Pages

Coretan Penulis

Khas untuk semua pembaca Ilham Dari Hati,



Terima kasih sudi luangkan masa membaca karya Adra Adiella. Cuma yang AA harapkan, komen-komen membina dari semua yang telah pun membaca. Supaya AA akan lebih bersemangat untuk terus menulis dan dapat memperbaiki sebarang kesilapan yang mungkin tidak AA sedari.



Komen la sikit ye!



~ Adra Adiella ~

Monday, 6 October 2014

Saat Kau Dakap Cintaku - Bab 22











Airis menaikkan kedua-dua bahu sambil menarik nafasnya dalam.  Dingin pagi Isnin itu benar-benar mencucuk sehingga ke tulang hitam.  Dia memeluk tubuhnya, cuba menghalang dari terus menyerap kesejukan cuaca pagi itu.  Airis menyelak langsir tingkap biliknya, memerhati rintik hujan yang melekat memenuhi cermin tingkap.  Cantik.  Lama Airis merenung setiap titis air yang terkumpul membentuk bulatan-bulatan jernih di permukaan luar tingkap biliknya itu.

“Ris,  nanti semua koleksi aku dalam almari tu kau masukkan dalam kotak ni.  Aku nak packing baju-baju aku.”  Airis mengerutkan dahinya sebaik mendengar arahan Rayyan.

“Kau tak kerja ke hari ni?”  Airis memerhati pakaian Rayyan dari atas ke bawah.  Lelaki itu cuma bersinglet putih dengan seluar pendek separas lutut.  Dia menjeling jam di dinding sekilas.  8.00 pagi.  Selalunya selepas bersarapan pagi, lelaki itu akan terus bergegas ke pejabat.  Padanlah dari tadi dia lihat Rayyan begitu bersantai, tidak tergesa-gesa bersiap untuk ke pejabat.

“Tak, aku tak kerja. Kita berkemas hari ni.  Esok kita pindah.  Aku dah dapat rumah.”  Rayyan membuka pintu almarinya.  Dia berdiri tercegat.  Memerhati setiap helaian pakaiannya yang tergantung.

“Esok? Esok kita pindah? Betul ke?”  Airis mengerutkan dahinya.  Terasa tidak percaya dengan apa yang didengari.

“Ya, esok.  Hari ni kena lah kemas semua barang.  Esok pagi kita pergi rumah baru tu, kemas kat sana pulak.  Semua perabot aku dah order, esok diorang hantar kat rumah kita tu.” Kita?  Airis tersengih.  Perkataan kita tadi membuatkan dia tiba-tiba terasa lain.  ‘Kita’ tadi buat dia rasa istimewa.  Airis dan Rayyan.  Kita.  Airis tersengih lagi.

“Koleksi kereta dengan patung-patung kau ni, nak kena bungkus suratkhabar dulu ke tak?”  Airis membuka tingkap cermin almari yang menempatkan puluhan kereta mini dan patung Stars Wars milik Rayyan.

“Suratkhabar?  Banyak lah kau punya suratkhabar.  Dalam drawer tu ada bubble wrap.  Bungkus pakai tu.  Kalau terhempas, tak pecah berderai koleksi aku tu.”  Rayyan menjuihkan bibirnya ke arah laci almari solek.  Dia mencapai tiga helai kemejanya, melipatnya kepada dua bahagian lalu menyumbatnya ke dalam beg.  Dia mengulangi lagi perbuatannya sehingga beg pakaian itu penuh sendat.

“Kau dah beritahu Mama pasal hal ni? Pasal kita nak pindah esok?”  Airis menjeling ke arah Rayyan sekilas. Tangannya masih penuh cermat membungkus satu persatu koleksi milik Rayyan dengan bubble wrap sebelum menyusunnya elok-elok di dalam kotak.  Dia sebenarnya masih terkejut dengan tindakan Rayyan yang mendadak seperti ini walaupun telah dimaklumkan awal untuk berpindah ke rumah mereka sendiri satu hari nanti.  Sangkanya Rayyan cuma memberi cadangan bukannya betul-betul ingin berpindah.  Apatah lagi, sudah lebih seminggu Airis menghabiskan cuti sakitnya, tapi Rayyan dilihat tidak menyebut lagi tentang perancangan untuk berpindah selepas kejadian dengan Rania.  Tahu-tahu, dia disuruh berkemas hari ini, dan berpindah pada esok hari.  Tentu saja dia terkejut apatah lagi Rayyan dilihatnya langsung tidak bercerita tentang rumah yang akan disewa, bila akan berpindah kepada dirinya.

“Kejap lagi Mama naik.  Tadi aku dah cakap nak bincang dengan dia.” Rayyan tidak memandang ke arah Airis.  Dia masih seperti tadi, kalut mengemas pakaiannya.  Lima minit kemudian, Datin Marissa muncul dengan senyuman di bibir.

“Ma, masuklah.”  Airis menggamit Datin Marissa dengan pandangan matanya, menyuruh wanita itu duduk di sisinya yang sedang bersimpuh di hadapan almari kaca menempatkan koleksi Rayyan.  Dilihatnya kening Datin Marissa bercantum.

“Kenapa mengemas ni? Nak pindah ke?”  Datin Marissa berseloroh.  Dia menghampiri menantunya.  Airis serba salah.

“Ma, jangan terkejut tau.  Esok kami nak pindah. Ray dah jumpa rumah sewa.  Dekat dengan rumah Mama ni.  Tapi jangan risau, setiap hujung minggu kami balik jumpa Mama dengan Papa.”  Rayyan mendekati mamanya dengan hati yang berdebar.  Dia tahu keputusan nekadnya itu pasti mengejutkan Datin Marissa.

“Eh, pindah?  Esok? Betul ke apa Mama dengar ni?”  Dahi Datin Marissa tambah berkerut.  Terasa tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Ha ah betul Ma.  Abang cakap esok kami pindah.  Hari ni kena kemas-kemas barang kat dalam bilik ni, esok kemas barang kat rumah baru pulak.”  Airis menggariskan sebuah senyuman.  Tampak jelas riak kecewa di wajah ibu mertuanya itu.

“Sampai hati korang tak beritahu Mama awal-awal nak pindah kan?”  Suara Datin Marissa mula mendatar.  Tiada lagi senyuman manis terukir di wajah wanita itu.  Rayyan serta merta berhenti dari aktiviti melipat kain bajunya tadi.  Cepat-cepat dia berjalan menuju ke arah Datin Marissa yang berteleku bersebelahan Airis.

“Ma, jangan lah cakap macam tu.  Memang betul, benda ni agak drastik.  Tapi, satu hari nanti kami akan pindah jugak kan?  Bagi lah kami peluang rasa hidup berdikari suami isteri.”  Rayyan memaut lengan ibunya.  Cuba memujuk.

“Lagi pun mana tahu, dengan duduk sendiri ni hubungan kami akan lebih baik?”  Airis mencebik di dalam hati.  Menyampah mendengar alasan melepaskan diri dari mulut Rayyan.  Hakikatnya, suaminya itu mencari jalan bertemu Jasmin!

“Kalau itu keputusan Ray dengan Airis, takpe lah.  Mama terpaksalah lepaskan walaupun Mama sebenarnya lebih suka kalau korang duduk jek kat rumah kita ni.  Apa-apa senang, ada depan mata Mama.”  Datin Marissa membalas pautan Rayyan, digosok-gosoknya lengan Rayyan berulang kali.

“Tapi, hujung minggu Ray kena lah selalu bawak Airis datang sini.  Nanti Mama termimpi-mimpi nak makan masakan Airis.”  Datin Marissa tersengih.  Dia memandang menantunya itu yang dari tadi ralit memerhati keakraban dua beranak itu.

“Mama nak makan apa nanti, Mama cakap jek.  Airis masakkan.”  Datin Marissa cepat-cepat memaut bahu Airis, dipeluk menantunya itu erat-erat.  Sayangnya pada Airis bagaikan menyayangi anak-anaknya sendiri.  Airis kaget.  Terasa pelik dipeluk sebegitu erat.  Dia cuma mampu mengukir senyum.

“Papa macam mana Ray?  Dah beritahu dia?” 

“Ala, Ray rasa Papa ok jek pasal benda ni.  Anak dah kahwin nak belajar hidup berdikari, takkan lah dia tak setuju kan?”  Rayyan tersengih.  Airis menjeling sekilas.  Datin Marissa hanya tersenyum.  Dia sendiri tahu suaminya itu sentiasa bersikap terbuka terutama dalam hal-hal melibatkan anak-anak apatah lagi hasrat Rayyan untuk hidup berdikari.

“Pukul berapa esok nak pindah?”  Datin Marissa mencapai satu kereta mini.  Dia membelek-beleknya sebelum mengambil cebisan bubble wrap yang sudah pun dipotong oleh Airis.

“Pukul 9 rasanya, kenapa Ma?”

“Pukul 9. Hmmm...rasanya Mama boleh ikut sekali.  Tapi tak boleh lamalah sebab pukul 11 Mama nak jumpa Datin Khatijah pulak. Tak boleh nak tolong korang berkemas.” Datin Marissa ligat membalut kereta mini kepunyaan Rayyan.  Dicapai pelekat lantas dilekatkan ke bubble wrap bagi mengelakkan kereta mini itu terburai keluar.

“Tak payah susah-susah Ma.  Mama rela lepaskan kami nak jalani hidup berdikari ni pun Ray dah cukup gembira dah.  Lagipun soal perabot semua dah lengkap dah dalam rumah tu.  Esok tinggal bawak badan jek.  Semuanya Ray dah uruskan.”  Rayyan membalas senyuman ibunya.  Walaupun dia tahu mamanya sentiasa terbuka dengan setiap keputusan yang dibuatnya, dia tetap rasa terharu dikurniakan ibu sebaik Datin Marissa. 

“Ni sibuk mengemas nak pindah ni, hati-hati tau Airis.  Tangan tu belum baik sepenuhnya.  Nanti lasak-lasak sangat, bleeding pulak.” Datin Marissa sempat mengingatkan.

“Mama jangan risau, Airis dah ok dah ni. Dah seminggu lebih kan.  Dah baik dah.  Lagipun Khamis ni dah nak naik kerja dah. Mc dah habis.” Airis tersenyum.  Faham dengan kebimbangan ibu mertuanya itu.

“Mama jangan risau.  Ray akan pastikan Airis takkan buat kerja-kerja berat.  Tunggu betul-betul sihat nanti baru Ray dera dia mop satu rumah. Hahaha...” Airis ikut sama tergelak. Dia kemudiannya melirik pandangan ke arah deretan laci yang terdapat pada bahagian bawah almari yang menempatkan koleksi kereta dan patung mini Rayyan.  Tangannya menarik perlahan salah satu darinya dan matanya terus tertumpu pada sebuah album gambar berwarna merah hati. Dia membuka helaian demi helaian perlahan-lahan tanpa menyedari perbuatannya itu diperhatikan Datin Marissa.

“Ni semua gambar Jasmin dengan Rayyan sejak diorang kecik lagi.  Mama yang suka ambik gambar diorang lepas tu cuci dan letak dalam album macam ni.  Saja buat kenangan.  Jarak Rayyan dengan Rania agak jauh, jadi Jasmin ni lah yang Rayyan buat jadi kawan.”  Datin Marissa menghampiri Airis yang duduk berteleku di tepi almari.  Jarinya mengusap lembut permukaan gambar di hadapan matanya itu sambil mengukir senyum.  Terimbau terus dia pada setiap kenangan membesarkan Rayyan bersama-sama Jasmin suatu ketika dahulu. 

“Mama sayangkan Jasmin ni macam anak sendiri.  Dan agaknya memang ditakdirkan selama-lamanya Jasmin cuma boleh jadi anak kami. Dah takde jodoh.....”  Airis tersentak.  Dia mengerti maksud kata-kata Datin Marissa.  Dia tahu, dialah penghalang Jasmin dari menjadi menantu dalam keluarga itu, suri dalam hati Rayyan. 

“Sebab Allah nak ganti dengan jodoh yang lebih baik.  Lebih sempurna.”  Cepat-cepat Datin Marissa bersuara sebaik dilihat riak wajah Airis yang berubah.  Dia tahu, mana-mana menantu pun pasti akan terasa apabila dibanding-bandingkan seperti itu. 

“Mana-mana mak mertua dalam dunia ni pun mesti teringin nak dapat menantu macam Kak Jasmin ni kan Ma? Pandai, bergaya, cantik pulak tu.”  Airis sekadar berbasa basi.  Dia sedar akan riak suara ibu mertuanya yang berlainan.  Deringan dari telefon bimbit Datin Marissa tiba-tiba memecah suasana janggal dalam bilik itu.  Cepat-cepat Datin Marissa menjawab panggilan.

Sorry guys, tak boleh nak tolong lagi.  Mama nak kena attend meeting kejap lagi. Datin Kathy dah sibuk dah ni tanya Mama dah siap belum. Mama nak siap-siap sekarang ni.” Datin Marissa bingkas bangun.  Kepalanya kini ligat mengingat kembali di mana dia meletakkan fail yang terkandung minit mesyuarat yang lepas. Sempat juga dia berfikir baju mana yang akan dipakainya sebentar lagi.  Tergesa-gesa dia melangkah keluar dari bilik Rayyan dan Airis menuju ke bilik tidurnya pula.






Presenting to all of you, our new home sweet home.  Please come in.” Rayyan mendepangkan tangan kanannya sambil tangan kirinya memulas tombol pintu, mempersilakan kedua ibu bapanya dan Airis masuk ke dalam rumah banglo semi-D yang disewanya itu sambil tersenyum lebar.

Airis masih terpinga-pinga.  Memerhati sekitar luar rumah itu satu persatu.  Rumah banglo 4 bilik itu menepati seleranya.  Tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil untuk didiami.  Dia puas hati dengan pemilihan Rayyan.  Dijeling sekilas pada ruang parkir bersebelahan rumahnya, cuma tersadai sebuah kereta Honda Jazz tanpa kelihatan pemiliknya.  Mata Airis meliar lagi, berpuas hati pula pada ruang laman yang luas di sekeliling banglo itu tanpa sedar yang kedua ibu bapa mertuanya sudah pun masuk ke dalam rumah sejak tadi lagi.

“Macam mana sayang? Ok tak?” Airis terpinga-pinga lagi.  Memandang pada dua pasang mata milik Dato’ Harun dan Datin Marissa yang memandangnya sebaik dia menjejak kaki ke dalam rumah.

“Ok.  Boleh lah ni.” Segera dia menangkap maksud dari pertanyaan Rayyan sekaligus melarikan pandangan mata ibu dan bapa mertuanya tadi. Lega.  Sejujurnya dia sukakan rumah itu.  Susun aturnya dengan perabot kayu jati menampakkan suasana desa dalam rumah sederhana besar itu.  Semuanya dihias seringkas yang boleh tapi masih menampakkan ciri-ciri elegan.

“Papa dengan Mama rasa rumah ni dah ok dah ni.” Dato’ Harun mencapai tisu di hadapannya lalu mengesat mulut dengan lembut.  Dia tersandar kekenyangan setelah menikmati hidangan mee hailam yang sempat disediakan Airis pagi tadi sebelum berangkat ke sini.  Lama dia meninjau setiap penjuru rumah ini, memastikan semuanya menepati seleranya dan yang menjadi keutamaannya adalah keselesaan Airis.

“Kan Ray dah cakap semuanya ok tadi. Papa jangan lah risau sangat.”

“Eh mestilah Papa risau.  Kamu tu Ray bukan boleh percaya sangat.  Duduk sekali dengan Papa pun si Airis tu boleh jatuh kolam lah, kena ragut lah.  Ini kan pulak dah takde depan mata hari-hari.  Papa risau tau tak?” Dato’ Harun menjegilkan matanya.  Geram dengan sikap Rayyan yang seolah-olah menyindirnya.

“Jangan risau Pa.  Kalau Abang Ray dera Airis, Airis balik rumah Papa. Hahaha...” Pecah tawa mereka seisi keluarga mendengar Airis tiba-tiba mencelah.

“Papa rasa Papa nak gerak balik pejabat dulu lah.  Esok kamu naik kerja kan Ray.  Jangan lupa jumpa client yang Papa dah set up tu.  Nanti Papa suruh Liza ingatkan kamu lagi.” Dato’ Harun bangun diikuti Datin Marissa.

You nak I hantar you balik rumah ke macam mana sayang?  You ada aktiviti apa hari ni?”

You hantar I kat rumah dulu la by.  Nanti I drive sendiri.  I nak jumpa Kathy nak bincang pasal reunion yang dia sibuk set up kan semalam.  Lupa I nak beritahu dia yang I ingat nak ajak sekali anak-anak yatim  to join our dinner on the reunion day.  Alang-alang buat makan sedap-sedap tu, kita jamu lah anak-anak yatim makan sekali.”

I suka idea you tu sayang.  Kita dah tua-tua ni, memang elok buat aktiviti amal macam tu.  Tak salah pun menghulur pada orang yang tak berkemampuan.  Biar I sponsor you hamper.  You nak berapa pack hamperYou beritahu Liza, nanti I suruh dia uruskan.”

“Eh betul ke ni baby?  Ni I sayang you sangat tau macam ni.  Ok, nanti I confirm dengan Kathy tengok berapa banyak yang dia nak untuk hamper.  Thanks tau by.” Datin Marissa tersenyum lebar.  Gembira betul hatinya suaminya itu sudi menaja hamper untuk majlis reunion yang dirancangnya bersama Datin Khatijah.  Dia arif benar dengan sikap Dato’ Harun yang sentiasa menyokong setiap aktivitinya apatah lagi aktiviti kebajikan seperti ini.

Airis terkebil-kebil melihat aksi romantis kedua pasangan berusia di hadapannya itu.  Pada usia itu, mereka tak pernah segan berkasih sayang di hadapan anak-anak.  Baby?  Airis tergelak di dalam hati.  Membayangkan Rayyan memanggil dirinya Baby terus membuat dia melekek-lekek di dalam hati.

“Amboi Airis, bukan main lebar senyum kamu ye Papa dengan Mama nak balik ni.  Ye lah, ye lah...dah lah tu sayang.  Cepat sikit, jangan kacau daun diorang ni.” Cepat-cepat dia menarik tangan Datin Marissa.

“Eh, apa ni Papa.  Airis senyum ni sebab suka tengok Mama dengan Papa ni romantik habis lah.” Pantas Airis menerangkan keadaan.  Dia jadi malu.  Merona merah pipinya tiba-tiba.

“Ye lah...kami dah nak balik dah ni.  Kamu tu Ray, jaga Airis ni baik-baik.  Kang apa lagi yang luka si Airis ni Papa tak tahu lah.”

Rayyan tersengih.  Cepat-cepat disambut huluran salam tangan ayahnya itu lalu diciumnya.  Diulangi perbuatan yang sama pada ibunya diikuti pula oleh Airis.

“Ala, takut sangat.  Jangan risau, Ray jaga menantu kesayangan Papa ni baik-baik.”

“Mestilah risau.  Ingat senang nak dapat menantu macam ni?” Dato’ Harun memandang wajah polos Airis.  Betul, jauh dalam sudut hatinya, dia gusar dengan keadaan Airis.  Walaupun dia sepatutnya menghalang mereka dari pindah ke rumah sewa ini, tapi sampai bila?  Satu hari nanti, mereka akan tetap hidup sendiri berdikari dalam melayari rumah tangga.  Sementelah lagi, Airis kini hak mutlak Rayyan sepenuhnya.  Tapi, dia tetap akan selalu mengikuti perkembangan Airis.  Dan dia seolah-olah dapat mengagak yang Rayyan sebenarnya lari dari kongkongan dirinya yang melarang Rayyan dari terus merapati Jasmin.  Dia tahu hakikat itu.

“Bilik kau sebelah kanan, bilik aku sebelah kiri.” Suara Rayyan tiba-tiba memecah sepi.  Lama Airis terkebil-kebil cuba memahami maksud kata-kata Rayyan sehinggalah tangannya membuka pintu bilik yang dimaksudkan Rayyan.

Terpampang di hadapan matanya itu set bilik yang lengkap dengan katil, almari pakaian dan solek berwarna putih bersih.  Segala-galanya dihias ringkas tapi menepati seleranya.  Dia sukakan biliknya itu.  Terserlah ciri-ciri femininnya.  Ternyata Rayyan faham dengan citarasanya.  Fahamlah dia kini, di rumah ini, dia akan tidur berasingan dengan Rayyan.  Masing-masing akan mempunyai bilik sendiri.

Airis menarik nafas dalam-dalam kemudian menghembusnya perlahan-lahan.  Perlahan-lahan dia membuka jendela dalam bilik tidurnya.  Membuang pandangan ke luar yang akhirnya membawa penglihatannya kepada sebidang tanah di belakang biliknya itu.  Cepat-cepat dia melangkah keluar menuju ke halaman belakang rumah.

“Kau kenapa?” Airis mengurut dada saat suara Rayyan menusuk telinganya.

“Ni, laman ni.  Jom kita tanam pokok apa-apa nak tak?” Airis merenung anak mata Rayyan.  Menanti anggukan dari lelaki itu tanda setuju.

“Tanam apa?” Rayyan mengerutkan keningnya.

“Tanamlah pokok rambutan ke pulasan ke.  Apa-apa pokok buah-buahan lah.  Nanti 4,5 tahun akan datang kita tengok pokok siapa yang berbuah.

“4,5 tahun akan datang?” 

“Oh, ye lah. Aku lupa.  Takpelah, lupakan apa aku cakap tadi.” Airis menunduk.  Betul, dia betul-betul lupa.  Mana mungkin 4,5 tahun akan datang nanti, dia akan masih menjadi isteri Rayyan.  Dia betul-betul terlupa.






Airis memejamkan matanya kuat.  Dia bengang mendengar ketukan pintu bertalu-talu saat dirinya baru saja hendak terlelap.  Lama dia diam dari pembaringannya sebelum bangun membuka pintu. 

“Kau nak apa?” Airis bersuara malas. Memerhati Rayyan yang tercegat depan pintu.

“Jom kita pergi makan.” Rayyan mengukir senyum.  Ah, terasa janggal.  Apatah lagi dengan riak Airis yang ingin menelannya saat itu.

“Kau pergilah.  Aku tak lapar.”

“Eh, mana boleh tak lapar.  Kau makan mee jek pagi tadi.  Tengahari aku ajak makan pizza kau tak nak.” Rayyan menjegilkan matanya.  Geram dengan sikap Airis yang enggan makan.  Hakikatnya dia risau dengan sikap dingin Airis selepas menjenguk laman di belakang rumah tadi.  Airis terus masuk ke dalam rumah sebaik dia mengucapkan soalan ‘4,5 tahun akan datang?’ tadi.  Wajahnya yang ceria terus berubah setelah itu.  Dia jadi pelik.  Tertanya-tanya adakah dia tersilap tanya atau tersilap pemahaman.  Sejujurnya, dia langsung tak kisah jika Airis minat bercucuk tanam sekalipun.  Dia cuma risaukan keadaan lengan Airis yang belum sembuh sepenuhnya dan takut jika aktiviti bercucuk tanam akan memburukkan lagi keadaan.  Tapi belum pun sempat dia bersyarah, Airis tiba-tiba berubah sikap dan terus masuk ke dalam rumah.

“Habis aku nak masak tadi, kau cakap tak payah.  Dah lah…kau nak pergi makan, pergi jek lah.  Aku nak tidur lah.” Cepat-cepat Airis menutup pintu tanda ingin menamatkan perbualan.

“Eh, dah…siap sekarang.  Jom kita pergi makan. Aku tunggu.”

Airis mendengus.  Lambat lambat dia bersiap.  Ikutkan hatinya, dia malas menatap wajah lelaki itu.  Hatinya sedikit terusik dengan ayat Rayyan siang tadi berkenaan minatnya bercucuk tanam.  Tapi ada kebenarannya di sebalik kata-kata Rayyan.  Mana mungkin hubungan mereka akan bertahan untuk tempoh 5 tahun akan datang.  Dia sendiri kabur dengan hala tuju hidupnya bersama Rayyan.  Inikan pula membayangkan mereka akan sama-sama memetik hasil dari pokok yang ditanam.  Tinggi sungguh angan-angannya.

“Dah, tak payah nak termenung lagi.  Makan lah.” Airis terkebil-kebil.  Memandang pinggan hidangan yang tersaji di hadapan matanya itu.  Hidangan pertama ikan siakap masak stim yang dihiasi deretan lemon di sekeliling pinggan, diikuti pula hidangan kedua dengan tomyam campur yang wap panasnya kelihatan terawang-awang di angkasa.  Hidangan ketiga pula disajikan dengan kailan yang ditumis bersama ikan masin tenggiri.  Airis menjeling pula pada pinggan hidangan yang keempat, tersaji pula daging yang dihiris nipis-nipis dimasak bersama sos merah.  Bersebelahan hidangan itu pula, tersaji sepiring telur dadar.  Airis meneguk liur.  Serta merta perutnya berkeroncong.  Hilang terus rajuknya pada Rayyan tadi.  Perlahan-lahan dia menjamah makanan satu demi satu.

“Eh, Jasmin!” Kening Airis bercantum.  Lambat-lambat dia menoleh ke belakang.  Gadis itu keseorangan.  Nampak sedang berkira-kira untuk duduk di kerusi mana. 

“Kejap aku pergi panggil dia.” Airis terkedu.  Mati terus seleranya.

“Hai Ris.  Takpe ke akak join makan ni?  Tak kacau korang ke?” Sapa Jasmin ramah.  Dia menghulur salam kepada Airis sambil mengukir senyuman manis.

“Eh..takpe Kak Min.  Boleh ni, jom lah makan sekali.  Banyak ni Abang Ray order.  Cukup kita bertiga makan sekali.” Airis menelan liur.  Bergenang tiba-tiba matanya.  Terasa perit mengajak perempuan kesayangan suaminya itu untuk makan bersamanya.  Terasa pelik untuk membenarkan apatah lagi untuk mempelawa.  Ah, dia benci dirinya sendiri kerana terpaksa tersenyum.

Dia memandang Rayyan sekilas.  Hatinya bertambah sakit melihat lelaki itu dari tadi tersengih memandang wanita pujaan di hadapan matanya itu. Bertambah parah, bila mereka berdua asyik bersembang sambil menikmati juadah tanpa mempedulikan dirinya.  Dia terasa seperti memakan pasir saat itu!







Nota Selit : Alhamdulilah....akhirnya 4 bab yang AA hutang sayangs semua berjaya disiapkan...Ada berbab-bab lagi ni nak disiapkan...Tolong doakan semuanya dipermudahkan ye...Untuk bab ni, AA mintak maaf kalau ada sebarang kesilapan ye...maklum jek la da lama sangat AA bercuti, baby Zhaf pun dah besar...buat yang sudi, tinggalkan lah komen sikit ye..AA sangat2 hargai! Sayanggggg sayangs semua!!

4 comments:

Unknown said...

Best lama juga tunggu

Anor said...

best nak lagi...

Anonymous said...

yeay! akhirnya...
lama dah tunggu... terubat gak rindu... x sabar nk tunggu sambungan.. hehehe
-didi-

Anonymous said...

Assalam t0 writer...

Huuuuuuu... Finally... Alm0st 0ne year menunggu... Mrs. Writer kembali lagi... Huhuhuuu...
Tahniah untuk new baby...

Mcm biasa Mrs. Writer, tetap heart beat bedebar2 nak tau ape jadi... Airis as usual t00 much predict , inn0cent n Ray still in character...

Cant wait f0r the next ep!!!.. anyway Gud luck t0 Mrs. Writer... H0p baby sihat jadi ble up next next next ep!!! Heheheheh...

Fr0m: IJA