Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Friday, 10 October 2014

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 23











Airis menarik nafas dalam-dalam.  Menikmati aroma membangkitkan selera yang datang dari mee goreng yang baru saja selesai dimasaknya.  Semalam mee yang dicelur untuk dinikmati bersama kuah hailam banyak lagi lebihannya, terus saja terlintas untuk digorengkan saja pagi ini.  Cepat-cepat dia mencapai sebatang timun lalu dikupas kulitnya.  Dia memotong serong timun itu penuh hati-hati lalu menyusunnya cantik-cantik di atas pinggan sebelum menuangkan limpahan sos cili di atasnya.

Aroma harum yang menaikkan selera itu membuatkan Rayyan terbangkit dari tidurnya.  Dia menjeling pada jam yang terlekat di dinding.  6.30 pagi.  Bingkas dia bangun, segera ke bilik air menunaikan kewajipan bertemu Pencipta.  Usai solat, dia menuju ke dapur.

“Kau masak ke?” Rayyan duduk.  Kembang kempis hidungnya menghadap semangkuk mee goreng basah terhidang depan matanya.  Dia meneguk liur.

“Tak lah.  Aku tengok jek mee tu masuk sendiri dalam kuali, tumis sendiri dalam kuali.  Alih-alih terus jek siap macam ni depan mata.  Magik betul kan?” Airis menjawab acuh tak acuh.  Malas dia ingin menjawab soalan bodoh dari Rayyan apatah lagi dengan peristiwa makan malam tadi.  Hatinya betul-betul sakit mengenangkan Rayyan yang langsung tidak menghiraukan dirinya saat Jasmin duduk dengan mereka ikut sama menikmati hidangan makan malam.

“Hmmm..kelakar sangat lah tu.  Kan aku cakap jangan masak.  Jangan buat apa-apa dalam rumah ni.  Tangan kau kan belum baik lagi.”

“Takpe lah pak cik.  Sakit pun boleh lagi aku gagahkan bawak memasak.  Dari makan kat luar sakit hati, baik aku masak sendiri.  Perut pun kenyang hati pun tak sakit.  Lagipun tangan aku dah baik. Tak payah nak risaukan aku.” Airis bingkas bangun.  Malas ingin mendengar sebarang penjelasan dari mulut Rayyan.  Kalau berkenaan Jasmin, pasti saja perempuan itu bukan penyebab sebarang masalah.  Semuanya yang baik-baik saja tentang Jasmin.

Rayyan mematikan diri.  Hatinya terasa sebal.  Dia tahu Airis menyindirnya.  Dia yakin Airis tentu sedang marahkan dirinya disebabkan peristiwa malam tadi.  Sepanjang perjalanan pulang dari makan malam itu, wajah Airis keruh sehingga dia sendiri takut untuk menegur Airis.  Dia mengeluh di dalam hati, dia sedar ini memang kesilapan dari dirinya juga.  Entahlah, bertemu wanita pujaannya itu, buat dia terlupa dengan orang di sekelilingnya sehingga tanpa sedar telah mengguris hati Airis.  Tapi, egonya menghalang dari mengakui kesilapan.  Dia terus mematikan diri sambil menyuap mee goreng ke dalam mulut.  Selesai makan, dia bingkas bangun mencapai briefcase dan kot miliknya.

Airis yang dari tadi khusyuk menyental kuali yang digunakan untuk menggoreng mee, menghentikan perbuatannya.  Dihampiri Rayyan yang berdiri tercegat di hadapannya.  Dihulur tangan ke arah Rayyan lalu dicium tangan itu seperti kebiasaan.  Cuma selalunya rutin itu dilakukan di hadapan ibu bapa mertuanya sebelum ini, tapi pagi itu, laju saja dia menyalami tangan suaminya itu. 


Rayyan tersentak di dalam hati.  Pagi itu terasa pelik menyambut huluran salam dari Airis.  Terasa tindakan itu tidak perlu tapi dirinya sendiri tercegat di hadapan Airis menanti isterinya itu menyalaminya.  Terasa rutinnya pagi itu tidak lengkap tanpa salaman dan ciuman dari Airis.  Dia cepat-cepat mengalihkan pandangannya saat Airis bangun dari tunduknya saat mencium tangannya tadi.  Segera dia mengatur langkah menuju ke muka pintu dan membuka pintu kereta.  Saat keretanya berundur, Airis dilihatnya sudah pun menutup pintu.







Airis membuka tudung lantas meletakkannya di birai katil.  Dia menukar blaus dan jeans yang dipakainya dengan t-shirt dipadankan bersama seluar track berwarna biru gelap.  Pantas dia mengatur langkah ke ruang dapur membelek satu persatu barangan yang dibelinya di pasar tani tadi.

Jam menunjukkan pukul 11 pagi.  Airis menyanyi kecil, membersihkan udang dan sotong perlahan-lahan.  Empat jenis ikan yang baru disiangnya tadi, dibersihkan lalu dimasukkan ke dalam plastik berasingan sebelum memasukkannya ke dalam peti ais bersama udang dan sotong.  Dia bercadang ingin memasak gulai lemak ikan tongkol putih digandingkan bersama sayur kobis goreng untuk santapannya tengahari nanti.  Hidangan yang dimasaknya juga tidak lah terlalu banyak dan tidak lah terlalu sedikit.  Cukup untuk dia dan Rayyan untuk menikmatinya sehingga ke malam nanti.

Selesai memasak dan menikmati hidangan tengahari, Airis tercegat di hadapan pintu bilik Rayyan.  Berkira-kira untuk masuk atau pun tidak.  Dia nekad apatah lagi memikirkan baju-baju yang ingin dibasuhnya sekejap lagi.  Tangannya memulas pintu bilik lalu menguaknya perlahan-lahan.  Sama seperti bilik Rayyan di rumah ibu bapanya, bilik Rayyan di rumah itu juga kemas.  Hiasannya juga sederhana, tidak terlalu sarat.  Airis senyum tipis.  Sedikit lega melihat bilik itu yang teratur kemas.  Dari muka pintu dia sudah terpandangkan bakul baju kotor milik Rayyan.  Segera dia menggapainya sebelum berhenti di hadapan sebuah almari kaca yang kosong.  Terpandang pula pada sebuah kotak di lantai yang masih belum berusik.  Tersadai kesemua koleksi kesayangan milik Rayyan yang masih belum sempat dikemas.  Dia duduk bersimpuh, memulakan kerja menyusun satu persatu perlahan-lahan.

Tepat pukul 3 petang, Airis menghembus nafas kelegaan. Semua koleksi Rayyan sudah pun siap disusun.  Dia cepat-cepat menuju ke dapur, mencampakkan baju-baju kotor ke dalam mesin basuh lalu menetapkan arahan pada mesin basuh itu sebelum menuju ke halaman belakang rumah.  Anak pokok manggis dan pulasan yang dibelinya tadi dibelek sambil tersenyum.  Dia mencapai cangkul yang juga dibelinya tadi.  Perlahan-lahan membuat dua batas sepanjang satu meter sebelah menyebelah sebelum mencampurkan tanah di laman itu dengan tanah bakar yang dibelinya.  Airis mengambil dua bungkusan kecil peket berisi biji benih sayur sawi dan bayam lalu menaburkannya di atas batas.  Ditaburkan juga butiran kecil baja lalu dijiruskan air di seluruh batas tadi.  Airis tersenyum puas.

Terus lupa pada rajuk dan marahnya dia dengan perbuatan Rayyan malam tadi.  Terasa terubat kerinduannya untuk bercucuk tanam setelah lebih kurang dua bulan meninggalkan kampung halamannya.  Pasti sayur-sayuran yang ditanamnya di sebelah warung, sudah dipetik hasilnya oleh Kak Inah.  Entah Kak Inah sempat menanam biji benih baru entahkan tidak.  Datang rindunya pada Kak Inah, Hakimi dan kampungnya tiba-tiba. 

Teringat pula dia pada arwah ayahnya yang menurunkan segala petua menanam pokok dan sayuran kepadanya sewaktu kecil dulu.  Minatnya itu datang dari sikap arwah ayahnya yang tidak pernah jemu berbakti pada tanah.  Kata arwah ayahnya lagi, takkan rugi kalau berbakti pada tanah.  Lihat saja hasilnya dua atau tiga bulan kemudian, pasti segala penat kudrat kita akan berbayar.  Sekarang, Airis rasa sudah tidak sabar menunggu hasil tanamannya selepas ini.  Dia tersenyum lagi lebih lebar.

“Kau memang tak boleh duduk diam eh?” Airis melatah saat terdengar suara Rayyan di tepi telinga.

“Kau ni, terkejut aku! Eh, cepatnya kau balik? Dah pukul 5 eh?” Airis menghembus nafas keletihan.  Tidak menyangka langsung jam sudah mencecah ke 5 petang.  Rasa seperti baru saja dia memulakan aktiviti bercucuk tanam tadi. Tahu-tahu Rayyan sudah tercegat bercekak pinggang di sebelah.

“Dari pukul berapa kau kat luar ni?  Merah padam muka kau.” Rayyan menelek setiap inci wajah Airis yang tampak kemerahan itu.  Peluh berjuraian di sekitar mukanya.  Bajunya juga tampak basah di bahagian belakang.  Pastinya Airis sudah berjam di laman belakang ini.  Apatah lagi bila dia melihat dua batas tanah sudah siap dicangkul dengan sebatang anak pokok sudah terpacak ditanam di satu sudut laman itu.

“Pukul 3 tadi.  Rasa macam aku baru jek kat sini.  Sedar-sedar kau dah balik dah.  Kau dah makan?  Aku dah siap masak, kalau kau nak makan, aku hidangkan.” Airis mencapai penyapu laman, mengais daun-daun kering yang berguguran dari pokok yang ditanam di tepi jalan berdekatan laman belakang rumah.

“Kau masak? Lagi, kau buat apa kat rumah ni?”  Rayyan sedikit bengang.  Airis memang degil.  Berkali-kali dia ingatkan supaya tak perlu memasak, tapi Airis tetap memasak.  Dan sekarang, dia melihat gadis itu sudah pun siap bercucuk tanam.  Terasa ingin dipiatnya telinga Airis saat itu.  Biar Airis mendengar kata-katanya.

“Aku pergi pasar, beli barang dapur, anak-anak pokok ni, cangkul, penyapu laman, basuh baju, masak. Dah...itu jek aktiviti aku hari ni? Satisfied enough?” Airis senyum senget.  Dia tahu Rayyan marah dengan dirinya.  Tapi, dia juga sukar dikawal.  Dia tak pandai duduk diam tanpa melakukan apa-apa, apatah lagi di dalam rumah yang didiami oleh dia dan Rayyan.  Kalau di rumah keluarga Rayyan dulu, boleh juga dia menolong Mak Intan memasak atau sekadar berborak kosong dengan wanita itu untuk menghabiskan masa.  Sekarang ini, dia keseorangan.  Untuk menghilangkan bosan, macam-macam yang dia lakukan tanpa sedar mengundang marah kepada Rayyan.

“Kan aku cakap tak payah buat apa-apa.  Kau duduk jek dalam rumah tu diam-diam tak boleh ke?  Kan tangan kau tu sakit.  Ni kau mencangkul apa bagai, nanti bleeding macam mana?” Rayyan membebel.  Dia cekak pinggang lebih kuat.  Dia risaukan keadaan lengan Airis hakikatnya.  Luaran memang lukanya sudah pun kering tapi dalamannya baik dia atau Airis tidak tahu.  Apatah lagi dengan aktiviti mencangkul seperti ini, dia takut keadaan Airis akan jadi lebih buruk.

“Pergi jek la hospital.  Apa susah.” Airis menjeling.  Bosan mendengar Rayyan membebel walau dia sebenarnya terharu Rayyan seakan-akan mengambil berat terhadap dirinya.  Mungkin, menjaga kebajikannya supaya tidak dimarahi Dato’Harun!

“Haa...cakap memang senang.  Kau tu nanti kat hospital macam baby, makan ubat sikit punya payah.  Nak kena ajak bertumbuk dulu, baru lah nak suap ubat tu ke mulut.  Berapa kali aku dah pesan, jangan masak.  Beli jek, tak pun kita makan jek kat kedai.”  Rayyan terus menerus membebel.  Sakit hatinya mendengar jawapan selamba dari mulut Airis.

“Hmmmmm...tak payah nak makan kat kedai sangat lah.  Masak bukan susah mana pun.  Lagi pun aku lagi suka makan kat rumah dari makan kat kedai.  Kalau kau tak suka masakan aku, kau boleh makan kat luar dengan Kak Min. Aku makan apa yang ada kat rumah ni jek.” Airis menundukkan wajahnya.  Dikais daun-daun yang sama berulang-ulang kali.  Ikut tercarik seperti hatinya bila mengenangkan sakit hati menjadi patung cendana menyaksikan drama Rayyan dan Jasmin sewaktu makan malam. Dia benci bila teringatkan semula peristiwa malam tadi.

Rayyan tahu Airis menyindirnya.  Dia tahu Airis pasti berkecil hati dipinggirkan malam tadi. Dia mencari akal untuk mengubah topik, serta merta dia mengalih pandang pada satu beg anak pokok yang masih tersandar di dinding. Terasa hairan melihat anak pokok itu di situ sedangkan satu lagi sudahpun ditanam Airis.

“Ni satu lagi anak pokok ni kenapa tak tanam sekali?  Nak simpan untuk siapa?”

“Simpan untuk kau.  Nak suruh kau yang tanam.” Airis menghampiri Rayyan yang berdiri bersebelahan anak pokok manggis yang dibelinya tadi.

“Aku punya pokok pulasan.  Tu, aku dah tanam siap-siap.  Kau punya tu pokok manggis.  Kita tanam, lepas tu kita tengok siapa punya yang hidup subur, berbuah banyak.  Senang cerita, pertandingan menanam pokok.  Pokok mana yang mati, dikira kalah. Setuju?” Airis tersengih.  Tak kisah lah andai jodohnya dengan Rayyan nanti tidak mencecah ke 4 atau 5 tahun yang akan datang sekali pun, yang penting dia tetap ingin meneruskan minatnya.  Sudah lama dia mengimpikan duduk di rumah sendiri, dapat bercucuk tanam seperti ini dan mempunyai pokok buah-buahan yang buahnya boleh dipetik sendiri setiap kali tiba musimnya.

“Mestilah pokok aku yang berbuah paling lebat sekali.  Pokok kau tu entah-entah 2,3 bulan lagi mati. Hahaha...” Rayyan tergelak.  Sengaja menyakat Airis apatah lagi melihat wajah ceria Airis yang bersinar-sinar itu.  Dia lega Airis seperti sudah dapat melupakan peristiwa malam tadi. Dan yang penting dia suka melihat senyuman Airis.  Terasa berbunga hatinya tiba-tiba melihat wajah ceria itu.

“Tolong sikit ye.  Arwah ayah aku dah turun banyak ilmu bercucuk tanam ni tau.  Kita tengok nanti siapa punya pokok yang hidup, siapa punya yang mati.  Aku takut yang tergelak besar tu jek yang mati dulu.  Hahaha....” Airis sama-sama tergelak.  Terasa lucu dengan ayat Rayyan yang berlagak dengannya. 

“Eh, ingat aku tak pandai ke tanam pokok. Meh aku tunjuk kat kau.  Mula-mula cangkul tanah ni buat lubang dulu.”  Rayyan mencapai sebatang cangkul berdekatan.  Dicangkul tanah sedalam yang dirasakannya bersesuaian.

“Lepas tu, keluarkan beg plastik dia ni.  Masukkan dalam tanah lepas tu kambus. Lepas tu ambik pulak getah paip, jirus lah air bagi dia hidup subur.” Rayyan tersengih.  Hujung paip getah tadi sengaja ditujukan ke arah Airis yang dari tadi tercegat memerhatikannya.

“Woi, basah!  Habislah basah baju aku!” Airis terjerit saat air yang keluar dari getah paip yang dipegang Rayyan dihala ke arahnya.  Sungguh dia terkejut Rayyan menyiram air ke arahnya yang sedang khusyuk melihat Rayyan menanam pokok dari tadi.  Tidak menyangka sama sekali perbuatan Rayyan.

“Apa? Apa kau cakap?  Tak dengar!” Rayyan menyuakan telinganya ke arah Airis.  Dia sengaja menyakat Airis.  Tangannya masih tak lepas dari memegang paip getah yang dihalakan ke arah Airis yang sudah pun cuba melarikan diri.  Tapi dia tidak tercegat, meluru saja ke sudut mana pun Airis pergi melarikan diri.  Dia ketawa berdekah-dekah.  Seronok melihat Airis yang terpekik-pekik meminta dihentikan perbuatan itu.  Lama dia tidak mengenakan Airis.  Terasa rindu. Ya, rindu.

“Air tu...kena kat aku lah! Apa kau ni! Basah lah aku woi!” Airis terpekik lagi.  Tangannya mengibas-ngibas air yang terpercik ke mukanya.  Baju dan seluarnya sudah pun lencun.  Dia berlari ke kiri dan kanan, mengelak dari terkena pancutan air dari Rayyan.

“Bak sini  getah ni!” Airis merampas getah paip dalam genggaman Rayyan sepantas yang boleh.  Tapi Rayyan ternyata lebih pantas.  Dia menghalakan getah paip itu tepat ke muka Airis, menyukarkan Airis untuk mendekatinya.  Tapi, gadis itu lebih bijak.

“Adui!” Rayyan menjerit, melihat kakinya yang berdenyut dipijak Airis.  Saat itu, genggaman getah paip di tangannya sudah berjaya dirampas Airis.  Serentak itu juga, pancutan air mengena tepat ke wajahnya.

“Eh...main kasar kau ni!  Nanti kau! Aku dapat getah paip tu, aku mandikan kau kat sini jugak!” Dia mengejar Airis yang sudah pun terkekek-kekek ketawa sambil berlari-lari anak mengelak dari Rayyan yang cuba merampas getah paipnya kembali.  Kali ini dia pula yang mengelak dari terkena pancutan air.  Kali ini dia pula yang kebasahan.


Lupa terus Rayyan dengan segala keletihan di pejabat tadi.  Dia seronok bergurau senda bersama Airis tanpa langsung menyedari matahari perlahan-lahan melabuhkan tirainya. Petang itu, kedua-duanya basah dalam kegembiraan.








Nota Selit : Nah, AA belanja cepat sikit bab 23...lagi dua bab ye sayangs semua sebelum AA tutup SKDC...pastu AA nak bertapa dalam gua siapkan manuskrip SKDC pulak...Terima kasih yang tak terhingga buat yang sudi tinggalkan komen untuk bab 22...terima kasih juga untuk yang baca tapi tak tinggalkan komen pun AA hargai sangat2!...tak sangka masih ada lagi yang sudi baca SKDC lepas lama AA tinggalkan...AA terharu! terima kasih byk2! sayangggggg sayangs semua!

1 comment:

Anor said...

alaa.. ada 2 siri je lagi.. kenapa
sikit sgt.. mesti lama lagi boleh
dpt di pasarankan?