari yang lain.  Tidak seperti gadis lain yang terkejar-kejarkan dirinya. Kalau bukan mengejar kerana ketampanannya, kerana kekayaannya.  Hanya Airis satu satunya gadis yang langsung tidak ambil peduli tentang dirinya.  Sikapnya itu membuatkan dia jatuh hati terhadap Airis.  Penolakan Airis untuk menghubungi dirinya tempohari menjadikan dirinya semakin nekad untuk memiliki gadis itu.  Dia tahu, Airis bukan gadis yang memandang pada kebendaan dan paras rupa.

Airis terkaku, lidahnya tiba-tiba kelu.  Dia jadi serba salah.  Serta merta fikirannya melayang pada Rayyan.  Lelaki itu, seburuk mana pun dia, masih tetap seorang suami buat dirinya.  Menerima cinta lelaki di hadapannya itu, seolah-olah membunuh kemuliaan martabat seorang isteri pada kesemua wanita di dunia ini.  Bagaimana sekali pun, dia masih isteri kepada Rayyan biarpun lelaki itu tidak pernah ikhlas menerima dia menjadi suri dalam hatinya.  Lelaki di hadapannya itu, dia tahu, sudah jatuh hati padanya, cuma dia yang enggan mengakuinya dari awal lagi.  Dari cara lelaki itu melayannya, cara lelaki itu memandangnya.  Dia tahu, lelaki itu mencintainya. 

Airis mengeluh perlahan.  Entah mengapa, saat ini dirasakan masalahnya datang bertimpa.  Sudahlah masalahnya bersama Rayyan belum bertemu jalan penyelesaian, Rania pula dilihat seolah-olah tidak menyenangi kehadirannya di dalam keluarga Rayyan, dan sekarang, Ziyaad pula hadir menagih cinta.

“Takpe Airis, saya faham.  Saya tak paksa awak untuk beri saya jawapan.  Saya sanggup tunggu sampai awak bersedia dengan jawapan awak.  Apa pun jawapannya, saya terima.”  Ziyaad mengukir segaris senyuman setelah dilihat gadis itu termenung lama.  Ada sedikit kekecewaan di hatinya melihat reaksi Airis.  Ternyata, hati gadis itu terlalu sukar untuk dimiliki. Airis terus terusan memandang piring kek di hadapannya.  Enggan menatap wajah Ziyaad.  Wajahnya kian keruh.  Tiada lagi senyuman di bibirnya.

Airis mendongak.  Memandang tepat ke mata Ziyaad.  Serba salah mendengar baris-baris yang dituturkan lelaki itu.  Terserlah keikhlasan hati lelaki itu cuba mendapatkan cintanya.  Jika bukan kerana status dirinya sekarang, tentu saja dia menerima cinta Ziyaad.  Ini lah pertama kalinya seorang lelaki meluahkan rasa cintanya terhadap dirinya.  Tanpa mengira siapa pun dia dan bagaimana pun bentuk fizikalnya.  Tapi, memikirkan Rayyan, dia buntu. 

“Terima kasih sebab sukakan saya.  Terima kasih sebab suka dekat saya yang gemuk dan tak cantik ni walaupun saya tahu awak boleh pilih yang jauh lebih baik dari saya.  Saya belum ada jawapan lagi untuk soalan awak tadi.  Tapi, pada saya, mungkin awak terlalu terburu-buru.  Mungkin awak cuma sukakan saya, bukan cintakan saya.  Mungkin kita perlu lebih masa untuk awak betul-betul mengenali diri saya dan masa tu mungkin awak akan sedar yang awak sebenarnya bukan cintakan saya.”  Airis tersenyum tawar.  Dia menuturkan ayatnya satu persatu.  Untuk menolak lelaki sebaik Ziyaad, dia tak sanggup.  Untuk menerima cinta lelaki itu pula, dia tak mampu.  Biarlah masa dan takdir saja yang jadi penentunya.

“Saya dah nak masuk kerja semula ni.  Bila-bila, kita jumpa lagi ye?”  Airis bingkas bangun.  Meninggalkan Ziyaad dengan hatinya yang remuk.  Belum pernah dia merasa sebegini kecewa dengan penolakan dari seorang gadis.  Dia menghela nafas panjang.  Menghantar Airis keluar dari pintu restoran dengan ekor matanya. 






Nota Selit : AA akan publish SKDC sampai bab 25 jek ye kawan-kawan semua.  AA dalam proses nak siapkan manuskrip SKDC dan hantar ke publisher by end of this year.  Harap-harap publisher tak reject SKDC n akan terbitkan SKDC dalam versi cetak.  Doakan yang baik-baik untuk AA dan SKDC ye! Kawan-kawan sume ada 9 bab lagi tuk baca SKDC online...pastu kena lah beli versi novel pulak tau!

4 comments:

Unknown said...

best...

Anonymous said...

Assalam t0 writer.

B4 I'm mumbling... Hihihi... Paragraph 22 n this quote "mak intan juga sudah diawalkan dari semalam supaya tidak membeli hidangan sarapan pagi dari gerai"... Xbrape jelas ayat 2, ayat awalny kurang faham rather than ayat last. Mungkin b0le tkr dgn pktaan yg lebih ssuai. (Bunyi mcm 0ver mg0men plak.)0hehehe...

Emmmm 0verall this ep. quite relax but still in a g00d m00d t0 read n feel, 0f c0urse...

Anyway, as usual t0 writer, keep it up, gud luck t0 writer t0 c0mplete the wh0le ep. n will pr0duce it... I'll waiting this art. H0pfuly it'll worth it.

Maaf kalau raseny ija bebel n mcm xpat0t... Hihihihi... C0z i luv s0mthng special n perfect n satisfied...

From : IJA

Adra Adiella said...

---> ija syg,

thanks darlim utk komen ija...AA mmg tunggu2 komen mcm ni..tepat, padat dan jitu...takde nk sorok2..


sebenarnya AA akan cek dulu sbelum publish, tapi percaya la, sbb da byk kali duk ulang bace sebelum move to next chapter...one final check sebelum publish kt blog mesti ade some mistakes yg AA tak perasan.

but thanks god i have u! selalunye konpem perasan ape yg AA tak perasan...

btw, thanks again syg sbb sudi menegur...

"C0z i luv s0mthng special n perfect n satisfied..."

Ayat ni konpem buat AA sakit otak lagi pikir jalan citer yg bez2 tuk SKDC!!huwaaaaa....

Fatini Zulghafar said...

wah Ziyad, very fast! bagus biar padan dengan muka Rayyan tak reti nak jaga hati perasaan orang. kan dah ada yng lain cuba test line Airis.

dah nak dihantar ke publisher dah... alamatnya kena tunggu publish leni. apa-apa pun, chaiyok AA!!!